الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومَن اتبع
هداه، وبعد:
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam keatas Rasulullah ﷺ serta ahli keluarganya dan para sahabatnya
beserta mereka yang mengikuti petunjuk yang dibawa baginda.
Kami di Kesatuan Ulama Sedunia amat kesal dengan tahap getir
dan keadaan parah yang sedang dialami oleh umat Arab dan Islam. Penduduk Ghutah
di timur Damsyik dibunuh beramai-ramai
dengan senjata serta cara yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Peristiwa
ini didalangi oleh rejim zalim Syria beserta pihak-pihak luar yang bersekongkol
dengan mereka yang terdiri daripada Rusia serta sekutu yang mempunyai
kepentingan tersendiri. Mereka yang terkorban itu adalah rakyat Syria, rakyat
Arab, orang Islam, rakyat biasa yang tidak bersenjata, dan di kalangan yang
terkorban terdiri daripada kanak-kanak, wanita, dan warga tua. Ratusan terbunuh
setiap hari, dan rumah-rumah dihancurkan serta bangunan-bangunan runtuh
menghempap penghuni-penghuninya. Tiada yang tampil sebagai penyelamat mereka,
tiada yang dapat mengeluarkan mereka dari tragedi ini, bukan kita dan bukan
selain kita, tiada tempat untuk meminta pertolongan kecuali kepada Allah swt.
Mereka yang ikhlas di kalangan umat ini beserta mereka yang
masih mempunyai saki baki sifat kemanusiaan hanya mampu mengutuk dan mencela, meluahkan
perasaan marah dan berdoa ke atas pelaku jenayah yang keji ini, yang telah
melakukan massacre (al-majzarah al-murawwa’ah al-mustamirrah)
pembunuhan beramai-ramai yang sangat mengerikan lagi berterusan hingga ke saat
ini.
Sesungguhnya Islam sememangnya mengiktiraf dan mengangkat nusratal
mazlum yakni tindakan menolong orang yang dizalimi dan menolong mereka yang
lemah serta mencegah kezaliman yang dilakukan penzalim sebagai sesuatu yang
wajib dalam hukum syarak, bahkan ianya juga wajib dari sudut akhlak setiap
agama dan bagi setiap masyarakat yang terbina atas nilai-nilai murni dan mulia
yang memelihara harkat tertinggi tidak kira samada yang dizalimi itu Muslim
atau bukan Muslim. Allah swt berfirman :-
فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ
يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّنْ أَنْجَيْنَا
مِنْهُمْ ۗ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا
مُجْرِمِينَ
“Maka mengapa tidak ada dari umat-umat
yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada
(mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara
orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang
zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka
adalah orang-orang yang berdosa” (Surah Hud ayat 116)
Al-Barra’ ibn ‘Azib r.a., seorang sahabat Rasulullah ﷺ pernah
meriwayatkan bahawa baginda ﷺ memerintahkan
para sahabat untuk menolong orang yang dizalimi.
Maka kami dari Kesatuan Ulama Sedunia ingin menekankan dan
menegaskan perkara-perkara berikut:-
1- Kami amat menghargai perjuangan dan terharu serta
menyokong dengan ketabahan dan kecekalan rakyat Syria. Kecekalan inilah juga telah
diperjuangkan oleh bangsa Syria pada zaman dahulu ketika rejim Mongol yang
zalim mengganas dan menindas mereka pada waktu rakusnya tentera Mongol
melakukan penganiayaan tanpa mempedulikan atau ada sebarang keprihatinan
terhadap syarak, undang-undang mahupun perjanjian antara negara dan kerajaan.
2- Kami menyeru kerajaan-kerajaan negara-negara Arab dan
kerajaan-kerajaan negara Islam serta masyarakat antarabangsa untuk bergerak dan
bertindak dengan segala daya upaya demi menghentikan penyembelihan ganas ini dan
menyelamatkan rakyat yang menderita itu daripada terus terkorban dan berhadapan
dengan kehancuran rumah dan bangunan serta dan dihalau keluar dari tempat
tinggal mereka secara paksa.
3- Kami menyeru seluruh rakyat Arab, dan orang Islam serta
setiap individu untuk bangun dan tampil menyatakan perasaan mereka dengan menggunakan
segala kemampuan mereka demi membantah penyembelihan ini serta menggesa dihentikan
tragedi pedih ini.
4- Kami gusar dengan keasyikan dan kesibukan rakyat Arab
dengan perkara-perkara kecil dan sia-sia serta perpecahan antara kerajaan
negara Arab, perpecahan di antara kerajaan negara Islam dan konflik sesama
mereka. Kami juga kecewa dengan kebisuan
masyarakat antarabangsa dan negara-negara kuasa besar kerana mereka mampu
menghentikan penyembelihan dan pembunuhan ini.
اللهم إليك نشكو ضعف قوتنا، وقلة حيلتنا، وهواننا على الناس، اللهم
منزل الكتاب، ومجري السحاب، وهازم الأحزاب، اللهم اهزمهم وانصرنا عليهم
Ya Allah hanya padaMu kami mengadu akan kelemahan kami,
betapa sedikitnya kemampuan kami, betapa hinanya kami pada pandangan manusia.
Ya Allah, Engkaulah yang menurunkan al-Kitab, Engkaulah yang menggerakkan
awan-awan, Engkaulah yang mengalahkan tentera al-Ahzab, Ya Allah tewaskanlah
mereka dan menangkanlah kami keatas mereka!
Setiausaha Agung
Dr. Ali al-Qurrah Daghi
Presiden
Dr. Yusuf al-Qaradawi
Kesatuan Ulama Islam Sedunia
الإتحاد العالمي لعلماء المسلمين
Terjemahan dari teks asal Kesatuan Ulama Sedunia, teks asal
di link http://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=8342
No comments:
Post a Comment