BEBERAPA KENDALA DALAM PROSES PEMBINAAN
BANGSA:
ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK
Siddiq Fadzil
Mukadimah
Pada tahun 1991 Perdana Menteri Malaysia
mengungkapkan wawasannya tentang hala tuju negara yang dikenali sebagai wawasan
2020. Mendahului senarai sembilan cabaran dalam wawasan tersebut ialah
pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu. Diskripsi rinci bangsa Malaysia
tersebut menggambarkannya sebagai bangsa yang sejahtera, terintegrasi dari segi
wilayah dan kelompok etniknya, berkongsi masa depan, menikmati kehidupan
bersama berasaskan prinsip keadilan dan persamaan hak, taat dan setia seutuhnya
kepada negara bangsa Malaysia. Dilihat dari perspektif agama, gagasan bangsa
Malaysia sedemikian mungkin dapat diserasikan dengan konsep ummah siyasiyyah seperti yang
terungkap dalam Sahifah Madinah.
Perlembagaan bertulis pertama di dunia itu menyatakan bahawa seluruh warga dari
pelbagai agama dan etnik adalah satu umat tersendiri yang berbeza daripada yang
lain-lain (ummatun wahidatun min duni al-nas).
Seluruh warga - Muslim dan bukan Muslim - menikmati hak yang sama dan memikul
tanggungjawab yang sama.
Kenyataan tersebut menghadapkan kita kepada
persoalan sejauh mana Islam telah difungsikan bagi merealisasikan gagasan
ummatik atau aspirasi nasional pembinaan bangsa Malaysia? Yang jelas, terdapat
beberapa kendala dalam proses tersebut yang bermuara pada kegagalan memahami
isu Islam dan kemajmukan masyarakat. Akibatnya, umat Islam tidak berperanan
sebagaimana mestinya dalam menjayakan proses pembentukan ummah siyasiyyah yang dijelmakan dalam
rupa gagasan bangsa Malaysia itu.
Prinsip Karamah Insaniyyah
Manusia sebagai manusia, tanpa mengira bangsa dan
agamanya adalah makhluk mulia. Kemuliaan yang inklusif tersebut adalah kurnia
langsung dari Allah sendiri (al-takrim
al-Ilahiy). Kerana itu semuanya - yang Islam dan yang
bukan Islam - harus dimuliakan atas dasar kemanusiaan mereka. Menghina manusia
atau mendiskriminasikan manusia kerana bangsa dan agamanya adalah suatu
kesalahan berat berasaskan prinsip karamah
insaniyyah. Apa hak kita menghina manusia sedang Allah
sendiri memuliakannya?. Umat Melayu-Islam seharusnya mempamerkan akhlak mulia
dengan menghormati orang lain yang berbeza etnik, agama dan budaya. Untuk itu
mereka juga seharusnya berjiwa besar menyemak dan menghapuskan kata dan istilah
Melayu yang bernuansa penghinaan terhadap kaum lain.
Kepelbagaian Sebagai Ayati ‘Llah
Kepelbagaian adalah ciptaan Tuhan yang
mengandungi hikmah dan erti tersendiri. Ayat 22 surah al-Rum menyebut kepelbagaian bangsa dan
bahasa sebagai bahagian daripada ayat
atau tanda kebesaran Allah. Kata ayat dalam al-Qur’an biasanya diikuti
dengan kata yang membawa makna bahawa ia dapat difahami oleh mereka yang
berakal dan berfikir seperti kata ya`qilun,
yatafakkarun dan yang sepertinya. Ini bererti bahawa sesuatu
yang disebut ayat mungkin tidak
diperlihatkan secara terbuka dan eksplisit. Untuk memahaminya diperlukan
perenungan dan rifleksi yang mendalam. Dalam isu kepelbagaian bangsa dan bahasa
(ayat 22 surah al-Rum),
kata ayat diikuti kata li al-`alimin, iaitu tanda yang
hanya dapat difahami oleh mereka yang berilmu.
Hakikatnya, kepelbagaian adalah ayati ‘Llah (tanda kebesaran
Allah) dan sekali gus sunnah-Nya
dalam penciptaan makhluk yang indah dan penuh hikmah. Kerana itu kepelbagaian
seharusnya diapresiasi, diraikan dan dirayakan. Kepelbagaian bukan suatu petaka
atau kesialan yang harus disesali. Seperti yang disebut oleh al-Shaykh Abdullah
bin Bayyah, orang Islam harus bersikap menghormati dan menyenangi kepelbagaian
(ihtiram al-ikhtilaf wa hubb al-ikhtilah)
kerana sesungguhnya kepelbagaian bererti rahmat kekuatan, kekayaan dan
keindahan. Demikianlah andainya kepelbagaian disikapi secara positif dan diurus
dengan bijaksana.
Nass lain yang
selalu menjadi rujukan dalam isu kepelbagaian ialah ayat 13 surah al-Hujurat yang menyebut bahawa
manusia memang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku dengan tujuan untuk
saling mengenal (...lita`arafu).
Tujuan “untuk saling mengenal” inilah yang tampaknya tidak direalisasikan
sepenuhnya. Secara umum dapat dikatakan tidak ada usaha yang serius mengenal
orang lain dalam erti mempelajari agamanya, budayanya, sejarahnya,
perwatakannya dan seterusnya. Demikian juga di pihak lain; mereka tidak
berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mengenal kita. Akibatnya kesalingan pada
tahap ta`aruf belum
berlaku. Seharusnya proses ta`aruf sudah
berlaku seawal umur persekolahan. Tetapi sistem persekolahan kita, termasuk
persekolahan Islam - korikulum dan kokorikulumnya - seolah-olah mengabaikan
kehadiran orang lain.
Andainya ta`aruf
telah terlaksana dengan sempurna, ia akan
berkelanjutan dengan kesalingan-kesalingan seterusnya: saling menghormati,
saling mempelajari, saling bekerjasama, saling memperkasa dan saling
memperkaya. Justeru, interaksi Muslim-bukan Muslim, tentunya tidak hanya
sebatas saling kenal, tetapi ta`aruf
adalah pembuka jalan menuju pelbagai kesalingan
yang produktif dan bermanfaat untuk semua.
Prinsip Keadilan
Ayat 25 surah al-Hadid
menegaskan bahawa tujuan utama pengutusan para
rasul ialah agar manusia menegakkan prinsip keadilan. Memang keadilan adalah
prinsip yang wajib ditegakkan dalam semua urusan, termasuk hubungan intra kaum
dan antara kaum. Penentuan hak dan tanggungjawab tidak didasarkan kepada
pertimbangan majoriti atau minoriti, tetapi didasarkan kepada prinsip keadilan.
Demi prinsip keadilan majoriti tidak boleh membolot dan mendominasi, sementara
minoriti tidak boleh didiskriminasi dan dipinggirkan.
Umat Islam tidak boleh hanya memikirkan
kepentingan diri sendiri tanpa pertimbangan adil atau tidak. Sebagai contoh,
terdapat orang Islam yang menyokong gerrymadering
dan malapportionment
dalam pensepadanan kawasan pilihan raya atas
pertimbangan ia menguntungkan Melayu, walhal ia adalah suatu kecurangan yang
nyata. Dalam isu seperti itu pendirian tidak seharusnya berasaskan pertimbangan
siapa untung siapa rugi, tetapi berasaskan prinsip keadilan. Kita mungkin tidak
suka kepada seseorang atau sesuatu kaum, tetapi tidak suka, benci atau marah
tidak boleh dijadikan justifikasi untuk tidak berlaku adil. Demikian peringatan
Tuhan dalam al-Qur’an.
Misi Rahmat Sejagat
Islam adalah agama pembawa rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin). Seluruh
warga Alam - manusia (dari segala bangsa dan agama), haiwan, tetumbuhan dan
lain-lain - layak dan berhak menikmati curahan rahmat belas kasih Tuhan yang
terkandung dalam agama-Nya. Kerana itu rahmat Tuhan tidak seharusnya dibatasi
hanya untuk bangsa atau kelompok sendiri. Mempersempit rahmat Tuhan dengan
menghalang-halanginya daripada menjangkau pihak lain adalah bertentangan dengan
sifat keluasan rahmat Tuhan yang meliputi semua (...wasi`at kulla shay’).
Umat Islam adalah pengemban misi menyebar
kebaikan, maslahah, khidmat dan manfaat kepada kemanusiaan sejagat. Kesejagatan
tersebut diekspresikan lewat kata al-nas
seperti bayna
al-nas dan li
al-nas yang jelas merujuk makna kemanusiaan inklusif
merentasi sempadan bangsa, agama dan budaya. Ayat 110 surah Ali `Imran menyebut umat
terunggul (khayra ummah)
yang ditampilkan kepada kemanusiaan sejagat (ukhrijat
li al-nas). Tafsiran ungkapan tersebut ialah bahawa mereka
ditampilkan untuk berbakti dalam erti menyebar khidmat manfaat dan maslahah
kepada warga kemanusiaan seluruhnya. Bertolak dari tafsiran tersebut maka
menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam membolot dan membatasi semua habuan dan
kebaikan hanya untuk diri mereka sendiri. Apa pun habuan kebaikan yang mereka
perolehi seharusnya dikongsi dengan orang lain, atau dilimpahkan sebahagiannya
kepada orang lain sebagai amal kebajikan:
من رسالة
هذه الأمة إن لا تحتجز الخير لنفسها، ولا تستاءثر به حين يقع ليدها، بل تجعل منه
نصيبا تبر به الإنسانية
كلها
Demikian semangat kemanusiaan inklusif ajaran
Islam yang jelas menolak semangat dan tindakan racist atau perkauman sempit. Kegagalan
memahami dan menghayati misi kemanusiaan inklusif adalah suatu pencederaan
terhadap hakikat Islam sebagai aktualisasi kasih-sayang Tuhan kepada warga alam
keseluruhannya.
Konsep Kewarganegaraan (al-Muwatanah)
Dalam pemikiran Islam kontemporari konsep
kewarganegaraan atau al-muwatah banyak
dibicarakan sebagai dasar kerakyatan yang realistik dan praktikal bagi
negara-negara umat Islam masa kini. Memang realitinya kita tidak lagi berada
dalam empayar Islam, tetapi dalam negara nasional moden (dawlah wataniyyah). Perubahan realiti
politik semasa memerlukan penyesuaian dasar kerakyatan. Kewarganegaraan bererti
bahawa rakyat yang disebut warganegara (al-muwatinun)
mendapat hak kewarganegaraan penuh (al-muwatanah
al-kamilah) dengan hak dan tanggungjawab yang sama, tanpa
diskriminasi atau peminggiran mana-mana golongan.
Deklarasi al-Azhar Mengenai Kewarganegaraan dan
Hidup Bersama (I`lan al-Azhar li al-Muwatanah wa
al-`Aysh al-Mushtarak) 2017 menyebut bahawa istilah al-muwatanah (kewarganegaraan)
adalah istilah Islam asli yang terpancar dari Perlembagaan Madinah dan
dokumen-dokuman perjanjian antara Nabi s.`a.w. dengan pihak-pihak lain.
Berasaskan hakikat tersebut, Deklarasi al-Azhar menegaskan bahawa al-muwatanah bukan penyelesaian
import, sebaliknya ia menghadirkan kembali praktik sistem pemerintahan Islam
yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.`a.w. di negara yang diasaskannya iaitu negara
Madinah. Praktik pemerintahan nabawi tersebut tidak mengandungi apa jua bentuk
diskriminasi atau peminggiran mana-mana pihak. Yang berlaku ketika itu adalah
politik berasaskan kepelbagaian agama dan kaum dalam bingkai persamaan dan
kesatuan kewarganegaraan penuh.
Penerimaan terhadap konsep kewarganegaraan,
persamaan dan hak-hak kemanusiaan secara konsekuensial bererti penolakan
terhadap segala bentuk perlakuan yang bertentangan dengan prinsip
kewarganegaraan, termasuk perlakuan double
standard, diskriminasi perkauman dan keagamaan,
peminggiran, penindasan, pengusiran dan seumpamanya yang ditolak oleh Islam dan
agama-agama lainnya. Demikianlah, kegagalan memahami dan menghayati prinsip dan
nilai kewarganeraan sedemikian bererti kegagalan meneladani politik nabawi
sebagaimana yang terakam dalam Perlembagaan Madinah.
Konsep al-Ra`iyyah
Warga yang kini disebut muwatinun, dalam khazanah turath
fiqh, khususnya fiqh politik dahulu disebut ra`iyyah
yang diadaptasi menjadi rakyat dalam bahasa
Melayu. Pemakaian istilah al-ra`iyyah
dalam kalangan fuqaha’ silam membawa makna yang
inklusif meliputi yang Muslim dan bukan Muslim. Sifat inklusif inilah yang
menjadi ciri istimewa al-siyasah al-shar`iyyah.
Ini bererti bahawa semangat al-siyasah
al-shar`iyyah ialah untuk memelihara maslahah kemanusiaan
seluruhnya, tanpa mendiskriminasikan sesiapa berasaskan kaum atau agama.
Pentakrifan sedemikian selaras dengan ciri kesejagatan risalah Islam dan misi
pemerataan rahmat kepada seluruh warga alam. Pola fikir diskriminatif dalam
konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama ternyata tidak selaras dengan konsep
al-ra`iyyah dan
semangat al-siyasah al-shar`iyyah yang
inklusif.
Khatimah
Memang banyak koreksi yang harus dilakukan
terhadap pemikiran umat Islam terutama yang berkaitan dengan isu masyarakat
majmuk. Demikian juga di pihak masyarakat bukan Islam. Mereka juga perlu
melakukan koreksi yang sama. Melakukan tindakan korektif dalam masyarakat Islam
harus dengan pendekatan berhikmah dan tabassur
atau dalam ungkapan Qur’ani `ala basirah iaitu berasaskan
maklumat, data dan fakta yang secukupnya. Selain itu ia juga harus dilakukan
mengikut istita`ah atau
qudrah iaitu
keupayaan melakukannya. Dalam kaitan ini kefahaman tentang fiqh al-taghyir (fiqh perubahan)
sangat diperlukan.
KDH/IDE/UNISEL/USIM
24012019.
No comments:
Post a Comment