Membaca Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat
Rakyat
oleh Ooi Heng , Merdeka Review
Membaca buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat
Rakyat membawa pemikiran saya kepada dimensi pinggiran yang lebih merupakan
interaksi seorang bukan Muslim dengan realiti semasa. Dimensi utama yang melibatkan interaksi
seorang Muslim dengan dunia di sekelilingnya bukanlah pengalaman dan worldview
yang mencorakkan pemikiran seorang bukan Muslim seperti saya.
Tanggal 25 Jun 2012, saya telah menghadiri masjlis
pelancaran buku ini, yakni karya terkini Dr. Siddiq Fadzil, "seorang guru
tua dari pedalaman" yang telah terlibat sebagai seorang aktivis semenjak
zaman pelajar sehinggalah beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
sebagai Presiden ketiga (1982-1991).
Hampir seribu hadirin hadirat yang mengisi dewan sebuah hotel di Ampang
mungkin ternampak kehadiran seorang dua bukan Muslim pada malam itu.
Saya ghaibnya membaca dengan pantas dan dapat menghabiskan
sebuah buku dalam masa dua tiga hari termasuk hari Sabtu dan Ahad. Tetapi saya asyik berhenti memikirkan sesuatu
semasa membaca buku Islam dan Melayu, sehinggalah pada ketika menulis artikel
ini, saya hanya sempat membaca hampir seratus halaman.
Selama lebih kurang satu dasawarsa berkecimpung dalam dunia
penulisan bermula dengan penulisan bahasa Cina, membaca merentasi bahasa
mencakupi bahasa Cina, Melayu dan Inggeris telah mengisi kebanyakan masa lapang
saya. Membaca merentasi bahasa dan
membabitkan pembacaan membicarakan soal Islam dan Melayu adalah suatu
pengalaman unik bagi seorang bukan Muslim seperti saya. Yang direntasi bukan sekadar perbezaan
bahasa, tetapi juga melibatkan perbezaan budaya, tradisi ilmu dan worldview.
Dunia penulisan bahasa Cina telah banyak kali mempersoalkan
mengapa pembaca senantiasa meletak segolongan penulis "dunia
Tionghua" termasuk Taiwan dan China sebagai intelektual utama yang juga
menjadi inspirasi dalam proses pencarian ilmu dan penulisan bahasa Cina. Dengan kata lain, mengapakah tradisi ilmu di
negara lain dijadikan sebagai sumber utama tradisi ilmu tempatan? Tiadakah penulis tempatan yang juga bergelar
intelektual? Tidak cukupkah bilangan
penulis tempatan dan kualiti penulisan mereka dalam membentuk gelanggang
penulisan bahasa Cina dengan tradisi ilmu tersendiri?
Sesungguhnya, dunia penulisan bahasa Melayu juga berdepan
dengan persoalan seumpama. Lebih-lebih
lagi penulisan bahasa Melayu yang juga menyentuh soal Islam. Di manakah tradisi ilmu yang menjadi sumber
inspirasi utama dunia penulisan bahasa Melayu dan Islam jikalau bukan terlahir
daripada gelanggang penulis tempatan?
Apakah Indonesia dan negara-negara sekitar gerakan Arab Spring yang
menjadi sumber utama membentuk tradisi ilmu tempatan?
Bagi penulis bahasa Cina tempatan, satu persoalan yang lebih
unik adalah, mengapakah penulisan bahasa Cina sering kali berdepan dengan
masalah pengiktirafan dalam tanah air kelahiran mereka?
Saya masih ingat pada satu hari apabila saya terbaca dalam
buku Edward Said, beliau menyentuh sumbangan tokoh ilmu tempatan Syed Hussein
Alatas dalam mempersoalkan kerangka permasalahan penulisan dan proses
kolonialisme yang mencorakkan sifat Melayu kononnya disemai budaya malas. Selepas itu, saya pernah beberapa kali
menanyakan kawan-kawan yang saya temui, ramai dalam kalangan mereka yang
mengenali Edward Said tidak mengenali tokoh besar tempatan Syed Hussein Alatas.
Pernah juga saya terbaca karya yang menyifatkan intelektual
awam sebagai species unik yang penulisannya merupakan sebahagian daripada
praktis yang dapat memimpin (lead) pada masa yang sama membentuk nilai dan
budaya kehidupan awam sesuatu masyarakat pada zaman tertentu. Agak ramai intelektual tempatan yang pada
pandangan saya pernah menghidupkan sifat seorang intelektual awam. Bermula pada malam pelancaran buku Islam dan
Melayu, saya berpeluang mengenali seorang lagi aktivis masyarakat yang
disifatkan oleh pemidato pada malam tersebut Anwar Ibrahim sebagai intelektual
awam.
Kali ini agak istimewa buat saya, kerana yang saya mengenali
melalui pandangan orang dan pemahaman diri saya adalah seorang aktivis Islam
yang membicarakan soal Islam dan umatnya.
Saya sukakan buku ini kerana beberapa kemusyikilan yang tertanam dalam
hati saya kini "terjawab".
Barang kali "terjawab" bukanlah istilah yang tepat. Saya bukan mendapat jawapan daripada
pembacaan buku tersebut tetapi dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai
persoalan tertentu melalui dialog antara bisikan pemikiran saya dengan apa yang
dibicarakan dalam buku Islam dan Melayu.
Bagi seorang bukan Muslim, persepsinya terhadap Islam sering
kali tertanam kerana pengaruh kuat politik kepartian. Tetapi buku Islam dan Melayu telah melakarkan
sesuatu yang berbeza dengan persepsi bukan Muslim mengenai Islam. Telah banyak kali akhbar bahasa Cina
melaporkan sudut berita atau pandangan bahawa bukan Muslim akan mendapat layanan
second class mengikut hukum Islam. Dalam
makalah berjudul "Kepimpinan Politik Melayu: Dari Tradisi ke
Demokrasi-Islami", Ustaz Siddiq Fadzil telah membicarakan permalasahan
berhubung status Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
dan akhirnya merumuskan pandangan di bawah yang juga menyentuh hak seorang
bukan Muslim:
Negara yang demokratik-Islamik model Malaysia harus mampu
merealisasikan maqasid al-shari'ah dalam konteks pluraliti kaum, agama dan
budaya. Keadilan, kebebasan dan martabat keinsanan yang merupakan bahagian penting
daripada objektif syari'at harus dapat dinikmati oleh seluruh warga, termasuk
warga bukan-Muslim. Mereka harus dilayani selayaknya sebagai warganegara
(muwatinun), bukan kaum zimmi (dhimmiyyun). Perubahan realiti politik telah
menjadikan pengkategorian zhimmiy-harbiy
tidak relevan lagi.
Konsep warganegara adalah satu konsep penting dalam dunia
hari ini. Biarpun bagi bukan Muslim yang
tidak mempunyai pemahaman mengenai hukum Islam, pengiktirafan sebagai
warganegara adalah asas sekali, malah, penyelesaian kepada masalah utama yang
berbangkit kerana ketidaksaksamaan dari segi pelaksanaan dasar selama ini juga
berkait rapat dengan kelemahan penghayatan pemegang kuasa terhadap konsep
warganegara. Hari ini banyak yang telah
dibincangkan mengenai kegagalan dasar kerajaan dalam menyelesaikan masalah
kemiskinan dan jurang antara Melayu kaya dengan Melayu kurang berada yang
semakin meluas. Begitu juga keadaannya
apabila dibincangkan jurang antara keluarga berada dengan keluarga kurang
berada tanpa mengira latar etnik.
Dalam makalah berjudul "Wasatiyyat al-Islam: Melihat
Kembali Erti dan Aplikasi 'Moderasi' islam", Ustaz Siddiiq Fadzil ada
menyentuh soal jurang kekayaan. Menurut beliau,
Ekonomi wasatiyyah tidak mengizinkan pembolotan sehingga hak
memanfaat dan menikmati kekayaan menjadi terbatas hanya di kalangan kelompok
kecil para hartawan (dulatan bayma al-aghniya’). Apabila jurang ekonomi antara
golongan: the have - the have not - the have a lot telah menjadi sedemikian
luas, pemerintah harus campur tangan demi mengembalikan wasatiyyah dalam erti
keseimbangan dan keadilan sosial.
Selain campur tangan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar,
saya berpendapat, pembaharuan proses penggubalan dasar yakni paradigma yang
mencorakkan keseluruhan pembentukan dasar baharu adalah perlu. Paradigma lama selama ini yang dtunjangi
pemikiran dan kepentingan kelompok kecil sama ada bertopengkan nama bangsa,
kaum, atau negara, sering kali meminggirkan kepentingan kaum majoriti (atau
etnik?) dan membangkitkan ketidakpuasan kaum minoriti (atau etnik?).
Pelbagai masalah yang berbangkit ekoran pelaksanaan dasar
yang tidak adil tidak dapat diselesaikan selain menanam dalam minda etnik
terbesar bahawa mereka berada dalam keadaan terancam meskipun hakikatnya bukan
begitu. Tindakan sedemikian serupa apa
yang disifatkan dalam buku Islam dan Melayu sebagai gejala pembodohan
rakyat. Apakah Melayu mahu terus
diperbodohkan dengan andaian yang jauh memesong daripada realiti semasa
kononnya etnik terbesar berdepan dengan ancaman?
Bagi saya, pendekatan baharu berlandaskan konsep warganegara
dan bukannya kepentingan kelompok tertentu harus melatari keseluruhan proses
penggubalan dan pelaksanaan dasar. Dalam
pada itu, pemberdayaan rakyat adalah penting untuk menyingkir gejala pembodohan
rakyat sekaligus menyediakan suasana yang cergas untuk penerapan dan pencerahan
idea yang seiring dengan nilai zaman semasa.
Dalam makalah berjudul "Pemberdayaan Umat: Kembalikan
Daulat Keinsanan Rakyat!", Ustaz Siddiq Fadzil telah menyentuh peri
pentingnya pemberdayaan rakyat dan bahawa "pakej pemberdayaan rakyat dalam
konteks sekarang harus meliputi pendidikan demokrasi, agar dengan begitu rakyat
tahu makna sebenar demokrasi, dan bagaimana ia semestinya
dilaksanakan". Rakyat harus dididik
bagaimana menggunakan hak demokratiknya secara bijaksana dan bermaruah.
Sebenarnya banyak hujah Ustaz Siddiq Fadzil yang ingin saya
sentuh dan bincang. Tetapi apa yang
lebih penting ialah, buku ini wajar dijadikan bacaan penting bukan Muslim. Hujah progresif dalam konteks hukum Islam
berbeza dengan sudut berita yang diutarakan dalam media. Bacalah sendiri supaya anda dapat menghayati
sebuah karya secara menyeluruh dan mendalam.
Saya sekadar menyentuh dimensi pinggiran.
Akhir sekali, ingin saya berkongsi puisi seorang
penyair-budayawan kenamaan Rendra berjudul "Kesaksian Bapak Saija"
yang berbunyi seperti berikut:
Hidup tanpa daya
sebab daya ditindih ketakutan.
Setiap hari seperti mati berulang kali.
Setiap saat berharap menjadi semut
agar bias menjadi tidak kelihatan.
Sekarang setelah mati
baru aku menyedari
bahwa ketakutanku membantu penindasan,
dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.
*Ooi Heng ialah Pengarah badan pemikir Kajian Politik untuk
Perubahan (KPRU) dan kolumnis Merdeka Review bahasa Melayu dan bahasa Cina.
No comments:
Post a Comment