Tuesday, September 27, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: DEMI AMANAH DAKWAH



Demi Memelihara Amanat al Da’wah

Kita sorot persoalan islah dengan gelora yang sedang berlaku iaitu gelora reformasi. Gerakan islah mesti hadir di mana-mana termasuk di dalam gerakan reformasi ini. Bermula pada 1998, diharap akan bergelora lagi pada tahun-tahun mendatang.

Daripada awal lagi kita merangkaikan reformasi dengan islah – reformasi islahiy. Gerakan reformasi kebangkitan rakyat, gelombang kebangkitan rakyat mesti dijiwai dengan nilai-nilai dan prinsip prinsip islah. Gerakan reformasi umumnya terdapat pelbagai unsur, fahaman dan ideologi. Prinsip islah mesti dominan. Kini pelbagai pihak memasuki arus gelombang reformasi ini termasuk bekas perdana menteri yang bertanggungjawab menjadi pokok pangkal punca masalah. Periodnya itu banyak membawa kerosakkan dan menyusahkan orang dengan  pelbagai cara menakut-nakutkan. Institusi-institusi dan sistem-sistem dirosakkan. Sistem pembahagian kuasa digugat, rakyat dikelirukan dan ditakut-takutkan. Sebab itu prinsip reformasi islahiy mesti dominan.

Islah bukan aktiviti atau kegiatan. Islah adalah perjuangan. Perjuangan seperti diungkapkan oleh Nabi Shuaib a.s. “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah) sedaya upayaku” (ayat 88 surah Hud). Anwar Ibrahim seorang yang sangat memahami Islah sebagai satu perjuangan. Kita lihat perjalanan hidupnya, keluar masuk penjara, bukan kerana pangkat, kedudukan atau kerjaya. Baginya yang lain bukan keutamaan. Dia sangat memahami bahawa islah itu adalah perjuangan sepenuh masa dan sepenuh hati.

Dia pernah berkata orang yang mementingkan ijazah dan kerjaya daripada perjuangan adalah selfish. Ini telah menusuk ke hati apabila mendengarnya. Tetapi ketegasan itu adalah supaya kekuatan dan keutamaan ditumpu kepada gerakan islahiy sewaktu itu. Anwar Ibrahim mendidik, membina generasi itu untuk menjadikan islah ini agenda utama ke mana saja kita pergi. Hatta jika menjadi Naib Canselor Universiti Islam itu pun mesti membawa misi islah. Islah bukan kerjaya, bukan career. Misi islah itu agenda utama.

Kita tidak boleh berharap banyak daripada kerajaan berkenaan islah. Mungkin semasa Anwar Ibrahim bersama dalam kerajaan, dia membawa agenda islah tetapi selepas itu tidak banyak boleh diharapkan. Komitmen islah tidak dapat dijamin lagi dan hanya dipilih agenda yang menguntungkan pemerintah dan membawa kepada kekuasaan. Pemerintah hanya mementingkan kekuasaan. Kerajaan dan pemerintah melihat islah demi kekuasaan.

Fiqh yang diguna pula agak pelik dan ganjil serta tidak membantu islah. Fiqh yang menindas rakyat. Fatwa-fatwa yang ganjil muncul bagi menentang demonstrasi menuntut pembersihan proses pilihanraya, ataupun membangkitkan tuduhan kafir harbi ke atas sebuah parti politik. Kini kita amat perlu kepada fiqh baru – fiqh taharur (kebebasan) atau fiqh tamkin (pemberdayaan)  bukan fiqh istibdad (penindasan). Rakyat dilemahkan, dilumpuhkan, diperbodohkan sehingga tak berdaya berdepan dengan pemerintah yang bertambah kuat.

Kepada generasi sekarang, tidak cukup sekadar pencapaian wanita  memakai tudung. Itu perjuangan generasi dulu. Seterusnya mereka yang memakai tudung sekarang perlu cerdas, berani, mengetahui hak-hak dan bebas daripada pemikiran perhambaan.

Parti-parti politik pula terikat dengan berusaha meraih undi terbanyak. Parti-parti politik berorientasikan Islam pula boleh berubah dan boleh cenderung kepada sikap perkauman.

Yang kita menaruh harapan dan penuh perhatian adalah kepada gerakan dakwah seperti ABIM, PKPIM dan WADAH – gerakan kerakyatan, gerakan keumatan – gerakan ummatik. Gerakan yang mempunyai kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan, mempunyai wawasan dan tradisi keilmuan yang kuat. Kita percaya kepada rangkaian pergerakan kita.

Demi memelihara amanat al da’wah, masalah kita bukan dengan orang lain, bukan masalah persaingan. Kita tidak bersaing dengan parti-parti politik atau mana-mana parti. Tetapi yang menjadi kecemburuan kita ialah amanat al da’wah.

Islam mesti disampaikan dalam bentuk dan hakikatnya yang sebenar. Sekarang Islam sedang mengalami pencemaran – pencemaran imej, pencemaran citra. Citra Islam sudah digambarkan tidak semurni sebagaimana semestinya. Orang telah mendapat gambaran Islam yang menakutkan, suatu yang bengis kerana mendapat gambaran itu daripada pihak-pihak tertentu.


Dalam keadaan seperti itu, kita tercabar untuk mengemukakan Islam dalam wajahnya dan citranya yang murni dan impresif. Masalah yang ada adalah masalah amanat al da’wah. Bagaimana mungkin orang yang komited kepada perjuangan dakwah berpuluhan tahun selama ini tidak merasakan apa-apa apabila Islam dicorakkan dan diwarnakan mengikut selera masing-masing demi kepentingan sendiri.


(Ucapan Dr Siddiq Fadzil, Ketua Majlis Isytishaari WADAH Pencedasan Umat pada MPAT ke 55 PKPIM)

Wednesday, September 7, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: MELAWAN BUDAYA TAKUT: DAKWAH DAN PEMBERDAYAAN UMAT



MUKNAS10
MELAWAN BUDAYA TAKUT:  DAKWAH
DAN  PEMBERDAYAAN UMAT

Siddiq Fadzil

(Pidato Sambutan Muktamar Nasional ke-10,  Wadah Pencerdasan
Umat Malaysia,  4hb September 2016,  Hotel Bangi-Putrajaya).

Muktamar Nasional ke-10 menghantarkan kita memasuki dekad kedua dalam pembabakan sejarah WADAH sebagai gerakan pencerdasan dan pencerahan.  Hari ini kita merakamkan suatu kesaksian  bahawa wadah tercinta ini telah mencipta prestasi yang cukup bererti, khususnya dalam konteks daerah  lingkaran dakwah yang lebih luas dan inklusif.   Dengan semangat rahmatan li al-`alamin kita rentasi sempadan kaum,  kita lintasi batasan agama.  Komunikasi dan dialog dengan masyarakat bukan Islam sedang memasuki tahap yang lebih intensif dan ekstensif.   Memang kita adalah umat ukhrijat li al-nas,  umat yang ditampilkan untuk menyantuni warga kemanusiaan sejagat.


Menangani Pluraliti

Dalam melaksanakan misi dakwah pencerdasan dan pencerahan kita selamanya dipandu fiqh al-waqi`,  fiqh realiti kemalaysiaan  dengan segala keunikannya.  Apa yang selama ini kita sebut manhaj maliziy dalam pendakwahan sebenarnya tidak lain adalah sejenis fiqh kontekstual yang terhasil dari  dialektika  teks dengan konteks,  dialog   nass dengan waqi`.   Antara realiti yang sentiasa kita perhitungkan   ialah hakikat kemajmukan atau pluraliti masyarakat  Malaysia yang menuntut kefahaman yang mendalam tentang fiqh al-ta`addudiyyah (fiqh pluraliti) yang meliputi persoalan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia, prinsip keadilan,   nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan seterusnya tata susila  kesantunan hidup berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.   Kemajmukan masyarakat Malaysia adalah lahan paling subur untuk menumbuhkan fiqh al-ta`ayush atau fiqh co-existence   dalam pengertian tata aturan hidup berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga pelbagai agama dan budaya.  Yang harus kita bina di Malaysia ketika ini bukan fiqh al-harb (fiqh perang),  tetapi fiqh al-ta`ayush.  Gagasan ini harus kita tekuni dengan serius.   Memang kitalah yang harus mempeloporinya.    Dalam kaitan ini kita tidak boleh melupakan  fakta  kepeloporan Sdr. Dato’ Seri Anwar Ibrahim  sebagai penggagas pertama projek Islam dan pluraliti  sebagaimana yang diungkapkannya dalam Ucapan Dasar Presiden ABIM tahun 1979,  Islam – Penyelesaian kepada Masalah Masyarakat Majmuk..

Pidato kepresidenan yang diucapkan 37 tahun yang lalu itulah yang menjadi asas pengembangan wacana Islam dan kemajmukan hingga hari ini.   Dari sanalah berpangkalnya gagasan pembinaan bangsa Malaysia berasaskan formula dasar “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”  dengan Piagam Madinah sebagai acuan.   Gagasan  yang berteraskan konsep ummah siyasiyyah yang inklusif ini adalah sebahagian daripada usaha membawa Islam ke arus perdana dan berperanan positif dalam proses nation building


Pemugaran Wacana Maqasid al-Shari`ah

Bersama  Dato’ Seri Anwar Ibrahim kita telah berusaha menyegarkan wacana maqasid al-shari`ah di tengah umat.  Kesungguhan beliau dalam pengembangan  al-fikr al-maqasidiy (pemikiran berasaskan maqasid) memang cukup jelas.    Dalam siri wacana jelajah maqasid beliau banyak mempromosikan pemikiran maqasidi al-Shaykh Muhammad al-Tahir ibn `Ashur  (tokoh pembangkit kesedaran baru tentang kepentingan maqasid al-shari`ah pertengahan abad 20).  Malah dalam pidato-pidatonya sebagai pengasas dan penggagas  World Forum for Muslim Democrats,  Dato’ Seri Anwar Ibrahim sentiasa menggarisbawahi peranan maqasid al-shari`ah sebagai landasan amalan demokrasi dan tatakelola yang baik (good governance).   Seiring  dengan komitmen maqasidi  Dato’ Seri Anwar,  kita juga sedang serius menekuni kajian al-maqasid,  termasuk usaha pengemasan  maqasid al-shari`ah sebagai nilai-nilai sejagat.   Kita promosikan nilai-nilai sejagat maqasid  sebagai jambatan penghubung antara pelbagai kaum, agama dan budaya.  Justeru,  sebagaimana yang disebut oleh  al-Shatibiy (Shaykh al-maqasid)  bahawa maqasid al-shari`ah  yang terumus pada al-kulliyyat atau al-daruriyyat yang lima itu adalah kesepakatan seluruh umat dan semua agama.   Selain itu kita juga memberikan komitmen dukungan kepada hasrat kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan maqasid al-shari`ah sebagai landasan segala dasar pentadbirannya.     


Moral Politik dan Pemberdayaan Rakyat

Muknas ke-10 menjadi sangat penting kerana ia berlangsung di tengah kemelut moral politik yang terjelma dalam praksis “mentang-mentang berwewenang,  lalu berperilaku sewenang-wenang”,   merosak trias politica (prinsip pemisahan kuasa lagislatif, eksekutif dan kehakiman),  memperalat institusi perundangan negara untuk memenjara dan mendera saingan politik,  menghukum pegawai-pegawai kerajaan yang setia melaksanakan prinsip dan nilai integriti,   memfitnah dan melakukan character  assassination,   menyalahgunakan dana rakyat dalam jumlah  bilionan ringgit sehingga menjadi aib nasional,  melakukan pemborosan wang rakyat untuk membiayai selera gaya hidup mewah orang-orang tertentu,  dan pelbagai skandal lain yang tidak terhitung banyaknya.   Semuanya berlaku di tengah ketidakberdayaan rakyat  bertindak sebagai kekuatan massa pencegah kemungkaran.   Rakyat yang telah dilumpuhkan kekuatannya, dikacau-bilaukan nilai-nilai hidupnya dan dirosakkan kemanusiaannya,   gagal menjadi effective citizens.    Segala yang menimpa negara dan rakyat ketika ini mengingatkan kita kepada puisi  W.S.Rendra tentang Indonesia pada penghujung abad lalu. Antara bait-bait puisi panjang yang berjudul  Kesaksian Akhir Abad itu:

                        O, Indonesia! Ah, Indonesia!
                        Negara yang kehilangan makna!
                        Rakyat sudah dirusak asas tatanan hidupnya.
                        Berarti sudah dirusak dasar peradabannya.
                        Dan akibatnya dirusak pula kemanusiaannya.
                        Maka sekarang negara tinggal menjadi peta
                        itu pun peta yang lusuh
                        dan hampir sobek pula.

                        Pendangkalan kehidupan bangsa
                        telah terjadi.
                        Tata nilai rancu.
                        Dusta, pencurian, penjarahan,
                        dan kekerasan halal.

                        Manusia sekadar semak belukar
                        yang gampang dikacau dan dibakar.
                        Paket-paket pikiran murah dijajakan.
                        Penalaran amarah yang salah
                        mendorong rakyat terpecah belah.

Kemelut yang sedang menimpa negara ini bukan lagi urusan eksklusif parti-parti politik.   Tetapi sudah seharusnya menjadi  keprihatinan seluruh rakyat,  termasuk pertubuhan-pertubuhan dakwah,  badan-badan advokasi dan seluruh warga masyarakat madani.  Dalam hubungan inilah kritikalnya peranan gerakan dakwah tampil sebagai kekuatan massa umat.  Dakwah sebagai gerakan kerakyatan bukan sekadar kegiatan rutin ceramah-ceramahan,  atau sekadar penghias upacara kenegaraan:   Maulid al-rasul, Ma`al hijrah dan lain-lain sejenisnya.  Untuk menjadi a religio-cultural force yang berimpak besar, gerakan dakwah seharusnya  memberikan tumpuan pada agenda pemberdayaan rakyat.  Justeru,  selama ini rakyat telah dilemahkan   dan dilumpuhkan sedemikian rupa sehingga tidak mampu berbuat apa-apa  terhadap segala kemungkaran yang leluasa berlaku di hadapan mata.   Keberanian dan daya lawan mereka hilang setelah sekian lama terbelenggu dalam cengkaman budaya takut (culture of fear).


Melawan Budaya Takut (Culture of Fear)

Budaya takut adalah projek orang-orang politik untuk mendapatkan dukungan dengan cara menakut-nakutkan rakyat.   Memang definisi konvensional culture of fear ialah the concept that people may incite fear in the general public to achieve political goals through emotional bias.   Dalam bukunya The Culture of Fear,  Barry Glassner menyebut ahli-ahli politik sebagai salah satu kelompok the peddlers of fear.   Rasa takut yang membudaya tidak hanya akibat propaganda politik,  malah seringkali akibat ancaman, penindasan dan penderaan oleh pihak berkuasa.   Budaya inilah yang telah mengecil dan mengerdilkan  rakyat,  sehingga kata “rakyat” selalu dirangkaikan dengan kata “kecil”, lalu menjadi “rakyat kecil”.   Ironis memang,   ada istilah “rakyat kecil”,  tetapi tidak ada istilah “rakyat besar”.      Bagaimana rakyat boleh mengecil,  dan sebaliknya kerajaan menjadi begitu besar, sedang slogan yang selalu dikumandangkan adalah “kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”?  Dalam kaitan inilah pentingnya tulisan al-Raysuniy,   al-Ummah Hiya al-Asl,  bahawa yang sebenarnya menjadi  induk dan tonggak adalah umat (rakyat),  sedang kerajaan hanya alat pelaksana kemahuan umat.

Dalam rangka pemberdayaan rakyat inilah gerakan dakwah harus mampu menjadi kekuatan pembebas dari budaya takut.    Yang pertama harus dibebaskan dari budaya takut tidak lain adalah para pendakwah sendiri.   Misi Islam sebagai agama pembebasan tidak akan terlaksana di tangan pendakwah-pendakwah penakut.   Ciri pendakwah sejati  adalah tidak takut kepada siapa pun dan apa pun selain Allah.   Demikianlah pemerian al-Qur’an tentang watak para pengemban  risalah Tuhan:


                        (iaitu)  orang-orang yang menyempaikan risalah-risalah Allah,
                        mereka takut kepada-Nya dan tidak merasa takut kepada siapa
                        pun  selain  Allah.     Dan  cukuplah  Allah  sebagai   Pembuat
                        perhitungan.   (Al-Ahzab:39.)

Pembinaan etos dan watak bangsa harus diangkat menjadi agenda utama,   dengan memugar  nilai-nilai unggul  terutama nilai al-shaja`ah (keberanian)  yang semakin  pupus  ditindih dan ditindas budaya takut.   Tanpa keberanian,  tidak akan ada perubahan.   Maklumat tentang kebobrokan yang berlaku    -   sebanyak mana dan selengkap mana pun  -  tidak akan dapat merubah sikap rakyat selagi mereka masih terbelenggu dalam budaya takut.    Demikianlah yang terjadi kepada rakyat Mesir zaman Nabi Musa (`a.s.).   Mereka  hadir beramai-ramai  pada yawmu al-zinah di lokasi perlawanan  antara Musa `a.s. dengan ahli-ahli sihir Fir`awn,  dan mereka menyaksikan dengan mata terbelalak  kemenangan mutlak Musa `a.s. yang sekali gus membuktikan kebenaran kerasulannya.    Tetapi  mereka  tetap tidak berani  beriman  kerana takut kepada Fir`awn dan pendukung-pendukungnya.  Budaya takut yang dibina oleh pemerintahan Fir`awn dan kesannya ke atas rakyat  itu disebut dalam al-Qur’an:

                        Maka tidak ada yang beriman kepada Musa,   selain keturunan
                        dari kaumnya dalam keadaan takut bahawa  Fir`awn dan para
                        pemuka  (kaum)nya  akan  menyiksa  mereka.     Dan  sungguh,
                        Fir`awn  itu  benar-benar  telah  berbuat sewenang-wenang  di
                        bumi,  dan benar-benar termasuk orang yang melampaui batas.
                        (Yunus:83).

Begitulah hakikatnya,    kebenaran yang terbukti sedemikian jelas tidak dapat merubah sikap (mengalihkan dukungan dari Fir`awn kepada Musa `a.s.) semata-mata kerana takut.  Damir dan hati nurani mereka seolah-olah telah mati ditindas ketakutan.   Kerana itu gerakan pemberdayaan harus berpangkal dari perjuangan menghidupkan hati nurani umat dengan iman dan pencerahan.    Al-Qur’an memberikan kita keyakinan bahawa hati yang mati boleh dihidupkan kembali (dengan izin Allah):

                        Dan  apakah  orang yang sudah  mati lalu Kami hidupkan dan
                        Kami  beri  dia cahaya  yang  membuatnya  dapat  berjalan  di
                        tengah-tengah orang banyak,  sama dengan orang yang berada
                        dalam kegelapan,   sehingga  dia tidak dapat keluar dari  sana?
                        Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang kafir
                        terhadap apa yang mereka kerjakan. (Al-An`am:122).

Optimisme  bahawa hati yang mati boleh hidup kembali terungkap juga dalam bait-bait puisi Rendra seterusnya:   

                        Negara tak mungkin diutuhkan
                        tanpa rakyatnya dimanusiakan.
                        Dan manusia tak mungkin menjadi manusia
                        tanpa dihidupkan hati nuraninya.

                        Hati nurani adalah hakim adil
                        untuk diri kita sendiri
                        Hati nurani adalah sendi
                        dari kesadaran
                        akan kemerdekaan peribadi.

                        Dengan puisi ini aku bersaksi
                        bahwa hati nurani itu
                        meski dibakar
                        tidak bisa menjadi abu.

                        Hati nurani senantiasa bisa bersemi
                        meski sudah ditebang putus di batang.
                        Begitulah fitrah manusia
                        ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.

Apabila al-Qur’an menyebut, “…dan Kami beri dia cahaya yang membuatnya dapat berjalan di tengah-tengah orang banyak,…”  maksudnya adalah pencerahan nur hidayah Qur’ani,  yang dengannya  manusia dapat melihat segalanya dalam wajah dan hakikat sebenarnya.   Manusia yang enlightened setelah mengalami pencerahan Qurani tidak akan tertipu dengan Fir`awn yang berwajah Musa, atau Qarun yang berwajah Harun.  Manusia yang enlightened tidak akan mengkhianati  suara hati nuraninya sendiri.   Mereka menyikapi dan melayani manusia mengikut martabat, kualiti dan posisi hakikinya.  Mereka tidak akan melayani menteri sebagai selebriti yang didewa dan dipuja,  sebaliknya sebagai pelaksana amanah rakyat yang harus diminta pertanggungjawabannya,   termasuk akaun peribadinya,  “min ayna laka hadha?”  (dari mana kau perolehi ini  semua?).     Pertanggungjawaban seperti itulah yang dilakukan oleh Amir al-Mu’minin `Umar ibn al-Khattab r.`a. ketika dituntut penjelasannya tentang bajunya yang berukuran  melebihi ukuran baju orang lain.   Sesuai dengan amalan kepimpinan yang telus (transparent leadership) beliau layani tuntutan tersebut dengan fakta dan data,  nothing to hide yang memuaskan semua,  bahawa beliau tidak mengambil hak orang lain.   Lebihan kain bahan bajunya yang dipermasalahkan itu adalah jatah (habuan) anaknya sendiri yang dengan rela diberikan kepada ayahnya yang bertubuh besar sehingga memerlukan tambahan bahan bajunya.

Demikianlah suatu catatan abadi tentang ketulusan dan ketelusan pemimpin, tentang keberanian dan kebebasan  umat; suatu kesaksian sejarah tentang  daulat rakyat yang setianya bersyarat.  Sejarah tersebut pada hakikatnya adalah sejarah kita sebagai umat,   sejarah yang terukir ketika umat memiliki hati nurani dan jiwa merdeka.  Sudah saatnya umat ini dimerdekakan dari indoktrinasi fiqh al-istibdad (fiqh penindasan),  dan dimanusiakan menerusi fiqh al-taharrur (fiqh pembebasan). 


Dakwah Memerangi Rasuah

Hanya dengan hati nurani yang hidup dan jiwa merdeka yang peka, rakyat mampu mencegah segala bentuk kezaliman dan kemungkaran,  terutama rasuah yang kini kian membarah.  Perbuatan keji itu tampaknya tidak lagi dilakukan sendiri-sendiri dan sembunyi-sembunyi,  tetapi sudah wujud gejala “rasuah secara berjamaah”.   Gejala sedemikian itulah yang diungkapkan oleh Rendra lewat puisinya,  Pantun Koruptor:

                        Terang bulan terang di kali,
                        Buaya timbul disangka kiyai,
                        Katanya ada reformasi,
                        Nyatanya tetap korupsi di sana-sini.

                        Kalau ada sumur di ladang,
                        Jangan diintip gadis yang mandi,
                        Koruptor akalnya panjang,
                        Jaksa dan hakim diajak kompromi.

                        Berburu ke padang datar
                        Dapat janda belang di kaki
                        Koruptor sakit diizin bersiar,
                        Wang rakyat dibawa lari.

                        Berakit-rakit ke hulu,
                        Berenangnya kapan-kapan,
                        Maling kecil sakit melulu,
                        Maling besar dimuliakan.

                        Kura-kura dalam perahu,
                        Buaya darat di dalam sedan,
                        Wakil rakyat jangan ditiru,
                        Korupsinya edan-edanan.

                        Si tukang riba disebut lintah darat,
                        Si hidung belang disebut buaya darat,
                        Pedagang banyak hutang itulah konglomerat,
                        Mereka yang berhutang, yang bayar lha kok rakyat!

                        Aduh cantiknya si janda kembang,
                        Sedap menyanyi si jali-jali,
                        Hujan emas di rantau orang,
                        Hujan babu di negeri sendiri.     

Khatimah

Kita berkongsi keprihatinan dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang rasuah yang begitu leluasa dalam kalangan kerajaan-kerajaan pimpinan orang Islam.  Katanya, “Indeed, it is ironic that corruption (which is the worst form of the abuse of trust) and abuse of power continue to be among the ‘notorious hallmarks’  of most Muslim governments.”      Kita sahut seruan beliau agar rakyat diselamatkan kemanusiaannya dengan memperjuangkan  keadilan sosial.  Justeru,  tanpa keadilan sosial manusia akan kehilangan kemanusiaannya,  “Absent of social justice, the poor get poorer, the weak become weaker while the rich become richer and the strong, even stronger.  A vicious cycle follows going beyond material inequities,  those at the short end of the social stick are then threatened at the core.  This strikes at the very heart of being human  -  the dignity of man. 
        

Rujukan:

Al-`Abd al-Karim,  Muhammad.  2013.  Tafkik al-Istibdad:Dirasat Maqasidiyyah fi Fiqh
                        al-Taharrur min al-Taghallub.  Beirut: Al-Shabakat al-`Arabiyyah li al-
                        Abhath wa al-Nashr.

Al-Kawakibiy, `Abd al-Rahman.  2006. Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad.
                        Beirut:  Dar al-Nafa’is.

Al-Raysuniy, Ahmad.  2014.  Al-Ummah Hiya al-Asl.  Kaherah: Dar al-Kalimah.

Anwar Ibrahim.  2014.  World Forum for Muslim Democrats Concept Paper,  presented
                        for preparatory meeting organized by Sasakawa Peace Foundation in
                        Jakarta on 22nd May 2014.

Glassner, B. 1999.  The Culture of Fear: Why Americans are Afraid of the Wrong Things.
                        New York:Basic Books.

Rendra, W.S.  2013.  Doa Untuk Anak Cucu.  Yogyakarta: Bentang.

Siddiq Fadzil.  2016.  Pembinaan Bangsa:  Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan.  Shah
                        Alam: Institut Darul Ehsan (IDE).


Hotel Bangi-Putrajaya: 04092016.



Monday, September 5, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: SETIA RAKYAT DAN INTEGRITI PEMIMPIN



Gerakan pencerdasan dan pencerahan umat merakamkan suatu kesaksian berprestasi cukup bererti khususnya dalam lingkaran dakwah yang lebih luas dan inklusif. Lintasan berbeda agama dan bangsa, berdialog secara intensif dan ekstensif dengan warga bukan Islam. Kita menyambut memaknai seruan umat ukhrijat linnas menyantuni umat sejagat.


Fiqh Waqi dan Maqasid Shariah

Fiqh waqi’i – fiqh realiti  memandu kita dengan keunikan Malaysia – fiqh Malaizie iaitu fiqh kontekstual. Kita berdialog berpandukan nas dan waqi’, menyedari realiti hakikat kemajmukan, realiti masyarakat Malaysia. Berpandukan fiqh pluraliti – fiqh al ta’dudiyat mengenai hak asasi manusia, nilai kemanusiaan dan tatasusila kehidupan dalam masyarakat majmuk. Ini menjadi lahan persekitaran subur bagi mengamalkan fiqh ta’ayush – fiqh coexistense – kehidupan bersama secara damai. Kehidupan bersama dalam harmoni dengan kesalingan agama serta bangsa yang harus dibincang bukan fiqh harbi, bukan fiqh perang.

Gagasan kedamaian inilah yang kita pelopori. Kita tidak boleh lupa Anwar Ibrahim (hafizahullah) telah mengutarakan gagasan Islam dan pluraliti pada muktamar ABIM 1979 menganjurkan Islam sebagai penyelesaian masyarakat majmuk 37 tahun yang lalu. Idea ini menjadikannya asas memperlihatkan keunggulan Islam. Saranan pembentukan bangsa Malaysia dengan kerangka kepelbagaian dalam bingkai kesatuan diajukan. Siyasah inklusif baru ini menjadikan Islam arus perdana perpaduan negara – contributing to positive nation building.

Dengan Anwar Ibrahim, kita telah berusaha dengan gagasan maqasid shariah, membawa fikrah maqasidi. Anwar Ibrahim telah mengadakan jelajah maqasid, dan di antaranya memperkenalkan karya Ibn Ashur tokoh maqasid shariah abad lalu. Pada wadah World Forum for Muslim Democrats, Anwar Ibrahim menekankan penggunaan maqasid shariah dalam tata kelola – good governance. Di atas komitmen Anwar, berlaku usaha pengluasan maqasid shariah sebagai nilai sejagat – universal values – sebagai penghubung dan jambatan - ruang persefahaman – common ground pelbagai agama.

Maqasid shariah seperti diolah pada al kulliyat al khamsat – (lima prinsip kemaslahatan) boleh menjadi kesepakatan umat Islam dan semua agama di dalam perihal daruriyat. Maqasid shariah membolehkan dasar-dasar pentadbiran disepakati bersama.


Kemelut Kepimpinan

Kita berada dalam kemelutan politik apabila mentang-mentang pihak yang menang pilihanraya maka berlakulah tindakan sewenang-wenangnya. Prinsip pengasingan kuasa diketepikan dan seluruh jentera pentadbiran dan kehakiman diperalatkan. Maka dilakukan fitnah dan pembunuhan watak – character assassination. Salahguna wang rakyat, perbelanjaan boros, ketirisan, gaya hidup mewah orang-orang tertentu dan skandal banyak tak terhitung.

Massa dan rakyat sebagai kuasa pencegah penyelewengan dilumpuhkan dan dirosakkan. Akibatnya kacau bilau dan hilang kewarasannya. Rakyat gagal menjadi warga yang bermakna – fail to become effective citizens, dignified citizens. Maka rosaklah dasar peradaban tantangan hidup, rosaklah rakyatnya.

Agama perlu bangkit sebagai liberating force – daya liberatif membebaskan rakyat daripada terbelenggu dengan budaya takut – culture of fear. Budaya takut adalah permainan orang politik, orang berkuasa menakut-nakutkan dan memperkecilkan serta mengkerdilkan rakyat. Rakyat kecil takut berdepan dengan orang besar.

Raisuniy berkata, ethos dan watak bangsa bebas mesti memiliki agenda syaja’a – keberanian kerana tanpa keberanian tiada perubahan. Maklumat banyak tentang penyelewengan yang berlaku dan diketahui ramai tidak akan membawa perubahan kerana  budaya takut.

Begitulah sikap rakyat Fir’aun apabila melihat dan menyaksikan pertembungan Nabi Musa a.s. dengan ahli-ahli sihir Fir’aun. Mereka melihat sendiri kemenangan Musa a.s. tetapi mereka tidak beriman kerana takut kepada Fir’aun dan al mala’ – para pendokongnya.

Kebenaran yang jelas terbukti tidak dapat mengalihkan pandangan rakyat jika dhamir dan hati mereka telah mati akibat ketakutan. Oleh itu hati nurani umat hanya akan hidup dengan cahaya iman dan Islam.

Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia kami hidupkan dan kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya?…” (al-An’am: 122)

Inilah optimisme bahawa hati yang  mati boleh dihidupkan kembali. Rakyat perlu dimanusiakan, perlu dihidupkan hati nuraninya yang suci. Dengan pencerahan nur hidayah qur’aniy, manusia dicerdaskan – enlightened dan tidak akan tertipu dengan pembohongan Fir’aun.

Si menteri tidak sepatutnya dilayani seperti selebriti untuk dipuja tetapi sebagai manusia yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan oleh rakyat. Rakyat mesti tanya, “Dari mana kamu perolehi ini semua?”

Khalifah Umar al Khattab r.a. pernah ditanya tentang ukuran bajunya. Dia melayaninya dan menjawab dengan fakta bagi menyakinkan si bertanya bahawa dia tidak mengambil hak orang lain. Umar telah mengambil bahagian kain anaknya Abdullah ibn Umar r.a. kerana tubuhnya besar. Umar had nothing to hide. Kisah ini  hanyalah tentang secebis atau secarik kain bukan mengenai duit berkampit-kampit.

Setia rakyat kepada pemerintah ialah kerana integriti kepimpinannya, ketulusan kepimpinannya membawa kesedaran, menghormati kedaulatan dan menjaga maruah rakyat. Sudah tiba masanya rakyat dimerdekakan dengan ertikata sebenarnya, daripada fikr istibdad (penindasan) kepada fikr taharur (kemerdekaan).

Kini rasuah kian membarah, kekejiannya bukan hanya dilakukan individu tetapi secara ‘rasuah berjamaah’. Rendra menukilkan pantun berkenaannya:-

Terang bulan terang di kali
Buaya timbul disangka wali
Katanya ada tranformasi
Nyatanya tetap korupsi di sana sini

Kalau ada sumur di ladang
Jangan diintip gadis yang mandi
Koruptor akalnya panjang
Peguam negara dan hakim diajak kompromi

Berburu ke padang datar
Mendapat janda belang di kaki
Koruptor terbang bersiar-siar
Wang rakyat dibawa lari

Berakit rakit ke hulu
Berenangnya kapan kapan
Pencuri kecil diburu melulu
Perompak besar dimuliakan


Kura kura dalam perahu
Buaya darat didalam sedan
Ada pemimpin tak boleh ditiru
Korupsinya gila gilaan

Si tukang riba disebut lintah darat
Si hidung belang disebut buaya darat
Pedagang banyak hutang itulah korporat
Mereka yang berhutang yang bayar lha kok rakyat?

Aduh aduh cantiknya si janda kembang
Sedang menyanyi si Jali Jali
Hujan emas di rantau orang
Banjir hutang di negeri sendiri




(Ucapan Sambutan Muktamar Nasional WADAH oleh ke 10 Ketua Majlis Istisyari WADAH Dr Siddiq Fadzil)




Sunday, September 4, 2016

AHMAD AZAM: MENGGALAS PERJUANGAN, MERINTIS AGENDA KEJAYAAN






MENGGALAS PERJUANGAN,
MERINTIS AGENDA KEJAYAAN
Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Selamat datang, ahlan wa sahlan wa marhaban kepada para muktamirin dan muktamirat pada Muktamar Nasional WADAH yang ke-10 dengan semangat ukhuwwah yang tinggi dan kekentalan perjuangan yang menyemarak untuk menggalas perjuangan yang masih panjang. Juga kesempatan ini saya mengalualukan kehadiran para peserta Seminar Cabaran dan Masa Depan Umat di Malaysia dengan harapan dan doa semoga seminar ini akan dapat menilai pencapaian dan meneruskan kesinambungan perjuangan dakwah untuk tahun-tahun mendatang.


1.0 Tata baru dunia dan penderitaan umat Islam

Tata baru dunia yang menjadikan dunia Islam sebagai sasaran baru bagi kuasa besar telah mencetuskan tragedi kemanusiaan yang sangat buruk bagi masyarakat Islam sepanjang dua dekad kebelakangan ini. Bukan sahaja umat Islam semakin menderita dan sengsara, tetapi juga mereka semakin berpecah dan semakin lemah. Peristiwa 11 September 2001 telah dijadikan alasan oleh Amerika Syarikat untuk melancarkan perang melawan pengganas. Afghanistan dibinasakan atas alasan mencari Osama Ben Ladin; Iraq dihancurluluhkan atas alasan memiliki weapons of mass destruction; Libya dan Syria dikacaubilaukan atas nama demokrasi. Begitu juga nasib negara Yaman yang diporakperandakan atas nama memerangi keganasan. Wilayah Islam di Asia Barat menjadi kucar-kacir dengan kesengsaraan dan penderitaan awam kerana peperangan yang dicetuskan oleh kuasa luar ini.

Salah satu kesan peperangan itu ialah krisis pelarian Islam yang menjangkau jutaan orang. Mengikut UNHCR, statistik akhir Februari 2016 menunjukkan bahawa 13.5 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan dengan 4.8 juta terpaksa lari keluar dari Syria termasuk 2.7 juta yang melarikan diri ke Turki. Data UNHCR (2015) juga menunjukkan bahawa 54% daripada semua pelarian di dunia ini datang dari tiga negara Islam iaitu Syria (5 juta), Afghanistan (2.7 juta) dan Somalia (1.1 juta).

Dalam usaha melemahkan dunia Islam, Amerika dan sekutunya telah melancarkan strategi yang dinamakan hard power dan soft power. Hard power dalam pengertian melaksanakan perang fizikal sementara soft power dalam pengertian menimbulkan konflik dalaman sesama Islam. Sehubungan dengan strategi soft power ini laporan RAND Corporation (2003) hasil kajian Cheryl Benard telah memecahkan masyarakat Islam kepada “seven-part typology of Muslims: radical fundamentalists, scriptural fundamentalists, conservative traditionalists, reformists, traditionalists, modernists, mainstream secularists, and radical secularists.” Perpecahan dalaman kepada tujuh kelompok ini menjadikan lebih mudah untuk umat Islam terus didominasi dari segi sosio-politik-ekonomi mereka.


2.0 Respons Gerakan Islam

Ketika dunia Islam semakin lemah kesan daripada pendekatan hard power and soft power ini, gerakan Islam merupakan satu-satunya kuasa yang ada untuk mempertahankan nasib diri dan maruah umat. Gerakan Islam khususnya Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1926 adalah respons kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Ikhwan Muslimin telah menjadi Model Gerakan Islam yang tumbuh di merata dunia Islam bagi mempertahankan Izzatul Islam. Gerakan Islam bermula sebagai gerakan sosial iaitu memberikan perkhidmatan seperti sekolah, klinik, kebajikan dan kesihatan bagi menampung keperluan umat Islam akibat kelemahan pemerintahan. Kemudian usaha ini mendapat sambutan daripada masyarakat dan gerakan Islam terlibat dalam politik kekuasaan dengan menjadikan gerakan tersebut juga sebagai sebuah parti politik. Kemuncak penglibatan gerakan Islam ialah menerima kaedah demokrasi sebagai cara untuk merealisasikan cita-cita politik Islam.

Penglibatan gerakan Islam di pentas demokrasi ternyata begitu berjaya sehingga menjelang 2011, beberapa negara Arab telah jatuh ke tangan parti politik yang didokong oleh gerakan Islam. Ikhwan Muslimin dengan Parti Kebebasan & Keadilan yang menang besar dalam pilihanraya Mesir telah menampilkan Mohammad Morsi sebagai Presiden dan Parti Kebebasan & Keadilan menjadi parti pemerintah. Namun, dunia Barat telah menyokong rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh General Abdel Fattah el-Sisi hanya selepas setahun Presiden Morsi memerintah.

Sejak itu gerakan Islam telah merobah pendekatan dari political Islam kepada Muslim democrat. Ini bermaksud gerakan Islam menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan pendemokrasian dengan tidak menjadikan cita-cita Islam sebagai agenda utama. Idea Muslim democrat ini dipelopori oleh pengasas al-Nahdah Tunisia, Sheikh Rached Ghannouchi. Penekanan Muslim Democrat adalah kepada nilai kebebasan, keadilan dan hak asasi, menggantikan penekanan kepada matlamat penubuhan negara Islam.


3.0 Cubaan Kudeta di Turki

Pada 15 Julai 2016, dunia dikejutkan dengan peristiwa percubaan kudeta di Turki. Kudeta ini dirancang bagi menjatuhkan kerajaan demokratik yang dipilih oleh rakyat, Recep Tayyib Erdogan, atas alasan beliau semakin autokratik. Namun demikian peristiwa kudeta tersebut telah memberi tiga pengajaran kepada dunia. Pertama adalah bagaimana rakyat Turki mempertahankan badan demokratik hingga sanggup mempertaruhkan nyawa. Seramai 250 jiwa tidak berdosa hilang dan 1,500 orang cedera. Pengorbanan dan keberanian luar biasa ini telah memberi inspirasi kepada dunia bagaimana rakyat Turki berani mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Kedua, peristiwa ini telah menunjukkan betapa tidak jujurnya negara-negara Barat terhadap Turki yang demokratik berdasarkan sikap dan pernyataan dingin mereka terhadap Turki apabila kudeta tersebut telah gagal.

Ketiga, bagaimana Fethullah Gulen dan gerakannya telah bersekongkol dan diperalatkan oleh Amerika untuk menjatuhkan Recep Tayyib Erdogan demi menjamin kepentingan Barat. Inilah realiti dunia Islam selama 25 tahun berada dalam kancah yang berpaksikan kuasa Amerika Syarikat. Apakah dunia Islam
akan terus diporakperandakan? Namun hikmah daripada kegagalan kudeta tersebut telah menyaksikan Turki mulai berperanan untuk merubah dunia unipolar ini kepada multipolar. Turki telah
memulakan kerjasama dengan Rusia, Iran dan China bagi merealisasikan kuasa alternatif kepada hegemoni Barat.


4.0 Kebangkitan Islam di Malaysia dan kendalanya

Sejarah membuktikan bahawa perubahan masyarakat hanya mampu dilakukan oleh orang-orang yang gigih bekerja dan berjuang. Betapa kita, masyarakat Melayu rantau ini, terhutang budi dengan para pendahulu yang terdiri daripada para da‘i yang bersungguhsungguh dan dengan penuh hikmah menyebarkan agama Islam ke rantau ini. Hasilnya, Islam diterima sebagai agama kehidupan oleh masyarakat serantau menggantikan kepercayaan animisme dan agama Hindu-Buddha. Islamisasi berlaku secara halus dan lembut tanpa tentangan dan bantahan, hingga akhirnya agama diterima sebagai asas kehidupan masyarakat dan negara.

4.1 Melayu sebati dengan Islam: Islam membentuk world-view baru bagi masyarakat Melayu dan world-view ini akhirnya menjadi kerangka berfikir dan landasan amal yang membentuk kebudayaan Melayu. Raja-raja Melayu memanfaatkan hikmah daripada agama dan memasukkannya ke dalam pentadbiran dan kanun-kanun negeri. Masyarakat Melayu yang mendapat inspirasi daripada al-Quran, menjadi lebih kreatif, bijaksana dan mencintai ilmu. Kitab kitab agama dan tulisan-tulisan berunsur sejarah dan ketatanegaraan terhasil daripada revolusi pemikiran yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Idea-idea pembaharuan dan polemik Kaum Tua dan Kaum Muda, dari satu segi, adalah refleksi wacana keilmuan yang berupaya membantu mempertajam daya fikir umat. Perkembangan perkembangan yang berlaku menyediakan umat untuk bergerak ke tahap lebih tinggi bagi satu transformasi yang lebih bermakna dalam penghayatan dan pendaulatan Islam.


4.2 Era Penjajahan: Bagaimanapun, perkembangan positif ini menjadi terbantut dengan kedatangan penjajah. Mereka bukan sahaja menguasai pentadbiran negeri dan aktiviti ekonomi, tetapi berusaha memperkukuh kedudukan mereka dengan memperkenalkan sistem pendidikan baru yang bebas-agama dan yang sekularistik. Masyarakat Melayu berkembang menjadi masyarakat yang meminggirkan agama dan memberinya peranan yang terhad kepada urusan ibadah ritualistik. Daripada sistem baru ini lahirlah generasi yang hilang kecintaan kepada agama. Pemahaman dan penghayatan
agama tidak berkembang dan kekal berada di tahap amat rendah.


4.3 Kebangkitan Generasi muda: Era 70-an dan 80-an memberi momentum baru kepada penghayatan Islam. Fenomena yang dikenal sebagai Islamic resurgence telah membangkitkan semangat baru di kalangan generasi muda di negara-negara Islam. Penggerak utama yang menjadi tulang belakang kepada resurgence di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan tokoh utama waktu itu ialah Presidennya, Anwar Ibrahim. Beliau berjaya menyuntik kesedaran Islam dan mengobarkan semangat generasi muda khususnya para mahasiswa di universiti-universiti untuk bangkit berperanan di tengah-tengah masyarakat, memperjuangkan kebenaran dan keadilan, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta membela golongan tertindas.

Hasilnya, masyarakat memperolehi kembali kekuatan spiritual intelektual dan harga diri daripada agamanya. Kesedaran dan semangat baru ini kemudian memberi kesan meluas yang mengubah persepsi masyarakat terhadap kedudukan dan peranan agama. Islam dilihat lebih daripada sekadar dogma dan ritual. Islam difahami sebagai peraturan sosial, dasar untuk pendidikan dan sistem keadilan. Islam dilihat memiliki prinsip kukuh bagi pembangunan ekonomi dan pembinaan negara serta berupaya mengangkat umat menjadi pemimpin dunia. Masyarakat Islam mulai menuntut penghayatan Islam yang lebih bermakna dalam semua aspek kehidupan. Kehendak masyarakat yang semakin kuat memaksa
pemerintah mengubah sikap terhadap isu-isu Islam. Mereka terpaksa menunjukkan sikap lebih simpati dan bertindak memberi respons yang lebih positif dengan mengetengahkan polisi dan program yang lebih Islamik.

Penyertaan Anwar Ibrahim dalam parti politik mulai tahun 1982 membolehkan berlakunya penerapan nilai-nilai Islam secara lebih bermakna Satu-persatu, reformasi telah dilakukan termasuk yang melibatkan polisi-polisi pendidikan, kewangan, sosial dan pembangunan negara yang membawa ke arah penghayatan Islam yang lebih menyeluruh termasuk pendekatan yang lebih agresif dalam membela golongan kurang bernasib baik dan langkah-langkah anti amalan rasuah. Sikap masyarakat yang positif dan reseptif terhadap Islam dan idea perubahan serta gandingannya dengan pimpinan negara yang komited dan berwawasan telah menyediakan tapak terbaik untuk lonjakan seterusnya bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai pemimpin dunia Islam tetapi juga dunia antarabangsa.


4.4 Politik fitnah: Sayangnya peluang baik ini tidak dapat dimanfaatkan. Fitnah, pendakwaan dan penahanan Anwar Ibrahim telah menyebabkan kendala terhadap proses perubahan yang berlaku. Masyarakat dan negara kembali terdedah kepada kepemimpinan yang tidak beretika, kerakusan dan salah guna kuasa. Proses pendidikan dan pematangan masyarakat terjejas, menjadikan mereka begitu rapuh terhadap serangan budaya luar yang merosakkan masyarakat. Walaupun negara, dari segi pembangunan prasarana mencapai kemajuan yang membanggakan, namun sikap, akhlak dan budaya pimpinan serta elit pemerintah mengundur jauh ke belakang, menongkah arus kesedaran masyarakat terbanyak. Zahirnya kelihatan kemajuan dan pembangunan yang memukau sedang hakikatnya kita sedang menempuh keadaan yang dapat diumpamakan dengan kata-kata T.S. Eliot, “in an age which advances progressively backward”.


4.5 Keberkatan yang hilang: Hari ini kita menyaksikan imej dan maruah negara yang terjejas kerana salah laku pimpinan. Rasuah dan salah guna kuasa berskala besar dipertahankan dan diberi justifikasi menjadi amalan yang dianggap normal. Pembaziran dan gaya hidup bermewah-mewahan berkembang menjadi budaya yang diterima dan tidak dicela. Nasib rakyat terbanyak tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Bahkan polisi-polisi yang diperkenalkan menambahkan beban dan penderitaan rakyat. Tata kelola yang baik (good governance) terhad dalam pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan namun amalan ini tidak terpakai dalam pemerintahan negara. Keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan dan amalan demokrasi terjejas teruk akibat beberapa tindakan pemerintah yang dilihat bertujuan melindungi kesalahan dan jenayah pihak-pihak yang berkepentingan. Rakyat terbanyak kelihatan bersikap pasif dan tidak berani untuk menyatakan bantahan dan rasa marah terhadap penyelewengan-penyelewengan yang berlaku di hadapan mata.

Keadaan-keadaan ini cukup untuk mendesak kita menilai semula dakwah dan gerak kerja yang kita lakukan selama ini. Di samping kejayaan meratakan dakwah dan kesedaran Islam, mengapakah tidak banyak perubahan di kalangan kelompok elit pemerintah; mengapakah kita gagal menyuntik keberanian untuk membantah dan menyekat penyelewengan? Di samping penegasan dan wacana tentang wasatiyyah, mengapakah anak-anak muda terpikat dengan pendekatan ekstremisme dan militant? Di samping seminar-seminar tentang Islam dan masyarakat majmuk serta Islam sebagai rahmat sejagat, mengapakah rasisme dan chauvinisme serta rasa kebencian antara kaum meningkat dan semakinmembimbangkan?


4.6 Merancang masa depan: Tanpa kita nafikan bahawa usaha-usaha dakwah masa lalu telah menghasilkan impak besar kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Namun selepas
empat setengah dekad berlaku, kita kini berhadapan pula dengan cabaran-cabaran baru yang mungkin berbeza daripada apa yang kita hadapi masa lalu. Ini menunjukkan bahawa wajar untuk gerakan Islam dan badan-badan dakwah seperti PKPIM, ABIM dan WADAH menilai kembali pendekatan dan cara bekerja yang sedia ada. Bagi menghadapi masa depan dengan realiti baru dalam dan luar negara yang lebih mencabar, para pimpinan gerakan perlu lebih kreatif dan berani mewacana dan mendebatkan isu-isu kritikal masyarakat dan umat secara tuntas, menentukan keutamaan-keutamaan (awlawiyyat) dan bertindak dengan penuh hikmah.

Usaha-usaha mendidik umat dan meningkatkan tahap kecerdasan dan kefahaman mereka perlu dibuat dengan lebih agresif dan menyeluruh ke kota dan desa serta menerobos ke tengah-tengah golongan elit dan birokrat. Kita perlu kembali menyemak dan menganalisis, merancang dan mengatur agenda bertindak bagi menentukan langkah yang lebih realistik, sesuai dengan perubahan masa dan cabaran-cabaran baru yang mendatang.


5.0 Cabaran-cabaran Semasa

5.1 Kemerdekaan yang bererti: Kita baru sahaja menyambut hari ulang tahun kemerdekaan Negara ke-59. Kemerdekaan adalah kebebasan dari belenggu penjajahan. Kemerdekaan memberi kita hak untuk menentukan sendiri akan nasib dan masa depan negara. Kemerdekaan memberi kita peluang menentukan bagaimana kita hendak mengolah dan memanfaatkan sumber-sumber kekayaan yang ada dengan cara yang paling baik agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama dan rancangan-rancangan pembangunan negara dapat dibiayai demi generasi akan datang. Dengan perkataan lain, negara yang merdeka hendaklah akhirnya mampu menyediakan kehidupan terbaik untuk rakyatnya.

Setelah 59 tahun mencapai kemerdekaan, kehidupan rakyat mengalami perubahan yang ketara. Secara umum kekayaan negara telah meningkat. Peluang pendidikan bertambah luas, dan perkembangan pelbagai sektor ekonomi telah menambah peluang-peluang pekerjaan. KDNK meningkat diikuti kenaikan dalam pendapatan per kapita. Pembangunan prasarana dan kemudahan perhubungan mencapai tahap yang tidak terbayang sebelumnya. Berdasarkan pencapaian-pencapaian ini negara menjadi lebih makmur. Namun adakah kemerdekaan hanya untuk kemakmuran? Bagi kita nikmat kemerdekaan harus melampaui kemakmuran (prosperity), yang selalunya berasaskan kekayaan dan angka-angka objektif. Nikmat kemerdekaan perlu mengambilkira bukan sahaja kemakmuran tetapi juga kesejahteraan hidup (wellbeing), yang sebahagiannya berasaskan angka-angka subjektif. Konsep kesejahteraan hidup akan mengambilkira lebih dari sekadar bantuan wang, makanan, penyediaan rumah mampu-milik dan kemudahan perubatan. Ia lebih daripada sekadar bilangan shopping malls dan bilangan pengunjungnya atau bilangan telefon bimbit setiap rumah atau kelajuan internet bandwidth yang disediakan. Atau bilangan lebuhraya, lapangan terbang dan pelabuhan. Kesejahteraan hidup (wellbeing) akan mengambilkira rasa selamat masyarakat dari jenayah dan intimidasi dalam apa bentuk pun, kepuasan mereka dengan standard hidup dan alam sekitar, persepsi bahawa kerja keras akan memberi ruang untuk maju, keyakinan terhadap institusi kewangan dan sistem keadilan, kestabilan kerajaan, keberkesanan pemerintahan, rule of law, pengasingan kuasa, keberkesanan memerangi kemiskinan, keberkesanan memerangi rasuah dalam kerajaan dan perniagaan, partisipasi politik dan keyakinan terhadap pilihanraya yang adil, jaminan kebebasan individu dan hak untuk bersuara, tahap toleransi sosial yang melibatkan kaum dan agama
serta bagaimana golongan minoriti dan pendatang dilayan. Sehingga semua perkara-perkara ini diambilkira, kita tidak seharusnya berpuas hati, mendabik dada bahawa kita telah mengisi erti kemerdekaan.

Dalam banyak hal pencapaian kita dalam perkara-perkara seperti ini masih jauh daripada memuaskan. Memperjuangkannya memerlukan pemimpin yang lebih bertanggungjawab, komited kepada prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan dan mereka yang meletakkan rakyat di hati. Rakyat yang sedar pula tidak harus berdiam diri, sebaliknya tampil bersama-sama berjuang menuntut perubahan yang lebih bermakna. Perjuangan mengisi kemerdekaan iuga memerlukan sikap yang konsisten. Mewar-war kejayaan ekonomi dan kenaikan pendapatan per kapita tidak sepatutnya menjadikan kita mendiamkan diri tentang hutang negara yang meningkat, jurang pendapatan di kalangan rakyat yang masih tinggi dan kadar keterhutangan berganda di kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam mera‘i kepelbagaian bangsa, agama dan budaya Malaysia, kita tidak sepatutnya memejam mata terhadap realiti meningkatnya suara-suara rasis dan kebencian daripada pelbagai pihak. Berbicara tentang kebebasan dan hak-hak yang diberi perlembagaan, harus juga dijelaskan bagaimana hak-hak tersebut semakin disekat oleh pelbagai akta baru yang diluluskan. Bercakap tentang ketinggian ajaran Islam dan tuntutan perpaduan umat tidak sepatutnya menjadikan kita bisu terhadap ketegasan Islam menolak fitnah dan rasuah yang semakin membudaya dalam masyarakat. Demikian juga apabila menyesali kerosakan akhlak anak-anak muda dengan budaya yang melalaikan, hiburan dan permainan-permainan berdasarkan realiti saduran (augmented reality), kita tidak harusnya takut untuk memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin lakonan yang rosak akhlak dengan rasuah, pembaziran dan pembohongan.


5.2 Pembinaan Bangsa: Setelah sekian lama merdeka, negara kita juga masih belum berjaya melahirkan satu rupa bangsa. Kita memang ada banyak suku bangsa tapi tak ada bangsa negara, Bangsa Malaysia. Kita telah menyentuh isu ini khususnya di muktamar ke-6, pada tahun 2012. Malahan mantan presiden ABIM dan Wadah, yang kini merupakan Ketua Majlis Istisyari WADAH, Dato’ Dr. Siddiq Fadhil telah menulis artikel, “Pembinaan Bangsa, Antara Wawasan Nasional dan Aspirasi Islam” yang dibentang dalam kongres cendekiawan Melayu VI pada tahun 1995.

Pewujudan satu bangsa ini menjadi sangat penting kerana ia bakal melahirkan rakyat yang mampu menyatakan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada negara. Dengan yang demikian kita akan dapat membina penyatuan dan perpaduan yang mantap di kalangan rakyat. Usaha ini patut mendapat sokongan dan dokongan padu daripada semua pihak kerana kita mahu melihat kewujudan satu masyarakat yang walaupun majmuk tetapi mampu hidup dalam suasana muhibah, rukun dan damai. Kita mestilah berani dan jujur untuk mengiktiraf bahawa setiap rakyat adalah warganegara yang setaraf dan berhak mendapat layanan saksama dalam setiap isu kemanusiaan.

Melalui usaha berterusan serta keikhlasan demi mengharap keredhaan Allah SWT untuk melihat lahirnya satu bangsa negara yang individunya mempunyai perwatakan yang unggul dengan kerjasama erat daripada semua pihak. Kita perlu merujuk semula Sahifah Madinah yang digubal pada zaman Rasulullah SAW kerana ia mengandungi ciri-ciri utama pembentukan suatu ummah. Ciri-ciri utama Sahifah Madinah jelas mengaplikasikan pembentukan suatu ummah yang terpadu melalui ikatan yang meliputi kesetiaan kepada Negara dan pucuk pemimpin, komited terhadap prinsip keadilan dan hak-hak manusia, serta iltizam ke atas tanggungjawab pertahanan dan keselamatan bersama. Perbezaan bangsa, agama dan adat resam tidak menghalang mereka untuk membentuk suatu ummah (bangsa).


5.3 Pengurusan Perbelanjaan Kerajaan: Trend perbelanjaan kerajaan persekutuan sudah sampai ke tahap yang membimbangkan untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Negara kita mengalami perbelanjaan defisit sepanjang 18 tahun berturut-turut sejak tahun 1998. Seandainya benar apa yang  diramalkan bahawa bajet seimbang hanya boleh dicapai pada tahun 2020, ini bermakna kita akan mengalami perbelanjaan defisit selama 22 tahun berturut-turut!

Dalam keadaan ini kita khuatir akan hal-hal berikut: Pertama, defisit fiskal yang terus-menerus meningkat dari RM21 billion pada tahun-tahun pra-2008 kepada antara RM35 billion hingga RM48 billion pada tahun-tahun pasca-2009 hingga kini. Kedua, pendekatan defisit fiskal sejak tahun 1998 sehingga kini menyebabkan hutang negara meningkat daripada di bawah RM90 billion (1997) kepada
RM630 billion (2015) – kenaikan sebanyak 600% atau 11.4% setahun. Ketiga, dalam 18 tahun kebelakangan ini, kita mengamalkan defisit fiskal tidak kira sama ada ekonomi negara berkembang rancak ataupun sebaliknya..

Kita memahami Teori Keynes tentang pentingnya defisit dalam bajet kerajaan untuk mengurus ekonomi negara. Tetapi kita perlu juga menekankan perlunya bajet seimbang untuk jangka panjang di antara 10 dan 15 tahun, iaitu dalam satu putaran ekonomi.


5.4 Keluarga pendokong kesinambungan dakwah: Keluarga merupakan unit yang paling kecil dalam sesebuah masyarakat, malah ia juga merupakan asas kepada sebuah tamadun. Islam amat memandang tinggi akan peranan institusi keluarga. Fungsi utama institusi keluarga adalah untuk menjamin wujudnya kelangsungan suasana amalan dan penerapan nilai-nilai Islam dapat berkembang
dalam jiwa dan sanubari setiap ahli keluarga. Selain daripada institusi yang menyemai kasih sayang di antara ahlinya ia juga merupakan madrasah kepada pembentuk sebuah umat yang akan meneruskan obor perjuangan dakwah Islamiah.

Mutakhir ini kita lihat institusi keluarga di negara kita ini berada dalam keadaan yang rapuh. Pelbagai masalah dan krisis keluarga timbul dan amat membimbangkan seperti perceraian, keganasan rumahtangga, gejala kehamilan luar nikah, jenayah sosial dan sebagainya. Kita seolah-olah sudah tidak selamat lagi berada di dalam masyarakat kini. Sebagai contoh konflik rumahtangga yang melibatkan perceraian mengikut data JKSM melibatkan sebanyak 53,887 kes (2014) manakala keganasan rumah tangga sejak tahun 2000-2012 melibatkan 42,499 kes. Bagi masalah dadah, walaupun kerajaan menyasarkan tahun 2015 sebagai Tahun Sifar Dadah tetapi bilangan penagih dadah baru yang dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada tahun 2015 ialah seramai 20,289, iaitu peningkatan sebanyak 13,605 orang penagih baru berbanding dengan tahun sebelumnya. Mengikut data KKM pula, pada tahun 2014 sebanyak 16,528 kehamilan remaja telah didaftarkan di fasiliti KKM, dan sebanyak 24% adalah kehamilan luar nikah.

Mutahir ini ini juga gejala pornografi melalui media sosial semakin berluasa. Kajian LPPKN pada 2014 mendapati bahawa 35.3% remaja terdedah kepada bahan lucah terutamanya daripada internet. Penggunaan pornografi secara berterusan akan membawa kepada banyak implikasi buruk. WADAH amat bimbang akan situasi ini. Memandangkan kesan negatif yang telah melanda dan menjejaskan umat khususnya institusi keluarga, WADAH menggerakkan kempen kesedaran “Sekeluarga Tolak Pornografi” atau STOP.

Kelestarian kehidupan manusia amat bergantung kepada keberkesanan jentera yang menjamin proses melahirkan umat yang berkualiti. Oleh yang demikian mewujudkan institusi keluarga yang berpaksikan syariat Islam amat penting dalam mendepani cabaran hidup masakini. Ibu dan bapa, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang sama dalam membentuk sebuah keluarga islami untuk melahirkan jundu Islamiyah dan para daei dan membangunkan masyarakat yang mempunyai keperibadian mulia,
daya intelektual tinggi dan amalan kerohanian yang mantap. Dalam usaha ini marilah kita dimulakan dengan keluarga kita sendiri.

Allah SWT berfirman dalam surah Nisa ayat 1:

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.


5.5 Tata Kelola Terbaik (Good Governance): Gerakan Islam amat peduli mengenai kepentingan mengurus dan mentadbir manusia, dana harta, ekonomi dan kemasyarakatan negara secara beramanah, berakhlak dan memenuhi prinsip “Maslahiy-maqasidiy.” Prinsip ini menegaskan bahawa menuntut semua yang berkuasa sama ada kuasa politik, kuasa eksekutif, kuasa legislatif atau apa jua bentuk kuasa yang diamanahkan supaya menunaikan tanggungjawab berteraskan suri teladan para nabi dan rasul serta pewaris yang mendukungi prinsip ini.

Dewasa ini, negara yang mempopularkan Orientasi Maqasid Syar’iyyah, dilanda hambatan yang menakutkan akibat kehilangan adab; merompak harta negara; gejala rasuah peringkat tertinggi; pembaziran dan ketirisan berskala besar, penyalahgunaan kuasa dan keadilan undang-undang; penguatkuasaan terpilih, penindasan ke atas kebajikan rakyat terutama golongan bawahan dan banyak lagi.

Semua fenomena ini menggugat dan menggusarkan kita kerana ia telah membariskan nilai integriti kepimpinan dan pengurusan di tahap yang amat membimbangkan. Impak besar di atas kebobrokan dan amalan keji ini telah menafikan prinsip dan objektif “hifzul al mal” yakni kekayaan dan kepentingan rakyat yang terpelihara dengan baik, bersih dan barakah. Ia tidak lagi mampu memberdayakan rakyat, bahkan mereka kini diperdayakan.

Sesungguhnya kita mestilah berkeyakinan untuk mengangkat wajah-wajah utama tata kelola terbaik iaitu Kepatuhan kepada undang-undang yang berpaksikan as-shura; Suri Teladan para nabi dan rasul berteraskan asas kekhalifahan; akauntabiliti, ketelusan; keadilan; ekuiti; dan al-amr bil ma’rufal wa nahi an al-mungkar. Tata kelola ini amat perlu kita ungkapkan secara meluas dan bijaksana kepada massa.

Allah swt berfirman dalam Surah al Maidah 5:8:

Mafhumnya: “Berlaku adillah, kerana [adil] itu itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Menyedari bahawa banyak cabaran yang menyentuh daya integriti yang perlu diharungi oleh kita kini, cabaran besar para pendukung WADAH ialah kita sendiri perlu juga segera menyelesaikan beberapa isu dalaman kita sendiri dalam aspek pengurusan institusi pendidikan, pengurusan ekonomi, pengrusan
hartanah dan sumber manusia kita sendiri. Kita perkukuhkan urus tadbir dalaman kita terutama yang
melibatkan ABIM dan WADAH. Marilah kita tampilkan kualiti dan budaya nilai kerja baharu dengan mengajak kepada aspek ketelusan, kecekapan, ketampakan (visibility) dan penerimaan (acceptability)
masyarakat mengenai kehadiran kita. Begitu juga dengan hambatan penyerlahan imej, maka kita harus mempunyai kepersisan dalam fokus tindakan kita agar setiap sumber mestilah menepati sasaran.


5.6 Agamawan dan Pembangunan umat: Umat perlu dibangunkan dari tidur. Membangunkan umat bukan seperti membangunkan sebuah bangunan, Pembangunan umat perlu kepada jatidiri dari “insan hidup” yang mempunyai karaamah insaniyyah. Pembangunan umat berkualiti perlu kepada insan ilmuan yang berintegriti: ruhiyyah sufiyyah sejati dan jasadnya pula jundiyyah yang hakiki. Mereka tersohor dengan ciri-ciri mereka iaitu a’lim, faqih, zuhud, a’bid, pejuang, pendakwah, bijak dan matang
dalam membuat keputusan. Mereka bukan ilmuan yang alim tetapi bacul; berani tetapi tidak kenal Allah; bermoral tetapi tidak berakhlak.

Contoh unggul yang dirakam di dalam al-Quran ialah Talut sebagai pemimpin pilihan. Dia terpilih bukan kerana kekayaannya tetapi kehebatan ilmu dan kekuatan jasadnya.

(Al Baqarah 247)

......”Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa......”.

Hari ini kita perlukan pembangun umat seperti Rubai bin Amir yang bertegas di hadapan Rustam pemimpin tentera Parsi. Beliau dengan tegas menjawab apabila ditanya oleh Rustam “kenapa kamu datang ke sini?” Rubai lantang menjawab: “Tuhan telah mengutus kami untuk membebaskan siapa yang mahu daripada menjadi hamba manusia kepada hamba Allah, dari kesempitan dunia kepada
keluasan dunia dan akhirat dan dari ketidakadilan agama-agama lain kepada keadilan Islam......”

Abu Zakaria Yahya Ibn Sharaf al Nawawî (imam Nawawi) juga contoh unggul ilmuan tegas dan berani berdasarkan ilmu dan hujah. Beliau bertegas dengan fatwanya bahawa pemerintah tidak ada hak untuk mengambil harta rakyat walau untuk tujuan mempertahankan negara dari serangan musuh. Selagi kemewahan raja yang memerintah tidak diambil dahulu, jika harta pemerintah sudah dikorbankan maka ketika itu barulah harta rakyat boleh diambil. Dalam kes ini beliau dibuang negara oleh pemerintah pada zamannya, iaitu Sultan Malikuzzahir.


5.7 ICT teknologi - Maslahah dan Mafsadah: ICT bagaikan pisau; ia boleh mengupas buah-buahan dan ia juga boleh membunuh nyawa yang tidak berdosa. ICT selalunya dirujuk kepada Hardware dan Software tetapi komponen yang paling penting sebenarnya ialah “heartware” yang dapat menentukan baik atau buruk penggunaan ICT itu. Penggunaan teknologi ICT termasuk media sosial seperti facebook, Instagram dan Whatsapp yang berleluasa, tidak bersempadan dan tidak terkawal adalah isu yang penting untuk kita tanggani.

Begitu juga dengan pelbagai aplikasi digital yang boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan. Aplikasi permainan alam maya seperti Pokemon GO telah dibangunkan oleh John Hanke, orang yang bertanggungjawab membina Google Earth, Google Map dan Google Street iaitu applikasi yang dapat
mengumpul maklumat setiap jalan dan bangunan. Aplikasi-aplikasi permainan dan hiburan di alam maya, seperti juga permainan dan hiburan di alam nyata perlu kita pantau penggunaannya supaya tidak membawa keburukan.

Penggunaan ICT yang bermanfaat sepatutnya dipupuk dan dididik di kalangan masyarakat. Jurang Digital di kalangan masyarakat seharusnya dikurangkan dan connectivity pada setiap peringkat masyarakat sepatutnya disebarluaskan sehingga tidak ada masyarakat yang tertinggal. Tanpa connectivity yang luas dan dengan adanya jurang digital yang dalam, masyarakat tidak boleh menjadi
Smart Citizen dalam Smart City dalam negara Smart Government.

Untuk menuju ke arah masyarakat smart ini, kita perlu membangunkan Masyarakat Madani yang menggunakan ICT berdasarkan prinsip-prinsit tertentu seperti menegakkan Kebenaran melalui ICT, menggalakkan Budaya Ilmu dalam penggunaan ICT, Mencari Kebahagian yang selari dengan Islam dengan ICT dan akhirnya Menggalakkan Amal Soleh dengan menggunakan ICT. Teknologi adalah sesuatu yang harus dimanfaatkan demi kemajuan hidup. Namun penggunaan tanpa batasan akan melahirkan generasi yang pelik dan yang mati rasa hati.

Gerakan Islam seharusnya mencipta sistem persekitaran yang baik dalam membentuk generasi muda. Sistem persekitaran yang baik adalah sistem yang mampu membangunkan jasmani, rohani, moral dan
intelektual generasi muda melalui ilmu yang benar. Akhirnya sistem sokongan ini berkemampuan membangunkan otak dan watak generasi muda iaitu generasi yang hatinya sentiasa rindu kepada
agama, dan jiwanya sentiasa mendesak untuk menyumbang kepada umat manusia.


6.0 Merintis Agenda Kejayaan

6.1 Optimisme dalam Perjuangan: Al-Quran mengajar kita agar sentiasa optimis tentang masa depan dan kejayaan umat Islam. Kita diwajibkan untuk berusaha dan berjihad sedangkan natijah bilakah hasil dan kemenangan akan tercapai, itu bukan urusan kita. Ia adalah dalam pengetahuan Allah SWT dan hak mutlak Allah SWT untuk menentukan bila, di mana dan bagaimana. Apa yang pasti, Allah akan memberi kemenangan kepada umat Islam.

As-Saff 61:9
Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

An-Nur 24:55
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW pula, sirahnya sarat dengan optimisme akan kemenangan Islam. Ketika Baginda bergelut dalam Perang Khandak pada tahun ke-5 Hijrah, Baginda meramalkan dalam sebuah hadith mengenai kejatuhan salah satu kota besar zaman tersebut iaitu Kota Konstantinopel. Siapa pun tidak terbayang bahawa kuasa besar itu akan jatuh ke tangan umat Islam. Namun ia menjadi realiti 852 tahun kemudian apabila Sultan Muhammad Al-Fatih membukanya pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awwal 857 Hijrah.

Begitu juga jika menelusuri sejarah perjuangan mujahid dakwah kontemporari abad 20, Badiuzzaman Said Nursi ketika berjuang mempertahankan akidah bangsa Turki dari badai sekularisme, beliau tidak pernah putus asa walau dalam kesukaran. Beliau tetap optimis akan kemenangan Islam. Beliau sempat melihat kejayaan hasil perjuangannya 10 tahun terakhir hidupnya bila Parti Demokrat pimpinan Adnan Menderes menang dalam Pilihanraya Umum di Turki pada tahun 1950. Azan kembali berkumandang dalam Bahasa Arab setelah 18 tahun dilaungkan dalam Bahasa Turki dan Al-Quran kembali diajar secara terbuka.


6.2 Menggalas Perjuangan dengan Wawasan Ummatik: Perjuangan dakwah sejak dulu hingga sekarang adalah untuk menyelamatkan umat daripada kesesatan dan menggembalikan mereka ke jalan yang benar. Ini adalah tugas dan tanggungjawab para anbiya dan mursalin. Gerakan Islam adalah penyambung mata-rantai perjuangan ini yang terangkum dalam suatu wawasan ummatik yang bermaksud bahawa umat harus menjadi paksi kepada segala kegiatan dakwah dan islah.

Al-Quran menegaskan lima ciri ciri penting yang menjadi asas kepada Wawasan Ummatik ini iaitu Hamba Allah (Ad Zhariyat 51:56), Khalifah Allah (Al Baqarah (2:30), Umat Terbaik (Ali Imran 3:110), Umat Adil (Al Baqarah 2:143) dan Rahmat Sekalian Alam (Al-Anbiya 21:107)


6.3 Merubah Generasi demi Merubah Dunia: Dalam sejarah kebangkitan Islam tahun 70-an, ternyata yang menjadi pelopor utamanya ialah generasi muda yang umumnya berlatarbelakang pendidikan profesional dan sekular. Generasi ini bangkit hampir serentak di seluruh dunia, terangkai dalam suatu kesatuan fikrah dan semangat untuk menggembalikan Al- Islam ya’lu wala yu’la ’alayh.

Apa yang kita lihat hari ini ialah hampir kesemua pemimpin Gerakan Islam yang memimpin dalam pelbagai kapasiti, baik sebagai pemerintah atau selainnya adalah generasi kebangkitan tahun 70- an tersebut. Tokoh seperti Recep Tayyib Erdogan, Abdullah Gul, Ahmet Davutoglu (Turki); Anwar Ibrahim, Siddiq Fadzil (Malaysia; Amien Rais, Jusuf Kalla (Indonesia); Rached Ghannoushi (Tunisia); Ibrahim Sanusi, Abdul Rahim Ali (Sudan); Ahmad Totonji, Abu Hamid Abu Sulayman, Hisham Talib (Saudi Arabia dan Amerika Syarikat; Ebrahim Moosa dan Ebrahim Rasool (Afrika Selatan) dan ramai lagi adalah antara generasi yang mencetuskan kebangkitan Islam di awal tahun 70-an. Nyata sekali, generasi ini telah banyak melakukan perubahan sosial ke arah dunia yang lebih Islami dengan peranan yang berbagaibagai. Justeru, agenda membina generasi harus sentiasa menjadi tumpuan utama Gerakan Islam.


6.4 Transformasi Gerakan Islam: Dr.Hisham Al-Talib tokoh yang banyak terlibat didalam mencetuskan kesedaran Islam di seluruh dunia telah mengajak kepemimpinan Gerakan Islam untuk bermuhasabah diri dengan menilai struktur dan amalan Gerakan Islam selama ini agar ia dirubah atau ditransformasi supaya bersesuaian dan relevan dengan perkembangan zaman yang bercirikan kecepatan dan ketangkasan dalam membuat keputusan.

Era digital dan ledakan maklumat memungkinkan keputusan syura dibuat secara online dan global. Sistem kepemimpinan ala Sheikh, Mursyidul ’Am, Hoca, Amir atau apa nama sekalipun yang mana proses membuat keputusan berpusat kepada Sheikh, dengan anggapan yang Sheikh mengetahui segala hal sudah berlalu. Proses pengupayaan atau empowerment pemimpin dipelbagai lapisan organisasi dalam membuat keputusan operasional adalah realiti kini. Gerakan Islam harus responsif kepada perkembangan zaman. Justeru, struktur organisasinya mesti berubah daripada ’highly structured’ kepada ’highly decentralized and democratized’.

Carne Ross, bekas diplomat kanan British dalam bukunya “The Leaderless Revolution. How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century”, menyatakan bahawa kuasa rakyat, jika digembeling atas isu yang menjejas kepentingan mereka, mampu menjadi suatu kekuatan baru untuk merubah politik negara walau tanpa pemimpin terkenal. Ini menggambarkan perubahan cara fikir
generasi baru mengenai rakyat dan pemerintah dan perubahan sosial.


6.5 Islamophobia dan cabaran menangganinya: Usaha untuk memburuk-buruk citra Islam atau Islamophobia dengan tujuan menyekat perkembangan Islam ke seluruh dunia semakin meningkat khususnya alam maya. Serangan bersifat keilmuan atau intelektual terhadap segala prinsip Islam yang murni seperti Syariah Islam, Negara Islam, Kedudukan wanita dalam Islam termasuk sejarah Islam yang sarat dengan tafsiran negatif dan jahat digembargemburkan sebagai fakta dan kenyataan.

Justeru, para Intelektual Islam harus digembeling dan diperkasa agar serangan ini dapat dipatahkan. Contohnya, isu LGBT cuba dipaksakan penerimaannya oleh negara Islam atas dasar hak asasi manusia. Begitu juga soal Syariah Islam, Hak Murtad atas dasar kebebasan agama, dan hak menghina Islam atas dasar kebebasan berfikir dan berpendapat.

Tokoh-tokoh seperti Bernard Lewis, Daniel Pipes, Doughlas Feith, Paul Wolfowitz, kesemuanya berbangsa Yahudi yang begitu berpengaruh di kalangan para Intelektual Barat dan pembuat dasar Amerika Syarikat sentiasa menimbulkan keraguan dan pandangan buruk terhadap Islam dan penganutnya.

Apakah dunia Islam mampu untuk melahirkan para Intelektual yang setanding dengan mereka dan mampu berhujah dan berdebat dengan mereka bagi mempertahankan kesucian agama Islam? Setakat ini tokoh seperti Tariq Ramadan banyak menanggani isu Islamophobia ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai tokoh seperti beliau.


6.6 Keperluan kepada Ijtihad dan Fiqh Baru: Sheikh Yusuf Al- Qaradawi, telah menyatakan tentang keperluan mendesak untuk ijtihad baru dan fiqh baru bagi menanggani isu-isu kontemporari umat Islam yang semakin rencam.

Isu seperti Dar Al-Harb (negara yang boleh diperangi) dan kaitannya dengan Kafir Harbi (orang kafir yang boleh diperangi) yang menjadi polemik hangat dalam negara ini boleh diselesaikan jika teks klasik berdasarkan ijtihad ulama silam ketika zaman Futuhat Islam, zaman Daulah Islam mengembangkan wilayah pengaruh Islam dengan peperangan melawan negara bukan Islam, dapat dilihat dalam konteks dan realiti semasa.

Ijtihad baru berdasarkan Fiqh kontemporari sebagaimana yang disarankan oleh Sheikh Qaradawi seperti Fiqh Al- Awlawiyyat (Faham Keutamaan), Fiqh Al-Muwazanah (Faham Pertimbangan Untung-Rugi), Fiqh Al-Sunan (Faham Memahami Sunnah), Fiqh Al-Ikhtilaf (Faham berbeza Pendapat), Fiqh Maalat (Faham Kesan dan Akibat), Fiqh Al- Muwatinun(Faham Kewarganegaraan), Maqasid Syar’iyyah, Siyasah Syar’iyyah adalah antara cara fikir baru yang sedang giat berkembang bagi mencetuskan ijtihad baru bagi menanggani permasalahan umat. Para ulama dan intelektual harus digembeling supaya terus mengkaji secara mendalam mengenai hal-hal sebegini berbanding terus bergantung kepada teks klasik yang mungkin sudah tidak relevan lagi.


6.7 Menggarap Politik Perubahan atas kebenaran dan keadilan:
Negara kita telah melalui krisis politik yang panjang khususnya sejak pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan sejak 1998. Sejak itu, krisis poltik semakin meruncing sehingga kedudukan umat Islam semakin berpecah dan lemah. Kualiti kepemimpinan negara semakin merosot kerana bukan terbaik yang dipilih untuk memimpin tetapi penyokong setia yang diberi keutamaan walaupun banyak cacat dan celanya. Isu rasuah semakin mengakar dalam pemerintahan sehingga mengaibkan negara di mata dunia. Soal Tata kelola atau governans banyak dibicara, namun kelihatan cantik diatas kertas, tapi jelek di peringkat perlaksanaan. Soal penderitaan rakyat semakin kronik akibat kenaikan harga barangan yang mendadak dan suasana ekonomi yang suram. Gejala sosial, kadar perceraian, hubungan ras yang semakin tajam adalah antara kesan dari kepemimpinan yang lemah, tidak berkualiti.

Justeru, WADAH berpandangan bahawa kesemua ini ada kaitannya dengan kepemimpinan negara yang lemah dan tidak berdaya. Suatu permuafakatan Nasional yang melibatkan semua pihak dari Istana, pemimpin politik pemerintah dan pembangkang, para ulama dan agamawan, pemimpin Badan Bukan Kerajaan harus digembeling bagi mencari jalan keluar kepada kemelut yang melanda. Lapan belas tahun dilanda krisis adalah waktu yang sangat panjang. Seorang anak yang lahir pada tahun 1998, sudah pun berumur 18 tahun. Hidupnya dilatari konflik dan pertelagahan. Ini semua harus dihentikan segera. Kesemua pihak harus berjiwa besar dan meletakkan kepentingan umat dan negara melebihi kepentingan peribadi dan kelompok atau parti.

Anwar Ibrahim harus dibebaskan segera kerana pertuduhan yang cukup mengaibkan maruah diri dan keluarga telah dijadikan senjata politik untuk menjatuhkan karier politiknya. Rakyat telah menolak pendekatan politik lucah dan fitnah ini dengan menyokong Parti Pembangkang sehingga dapat memerintah lima buah negeri  dalam Pilihanraya Umum 2008. Begitu juga dalam Pilihanraya Umum 2013, Gabungan Parti Pembangkang, Pakatan Rakyat telah berjaya mendapat majoriti undi popular berbanding Barisan Nasional buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya umum negara sejak merdeka. Pakatan Rakyat mendapat 50.87 peratus undi popular berbanding Barisan Nasional mendapat 47.38 peratus.

Atas nama kebenaran dan keadilan, WADAH menyeru agar semua pihak berjiwa besar, bersedia mengetepikan keegoan masing-masing, dan duduk semeja mencari jalan keluar dari kemelut ini demi maruah negara dan generasi akan datang.


7.0 Khatimah

WADAH telah memasuki tahun ke-10 penubuhannya. Sebagai wadah pasca ABIM, sudah tentu WADAH yang kaya dengan khazanah pengalaman jatuh bangun perjuangan dan pengorbanan untuk mengangkat martabat umat semakin yakin untuk melangkah  mengharungi masa depan dan cabaran mendatang.

Pengajaran yang penting daripada pengalaman kita ialah walau apapun cabaran yang datang, kita mesti menanganinya dengan iman yang kental dan kesabaran yang tinggi. Memang cabaran akan tetap
ada bagi setiap individu sehinggalah individu itu menemui Sang Pencipta dengan sebuah kematian. Namun selagi hayat dikandung badan, kita wajib berjuang dan berkorban demi perjuangan Islam yang suci ini.

Nabi Ibrahim tidak mengetahui bahawa api yang sepatutnya membakar, menjadi sejuk ketika dihumban ke dalam unggun api untuk membakarnya oleh Namrud. Namun imannya kepada Allah yang tidak tergugat hatta sebesar zarrah yang menyejukkan api tersebut. Begitu juga Nabi Musa a.s. tidak mengetahui bahawa Laut Merah boleh terbelah dua bagi menyelamatkannya dan Bani Israel dari buruan Firaun dan tenteranya. Imanlah yang menyelamatkannya. Begitu janji Allah dalam ayat Al-Quran,

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad 47:7)

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Siddiq Fadhil di atas kepemimpinannya sebagai Presiden WADAH selama tiga penggal sejak tahun penubuhan pada tahun 2005. Ustaz Siddiq merupakan tokoh yang instrumental di dalam membentuk kerangka intelektual dan keilmuan WADAH. Semoga peranan baru beliau sebagai Ketua Majlis Istisyari bakal mengukuhkan WADAH sebagai gerakan keilmuan dan pencerdasan.

Selamat bermuktamar, selamat berseminar semoga kesemuanya mendapat redha Allah SWT jua.


Rujukan:-
1. Al-Ghazali (2000) Peringatan Bagi Penguasa Agar Kekuasaan Tidak Menjadi Korup, Jakarta: Penerbit Hikmah
2. Carne Ross (2011), The Leaderless Revolution How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century, Simon & Schuster
3. Henry Kissinger (2014) World Order, Penguin Press
4. K.S Nathan & Mohammad Hashim Kamali (2005) Islam in Southeast Asia Political, Social and Strategic Challengers for the 21st Century, Singapura : Institute of Southeast Asian Studies
5. Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2001) Risalah Untuk Kaum Muslimin, Kuala Lumpur: ISTAC
6. Yusuf Al-Qaradhawi (2006) Fiqih Maqashid Syariah, Jakarta: Pustaka Al-Kautsar
7. Yusuf Al-Qaradhawi (2003) Kebangkitan Gerakan Islam Dari Masa Transisi Menuju Kematangan, Jakarta: Pustaka Al-Kautsar
8. Yusuf Al-Qaradhawi (1998) Generasi Mendatang Generasi Yang Menang, Kuala Lumpur : Al Hidayah Publishers



Amanat Pimpinan
Ahmad Azam Ab Rahman
Muktamar Nasional Kesepuluh
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
3 dan 4 September 2016 / 1 dan 2 Zulhijjah 1437

Kolej Dar al Hikmah & Hotel Bangi-PutraJaya