Gamal Abd Nasser pernah
mengumpulkan siaran akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang mengandungi
kritikan-kritikan terhadap regim penguasa-penguasa Arab yang menentang
perlaksanaan syariat Islam. Hampir keseluruhan makalah-makalah yang dikumpulkan
adalah karya-karya tulisan anggota Ikhwan. Nasser sengaja melakukan usaha itu
bertujuan bagi menghasut semua penguasa-penguasa negara Arab supaya bersamanya
dalam memerangi dan menindas Ikhwan. Dia belum berpuashati dengan tindakan yang
telah dia lakukan selama itu terhadap anggota Ikhwan di Mesir. Nasser berhasrat
supaya semua regim penguasa Arab mencontohi teladannya termasuk melakukan penyiksaan,
pembunuhan dan pengusiran. Nasser telah menyeru dan menagajak mereka ke arah
itu dalam ucapannya kepada pemimpin dan raja-raja Arab di persidangan Rabat. Di
Moscow, Nasser dengan penuh bangga mengisytiharkan kepada pendokongan penganjur
utamanya regim Soviet bahawa dia berhasil menahan seramai 20,000 anggota Ikhwan
pada suatu malam sahaja.
Namun, Umar Tilmisani masih mendoakan
Nasser dan orang-orang Muslim yang bersekongkol dengan tindakan kejamnya supaya
mendapat rahmat dan pengampunan Allah swt. Pesanan Tilmisani kepada umat Islam,
“Janganlah sampai kamu hanya mampu
melaknat orang-orang zalim, tetapi fikirkanlah bagaimana untuk berupaya
memberhentikan kezalimannya itu.”
Tilmisani mengingatkan bahawa
dulu Nasser seorang pemimpin revolusi yang amat menentang kezaliman Raja Farouk
kerana membencikan penyalahgunaan kemewahannya, contohnya dia benci apabila
Raja Farouk gemar memperagakan perahu layar – royal yacht – dalam menghabiskan masa-masa hiburannya. Tetapi
apabila Nasser pula berada di kerusi kekuasaan, dia pula wewenang mempamerkan royal yacht itu dengan menjelajah dari
Mesir hingga ke benua negeri-negeri Eropah. Dia berlayar bersama kaum keluarga
dan kerabatnya.
Pada zaman diktator Nasser,
orang-orang yang taat membuta tuli diberi keutamaan walaupun pada umumnya
mereka ini diketahui bodoh. Orang-orang tolol tetapi patuh lebih dihargai
daripada para pakar segenap bidang. Tilmisani membayangkan betapa sedih dan
pilu perasaan saudara mara kerabat keluarga Ikhwan yang terpenjara dan disiksa
apabila seorang alim Al Azhar mengampu memberi puji-pujian ke atas “keadilan”
dan “kasih sayang” pemerintahan Nasser.
Namun bukan semua ilmuwan tidak
berani berterus terang. Tilmisani menceritakan tentang pertemuan Nasser dengan
Ustaz Munir Dallah, apabila Nasser berkata, “Aku ingin memiliki sebuah pemerintahan yang sifatnya terkendali secara
elektrik dan automatik. Jika aku tekan satu butang, maka seluruh rakyat akan
bangkit. Jika aku tekan butang lain, mereka pun semuanya duduk.” Ustaz
Munir menjawab, “Demi Allah ini adalah
gagasan yang baik wahai Tuan. Tetapi, kamu seolah-olah ingin memerintah sendiri
dan keinginan kamu ini mustahil akan terjadi.” Nasser terdiam tetapi marah
lalu menyimpan dendam ke atas Ustaz Munir hingga dipenjarakan dan
disiksakannya.
Nasser telah melakukan kezaliman
yang tidak diduga boleh dilakukan oleh seorang makhluk bernama manusia. Pada
hakikatnya, Nasser tidak dapat imbalan kebaikan atau ganjaran apa pun daripada
perlakuannya itu. Tilmisani berkata, “Sungguh
Allah swt akan memudahkan pekerjaan hambaNya sesuai menurut dengan bakat yang
ada padanya.”
(Rujukan: Dhikrayaat laa Mudhakiraat, terjemahan Indonesia Bukan Sekadar
Kenangan, Umar Tilmisani, Murshid al Am ketiga Ikhwan al Muslimin)
No comments:
Post a Comment