KRISIS PEMAKNAAN PENDIDIKAN:
MENANGANI GEJALA EXCELLENCE WITHOUT SOUL
Oleh: Dr Siddiq Fadzil

Gejala Kehilangan Arah



Justeru, sebagai universiti
paling berpengaruh di dunia, kerosakan Harvard boleh merosakkan dunia
seluruhnya, termasuk kita, khususnya orientasi pendidikan kita. Harvard sudah
menjadi kiblat pengajian tinggi di mana-mana, dan keghairahan meniru Harvad
sudah mewabak meratai jagat. Dominasi Harvard tidak terbatas hanya dalam bidang
bisnes, tetapi sudah merempuh bidang-bidang lain, termasuk politik, ekonomi,
kebudayaan dan pendidikan. Philip Delves Broughton mencatatkan bahawa sepanjang
pengajiannya di HBS (2004-2006), para alumni HBS telah menempati pelbagai
posisi strategik termasuk Presiden Amerika Syarikat, Setiausaha Perbendaharaan
Amerika Syarikat, Presiden Bank Dunia, Datuk Bandar New York, dan sejumlah yang
tidak terkira CEO badan- badan korporat gergasi. Beliau juga mencatatkan bahawa
alumni HBS menguasai 2O% tiga jawatan teratas di 500 buah syarikat yang
disenaraikan oleh Fortune. Sementara itu, sejak tahun 2000, para pemegang
ijazah MBA yang menempati pejabat kepresidenan Amerika Syarikat (Oval Office)
telah membuat keputusan-keputusan besar tentang pelbagai masalah dunia dengan
segala implikasi kemanusiaan dan kesejarahannya.
Broughton seterusnya merumuskan
bahawa semua orang dalam bidang apa pun seharusnya memprihatinkan segala yang
sedang terjadi di HBS kerana, “The
language, practices, and leadership styles taught in MBA course affect all of
us. Business schools no longer produce just business leaders. MBAs determine
the lives many of us will lead, the hours we work, the vacations we get, the
culture we consume, the health care we receive, and the education provided to
our children. ... And it has ambitions to matter even more.” Pendeknya,
orang bisnes memang sangat bernafsu untuk menguasai segala-gala.
Misi Penyempurnaan dan Pengutuhan
lnsan
Latar dunia pengajian tinggi yang
sedemikian rupa menambah keyakinan kita terhadap kerelevanan kita sebagai
pengembang misi pengutuhan dan penyempurnaan insan. Sesungguhnya kehadiran kita
bukan suatu piIihan, tetapi suatu kewajipan kemanusiaan dan keagamaan. Kita
harus memikul tanggungjawab melaksanakan pendidikan keinsanan dalam erti
pengembalian insan kepada kemurnian dan keunggulan fitrinya sebagai makhluk
sebaik-baik kejadian (ahsani taqwim)
yang dimuliakan Allah (al-takrim
al-Ilahiy) dengan hembusan ruh penciptaan-Nya (al-nafkh al-Ilahiy). Insan bukan sekadar makhluk tanah (tin) yang rendah. la telah diangkat
darjatnya dengan hembusan ruh Ilahi, yang kerananya para malaikat rela sujud
menghormatinya. Di sinilah kegagalan iblis mempersepsikan insan secara utuh -
tanah dan hembusan ruh Ilahi. Bagi iblis, insan hanyalah makhluk tanah,
semata-mata tanah; dan kerana itu pulalah ia membantah perintah sujud.
Fungsi pendidikan tidak hanya
sekadar memelihara ke-tanah-an insan, tetapi lebih daripada itu ialah untuk
memelihara hembusan ruh Ilahi yang merupakan asetnya yang termahal, martabat
keunggulannya, dan sumber potensi kesempurnaan insaniahnya. Hakikat inilah yang
diserlahkan oleh Qadi Abu Bakr ibn al-'Arabiy dalam huraiannya tentang insan
sebagai makhluk ahsani taqwim:
“Tiada makhluk Allah yang lebih
baik daripada manusia, kerana Dia telah menganugerahkannya kadar tertentu
daripada sifat-sifat ketuhanan-Nya seperti: hayyan,
‘aliman, qadiran, mutakalliman, sami’an, basiran, mudabbiran dan
lain-lainnya.”
Memang, tidak ada makhluk Tuhan
yang penciptaannya Iebih baik daripada insan. Justeru, Tuhan telah
mengurniakannya cebisan daripada sifat-sifat rabbaniyyah-Nya, yang dapat dikembangkan hingga sejauh yang
terjangkau oleh kudrat insaniahnya, dan sekaligus dapat menjulang martabatnya
mengungguli segala makhluk lain.
Hakikat inilah juga yang
diungkapkan oleh al-Shaykh ‘Abd al-Karim al-Jiliy dalam tulisannya al-Insan al-Kamil fi Ma’rifat al-Awakhir wa
al-Awa’il Ketika menjelaskan makna hadith nabawi bahawa Allah menciptakan
Adam ‘a.s. menurut gambaran-Nya (‘ala
suratih), al-Jiliy mengatakan:
“Sebagaimana yang diketahui,
Allah bersifat Hidup, Berilmu, Berkuasa, Berkehendak, Mendengar, Melihat,
Berkata-kata, maka demikian jugalah manusia - hidup, berilmu dan sebagainya.”
Manusia yang penciptaannya
sedemikian rupa memang seharusnya mampu menghayati sifat-sifat Rabbaniy, dan itulah sebenarnya ukuran
kesempurnaan dan kebahagiaannya yang disebut oleh al-Ghazaliy:
“Bahawa kesempurnaan dan
kebahagiaan manusia (hamba Allah) terletak pada kesediaan dan keupayaannya
berakhlak dengan akhlak Allah.”
Jelmaan kesempurnaan paling ideal
yang disebut al-Insan al-Kamil
sebagaimana yang dikonsepsikan oleh al-Jiliy adalah Muhammad (s.’a.w.). Dalam
kaitan ini, pendidikan sebagai proses pengutuhan dan penyempurnaan insan harus
menjadikan al-Insan al-Kamil sebagai
model keinsanan terunggul.
Keinsanan dengan segala
keunggulannya yang berpangkal dari kurnia hembusan ruh Ilahi dengan segala
implikasinya itu pada hakikatnya adalah amanah berat yang tidak terpikul oleh
langit, bumi, gunung atau makhluk-makhluk lain segagah mana pun. Amanah inilah
yang selalu dilupakan sehingga mengakibatkan kejatuhan martabat insan dari
puncak ahsani taqwim merudum ke
jurang asfala safilin. Demikianlah
mesej firman Ilahi:
"Sesungguhnya Kami telah
kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka
enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada
pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan
persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat
kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat
perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(Al-Ahzab: 72)
Al-Insan disebut zalum dan jahul (zalim dan jahil). Ia zalum
kerana selalu menzalimi diri sendiri dengan menjatuhkan martabat diri dari
ketinggian darjat keinsanannya; dan ia juga jahul
kerana tidak tahu tentang hakikat
dirinya sebagai pengembang amanah
keinsanan. Bukankah gejala zalum dan
jahul ini yang menimpa masyarakat
dunia, termasuk mereka yang dianggap kaum terpelajar? Gejala zalum
dan jahul adalah sejenis dehumanisasi
yang melahirkan generasi yang hilang keinsanannya. Ayat tersebut sebenarnya
membawa pesan kependidikan yang sangar penting; bahawa pendidikan harus
melaksanakan misi penyelamatan insan dari menjadi zalim dan jahil dalam
pengertian tersebut.
Misi Ummatik: Pembinaan Khayriyyat al-Ummah
Demi maruah dan martabat, sistem
pendidikan kita harus berorientasi khayriyyah
(keunggulan) yang berteraskan iman, komitmen terhadap nilai-nilai kemakrufan,
dan semangat melawan gejala kemungkaran, sesuai dengan ayat khairiyyat al-ummah dalam surah Ali
‘Imran. Khayriyyat al-ummah bukan ketuanan warisan. Ia adalah wawasan Qur’ani
yang terbuka kepada semua umat yang sanggup memenuhi syarat, tanpa, mengira
asal usul keturunan. Ia adalah keunggulan bersyarat yang harus dicapai dengan
perjuangan kependidikan membangun watak umat, menegakkan prinsip-prinsip iman,
menghayati nilai-nilai murni dan membasmi gejala maksiat. Faktor keturunan
bukan jaminan keunggulan, tanpa cirri-ciri khayriyyat al-ummah, keturunan siapapun akan
mengalami kehinaan senasib dengan kasut, “dari atas diinjak kaki, dari bawah
ditusuk duri, sudah usang dibuang orang”. Tepat sekali ungkapan Dr.Muhammad
‘Imarah bahawa ia adalah shurut
muktasabah, la ‘unsuriyyahy mawruthah (syarat yang dicapai, bukan perkauman
yang diwarisi).
Pendidikan Kewarganegaraan
Selain pendidikan keumatan,
sistem pendidikan yang baik juga melaksanakan pendidikan kewarganegaraan,
mempersiapkan anak-didik menjadi rakyat yang bertanggungjawab, rakyat negara
Malaysia yang demokratik, dan berbilang kaum. Akibat obsesi yang berlebihan
terhadap pengkhususan dalam disiplin ilmu
tertentu, semangat kewarganegaraan, kesedaran sivik dan kepedulian
politik seringkali terabai. Institusi Pendidikan seolah-olah sudah, menjadi
sebuah pulau. Masyarakat sekitar tidak mendapat pencerahan darinya. Lebih
setengah abad mengamalkan demokrasi,
namun erti demokrasi belum difahami secara meluas. Bagi sebilangan rakyat,
demokrasi hanya bererti pilihanraya, dan tidak lebih daripada itu. Mereka
seharusnya sudah memahami demokrasi bukan hanya pilihanraya, tetapi yang lebih
mendasar adalah prinsip-prinsip dan nilai-nilainya, yang harus dipelajari,
dihayati dan dibudayakan. Institusi Pendidikan seharusnya mampu membina manusia
demokrat yang murni, matang dan berjiwa besar. Tetapi jika dilihat bagaimana
demokrasi dilaksanakan di kampus-kampus,
ternyata banyak Institusi Pendidikan yang gagal memberikan pendidikan
demokrasi di kalangan warganya. Pilihanraya kampus seringkali dicemari sikap undemocratic dan unethical pihak pentadbiran yang memaksakan kemahuannya memenangkan
kelompok tertentu dan mempastikan kekalahan kelompok yang lain. Demikianlah
berlakunya tragedi kematian nilai-nilai demokrasi di kampus-kampus yang
seharusnya menjadi model masyarakat demokratik yang sihat dan menginspirasikan.
Apakah ini bukan suatu pengkhianatan terhadap amanah pendidikan
kewarganegaraan?
Misi Perubahan
Institusi Pendidikan yang dibina
di atas kesedaran dakwah pembebasan manusia dari kegelapan kepada kecerahan,
selamanya komited terhadap misi perubahan. Mungkin ada yang berfikir, bahawa
kita sebenarnya hanya bermimpi. Perubahan apalah yang dapat dilakukan oleh
orang kecil seperti kita. Mungkin benar, ketika ini kita sedang bermimpi.
Tetapi syukurlah, kita masih berani bermimpi. Siapa tahu sewaktu-waktu mimpi
menjadi realiti. Jangan lupa kita sebenarnya masih memiliki potensi kekuatan
raksaksa yang berupa generasi muda yang enlightened.
Gelombang perubahan yang menerjang seluruh Dunia Arab ketika ini adalah
sepenuhnya hasil kebangkitan anak-anak muda, maka kerananya ia mendapat nama Thawrat al-Shabab (Revolusi Pemuda).
Majalah The Economist (2 April 2011) menyebut mereka sebagai, “... a new generation of young idealists,
inspired by democracy, united by Facebook and excited by the notion of opening
up to a wider world,...”. Gelombang kebangkitan yang mencengangkan itu
telah dilakukan oleh anak-anak muda yang selama ini sudah dianggap lost generation, generasi yang sudah
hanyut entah ke mana. Mereka adalah Facebook
generation pencipta keajaiban, merubah sejarah. Dalam tempoh hanya tiga
minggu mereka melakukan suatu yang tidak mampu dilakukan oleh bapa-bapa mereka selama tiga puluh
lstiqamah Sebagai Manusia
Berprinsip
Kita tidak akan kecewa andainya
anda lupa sebahagian daripada kurikulum pengajian tetapi kita akan sangat
kecewa andainya anda gagal meninggalkan institusi pengajian sebagai better
human being (manusia yang lebih baik). Justeru, pendidikan keinsanan adalah
misi terbesar kita. Kita akan sangat berbahagia menyaksikan para graduan
menjadi al-insan al-salih atau yang
disebut orang Melayu sebagai orang baik. Konsep orang baik dalam pemikiran
Melayu sebenarnya dipadankan dari sabda
nabawi, khayru ‘n-nas anfa’uhum li ‘n-nas (orang terbaik adalah yang paling berguna
kepada orang lain). Sabda inilah yang mengilhami pengungkapan konsep manusia
serba guna dalam warisan kepujanggaan bangsa:
Bagaikan kayu besar di tengah
padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya ternpat bersila.
Untuk bersikap istiqamah sebagai
orang baik, ternyata tidak mudah, terlalu banyak goda dan pesonanya,
lebih-lebih lagi pada zaman penuh kegilaan seperti sekarang ini yang sudah
menepati ciri Jaman Edan era pujangga
R.N. Ronggowarsito. Pada zaman gila, orang gila membolot segalanya, sehingga
tidak tersisa untuk yang tidak gila atau yang tidak mahu ikut jadi gila.
Kehidupan manusia berjalan di atas hukum: tak gila, tak merasa (ora edan, ora keduman). Dalam suasana
seperti itulah terujinya ketahanan orang baik. Ronggowarsito meninggalkan pesan
kepujanggaan yang menyuntikkan semangat hidup berprinsip, “seuntung mana pun orang yang gila, lebih beruntung orang yang beringat dan
berwaspada”. Orang baik tidak perlu iri hati terhadap orang gila,
sebagaimana kita tidak perlu iri hati melihat gagak berlagak merak, atau kera
memakai mahkota. “Jangan Jemu Menjadi
Orang Baik”.
(Ihsan http://ilmuwanrakyat.blogspot.com )
No comments:
Post a Comment