P Ramlee telah berkata supaya
jangan mengguna dadu lebih tiga kali pada adegan filem Ali Baba Bujang Lapok.
Lebih daripada tiga kali dadu dibaling akan berlaku pecah tembelang. Segala
kelentong dan temberang akan terdedah. Begitulah jenaka dan seloroh tentang
pembohongan Ali Baba dan perompak jalanan.
Program penjelajahan fitnah and
qazaf mungkin tidak menyedari tentang
petua penipuan Ali Baba dan angkatan penyamun tarbusnya. Maka penganjur,
penyampai dan peserta menerima pelbagai kecaman dan hamunan, melalui pesanan
ringkas sampai ke alam maya hinggalah ke akhir mereka nanti di langit dan di
bumi. Mereka dikutuk sebagai bermoral rendah, korup, jahat dan tidak
berperikemanusiaan. Begitulah kebencian orang kepada ahli maksiat dan pendokong
kebejatan.
Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan)
menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan
amalannya),
Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk
memecah belahkan orang ramai), -
Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar
hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa, -
Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.
Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia
mendustakan ugama Kami)? (Al Qalam ayat 10 - 14 )
Penjelajahan fitnah ini menimbulkan
banyak persoalan dan keraguan. Mungkin itulah hikmah shariah mensyaratkan
kesaksian empat orang yang adil bukan keciciran percikan DNA, belitan CCTV atau
manipulasi forensik perubatan.
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan
tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka
mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. (An-Nuur
24:13)
Tidakkah mereka sedar atau ingat
bahawa umat Islam tidak akan menerima berita atau keterangan atau saksi
daripada orang fasik. Ini ingatan kitab suci al Qur'an. Orang jahat tidak ada
tempat di sanubari orang beriman.
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -
dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali
apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat 49:6)
Mereka mengaibkan orang dan
terlupa tentang perumpamaan seolah-olah mereka memakan daging saudara mereka
sendiri. Betapa buruknya perbuatan.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum
lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus
puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu
puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang
lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)
sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujuraat 49:11)
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan
(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat
setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging
saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu
kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha
mengasihani. ((Al-Hujuraat 49:12)
Mereka menghina orang,
keluarganya serta masyarakat dan tidak sedar bahawa manusia ada karamah
kemuliaan insan. Rasulullah s.a.w. berpesan pada khutbah perpisahannya menyeru
umat memelihara darah dan kehormatan sesama insan. Ayat menyeru ke arah
keadilan dan kebaikan menjadi bacaan
tetap khatib-khatid di penghujung khutbah sebagai pesanan kepada jemaah yang
sedar dan celik maknanya.
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah
beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami
telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta
Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk
yang telah Kami ciptakan. (Al-Israa' 17:70)
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, (Al
Nahl 16:90)
Mereka fikir dosa yang mereka
lakukan itu kecil tetapi terlupa betapa besarnya ia di sisi Allah s.w.t. serta
pasti menerima balasan.
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan
lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak
mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara
kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (An-Nuur
24:15)
Marilah kita pesan memesan supaya
berpegang teguh kepada iman dan ihsan, beristiqamah serta menambahbaik amalan.
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi
kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami
(yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya
(pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya. (Al Ankabut 29:69)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula
berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-'Asr
103:3)
Dengan cahaya iman kita tidak
akan terpedaya dengan sandiwara jalanan.
No comments:
Post a Comment