Ucapan Profesor Yusul al Qaradawi pada Persidangan Kesatuan Ulama Islam
Sedunia al ittihad al alamiyah lil ulama’
al muslimin di Istanbul
Khilafah
Khilafah yang diumumkan oleh ISIS
di Iraq dan Syria tidak ada makna. Umat Islam mesti bersatu menuntut
pemerintahan yang adil, pemerintahan yang melihat perkara dengan realistik dan
pemerintahan yang bekerjasama dengan rakyat mereka.
Khilafah boleh dilaksanakan pada
hari ini di negara-negara yang ditabir oleh Syariah dan pemerintah serta rakyat
merestui dan menyukai perkara itu dengan corak bentuk persekutuan atau
konfederasi yang bukan lagi seperti dahulu. Negara Cina yang mempunyai bilangan
pendudukan mencecah 1.5 bilion boleh ditadbir. Sudah tentu umat Islam yang
seramai 1.7 bilion boleh dihimpunkan dalam bentuk kesatuan. Tetapi gagasan ini
memerlukan pemerintah-pemerintah yang adil dengan melihatnya secara realistik
dan bekerja rapat dengan rakyat. Bersama-sama mereka boleh membina satu kesatuan
yang bermakna.
Natijah Kefasadan (Nitajul Fasad)
Jamaah-jamaah keras dan militan (al mutasyaddidah) muncul di kalangan
umat Islam. Kumpulan-kumpulan ini adalah hasil daripada kerosakan suasana
persekitaran dan kepimpinan korup (fasadul
awdo’ wal hukkam). Ada segolongan pemuda Islam yang mengikuti
kumpulan-kumpulan garis keras, dan mereka percaya bahawa jamaah-jamaah militan
ini berjuang di jalan Allah swt. Jamaah garis keras ini mengkafirkan sesama
Muslim, membunuh Non Muslim yang aman tanpa hak dan ini adalah masalah yang
besar. Kita ingin tegaskan bahawa Islam tidak menerima samasekali keterlaluan (ghuluw).
Jalan dan cara berdepan dan
menangani puak ekstremis (muwajahah al
tatorruf) di kalangan pemuda Islam, perlu kepada kerja yang banyak, yang
mana tidak boleh tidak fiqh kesederhanaan (al
fiqh al mu’tadil) hendaklah diterapkan di arena Islam. Ini bermaksud wasatiyyah dengan menyeru kepada
keimanan dan kefahaman kerana Rasulullah s.a.w. yang mulia melalui beberapa
hadith baginda menolak perbuatan melampau (ghuluw)
dan menyeru kepada kesederhanaan (I’tidal).
Oleh itu, janganlah mensyadidkan agama (mengeraskan fahaman) dan dan jangan
pula mengabaikan agama (tasayyub).
Kita menolak ghuluw dan pengabaian – neglect (tafrit). Kita adalah umat wasatiy.
Di Qatar ditubuhkan Pusat Al Wasatiyyah al Islamiyyah wal Tajdid.
Kerjanya bagi memajukan kefahaman wasatiyyah,
I’tidal, tawazun (keseimbangan) dan tajdid (pembaharuan). Kita diingatkan
tentang tempoh seratus tahun bagi melahirkan pembaharuan iman dan kefahaman.
Kesatuan Ulama Sedunia
Ini adalah perhimpunan kali
keempat kesatuan ulama dan buat pertama kalinya diadakan di Istanbul. Umat
adalah bersama Kesatuan Ulama. Kehadiran ke perhimpunan ini melebihi jangkaan
walaupun terdapat negara-negara yang cuba menggugat Kesatuan dan ada yang
melarang warganegaranya daripada hadir ke perhimpunan. Sejumlah besar ulama
daripada pelbagai negara hadir dan ini meyakinkan kita bahawa umat masih
bersama Kesatuan Ulama. Persidangan ini mengambil berat tentang masa depan
umat.
Wanita
Persidangan ini juga telah
menyeru kepada para ulama mazhab Hanafi supaya membenarkan wanita Islam pergi ke masjid. Sebelum ini
ulama Hanafi berhujah bahawa perkara itu adalah fitnah. Hal ini khusus pada
suatu masa dahulu, namun sekarang wanita telah keluar ke serata medan. Tidak
mungkin bagi kaum wanita membangun tanpa kaum lelaki, dan wanita adalah
kekuatan bagi lelaki. Tidak mungkin lelaki terbang hanya dengan sebelah sayap (bi janahin wahidin). Begitulah
sepertimana kekuatan wanita untuk keluarganya.
Maka Kesatuan berpendirian bahawa
bagi membangunkan wanita maka dizinkan mereka mengunjungi masjid dan para ulama
Hanafi daripada pelbagai negara akur dengan seruan ini.
Dakwah
Persidangan ini juga
membangkitkan tentang dakwah kepada manusia, dakwah kepada Islam. Umat Islam
adalah terdiri daripada umat ijabah –
mereka yang berasal penganut Islam dan umat da’wah
– mereka yang menerima da’wah Islam.
Kesatuan Ulama menyeru umat Islam supaya bersungguh-sungguh menggiatkan dakwah
manusia kepada Islam. Seruan ini memerlukan kefasihan dan kekuatan bahasa,
bagaimana umat hendak menyampaikan ucapan, pengutusan surat, syarahan, ceramah,
lakonan, drama dan dengan setiap wasilah memerlukan dana jutaan dolar dan
penglibatan ribuan manusia.
Syiah
Tentang kritikan terhadap
kesatuan ulama bahawa persidangan ini tidak mempunyai wakil Syiah, jemputan
diberikan tetapi memang Kesatuan tidak akan memanggil mereka. Terdapat
perbedaan yang banyak dan juga mereka berusaha menyerang mazhab Sunni (ghaswu al madhhab al sunni). Mereka
menghantar pendakyah-pendakyah ke benua Afrika dan mereka membayar jutaan
dolar. Mereka tidak mematuhi persefahaman yang telah disepakati oleh Kesatuan
Ulama.
Politikal Islam
Politikal Islam (al Islam al siyasi) tidak akan gagal.
Menyentuh perkembangan di Mesir, kita menolak ungkapan bahawa politikal Islam
gagal di sana. Bahkan politikal Islam telah menang kerana berlaku revolusi
rakyat yang dianggotai pelbagai spektrum rakyat Mesir yang menyertai revolusi (thawrah ammah). Mereka datang daripada
pelbagai latar dan kepercayaan, serta pelbagai umur penyertaan dan revolusi telah
berjaya.
Dunia terkejut kerana Presiden
Mesir yang dipilih rakyat bukan seperti presiden-presiden yang lalu. Presiden
Mesir pilihan demokratik ini memiliki kelayakan tinggi, taraf ilmiah dan
profesional. Dr Morsi seorang hafaz Qur’an, berkhidmat dengan tekun siang dan
malam . Dia sentiasa memperelokkan bacaan Qur’an, bangun untuk qiam al layl dan berpuasa Isnin dan
Khamis dengan konsisten (intizam).
Dia menyeru manusia kepada agama dan dia memiliki janggut (multah). Dengan latar ini, Mesir pula mempunyai pengaruh besar di
dunia Islam (al alam al Islamiy) dan
Barat amat takut akan hal demikian.
Oleh kerana Dr Morsi memiliki
ciri-ciri dan kualiti sedemikian, maka penentang-penentangnya tidak memberikan ruang
atau peluang kepadanya. Malah mereka melawannya dan menyokong musuh-musuh Dr
Morsi, unsur-unsur kuasa terpendam seperti Hosni Mubarak. Musuh-musuh Dr Morsi
memberikan kuasa kepada tentera supaya tidak aman dan tidak stabil perjalanan
dan urusan Ikhwan. Tindakan dan pendakwaan tidak dibuat ke atas perosak-perosak
(mufsidin) dan penyangak-penyangak (al lusus).
Ashabul ‘Aza’im – Orang-Orang
Berazam
Kepada pemuda Islam, “umat kamu
memerlukan kamu” kerana pemuda adalah orang-orang yang mempunyai azam. Pemuda
mewakili kekuatan yang wajib berkhidmat untuk Islam. Tugas mereka tidak akan
dapat dilakukan oleh orang tua atau pun kanak-kanak.
Adalah amat penting diambil berat
ke atas pemuda kerana mereka adalah ruh umat (ruh al ummah) dan ikatannya. Adalah wajib merekrut dan mengkader
mereka supaya berkhidmat untuk islam serta mengajak pula anak-anak mereka bagi membina
umat melalui bahasa dan pendidikan. Pemuda tidak boleh diabaikan kerana umat
memerlukan mereka demi pembangunan (nuhud).
Turki
Sesungguhnya manhaj bakal
presiden yang dipilih, perdana menteri Rejab Tayyib Erdogan dan
saudara-saudaranya yang bersama-sama dalam parti AKP berdiri di atas tasawur
dan kesederhanaan (al ru’ya al alamiyah
wa al wasatiyyah wa al tawazun). Tidak ada ghuluw dan tidak ada kekerasan ( al jafa’). Mereka mewakili kesempurnaan (takamul) dan pembaharuan dalam Islam (tajdid).
Manhaj ini mengambil berat dengan
intipati (jawhar) dan bukan formaliti
(syakliyat) dan inilah manhaj
sejahtera (salim). Mereka bersedia
menerima kritik daripada pihak yang mengkritik.
Semoga Allah bersama mereka dan
memberikan tawfiq yang berpanjangan.
(Ucapan Profesor Yusul al
Qaradawi pada Persidangan Kesatuan Ulama Islam Sedunia al ittihad al alamiyah lil ulama’ al muslimin di Istanbul, laporan
Anadolu Agency)
(Disunting dan diterjemah oleh
Omar Mokhtar bin Hamdan)
No comments:
Post a Comment