Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat laporan tekanan yang dikenakan ke atas masyarakat Islam Uyghur berikutan beberapa siri keganasan yang melanda wilayah Xinjiang baru-baru ini. Ini termasuklah laporan yang diterima berkenaan larangan yang dikenakan ke atas masyarakat Islam Uyghur untuk menunaikan ibadah puasa dan amalan-amalan lain yang disyariatkan dalam Islam, yang sekaligus melanggar hak asasi masyarakat tersebut di sisi undang-undang antarabangsa.
ABIM menilai tekanan-tekanan politik ini serta larangan yang dikenakan ke atas masyarakat ini, telah mengakibatkan sebahagian daripada mereka telah meninggalkan China dan terpaksa hidup sebagai orang pelarian, termasuklah ke Malaysia. Menyedari ini, ABIM menggesa UNHCR untuk memberikan perlindungan serta bantuan yang sewajarnya kepada pelarian Uyghur ini serta tidak menghantar mereka pulang ke negara asal mereka.
Desakan ini dibuat memandangkan pelarian Uyghur ini menepati definisi yang ditetapkan dalam artikel 1 Konvensyen Geneva 1967 mengenai orang perlarian yang berbunyi;
"A person who owing to a well-founded fear of being persecuted for reasons of race, religion, nationality, membership of a particular social group or political opinion, is outside the country of his nationality and is unable or, owing to such fear, is unwilling to avail himself of the protection of that country; or who, not having a nationality and being outside the country of his former habitual residence as a result of such events, is unable or, owing to such fear, is unwilling to return to it”
Mengambil kesempatan ini, ABIM juga ingin memanjangkan aduan yang diterima dari wakil komuniti Uyghur mengenai beberapa orang rakan mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Dengan mengambil status mereka sebagai pelarian politik serta dasar perikemanusiaan yang universal, ABIM memohon jasa pihak berkuasa di Malaysia untuk membebaskan beberapa orang masyarakat Islam Uyghur yang ditahan di negara ini.
ABIM akan terus memantau situasi semasa yang berlaku di Xinjiang serta terus mengetengahkannya ke khalayak masyarakat di negara ini agar nasib komuniti Islam Uyghur di Xinjiang mendapat pembelaan serta perhatian yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang berkenaan .
“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”
MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
No comments:
Post a Comment