Sunday, February 22, 2015

PEMBOHONGAN BESAR

Kenapa kita marah? Ini kerana orang yang membawa berita bohong itu golongan kamu juga - Melayu, Muslim, insan dan saudara. (mafhum ayat daripada surah al nur 11)

Lagipun "projek" tuduhan palsu, qazaf, zina, salahlaku moral untuk kesekian kalinya ini cuba memperbodohkan rakyat, memperlecehkan orang Melayu, menghina agama Islam serta mengalihkan tumpuan dan keutamaan daripada agenda mengangkat martabat umat. Padahal misi suci umat adalah sepatutnya mengimarah dan mengislah, memanfaatkan dan membahagiakan, pencerahan dan pencerdasan umat manusia bukan menyebar kebejatan dan kegelapan hati dan membenamkan jiwa.

Mungkinkah kejahilan atau kedangkalan ilmu terhadap seerah riwayat hidup Rasulullah s.a.w. menyebabkan umat Islam tertipu dan keliru dalam menentukan pendirian apabila berdepan dengan sesuatu isu berkaitan maruah Islam dan umatnya. Ditambah lagi dengan serangan pemikiran bertubi-tubi yang dilancarkan oleh golongan munafiqin yang menjadi duri dalam daging tanpa disedari.

Seerah (riwayat hidup Rasulullah s.a.w.) mengkisahkan tentang peristiwa dalam perjalanan pulang daripada peperangan ghazwah Banu al Mustaliq ke Madinah dinamakan peristiwa hadith al-ifki yang merupakan ujian terhebat yang pernah menimpa maruah ahlul bait keluarga Rasulullah s.a.w. dan umat Islam dalam sejarah. Semua ini hasil propaganda golongan munafiqin dan juga sebahagian muslimin yang terpedaya dengan hawa nafsu serta tidak berhati-hati menerima sebarang berita yang tidak pasti. Sehinggalah wahyu turun bagi membersihkan nama keluarga Rasulullah s.a.w., menetapkan hukum, menyelamatkan serta membetulkan umat.

Umat Islam ditanya kenapa pada waktu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan mengapa tidak berkata : “ Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”. (al nur 12)

Kemudian kita dapat ransangan pula bahawa dengan tekanan fitnah dan mehnah ini maka kita perlu sedar, bangkit, lawan kejahatan, seru kepada kebaikan, cegah kemungkaran dan kita perlu bangun bersama membetulkan keadaan. Ada asasnya, ada pedoman al Qur'an dan al Sunnah bagi menyemarakkan perjuangan untuk keadilan. Kita sebenarnya tidak nampak akan hikmah iaitu Allah swt sahaja Maha Mengetahui - Jangan kamu menyangka bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu. (al nur 11)

Oleh itu, eloklah kita saling berpesan-pesan kepada saudara mara dekat dan jauh, rakan dan kawan, masyarakat dan umat agar berusaha menjauhi dan mencegah fitnah ini demi kesejahteraan semua. Jika tidak, maka bermula daripada perancang utama, pembesar pembawa cerita, pemberita sampai ke juru gosip, tukang sembang, jurucatat, pembisik-pembisik, pengangguk-pengangguk semua terpalit dosa. Tiap-tiap seorang akan mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyebaran berita bohong ini, baginya azab yang besar. (al nur 11)

Bila diminta untuk dihadapkan semua ini kepada keadilan shariah Islam, semua yang terlibat berpakat menolak dengan serba alasan. Shariahlah sepatutnya menjadi benteng bagi memastikan pelaksanaan keadilan dan menegakkan kebenaran Islam. Mereka yang menolak keadilan sistem shariah, maka jelas adalah pendusta dan pembohong belaka. Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi,maka mereka itulah di sisi Allah swt orang-orang yang dusta. (al nur 13)

Kemudian ada yang masih menganggap tuduhan-tuduhan keji dan liar ini dosa kecil atau remeh sahaja tanpa sedar betapa besar implikasinya. (Ingatlah ) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan apa yang kamu tidak ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja. Padahal ia di sisi Allah swt adalah besar.(al nur 15)

Kita lihat orang-orang yang mulia, tokoh-tokoh agama, orang awam yang celik hati dan pencinta keadilan akan segera menolak fitnah jahat ini kerana keimanan, ketaqwaan dan keinsanan. Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu, : “ Sekali-kali tidak wajar bagi kita memperkatakan hal ini. Maha Suci Engkau Ya Tuhan kami, ini adalah dusta yang besar. (al nur 16)

Ada pengajaran besar daripada dulu hingga sekarang sampai selamanya peristiwa ini dan sekali lagi kita mesti berserah kepada Allah swt. Allah swt memperingatkan kamu agar (jangan) kembali memperbuat yang seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman. Dan Allah swt menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah swt Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (al nur 17)

Ada yang sewewenangnya terlibat dalam konspirasi jahat mungkin merasakan komplot, rangkaian, pengaruh, kuasa dan institusi semuanya dalam tangan boleh dibeli, disogok, dirasuah, dipaksa, dikawal dan ditundukkan tanpa sebarang kebimbangan. Mereka diberi amaran keras. Bagi orang-orang yang ingin agar berita perbuatan yang amat keji itu tersebar bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat kerana Allah swt mengetahui sedang kita tidak mengetahui. (al nur 19)

Ada yang jahil dan meminta-minta, mendesak supaya bersumpah sampai ada yang merasa bangga dengan laungan lafaz sumpah semata-mata. Hampir-hampir perbuatan ini mencabar takdir seolah-olah menginginkan instant retribution - pembalasan segera. Ada yang sanggup ke masjid tempat ibadah yang suci bagi mengeluarkan kata-kata kesat lafaz sumpah seolah-olah berdabik dada menunjukkan tiada perasaan ketakutan atau rasa bersalah. Ada yang berdabik dada akan bersumpah di kota suci Makkah. Ada yang mencabar supaya diturunkan azab, meremehkan amalan doa serta mempersoalkan solat hajat. Padahal semua terlupa kerana sekiranya bukan kerana kurnia Allah swt dan rahmatNya kepada kita semua, nescaya kita ditimpa azab yang besar. (al nur 14 dan 20)



RUJUKAN:

Peristiwa Hadithat al Ifk boleh di rujuk pada al Qur'an - Surah An Nur 11-21 dan Hadith-Hadith sahih.

Rujukan baik tentang peristiwa ini, sila lihat http://alhafizah.blogspot.com/2008/10/hadith-ifki-analisa-hukum-dan.html


http://wadahutara.blogspot.com/2013/03/dr-siddiq-fadil-hadithat-al-ifk-fitnah.html

1 comment:

Mr M ATAR said...

izinkan saya baca dan cetak