Kita hadir atas semangat bersama-sama melestarikian
keunggulan tradisi ilmu gerakan Islam ini. Kekuatan berorganisasi dan paling
kuat tradisi ilmu adalah gerakan Islam ini. Ini harus dipertahankan. Tidak ada erti sahwah Islamiyyah - kebangkitan Islam tanpa sahwah ilmiah - without
intellectual resurgence. Kebangkitan keilmuan adalah teras kebangkitan
dakwah, kebangkitan Islam dan kelangsungan dakwah. Tidak boleh berkompromi
kekuatan ini dalam apa cara sekalipun.
Dengan penuh tawaddu' kita adalah wadah yang membidani
kebangkitan Islam di Malaysia kerana pada waktu itu tidak ada pun pertubuhan
lain. Kompetensi kita adalah wahana bagi mempertahankan, melestarikan dan
merealisasikan kebangkitan Islam. Keprihatinan - concern- kita haruslah kepada pembawa rahmatan lil alamin - misi besar penuh belas kasih sayang.
Adalah menyedihkan sekiranya kebangkitan ini hanya untuk
bersumpah seranah, memaki hamun dan marah-marah. Sedangkan Islam sampai ke sini
dengan wajah senyuman manis - datang ke rantau ini dengan penuh rahmah - Islam came to this region with smiling faces.
Apabila kita berbicara begitu kepada seorang sarjana Barat, dia tersentuh lalu
menjawab, "then, keep on smiling"
- "teruskan dengan senyuman anda".
Bagaimana mungkin agama rahmah tiba-tiba menjadi acara agama
marah-marah.
Kita mengambil tema rahmatan
lil 'alamin demi kesetiaan kepada risalah
islamiyyah. Bagaimana hendak diterjemahkannya kepada gagasan-gagasan yang
realistik, itulah cabarannya. Berucap tentangnya memang senang tetapi masakan
kita beku di takuk teori-teori Islamik tanpa gagasan realistik. Ini yang perlu
dikejar dan dikerjakan.
Kita sangat prihatin terhadap toleransi dan harmoni di
antara penganut agama. Kita anjurkan konsep bangsa Malaysia berasaskan sahifah Madinah. Kita manfaatkan
kekuatan tradisi Islam dalam berdialog di antara agama. Rantau ini terkenal
sebagai terkaya dari segi dialog ketamaddunan - richest in terms of civilizational dialogue. There is no other region
where all great religions meet. Telah berlakulah dialog, bukan maksud dialog
itu berforum tetapi interaksi dalam sejarah hingga terbentuk suatu hubungan
antara kaum yang harmonis tetapi kekal dengan jati diri masing-masing.
Kita tolak idea peleburan - melting pot. Melting pot
ibarat kawah besar di mana semua ramuan dimasukkan dan dimasak lebur dan
habislah semua jati diri masing-masing. Di sini tidak berlaku begitu, apa yang
berlaku mirip bineka tunggal ika -
berpelbagai tetapi tetap bersatu atau apa yang disebutkan oleh Muhammad Imarah
sebagai "kepelbagaian dalam bingkai kesatuan". Inilah yang kita
promosikan sebagai dasar dan siapakah yang berani mengkonsepsikan idea ini.
Malaysia masih belum mempunyai banyak idea-idea pemikiran.
Aktiviti politik berlambak tetapi pada gagasan besar politik, kita miskin
sekali. Ada yang berani dengan idea-idea besar seperti Burhanuddin Helmi dan
Anwar Ibrahim. Ada ramai yang lain yang berapi-api tetapi tanpa gagasan besar.
Burhanuddin Helmi telah mencadangkan sesuatu yang berani
iaitu menjadikan semua orang satu rakyat dengan mengangkat Melayu sebagai
istilah yang akomodatif, inklusif dan
menyatukan semua tanpa mengira negeri asal. Samada dipersetujui, realistik atau
dipertikaikan, itu persoalan lain. Di sini terletak kecemerlangan idea dan
keberanian politik. Jika kepimpinan tidak mempunyai idea lagi maka habislah
kita. Kalau kita tidak lagi mampu menyumbang idea kepada umat, talkinkan saja, halas, tamat.
Kita telah sedar sejak awal lagi tentang realiti kemajmukan
yang tidak boleh dinafikan. Mereka yang menafikannya samada sedang bermimpi
atau ketinggalan dan masih belum realistik sehingga tidak menyedari
kewarganegaraan yang majmuk.
Pada muktamar sanawi ABIM 1979 di UKM, Anwar Ibrahim telah
menyampaikan ucapan dasar "Islam sebagai Penyelesaian Masyarakat Majmuk".
Jika dilihat kepada ucapan dasar Muktamar Nasonal Wadah ke 6 dan yang terbaru,
kita akan lihat perkembangan pemikiran kita dalam menangani pluraliti di
Malaysia. Apa yang cuba kita lakukan adalah pengembangan ucapan Anwar Ibrahim
pada 1979.
Ada yang berasa sangat alergik kepada pluralisme - suatu
alahan yang keterlaluan. Walhal istilah pluraliti itu adalah zahir al ta'dud - kemajmukan. Pluralisme
itu pula adalah bagaimana untuk menangani pluraliti - how to manage plurality. Ini bukan samasekali pluralisme John Hick
(yang ingin cuba menyamakan semua agama). Profesor Emeritus Osman Bakar
bertegas mengatakan bahawa tidak ada salahnya pada perkataan pluralisme asalkan
maknanya jelas - "how we view and
manage human plurality and diversity is what gives rise to pluralism".
"There is such a thing as Islamic
pluralism and Islamic pluralism differs in many aspects from certain ideas or
concepts of pluralism." Oleh itu, beradablah kita dengan tokoh seperti
Profesor Osman Bakar yang berilmu dan komitted bertungkus lumus di dalam dunia
keintelektualan hingga diiktiraf sebagai ilmuan antarabangsa.
Kita manfaatkan sejarah dialog di antara agama di rantau ini
dan dunia Melayu mempunyai pengalaman yang kaya dalam suasana yang harmonis.
Tetapi kenapa akhir-akhir ini seolah-olah ada yang terancam. Oleh itu realiti
alam Melayu mesti diambil kira. Fiqh Indonesia, fiqh Malaysia harus dianggap
sebagai sumbangan besar kepada umat Islam - semuanya harus dianggap khazanah
pemikiran dunia Islam. Candi-candi Bodur-Bodur tidak diruntuhkan di Indonesia
malah menjadi pusat ziarah pelancongan.
Oleh itu adakah kita berani untuk memajukan konsep bangsa
Malaysia yang disebut sebagai suatu sasaran Wawasan 2020. Kitalah yang sendiri
mengetahui realiti Malaysia. Setelah 60 tahun, Rustam A Sami mengatakan... Malaysia is a state without nation or a
state with several competing nations. Seperti luahan puisi Usman Awang
kerana sudah sekian lama belum tercapai idealisme bangsa itu. Bukanlah kita
sahaja yang menginginkan gagasan ini malah ramai lagi.
Apabila kita gagaskan konsep bangsa Malaysia, kita tidak
boleh lari daripada prinsip Islam dan kerana itu kita utarakan konsep sahifa Madinah - ummah siyasiyah, ummah
wataniyyah bersama ummah dinniyah.
Non muslim adalah ummah ma'al muslimin.
Dengan acuan kita tersendiri.
Akhirnya, matlamatnya adalah supaya terlaksana al muwatanah al kamilah - full citizenship for all citizens.
Sekiranya kita selaku yang digelar sebagai Islamis tidak berani memberi
komitmen kepada kewarganegaraan penuh untuk semua, mereka tidak akan mahu lagi
mendengar kita kerana idea golongan sekularis akan lebih menyakinkan. Tidak ada
sesiapa yang rela dianggap warganegara kelas dua. Lahum ma lana wa `alayhim wa `alayhim ma `alayna- "mereka
berhak tentang apa yang mereka dapat dan mereka menanggung apa yang kita
tanggung".
Catatan kasar Tamrin WAP Mawaddah Resort Batu Kurau
No comments:
Post a Comment