JANJI ALLAH KEPADA KAUM MUKMININ:
KEMENANGAN BERSYARAT
(Memahami pesan Ilahi dalam ayat 38-41 surah al-Hajj)
38. Sesungguhnya Allah Membela orang yang beriman. Sungguh, Allah tidak
Menyukai setiap orang yang berkhianat dan kufur nikmat.
39. Diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana
sesungguhnya mereka dizalimi. Dan sungguh, Allah Maha Kuasa menolong mereka
itu,
40. (iaitu) orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa
alasan yang benar, hanya kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah.”
Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian
yang lain, tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja,
rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak
disebut nama Allah. Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya.
Sungguh, Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.
41. (iaitu) orang-orang yang jika Kami Beri kedudukan di bumi, mereka
melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan
mencegah dari yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.
Latar Penurunan Ayat
Ketika masih di Makkah (sebelum
Hijrah), umat Islam menjadi golongan minoriti yang lemah, ditindas dan dianiaya
oleh kaum Quraisy. Kebuasan kaum musyrikin itu semakin hari semakin
menjadi-jadi, mereka menghalang siapa sahaja daripada menganut Islam,
mengganggu umat Islam beribadah, malah telah begitu berleluasa melukai dan
mencederakan mereka sehingga ada yang mati terdera. Rasulullah s.`a.w. sendiri
tidak terkecualiti dari disakiti dengan pelbagai bentuk penganiayaan. Kenangan
pahit zaman Makkah itu diabadikan dalam surah al-Anfal:26, “Dan ingatlah ketika kamu masih (berjumlah)
sedikit, lagi tertindas di bumi (Makkah), dan kamu takut orang-orang (Makkah)
akan menculik kamu…”. Betapapun keinginan mereka untuk bertindak balas,
namun belum ada keizinan Tuhan. Mereka tetap disuruh bersabar, menahan diri
daripada melawan kerana belum tiba masanya. Demikianlah pesanTuhan ketika itu,
tunggu! Jangan lawan dahulu, “….Tahanlah
tanganmu (dari berperang), laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat!...” (Al-Nisa’:77).
Bertindak sebelum masanya hanya akan lebih menyusahkan diri.
Janji Pembelaan Ilahi
Untuk sementara begitulah
kehendak Tuhan. Tetapi akan tiba saatnya mereka diizinkan melawan, dan Tuhan
berjanji akan membela kaum mukminin. Memang tidak mungkin Tuhan membiarkan
keimanan dan kebenaran bertarung melawan kekufuran dan kebatilan, tanpa
pembelaan-Nya. Tuhan Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan jiwa manusia.
Seteguh manapun iman mereka, sekuat manapun keyakinan mereka, masih ada
kemungkinan mereka gentar berhadapan dengan kebatilan yang tampak gagah, dan
masih ada kemungkinan mereka lemah berhadapan dengan kepalsuan yang tampak
mempesona. Kerana itu sebelum mereka diizinkan mengangkat senjata, Tuhan
mengumumkan komitmen pembelaan-Nya. Memang Tuhan tidak menghendaki kaum
mukminin tertindas dan terdera, kecuali selama tempoh sementara bersiap untuk
melawan, sementara bersedia untuk berjuang dan berjihad. Pengumuman pembelaan
Ilahi itulah yang termuat dalam ayat 38, “Sesungguhnya
Allah Membela orang-orang yang beriman…”, janji pembelaan yang disertai
pernyataan kebencian Tuhan terhadap mereka yang bersifat khianat dan kufur.
Pernyataan Tuhan tentang kebencian-Nya terhadap mereka yang bersifat demikian
membawa implikasi kesudahan yang pasti, iaitu kehancuran.
Izin Berperang
Ayat 39 mendeklarasikan izin
melawan, “Di izinkan (berperang) bagi
orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi...”. Umat
mukminin berhak mengistiharkan perang atas asas “kerana mereka telah dizalimi”.
Demikianlah justifikasi moral yang mengesahkan tindakan berperang. Kaum
mukminin bukan pihak yang menceroboh, tetapi sebaliknya, merekalah pihak yang
diceroboh dan dizalimi. Memang itulah hakikatnya, kaum Musyrikin Makkah telah
mendera orang-orang beriman, termasuk Nabi s.`a.w. sendiri sehingga memaksa
Junjungan s.`a.w. berhijrah meninggalkan kampung halaman yang sangat dicintai.
Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah s.`a.w. melangkah meninggalkan Makkah,
Junjungan s.`a.w. menoleh sambil berkata, “Demi
Allah, sesungguhnya engkaulah bumi Allah yang paling aku cintai, dan sesungguhnya
engkaulah bumi Allah yang paling Allah cintai. Kalaulah tidak kerana pendudukmu
mengusirku, aku tidak keluar meninggalkanmu!”. Sementara itu sahabat
pendampingnya, Abu Bakr al-Siddiq r.`a. pula diriwayatkan berkata, “Mereka telah mengusir nabi mereka, inna li
‘Llahi wa inna ilayhi raji`un, pasti mereka akan binasa!”. Memang
kebinasaan tidak mungkin dapat dihindari apabila umat mukminin diizinkan
melawan, di samping mereka juga diberikan jaminan perlindungan dan pertolongan
Allah, “Dan sungguh, Allah Maha Kuasa
untuk menolong mereka itu.”. Kekuatan mana yang mampu berhadapan dengan
umat yang mendapat jaminan pertolongan Allah Yang Maha Perkasa?
Demikianlah perang yang justified
dan cukup beralasan. Umat mukminin berperang demi misi agung kemanusiaan, demi
umat beragama seluruhnya, demi kebebasan ber`aqidah dan kebebasan beribadah.
Selain itu mereka juga bangkit demi hak kaum teraniaya untuk bertindak balas
membela diri. Justeru, mereka telah dizalimi dengan pengusiran dari kampung
halaman sendiri, tanpa alasan selain kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah!” (ayat 40), kata
paling benar, paling mulia, paling suci dan paling wajar diucapkan. Mengusir
orang semata-mata kerana pendirian yang diekspresikan lewat kata-kata tersebut
jelas suatu kezaliman yang mutlak, tanpa ragu. Mereka diusir semata-mata kerana
`aqidah, bukan kerana sebab-sebab lain yang melibatkan kepentingan peribadi
atau perebutan harta duniawi.
Peperangan bagi umat mukminin
adalah murni demi prinsip asasi bahawa `aqidah wajib dilindungi dan
dipertahankan. Kebebasan `aqidah dan kebebasan ibadah adalah prinsip yang kudus
dan kerananya harus sentiasa dihormati dan didaulatkan. Segala bentuk
pencabulan terhadap prinsip tersebut harus dilawan, termasuk dengan perlawanan
bersenjata di medan perang. “Seandainya
Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain,
tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat
orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut Nama Allah…”.
Demikianlah cara Allah mencegah pencabulan terhadap kesucian prinsip kebebasan
ber`aqidah dan beribadah (yang disimbolkan dengan tempat-tempat beribadat),
dengan membangkitkan kaum mukminin memerangi golongan yang sewenang-wenang
mencabul prinsip tersebut. Hanya perang yang dapat menyelamatkan tempat-tempat
ibadat (sawami`, biya`, salawat dan masajid) dari kehancuran. Nama Allah
yang banyak disebut di dalamnya tidak lagi dapat menginsafkan golongan manusia
pengganas, dan tidak lagi dapat mencegah mereka dari kebiadaban menghancurkan
rumah-rumah ibadat.
Umat mukminin harus berperang
demi agama, tetapi keizinan berperang diawali dengan jaminan pembelaan dan
pertolongan Tuhan terhadap mereka. Ini bererti bahawa mereka yang dibela dan
ditolong Tuhan pasti akan menang kerana Tuhan Maha Berkuasa memenangkan mereka.
Jika memang demikian, lalu untuk apa diizinkan perang? Dan untuk apa diwajibkan
berjihad? Bukankah Tuhan Maha Perkasa melindungi agama-Nya tanpa memerintahkan
umat mukminin berperang, menyabung nyawa dan mengalami derita cedera-luka,
malah ramai yang gugur di medan tempur?. Memang Allah Maha Berkuasa
melaksanakan kehendak-Nya (membinasakan musuh-musuh agama-Nya) tanpa
susah-payah, tanpa menumpahkan walau setitik darah kaum mukminin. Tetapi tentu
ada hikmah, sebab tersirat di balik perintah berperang, bahawa Tuhan tidak
menginginkan agama ini didukung oleh orang-orang malas, mereka yang hanya ingin
bersantai, yang merasa cukup dengan mendirikan solat dan membaca al-Kitab serta
menadah tangan ke langit ketika menghadapi bahaya pencerobohan.
Memang orang mukmin harus
menunaikan solat, harus membaca al-Kitab dan bermunajat kepada Allah setiap
saat, ketika senang dan ketika susah. Tetapi ibadat-ibadat tersebut semata-mata
belum cukup melayakkan mereka menjadi pendukung agama Allah. Ibadat-ibadat
tersebut hanyalah sebahagian daripada bekalan yang perlu disiapkan sebagai
kekuatan tambahan untuk mengharungi medan perjuangan. Senjata fizikal harus
sepadan dengan senjata musuh, sementara taqwa adalah senjata spiritual yang
hanya ada pada kaum mukminin. Demikianlah kehendak Allah, bahawa pembelaan dan
pertolongan-Nya tersalur menerusi daya lawan kaum mukminin. Hanya dengan
kemampuan bertarung di medan perang segala potensi kekuatan terpendam yang
mereka miliki akan tumbuh perkasa dengan sempurna. Tuhan menghendaki agar para
pendukung agama-Nya memaksimumkan seluruh kekuatan yang dikurniakan-Nya kepada
mereka. Sesungguhnya misi penyiaran dan pendaulatan agama Allah adalah amanah
berat yang hanya dapat dipikul oleh umat yang kuat, umat berdaya juang yang
terbina dalam keperitan rebah bangun di kancah pertarungan.
Memang bukan kehendak Tuhan menghadiahkan
kemenangan mudah. Justeru, kemenangan mudah dan segera yang dihadiahkan tanpa
susah payah kepada orang-orang yang berbudaya santai tidak akan meledakkan
kekuatan terpendam di pedalaman diri mereka. Selain itu kemenangan segera dan
mudah akan segera dan mudah pula hilangnya kerana ia akan dirasakan sebagai
suatu yang murah, dapat diraih tanpa membayarnya dengan pengorbanan yang mahal.
Kemenangan segera dan mudah juga tidak akan kekal lama kerana ia tidak akan
mampu dipertahankan oleh mereka yang tidak terlatih dan teruji dalam
hempas-pulas perjuangan. Demikianlah hikmah di sebalik sukar dan lambatnya
kemenangan bagi umat silam, generasi yang dizalimi dan diusir dari kampung
halaman tanpa alasan selain kerana mereka berpendirian “Tuhan kami ialah Allah!”.
Kemenangan Yang Tertangguh
Dalam tafsir al-Zilal-nya, Sayyid
Qutb menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan tertangguhnya
kemenangan bagi kaum mukminin:
Kemenangan tertangguh kerana
persediaan umat mukminin belum cukup matang, belum cukup siap dan belum
maksimum sehingga andainya diberi kemenangan ketika itu, kemenangan itu tidak
akan bertahan lama kerana mereka tidak akan mampu mempertahankannya
Kemenangan tertangguh kerana
umat mukminin belum mencurahkan seluruh tenaga keupayaannya dan belum
mengorbankan segala yang dimilikinya sehingga tidak tersisa lagi sesuatu yang
berharga, sehingga semua yang ada, yang mahal dan yang murah sudah diserahkan
untuk membiayai perjuangan di jalan Allah.
Kemenangan tertangguh sehingga
umat mukminin menggunakan kekuatan terakhirnya, lalu dengan begitu mereka
menginsafi bahawa tanpa pertolongan Allah, kekuatan mereka semata-mata tidak
akan membawa kemenangan. Sesungguhnya kemenangan akan dikurniakan setelah
mereka menggunakan kekuatan terakhir dan kemudiannya menyerahkan segalanya
kepada Allah.
Kemenangan tertangguh agar umat
mukminin mempereratkan lagi hubungan dengan Allah, sehingga pada saat menempuh
derita perang mereka benar-benar merasakan bahawa sesungguhnya tidak ada lagi
tempat untuk mengadu dan meminta selain hanya Allah Yang Maha Esa. Hubungan
erat dengan Allah inilah yang akan menjamin istiqamah mereka nanti apabila
Allah Berkenan mengurniakan kemenangan, bahawa mereka tidak akan menyeleweng
dari kebenaran, keadilan dan kebaikan yang kerananya Allah memenangkan mereka.
Kemenangan tertangguh kerana
umat mukminin belum benar-benar tulus dalam perjuangan dengan niat murni
semata-mata kerana Allah dan dakwah agama-Nya. Mungkin masih ada dalam kalangan
mereka yang berjuang kerana motif-motif lain yang tidak murni: mungkin untuk
meraih kepentingan tertentu, mungkin kerana dorongan emosi marah semata-mata,
atau mungkin untuk mencari glamour sebagai jaguh pertarungan atau lain-lain
sepertinya, sedang Allah Menghendaki agar setiap orang berjuang semata-mata
kerana-Nya dan di jalan-Nya. Pada suatu ketika Rasulullah s.`a.w. pernah
ditanya tentang seorang yang berperang kerana dorongan gejojak emosi, seorang
lagi berperang untuk mempamerkan keberanian, dan seorang yang lain berperang
untuk menonjol-nonjolkan diri, siapakah di antara mereka yang berjuang di jalan
Allah? Rasulullah s.`a.w. menjawab, “Siapa
yang berjuang agar Kalimat Allah terjulang tinggi, dialah yang berjuang di
jalan Allah.”
Kemenangan tertangguh kerana
masih ada sisa kebaikan pada pihak musuh yang diperangi. Tuhan menghendaki agar
sisa kebaikan itu lenyap sama sekali, dan hanya tinggal kejahatan sepenuhnya,
barulah akan ditimpakan kehancuran total tanpa ada sisa kebaikan yang turut
terkorban.
Kemenangan tertangguh kerana kebatilan
yang diperangi itu belum terdedah sepenuhnya di mata khalayak massa. Andainya
kemenangan diraih dalam keadaan seperti itu, masih akan ada
pendukung-pendukungnya yang tertipu dengan kebatilan yang belum tampak jelas
batilnya itu. Dengan kata lain, kebatilan tersebut masih mengakar pada
segolongan orang innocent yang masih belum dapat melihat hakikat. Allah
menghendaki agar kebatilan itu terus wujud beberapa lama sehingga ia terdedah
sepenuhnya di hadapan semua orang. Dengan demikian kehancurannya nanti tidak
akan disesali oleh sesiapa pun.
Kemenangan tertangguh kerana
iklim persekitaran yang belum cukup bersedia untuk menyambut kebenaran,
keadilan dan kebaikan yang dibawa oleh kaum mukminin. Andainya kemenangan
dicapai ketika keadaan masih seperti itu, sudahnya ia akan ditolak oleh
masyarakat yang belum bersedia itu. Biarlah pertarungan terus berlangsung
sehingga jiwa dan minda masyarakat seluruhnya bersedia menerima kemenangan
kebenaran, dan siap untuk mempertahankannya.
Demikianlah antara sebab, di
samping sebab-sebab lain yang Allah sendiri yang Mengetahuinya, mengapa
kemenangan masih tertunda, dan kerana itu perjuangan dengan segala pengorbanan
dan deritanya terus berlanjutan dengan keyakinan akhirnya Allah akan memberikan
kemenangan.
Syarat Kemenangan
Memang janji Allah untuk
memenangkan mereka yang menolong (menegakkan) agama-Nya adalah suatu kepastian,
tetapi kemenangan tidak diberikan tanpa syarat. Sesungguhnya kemenangan
selamanya terikat dengan sejumlah tanggungjawab. Justeru, kemenangan tidak
diberikan kerana kemenangan itu sendiri, tetapi ia diberikan untuk menjadi
wahana islah ke arah aktualisasi cara hidup dan tamadun berasaskan nilai-nilai
Ilahiah. Yang dijanjikan kemenangan ialah mereka “…yang jika Kami berikan kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat,
menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang
mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” - (ayat 41)
Demikianlah empat syarat
kemenangan: pertama, melaksanakan solat dalam pengertian mengabdi sepenuh dan
setulusnya kepada Allah, mempererat hubungan dengan Allah dan sentiasa
menghadap-Nya dengan patuh, merendah dan menyerah. Dengan kata lain, Allah
harus sentiasa didahulukan; kedua, menunaikan zakat dalam pengertian
melaksanakan tanggungjawab kehartaan (haqq
al-mal), mengikis sifat bakhil, mengenyah sifat tamak, membebaskan diri
dari nafsu kebendaan, dan prihatin terhadap kaum yang lemah (miskin); ketiga,
menyuruh berbuat yang makruf dalam pengertian memperjuangkan kebaikan,
nilai-nilai murni dan mendorong masyarakat mengamalkan cara hidup sihat dan
bermoral berasaskan nilai-nilai makruf, mulia dan terpuji; dan keempat,
mencegah dari yang mungkar dalam pengertian komitmen melawan segala bentuk
kejahatan dan penyelewengan, memperjuangkan perubahan dan pembebasan umat dari
budaya bobrok dan bejat. Kepada Allah-lah kembali segala urusan, sesungguhnya
Allah adalah penentu kesudahan segalanya, memenangkan yang kalah atau
mengalahkan yang menang, tergantung pada syarat-syarat yang telah di
tetapkan-Nya, ditepati atau tidak. Demikianlah hakikatnya, bahawa kemenangan
selamanya bersyarat, di samping ia juga adalah adalah suatu amanah besar yang
membawa tanggungjawab mengisinya dan mempertahankannya.
KDH:26102013.
No comments:
Post a Comment