MUKNAS-6
PEMBINAAN
BANGSA:
KEPELBAGAIAN
DALAM BINGKAI KESATUAN
Siddiq Fadzil
(Amanat Pimpinan 2012,
Muktamar Nasional Keenam,
Wadah
Pencerdasan Umat Malaysia –WADAH,
15
September 2012/ 28 Syawal 1433)
Kali ini kita bermuktamar di tengah kehangatan iklim
politik menjelang PRU13. Aturan main dalam sistem demokrasi berpilihan raya
memang membolehkan kehadiran pelbagai parti dan persaingan antara parti dalam
menawarkan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Parti memang pelbagai, programnya juga
beragam, tetapi semuanya bersatu dalam komitmen menjayakan
prinsip dan nilai demokrasi yang bertunjang pada kuasa dan daulat rakyat. Dalam masyarakat majmuk yang masih
rapuh, rakyat harus cukup cerdas,
dewasa dan bijaksana menyikapi pelbagai kerenah perpolitikan antara parti agar
tidak terseret ke dalam silang sengketa
yang memecah integrasi nasional atau keharmonian antara kaum. Gejala pengeksploitasian sentimen perkauman
harus diwaspadai demi memelihara
kerukunan hidup yang telah kita bina dengan susah payah. Sikap dan tindakan racist akan merosak
segala yang telah kita usahakan
selama ini. Sikap tidak waras seperti itulah yang secara
metaforik diungkapkan dalam al-Qur'an:
ولاتكونوا كالّتى نقضت غزلها من بعد قوّة أنكاثا،...
Janganlah kamu
seperti perempuan yang mengurai kembali
tenunannya yang sudah
siap menjadi terurai, …(al-Nahl:92)
Bangsa
Malaysia: Aspirasi dan Wawasan
Setelah
55 tahun merdeka, kita masih bertanya
apakah "bangsa Malaysia" dalam
erti yang sebenarnya sudah wujud secara nyata dan tuntas? Memang ironis, tetapi demikianlah kenyataannya, selama berdekad-dekad kita hanya dapat
berbicara tentang warga negara Malaysia
dan tentang perpaduan kebangsaan atau integrasi
nasional, tetapi masih belum
dapat dengan yakin dan pasti berbicara tentang
"bangsa Malaysia" sebagai suatu realiti. Tentu ada alasannya apabila Rustam
A.Sani, seorang intelektual rakyat menulis pada tahun 2006, "Political events in Malaysia during
the last few years have convinced me that Malaysia is just a state without
nation -or at least, a state with several competing nations". (Rustam A.Sani, 2008: 59). Wawasan 2020 yang diungkapkan pada tahun 1991 meletakkan
pembentukan bangsa Malaysia di puncak
urutan sembilan cabaran yang harus ditangani.
Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi untuk kita menyaksikan terlaksana
atau tidaknya wawasan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu, "…sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan
kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya
berasaskan persamaan hak dan keadilan,
membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian
yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut".
Harus
diakui, membentuk bangsa memang tidak mudah, apa lagi dalam konteks
Malaysia dengan kemajmukan masyarakatnya
yang berpangkal dari dasar "pecah-perintah" era penjajahan Inggeris. Latar sejarah yang
sedemikian menjadikan integrasi nasional
yang dipupuk selepas kemerdekaan suatu yang sangat rapuh. Hubungan antara kaum banyak diasaskan pada
politik akomodasi dan kompromi.
Bagaimanapun pendekatan ini tidak selamanya dapat dilaksanakan dengan
lancar kerana politik tawar-menawar
antara kaum itu selalu dilatari prasangka dan kecemburuan ras yang tebal.
Kesedaran tentang keperluan penggagasan faham berbangsa
dan bernegara dalam konteks kemajmukan sebenarnya telahpun tumbuh seawal
tahun-tahun 1940'an lagi. Gabungan
PUTERA-AMCJA dapat dirujuk sebagai wadah gerakan politik pelbagai kaum yang
dengan serius menangani isu bangsa dan negara Malaya. Gerakan
kerakyatan tersebut telah menghasilkan
Perlembagaan Rakyat (1947),
sebuah gagasan bersama yang mencerminkan
kesepakatan rakyat pelbagai kaum tentang kehidupan berbangsa dan bernegara pada masa
hadapan, dan sekaligus penolakan
kolektif terhadap perlembagaan Malayan Union tajaan penjajah. Antara yang perlu dicatat sebagai pencapaian
penting era tersebut ialah penggagasan nation of intent, bangsa Malaya seluruhnya disebut Melayu.
Mengenai isu kebangsaan Melayu tersebut Dr.Burhanuddin
al-Helmiy, pemikir dan pejuang politik
yang serius, telah mengemukakan faham
kebangsaan Melayu sebagai ideologi nasional,
ideologi pemersatu rakyat pelbagai kaum. Sebagai ideologi nasional, faham kebangsaan
Melayu dalam konteks ini tidak bersifat
eksklusif, terbatas hanya untuk kelompok
baka Melayu sahaja. Sebaliknya, ia
bersifat inklusif, meliputi golongan bukan dari baka Melayu yang telah
putus hubungan dengan kebangsaan asal.
Ideologi nasional pembentuk kesatuan bangsa sebagaimana yang diungkapkan
oleh Dr. Burhanuddin al-Helmiy itu ternyata memiliki kekuatan idea dan
kekentalan semangat yang terumus dalam lima "rukun jiwa
kebangsaan": i. Ketuhanan Yang Maha
Esa, ii. Kebangsaan, iii. Kedaulatan
Rakyat, iv. Persaudaraan Sejagat, dan v. Keadilan Masyarakat. (Kamaruddin
Jaffar, 1980:113-121).
Sayang sekali,
pemikiran tentang gagasan bangsa yang terhasil dari perahan otak,
kerjasama, toleransi dan tentunya juga
pengorbanan pelbagai golongan rakyat pejuang kemerdekaan itu tidak sempat
teraktualisasi akibat tindakan supresif penjajah yang mempunyai agenda
sendiri, kepada siapa kemerdekaan akan
diserahkan, dan bagaimana rupa masyarakat yang akan mereka tinggalkan. Memang demikianlah kenyataannya, Inggeris mewariskan masyarakat pelbagai kaum
korban dasar pecah-perintah yang sangat fragile,
rapuh, terpisah-pisah dan terkurung
dalam kepompong budaya kaum masing-masing.
Pembentukan satu bangsa terasa suatu yang masih terlalu jauh. Yang dapat dilakukan hanya sebatas
mewujudkan perpaduan antara kaum yang disebut integrasi nasional melalui beberapa dasar integratif seperti
Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan
kemudiannya Rukun Negara. Dasar-dasar
tersebut pada umumnya memang memiliki kekuatan integratif yang boleh menjadi landasan proses pembinaan
satu bangsa, tetapi ketegasan pelaksanaannya yang musim-musiman
menjadikannya kurang berkesan. Dari semasa ke semasa sikap dan perilaku racist atau
perkauman sempit terus menggejala dan akhirnya memuncak pada peristiwa tragik 13 Mei 1969.
Dasar-dasar Integratif:
Rukun Negara dan DEB
Tragedi berdarah konfik perkauman tersebut
telah membangkitkan komitmen baru
untuk melakukan suatu societal engineering menerusi mekanisme Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang disemangati Rukun Negara.
Perumusan Rukun Negara adalah untuk memberikan set nilai dan
prinsip (Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara,
Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan) sebagai landasan usaha mencapai perpaduan
masyarakat, memelihara cara hidup
demokratik, mencipta masyarakat adil
dalam erti kemakmuran negara dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin sikap liberal terhadap tradisi
budaya masyarakat yang kaya dan pelbagai,
dan membina masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi moden.
DEB adalah dasar
ekonomi yang digubah untuk
mencapai objektif integrasi nasional menerusi pembasmian kemiskinan tanpa
mengira kaum, dan penyusunan semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan
kaum dengan peranan ekonomi. Objektif
sedemikian memang memiliki justifikasi faktual dan rasionalnya sendiri, tetapi pelaksanaannya telah semakin
mangaburkan objektif integrasi nasional apabila tindakan-tindakan affirmative
DEB dipersepsikan sebagai dasar diskriminatif yang meng"anak
emas"kan Melayu, dan sebaliknya
meng"anak tiri"kan kaum bukan Melayu. Untuk mencapai sasaran peningkatan saham
modal Melayu dari 2.5% pada tahun 1970
kepada 30% pada tahun 1990, pemerintah telah mencipta kelompok kapitalis Melayu
yang kaya raya. Segelintir Melayu kroni
mengaut kekayaan negara hingga menjadi kelompok super-kaya atas nama masyarakat Melayu keseluruhannya
yang rata-rata hanya menerima apa yang tersisa.
Kontroversi di sekitar DEB sebenarnya sudah timbul sejak mula ia dilancarkan. Seawal tahun 70'an, kita yang ketika itu aktif dalam ABIM sudah mengkritik pendekatan perkauman dan
kapitalistik DEB. Dalam mengakui
keperluan membantu masyarakat Melayu,
bagi kita keutamaan harus diberikan kepada agenda membasmi kemiskinan
tanpa mengira kaum, bukan mencipta kelas
kapitalis Melayu. Yang miskin bukan cuma
Melayu, di kalangan kaum Cina juga ada
yang miskin, dan demikian juga kaum India.
Kritik dan protes berterusan
hingga ke hujung tempoh DEB yang
berakhir pada tahun 1990. Pada
era pasca DEB kita dapat menyaksikan kesan dan implikasi dasar tersebut terutama terhadap matlamat perpaduan
kaum. Yang jelas DEB yang menyasarkan
peningkatan pemilikan saham modal Melayu
menjadi 30%, hanya mampu mencapai 19%
(atau 22% menurut satu taksiran lain).
Sebahagian masyarakat Melayu memang begitu terobsesi dengan DEB sehingga
beranggapan bahawa apa pun yang mereka capai adalah kerana DEB, lalu mereka menuntut penerusan dasar yang pro-Melayu itu. Di pihak lain, timbul tuntutan dari kaum-kaum
bukan Melayu agar kepentingan mereka yang selama ini diabaikan diberi perhatian
khusus. Sementara itu apa jua
ketidakpuasan kaum bukan Melayu yang berkaitan dengan DEB ditanggapi oleh sebahagian masyarakat Melayu
sebagai gugatan terhadap kepentingan
mereka. Ternyata DEB tidak membantu
peningkatan perpaduan nasional.
Salah satu kesan menyolok dari DEB ialah peningkatan
tahap ketidaksamaan (inequality) ekonomi
baik di kalangan sesama kaum Melayu mahupun di kalangan kaum-kaum
lain. Jurang di antara golongan the
have – the have not – the have a lot semakin luas.
Kemiskinan tidak terbasmi,
sementara yang kaya, termasuk
kelompok orang kaya baru tajaan DEB terus menimbun kekayaan tanpa
memperhitungkan caranya, bermoral atau
tidak, dan tanpa kepedulian terhadap masyarakat awam bangsanya. Sementara itu dasar ekonomi ini juga dilihat
sebagai biang keladi mewabaknya pelbagai
gejala fasad -
kronisme, nepotisme, rasuah,
politik wang, pembaziran dan sebagainya.
Gejala yang
tampaknya sudah tidak terkawal inilah
yang menimbulkan protes pelbagai
pihak, Melayu dan bukan Melayu.
Demikianlah realiti pasca-DEB yang meninggalkan tanda
tanya besar tentang sejauh mana dasar ekonomi tersebut dapat merealisasikan
matlamat Rukun Negara, "Mencapai
perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat adil di mana
kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, …"
Perumusan Rukun Negara
adalah usaha penting ke arah pembinaan
bangsa yang terintegrasi dalam perkongsian prinsip dan nilai hidup. Penghayatan prinsip Kepercayaan kepada
Tuhan seharusnya dapat menjelmakan bangsa yang religius dan tamadun
berketuhanan yang segala aspeknya
- politik, ekonomi dan
sosial -
adalah faith based. Prinsip
Kesetiaan kepada Raja dan Negara seharusnya dapat membina bangsa yang terpadu
di bawah naungan raja dalam pengertian al-Imam
al-`adil, dan bersatu dalam baldatun
tayyibah dengan pengertian negara
yang berkeadilan dan berkebajikan. Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan
Undang-undang pula seharusnya dapat membina
bangsa yang tertib, berdisiplin dan bersatu dalam menegakkan keadilan rule
of law; sementara prinsip Kesopanan
dan Kesusilaan seharusnya dapat membina bangsa beretika, berakhlak
mulia, terpadu dalam semangat saling
hormat dan saling menyayangi.
Rukun Negara dengan semangat integratifnya yang
sedemikian bukan sahaja tidak dimasyarakatkan secara berkesan, malah seringkali
pula dilanggar dan diselewengkan.
Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan
tidak diterjemahkan secara konsisten ke dalam dasar dan amalan hidup
berbangsa dan bernegara. Kita belum benar-benar bebas dari pesona model
pembangunan sekular Barat yang membina tamadun tanpa Tuhan (a civilization
without God). Program-program
berunsur maksiat dan amalan yang bertentangan dengan nilai-nilai ketuhanan
terus berleluasa tanpa kawalan yang bererti.
Prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara seringkali diselewengkan
menjadi kesetiaan kepada parti pemerintah.
Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang kehilangan erti hakikinya akibat keruntuhan
institusi kehakiman dan kepolisan.
Prinsip kesopanan dan kesusilaan pula semakin sering dicabul oleh amalan
fitnah, caci-maki, politik samseng dan pelbagai bentuk kebiadaban lainnya.
Perpaduan Ummah dan isu Mentaati Uli 'l-Amri
Akhir-akhir ini telah timbul wacana di sekitar isu
kepatuhan kepada uli 'l-amri.
Ramai yang melihat adanya motif tersirat dan agenda terselubung di
sebalik tema yang pada zahirnya ingin
membawa umat bersatu dengan mematuhi uli 'l-amri. Terlepas dari persoalan motif apa dan untuk kepentingan siapa, kita perlu menyikapi isu ta`at al-umara' secara
ilmiah dan jujur. Tidak siapa pun yang
dapat menafikan perlunya kepatuhan kepada pemerintah demi menghindari
disintegrasi bangsa. Namun kepatuhan
dalam konteks ini harus diletakkan dalam satu pakej bersama komponen-komponen
lainnya, terutama keadilan pemerintah dan syura antara
pemerintah dan rakyat. Apabila segala persyaratan telah
dipenuhi, agama pun mewajibkan ta`at
al-umara' (mentaati
pemerintah) seperti yang di-nass-kan
dalam ayat 59 surah al-Nisa':
يآأيّهاالذين آمنوا أطيعواالله
وأطيعواالرسول وأولى الأمرمنكم
Wahai
orang-orang yang beriman, taatilah Allah,
taatilah Rasul
dan uli 'l-amri (penguasa)
dari
kalangan kamu.
Dalam
kaitan ini perlu ditegaskan bahawa ketaatan kepada pemerintah bukan ketaatan
yang mutlak. Ia adalah taat yang bersyarat:
i. Pemerintah melaksanakan
syari`at, ii. Pemerintah menegakkan
keadilan terhadap rakyat, dan iii.
Pemerintah tidak menganjurkan
rakyat melakukan maksiat.
Ayat al-Nisa' di atas menyebut kata taat dua kali, pertama pada
Allah dan diulang pada Rasul. Ini
menunjukkan ketaatan kepada Rasul adalah mutlak, semutlak ketaatan kepada
Allah. Tetapi kata taat (ati`u)
tidak diulangi ketika menyebut uli 'l-amri. Ini mengisyaratkan ada di antara mereka yang
tidak wajib dipatuhi sebagaimana yang dijelaskan pada ayat pelengkapnya,
فإن تنازعتم فى شيء فردوه إلى الله والرسول
Jika kamu berselisih
tentang sesuatu, rujukkanlah
kepada Allah
(al-Qur'an) dan Rasul (al-Sunnah).
Mengenai
ayat tersebut al-Tayyibiy mengatakan bahawa ia bermasud, "… jika mereka
(pemerintah) tidak melaksanakan kebenaran (al-haqq) jangan patuhi
mereka, dan rujukkan apa yang kamu
perselisihkan itu kepada hukum Allah dan Rasul-Nya". Penjelasan sedemikian selaras dengan
kenyataan Ibn Hajar dalam Fath al-Bari tentang jawapan sebahagian tabiin
kepada sebilangan para penguasa (umara') Bani Umayyah yang menuntut
ketaatan dengan berkata, "Bukankah Allah telah memerintahkan kalian
mentaati kami dalam firman-Nya wa uli
'l-amri minkum? Lalu dijawabnya, "Bukankah ia (ketaatan) telah dicabut
diripada kamu? Ia itu apabila kamu
menyimpang daripada kebenaran dengan firman-Nya, fa'in tanaza`tum fi shay'in farudduhu ila
'Llahi wa r-rasul…". (Abu Faris, Muhammad `Abd al-Qadir, 1984:67-73).
Tidak
sedikit ulama pendukung ketaatan mutlak (kepada pemerintah) yang berhujah
dengan hadith dari Abu Hurayrah r.`a.,
من أطاعنى فقد أطاع الله،
ومن يعصنى فقدعصى الله.
ومن يطع الأمير
فقد أطاعنى، ومن يعص الأمير فقدعصانى
Sesiapa yang taat
kepadaku, sesungguhnya ia telah patuh
kepada Allah, sesiapa yang mengingkariku sesungguhnya
ia telah mengingkari Allah. Dan sesiapa yang mentaati
amir (penguasa) sesungguhnya ia telah mentaati aku, dan
sesiapa yang mengingkari amir, sesungguhnya
ia telah
mengingkari aku.
Mereka menafsirkan hadith riwayat Muslim tersebut
berdasarkan zahir lafaznya yang
seolah-olah membawa maksud kewajipan taat tanpa syarat kepada amir,
semua amir, asal amir, tidak kira
baik atau jahat, adil atau zalim.
Mentaati amir betapa pun sifatnya bererti mentaati Rasul dan seterusnya
bererti juga mentaati Allah. Zahir lafaz hadith tersebut memang membawa
pengertian taat mutlak seperti itu,
tetapi ia bukan satu-satunya hadith tentang isu taat al-umara'. Sebenarnya orang yang sama (Abu Hurayrah
r.`a.) juga telah meriwayatkan hadith
yang sama tetapi dengan perbezaan lafaz
yang mengkhusus dan membatasi kemutlakan
taat kepada amir,
من أطاعنى فقد أطاع الله، ومن عصانى
فقد عصى الله،
ومن أطاع أميرى
فقد أطاعنى، ومن عصى أميرى فقدعصانى.
Sesiapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah
mentaati
Allah; dan sesiapa yang mengingkari aku, sesungguhnya ia
telah mengingkari Allah. Dan
sesiapa yang mentaati amirku
sesungguhnya ia telah
mentaati aku; dan sesiapa
yang
mengingkari amirku, sesungguhnya
ia telah mengingkari aku.
Hadith kedua yang juga diriwayatkan oleh Muslim itu jelas
mengkhususkan ketaatan kepada amir tertentu,
iaitu amir yang dilantik oleh al-Rasul s.`a.w. sendiri (amiri),
dan bukannya asal amir, adil atau zalim.
Andainya kedua-dua riwayat hadith ini dibaca serentak dengan kesimpulan
riwayat kedua membatasi kemutlakan riwayat pertama, isu ta`at al-umara' dapat difahami dan diselesaikan dengan benar.
Sebagai
penjelasan lanjut perlu dicatat bahawa latar pengungkapan hadith tersebut
terkait dengan peristiwa tertentu, iaitu pengangkatan ketua tentera yang
dilakukan oleh al-Rasul s.`a.w. sendiri
untuk memimpin suatu
peperangan. Memang jelas yang
dimaksudkan adalah amir lantikan Rasulullah s.`a.w. dalam konteks peperangan
yang memerlukan tahap kepatuhan yang setinggi-tingginya. Demikian juga dengan ayat ta`at al-umara'
(al-Nisa':59) seperti yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas
r.`a. bahawa latar penurunannya (sabab al-nuzul) terkait dengan `Abd 'Llah ibn hudhafah ibn Qays ibn `Adiy al-Sihamiy
yang diutus oleh al-Rasul s.`a.w. dalam satu ekspedisi ketenteraan.
Hujah
lain yang selalu dijadikan sandaran para pendukung ketaatan mutlak dan sekaligus
pengharaman protes, demonstrasi dan pembangkangan ialah perintah bersabar dalam
hadith yang diriwayatkan dari Ibn `Abbas,
من رأى
من أميره شيئا يكرهه فليصبر، فإنّه من
فارق الجماعة شبرا، فمات،
فميتته جاهلية ــ
رواه مسلم.
Sesiapa yang mendapati ada sesuatu yang tidak disenangi pada
amirnya hendaklah ia bersabar,
kerana sesungguhnya sesiapa
memisahkan diri dari jamaah walau seinci, lalu ia mati,
maka
matinya adalah mati jahiliah.
Yang menjadi persoalan adalah ungkapan "hendaklah ia
bersabar" (falyasbir), sabar terhadap apa? Sabar menerima kezaliman pemerintah dengan tetap taat
kepadanya? Menurut para pendukung
ketaatan mutlak memang demikianlah maksudnya.
Dalam kaitan ini Dr. Muhammad `Imarah memberikan penjelasan bahawa perintah bersabar dalam hadith tersebut
sebenarnya merujuk hal-hal yang tidak disukai oleh manusia seperti perang dan
infaq, bukan hal-hal yang bersifat
pelanggaran syari`at. Mungkin ada
ketikanya pemerintah meminta rakyat
tampil menyertai perang, atau meminta mereka menyumbangkan harta untuk dana pembiayaan sesuatu keperluan. Hal-hal seperti itulah (yang umumnya tidak
disenangi oleh manusia) yang harus disikapi
dengan sabar, patuh dan taat melaksanakan perintah. Mengingkari perintah
dalam situasi seperti itu bererti
terkeluar dari jamaah, dan pemerintah
dalam konteks ini adalah bersama jamaah rakyat. Demikianlah maksud sebenar sabar
dalam hadith tersebut, yang ternyata
jauh dari erti menerima kezaliman dan mentaati pemerintah zalim. Al-makruh (hal yang tidak
disengangi) dalam hadith tersebut adalah sejenis dengan al-makruh yang
disebut dalam ayat 216 surah al-Baqarah:
كتب عليكم القتال وهو كره لكم وعسى أن تكرهوا شيئاوهوخيرلكم،
وعسى أن تحبّوا شيئا
وهو شرلكم، والله يعلم وأنتم
لاتعلمون.
Diwajibkan ke
atasmu berperang, meskipun ia suatu
yang
kamu benci. Mungkin kamu membenci sesuatu, walhal ia
baik untuk kamu; dan
mungkin kamu menyukai sesuatu
walhal ia buruk untuk kamu.
Hanya Allah sendiri yang
Tahu, sedang kamu sebenarnya
tidak tahu.
Al-makruh dalam ayat tersebut
adalah peperangan (al-qital) yang
memang tidak disenangi oleh manusia umumnya (`Imarah, Muhammad,
2004:146-149).
Mengenai pemerintah zalim, Dr.Muhammad `Abd al-Qadir Abu
Faris dalam bukunya al-Nizam al-Siyasiy
fi al-Islam menyatakan bahawa apabila pemerintah melakukan kezaliman dan
penindasan maka ia tidak lagi wajib ditaati.
Dengan demikian tidak wajib mentaati
al-umara' al-ja'irin (pemerintah zalim) kerana kezaliman adalah
maksiat, dan orang zalim adalah orang yang mengingkari Allah dan
Rasul-Nya. Beliau lalu memetik hadith
nabawi riwayat Imam Ahmad dari Anas,
لاطاعة لمن لم يطع الله
Tidak boleh
taat kepada orang yang tidak taat
kepada Allah.
Ternyata
ketaatan rakyat terkait erat dengan keadilan pemerintah. Demikianlah kaitan yang cuba diserlahkan oleh
al-Fakhr al-Raziy dalam penafsirannya terhadap ayat ta`at al-umara' (al-Nisa':59) yang tidak seharusnya dipisahkan dari ayat
sebelumnya (al-Nisa':58) yang
dengan tegas mewajibkan pemerintah memberikan hak kepada yang berhak dan
melaksanakan keadilan terhadap rakyat. (Abu Faris, Muhammad `Abd al-Qadir,
1984:72-73).
Penafsiran
sabar sebagai penyerahan dan kerelaan
terhadap kezaliman pemerintah berlanjut kepada penyifatan kritik, protes dan
aksi pembangkangan sebagai penderhakaan,
dan seterusnya pelabelan para pelakunya sebagai bughah. Persoalan
tentang al-baghy tidak seharusnya
dibawa-bawa ke dalam wacana tentang perpolitikan antara parti dalam ystem demokrasi. Al-Baghiy dalam istilah
fiqh didefinisikan sebagai:
المخالف
للإمام العادل، الخارج عن طاعته بلامتناع عن أداء ما وجب عليه
Orang yang menentang imam yang adil, dan enggan mentaatinya
dengan tidak melaksanakan kewajipannya.
Al-Bughah dengan pengertian pemberontak yang melawan pemerintah yang adil
sebagaimana definisi tersebut memang golongan pelaku kemungkaran dan
pencerobohan berbahaya yang harus diperangi. (Sandaqjiy: 1987:57). Tetapi
golongan penderhaka seperti itu jelas tidak sama dengan pembangkang
dalam politik demokrasi pelbagai parti.
Kehadiran pembangkang dan peranannya dalam sistem demokrasi adalah sah,
baik dari segi undang-undang mahupun dari segi syara'. Tidak hanya sah, malah menjadi suatu
kewajipan keagamaan jika pembangkangan itu dilaksanakan dalam kerangka al-amr
bi al-ma'ruf wa al-nahy `an al-munkar sebagaimana yang disebut dalam ayat
104, surah Ali `Imran. Dalam ulasannya tentang ayat tersebut Zafir al-Qasimiy menyatakan, "Jika mengkritik pemerintah tidak dapat
dilakukan oleh semua orang, maka harus ada segolongan daripada mereka yang
memberikan perhatian berat kepada perkara yang penting ini dalam kehidupan umat, kerana sesungguhnya lafaz minkum membawa
makna sebahagian. Atas dasar ini
pembangkangan (al-mu`aradah) adalah wajib dalam Islam. Dan kerana itu para fuqaha' Muslim
berpendirian bahawa menyuruh kemakrufan dan mencegah kemungkaran atau
pembangkangan adalah fardhu kifayah…" (Balqarad, Abu Ahmad Muhammad, 2007: 35).
Dalam sistem demokrasi dengan segala aturan mainnya yang
disepakati tidak timbul isu al-baghy dengan pengertian merampas kuasa
secara tidak sah. Semua peserta
persaingan dalam sistem demokrasi sepakat menerima konsep penggiliran kuasa
berdasarkan mekanisme pilihan raya.
Semua harus menerima hakikat bahawa pembangkang hari ini boleh menjadi
pemerintah esok, dan demikian pula
sebaliknya parti pemerintah hari ini
boleh menjadi pembangkang
esok. Mereka juga sepakat bahawa mandat
pemerintahan adalah terbatas (lima tahun) dan harus dikembalikan kepada rakyat
dalam tempoh tersebut. Mereka harus
menghormati hak rakyat memberikan mandat kepada mana-mana parti, sama ada membaharui mandat kepada parti yang
telah memerintah atau memberikannya kepada parti yang lain. Perpolitikan antara parti harus dilihat
sebagai persaingan menawarkan khidmat yang lebih baik dalam semangat fa
'stabiqu 'l-khayrat.
Dalam pilihan raya umum semua parti harus sama-sama tampil sebagai parti yang
menawarkan khidmat untuk dipilih oleh rakyat.
Dalam kaitan ini parti yang sebelumnya memegang tampuk pemerintahan
harus tampil sebagai sebuah parti, sama
seperti parti-parti yang lain, dan tidak
boleh tampil sebagai kerajaan, kerana
mandat sebagai kerajaan telah tamat.
Andainya rakyat menolak parti yang telah memerintah sebelumnya, mereka
bukan bughah atau penderhaka.
Justeru yang mereka tolak bukan sebuah kerajaan yang sah, tetapi parti yang telah tamat mandatnya. Mengekal atau mengganti kerajaan dalam sistem
demokrasi berpilihan raya adalah suatu penterjemahan hak rakyat untuk memilih pemerintah yang
mereka redhai. Kerana itu pilihan raya
harus bersih demi mempastikan
keputusannya benar-benar jelmaan hasrat
dan kerelaan rakyat. Justeru, keredhaan rakyat adalah syarat legitimasi
pemerintahan. Demikianlah realisasi makna
al-sha`b masdar al-sultah (rakyat sebagai sumber kuasa) dalam pengertian rakyat yang berkuasa
mengangkat, dan rakyat jugalah yang
berkuasa menurunkan.
Andainya kita ingin komited dalam merealisasikan aspirasi
Rukun Negara untuk "Memelihara satu cara hidup demokratik", maka kita harus sanggup menjadi manusia
demokrat yang jujur, menghormati
kepelbagaian, termasuk kepelbagaian parti politik dengan segala ragam aliran
pemikirannya. Parti-parti politik
harus sanggup kalah dalam pilihan raya
demi memenangkan prinsip dan idealisme
demokrasi. Cara hidup demokratik aspirasi Rukun Negara jangan dikhianati
dengan sikap dan perilaku yang tidak demokratik, sanggup melakukan apa sahaja, yang penting
menang! Walaupun dengan menginjak-injak nilai, norma dan aturan main demokrasi yang
sihat. Sikap dan perilaku curang dan
tidak demokratik itulah yang akan mengakibatkan disintegrasi bangsa.
Pembinaan Bangsa:
Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan
Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan
formula kepelbagaian dalam kesatuan.
Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian
kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan,
kreativiti dan dinamika kemajuan. Bangsa
tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar
peleburan. Tidak ada golongan yang rela
jati dirinya dilebur. Kebinekaan atau keragaman budaya tidak menjadi masalah, andainya ia diletakkan dalam bingkai keekaan
atau kesatuan. Formula kepelbagaian
dalam kesatuan adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatu 'Lah. Tema inilah yang dihuraikan dengan cukup
menarik oleh Dr.Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa
al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa
al-Tanawwu` fi Itar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai
Kesatuan). Segala kewujudan yang kita
saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian
dalam kesatuan -- keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk
ciptaan-Nya; kesatuan keinsanan dengan
kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya;
kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya; kesatuan syari`at dengan kepelbagaian fiqh, mazhab dan ijtihadnya.
Fitrah sunnatu 'Llah berupa kepelbagaian dalam bingkai kesatuan itulah yang
diaplikasikan oleh Rasulullah s.`a.w. dalam pembinaan ummah negara Madinah
sebagaimana yang tercermin dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah, sebuah perlembagaan yang dilatari
kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya. Lewat Sahifah tersebut Rasulullah s.`a.w. telah membentuk ummah: ummah diniyyah (umat keagamaan) dan ummah siyasiyyah (umat
politik). Ummah diniyyah
bersifat eksklusif dan terbatas hanya untuk kaum Muslimin (annahum
ummatun wahidatun min duni 'n-nas), sementara ummah siyasiyyah bersifat
inklusif meliputi kaum Muslimin dan orang Yahudi (wa anna Yahuda Bani `Awf ummatun ma`a
'l-Mu'minin). Kata kunci dalam
ungkapan pembentukan ummah politik ini
ialah kata ma`a (bersama) iaitu orang Yahudi bersama kaum Muslimin
membentuk satu umat (umat Madinah).
Ungkapan ma`a al-Muslimin (bersama
kaum Muslimin), bukan min al-Muslimin (sebahagian daripada kaum
Muslimin), bererti bahawa masyarakat
Yahudi tidak menjadi bahagian daripada umat (keagamaan) Islam, tetapi
menjadi bahagian daripada umat (politik) Madinah bersama dengan umat Islam.
Peruntukan dalam Sahifah tersebut jelas memberikan status kewarganegaraan
penuh (al-muwatanah al-kamilah)
kepada masyarakat Yahudi. Sebagai warga umat dan negara Madinah status,
hak dan tanggungjawab mereka sama dengan umat Islam. Mereka bukan warganegara kelas dua. Persamaan
hak dan tanggungjawab tersebut dicatat dengan ungkapan li al-Yahud dinuhum wa li al-Muslimin
dinuhum (Yahudi dengan agama mereka, dan kaum Mukminin dengan agama
mereka). Ertinyanya perlembagaan ini
memberikan hak kebebasan beragama dan membenarkan para penganut pelabagai agama
mengamalkan agama masing-masing dan mengekalkan jati diri keagamaan
masing-masing. Persamaan tanggungjawab
pula dicatat dengan ungkapan wa anna al-Yahuda yunfiquna ma`a al-Mu'minin
madamu muharibin (masyarakat Yahudi dan kaum Mukminin sama-sama
membiayai peperangan apabila negara
Madinah diserang). Hak dan tanggungjawab
yang sama juga diberikan kepada kabilah-kabilah Arab yang ikut menjadi warga Sahifah
Madinah. Persamaan hak dan
tanggungjawab kewarganegaraan antara Muslim dan bukan-Muslim itulah yang
kemudiannya terumus dalam prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka
berhak mendapat apa yang kita dapat, dan
memikul tanggungjawab yang sama kita pikul)
Demikianlah antara yang tercermin dalam Sahifah Madinah, sebuah perlembagaan Islami yang
disemangati kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar
al-wihdah).
Dhimmiy atau Warganegara?
Terdapat anggapan
bahawa Sahifah Madinah tidak dapat dijadikan model sebuah negara
yang moden, lengkap dan terperinci.
Memang perlembagaan nabawi tersebut tidak digubal untuk tujuan itu. Bagaimanapun ia tetap relevan sebagai contoh
penterjemahan prinsip dan nilai kenegaraan al-Qur'an ke dalam bentuk sebuah
perlembagaan sesuai dengan realiti zaman dan lingkungan. Yang perlu dilihat bukan rinciannya, tetapi prinsip-prinsip dan nilai-nilai
dasarnya. Dengan demikian Sahifah
Madinah tetap relevan sebagai acuan
menangani masalah pluralisme masyarakat,
termasuk isu persamaan status, hak dan tanggungjawab kewarganeraan
antara Muslim dan bukan-Muslim.
Perlembagaan nabawi itulah yang menjadi rujukan Dr.Fathi Osman ketika
membahaskan isu tanggungjawab warga bukan-Muslim dalam pertahanan negara. Katanya,
"The military service may have some religious character for
Muslims, but it meanwhile signifies national defense for nonMuslims. NonMuslims were allowed
to share with Muslims the responsibility
of defending Medina in the Prophet's
Constitutional document which he drew up just after his migration there.
This did not particularly work, but it cannot affect the validity of the
principle." (Fathi Osman,
2002:153). Tentunya dari semangat Sahifah Madinah jugalah
beliau mendapat keberanian mendukung prinsip
persamaan penuh (full equality) Muslim dengan bukan-Muslim dari
segi hak dan tanggungjawab,
I do not think Muslims
have any legal problem with regards
to full equality with
non-Muslims in rights and obligations.
What emerged as the
status of "dhimmis" (non-Muslims within
the Muslim state) was
historically developed rather than built
in
the permanent laws of
the Qur'an and Sunnah.
Many
scholars, including the Westerners, admit that the status of
non-Muslims in the
Muslim world during
the Middle Ages,
was better than
what the Jews or other
religious minorities
received in
the Christian countries
in those ages.
The
important question is: Are Muslims now ready to go further
to secure and sanction full
equality for the non-Muslim with
them in a contemporary
Islamic state? When reservations and
"ifs" and
"buts" are raised,
how can Muslims expect
that
non-Muslims would
be convinced of,
or be loyal to,
the
concept of
Islamic state, while they are offered full equality
without reservations in a
secular democracy? (Fathi Osman,
2002:152).
Perbincangan
tentang kewarganegaraan orang
bukan-Islam selalu dikaitkan dengan status dhimmiy yang terkesan tidak
disenangi oleh masyarakat bukan-Islam. Sebenarnya telah ramai ulama dan sarjana Muslim yang
menganggap pengkategorian tersebut sudah tidak relevan lagi. Status
dhimmiy pada hakikatnya tidak membawa pengertian negatif warganegara kelas dua. Ia lebih membawa makna jaminan umat Islam
untuk melindungi warga bukan-Islam dari sebarang bentuk penindasan. Bagaimanapun dari segi hukum fiqh tidak ada
halangan menggugurkan istilah dhimmiyyun untuk digantikan dengan istilah
muwatinun. Dr. Yusuf al-Qaradawiy
mengatakan bahawa para fuqaha' silam
umumnya menganggap kaum dhimmiy sebagai ahl al-dar (warga
negara Islam) yang bererti mereka bukan
orang asing. Jika demikian mereka
sebenarnya adalah ahl al-watan dan seharusnya disebut muwatinun sama
seperti warga Muslim. Seterusnya
al-Qaradawiy menyarankan agar istilah-istilah tertentu dalam sejarah masa lalu
seperti dhimmah dan ahl dhimmah dipadam sahaja dari kamus masa
kini kerana tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam. Beliau berhujah bahawa Khalifah `Umar ibn
al-Khattab r.`a. telah bersetuju memadam istilah yang lebih penting iaitu jizyah
apabila kaum Nasrani Bani Taghlib meminta agar ia digantikan dengan istilah
sadaqah. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 2010:40-42). Dari segi realitinya status dhimmiy sudah
tidak ada sejak abad 19 (zaman Turki `Uthmani).
Mengenai
fakta ini Al Ghunaimi menyebut, "When
sultan Abdel Majid issued the Khatti-Sherif of Gulhane, in 1839,
proclaiming the principal of equality between the Muslims and the Christians,
the classical legal status of the dhimmis, presumably, was to disappear." (Al Ghunaimi, Mohammad Talaat,
1968:213).
Pendidikan
Wahana Integrasi Bangsa
Bagi
rantau ini kepelbagaian dan kemajmukan sudah menjadi bahagian daripada sejarah
dan kebudayaannya. Hampir semua agama
dan tamadun besar dunia -- Islam, Kristian, Hinduisme, Buddhisme, Konfusianisme --
telah hadir dan hidup berdampingan dengan harmonis selama
berabad-abad. Keunikan rantau ini
sebagai daerah terkaya dengan pengalaman dialog ketamadunan memberikan
harapan dan optimisme kemampunan membina
kesatuan bangsa berlandaskan kalimatin sawa' dalam pengertian
perkongsian suatu set nilai yang disepakati.
Pembinaan bangsa berasaskan nilai-nilai bersama sudah
pasti memerlukan mekanisme yang berkesan.
Untuk itu pendidikan merupakan wahana nation building yang
terbaik. Justeru, esensi pendidikan tidak lain adalah the transmission of
values atau pemindahan nilai dari generasi ke generas. Nilai-nilai yang diwariskan itulah yang
membentuk watak bangsa. Dalam konteks
negara kita, Falsafah Pendidikan
Kebangsaan adalah pencitraan watak bangsa yang
diaspirasikan, "…rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara." Yang
selalu dipermasalahkan ialah soal sejauh mana kepedulian kita terhadap falsafah
tersebut? Apakah seluruh komponen
pendidikan -- kurikum, buku teks, pengajaran dan
pembelajarannya mendukung matlamat pembinaan watak bangsa seperti yang dicitrakan? Yang jelas obsesi pendidikan kita lebih
tertumpu pada pencapaian prestasi akademik dan pembinaan kemahiran, tanpa perhatian yang secukupnya pada aspek
pembinaan watak. Seorang penuntut yang
membaca falsafah pendidikan tersebut akan berasa dirinya terkeluar dari
kelompok manusia yang bercitra seperti itu.
Baginya manusia yang dicitrakan dalam Falsafah Pendidikan Negara itu
adalah sejenis makhluk asing.
Mewaspadai Gejala Disintegrasi
Fenomena mutakhir
dalam sejarah perkembangan masyarakat majmuk di Malaysia mengisyaratkan tumbuhnya kesedaran tentang idealisme dan aspirasi bersama yang merentasi
persempadanan kaum. Mereka mulai
bersatu memperjuangkan nilai-nilai
kemanusiaan, keadilan, demokrasi
dan integriti. Mereka bersatu melawan
gejala kebejatan: kezaliman, diskriminasi, rasuah, kronisme, pembaziran, penipuan dan
kecurangan. Sebuah parti politik
pelbagai kaum muncul sebagai suatu
kekuatan baru yang tidak boleh diremehkan.
Segala perkembangan tersebut memang membawa erti dan implikasi besar
terhadap eksperimen menangani pluralisme di negara ini. Namun cabaran-cabaran yang harus
dihadapi tidak sedikit dan tidak
kecil. Masa depan eksperimen penting
ini akan banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kewibawaan para pemimpinnya
dalam membina wawasan dan gagasan nasional
yang kuat, realistik dan meyakinkan.
Kegagalan memupuk persefahaman, toleransi dan pendewasaan politik di
kalangan warga parti-parti yang
berkaitan akan menjadikan fenomena ini suatu perkongsian rapuh yang hanya
didasari perkiraan-perkiraan politik pragmatik semata-mata.
Demikian perkembangan yang berlaku di satu pihak, sementara di pihak lain kita menyaksikan
usaha memperlihatkan komitmen membina kesatuan bangsa. Di mana-mana ada slogan, simbol dan retorik serba satu. Tetapi pada masa yang sama timbul pula gejala disintegrasi bangsa: membangkitkan semangat perkauman, menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan
masyarakat tertentu, mengungkit-ungkit
tragedi ngeri 13 Mei, mengusung
"fatwa" sembrono menghukum
segolongan rakyat sebagai kafir harbiy, membiarkan, kalaupun tidak
menggalakkan, tindakan-tindakan liar dan
provokatif, kekerasan, keganasan dan kebiadaban. Mudah-mudahan rakyat Malaysia cukup cerdas
dan bijaksana menafsir dan menyikapi gejala baru: politik pecah-perintah dan perintah memecah.
Semoga Allah berkenan mengurniakan kita petunjuk dan
kekuatan menjayakan eksperimen besar pembentukan
bangsa berasaskan acuan Perlembagaan Madani:
kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
Rujukan
Abu Faris, Muhammad `Abd al-Qadir. 1984. Al-Nizam al-Siyasiy fi al-Islam.
Beirut:
Dar al-Qur'an al-Karim.
Al Ghunaimi, Mohammad Talaat. 1968.
The Muslim Conception of International
Law and Western Approach. The Hague: Martinus Nijhoff.
Al-Qaradawiy,
Yusuf. 2010. Al-Watan wa al-Muwatanah. Kaherah:
Dar al-Shuruq.
Balqarad,
Abu Ahmad Muhammad. 2007. Mafhum al-Hizbiyyah al-Siyasiyyah wa
Hukmuha fi al-Islam.
Al-Mansurah: Dar
al-Kalimah.
Huwaydiy, Fahmiy.
1999. Muwatinun la
Dhimmiyyun. Kaherah: Dar al-Shuruq.
`Imarah,
Muhammad. 2004. Al-Islam wa Huquq al-Insan: Darurat…La Huquq
. Kaherah: Dar al-Salam.
--------------------------- 2008. Al-Islam
wa al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa al-
Tanawwu` fi Itar al-Wihdah.
Kamaruddin Jaffar.
1980. Dr.Burhanuddin
al-Helmiy -- Politik Melayu dan Islam.
Kuala Lumpur: Yayasan Anda.
Osman, Fathi,
2002. Human Rights on the Eye of the 21st Century:
Problem for
Muslim and Others. Dlm. ISLAMIC
MILLENNIUM vol.II, no.3-4,
special
edition . Jakarta: IMFO-AMAN.
Rustam
A.Sani. 2008. Failed Nations?
Concerns of a Malaysian Nationalist.
Petaling
Jaya: SIRD.
Sandaqjiy,
Ibrahim ibn `Aliy (ed.). 1987. Kitab Qatl Ahl al-Baghy min al-Hawi al-
Kabir Ta'lif Abi
al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib al-
Mawardiy. Kaherah: Matba`at al-Madaniy.
Sharifah
Zaleha Syed Hasan & Ong Puay Liu (ed.).
2012. Pluralism in Malaysia
and
Singapore: Essays on Issues and Challenges. Bangi:
Institute of
Ethnic Studies,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siddiq Fadzil, 1995. Pembinaan Bangsa Malaysia: Antara Wawasan Nasional dan
Aspirasi Islam. Kertas kerja Kongres Cendekiawan Melayu
iv.
UKM, Bangi.
KDH:13092012
No comments:
Post a Comment