DARI TAGHYIR al-NUFUS KE MEMARTABAT UMAT
Oleh: Amidi Dato' Abd Manan
Membaca buku hasil karya Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang lebih
dikenali sebagai Ustaz Siddiq Fadzil (USF) yang terkini berjudul Islam dan
Melayu : Martabat Umat dan Daulat Rakyat amat mengujakan. USF mengulas satu
persatu isu yang ditampilkan dengan pesona hujah dan bahasa yang menggamit
ghairah membaca tanpa henti.
Hubungan rakyat dan raja yang terukir dalam peradaban Melayu
amat kuat dipengaruhi oleh pandangan sarwa
yang diterasi oleh Islam. Status insan yang memiliki izzah tidak
membedakan raja dan rakyat jelata perlu dipelihara oleh semua pihak. Raja yang di pertuankan oleh bangsa Melayu
bukan satu status yang tidak boleh dicabar atau terlepas dari tangungjawab
sebagai pengemban amanah Allah.
Sang penguasa perlu untuk memelihara maruah rakyat serta
melaksanakan tugas dengan penuh rasa tawadhu’ , menyedari hakikat bahawa penghisaban Allah
tidak akan melepaskan sesiap di akhirat kelak. Beberapa contoh yang dibawakan
oleh USF mengisyaratkan bahawa transformational
leader bukan sesuatu yang mustahil dicapai.
Ia bukan satu keistimewaan yang hanya dapat hadir dengan
kesaktian yang di luar kebiasaan. Begitu juga disenaraikan sejumlah ciri
kepimpinan yang dituntut oleh agama yang telah terbukti berupaya membina
tamadun yang hebat dan berwibawa.
Umat Melayu adalah umat yang dibentuk dalam acuan Islam
sejak sekian lama. Ia terbukti dengan banyak hasil kesusasteraan dan catatan
sejarah yang menunjukkan pengaruh Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu,
seperti dalam ungkapan tradisional berikut:
Bergantung kepada Yang Satu
Berpegang kepada yang Esa
Tuah hidup sempurna hidup
Hidup berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal haram
Bagi bangsa Melayu diangkat martabatnya, bangsa Melayu perlu
kembali ke akar umbi kekuatan peradabannya. Kerana disitulah usaha yang
seharusnya ditumpukan dan telah terbukti sejak zaman berzaman. Islam sebagai
punca kekuatan bangsa Melayu seharusnya difahami dan dihayati dari segala aspek
kehidupan.
Islam yang membawa
misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan
pencerahan) melepaskan umat Melayu dari kepercayaan tahyul dan mengangkat
martabat keinsanan setiap individu Melayu. Justeru itu, taghyir al-nufus (merubah diri)
merupakan agenda wajib bagi mereka yang inginkan perubahan. Ia mestilah
meliputi segala sudut kehidupan termasuk jiwa dan minda bangsa, juga watak dan
mentality qabiliyyah li ‘l-isti’mar
atau colonizabilitie. Idea
‘pentaghyiran’ didokong oleh ramai pejuang Islam seperti Rashid Rida, Afghani
dan Amir Shakib Arsalan.
Resam bahari (kelautan) dalam budaya orang Melayu diolah
dengan indah oleh USF:
Tradisi bahari atau budaya kelautan telah membentuk watak
yang kuat, berdaya tahan dan berdaya juang. Di darat banyak tempat selamat,
banyak pilihan untuk berteduh dan berlindung, bersembunyi dan berdiam diri,
mengelak dan menghindar. Tetapi di laut tidak banyak pilihan, malah mungkin
tidak ada pilihan sama sekali. Anak laut tidak dapat lari dari gelombang dan
taufan, tidak dapat menghindar dari ribut dan badai.
Tidak ada pilihan bagi anak laut selain menghadapi dan
menaklukinyadengan sepenuh keberanian dan kekuatan. Kehidupan dan budaya
kelautan mendidik bangsa ini menjadi bangsa yang bijaksana yang mampu membaca
tanda, menafsir isyarat dan menangkap pesan yang dibisikkan oleh angin dan
ombak, burung dan ikan.
Kebejatan dalam masyarakat seperti gejala rasuah, kehilangan
peduli sosial, gaya hidup mewah yang keterlaluan, kehilangan keberanian dan
kerakusan penguasa tidak terlepas dari singgungan dan kritikan USF. Pemerhatian
dalam ruang sejarah bangsa mahupun catatan al-Quran memberikan satu tanggapan
yang bertenaga bersama panduan serta tamsilan yang bersahaja.
Sajak Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul ‘Surat
Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar’ adalah satu sindiran tajam terhadap
penghinaan maruah, begitu juga sajak ‘Di Negeri Amplop (envelope)’ karya HM
Kiyai Hasan Bisri yang menyindir gejala rasuah yang berleluasa.
USF juga menyentuh beberapa persoalan pemikiran yang berat
seperti keadilan, hubungan Islam dan demokrasi, pemikiran ilmu kalam, tasawuf
falsafi dan pemikiran fiqh di alam Melayu.
Bahasa dan sastera mendapat tempat yang istimewa apabila
disentuh secara khusus dalam bab yang ke sepuluh.
Menyorot kebangkitan dan kesedaran Islam di rantau Melayu
lewat abad ke -20 dengan mengungkap peranan ABIM dalam arus tersebut perlu
menjadi renungan kita semua. Cabaran dan tribulasi yang bertali arus dari
segenap sudut melahirkan satu pertubuhan yang mantap, tahan diuji dan tegap
menempuh arus perubahan.
Justeru itu kepada semua pendokongan gerakan buku ini adalah
satu bacaan wajib untuk kita semua sekiranya kita bersungguh-sungguh mahukan
kefahaman latar, pemikiran dan hujah dalam mendepani rempuhan globalisasi
sebagaimana terungkap dalam khatimah buku ini:
Demikianlah antara cabaran ketamadunan masa kini yang perlu
ditangani dengan pemerkasaan budaya kita sendiri, pengukuhan jati dirinya dan
penyegaran nilai-nilai tradisinya. Kesediaan untuk memanfaatkan segala kebaikan
dari kebudayaan lain harus diibangi dengan kesedaran jati diri dan kewaspadaan
terhadap segala bahaya. Kebudayaan Melayu-Islam harus menjadi kebudayaan yang
kuat untuk memungkinkannya berfungsi sebagai wahana kebangkitan umat.
(Untuk mendapatkan buku "Islam Dan Melayu: Martabat
Umat Dan Daulat Rakyat" sila emelkan pada melayu.islam2020@gmail.com)
Penulis adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Ihsan http://www.abim.org.my
No comments:
Post a Comment