Wednesday, March 20, 2019



NOTA USRAH:   Rijal Ad-Da’wah

Agama Islam ini, berbeza dengan tanggapan kebanyakan orang samada Muslim, Orientalis dan Barat, kerana Islam ini bukannya tamadun era tertentu, atau kesenian era tertentu yang dapat dilihat pada lukisan dan ukiran binaan masyarakat sesuatu zaman, yang mana kesemua ini akan lenyap dengan lenyapnya tamadun tertentu seperti Yunani, Rom, dan kesenian Turki.

Islam ini agama yang hidup bernyawa dan bernafas, ia kekal hidup kerana inilah yang telah ditentukan oleh Allah swt yang mana ketentuanNya itu penuh ketekunan. Hal ini dapat dilihat pada firmanNya ketika hari Arafah,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu, dan telah aku lengkapkan keatas kamu nikmatKu, dan Aku redha Islam adalah agama kamu” (Al-Maidah : 3).

Oleh yang demikian tiada keperluan kepada risalah atau mesej yang baru, ataupun agama baru kerana Islam sudah mampu berinteraksi dengan kehidupan seharian dan berjalan seiringan dengannya sekaligus melakukan islah dan reformasi keatasnya.

Maka, apabila kita sudah tahu bahawa Islam itu adalah agama yang kekal hingga ke akhir zaman, dan Islam sesuai dan praktikal pada tiap zaman dan tempat, serta umat Islam adalah umat terakhir dipilih Allah untuk menyampaikan risalah Ilahi kepada ahli bumi, justeru semestinya Islam dan umat ini akan diuji dan menghadapi tribulasi-tribulasi yang tidak dihadapi oleh sesiapa pun sebelum ini dalam sejarah, lantas akan diuji dengan zaman-zaman, dan generasi-generasi yang tidak pernah dihadapi oleh mereka sebelum ini. Islam dan umatnya akan senantiasa diuji pada setiap peringkat sejarahnya, pada setiap lipatan tarikhnya dengan ujian yang menyentuh soal logik pemikiran, keilmuan, ketamadunan, kemasyarakatan dan perundangan.

Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawasanya, zaman-zaman yang dilalui oleh Islam dan umatnya adalah penuh dengan pergolakan dan ikhtilaf sekaligus melahirkan banyak kemusykilan dan permasalahan yang tidak pernah terlintas pada akal umat. Segala-galanya akan diuji, dari segi keluhuran undang-undang, Thabat atau kekal dengan prinsip, kekuatan rohani, dan kesesuaian Islam dengan kehidupan. Kesemua ini akan menghadapi tribulasi dan mehnah yang sentiasa mendatang. Maka umat yang berhasil keluar dari pertarungan atau peperangan ini dengan menggapai kemenangan adalah umat yang layak dengan kehidupan (Jadiratun bil Hayah), layak untuk memimpin (Solihatun lil Qiyadah). Mana mungkin bagi mana-mana kekuatan politik, atau kuasa luar untuk menyerang tubuhnya apatah lagi melenyapkannya dari kewujudan.

Lalu, bagaimana mungkin Islam mampu menghadapi kesemua tribulasi ini? Apakah kekuatannya ?

Jawapannya, Ia bergantung kepada dua kekuatan utama:-

1)     Kekuatan yang sudah ada dalam Islam itu sendiri yang menjadikannya sesuai dan mampu kekal dan segar pada tiap zaman dan tempat. Ini dapat dilihat pada hukum hakamnya, fiqhnya, yang mana kesemua ini dapat ditemui dan diamati pada topik Fiqh Islam.

2)     Kekuatan yang kedua yang inilah titik utama perbahasan kita pada malam ini, diterjemahkan dengan ‘Para Jaguh/Wira’ yang dijanjikan Allah untuk diutuskan kepada Ummat ini, mereka lah ‘Rijal/Wira/Jaguh’ yang hidup gemilang lagi gagah yang muncul pada tiap peringkat zaman. Mereka berusaha berjuang menyebarkan ajaran agama dalam kehidupan dan mengembalikan kepemudaan kepada ummat ini.

Rijal  inilah yang bangkit tampil melakukan perubahan dan menentang kemungkaran, membenteras keruntuhan akhlak, melawan politik tirani (As-Siyasah Al-Mustabiddah atau al istibdaad al siyasi), pemerintahan yang zalim, pembaziran dan lain-lain kebejatan. Faktor utama yang membentuk dan menjadikan mereka sedemikian adalah kerana Islam itu sendiri, inilah tabiat atau fitrah sifat semulajadi Islam, yakni akan ada pejuang-pejuang yang senantiasa membelanya sepanjang masa hingga ke akhir zaman.

Sejarah mencatatkan bahwa sepanjang keberadaan Islam dalam lipatan sejarah, akan sentiasa ada tokoh-tokoh islah-reformis-mujaddid yang muncul pada setiap zaman dan tempat. Bilangan mereka sangatlah ramai, maka penulis mengambil kesempatan ini untuk menceritakan tentang ketokohan Umar Abdul Aziz sebagai Rijal ad-Dakwah.


Umar bin Abdul Aziz

Sebelum kemunculannya, pada pemerintahan Bani Umayyah zahirnyaasabiyah jahiliyahbaitul mal menjadi milik individu tertentu sedangkan ia berlawanan dan bercanggah dengan prinsip yang diajar Rasulullah   (Perintah Baginda  adalah harta baitul mal ini diambil dari orang kaya dan diberi kepada orang faqir). Budaya membodek menjadi amalan biasa, maka dikelilingi khalifah oleh orang oportunis yang mengambil kesempatan mahukan kuasa dan membolot harta rakyat. Orang kaya raya diagung-agungkan dan dipenuhi jemputannya sedangkan orang faqir dibiarkan terlantar begitu sahaja. Nyanyian laghamenjadi budaya amalan di zaman Umawi, hinggakan pada suatu ketika seorang penyanyi telah datang ke Madinah. Maka berhimpitlah dan bersesaklah orang ramai memasuki sebuah rumah di mana penyanyi itu akan menyanyi. Justeru runtuhlah atap rumah itu disebabkan dikerumuni ramainya orang lantas terhempap serta mati penyanyi itu.  Para pemimpin Umayyah saling berebut demi mendapatkan kuasa dan pengaruh, namun mereka tidak mampu menandingi pengaruh ilmuwan dan ulama yang masih punya kuasa, penghormatan dan pengaruh yang kuat di kalangan rakyat jelata.


Kehidupan Umar Abdul Aziz selepas dilantik menjadi Khalifah

Umar mengasingkan diri daripada penguasa-penguasa yang zalim, menolak kemegahan yang diamalkan oleh khalifah-khalifah sebelumnya. Dia tidak membenarkan sesiapapun bangun berdiri menghormatinya. Dia mengizinkan rakyat jelata bertemu dengannya tanpa perlu minta kebenaran. Dia mengeluarkan hartanya untuk diserahkan kepada baitul mal termasuklah barang-barang kemas isterinya. Pada beberapa ketika dia lewat untuk keluar solat Jumaat kerana menantikan bajunya kering terlebih dahulu. Makanan anak-anaknya terdiri dari kacang adas dan bawang, lalu menangislah si Khalifah lalu dia berkata kepada anak-anaknya “Apa yang kamu peroleh manfaat, jika kamu hidup mewah, tetapi ayah kamu diarah untuk dimasukkan ke neraka?”

Dan pernah suatu masa, Umar ingin menunaikan ibadah Haji, namun duitnya tidak mencukupi padahal dia seorang Khalifah, lantas pembantunya berkata kepadanya, “Akan datang kepada kita harta cukai dari Bani Marwan, kamu boleh gunakan sebahagian untuk haji”.
Lalu dijawab Umar Abdul Aziz, “Letakkanlah ia di baitul mal, dan berilah apa yang halal untuk ku ambil, jika ia haram untukku maka cukuplah apa yang ada.” Gaji hariannya tidak lebih daripada dua dirham, sedangkan dia telah menetapkan pegawai-pegawai kerajaan mendapat gaji 300 dinar setiap seorang supaya mereka tidak melakukan khianat.

Sikap tawadu’ Umar ini bukan hanya khusus pada diri peribadinya, bahkan dia juga berusaha melaksanakan polisi tawadu’ dalam penggunaan harta awam di kalangan pegawai-pegawainya. Dia berusaha untuk mengembalikan duit rakyat untuk manfaat rakyat, dan Umar percaya bahawa setiap dirham itu darah yang tidak boleh dibiarkan mengalir pada tempat yang tidak layak baginya. Umar menulis kepada Muhammad bin Amru bin Hazm, gabenor Madinah agar dia tidak menyalakan lampu jalan tiap kali dia ingin keluar. Cukuplah bagi si gabenor itu dengan lampu-lampu yang disediakan untuk keluarganya, dengan pesanannya sekiranya dia ikut nasihat ini maka dia pada ketika itu adalah lebih baik dari sekarang.

Umar juga pernah diminta untuk membekalkan kertas kepada gabenor tersebut,  kertas untuk kegunaan pejabat dan urusan rasmi, lalu Khalidah Umar membalas surat lalu menyuruh gabenor menulis secara nipis, tidak renggang antara perkataan, kerana tiada hajat untuk menjarakkan perkataan antara perkataan kerana ia sekaligus memudharatkan baitul mal.


Reformasi Pentadbiran

Khalifah Umar menegur pegawainya yang bimbang apabila ramai orang bukan Islam masuk Islam kerana sumber pendapatan jizyah akan menjadi kurang. Lalu Umar Abdul Aziz membalas dengan kata-kata masyhurnya, “Sesungguhnya Allah mengutus Muhammad    sebagai Pendakwah untuk Islam dan bukan sebagai pengutip cukai

Umar juga menulis kepada pegawainya yang bertugas di Yaman tentang kutipan cukai, “Bahawa sesungguhnya engkau pernah menulis kepadaku dan memberitahuku bahawa cukai Kharaj telah lama dikenakan kepada mereka samada tanaman mereka subur, atau tidak, hidup atau mati. SubhanAllah, jika suratku ini sampai kepadamu, maka tinggalkanlah perkara yang kamu rasa batil dan tegakkanlah kebenaran, sekalipun engkau hanya datang kepadaku dengan hanya segenggam ‘katam’, namun itu lebih membuatkan aku bahagia jika ia bertepatan dengan kebenaran.

Umar juga membatalkan cukai  al-Muks, tiada cukai perniagaan bagi yang berniaga di darat atau laut, melarang pegawai-pegawai kerajaan dari berniaga kerana ianya merupakan kezaliman dan penindasan, mengharamkan pekerjaan tanpa upah ‘Unpaid Labour’ (Sukhrah), memberi peluang samarata kepada semua samada pegawai atau tidak untuk melakukan apa-apa aktiviti ekonomi keatas tanah-tanah.

Umar tidak mahu menerima hadiah, dan berkata, “Benda ini andai diberi kepada Rasulullah , ianya memang hadiah, namun jika diberi kepadaku maka ianya hadiah, dan aku tidak berhajat kepadanya”. Dia juga membuka peluang kepada rakyat seluasnya untuk membuat aduan tentang apa-apa kekurangan dan kezaliman yang berlaku sepanjang pemerintahannya serta memberi insentif wang kepada pengadu.


Keprihatinan dalam Akhlak Rakyatnya

Datangnya Khalifah Umar Abdul Aziz dengan semangat membanteras pemisahan di antara pentadbiran atau siyasah dengan dakwah dan irsyad. Dia banyak mengutuskan surat kepada para tentera dan pegawai-pegawainya menyeru dan mengajak mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mengikuti ajaran Nabi , serta berhati-hati dalam melaksanakan hukuman.


Keprihatinan dalam Dakwah

Umar mengutus surat kepada penguasa-penguasa India, mengajak mereka kepada Islam. Apabila Ismail bin Abdillah menjadi penguasa Maghribi, Umar mengutus surat kepada rakyat Maghribi untuk mengajak mereka masuk Islam. Lalu Ismail membaca surat tersebut kepada mereka, sekaligus berbondong-bondong masuk Islam.

Apabila jelas dan terang kemenangan Islam dan diyakini kehebatan serta kewibawaan pemimpinnya maka manusia akan berduyun-duyun memeluk agama ini.

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١
Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan

وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا ٢
dan kamu lihat manusia masuk din Allah dengan berbondong-bondong

فسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا ٣
maka bertasbihlah dengan memuji Rab kamu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat


Penulisan ilmu-ilmu Islam dan menghidupkan Sunnah Ar Rasul 

Umar mengarahkan Imam Abu Bakar bin Muhammad untuk membukukan hadith Rasulullah  agar ia tidak hilang atau luput.  Bahkan dia mengarahkan semua gabenor-gabenor di wilayah-wilayah lain untuk mengusahakan pembukuan hadith-hadith Nabi   Beliau memberikan upah kepada para ulama agar mereka berdedikasi dalam melakukan kerja dakwah.

Pada zaman Umar Abdul Aziz, terdapat seorang dai’e yg bernama Al-Harith yang diarah olehnya untuk pergi berdakwah ke kawasan pendalaman. Umar mengarahkan pegawainya memberi gaji kepada Al Harith untuk menjalani tugasan tersebut. Al-Harith hanya menjawab, "Tidak akan aku ambil duit atas ilmu yang Allah beri kepadaku." Apabila berita itu sampai kepada Umar Abd Aziz, dia berdoa, "Semoga Allah banyakkan dalam ummat ini orang seperti Al-Harith."


Kesan-kesan dasar reformasi Umar Abdul Aziz

Berkata Yahya bin Saad, “Aku diutuskan oleh Umar Abdul Aziz untuk mengutip zakat daripada penduduk Afrika maka tugas ini aku dapat laksanakan, namun apabila aku mahu memberikan zakat kepada fuqara di sana, tiada seorang pun yang faqir. Sesungguhnya Umar telah mengkayakan rakyat, lalu aku terus menggunakan zakat itu untuk membebaskan hamba-hamba.”
Salah seorang anak kepada Zaid bin Al-Khitob berkata, “Umar Abdul Aziz memerintah selama 30 bulan sahaja, namun dalam tempoh itu jika disuruh seseorang untuk memberikan zakatnya kepada faqir miskin, nescaya dia tidak akan menjumpainya kerana Umar telah menjadikan rakyat kaya.

Begitulah janji-janji Allah kepada orang-orang yang beriman, bertaqwa dan beramal salih:
Diberikan kekuasaan di dunia dan diberikan kemampanan dalam segala bidang.

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nuur: 55).

 Dikurniakan keberkatan dari langit dan bumi, seperti sumber daya alam yang melimpah serta rezeki yang luas (al-barakah dan ar-rizqu ath-thayyib).

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi." (Al-A'raaf: 96).

Imam At-Tobari menukilkan,

Sesungguhnya Khalifah Al-Walid suka binaan dan seninya, maka rakyat ketika itu apabila berjumpa akan saling bertanyakan tentang pembinaan. Khalifah Sulaiman pula suka bernikah dan makanan lazat, maka manusia apabila berjumpa akan bertanyakan satu sama lain tentang nikah kahwin dan makanan. Apabila dilantik Umar Abdul Aziz sebagai khalifah, manusia apabila berjumpa satu sama lain, mereka akan bertanyakan, “Adakah kamu sudah lakukan Qiyam?,” “Berapa juzuk kamu sudah hafaz?”, “Bilakah kamu akan khatam al Qur’an?” “Berapa hari kamu berpuasa sunat?” dan lain-lain amalan.”

Akhir sekali, Umar Abdul Aziz merupakan seorang yang sangat takut kepada Allah.  Seorang lelaki berjumpanya dan di hadapan Umar ada tempat membakar api yang sedang menyala. Lalu Umar berkata kepadanya, “Berilah peringatan kepadaku.” Lalu berkata lelaki itu, “Wahai Amirul Mu’munin, apa manfaat untuk kamu jika kamu masuk syurga padahal pada hakikatnya, kamu masuk neraka, dan apa manfaat kamu masuk syurga akan tetapi pada hakikatnya kamu masuk neraka.” Lalu menangislah Umar Abdul Aziz teresak-esak hingga terpadam api tersebut.


KEWAFATAN

Pada tanggal 101 hijrah ketika umurnya 39 tahun, Umar Abdul Aziz syahid kembali bertemu Tuhannya disebabkan diracuni kaum kerabatnya Bani Ummayyah. Mereka membunuhnya kerana Umar tidak mengamalkan salahguna kuasa, tidak memperkayakan kerabat suku sakat - kronisme, nepotisme, dan kerana Umar Abdul Aziz  seorang insan yang begitu telus, jujur dan amanah lagi bertaqwa. Maka tentera Iblis daripada kalangan manusia semestinya tidak mahu insan suci seperti ini ini hidup lama.

Moga Allah swt merahmati Umar Abdul Aziz, dan mengurniakan kepada kita pemimpin sepertinya.



Rujukan:
Rijal al-Fikr wa al-Da'wah fi Al-Islam oleh Syed Abul Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi



Al Rupawani,  Biro Advokasi Masyarakat ABIM Pulau Pinang 6/3/2019

Wednesday, January 30, 2019

DR SIDDIQ FADZIL: BEBERAPA KENDALA DALAM PROSES PEMBINAAN BANGSA




BEBERAPA KENDALA DALAM PROSES PEMBINAAN BANGSA:
ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK

Siddiq Fadzil


Mukadimah

Pada tahun 1991 Perdana Menteri Malaysia mengungkapkan wawasannya tentang hala tuju negara yang dikenali sebagai wawasan 2020. Mendahului senarai sembilan cabaran dalam wawasan tersebut ialah pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu. Diskripsi rinci bangsa Malaysia tersebut menggambarkannya sebagai bangsa yang sejahtera, terintegrasi dari segi wilayah dan kelompok etniknya, berkongsi masa depan, menikmati kehidupan bersama berasaskan prinsip keadilan dan persamaan hak, taat dan setia seutuhnya kepada negara bangsa Malaysia. Dilihat dari perspektif agama, gagasan bangsa Malaysia sedemikian mungkin dapat diserasikan dengan konsep ummah siyasiyyah seperti yang terungkap dalam Sahifah Madinah. Perlembagaan bertulis pertama di dunia itu menyatakan bahawa seluruh warga dari pelbagai agama dan etnik adalah satu umat tersendiri yang berbeza daripada yang lain-lain (ummatun wahidatun min duni al-nas). Seluruh warga - Muslim dan bukan Muslim - menikmati hak yang sama dan memikul tanggungjawab yang sama.

Kenyataan tersebut menghadapkan kita kepada persoalan sejauh mana Islam telah difungsikan bagi merealisasikan gagasan ummatik atau aspirasi nasional pembinaan bangsa Malaysia? Yang jelas, terdapat beberapa kendala dalam proses tersebut yang bermuara pada kegagalan memahami isu Islam dan kemajmukan masyarakat. Akibatnya, umat Islam tidak berperanan sebagaimana mestinya dalam menjayakan proses pembentukan ummah siyasiyyah yang dijelmakan dalam rupa gagasan bangsa Malaysia itu.


Prinsip Karamah Insaniyyah

Manusia sebagai manusia, tanpa mengira bangsa dan agamanya adalah makhluk mulia. Kemuliaan yang inklusif tersebut adalah kurnia langsung dari Allah sendiri (al-takrim al-Ilahiy). Kerana itu semuanya - yang Islam dan yang bukan Islam - harus dimuliakan atas dasar kemanusiaan mereka. Menghina manusia atau mendiskriminasikan manusia kerana bangsa dan agamanya adalah suatu kesalahan berat berasaskan prinsip karamah insaniyyah. Apa hak kita menghina manusia sedang Allah sendiri memuliakannya?. Umat Melayu-Islam seharusnya mempamerkan akhlak mulia dengan menghormati orang lain yang berbeza etnik, agama dan budaya. Untuk itu mereka juga seharusnya berjiwa besar menyemak dan menghapuskan kata dan istilah Melayu yang bernuansa penghinaan terhadap kaum lain.


Kepelbagaian Sebagai Ayati ‘Llah

Kepelbagaian adalah ciptaan Tuhan yang mengandungi hikmah dan erti tersendiri. Ayat 22 surah al-Rum menyebut kepelbagaian bangsa dan bahasa sebagai bahagian daripada ayat atau tanda kebesaran Allah. Kata ayat dalam al-Qur’an biasanya diikuti dengan kata yang membawa makna bahawa ia dapat difahami oleh mereka yang berakal dan berfikir seperti kata ya`qilun, yatafakkarun dan yang sepertinya. Ini bererti bahawa sesuatu yang disebut ayat mungkin tidak diperlihatkan secara terbuka dan eksplisit. Untuk memahaminya diperlukan perenungan dan rifleksi yang mendalam. Dalam isu kepelbagaian bangsa dan bahasa (ayat 22 surah al-Rum), kata ayat diikuti kata li al-`alimin, iaitu tanda yang hanya dapat difahami oleh mereka yang berilmu.

Hakikatnya, kepelbagaian adalah ayati ‘Llah (tanda kebesaran Allah) dan sekali gus sunnah-Nya dalam penciptaan makhluk yang indah dan penuh hikmah. Kerana itu kepelbagaian seharusnya diapresiasi, diraikan dan dirayakan. Kepelbagaian bukan suatu petaka atau kesialan yang harus disesali. Seperti yang disebut oleh al-Shaykh Abdullah bin Bayyah, orang Islam harus bersikap menghormati dan menyenangi kepelbagaian (ihtiram al-ikhtilaf wa hubb al-ikhtilah) kerana sesungguhnya kepelbagaian bererti rahmat kekuatan, kekayaan dan keindahan. Demikianlah andainya kepelbagaian disikapi secara positif dan diurus dengan bijaksana.

Nass lain yang selalu menjadi rujukan dalam isu kepelbagaian ialah ayat 13 surah al-Hujurat yang menyebut bahawa manusia memang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku dengan tujuan untuk saling mengenal (...lita`arafu). Tujuan “untuk saling mengenal” inilah yang tampaknya tidak direalisasikan sepenuhnya. Secara umum dapat dikatakan tidak ada usaha yang serius mengenal orang lain dalam erti mempelajari agamanya, budayanya, sejarahnya, perwatakannya dan seterusnya. Demikian juga di pihak lain; mereka tidak berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mengenal kita. Akibatnya kesalingan pada tahap ta`aruf belum berlaku. Seharusnya proses ta`aruf sudah berlaku seawal umur persekolahan. Tetapi sistem persekolahan kita, termasuk persekolahan Islam - korikulum dan kokorikulumnya - seolah-olah mengabaikan kehadiran orang lain.

Andainya ta`aruf telah terlaksana dengan sempurna, ia akan berkelanjutan dengan kesalingan-kesalingan seterusnya: saling menghormati, saling mempelajari, saling bekerjasama, saling memperkasa dan saling memperkaya. Justeru, interaksi Muslim-bukan Muslim, tentunya tidak hanya sebatas saling kenal, tetapi ta`aruf adalah pembuka jalan menuju pelbagai kesalingan yang produktif dan bermanfaat untuk semua.


Prinsip Keadilan

Ayat 25 surah al-Hadid menegaskan bahawa tujuan utama pengutusan para rasul ialah agar manusia menegakkan prinsip keadilan. Memang keadilan adalah prinsip yang wajib ditegakkan dalam semua urusan, termasuk hubungan intra kaum dan antara kaum. Penentuan hak dan tanggungjawab tidak didasarkan kepada pertimbangan majoriti atau minoriti, tetapi didasarkan kepada prinsip keadilan. Demi prinsip keadilan majoriti tidak boleh membolot dan mendominasi, sementara minoriti tidak boleh didiskriminasi dan dipinggirkan.

Umat Islam tidak boleh hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa pertimbangan adil atau tidak. Sebagai contoh, terdapat orang Islam yang menyokong gerrymadering dan malapportionment dalam pensepadanan kawasan pilihan raya atas pertimbangan ia menguntungkan Melayu, walhal ia adalah suatu kecurangan yang nyata. Dalam isu seperti itu pendirian tidak seharusnya berasaskan pertimbangan siapa untung siapa rugi, tetapi berasaskan prinsip keadilan. Kita mungkin tidak suka kepada seseorang atau sesuatu kaum, tetapi tidak suka, benci atau marah tidak boleh dijadikan justifikasi untuk tidak berlaku adil. Demikian peringatan Tuhan dalam al-Qur’an.


Misi Rahmat Sejagat

Islam adalah agama pembawa rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin). Seluruh warga Alam - manusia (dari segala bangsa dan agama), haiwan, tetumbuhan dan lain-lain - layak dan berhak menikmati curahan rahmat belas kasih Tuhan yang terkandung dalam agama-Nya. Kerana itu rahmat Tuhan tidak seharusnya dibatasi hanya untuk bangsa atau kelompok sendiri. Mempersempit rahmat Tuhan dengan menghalang-halanginya daripada menjangkau pihak lain adalah bertentangan dengan sifat keluasan rahmat Tuhan yang meliputi semua (...wasi`at kulla shay’).

Umat Islam adalah pengemban misi menyebar kebaikan, maslahah, khidmat dan manfaat kepada kemanusiaan sejagat. Kesejagatan tersebut diekspresikan lewat kata al-nas seperti bayna al-nas dan li al-nas yang jelas merujuk makna kemanusiaan inklusif merentasi sempadan bangsa, agama dan budaya. Ayat 110 surah Ali `Imran menyebut umat terunggul (khayra ummah) yang ditampilkan kepada kemanusiaan sejagat (ukhrijat li al-nas). Tafsiran ungkapan tersebut ialah bahawa mereka ditampilkan untuk berbakti dalam erti menyebar khidmat manfaat dan maslahah kepada warga kemanusiaan seluruhnya. Bertolak dari tafsiran tersebut maka menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam membolot dan membatasi semua habuan dan kebaikan hanya untuk diri mereka sendiri. Apa pun habuan kebaikan yang mereka perolehi seharusnya dikongsi dengan orang lain, atau dilimpahkan sebahagiannya kepada orang lain sebagai amal kebajikan:


من رسالة هذه الأمة إن لا تحتجز الخير لنفسها، ولا تستاءثر به حين يقع ليدها، بل تجعل منه نصيبا تبر به الإنسانية
كلها


Demikian semangat kemanusiaan inklusif ajaran Islam yang jelas menolak semangat dan tindakan racist atau perkauman sempit. Kegagalan memahami dan menghayati misi kemanusiaan inklusif adalah suatu pencederaan terhadap hakikat Islam sebagai aktualisasi kasih-sayang Tuhan kepada warga alam keseluruhannya.


Konsep Kewarganegaraan (al-Muwatanah)

Dalam pemikiran Islam kontemporari konsep kewarganegaraan atau al-muwatah banyak dibicarakan sebagai dasar kerakyatan yang realistik dan praktikal bagi negara-negara umat Islam masa kini. Memang realitinya kita tidak lagi berada dalam empayar Islam, tetapi dalam negara nasional moden (dawlah wataniyyah). Perubahan realiti politik semasa memerlukan penyesuaian dasar kerakyatan. Kewarganegaraan bererti bahawa rakyat yang disebut warganegara (al-muwatinun) mendapat hak kewarganegaraan penuh (al-muwatanah al-kamilah) dengan hak dan tanggungjawab yang sama, tanpa diskriminasi atau peminggiran mana-mana golongan.

Deklarasi al-Azhar Mengenai Kewarganegaraan dan Hidup Bersama (I`lan al-Azhar li al-Muwatanah wa al-`Aysh al-Mushtarak) 2017 menyebut bahawa istilah al-muwatanah (kewarganegaraan) adalah istilah Islam asli yang terpancar dari Perlembagaan Madinah dan dokumen-dokuman perjanjian antara Nabi s.`a.w. dengan pihak-pihak lain. Berasaskan hakikat tersebut, Deklarasi al-Azhar menegaskan bahawa al-muwatanah bukan penyelesaian import, sebaliknya ia menghadirkan kembali praktik sistem pemerintahan Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.`a.w. di negara yang diasaskannya iaitu negara Madinah. Praktik pemerintahan nabawi tersebut tidak mengandungi apa jua bentuk diskriminasi atau peminggiran mana-mana pihak. Yang berlaku ketika itu adalah politik berasaskan kepelbagaian agama dan kaum dalam bingkai persamaan dan kesatuan kewarganegaraan penuh.

Penerimaan terhadap konsep kewarganegaraan, persamaan dan hak-hak kemanusiaan secara konsekuensial bererti penolakan terhadap segala bentuk perlakuan yang bertentangan dengan prinsip kewarganegaraan, termasuk perlakuan double standard, diskriminasi perkauman dan keagamaan, peminggiran, penindasan, pengusiran dan seumpamanya yang ditolak oleh Islam dan agama-agama lainnya. Demikianlah, kegagalan memahami dan menghayati prinsip dan nilai kewarganeraan sedemikian bererti kegagalan meneladani politik nabawi sebagaimana yang terakam dalam Perlembagaan Madinah.


Konsep al-Ra`iyyah

Warga yang kini disebut muwatinun, dalam khazanah turath fiqh, khususnya fiqh politik dahulu disebut ra`iyyah yang diadaptasi menjadi rakyat dalam bahasa Melayu. Pemakaian istilah al-ra`iyyah dalam kalangan fuqaha’ silam membawa makna yang inklusif meliputi yang Muslim dan bukan Muslim. Sifat inklusif inilah yang menjadi ciri istimewa al-siyasah al-shar`iyyah. Ini bererti bahawa semangat al-siyasah al-shar`iyyah ialah untuk memelihara maslahah kemanusiaan seluruhnya, tanpa mendiskriminasikan sesiapa berasaskan kaum atau agama. Pentakrifan sedemikian selaras dengan ciri kesejagatan risalah Islam dan misi pemerataan rahmat kepada seluruh warga alam. Pola fikir diskriminatif dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama ternyata tidak selaras dengan konsep al-ra`iyyah dan semangat al-siyasah al-shar`iyyah yang inklusif.


Khatimah

Memang banyak koreksi yang harus dilakukan terhadap pemikiran umat Islam terutama yang berkaitan dengan isu masyarakat majmuk. Demikian juga di pihak masyarakat bukan Islam. Mereka juga perlu melakukan koreksi yang sama. Melakukan tindakan korektif dalam masyarakat Islam harus dengan pendekatan berhikmah dan tabassur atau dalam ungkapan Qur’ani `ala basirah iaitu berasaskan maklumat, data dan fakta yang secukupnya. Selain itu ia juga harus dilakukan mengikut istita`ah atau qudrah iaitu keupayaan melakukannya. Dalam kaitan ini kefahaman tentang fiqh al-taghyir (fiqh perubahan) sangat diperlukan.



KDH/IDE/UNISEL/USIM
24012019.