Tuesday, May 15, 2018

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM!


SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM!
MENEMPUH RANJAU, ONAK DAN DURI – MEMPERJUANGKAN REFORMASI



RANJAU SEPANJANG JALAN

Pada November 2017, sewaktu sekumpulan pasukan sukarelawan ABIM membawa bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir terbesar yang melanda kawasan Lahar Yooi Pulau Pinang, seorang warga tua menyahut, “Hangpa dari ABIM ke? Teringat pulak kat Pak Shaykh, kesian kat dia, dia dok dalam lagi.” Banyak lagi anekdot boleh dicatat daripada penduduk setinggan Sg Nibong Tengah pada tahun 80’an dan juga Baling pada tahun 1974 sebagai cerita rakyat marhaen serta merata pelusuk tanah air. Begitulah sosok Anwar Ibrahim diingati oleh mereka yang mengenangkan jasanya sewaktu mahasiswa yang turun berkhidmat masuk ke kampung mereka dan mereka mengamatinya sehingga bersinar naik menjadi menteri kemudian malap kejatuhannya disumbat ke dalam penjara dan dipukul setengah mati. Anwar Ibrahim tersemat di dalam hati nurani rakyat kerana dia pelopor gerakan kebangkitan Islam, pendakwah karismatik, tokoh politik tersohor dan negarawan yang disanjungi.

Di ambang pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998, sumber khas menganalisa dan mengandaikan penyokong-penyokong Anwar terutama daripada partinya tidak akan setia bertahan lama, lalu mereka menfokus kepada ABIM dilabel pendokong tegar atau disifatkan sebagai ‘diehards’. Namun analisa ini meleset kerana walaupun ketika itu ABIM, gerakan Islam, parti Islam PAS dan masyarakat sivil memang mengambil pendirian tegas berasaskan kebenaran dan keadilan tetapi yang sebenar mengangkatnya dan membelanya adalah rakyat. Ini telah memastikan Anwar tidak dilupakan di mata hati rakyat – ‘jauh di mata namun tetap di hati’ - walaupun dia dipaksa merengkok lama di balik tabir besi dan dicaci serta dihina media utama begitu rupa.

Rakyat menyaksikan sendiri layanan buruk yang diterima oleh seorang pemimpin harapan umat dan merekalah juga memastikan Anwar diangkat menjadi ikon Reformasi. Anwar mengajak kepada perubahan daripada sistem yang korup, bobrok dan maju bersama menyelamatkan negara. Dari sebalik tirai besi, Anwar membidani kelahiran parti baru, parti Reformasi pelbagai kaum, Parti KeAdilan yang juga bakal  membawa perubahan besar kepada ragam politik tanah air. Pilihanraya 1999 menyaksikan buat pertama kalinya beberapa kekalahan parti pemerintah tetapi pentadbiran negara masih mengekalkan status quo. Anwar kekal di dalam penjara.

Setelah kemenangan besar kerajaan Pak Lah pada pilihanraya 2004, Anwar dibebaskan dan dia disebut dalam suatu wawancara  sebagai ‘politically forgotten’ – pesaing enteng  oleh PM pada waktu itu. Anwar bergerak merangka strategi, meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan, menemukan parti-parti berlainan ideologi, menjambatani perbedaan, melerai perbalahan dan menjelajah seluruh negara membangkitkan semangat rakyat  sehingga berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat – gabungan parti yang berkoalisi berasaskan ‘moral compact’ – ikatan moral bagi memperjuangkan keadilan sosial demi mensejahterakan rakyat Malaysia. Anwar berjaya menangani pertembungan dan kepelbagaian bersama rakan-rakannya dalam satu pakatan yang sering diuji muafakatnya dalam isu-isu getir yang berjaya diolah oleh Anwar serta diartikulasi meyakinkan pimpinan semua parti agar terus bersatu pada waktu itu.

Kemaraan Anwar disekat sekali lagi dengan tuduhan kedua dan bermula semula adegan fitnah jijik serta kemunculan Anwar yang kesekian kalinya terpaksa naik turun menghadiri perbicaraan-perbicaraan di mahkamah bagi membela dan mempertahankan diri demi memelihara maruahnya. Pilihanraya 2008 menyaksikan Tsunami politik pertama merubah landskap negara dengan menafikan kuasa dua per tiga kerajaan. Anwar juga telah kembali ‘menggegarkan parlimen’. Pak Lah akur dengan prestasinya yang  merudum lalu mengundur diri.

Pilihanraya 2013 menyaksikan kemenangan undi popular bagi Pakatan Rakyat walaupun masih tidak dapat menguasai parlimen. Pada Februari 2015 Anwar dipenjarakan setelah dijatuh hukum oleh Mahkamah Persekutuan. Musuh-musuh politik Anwar seolah-olah ingin merayakan musibah ini dengan melakukan ‘jelajah qazaf’ bertujuan membenam terus reputasinya.

Pakatan Rakyat dilanda krisis pertelagahan besar apabila perbedaan tidak dapat lagi ditangani sehingga PAS meninggalkan pakatan berkenaan. Peluang dan harapan Pakatan Rakyat bertambah tipis.

ISTIQAMAH DAN KESABARAN DALAM PERJUANGAN

Di sinilah dapat disaksikan istiqamah dan kesabaran Anwar Ibrahim dalam perjuangan. Apabila ditanya bagaimana mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, dia merujuk kepada pesanan-pesanan tok guru dan alim ulama – al marhum Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh Wahbah al Zuhaili semuanya berpesan yang sama - supaya berpaut kepada ayat Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)”

Profesor Yusuf al Qaradawi berkali-kali mengutus surat dan datang sendiri bertemu pemimpin negara ini memohon agar Anwar dibebaskan. Al marhum Dr Wahbah telah menegaskan semasa kunjungan ke rumah Anwar, “Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, dia seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar dia mengadu terus ke hadrat Allah s.w.t..” Keyakinan dan dokongan para ulama luar dan dalam negeri menggembirakan kedukaannya serta mengukuhkan ketabahannya menempuh tribulasi.

Tema perjuangan Anwar disingkap apabila dia ditanya kenapa dia masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan fitnah, Anwar sering merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.””


Anwar berazam bahawa perjuangan untuk demokrasi, untuk kebebasan, untuk keadilan bukan suatu lakaran teori. Anwar mempunyai ‘tabiat hati’, satu iltizam, ‘courage of conviction’ - keberanian berbekalkan keyakinan, dengan ketabahan, dengan niat yang luhur. Dia percaya bahawa ini prinsip yang tidak boleh dikompromi. Itulah sebabnya dia menolak tawaran agar menjadi suaka politik di luar negara seperti yang cuba dipujuk rayu oleh rakan-rakannya memandangkan usia dan kesihatan fizikalnya bagi menjalani penjara semula. Anwar berkata, “Saya harus pulang dan berada di sini. Disinilah gelanggang perjuangan saya. Saya akan hadapi apa pun termasuk penjara.”

Rakyat dapat melihat bahawa Anwar dikurniakan keluarga yang hebat. Dr Wan Azizah dan anak-anak bukan sahaja menyokong, mendokong penuh tetapi mereka semua komited sepenuhnya kepada idealisme perjuangan. Anwar juga terinspirasi dan terhutang budi kepada rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan  semua orang yang mempercayai perjuangannya, demi kebebasan, untuk demokrasi, demi kedaulatan undang-undang, untuk kebebasan hati nurani. Dan dia percaya jika semua ini memerlukan sedikit usaha dan pengorbanannya, ia mesti dilakukan.

Anak lelaki Anwar, Ihsan mengungkapkan, “Papa mengutamakan negara dan rakyat daripada dirinya.”

Politik luhur memerlukan jiwa besar dan berlapang dada. Perpaduan politik memerlukan pemimpin yang boleh mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan mengutamakan matlamat lebih tinggi. Itulah yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dengan menyifatkan penganiayaan terhadap dirinya sebagai ‘luka kecil’ lantas dia serta keluarga memaafkan Tun Dr Mahathir dan tidak ingin membalas dendam.

Pengorbanan Anwar dan keluarga ini membolehkan muafakat padu Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 yang bersejarah.


PEMEKARAN DEMOKRASI DAN PERUBAHAN POLITIK

Anwar adalah instrumental  dalam pembentukan pakatan politik baru iaitu Pakatan Harapan. Dia percaya bahawa Pakatan Harapan memiliki kesungguhan untuk memulih dan membina semula negara manakala Barisan Nasional pula mempunyai pelbagai rekod kefasadan yang nyata serta tidak berdaya untuk berubah. Malaysia amat memerlukan perubahan politik. Inilah citra gerakan reformasi Anwar Ibrahim. Oleh itu, Anwar Ibrahim mesti diberi keadilan, ditebus dengan pembebasan dan pembersihan nama serta maruahnya. Ini hanya mungkin dengan kemenangan Pakatan Harapan.

Isu kleptokrasi dan rasuah bertaraf mega serta global 1MDB dan skandal-skandal lain telah mengheret rakyat menjadi derita berpanjangan bakal meninggalkan malapetaka kewangan kepada  beberapa generasi akan datang sedangkan elit pemerintah dan kuncu-kuncunya hidup mewah penuh pembaziran yang melampau-lampau.  Pada 9 Mei rakyat telah bangkit dan dengan sebatang pena melakukan perubahan besar.  


PELOPOR ISLAM DAN DEMOKRASI, MUSLIM DEMOKRAT SERTA DIALOG PERADABAN

Umat Islam menginginkan sistem kerajaan berpewakilan  dan punya akauntabiliti – boleh dipertanggungjawabkan, sebagai satu-satu cara mampan bagi memastikan kebebasan, keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang, demi mencapai kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara mereka.

Apa yang menjadikan Anwar Ibrahim unik dan unggul adalah bagaimana dia menterjemahkan visinya dan perjuangannya kepada tindakan dan kepada sebuah pergerakan. Anwar adalah seorang pengasas kepada gerakan Demokrat Muslim.

Demokrat Muslim menekankan fundamental tadbir urus menentukan keabsahan kerajaan. Pokok permasalahan adalah ketidakupayaan umat berpartisipasi dalam proses menentukan siapa yang patut mewakili dan memimpin mereka mesti diatasi. Demokrat Muslim berjuang untuk ekonomi manusiawi dan kerajaan yang bersih serta prihatin, mengimbangi di antara pasaran bebas dan tuntutan keadilan sosial, menjaminkan hak dan kebebasan asasi, tadbir urus baik dan kebebasan kehakiman, layanan adil kepada kaum minoriti, wanita dan kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya.

Demokrat Muslim berazam membasmikan rasisme dan sifat kebencian sesama insan.  Anwar menegaskan bahawa ini memerlukan reform dan pembaharuan serta keberanian menelusuri jejak yang dipandukan oleh maqasid al-Shari’a. Ia memerlukan agar menekankan sifat Islam yang sebenar, sejahtera dan meraikan kemajmukan. Intelektual Muslim dan orang ramai diseru kembali kepada keunggulan mesej Islam tentang kebebasan dan rahmatan lil ‘alamin.

Anwar menggalakkan trend sihat di kalangan ulama Muslim untuk mendalami ruang dialog peradaban kerana pentingnya mengadakan program dialog antara agama dan budaya bagi menangani kepelbagaian dan perbedaan. Dia menganjurkan saling faham memahami di antara satu sama lain, berinteraksi dengan bermakna dan kehidupan bersama merujuk kepada pengalaman Andalusia “la convivencia” di mana manusia pelbagai latarbelakang dan keturunan telah menjalani hidup makmur dan aman damai.

Pemberdayaan ekonomi sangat mustahak agar menyelamatkan umat yang  separuh berada di bawah paras kemiskinan kerana peminggiran ekonomi membawa kepada natijah sosio-ekonomik yang dahsyat. Keadilan sosial seperti dianjurkan oleh al Qur’an and al Sunnah adalah ajaran Islam tentang menyediakan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan. Ketaksaksamaan buruk yang melanda dunia Islam akan kekal dan bertambah teruk jika tiada usaha kolektif dan bersungguh-sungguh.

Berdasarkan maqasid al-Shari’a, tugas pemimpin-pemimpin Muslim mendirikan institusi-institusi tabdir urus demi keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia bagi memacukan kebangkitan ummah. Kebangkitan Islam mesti memastikan kebebasan bersuara dan bebas daripada ancaman penahanan rambang serta penindasan penguasa.

Anwar mengakui bahawa ini waktu getir bagi dunia Islam, di samping jalan ke arah pemulihan dan kekuatan itu jauh dan berliku-liku lantas cabaran terbesar dihadapi umat adalah reform dan pembaharuan -  tajdid dan islah yang mesti datang daripada diri kita sendiri.

Anwar Ibrahim sering menegaskan bahawa dia  berdiri tegak sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu dengan kritis perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda koheren dengan tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan adil, akses terbuka dan inklusif bagi partisipasi dan libatserta semua lapisan masyarakat, penggantian kuasa aman dan tatakelola  teliti dengan akauntabiliti. Itulah yang diperjuangkannya dengan gigih di lapangan.


WAWASAN ANWAR IBRAHIM. MEHNAH DAN FITNAH

Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi memiliki kemampuan pelbagai sebagai pemimpin karismatik,  ahli politik berkaliber dan strategis yang cemerlang.    Dia juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas menginspirasikan:  wawasan  kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan Asia,  wawasan ekonomi kemanusian,  wawasan pendidikan keinsanan,  wawasan masyarakat madani, dan ‘Muslim Democrats’.

Anwar menganjurkan pemerataan kefahaman Islam yang syumul dan pendekatan da'wah bil  hikmah wal mau'izatul hasanah. Kesederhanaan dan keseimbangan - ummatan wasata; dan keyakinan bahawa hanya dengan derajat mulia dan seimbang, umat akan menjadi contoh dan saksi kepada umat manusia - shuhada' 'alannas.

Anwar menolak pandangan agama yang dogmatik, terperangkap dengan taqlid buta, tidak memberi ruang untuk pemikiran kreatif yang berlandaskan kepada asas Islam. Dia menyarankan supaya menyingkap sejarah mengambil iktibar daripada kelenturan dan kelesuan pemikiran hingga berlaku 'kelompong ijtihad'. Gejala mutakhir, adalah kemunculan ulama yang menganggap penafsiran mereka sebagai muktamad - dan kecenderungan menjurus kepada takfir dan faham kabilah secara sempit. Islam menekankan keseimbangan sosial - tawazun ijtima'i  bukan cara keras, memaksa, mengugut dan mengherdik. Anwar menolak faham jumud kalangan yang bersekongkol dengan penindas terutama yang menganiaya golongan miskin dan lemah. Agamawan mesti menghindari penyakit ingin mendapat laba.

Program agama hendaklah memberi penekanan ke arah pencerahan dan pencerdasan umat, mengekalkan landasan da'wah berhikmah, memanfaatkan gudang pengalaman, khazanah ilmu dan turath Islam untuk menyinarkan obor.

Dr Siddiq Fadzil pernah menyatakan bahawa kita berkongsi perasaan kasih kepada Anwar Ibrahim kerana sedih dengan apa yang menimpanya dan kita semua terasa terhutang kepadanya. Anwar pemimpin paling berjasa untuk Islam  dan dialah yang betul-betul mencipta sejarah kebangkitan Islam. Dialah ikonnya. Dialah tokoh yang berjasa dan berjaya merubah ribuan malah jutaan orang – berhijrah daripada kejahilan kepada Islam. Dia pula orang yang paling banyak diaibkan di dalam sejarah kita. Kesedihan itu turut disebut oleh Dr Razali Nawawi apabila dia mengatakan, “Tangisan itu adalah doa untuk sahabat kita.”

Sudah tiga kali dia dipenjarakan – 2 tahun di bawah ISA, tragedi 1998 selama 6 tahun dan sekarang 5 tahun pula. Tidak ada tokoh lain yang didera dan diaibkan seperti ini. Keputusan politiklah yang telah menjatuhkan Anwar Ibrahim. Ada yang merasa telah menang dan beruntung dengan memenjarakan dan terus menerus menfitnah Anwar.

Anwar pula tidak dilawan kekayaannya kerana dia memang tidak kaya. Anwar terbukti kewibawaan integritinya kerana tidak pernah mengambil kesempatan mengaut laba atau harta padahal sewaktu dia berjawatan TPM atau Menteri Kewangan memang banyak kesempatan. Oleh kerana dia bukan hartawan maka tidak ada guna bagi cubaan membankrapkannya. Kekuatannya adalah pada kekuatan moralnya. Musuhnya tidak sanggup untuk melawannya dari segi moral. Maka terjadilah fitnah paling dahsyat dan paling aib. Sehingga lidah kita pun tak sanggup, tak terdaya, tak tergamam menyebutnya.

Kita berserah kepada Allah swt bagi membersihkan orang-orang bersih. Soal berapa lama dan bila, kita hanya mampu berserah dan ambillah iktibar kisah Musa a.s. dan Aisyah r.a. Politik fitnah adalah politik keji dan bukan politik luhur. Kita perlu selamatkan umat daripada terjebak dalam kancah qadhaf dan kefasikan.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (al Ahzab : 69)

Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di serata dunia. Malangnya kekuatan karisma inilah yang  cuba dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan  pula karakternya melalui ‘pengakuan’ bekas sahabatnya sendiri. Padahal tidak ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan mengkhianati kawan-kawannya.

Iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri peribadi Anwar sinonim dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam, pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh usaha Islamisasi, pembangunan institusi, membangunkan Falsafah Pendidikan Sepadu membuktikan iktikad dan kewibawaannya memimpin umat .

Anwar memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Israel bahkan menentang kezaliman mana-mana pihak pun terhadap rakyat yang ditindas, diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin merentasi semua faction.  

Dengan Barat, terserlah keupayaannya mengadakan perhubungan, talian diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama, sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Kekuatannya adalah keterbukaannya, kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah, kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa. Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ala Taliban dan juga bukan Pak Turut Barat, membawa wajah Islam dengan pendekatan yang bermaruah dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive engagement.

Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi 1998, Anwar melaungkan kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “kalau takut risiko, jangan bicara perjuangan”, banyak penyokong-penyokong terkenal dan pimpinan pemuda ketika itu bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat berkobar-kobar. Ketika itu Anwar mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu benar-benar melangkah mengharungi onar dengan  sepenuh iltizam kerana melangkah itu langkah yang nyata bukan lagi hanya hasrat di hati sahaja.

Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan.  Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek yang didera begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri dan berpaling tadah. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana baru tersedar bahawa betapa perit jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga yang mahal mencalar maruah, mengganggu jiwa serta mencelarukan pemikiran. Pengalaman jerih, ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang.

Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Mereka ini semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti persahabatan bersama seorang pejuang.

Sahabat-sahabat  di sisi Anwar Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau Non Muslim telah dan akan membela serta lebih setia kepada persahabatan dan prinsip. Sememangnya banyak sahabat-sahabat setianya dari segenap pelusuk dunia dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan dan menolak label yang digunakan bagi  memburukkan watak yang pada mereka lebih mereka kenali.


AKHIRKALAM:    IDEALISME PERJUANGAN

Anwar Ibrahim mengungkapnya begini:-
"Saya dibesarkan pada zaman transformasi sosial hebat di mana berlaku cetusan ledakan idea-idea dan peristiwa-peristiwa berbetulan serta bertindan dengan aktivisme mahasiswa, kebangkitan agama dan pergolakan politik. Saya tidak rela berada selaku pemerhati sahaja, bahkan saya memilih untuk menjadi ahli yang berpartisipasi aktif. Saya muncul daripada semua ini dengan berkeyakinan bahawa sementara pilihan hidup secara bertafakur, berfikir dan bertapa menyendiri boleh menyegarkan dan melazatkan minda dan jiwa, tetapi hidup bertafakur digandingkan pula dengan gerak tindakan dan pupuk persaudaraan lebih memugarkan aktualisasi diri. Saya tidak menyesali jalan yang ditempohi kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang lingkup  inilah saya akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih tinggi."


SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM.
SELAMAT BERJUANG BAPA REFORMASI!


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH   16 Mei 2018  bersamaan  30 Sya’ban 1439

Thursday, May 3, 2018

MALAYSIA TANPA GST? M.A. KHALID



MALAYSIA TANPA GST?

Oleh Dr. Muhammed Abdul Khalid

BARU-BARU ini, ada yang mengatakan bahawa jika GST dihapuskan, ekonomi dan kewangan negara akan merudum memandangkan negara akan kehilangan lebih kurang RM45 bilion setahun hasil daripada kutipan GST. Kenyataan sebegini auta.

Kita seharusnya bertanya mengapa adanya GST. Jawapan mudah tetapi pahit, adalah kita tidak tahu untuk mengurus perbelanjaan dan kos dengan berhemah. Walaupun ekonomi kita berkembang, dan harga komoditi berada di paras yang baik, tetapi disebabkan pengurusan fiskal yang amat lemah, ditambah pula dengan pembaziran kronik dan korupsi, maka kita perlukan lebih banyak hasil. GST adalah peluang untuk tambahkan hasil.

Ada beberapa perkara yang penting kita huraikan berkenaan dengan GST. Pertama, kita tidak boleh menafikan akan kesan negatif GST kepada rakyat. Banyak kajian menunjukkan bahawa cukai GST ini adalah regresif, iaitu ia lebih menekan kepada yang miskin dan bukan kaya. Mereka juga terpaksa membayar harga barang yang naik kerana GST. Kuasa beli mereka makin berkurangan.

Hasil daripada GST juga memberi impak negatif kepada kewangan negara kerana ia menggalakkan sikap tidak berdisiplin, terutamanya terhadap pengurusan fiskal. Walau-pun dengan GST, dan pengurangan subsidi, adakah hutang kita makin berkurang? Tidak. Kita masih terus seronok berhutang, hutang negara makin meningkat, dan perbelanjaan makin naik. Kita tetap boros, dan terus berbelanja lebih dari pendapatan.

Perbelanjaan tahun ini dijangka naik hampir 8 peratus menurut angka Kementerian Kewangan (MOF). Tidak hairanlah agensi penarafan antarabangsa Moody’s berkata bahawa kadar konsolidasi fiskal negara dijangka amat perlahan, dan kadar hutang negara masih di paras membimbangkan.

Kebimbangan ini berdasarkan fakta. Contohnya, walaupun kerajaan membentang perbelanjaan operasi sebanyak RM234 bilion tahun ini, tetapi belum sampai 3 bulan, perbelanjaan operasi akan naik lebih tinggi tahun ini disebabkan janji bahawa BR1M dan gaji penjawat awam akan dinaikkan lagi. Kita terus berbelanja.

Ramai yang lupa bahawa apabila kerajaan berhutang, rakyat juga berhutang. Hutang itu dengan bunga sekali mesti dibayar balik, yang pastinya dibayar oleh semua rakyat. Kita harus ingat, kerajaan tiada sumber pendapatan yang banyak, melainkan yang diberikan oleh rakyat dari segi cukai.

Jelas, walaupun hasil GST makin bertambah, kewangan fiskal kita tidak bertambah baik. Ketirisan GST, seperti pelepasan cukai kepada syarikat dari negara China yang membina keretapi Pantai Timur adalah contoh ketirisan yang disebabkan oleh pelepasan cukai yang tidak konsisten, dan masalah refund yang lembap.

Kedua, jika diurus dengan betul, ekonomi dan kewangan negara tidak akan merudum sekiranya GST dihapuskan. Perbelanjaan kerajaan boleh dikurangkan. Penjimatan hanya 10 peratus dari keseluruhan peruntukan perbelanjaan, yang berjumlah lebih kurang RM280 bilion, dapat memberi penjimatan sebanyak RM28 bilion. Penjimatan dari penstrukturan hutang negara, terutamanya hutang jangka panjang yang besar, dapat mengurangkan pembayaran hutang yang kini mencecah RM2.6 bilion sebulan, ataupun RM31 bilion setahun, yang naik sekali ganda daripada RM14 bilion yang dibayar pada tahun 2009.

Ini bererti rombakan sistem cukai dan perbelanjaan operasi kerajaan lebih dari cukup untuk mengimbangi kewangan negara walaupun GST dimansuhkan. Jadi, alasan bahawa pemansuhan GST akan menyebabkan negara ranap kerana hilang pendapatan sebanyak RM45 bilion itu tidak tepat.

Ketiga, persoalan yang timbul adalah mengapa walaupun dengan adanya GST, ekonomi negara masih tidak mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih berkualiti?

Sejak 2014, kadar kemiskinan relatif di Malaysia tidak turun, tetapi naik dari 15 peratus pada 2014 kepada 16 peratus pada 2016. Pada tahun lalu, misalnya, data dari Bank Negara menunjukkan hanya 1 daripada 5 peluang pekerjaan diisi oleh rakyat Malaysia; yang lain, 80 peratus, dikaut oleh pekerja asing. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keempat, ada pihak yang berkata bahawa ekonomi dan kewangan kita dalam keadaan baik kerana pasaran saham tahun ini meningkat, Ringgit mengukuh, rizab negara naik, dan hutang negara stabil. Ini tidak bersandarkan fakta.

Sebenarnya, indeks FBM KLCI pada hujung bulan lalu tidak banyak berbeza dengan paras empat tahun lalu, kenaikan tidak sampai satu peratus. Ringgit juga tidak bertambah baik. Di antara tahun 2011 dan 2017, Ringgit telah hilang hampir satu pertiga dari nilainya berbanding Dolar Amerika, dan jatuh hampir 24 peratus berbanding Baht Thai.

Akhir sekali, yang penting untuk kesejahteraan rakyat dan negara bukannya cukai GST. GST bukan penyebab kemunduran atau kemajuan negara. Yang akan menyelamatkan kita adalah pengurusan ekonomi dan kewangan yang cekap, dan menghapuskan pembaziran serta korupsi.

http://www.sinarharian.com.my/…/pendapat/malaysia-tanpa-gst…

Wednesday, May 2, 2018

PKPIM: Fastabiqul Khairat: Reformasi Anwar Ibrahim, Pendamaian Tun Mahathir




PKPIM: Fastabiqul Khairat:  Reformasi Anwar Ibrahim, Pendamaian Tun Mahathir

Dalam Pilihanraya Umum kali ke-14 ini, seperkara yang menjadi bahan kegemaran parti-parti politik sebagai bahan kempen ialah ‘Anwar Ibrahim - Tun Mahathir Berdamai?’

Timbul pelbagai reaksi terhadap keputusan Anwar Ibrahim itu. Ya, ia keputusan Anwar Ibrahim. Sosok Bapa Reformis yang dizalimi selama dua dekad; natijah perjuangan tulennya. Kini beliau dipenjara namun jiwa ‘Lawan Tetap Lawan’ mengaum ke angkasa.

Sukar untuk memahami asbab keputusan beliau, tetapi tidak bermakna ianya mustahil. Jawapan kepada persoalan yang bertapa jauh dilubuk hati Rakyat Malaysia yang mendambakan Reformasi hakiki dan menyeluruh pimpinan Anwar Ibrahim; dan Rakan-rakan serta pendokong Reformasi, tersedia diatas jejak hidup dan usia beliau.

(1) Ketahuilah bahawa semenjak awal usia Anwar Ibrahim dalam perjuangan Rakyat, premis prinsipnya tidak pernah lari daripada impian membasmi kemiskinan dan hina kepapaan. Kerana itu, sejak dari PKPIM, ABIM, Menteri, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang, softspot Anwar Ibrahim sentiasa ‘kemiskinan’.

(2) Impian Merdeka ialah menjamin kebebasan rakyat secara memyeluruh. Kerana itu, jika ada anak miskin tidak dapat akses pendidikan yang baik, maka diusaha pendidikan percuma. Jika ada anak miskin yang kesukaran memulakan perniagaan, maka diusahakan Majlis Amanah Raya untuk bantu perniagaan kecil. Jika ada anak miskin yang suaranya malap, maka diusahakan mekanisme demokrasi yang telus dan adil.

(3) Dari awal hingga kini, jiwa Anwar Ibrahim bak tisu apabila berkait dengan nasib rakyat miskin. Mana mungkin beliau tidak marah dan merah muka apabila berhadapan dengan rasuah orang berharta, salah guna kuasa orang berkuasa dan keangkuhan orang yang hidup senang dengan kekayaan suku-sakat seraya tuli terhadap derita saudara senegara. Mana mungkin beliau tidak memerangi golongan elitis yang bongkak dan tanpa segan-silu memperbodoh rakyat dengan sikap ‘bodo’ mereka itu.

(4) Pun begitu, bukanlah tunjang misi pembebasan kemiskinan itu dijiwai dengan roh keduniaan dan duitan semata-mata. Melalui dakwah dan tarbiyah didalam ABIM serta pertemuan bersama tokoh dakwah seantero dunia, Anwar Ibrahim menghayati tuntutan memupuk persaudaraan (Surah al-Hujurat, 49:13), meratakan keadilan (Surah an-Nisa, 4:58), kesaksamaan ekonomi (Surah al-Harsy, 59:7) dan urus tadbir yang baik (Surah Yusuf, 17:43-49). (rujukan: Anwar Ibrahim (1997). Gelombang Kebangkitan Asia)

Titik fokal jalur dakwah dan formula pembangunan bangsa Anwar Ibrahim pula berasaskan kepada Maqasid Shariah yang dipelopori Imam asy-Syatibi yang dikembangkan oleh Ibn Ashur, Imam al-Qaradawi dan Sheikh Muhammad al-Ghazali. Serta dengan hormat yang istimewa kepada Imam al-Qaradawi menerusi Fiqh al-Awlawiyat yang menjadi juristic basis for social policies. (rujukan: Anwar Ibrahim (1997). The Asian Renaissance. ms.118-119) Anwar Ibrahim juga peka dengan perbahasan Maqasid Shariah terkini yang dibahaskan oleh Sheikh Dr. Ahmad ar-Raisuni.

(5) Ya, mungkin pada awalnya ‘Anwar Ibrahim Lawan Kemiskinan’ lahir daripada nurani suci seorang remaja sekolah menengah; MCKK, yang serba keanak-anakan. Namun, kesungguhan beliau itu tulen. Ini mendorong beliau menjalinkan persahabatan dan memperhebat jaringan dengan tokoh-tokoh Ulama, Ilmuan dan Negarawan tempatan-antarabangsa, meneroka idea dan ilham. Tujuannya hanya satu; demi ummat dan rakyat; bukan kepentingan peribadi. Inilah yang menjadikan Anwar Ibrahim sebagai sosok  'human transformer' dan 'culture builder’.

(6) Seperkara lagi yang melatari prinsip Anwar Ibrahim ialah pembacaan beliau yang sangat luas. Turut serta sahabat-sahabat beliau yang menjadi teman diskusi, pakar rujuk dan rakan debat beliau. Hasilnya, ilham yang diutarakan oleh Anwar Ibrahim adalah yang halus, berpandangan jauh dan mapan. Bukti abadi kepada kecintaan Anwar Ibrahim kepada ilmu, buku dan rakyat, tercermin dalam penulisan beliau; buku berjudul, ‘The Asian Renaissance’ atau ‘Gelombang Kebangkitan Asia’. Idea asasnya ialah kebebasan, keadilan dan maruah.

(7) Anwar Ibrahim sebut pada 27 Oktober 2014 dalam ‘Pidato Umum Anwar Ibrahim 40 Tahun dari UM ke Penjara’ di Universiti Malaya, bahawa perjuangan ini bukan soal Anwar Ibrahim, ini soal masa depan rakyat dan generasi mendatang. Ini bukan soal peribadi, ini soal ummat dan rakyat. Kerana itu beliau jelaskan, sebenarnya beliau ditawarkan pelindungan suaka dibeberapa negara dengan tawaran posisi perkhidmatan antarabangsa yang bermanfaat untuk masyarakat global. Namun, Anwar Ibrahim memilih untuk kekal di Malaysia; memilih untuk ke penjara. Alasan beliau, ‘Kalau anak muda berjuang separuh mati untuk masa depan negara sendiri. Takkan saya boleh senang hidup selesa di negara orang. Saya mahu bersama saudara-saudara di sini.’

(8) Memahami prinsip yang didokong oleh Anwar Ibrahim yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, ia menjelaskan sebab pertama mengapa Anwar Ibrahim memilih untuk menerima Tun Mahathir. Kerana Pakatan Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir akan memberikan manfaat besar kepada rakyat Malaysia.

(9) Anwar Ibrahim mempunyai pilihan; (1) Menolak pakatan bersama Tun dan berlaku pertandingan empat penjuru pakatan; Pakatan-PPBM-PAS-Barisan, yang pastinya menjamin kekalahan rakyat, tetapi beliau senang kerana tidak bersama orang yang memzalimi beliau, atau (2) Terima Tun -> tubuh Pakatan Harapan -> Menang PRU14 -> tawan Putrajaya, dan keuntungannya untuk 30 juta Rakyat Malaysia berbanding hanya Anwar Ibrahim seorang. Ya. Demi Rakyat. Demi Ummat. Demi Keadilan.

(10) Tidak ada yang boleh menafikan; apatah lagi mempersenda, kesengsaraan yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim lewat usia perjuangan beliau. Maka timbul pula persoalan tentang bagaimana hukuman terhadap salah-laku Tun. Kita ada 2 pilihan; (1) penjarakan Tun; satu orang dihukum, 30 juta Rakyat Malaysia rugi kerana diperintah oleh sekelompok penyamun, atau (2) terima permohonan maaf Tun -> menang Pakatan Harapan -> ‘lenjan’ Tun untuk kerja demi Rakyat dan kepentingan Rakyat -> cukup 2 tahun Tun berehat -> angkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, dan 30 juta Rakyat Malaysia terima manfaat.

(11) Adakah Anwar Ibrahim telah mengkhianati perjuangan Reformasi? Tidak. Bahkan saat inilah terbukti Anwar Ibrahim merupakan tokoh Reformis agung negara. Kerana ujian terakhir yang beliau hadapi; setelah merasai hidup sebagai rakyat jelata, Menteri-penguasa, banduan penjara dan Pembangkang Parlimen, adalah untuk memilih antara dua keutamaan; diri atau ummat.

(12) Ternyata Anwar Ibrahim telah memilih ummat. Memilih untuk menegakkan keadilan walaupun dengan segala kepayahan yang menimpa diri beliau dan keluarga.

(13) Pastinya kita boleh berbeza pandangan. Silakan berbeza pandangan. Dan pastikan perbezaan itu tidak menafikan kebenaran yang ada pada semua pihak. Pastikan perbezaan itu tidak melemahkan perjuangan ummat yang menatijahkan kekalnya kezaliman. Insafilah nasihat al-Fadhil Ust. Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, ‘kepelbagaian harus diraikan dalam bingkai kesatuan. Menegakkan Hak dan memelihara Akhlak.’ Ini adalah seperti yang diungkapkan dengan cukup menarik oleh Dr Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).

(14) Pokoknya, penumpuan adalah untuk mencantas kleptokrasi dan pencabul demokrasi; inshAllah Malaysia akan lebih sihat dibawah kepemimpinan baharu dan ketika itu marilah kita berentap lagi. Berentap idea dan ideal dalam suasana demokrasi hakiki yang berprinsip.

(15) Semoga Allah merahmati usia Anwar Ibrahim. Semoga Allah memberkati dan melimpahi keampunan kepada Anwar Ibrahim dan keluarga, juga kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak lentur di hinjak mehna, tidak patah di tekan ujian.

(16) Marilah kita bermunajat dan berdoa kepada Allah agar dikurniakan pahala kebajikan diatas amal yang sedikit ini demi menegakkan perintah-Nya. Semoga Allah memperkuat ukhwah sesama kita dan mengampuni khilaf yang timbul dalam ghairah PRU14 ini. Semoga Allah memberikan kemenangan kepada Hamba-Nya yang jujur dan ikhlas dalam mengangkat agama-Nya dengan terhormat.


اللهم اغفر لنا ذنوبنا و لإخواننا الذين سبقونا بالإمان
ولا تجعل في قلوبنا غلّا للذين آمنوا، ربّنا إنك رؤوف الرحيم

ربّنا آمننا بما أنزلت واتبعنا الرسول فاكتبنا مع الشاهدين

ربّنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار

HIDUP BIAR BERJASA

Ahmad Farhan Bin Rosli
EXCO Penerangan & Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
Sesi 2016-2018

Tuesday, May 1, 2018

PUTERI REFORMASI: MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH




PUTERI REFORMASI: MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH

Dia baru berusia 18 tahun apabila mula terlibat dan bergerak berkempen gigih demi keadilan apabila dia menjelajah seluruh negara bagi meraih undi bagi pilihanraya 1999. Dia berceramah kepada perhimpunan-perhimpunan orang ramai yang banyak dan bercambah diatur oleh pergerakan Reformasi dan parti-parti politik. Dia petah berpidato kepada kelompok-kelompok orang-orang kampung yang tekun ingin mendengar khabar daripada anak perempuan seorang pejuang mereka kenali serta bersimpati yang ketika itu merengkok di penjara. Penulis sempat merakamkan pertemuan ringkasnya dengan sekumpulan 100 orang di bawah rumah di Kampung Setoi. Dia mempunyai karisma bapanya dan mempamerkan kehebatan dan keteguhan semangat dalam ucapannya. Dia berjalan, bertegur sapa dan beramah mesra dengan para hadirin, menunjukkan keperibadian manis dan watak yang terhormat. Lantas, dia bergegas ke program lain bagi memenuhi jemputan orang ramai. Dia menampakkan ciri-ciri ahli politik yang berpotensi besar pada dirinya.

Nurul Izzah adalah anak perempuan sulong kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, , Anwar Ibrahim, dan Presiden of Parti Keadilan Rakyat, Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Kerana ini dan juga ats banyak sebab-sebab yang lain, dia digelarkan dengan nama timangan pengikut setianya sebagai ‘Puteri Reformasi’.

Nurul Izzah Binti Anwar dilahirkan pada 19 November 1980. Dia merupakan anak sulung daripada enam adik beradik. Kakak mithali kepada Nurul Nuha, Mohd. Ehsan, Nurul Ilham, Nurul Iman and Nurul Hana. Anak-anaknya adalah Nur Safiyah and Harith. Nurul Izzah belajar peringkat sekolah menengah di Assunta Girl’s Secondary School dan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Dia baru menjadi siswa tahun pertama jurusan Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada 1998 apabila bapanya ketika itu Timbalan Perdana Menteri, dilucutkan jawatannya oleh Perdana Menteri sewaktu itu. Peristiwa itu merubah kehidupan lazimnya. Daripada menjadi seorang pelajar universiti biasa dia dihumban tanpa persediaan ke dalam kancah politik negara yang sedang bergelora. Dan daripada situ, dia bertambah matang dan menjadi ahli politik terkemuka.

Dia terpaksa menangguhkan pengajiannya seketika demi memperjuangkan kebebasan bapanya dan bergiat dalam pergerakan Reformasi. Kemudian dia menyambung pengajian di Universiti Tenaga Nasional, memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada 2004. Sesudah itu, dia menlanjutkan pengajian di institusi terkemuka John Hopkins University di Amerika Syarikat dan menyandang Ijazah Sarjana International Relations pada 2006. Dia mendapat kepujian dalam ‘HSBC Young IT Entrepreneurship Award for Best business proposal’ pada 2004.

Nurul Izzah Binti Anwar seorang ahli politik yang datang daripada akar umbi masyarakat, dilatih dan dibimbing melalui perjuangan dan kesusahan jerih payah seorang pejuang, membesar bersama pengalaman menangani pergolakan hidup politik secara nyata. Pada umur remaja 18 tahun, dia secara tidak disangka terrjun ke medan gelanggang pertarungan politik apabila bapanya dizalimi dan dianiayai, dipenjara atas tujuan politik sehingga dia terpaksa menangguh pengajian kerananya demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Dia berkempen bersama-sama pakatan parti-parti pembangkang dan pelbagai NGO untuk agenda reformasi. Dia menjelajah seluruh negara dan juga pergi ke luar negara bagi meraih sokongan unutk membebaskan bapanya. Dia telah berjumpa ramai tokoh-tokoh luar negara dan aktivis-aktivis dalam berkempen serta adakalanya mewakili bapanya dalam forum-forum dan acara-acara luar negara.

Pada umur muda 27 tahun, dia menjadi calon bertanding di parlimen Lembah Pantai dan mengalahkan lawannya daripada parti pemerintah dengan majoriti memberangsangkan. Lawannya yang ditewaskan pada masa itu merupakan Ketua Wanita UMNO Malaysia dan seorang menteri kanan.

Pada pilihanraya seterusnya Nurul Izzah Anwar mengalahkan lawannya juga seorang menteri kanan – Menteri Wilayah Persekutuan. Nurul Izzah telah menewaskan dua orang menteri kerajaan. Tidaklah hairan kenapa semua menyambutnya dengan gelaran ‘Puteri Reformasi’.

Nurul Izzah Anwar ‘Puteri Reformasi’ yang muda ini mendapat pengalaman daripada penglibatan secara langsungnya dengan perjuangan rakyat di akar umbi dan dengan denyutan hati rakyat. Dia dilahirkan dibidani ke kancah politik daripada perjuangan akar umbi.

Dia pernah ditahan di lokap Polis Jinjang kerana ucapannya di Parlimen sebagai wakil rakyat. Kejadian ini mendapat reaksi meluas antarabangsa sehingga ada wartawan asing menyebut ‘she’s not just anyone’s daughter’.

Sekarang sekali lagi dia mewakili bapanya dan menggalas tanggungjawab besar mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Puah lambang keutuhan perjuangan menegakkan keadilan.

Semoga dia berjaya dalam mengharungi waktu-waktu yang sukar dan getir ini, mengatasi segala mehnah dan fitnah ujian dengan berbekal sokongan dan dokongan keluarga serta para penyokong setia, dengan pertolongan kita semua, dan lebih-lebih lagi dengan bertawakkal kepada Allah swt. Dengan kegigihan dan kecekalan yang ada padanya, dengan izin serta pertolongan Allah, Nurul Izzah Anwar akan memperolehi kejayaan serta mewarisi amanah memimpin perjuangan politik luhur di tanah air ini.