MAFHUM AYAT
Nota Usrah Wadah Pencerdasan Umat
PERINGATAN KEPADA BANI ADAM :
Pengajaran Ayat 35-42 Surah Al A’raf
MAFHUM AYAT
Wahai anak cucu Adam! Jika datang
kepadamu rasul-rasul dari kalanganmu sendiri, yang menceritakan ayat-ayat-Ku
kepadamu, maka barang siapa yang bertakwa dan mengadakan perbaikan, maka tidak
ada rasa takut kepada mereka, dan mereka tidak bersedih hati [35].
Tetapi orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombong diri terhadapnya, mereka itulah
penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya [36].
Siapakah yang lebih zalim dari
orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah atau yang mendustakan
ayat-ayat-Nya? Mereka itu akan memperoleh bahagian yang telah ditentukan dalam
Kitab sampai datang para utusan (malaikat) Kami kepada mereka untuk mencabut
nyawanya. Mereka (para malaikat) berkata, “Manakah sembahan yang biasa kamu
sembah selain Allah?” Mereka (orang musyrik) menjawab, “Semuanya telah lenyap
dari kami.” Dan mereka memberikan kesaksian terhadap diri mereka sendiri bahawa
mereka adalah orang-orang kafir [37].
Allah berfirman, “Masuklah
kamu ke dalam api neraka bersama golongan jin dan manusia yang telah lebih
dahulu dari kamu. Setiap kali suatu umat masuk, dia melaknat saudaranya,
sehingga apabila mereka telah masuk semuanya, berkatalah orang-orang yang
(masuk) belakangan (kepada) orang yang (masuk) terlebih dahulu, “Ya Tuhan kami,
mereka telah menyesatkan kami. Datangkanlah siksaan api neraka yang berlipat
ganda kepada mereka.” Allah berfirman, “Masing-masing mendapat (siksaan) yang
berlipat ganda, tapi kamu tidak mengetahui.” [38].
Dan orang-orang yang (masuk)
terlebih dahulu berkata kepada yang (masuk) belakangan, “Kamu tidak mempunyai
kelebihan sedikit pun atas kami. Maka rasakanlah azab itu kerana perbuatan yang
telah kamu lakukan.” [39].
Sesungguhnya orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombong diri terhadapnya, tidak akan
dibukakan pintu-pintu langit bagi mereka. Dan mereka tidak akan masuk syurga
sebelum unta masuk ke dalam lubang jarum. Demikianlah kami memberi balasan
kepada orang-orang yang berbuat jahat [40].
Bagi mereka tikar tidur dari api
neraka dan di atas mereka ada selimut (api neraka). Demikianlah Kami memberi
balasan kepada orang-orang yang zalim [41].
Dan orang-orang yang beriman
serta mengerjakan kebajikan, Kami tidak akan membebani seorang melainkan
menurut kesanggupannya. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya
[42].
Al-A’raf 7.
PENGAJARAN
PENGAJARAN
1 Allah (swt) mengingatkan manusia supaya memberi
tindak balas positif terhadap pengutusan para rasul yang menyampaikan
risalah kebenaran (ayat-ayat Allah). Dua sikap dituntut dari manusia
terhadap seruan para rasul iaitu bertaqwa kepada Allah (swt) dan membuat
perbaikan-perbaikan (melakukan islah) dalam masyarakat (fa-manit-taqa wa
as-laha). Bertaqwa ialah membangun hati dan jiwa yang sentiasa
takutkan Allah (swt), disertai rasa bimbang tentang nasib yang bakal ditempuh
di Hari Akhirat. Dengan kesedaran-kesedaran demikian dia (manusia) memelihara
diri dari syirik dan dosa besar dan sedaya upaya berusaha mengelak diri dari
melakukan dosa-dosa kecil. Membuat perbaikan-perbaikan ialah melakukan islah
melalui gerak kerja dakwah, al-amr bil ma’-ruf, al-nahy `anil-mun-kar dan jihad fi sabi-Lillah. Allah
(swt) memberi jaminan bahawa Dia akan menghilangkan dari diri mereka rasa
takut (la khau-fun `alay-him) ketika berdepan dengan kegoncangan
Hari Kiamat nanti dan juga menghilangkan rasa sedih (wa laa hum yah
za-nuun) kerana berpisah meninggalkan kehidupan dunia.
2 Mereka yang memberi respons negatif terhadap
pengutusan para rasul adalah mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah (swt)
dan menyombong diri terhadap-Nya (wal-lazi-na kaz-za-buu bi
aa-yaa-tina was tak-baruu). Mereka adalah orang-orang yang enggan beriman
dengan ayat-ayat Allah (swt) dan enggan menerima hujjah yang dikemukakan oleh
para rasul. Mereka menyombong diri dengan menolak kebenaran sekalipun didokong
dengan bukti yang jelas dan terang. Mereka juga sombong kerana enggan untuk
tunduk merendah diri, mengabdi diri kepada Allah (swt). Allah (swt) menegaskan
bahawa tempat yang layak bagi mereka (yang membantah dan menyombong diri
ini) ialah neraka jahannam dan mereka kekal diazab di dalamnya selama-lamanya.
3 Tidak ada kezaliman yang lebih besar dari
perbuatan berbuat bohong terhadap Allah (swt) dan mendustakan
ayat-ayat-Nya. Mereka yang berbuat demikian (berbuat dusta dan berbohong)
telah melakukan kesalahan paling besar terhadap Allah (swt), sedang Dialah yang
mencipta diri mereka dan mencipta seluruh alam. Dialah juga memberi mereka
segala keperluan untuk mereka hidup. Mereka berdusta dengan menuduh-Nya
mempunyai anak atau Dia diperanakkan. Mereka menuduh Allah (swt) miskin sedang
kononya mereka kaya. Mereka juga menolak ayat-ayat Allah (swt) yang diwahyukan
dan menganggapnya sebagai dongeng yang direka-reka. Mereka memilih untuk
menyembah selain dari Allah (swt) atau menganggap ada kuasa yang lain yang
setanding dengan-Nya. Semua kebohongan dan dusta akan hilang dan tersingkap
dengan jelas saat mereka dicabut nyawa oleh malaikat. Mereka sendiri menjadi
saksi atas kebohongan dan pendustaan yang dibuat selama ini. Namun saat
untuk kembali ke jalan yang benar sudah tertutup.
4 Mereka yang mendustakan ayat-ayat
Allah (swt) dan bersikap sombong terhadapNya, dari kalangan jin dan
manusia, akan dimasukkan ke neraka. Di neraka mereka akan saling menyalah.
Kelompok yang kemudian mempersalah mereka yang terdahulu kerana mereka disebut
menjadi punca tersesatnya mereka yang datang kemudian. Mereka yang memasuki
neraka lebih awal pula cuba berlepas diri dari memikul tanggungjawab, lalu mendebatkan
bahawa tiada bedanya dengan mereka yang terkemudian kerana mereka sendiri
menolak kebenaran yang dibawa oleh para nabi dan memilih untuk mengikuti jejak
langkah (agama) bapa-bapa mereka yang terdahulu, walaupun ternyata apa yang ada
pada bapa-bapa dan nenek moyang mereka adalah batil. Allah (swt) menegaskan
bahawa mereka yang terdahulu itu akan digandakan azab, namun yang terkemudian
tidak dikurangi azab yang ditimpakan ke atas mereka,. Mereka juga akan menerima
azab yang berganda.
5
Mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah (swt) dan bersikap sombong terhadapNya
adalah orang-orang yang berbuat jahat terhadap Allah (swt) (al-muj-ri-miin) sekaligus
adalah orang-orang yang zalim (al-zhaa-limin). Rahmat Allah tertutup
untuk mereka. Doa dan permohonan serta amal mereka ‘tidak menembus langit’ kerana ‘pintu-pintu langit tidak terbuka’ untuk mereka.
Sebaliknya yang menadah menanti mereka ialah kawah azab neraka dengan api yang
akan membalut tubuh mereka (la-hum min ja-han-nama mihaa-dun wa min
faw-qi-him ghaw-wash). Sebaliknya mereka yang beriman dan beramal
salih, dengan melaksanakan kewajipan yang mampu dilaksanakan (kerana Allah
(swt) tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan kewajipan yang di luar dari
kemampuan mereka (laa nu-kal-lifu naf-san il-la wus-`aha)). Mereka
adalah ahli syurga yang kekal mendapat nikmat dari Allah (swt).
(Cikgu
Abd Halim Ismail adalah Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)
No comments:
Post a Comment