NOTA USRAH: Rijal Ad-Da’wah
Agama Islam ini, berbeza dengan tanggapan kebanyakan orang samada Muslim, Orientalis dan Barat, kerana Islam ini bukannya tamadun era tertentu, atau kesenian era tertentu yang dapat dilihat pada lukisan dan ukiran binaan masyarakat sesuatu zaman, yang mana kesemua ini akan lenyap dengan lenyapnya tamadun tertentu seperti Yunani, Rom, dan kesenian Turki.
Islam ini agama yang hidup bernyawa dan bernafas, ia kekal hidup kerana inilah yang telah ditentukan oleh Allah swt yang mana ketentuanNya itu penuh ketekunan. Hal ini dapat dilihat pada firmanNya ketika hari Arafah,
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu, dan telah aku lengkapkan keatas kamu nikmatKu, dan Aku redha Islam adalah agama kamu” (Al-Maidah : 3).
Oleh yang demikian tiada keperluan kepada risalah atau mesej yang baru, ataupun agama baru kerana Islam sudah mampu berinteraksi dengan kehidupan seharian dan berjalan seiringan dengannya sekaligus melakukan islah dan reformasi keatasnya.
Maka, apabila kita sudah tahu bahawa Islam itu adalah agama yang kekal hingga ke akhir zaman, dan Islam sesuai dan praktikal pada tiap zaman dan tempat, serta umat Islam adalah umat terakhir dipilih Allah untuk menyampaikan risalah Ilahi kepada ahli bumi, justeru semestinya Islam dan umat ini akan diuji dan menghadapi tribulasi-tribulasi yang tidak dihadapi oleh sesiapa pun sebelum ini dalam sejarah, lantas akan diuji dengan zaman-zaman, dan generasi-generasi yang tidak pernah dihadapi oleh mereka sebelum ini. Islam dan umatnya akan senantiasa diuji pada setiap peringkat sejarahnya, pada setiap lipatan tarikhnya dengan ujian yang menyentuh soal logik pemikiran, keilmuan, ketamadunan, kemasyarakatan dan perundangan.
Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawasanya, zaman-zaman yang dilalui oleh Islam dan umatnya adalah penuh dengan pergolakan dan ikhtilaf sekaligus melahirkan banyak kemusykilan dan permasalahan yang tidak pernah terlintas pada akal umat. Segala-galanya akan diuji, dari segi keluhuran undang-undang, Thabat atau kekal dengan prinsip, kekuatan rohani, dan kesesuaian Islam dengan kehidupan. Kesemua ini akan menghadapi tribulasi dan mehnah yang sentiasa mendatang. Maka umat yang berhasil keluar dari pertarungan atau peperangan ini dengan menggapai kemenangan adalah umat yang layak dengan kehidupan (Jadiratun bil Hayah), layak untuk memimpin (Solihatun lil Qiyadah). Mana mungkin bagi mana-mana kekuatan politik, atau kuasa luar untuk menyerang tubuhnya apatah lagi melenyapkannya dari kewujudan.
Lalu, bagaimana mungkin Islam mampu menghadapi kesemua tribulasi ini? Apakah kekuatannya ?
Jawapannya, Ia bergantung kepada dua kekuatan utama:-
1) Kekuatan yang sudah ada dalam Islam itu sendiri yang menjadikannya sesuai dan mampu kekal dan segar pada tiap zaman dan tempat. Ini dapat dilihat pada hukum hakamnya, fiqhnya, yang mana kesemua ini dapat ditemui dan diamati pada topik Fiqh Islam.
2) Kekuatan yang kedua yang inilah titik utama perbahasan kita pada malam ini, diterjemahkan dengan ‘Para Jaguh/Wira’ yang dijanjikan Allah untuk diutuskan kepada Ummat ini, mereka lah ‘Rijal/Wira/Jaguh’ yang hidup gemilang lagi gagah yang muncul pada tiap peringkat zaman. Mereka berusaha berjuang menyebarkan ajaran agama dalam kehidupan dan mengembalikan kepemudaan kepada ummat ini.
Rijal inilah yang bangkit tampil melakukan perubahan dan menentang kemungkaran, membenteras keruntuhan akhlak, melawan politik tirani (As-Siyasah Al-Mustabiddah atau al istibdaad al siyasi), pemerintahan yang zalim, pembaziran dan lain-lain kebejatan. Faktor utama yang membentuk dan menjadikan mereka sedemikian adalah kerana Islam itu sendiri, inilah tabiat atau fitrah sifat semulajadi Islam, yakni akan ada pejuang-pejuang yang senantiasa membelanya sepanjang masa hingga ke akhir zaman.
Sejarah mencatatkan bahwa sepanjang keberadaan Islam dalam lipatan sejarah, akan sentiasa ada tokoh-tokoh islah-reformis-mujaddid yang muncul pada setiap zaman dan tempat. Bilangan mereka sangatlah ramai, maka penulis mengambil kesempatan ini untuk menceritakan tentang ketokohan Umar Abdul Aziz sebagai Rijal ad-Dakwah.
Umar bin Abdul Aziz
Sebelum kemunculannya, pada pemerintahan Bani Umayyah zahirnyaasabiyah jahiliyah, baitul mal menjadi milik individu tertentu sedangkan ia berlawanan dan bercanggah dengan prinsip yang diajar Rasulullah ﷺ (Perintah Baginda ﷺ adalah harta baitul mal ini diambil dari orang kaya dan diberi kepada orang faqir). Budaya membodek menjadi amalan biasa, maka dikelilingi khalifah oleh orang oportunis yang mengambil kesempatan mahukan kuasa dan membolot harta rakyat. Orang kaya raya diagung-agungkan dan dipenuhi jemputannya sedangkan orang faqir dibiarkan terlantar begitu sahaja. Nyanyian laghamenjadi budaya amalan di zaman Umawi, hinggakan pada suatu ketika seorang penyanyi telah datang ke Madinah. Maka berhimpitlah dan bersesaklah orang ramai memasuki sebuah rumah di mana penyanyi itu akan menyanyi. Justeru runtuhlah atap rumah itu disebabkan dikerumuni ramainya orang lantas terhempap serta mati penyanyi itu. Para pemimpin Umayyah saling berebut demi mendapatkan kuasa dan pengaruh, namun mereka tidak mampu menandingi pengaruh ilmuwan dan ulama yang masih punya kuasa, penghormatan dan pengaruh yang kuat di kalangan rakyat jelata.
Kehidupan Umar Abdul Aziz selepas dilantik menjadi Khalifah
Umar mengasingkan diri daripada penguasa-penguasa yang zalim, menolak kemegahan yang diamalkan oleh khalifah-khalifah sebelumnya. Dia tidak membenarkan sesiapapun bangun berdiri menghormatinya. Dia mengizinkan rakyat jelata bertemu dengannya tanpa perlu minta kebenaran. Dia mengeluarkan hartanya untuk diserahkan kepada baitul mal termasuklah barang-barang kemas isterinya. Pada beberapa ketika dia lewat untuk keluar solat Jumaat kerana menantikan bajunya kering terlebih dahulu. Makanan anak-anaknya terdiri dari kacang adas dan bawang, lalu menangislah si Khalifah lalu dia berkata kepada anak-anaknya “Apa yang kamu peroleh manfaat, jika kamu hidup mewah, tetapi ayah kamu diarah untuk dimasukkan ke neraka?”
Dan pernah suatu masa, Umar ingin menunaikan ibadah Haji, namun duitnya tidak mencukupi padahal dia seorang Khalifah, lantas pembantunya berkata kepadanya, “Akan datang kepada kita harta cukai dari Bani Marwan, kamu boleh gunakan sebahagian untuk haji”.
Lalu dijawab Umar Abdul Aziz, “Letakkanlah ia di baitul mal, dan berilah apa yang halal untuk ku ambil, jika ia haram untukku maka cukuplah apa yang ada.” Gaji hariannya tidak lebih daripada dua dirham, sedangkan dia telah menetapkan pegawai-pegawai kerajaan mendapat gaji 300 dinar setiap seorang supaya mereka tidak melakukan khianat.
Sikap tawadu’ Umar ini bukan hanya khusus pada diri peribadinya, bahkan dia juga berusaha melaksanakan polisi tawadu’ dalam penggunaan harta awam di kalangan pegawai-pegawainya. Dia berusaha untuk mengembalikan duit rakyat untuk manfaat rakyat, dan Umar percaya bahawa setiap dirham itu darah yang tidak boleh dibiarkan mengalir pada tempat yang tidak layak baginya. Umar menulis kepada Muhammad bin Amru bin Hazm, gabenor Madinah agar dia tidak menyalakan lampu jalan tiap kali dia ingin keluar. Cukuplah bagi si gabenor itu dengan lampu-lampu yang disediakan untuk keluarganya, dengan pesanannya sekiranya dia ikut nasihat ini maka dia pada ketika itu adalah lebih baik dari sekarang.
Umar juga pernah diminta untuk membekalkan kertas kepada gabenor tersebut, kertas untuk kegunaan pejabat dan urusan rasmi, lalu Khalidah Umar membalas surat lalu menyuruh gabenor menulis secara nipis, tidak renggang antara perkataan, kerana tiada hajat untuk menjarakkan perkataan antara perkataan kerana ia sekaligus memudharatkan baitul mal.
Reformasi Pentadbiran
Khalifah Umar menegur pegawainya yang bimbang apabila ramai orang bukan Islam masuk Islam kerana sumber pendapatan jizyah akan menjadi kurang. Lalu Umar Abdul Aziz membalas dengan kata-kata masyhurnya, “Sesungguhnya Allah mengutus Muhammad ﷺ sebagai Pendakwah untuk Islam dan bukan sebagai pengutip cukai”
Umar juga menulis kepada pegawainya yang bertugas di Yaman tentang kutipan cukai, “Bahawa sesungguhnya engkau pernah menulis kepadaku dan memberitahuku bahawa cukai Kharaj telah lama dikenakan kepada mereka samada tanaman mereka subur, atau tidak, hidup atau mati. SubhanAllah, jika suratku ini sampai kepadamu, maka tinggalkanlah perkara yang kamu rasa batil dan tegakkanlah kebenaran, sekalipun engkau hanya datang kepadaku dengan hanya segenggam ‘katam’, namun itu lebih membuatkan aku bahagia jika ia bertepatan dengan kebenaran.”
Umar juga membatalkan cukai al-Muks, tiada cukai perniagaan bagi yang berniaga di darat atau laut, melarang pegawai-pegawai kerajaan dari berniaga kerana ianya merupakan kezaliman dan penindasan, mengharamkan pekerjaan tanpa upah ‘Unpaid Labour’ (Sukhrah), memberi peluang samarata kepada semua samada pegawai atau tidak untuk melakukan apa-apa aktiviti ekonomi keatas tanah-tanah.
Umar tidak mahu menerima hadiah, dan berkata, “Benda ini andai diberi kepada Rasulullah ﷺ, ianya memang hadiah, namun jika diberi kepadaku maka ianya hadiah, dan aku tidak berhajat kepadanya”. Dia juga membuka peluang kepada rakyat seluasnya untuk membuat aduan tentang apa-apa kekurangan dan kezaliman yang berlaku sepanjang pemerintahannya serta memberi insentif wang kepada pengadu.
Keprihatinan dalam Akhlak Rakyatnya
Datangnya Khalifah Umar Abdul Aziz dengan semangat membanteras pemisahan di antara pentadbiran atau siyasah dengan dakwah dan irsyad. Dia banyak mengutuskan surat kepada para tentera dan pegawai-pegawainya menyeru dan mengajak mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mengikuti ajaran Nabi ﷺ, serta berhati-hati dalam melaksanakan hukuman.
Keprihatinan dalam Dakwah
Umar mengutus surat kepada penguasa-penguasa India, mengajak mereka kepada Islam. Apabila Ismail bin Abdillah menjadi penguasa Maghribi, Umar mengutus surat kepada rakyat Maghribi untuk mengajak mereka masuk Islam. Lalu Ismail membaca surat tersebut kepada mereka, sekaligus berbondong-bondong masuk Islam.
Apabila jelas dan terang kemenangan Islam dan diyakini kehebatan serta kewibawaan pemimpinnya maka manusia akan berduyun-duyun memeluk agama ini.
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١
Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan
وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا ٢
dan kamu lihat manusia masuk din Allah dengan berbondong-bondong
فسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا ٣
maka bertasbihlah dengan memuji Rab kamu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat
Penulisan ilmu-ilmu Islam dan menghidupkan Sunnah Ar Rasul ﷺ
Umar mengarahkan Imam Abu Bakar bin Muhammad untuk membukukan hadith Rasulullah ﷺ agar ia tidak hilang atau luput. Bahkan dia mengarahkan semua gabenor-gabenor di wilayah-wilayah lain untuk mengusahakan pembukuan hadith-hadith Nabi ﷺ Beliau memberikan upah kepada para ulama agar mereka berdedikasi dalam melakukan kerja dakwah.
Pada zaman Umar Abdul Aziz, terdapat seorang dai’e yg bernama Al-Harith yang diarah olehnya untuk pergi berdakwah ke kawasan pendalaman. Umar mengarahkan pegawainya memberi gaji kepada Al Harith untuk menjalani tugasan tersebut. Al-Harith hanya menjawab, "Tidak akan aku ambil duit atas ilmu yang Allah beri kepadaku." Apabila berita itu sampai kepada Umar Abd Aziz, dia berdoa, "Semoga Allah banyakkan dalam ummat ini orang seperti Al-Harith."
Kesan-kesan dasar reformasi Umar Abdul Aziz
Berkata Yahya bin Saad, “Aku diutuskan oleh Umar Abdul Aziz untuk mengutip zakat daripada penduduk Afrika maka tugas ini aku dapat laksanakan, namun apabila aku mahu memberikan zakat kepada fuqara di sana, tiada seorang pun yang faqir. Sesungguhnya Umar telah mengkayakan rakyat, lalu aku terus menggunakan zakat itu untuk membebaskan hamba-hamba.”
Salah seorang anak kepada Zaid bin Al-Khitob berkata, “Umar Abdul Aziz memerintah selama 30 bulan sahaja, namun dalam tempoh itu jika disuruh seseorang untuk memberikan zakatnya kepada faqir miskin, nescaya dia tidak akan menjumpainya kerana Umar telah menjadikan rakyat kaya.”
Begitulah janji-janji Allah kepada orang-orang yang beriman, bertaqwa dan beramal salih:
Diberikan kekuasaan di dunia dan diberikan kemampanan dalam segala bidang.
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
" Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nuur: 55).
Dikurniakan keberkatan dari langit dan bumi, seperti sumber daya alam yang melimpah serta rezeki yang luas (al-barakah dan ar-rizqu ath-thayyib).
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi." (Al-A'raaf: 96).
Imam At-Tobari menukilkan,
“Sesungguhnya Khalifah Al-Walid suka binaan dan seninya, maka rakyat ketika itu apabila berjumpa akan saling bertanyakan tentang pembinaan. Khalifah Sulaiman pula suka bernikah dan makanan lazat, maka manusia apabila berjumpa akan bertanyakan satu sama lain tentang nikah kahwin dan makanan. Apabila dilantik Umar Abdul Aziz sebagai khalifah, manusia apabila berjumpa satu sama lain, mereka akan bertanyakan, “Adakah kamu sudah lakukan Qiyam?,” “Berapa juzuk kamu sudah hafaz?”, “Bilakah kamu akan khatam al Qur’an?” “Berapa hari kamu berpuasa sunat?” dan lain-lain amalan.”
Akhir sekali, Umar Abdul Aziz merupakan seorang yang sangat takut kepada Allah. Seorang lelaki berjumpanya dan di hadapan Umar ada tempat membakar api yang sedang menyala. Lalu Umar berkata kepadanya, “Berilah peringatan kepadaku.” Lalu berkata lelaki itu, “Wahai Amirul Mu’munin, apa manfaat untuk kamu jika kamu masuk syurga padahal pada hakikatnya, kamu masuk neraka, dan apa manfaat kamu masuk syurga akan tetapi pada hakikatnya kamu masuk neraka.” Lalu menangislah Umar Abdul Aziz teresak-esak hingga terpadam api tersebut.
KEWAFATAN
Pada tanggal 101 hijrah ketika umurnya 39 tahun, Umar Abdul Aziz syahid kembali bertemu Tuhannya disebabkan diracuni kaum kerabatnya Bani Ummayyah. Mereka membunuhnya kerana Umar tidak mengamalkan salahguna kuasa, tidak memperkayakan kerabat suku sakat - kronisme, nepotisme, dan kerana Umar Abdul Aziz seorang insan yang begitu telus, jujur dan amanah lagi bertaqwa. Maka tentera Iblis daripada kalangan manusia semestinya tidak mahu insan suci seperti ini ini hidup lama.
Moga Allah swt merahmati Umar Abdul Aziz, dan mengurniakan kepada kita pemimpin sepertinya.
Rujukan:
Rijal al-Fikr wa al-Da'wah fi Al-Islam oleh Syed Abul Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi
Al Rupawani, Biro Advokasi Masyarakat ABIM Pulau Pinang 6/3/2019
No comments:
Post a Comment