Bagi orang yang memahami makna
dan harga kemerdekaan, 31 Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari
itulah tercapainya cita-cita yang telah diperjuangkan turun-temurun sejak entah
berapa keturunan.
Sejarah merdeka bukan baru
bermula pada pertengahan abad ke-20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah
bermula seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah
dan air mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir.
Tidak siapa berdaya menaksir
berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir
demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang
mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar
bermakna.
Bagi umat beragama kemerdekaan
adalah nikmat kurnia Tuhan yang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan
disenangi Penganugerahnya. Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama
ialah menggunakannya dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya.
Dalam konteks nikmat kemerdekaan
ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan
semurni dan setulennya.
Mudah-mudahan roh para pejuang
yang gugur, bahagia dalam peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan
mereka menghasilkan umat merdeka yang benar-benar merdeka.
Dengan semangat syukur nikmat
sempena berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri,
sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.
Islam dan makna Merdeka
Islam pada hakikatnya adalah
agama pembebasan. Mesej liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap
dalam misi utamanya 'ikhrajun nasi minaz
zulumat ilan nur'. Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat dirumuskan
sebagai misi pembebasan dan pencerahan.
Kerana itu kehadiran Islam dan
gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu dirasakan sebagai a liberating and enlightening force.
Demikianlah citra agama ini di
mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya transformasi kemanusiaan dan
revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang memesat pada abad ke-13
hingga 16M.
Ternyata pembebasan dalam konteks
misi keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada
segala bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan.
Memang al-zulumat adalah kata yang jami’
dan inklusif meliputi segala rupa bencana kemanusiaan: kesesatan,
kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan, kemunduran, kebejatan, kegilaan,
kezaliman, kecurangan dan lain-lain sejenisnya.
Umat Islam harus dibebaskan dan
dimerdekakan daripada segala bencana tersebut. Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman selamanya tidak terpisah
daripada pencerahan (tanwir). Apalah
erti bebas daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan
yang lain.
Demikianlah hakikat bermulanya
transformasi pengislaman dengan deklarasi kemerdekaan diri menerusi lafaz
kesaksian syahadat ketauhidan la ilaha
illallah yang membawa implikasi ketidakrelaan tunduk mengabdi kepada siapa
pun dan apa pun selain Tuhan Yang Maha Esa.
Sebagaimana yang diungkapkan oleh
al-Shaykh Muhammad al-Ghazali bahawa kalimat tauhid itu membawa implikasi
penafian terhadap segala bentuk keberhalaan. penolakan terhadap segala jenis
pengabdian di bumi dan penegasan terhadap hak kebebasan (Muhammad Al-Ghazali,
2000:36).
Justeru, manusia mukmin adalah
manusia berjiwa merdeka yang sedar dengan ketinggian martabat keinsanannya,
setia memelihara pesan, Innahu laysa li
al-mu’min an yudhilla nafsah (Sesungguhnya, tidak seharusnya seorang mukmin
menghina dirinya sendiri).
Semangat kemerdekaan tahririy-taghyiri-tanwiriy itulah yang
tampaknya ditangkap dengan tepat oleh Za'aba ketika merumuskan makna merdeka
sebagai perubahan, “... daripada
kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang
cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada
ajaran yang menyuburkan dia; daripada I’tiqad-I’tiqad yang serong dan terpesong
kepada I’tiqad yang subur dan merdeka: daripada kezaliman pemerintahan
berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang
menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan
menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”
Karamah Insaniyyah
Merdeka pada hakikatnya adalah
bahagian daripada kemanusiaan itu sendiri, sesuai dengan kurnia takrim dari
Yang Maha Pencipta untuk makhluk jenis manusia seluruhnya.
Kemuliaan yang diperoleh langsung
dari Tuhan itu bukan deklarasi kosong, tetapi sarat dengan erti dan implikasi:
kemerdekaan, kebebasaan, persamaan dan sejumlah hak serta keperluan asasi
lainnya: yang tanpanya manusia kehilangan kemanusiaannya.
Kerana itu manusia yang sedar
dengan ketinggian martabat, maruah dan harga diri insan sebagai makhluk mulia
memiliki kepekaan yang cukup tinggi terhadap apa jua gejala penghinaan terhadap
manusia, baik dirinya sendiri atau manusia lain.
Manusia yang berasa mempunyai
maruah keinsanan tidak akan rela kemerdekaannya dirampas, kebebasannya
dibelenggu dan apa sahaja perlakuan yang meremehkan kemanusiaannya. Ternyata
kemerdekaan terkait erat dengan maruah.
Bagi manusia merdeka, maruah
adalah milik termahal yang sentiasa dijaga dan dipelihara dengan penuh rasa
cemburu.
Kerana itu pula manusia merdeka
tidak dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, kehidupan yang tidak
bermoral, kehidupan yang cemar dengan amalan keji dan jijik seperti rasuah,
penyalahgunaan kuasa, penipuan, pemerasan, kepura-puraan, ampu bodek dan
lain-lain sejenisnya.
Lain halnya dengan hamba abdi
yang diperlakukan bagaimana sekalipun – dihina, dibelenggu dan dimalukan,
mereka tidak berasa malu dan tidak berasa kehilangan maruah kerana memang
mereka tidak memiliki maruah.
Demikianlah, manusia berjiwa
merdeka adalah manusia yang sedar dan peka dengan ‘izzat al-nafs atau maruah, harga diri dan kemuliaan martabat
keinsanannya.
Rasa dan tahu Malu
Kesedaran dan kepekaan itulah
yang memberinya rasa malu dan tahu malu. Rasa malu terkait dengan dignity
seperti itulah yang dijelaskan oleh Syed Hussein Alatas.
What is meant here by the sense of shame is not shame associated with
private and individual relations but a shame associated with the collectivity,
with the conditions of one's fellow men. It is directed at elements threatening
human welfare and dignity. ‘lt is undignified to have a dirty surrounding. It is undignified to live in a
disorderly and haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty
corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights.
It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most
of their time plotting to cheat and plunder the state.’ (Alatas, S.H.,
1999: 113-114).
Majalah antarabangsa NEWSWEEK, 23
Julai 2007 memuatkan tulisan Melinda Liu berjudul Politics of Shame pada halaman utama Periscope. Makalah pendek
tersebut mengulas hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Zheng Xiaoyu, bekas
ketua sebuah agensi kerajaan China, SFDA (State Food and Drug Administration),
atas kesalahan meluluskan ubat-ubatan yang tidak diuji (untested) sehingga
mengakibatkan kematian tidak kurang 10 orang.
Kelulusan tersebut diberikan
dengan bayaran (rasuah) $850,000. Kesalahan sedemikian membawa hukuman mati
kerana kesan buruknya yang memalukan agensi berkenaan. Seperti yang dinyatakan
oleh jurucakap pihak berkuasa Beijing, “Zheng
has brought “shame” to his agency.”
Mengenai kepentingan malu dalam
masyarakat dan budaya Cina, makalah tersebut menyatakan: “Shame has always been a powerful force in China. Rooted in Confucian
ethics, it often drives Chinese leaders to dispense tougher justice than is
meted out for less-embarrassing crimes.”
(NEWSWEEK, 23 Julai 2O07: 4)
Begitu tingginya tahap “tahu
malu” di kalangan mereka sehingga apabila seseorang disoal-siasat atas dugaan
rasuah, cukup untuk menyebabkannya membunuh diri seperti yang dilakukan oleh
seorang bekas ketua polis pada bulan Jun lalu.
Sifat malu sebenarnya menempati
posisi teras dalam ajaran moraliti Islam, dan lebih daripada itu ia adalah
manifestasi iman.
Hadith dari Imam Malik menyebut,
“Setiap agama memiliki akhlaq, dan akhlaq Islam adalah malu" (likulli din khuluq, wa khuluq al-Islam
al-haya”).
Merdeka 'orang kecil'
Dalam Hadith lain disebut pula
“malu adalah sebahagian daripada iman” (al-haya’min
al-iman). Sifat malu yang tumbuh dari iman itu adalah sebahagian daripada
disiplin dalaman yang dapat mengawal perilaku seseorang.
Apabila Tuhan sendiri
mendeklarasikan martabat kemuliaan insan, ...dan
sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam, bererti semua manusia sama
mulianya, sama martabat keinsanannya, sama hak-hak kemanusiaannya, sama
merdekanya dan sama bebasnya.
Dari takrim ketuhanan itulah
lahirnya dua prinsip utama yang sangat erat hubungannya: prinsip kebebasan
(kemerdekaan) dan prinsip persamaan kemanusiaan.
Seseorang itu tidak dapat
dikatakan merdeka jika ia tidak mendapat pelayanan sebaik yang diterima oleh
orang lain.
Bagaimana mungkin kita dapat
mengatakan seseorang itu merdeka andainya masih terbelenggu dalam sistem dan
budaya hidup berkasta-kasta, masih mengamalkan feudalisme - baik feudalisme
lama atau feudalisme baru, masih ada kelas atasan yang diistimewakan dan kelas
bawahan yang didiskriminasikan.
Merdekakah “orang kecil” seperti
yang diperikan oleh seorang kiyai budayawan Indonesia, KHA Mustofa Bisri dalam
puisinya “ORANG KECIL ORANG BESAR”.
Orang kecil jika ikhlas diperas
Jika diam ditikam
Jika protes dikentes
Jika usil dibedil.
Orang kecil jika hidup
dipersoalkan
Jika mati tak dipersoalkan
Lebih baik jadilah orang besar
Bagiannya selalu besar.
Orang besar jujur-tak jujur
makmur
Benar-tak benar dibenarkan
Zalim-tak zalim dibiarkan.
Orang besar boleh bicara semaunya
Orang kecil paling jauh
dibicarakan saja.
Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurang
ajar
Orang besar kurang ajar dikata
berani
Orang kecil mempertahankan hak
disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak
disebut pendekar.
Kerdil, hina diri
Prinsip persamaan kemanusiaan
inilah yang ditegakkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana yang terakam dalam
sunnahnya - sabda dan amal nyata.
Pada zamannya para penguasa
rata-rata membina citra diri mereka sebagai maharaja keturunan dewa berasal
dari dunia indera. Motif penciptaan imej yang menggerunkan seperti itu ialah
untuk menjadikan rakyat jelata berasa kerdil dan hina diri.
Pada suatu ketika seorang a'rabiy dibawa mengadap Nabi SAW. Akibat
terbiasa membayangkan imej para penguasa seperti di atas, a'rabiy tersebut kelihatan terketar-ketar ketakutan.
Junjungan Nabi SAW yang cukup
mengerti kenapa keadaannya menjadi seperti itu segera menenangkannya dengan
berkata.
“Bertenanglah, saya bukan maharaja, saya adalah anak seorang wanita
Quraysh yang biasa makan daging kering”.
Cara pengenalan diri seperti itu
mengesankan sikap tawadhu'nya kepada Allah dan sekaligus rasa kedekatannya
dengan umat. Junjungan Muhammad SAW menisbahkan dirinya kepada ibunya yang
bercitra wanita rakyat biasa, tidak kepada datuk-datuknya yang bangsawan dan
pembesar Quraysh.
Demikianlah cara pengenalan diri
yang mengesankan persamaan kemanusiaan.
Banyak peristiwa lain lagi yang
membawa mesej yang sama, termasuk kejadian tertangkapnya seorang wanita yang
melakukan kesalahan mencuri.
Kabilah wanita tersebut cuba
melobi Rasulullah SAW agar membebaskannya daripada hukuman dengan alasan wanita
tersebut termasuk golongan bangsawan dalam kabilahnya.
Qisas anak gabenor
Peristiwa itulah yang melatari
sabda junjungan Nabi SAW yang mencerminkan ketegasan dalam penegakan prinsip
persamaan kemanusiaan:
"Sesungguhnya telah hancur umat sebelum kamu (akibat amalan
diskriminatif) apabila orang besar mencuri mereka biarkan, tetapi apabila orang
kecil mencuri mereka hukum. Demi Allah, andainya (anakku) Fatimah binti
Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong tangannya”.
Komitmen terhadap prinsip
persamaan kemanusiaan diteruskan oleh para khalifah penggantinya seperti yang
dilakukan oleh Khalifah Kedua, Amir al-Mu’minin Umar al-Khattab terhadap anak
Gabenor Mesir ‘Amr ibn al-‘As yang memukul seorang Qibtiy semata-mata kerana ia
(Qibtiy) telah memotongnya dalam satu perlumbaan.
Khalifah telah menjatuhkan
hukuman qisas ke atas anak gabenor tersebut. Ketika pihak yang bersalah
menprotes atas alasan ketidaksamaraan taraf, Umar al-Khattab menjawabnya dengan
nada yang cukul tegas, “Sejak bila kalian
memperhambakan manusia, walhal semua mereka telah dilahirkan oleh ibu-ibu
mereka sebagai anak-anak merdeka!”.
Peristiwa lain yang juga banyak
dirujuk dalam isu persamaan kemanusian ialah hukuman qisas yang dijatuhkan oleh
Umar ibn al-Khattab keatas Jabalah ibn al-Ayham.
Raja Ghassan itu didapati bersalah
kerana memukul seseorang (orang awam) yang secara tidak sengaja terpijak
pakaiannya. Jabalah juga membantah hukuman qisas, undang-undang yang menyamakan
raja dengan jelata.
Sebagai raja yang berasa darahnya
lebih istimewa, beliau tidak mahu disamakan dengan rakyat biasa. Bantahan
itulah yang dijawab oleh Umar dengan
satu lagi ungkapan yang cukup mengesankan: “Tetapi
Islam telah menyamakan kamu berdua.”
Demikianlah, kemerdekaan yang
benar-benar bererti bagi orang kecil ialah apabila hak-haknya sebagai manusia
mulia dihormati, sama seperti orang lain.
Tetapi andainya masih berlaku
amalan penghakiman diskriminatif, pendakwaan berpilih-pilih atau seumpamanya,
bererti rakyat belum memperoleh kemerdekaannya.
Memang kemerdekaan adalah
bahagian daripada keinsanan. Tetapi ia bukanlah kemerdekaan yang bererti
kebebasan anarkis. Kebebasan dalam Islam selamanya terkendali dalam bimbingan
prinsip-prinsip hukum dan nilai-nilai akhlak. Kerana itu sebagaimana yang
disebut oleh al-Sakhawiy.
“Islam memberikan kebebasan kepada manusia, dan sekaligus mengawalnya:
Dengan nilai akhlak agar tidak terlajak, dengan keadilan agar tidak menjadi
pelaku kezaliman. Dengan kebenaran agar terhindar dari tarikan nafsu kebatilan,
dengan kebaikan dan pengorbanan agar tidak bersikap egois annaniyah
kesombongan...” (al-Zuhayliy, 2000:41).
DATO' DR SIDDIQ FADIL Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).