Monday, February 19, 2018

Imad Isteri Tariq Ramadan Mempertahankan Suaminya




Imad Isteri Tariq Ramadan Mempertahankan Suaminya

Tariq pergi ke Paris pada pagi 31 Januari bagi menjawab soal siasat polis dan sejak itu saya tidak mendengar khabar daripadanya ataupun dapat melihat kelibatnya.

Tidak ada.

Kami tidak dibenarkan menziarahinya. Kami belum dapat keizinan. Keizinan tidak diberikan. Tidak dibenarkan telefon atau melawat.

Tidak ada.

Dia pergi dengan sukarela. Dia mempunyai keyakinan penuh kepada sistem keadilan dan malangnya kehakiman telah mengkhianatinya.

Dan setakat ini dia telah menunjukkan kesungguhan bekerjasama dengan siasatan. Dia tidak pernah berniat untuk melarikan diri. Sebenarnya dia memang menunggu untuk kehakiman mengarahkannya agar dia dapat menerangkan apa yang sebenarnya. Oleh itu, tidak ada sebab yang boleh dibayangkan walaupun sedetik kenapa dia mahu melarikan diri.

Saya ingatkan kita berada dalam sebuah negara yang berpegang kepada prinsip andaian seseorang tertuduh tidak bersalah sehingga disabitkan hukuman dan Tariq dilindungi oleh sendi rukun berkenaan. Saya tidak faham kenapa mereka masih menahannya dan saya tidak pasti kini samada dia mendapat layanan yang adil dan bermaruah.

Saya percaya Tariq telahpun dihukum bersalah sejak mula peristiwa ini. Itulah perasaan saya. Bacalah akhbar. Lihatkan kaca TV dan anda akan merasai dia sudah bersalah.

Saya fikir malangnya dia telah menjadi mangsa pembunuhan media (media lynching) akibat tekanan politik ke atasnya. Pada masa yang sama terlalu banyak pendustaan sehingga pada satu ketika, ia menjadi sangat sukar untuk ditangani.

Begitulah keadaannya. Saya sering berbelah bahagi di antara hasrat keinginan mengambil tahu apa yang disiarkan di akhbar atau TV dan pada masa yang sama rasa jelek tak mahu mendengar apa-apa pun, agar dapat menguncikan diri saya dalam sebuah gelembung dan meyakinkan diri saya keadilan akan terlaksana, dan Tariq akan bebas serta dibersihkan namanya.

Bagi saya, semua ini adalah tuduhan palsu. Semuanya adalah keterangan yang meleset dan tidak langsung mencerminkan diri Tariq.

Contohnya, gambaran yang cuba dibuat tentang suami saya tidak langsung sama dengan apa yang kita tahu tentangnya, apa yang saya tahu tentangnya, apa yang keluarganya kenali mengenainya, apa yang orang mengetahui tentangnya, pengetahuan mengenainya yang sebenar.

Tariq adalah seorang yang amanah, berdedikasi, jujur dan adil, seorang yang prihatin terhadap orang lain. Dan melihatnya dilayani sebegini, bagi saya, adalah menyakitkan.

Hari ini saya mengunjungi peguambelanya dan saya telah menerima berita membimbangkan tentang keadaan kesihatan fizikal Tariq. Peguam memberitahu saya bahawa Tariq sedang sakit. Sudah tentu saya sangat risau. Anda tentu tahu bahawa sudah beberapa tahun Tariq mengalami penyakit kronik yang berat serta memerlukan rawatan khusus. Peguam memberitahu kami di dalam penjara rawatan khusus yang sepatutnya diberikan kepadanya tidak ada dan keadaan itu sangat merunsingkan saya.

Saya fikir pada keadaan spiritualnya, ya, Tariq teguh.
Saya harap begitu.

Kini saya tahu bahawa apabila seseorang itu mengalami kesakitan fizikal, apabila seseorang menderita akibat penyakit dan tidak dapat rawatan khusus, pada suatu tahap, kesihatan psikologinya boleh terjejas.

Oleh itu bagi saya, saya mendoakan dia tabah dan tetap teguh.

Hari ini saya terpanggil untuk bersuara kerana saya bimbang dengan keadaan kesihatannya dan daripada apa yang peguamnya memberitahu saya.

Saya bersyukur kerana ada anak-anak yang datang agar berada bersama di sisi saya. Saya ada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang datang untuk bersama saya, dan anak-anak lain memang berat bagi hati mereka kerana tidak dapat bersama.

Saya bernasib baik kerana ada anak perempuan untuk menemani dan menyokong saya. Kadang-kadang dia jatuh sedih lalu menangis, dan pada waktu lain saya pula bersedih dan menangis. Nasib baik setakat ini, kami belum jatuh sedih lalu tidak menguasai perasaan pada waktu yang sama. Namun saya tahu bahawa jika anak perempuan saya tidak berada disisi saya tidak akan berupaya menggalas semua ini.

Saya fikir Tariq berharap agar kami kuat dan kami akan berdiri tegak menghadapi kezaliman ini, berhadapan dengan segala yang diluahkan di media massa kerana mereka ingin cuba mencalar imejnya.

Mereka sedang berusaha mematahkan kami, memusnahkan kami, meruntuhkan keluarga kami. Itulah perasaan kami sekarang. Mereka bukan sahaja mahu merosakkan satu orang tetapi seluruh keluarga.

Saya tahu bahawa Tariq sering cuba melindungi saya. Kami selalu berusaha melindungi keluarga kami. Kami tidak mahu mendedahkan diri kami. Bersuara dengan lantang ini suatu yang sukar bagi diri saya. Saya tidak pasti samada Tariq akan bersetuju dengan saya.

Walaupun hari ini kita berada dalam keadaan yang tidak biasa. Kita memang berada dalam keadaan luar biasa. Saya percaya pada asasnya sebagaimana saya lakukan walaupun Tariq mungkin tidak bersetuju. Saya tahu dia akan menghormati pilihan saya dan dia akan memikirkannya adalah tindakan terbaik.

Saya percaya dia tidak bersalah. Dalam kes rogol, jika seorang isteri tidak bersama mempertahankan suaminya, ia tidak dapat diterima. Oleh itu bagi saya ia jelas dan adalah suatu penghormatan bagi saya untuk bersamanya dan menyokongnya hari ini dan itulah hakikatnya.

Apa yang saya inginkan adalah Tariq dilayani dengan bermaruah berpegang kepada prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dijatuhkan hukuman.

Saya mahu dia dibebaskan sehingga ke tarikh perbicaraan agar dia dapat mempertahankan dirinya secara tenang dan dalam keadaan yang bukan seperti dia sedang mengalami sekarang.


Jika anda inginkan maklumat terkini, sila ikuti kempen rasmi #FreeTariqRamadan yang akan memberikan laporan terbaru dan maklumat sahih tentang kes ini.

(Imad Ramadan,  16 Februari 2018)

Terjemahan Transkrip video di    https://youtu.be/DsxrbcE9iF4

freetariqramadan.com
facebook.com.FreeTariqRamadanCampaign

1 comment:

Anonymous said...

#freeTariqRamadan