Showing posts with label maqasid shariah. Show all posts
Showing posts with label maqasid shariah. Show all posts

Sunday, July 8, 2012

Membaca Buku Islam dan Melayu


Membaca Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat


oleh  Ooi Heng , Merdeka Review

 

Membaca buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat membawa pemikiran saya kepada dimensi pinggiran yang lebih merupakan interaksi seorang bukan Muslim dengan realiti semasa.  Dimensi utama yang melibatkan interaksi seorang Muslim dengan dunia di sekelilingnya bukanlah pengalaman dan worldview yang mencorakkan pemikiran seorang bukan Muslim seperti saya.

Tanggal 25 Jun 2012, saya telah menghadiri masjlis pelancaran buku ini, yakni karya terkini Dr. Siddiq Fadzil, "seorang guru tua dari pedalaman" yang telah terlibat sebagai seorang aktivis semenjak zaman pelajar sehinggalah beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ketiga (1982-1991).  Hampir seribu hadirin hadirat yang mengisi dewan sebuah hotel di Ampang mungkin ternampak kehadiran seorang dua bukan Muslim pada malam itu.

Saya ghaibnya membaca dengan pantas dan dapat menghabiskan sebuah buku dalam masa dua tiga hari termasuk hari Sabtu dan Ahad.  Tetapi saya asyik berhenti memikirkan sesuatu semasa membaca buku Islam dan Melayu, sehinggalah pada ketika menulis artikel ini, saya hanya sempat membaca hampir seratus halaman.

Selama lebih kurang satu dasawarsa berkecimpung dalam dunia penulisan bermula dengan penulisan bahasa Cina, membaca merentasi bahasa mencakupi bahasa Cina, Melayu dan Inggeris telah mengisi kebanyakan masa lapang saya.  Membaca merentasi bahasa dan membabitkan pembacaan membicarakan soal Islam dan Melayu adalah suatu pengalaman unik bagi seorang bukan Muslim seperti saya.  Yang direntasi bukan sekadar perbezaan bahasa, tetapi juga melibatkan perbezaan budaya, tradisi ilmu dan worldview.

Dunia penulisan bahasa Cina telah banyak kali mempersoalkan mengapa pembaca senantiasa meletak segolongan penulis "dunia Tionghua" termasuk Taiwan dan China sebagai intelektual utama yang juga menjadi inspirasi dalam proses pencarian ilmu dan penulisan bahasa Cina.  Dengan kata lain, mengapakah tradisi ilmu di negara lain dijadikan sebagai sumber utama tradisi ilmu tempatan?  Tiadakah penulis tempatan yang juga bergelar intelektual?  Tidak cukupkah bilangan penulis tempatan dan kualiti penulisan mereka dalam membentuk gelanggang penulisan bahasa Cina dengan tradisi ilmu tersendiri?

Sesungguhnya, dunia penulisan bahasa Melayu juga berdepan dengan persoalan seumpama.  Lebih-lebih lagi penulisan bahasa Melayu yang juga menyentuh soal Islam.  Di manakah tradisi ilmu yang menjadi sumber inspirasi utama dunia penulisan bahasa Melayu dan Islam jikalau bukan terlahir daripada gelanggang penulis tempatan?  Apakah Indonesia dan negara-negara sekitar gerakan Arab Spring yang menjadi sumber utama membentuk tradisi ilmu tempatan?

Bagi penulis bahasa Cina tempatan, satu persoalan yang lebih unik adalah, mengapakah penulisan bahasa Cina sering kali berdepan dengan masalah pengiktirafan dalam tanah air kelahiran mereka?

Saya masih ingat pada satu hari apabila saya terbaca dalam buku Edward Said, beliau menyentuh sumbangan tokoh ilmu tempatan Syed Hussein Alatas dalam mempersoalkan kerangka permasalahan penulisan dan proses kolonialisme yang mencorakkan sifat Melayu kononnya disemai budaya malas.  Selepas itu, saya pernah beberapa kali menanyakan kawan-kawan yang saya temui, ramai dalam kalangan mereka yang mengenali Edward Said tidak mengenali tokoh besar tempatan Syed Hussein Alatas.

Pernah juga saya terbaca karya yang menyifatkan intelektual awam sebagai species unik yang penulisannya merupakan sebahagian daripada praktis yang dapat memimpin (lead) pada masa yang sama membentuk nilai dan budaya kehidupan awam sesuatu masyarakat pada zaman tertentu.  Agak ramai intelektual tempatan yang pada pandangan saya pernah menghidupkan sifat seorang intelektual awam.  Bermula pada malam pelancaran buku Islam dan Melayu, saya berpeluang mengenali seorang lagi aktivis masyarakat yang disifatkan oleh pemidato pada malam tersebut Anwar Ibrahim sebagai intelektual awam.

Kali ini agak istimewa buat saya, kerana yang saya mengenali melalui pandangan orang dan pemahaman diri saya adalah seorang aktivis Islam yang membicarakan soal Islam dan umatnya.  Saya sukakan buku ini kerana beberapa kemusyikilan yang tertanam dalam hati saya kini "terjawab".  Barang kali "terjawab" bukanlah istilah yang tepat.  Saya bukan mendapat jawapan daripada pembacaan buku tersebut tetapi dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai persoalan tertentu melalui dialog antara bisikan pemikiran saya dengan apa yang dibicarakan dalam buku Islam dan Melayu.

Bagi seorang bukan Muslim, persepsinya terhadap Islam sering kali tertanam kerana pengaruh kuat politik kepartian.  Tetapi buku Islam dan Melayu telah melakarkan sesuatu yang berbeza dengan persepsi bukan Muslim mengenai Islam.  Telah banyak kali akhbar bahasa Cina melaporkan sudut berita atau pandangan bahawa bukan Muslim akan mendapat layanan second class mengikut hukum Islam.  Dalam makalah berjudul "Kepimpinan Politik Melayu: Dari Tradisi ke Demokrasi-Islami", Ustaz Siddiq Fadzil telah membicarakan permalasahan berhubung status Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan akhirnya merumuskan pandangan di bawah yang juga menyentuh hak seorang bukan Muslim:

Negara yang demokratik-Islamik model Malaysia harus mampu merealisasikan maqasid al-shari'ah dalam konteks pluraliti kaum, agama dan budaya. Keadilan, kebebasan dan martabat keinsanan yang merupakan bahagian penting daripada objektif syari'at harus dapat dinikmati oleh seluruh warga, termasuk warga bukan-Muslim. Mereka harus dilayani selayaknya sebagai warganegara (muwatinun), bukan kaum zimmi (dhimmiyyun). Perubahan realiti politik telah menjadikan pengkategorian  zhimmiy-harbiy tidak relevan lagi.

Konsep warganegara adalah satu konsep penting dalam dunia hari ini.  Biarpun bagi bukan Muslim yang tidak mempunyai pemahaman mengenai hukum Islam, pengiktirafan sebagai warganegara adalah asas sekali, malah, penyelesaian kepada masalah utama yang berbangkit kerana ketidaksaksamaan dari segi pelaksanaan dasar selama ini juga berkait rapat dengan kelemahan penghayatan pemegang kuasa terhadap konsep warganegara.  Hari ini banyak yang telah dibincangkan mengenai kegagalan dasar kerajaan dalam menyelesaikan masalah kemiskinan dan jurang antara Melayu kaya dengan Melayu kurang berada yang semakin meluas.  Begitu juga keadaannya apabila dibincangkan jurang antara keluarga berada dengan keluarga kurang berada tanpa mengira latar etnik.

Dalam makalah berjudul "Wasatiyyat al-Islam: Melihat Kembali Erti dan Aplikasi 'Moderasi' islam", Ustaz Siddiiq Fadzil ada menyentuh soal jurang kekayaan. Menurut beliau,

Ekonomi wasatiyyah tidak mengizinkan pembolotan sehingga hak memanfaat dan menikmati kekayaan menjadi terbatas hanya di kalangan kelompok kecil para hartawan (dulatan bayma al-aghniya’). Apabila jurang ekonomi antara golongan: the have - the have not - the have a lot telah menjadi sedemikian luas, pemerintah harus campur tangan demi mengembalikan wasatiyyah dalam erti keseimbangan dan keadilan sosial.

Selain campur tangan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar, saya berpendapat, pembaharuan proses penggubalan dasar yakni paradigma yang mencorakkan keseluruhan pembentukan dasar baharu adalah perlu.  Paradigma lama selama ini yang dtunjangi pemikiran dan kepentingan kelompok kecil sama ada bertopengkan nama bangsa, kaum, atau negara, sering kali meminggirkan kepentingan kaum majoriti (atau etnik?) dan membangkitkan ketidakpuasan kaum minoriti (atau etnik?).

Pelbagai masalah yang berbangkit ekoran pelaksanaan dasar yang tidak adil tidak dapat diselesaikan selain menanam dalam minda etnik terbesar bahawa mereka berada dalam keadaan terancam meskipun hakikatnya bukan begitu.  Tindakan sedemikian serupa apa yang disifatkan dalam buku Islam dan Melayu sebagai gejala pembodohan rakyat.  Apakah Melayu mahu terus diperbodohkan dengan andaian yang jauh memesong daripada realiti semasa kononnya etnik terbesar berdepan dengan ancaman?

Bagi saya, pendekatan baharu berlandaskan konsep warganegara dan bukannya kepentingan kelompok tertentu harus melatari keseluruhan proses penggubalan dan pelaksanaan dasar.  Dalam pada itu, pemberdayaan rakyat adalah penting untuk menyingkir gejala pembodohan rakyat sekaligus menyediakan suasana yang cergas untuk penerapan dan pencerahan idea yang seiring dengan nilai zaman semasa.

Dalam makalah berjudul "Pemberdayaan Umat: Kembalikan Daulat Keinsanan Rakyat!", Ustaz Siddiq Fadzil telah menyentuh peri pentingnya pemberdayaan rakyat dan bahawa "pakej pemberdayaan rakyat dalam konteks sekarang harus meliputi pendidikan demokrasi, agar dengan begitu rakyat tahu makna sebenar demokrasi, dan bagaimana ia semestinya dilaksanakan".  Rakyat harus dididik bagaimana menggunakan hak demokratiknya secara bijaksana dan bermaruah.

Sebenarnya banyak hujah Ustaz Siddiq Fadzil yang ingin saya sentuh dan bincang.  Tetapi apa yang lebih penting ialah, buku ini wajar dijadikan bacaan penting bukan Muslim.  Hujah progresif dalam konteks hukum Islam berbeza dengan sudut berita yang diutarakan dalam media.  Bacalah sendiri supaya anda dapat menghayati sebuah karya secara menyeluruh dan mendalam.  Saya sekadar menyentuh dimensi pinggiran.

Akhir sekali, ingin saya berkongsi puisi seorang penyair-budayawan kenamaan Rendra berjudul "Kesaksian Bapak Saija" yang berbunyi seperti berikut:

Hidup tanpa daya
sebab daya ditindih ketakutan.
Setiap hari seperti mati berulang kali.
Setiap saat berharap menjadi semut
agar bias menjadi tidak kelihatan.
Sekarang setelah mati
baru aku menyedari
bahwa ketakutanku membantu penindasan,
dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.


*Ooi Heng ialah Pengarah badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis Merdeka Review bahasa Melayu dan bahasa Cina.

Sunday, May 13, 2012

Dr Siddiq Fadzil: Menyeru Kebaikan & Mencegah Kemungkaran adalah Jati Diri Muslim


Nota Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri Ke-62:                    AL-AMR BI 'L-MA`RUF WA 'N-NAHY `ANI 'L-MUNKAR:          WATAK DAN JATI DIRI MUSLIM

يــــــــــبنيّ أقم الصلاة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على مآأصابك،

إنّ ذلك من عزم الأمور.

Hai anakku,  dirikanlah  solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik  dan  cegahlah   (mereka)  dari  perbuatan yang  mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.  Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).


Ayat 17 surah Luqman di atas  adalah antara pesan kependidikan Luqman al-Hakim  yang mengaspirasikan generasi  berkualiti pengabdi Ilahi  dan sekaligus memiliki kepedulian sosial yang tinggi.  Generasi  yang setia melaksanakan solat dan komited terhadap terhadap misi amar  makruf-nahi munkar adalah generasi anak salih, agen  pembinaan  al-mujtama` al-salih,    masyarakat bersih dalam pengertian  masyarakat yang dibangun di atas nilai-nilai  murni kemakrufan dan terhindar dari segala gejala  kemungkaran. Luqman adalah penerima kurnia  hikmah ketuhanan yang ditampilkan untuk mengungkapkan prinsip-prinsip pendidikan rabbani.    Apabila beliau menempatkan amar makruf nahi munkar selepas perintah (pendidikan) solat,  yang terkesan adalah peri pentingnya  amar makruf nahi munkar sebagai salah satu prinsip asasi  pendidikan.   Demikianlah,  di mata seorang al-hakim (pemilik wisdom ketuhanan)  generasi  ideal yang harus dibina dalam sistem pendidikan rabbani ialah generasi  God conscious  yang disimbolkan dengan kata solat,  generasi pejuang idealisme: menegakkan kemakrufan dan melawan kemungkaran, juga generasi yang kuat dan berdaya tahan (sabar).
Berasaskan konteks ayat yang menyebut  amar makruf nahi munkar dalam bentuk pesan kependidikan seorang ayah (Luqman) kepada anaknya,  bererti  bahawa  ia harus disebatikan  dalam diri sejak  kanak-kanak. Semangat menyintai kemakrufan dan membenci kemungkaran  harus dipupuk  serentak dengan pendidikan solat.   Dengan demikian amar makruf nahi munkar tidak  hanya berupa suatu tindakan,  tetapi lebih daripada itu ia adalah watak dan jati diri.  Dengan demikian  akan lahirlah generasi yang menepati kata al-amiruna bi 'l-ma`ruf wa 'n-nahuna `ani 'l-munkar. (surah  al-Tawbah: 112),  iaitu mereka yang berwatak  pejuang kemakrufan dan penentang kemungkaran. Demikian pentingnya amar makruf nahi munkar sehingga dijadikan komponen utama pendidikan kerana ia adalah ciri asasi dan dan jati diri umat Islam:

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أوليآء بعض، يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر
ويقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسوله،    اولــــئك  سيرحمهم الله،
إنّ الله عزيز حكيم.

Dan orang-orang  yang beriman,   lelaki  dan  perempuan,   sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.  Mereka menyuruh  (mengerjakan)  yang ma`ruf,  mencegah  dari yang mungkar, mendirikan  sembahyang,  menunaikan zakat,  dan  mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.      Mereka  itu  akan   diberi  rahmat oleh Allah;   Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Al-Tawbah:71

Lebih daripada itu amar makruf nahi munkar adalah syarat khayriyyatu 'l-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat 110 surah Ali `Imran:

كنتم خيرأمّة أخرجت للنّاس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله،
ولوءا من أهل الكتاب لكان خيرا لهم، منهم المؤمنون وأكثرهم الفاسقون.

Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,  menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman  kepada Allah.   Sekiranya Ahli Kitab beriman,  tentulah itu  lebih baik
bagi mereka;   di antara mereka  ada yang beriman, dan  kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Ayat tersebut membawa implikasi bahawa menghilangnya amar makruf nahi munkar dari kehidupan umat, berakhirlah khayriyyah (keunggulan) mereka.  Seterusnya kegagalan  memenuhi komitmen amar makruf nahi munkar bererti  mengundang kutukan Tuhan sebagaimana nasib yang menimpa Bani Israil:

لعن الّذين كفروا من بنى إسرآئــل على لسان داود وعيسى ابن مريم، ذلك بما عصوا
وكانوا يعتدون.   كانوا لايتناهون عن منكر فعلوه، لبئس ما كانوا يفعلون.                

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani  Israil  dengan lisan  Daud dan `Isa  putera  Maryam.  Yang demikian  itu,  disebabkan mereka  durhaka dan selalu melampaui batas.

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka  perbuat. Sesungguhnya   amat  buruklah  apa   yang selalu mereka perbuat itu. Al-Ma'idah:78-79

Amar makruf nahi munkar adalah penyuaraan  kebenaran yang dijamin sebagai hak kebebasan bersuara.  Dalam konteks masa kini ia dapat dilaksanakan dengan belbagai cara sebagaimana yang disebut oleh  Wahbah  al-Zuhayliy:  menerusi  ucapan lisan dan tulisan,  lukisan dan rakaman, persuratkhabaran dan demonstrasi (al-tazahur).   Dalam kaitan ini mengkritik adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar,  termasuk mengkritik pemerintah.  Malah membangkang juga adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar jika dilakukan atas dasar  melawan kemungkaran.   Kerana itu Islam menjamin  haqq al-mu`aradah  atau hak bangkang dalam pengertian  menolak kesalahan,  melawan kebatilan, menegakkan kebenaran dan merealisasikan  maslahah ummah  dalam batasan-batasan syara`.
Dalam tradisi politik Islam bangkangan dalam pengertian tersebut bukan hanya tidak dihalang, malah diminta oleh para penguasa, khususnya al-Khulafa' al-Rashidun seperti Abu Bakr dan Umar r.`a. yang meminta umat membetulkan mereka apabila mereka melakukan kesalahan.   Dalam kes `Umar ibn al-Khattab  r.`a. permintaannya disambut oleh seseorang dengan berkata beliau akan membetulkannya dengan pedang.   Kata-kata seperti itu mungkin terasa terlalu keras,  tetapi ternyata `Umar ibn al-Khattab tidak marah,  malah beliau bertahmid,  menyatakan kesyukuran kepada Allah  kerana masih ada rakyat yang punya keberanian mengoreksi pemimpin/penguasa dengan pedang.  Justeru,  para khalifah al-Rashidun tersebut bukan jenis penguasa  yang obsesif  dengan kekuasaan.   Dalam tradisi kepimpinan Islam yang penting bukan kuasa memegang tampuk pemerintahan,  tetapi  yang penting adalah terlaksananya  al-khayr wa 'l-ma`ruf (kebajikan dan kemakrufan).    Kerana itu mereka merasa dibantu  dan ditolong oleh pembangkang yang  ingin mengembalikan mereka ke jalan kebaikan dan kemakrufan.
Melakukan perubahan  sehingga terhapusnya  segala rupa halangan ke arah  kebajikan dan kemakrufan adalah suatu kewajipan keagamaan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 104 surah  Ali `Imran:

ولتكن منكم أمّة يدعون إلى الخير ويأمرون با لمعروف وينهون عن المنكر،
وأولــئـك هم المفلحون.
Dan hendaklah  ada di antara kamu segolongan umat yang  menyeru kepada kebajikan,  menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar;  merekalah orang-orang yang beruntung.

Peranan korektif ini dapat dimainkan oleh  umat secara kolektif,  termasuk pembangkang.  Kata ummah dalam ayat tersebut merujuk makna  kumpulan, jamaah, organisasi atau bentuk-bentuk tindakan kolektif lainnya.   Komitmen melakukan perubahan
korektif itulah juga yang tersirat dalam hadith Rasulullah s.`a.w.,

من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع
فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان.
Hadith tersebut menghendaki  setiap warga umat Islam bertindak sebagai agen perubahan apabila wujud gejala kemungkaran atau sebarang  keadaan yang menggugat  maslahah umat.   Untuk itu mereka harus berbuat sejauh yang termampu dengan menggunakan segala kemampuan yang dimilikinya --kuasa, suara atau sekurang-kurangnya bersikap tidak rela dengan kemungkaran.
Islam memberikan ruang yang cukup luas untuk umat memilih cara yang berkesan.    Taghyir al-munkar (merubah kemungkaran)  boleh dilakukan secara individual,  dan boleh pula dilakukan secara kolektif  dalam rupa gerakan kerakyatan.    Dalam kaitan inilah timbulnya persoalan  tentang al-muzaharat (demonstrasi)  sebagai  wasilah,   taktik dan strategi amar makruf nahi mungkar.   Sebagaimana yang disebut oleh al-Shaykh  `Abd al-Hafiz al-Sawiy,      al-muzaharat naw`un min inkar al-munkar  (demonstrasi adalah sejenis  tindakan mengingkari  kemungkaran).    Ia adalah pendapat umat yang disuarakan secara kolektif  (ta`bir jama`iy).      Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa menyatakan pendapat menurut al-Qaradawiy adalah hak kemanusiaan (al-ta`biru haqqun insaniy).

Mengenai demonstrasi pula al-Qaradawiy menyatakan,  "Seperti orang lain, kaum Muslimin juga berhak mengadakan perarakan dan demonstrasi  untuk menyuarakan tuntutan-tuntutan mereka yang sah, dan untuk menyampaikan permintaan-permintaan mereka kepada pihak berkuasa dan para pembuat dasar,    dengan suara yang dapat didengar dan harus didengar dan tidak boleh diabaikan.  Suara individu mungkin tidak didengar,  tetapi suara ramai  terlalu nyaring untuk diabaikan.    Semakin ramai yang berdemonstrasi,  apa lagi jika disertai oleh  peribadi-peribadi yang berbobot,  suara mereka akan lebih didengar dan lebih berkesan,  kerana kehendak ramai lebih kuat daripada kehendak perseorangan.   Manusia memang lemah ketika bersendirian,  tetapi menjadi kuat apabila bergabung dalam kumpulan.  Kerana itu Tuhan berfirman,  "Dan bertolong-tolonganlah kamu  dalam kebajikan dan ketaqwaan "  --  al-Ma`idah:2."

Demonstrasi bukan ibadat yang dasarnya adalah ittiba`  (mengikut nass sepenuhnya),  ia adalah sebahagian daripada umur al-dunya (urusan kehidupan duniawi) yang dasarnya adalah ibtida`  (mencipta).    Dari segi hukum ia termasuk di bawah kaedah al-asl fi al-ashya' al-ibahah (hukum asal segala sesuatu adalah harus).   Dengan demikian tidak ada sesuatu yang haram kecuali  jika ada nass  (yang sahih al-thubut wa sarih al-dilalah) yang mengharamkannya.  Kerana itu tidak perlu  dicari nass yang mengharuskan demonstrasi.  Justeru,  memang tidak ada nass yang mengharamkannya.

Demonstrasi pada hakikatnya hanyalah  wasilah,  jalan dan cara  mencapai tujuan-tujuan tertentu (maqasid).   Menurut kaedahnya,  hukum wasilah  didasarkan pada maqasidnya.  Jika maqasidnya harus maka demikian pulalah wasilahnya,  dan begitulah seterusnya.  Kerana  itu wasilah (termasuk demonstrasi) itu sendiri  tidak  haram (lam takun muharramatan fi dhatiha).     Halal dan haramnya tergantung maksud dan objektif yang hendak dicapai.

Fatwa adalah ilmu dan amanah.  Kerana itu ia harus diputuskan dengan teliti, berhati-hati dan penuh rasa tanggungjawab,  jangan sampai mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.

(TM 62 di Kolej Dar Al Hikmah)

Friday, August 5, 2011

Dr Siddiq Fadil: DEMOKRASI DAN PLURALITI bahagian akhir

DEMOKRASI DAN PLURALITI:   
PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH

Siddiq Fadzil


Islam dan Pluraliti

Dalam masyarakat demokratik tidak boleh ada  pemaksaan menelan pendapat yang tidak disetujui.   Memaksa rakyat menerima pendapat penguasa dan   mencabul kebebasan media adalah sejenis  al-irhab al-fikriy    atau terorisme pemikiran.    Pluraliti atau kepelbagaian,  termasuk kepelbagaian pendapat seharusnya disikapi  secara positif sebagai  ikhtilaf yang membawa rahmah.    Sebagaimana halnya perbezaan pendapat dalam fiqh yang  akhirnya membentuk pelbagai mazhab,   maka demikian jugalah perbezaan pendapat dalam politik yang kemudiannya menjelmakan pelbagai parti.   Kepelbagaian parti politik  (ta`addud al-ahzab al-siyasiyyah)  adalah suatu keperluan bagi mencegah kesewenang-wenangan para penguasa.   Dalam pemerintahan yang mengamalkan sistem satu parti,   tidak ada kekuatan korektif yang berkesan,   dan ini akan membuka ruang yang seluas-luasnya kepada segala bentuk penyelewengan, kecurangan dan kezaliman.   Dahulu,  ketika Amir al-Mu'minin `Umar ibn al-Khattab r.`a. meminta rakyat membetulkannya jika beliau menyeleweng, ada yang bangkit dengan ikrar akan membetulkannya dengan pedang.  Sukar untuk membayangkan hal seperti itu dapat dilakukan ketika ini,  kerana semua pedang sudah di tangan penguasa,  dan rakyat tidak punya apa-apa lagi.

Kehadiran pelbagai parti politik yang menawarkan agenda dan program yang berbeza-beza dapat memberikan peluang kepada rakyat  memilih mana yang terbaik.   Dalam sistem demokrasi  kekuatan idea harus disaingi dengan idea tandingan,  bukan ditindas dengan kekerasan.     Semua parti  akhirnya harus akur dengan keputusan rakyat yang dibuat melalui pilihan raya.   Mekanisme pilihan raya adalah jaminan proses  peralihan kuasa dari parti ke parti secara damai, tanpa  menyusahkan rakyat dalam silang sengketa pertumpahan darah.   Penggiliran kuasa memerintah di kalangan parti-parti politik seharusnya dianggap suatu yang wajar dan normal.  Kerana itu parti yang berkuasa tidak perlu bertindak  teror hancur-hancuran  demi  mempertahankan kuasanya,  yang  seolah-olah sudah menjadi harta pusaka datuk-nenek. 
    
Bagi umat Islam pluraliti  (tanawwu`, ta`addud, ikhtilaf)  adalah fenomena ciptaan Tuhan yang sarat dengan hikmah.  Yang  mutlak Tunggal hanya Allah sendiri,   sedang makhluk diciptakan beragam (mukhtalifan) dan berpasangan (azwajan).   Manusia diciptakan  lelaki dan perempuan,   berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,  berbeza-beza bahasa dan berlain-lainan warna.       Kepelbagaian  tersebut diciptakan bukan tanpa makna.  Pluraliti adalah tanda (ayat)  yang menyiratkan hikmah dan makna untuk diteroka oleh al-`alimin, mereka yang memiliki daya renung keilmuan yang tajam.     Demikianlah premis yang membentuk sikap positif-apresiatif terhadap pluraliti.   Kerana itu pula tidak ada masalah  bagi umat Islam menghadapi  pluraliti masyarakat.

Dalam konteks Malaysia,  rakyat  bukan Muslim selayaknya dilayani sebagai  saudara setanahair.     Mereka bukan lagi kaum dhimmiy, suatu pengkategorian yang sudah  kehilangan justifikasi kesejarahannya.    Perubahan sejarah dan realiti politik telah menjadikan istilah tersebut tidak relevan lagi.  Realiti inilah yang diserlahkan oleh Fahmiy Huwaydiy, lalu diungkapkan dengan tegas lewat judul bukunya Muwatinun la Dhimmiyyun  (Warganegara, bukan Zimmiy).    Kesimpulan Huwaydiy tersebut mendapat dukungan  penuh dari al-Qaradawiy  yang menyarankan agar istilah tersebut dipadam sahaja kerana tidak lagi dapat diterima oleh kaum bukan Muslim:
        ولابد من حذف كلمات ومصطلحات تاريخية من قاموس التعامل المعاصر، مثل كلمة "ذمّة" التى لم
         يعد يقبلها غير المسلمين.

Lebih jauh al-Qaradawiy  menyebut  warga bukan Muslim sebagai saudara ketika merujuk kaum Koptik  dengan sebutan  ikhwanuna al-Aqbat.   Rupa-rupanya ada yang keberatan dengan sebutan saudara  untuk orang bukan Muslim (Kristian).  Dalam penjelasannya al-Qaradawiy menegaskan  bahawa memang mereka adalah saudara kita setanahair:
         إن الأقباط إخواننا فى الوطن، وإن لم يكونوا إخواننا فى الدين، يجمعنا وإياهم وطن واحد.

Dalam penghujahannya al-Qaradawiy merujuk sejumlah ayat dari surah al-Shu`ara'  tentang hubungan  persaudaraan (ukhuwwah) di antara para rasul (Nuh, Hud, Salih dan Lut `a.s.) dengan kaum masing-masing (Qawmu Nuh, kaum `Ad, kaum Thamud dan Qawmu Lut)  yang semuanya kufur dan mendustakan para rasul itu.    Namun demikian al-Qur'an menyebut hubungan antara rasul-rasul  tersebut dengan mereka  sebagai hubungan persaudaraan:
                                             قال لهم أخوهم

Dari ayat-ayat tersebut al-Qaradawiy merumuskan bahawa  selain persaudaraan keagamaan (ukhuwwat al-din) masih ada lagi bentuk-bentuk persaudaraan yang lain:  persaudaraan setanahair (al-ukhuwwat al-wataniyyah), persaudaraan sebangsa (al-ukhuwwat al-qawmiyyah), persaudaraan  seikhtisas (al-ukhuwwat al-mihaniyyah), persaudaraan seinsaniah (al-ukhuwwat al-insaniyyah) dan seterusnya.  

Sebagai saudara setanahair,    warga bukan Muslim  dapat menjadi komponen pembentukan satu ummah bersama kaum Muslimin.  Demikianlah petunjuk nabawi dalam pembentukan negara berbilang kaum sebagaimana yang didokumentasikan dalam  Piagam Madani (Sahifah Madinah).    Kaum Muslimin adalah satu ummah,  sementara Yahudi juga adalah satu ummah.   Tetapi dalam konteks kenegaraan,  kedua-duanya  dapat bergabung membentuk  ummah Madaniyyah,  tanpa melebur jati diri keumatan masing-masing.   Hakikat itulah yang diisyaratkan lewat ungkapan ummatun ma`a al-mu'minin (Yahudi bersama kaum Mukminin adalah satu ummah).   Kata kuncinya adalah  ma`a (bersama).    Teks Piagam Madani  tidak memakai ungkapan min al-Muslimin (Yahudi sebahagian daripada kaum Muslimin).

Berasaskan pertimbangan  al-siyasat al-shar`iyyah,  tidak ada halangan bagi kaum Muslimin mengadakan pakatan politik dengan parti-parti bukan Islam.   Asas pertimbangannya adalah maslahah.   Tidak ada nass yang menghalang sekiranya pakatan seumpama itu  mengandungi  masalahah bagi umat.     Atas pertimbangan yang sama,  juga tidak ada halangan bagi kaum Muslimin berkongsi kuasa dengan warga bukan Muslim.  Pada zaman kerajaan `Abbasiyyah,    ketika warga bukan Muslim masih dikategorikan sebagai kaum dhimmiy,  al-Mawardiy (yang hidup pada zaman tersebut)  dalam kitabnya al-Ahkam al-Siltaniyyah  membolehkan   mereka   menjawat wazir al-tanfidh (menteri pelaksana).   Dalam konteks realiti kita hari ini tentunya ruang penyertaan warga bukan Muslim lebih luas lagi.

Keharmonian antara golongan yang beragam dan pelbagai diasaskan di atas suatu set nilai:   kemanusiaan,   persamaan, keadilan dan seterusnya.    Tidak ada golongan yang diunggulkan semata-mata kerana darah keturunan.     Keunggulan  bukan hak eksklusif golongan tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua yang sanggup memenuhi syarat.   Dalam Islam tidak ada ketuanan warisan, yang ada ialah keunggulan bersyarat (khayriyyatun mashrutah).   Keunggulan seperti itulah yang tersirat dalam ayat Ali `Imran:
                 كنتم خيرأمّة أخرجت للنّاس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله...

Keunggulan (khayriyyah) yang disebut dalam ayat tersebut   terkait dengan tiga syarat:
·         Komitmen penegakan nilai-nilai kemakrufan.
·         Kesanggupan berjuang melawan gejala kemunkaran.
·         Beriman dengan Allah dalam erti yang seluas dan semurninya.

Ternyata  tidak ada ketuanan yang dipusakai,  kerana memang keunggulan tidak diwarisi.  Keunggulan harus diraih dengan usaha gigih membina kekuatan watak berasaskan iman dan nilai-nilai murni.   Demikianlah, yang ada hanya keunggulan yang bersyaratkan usaha yang serius (khayriyyatun mashrutatun muktasabah).   Al-Qur'an tidak menyebut keunggulan yang berasaskan hak warisan perkauman (al-`unsuriyyat al-mawruthah).   Justeru, keunggugulan  bukan monopoli sesuatu kaum.   Ia ditawarkan  terbuka kepada semua yang sanggup memenuhi syarat,   termasuk golongan ahl al-kitab:
                                                 ولو آمن أهل الكتاب لكان خيرا لهم ...

Mudah-mudahan Tuhan Yang Maha Rahman berkenan memberkati amal perjuangan tiga serangkai gerakan Islam PKPIM-ABIM-WADAH ini   meratakan rahmat  sehingga seluruh warga alam dapat menikmati kurnia agung al-Islam sebagai rahmatan li al-`alamin.

Penghargaan dan Harapan

Sidang muktamirin,  demikianlah yang terdaya kami ungkapkan dalam keadaan serba payah ketika ini.  Maaf,  atas ketidakmampuan hadir dan ikut serta sebagaimana mestinya.  Hanya Tuhanlah Yang Maha Tahu betapa ingin untuk ikut hadir dalam ijtimak yang bersejarah ini.  Tetapi sebagai pesakit saya tidak dapat mengingkari larangan doktor yang merawat saya  (Prof. Dr. Hamidon Basri)  yang pada penilaiannya  kesan serangan penyakit  Miller Fisher syndrome  belum memungkinkan saya hadir.

Terima kasih atas do`a dan simpati  sepanjang saya menjalani ujian ini.  Sesungguhnya saya berasa sangat tertolong dengan barakah do`a dan munajat saudara-saudara.  Mudah-mudahan derita yang menimpa ini menjadi kaffarah.    Kepada seluruh warga harakah saya mohon do`a yang berterusan semoga Allah berkenan mengurniakan kesembuhan penuh secepat-cepatnya untuk meneruskan kiprah amal bakti demi agama-Nya menerusi wadah tercinta ini. 

                           ربّناعليك توكّلنا وإليك أنبنا وإليك المصير.   الله أكبر ولله الحمد.
                      

Senarai Rujukan
Al-Qaradawiy,  Yusuf.  2010.   Al-Watan wa al-Muwatanah.  Kaherah:  Dar al-Shuruq.

----------------------------   1997.  Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam.  Kaherah: Dar al-Shuruq.

Al-Sa`udiy, `Abd al-Wadud Mustafa.  2010.  Al-Bayan al-Shafi fi al-Fiqh al-Islamiy:  al-                    Siyasat   al-Shar`iyyah.   Bangi:  Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan  Malaysia.

Khallaf, `Abd al-Wahhab.  1984.  Al-Siyasah al-Shar`iyyah.  Beirut:  Mu'assat al-Risalah.

`Uthman, Fathiy.  1979.  Min Usul al-Fikr al-Siyasiy al-Islamiy.  Beirut:  Mu'assasat al- Risalah.

 (Teks Amanat Pimpinan Wadah Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah:  Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H.,  Taman EkspoPertanian Malaysia, Serdang .)     

Dr Siddiq Fadil: DEMOKRASI DAN PLURALITI bahagian 2



DEMOKRASI DAN PLURALITI:  PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH

Siddiq Fadzil


Al-Siyasah al-Shar`iyyah
Ijtimak harakiy kali ini  mengangkat tema  siyasah shar`iyyah  dengan semangat  memugar dinamikanya  sebagai  disiplin penjana daya hidup pemikiran politik Islam,  untuk memungkinkannya  menghadapi  pelbagai perkembangan dan perubahan  yang terus-menerus menciptakan realiti-realiti baru.    Demikianlah hakikat siyasah shar`iyyah sebagaimana yang durumuskan oleh Fathiy `Uthman:
                                الإجتهاد فى تسييرالشؤون المتجدّدة المتغيّرة للدولة الإسلاميّة
                                         (ijtihad dalam menangani hal-hal kenegaraan Islam
                                      yang sentiasa berkembang dan berubah)
                                    
 Siyasah shar`iyyah dalam tradisi kesarjanaan Islam  meliputi makna yang cukup luas.   Kaum  fuqaha'  mengertikannya sebagai  wewenang  para penguasa Muslimin membuat dasar-dasar dan aturan-aturan  berasaskan maslahah selama tidak bertentangan  dengan prinsip-prinsip agama  meskipun tidak ada dalil khusus mengenainya.   Sementara itu para ulama  yang bukan ahli   fiqh  memakai istilahsiyasah shar`iyyah  dengan pengertian yang lebih luas iaitu  pengurusan  segala kepentingan umat (masalih al-`ibad)  berasaskan  ajaran syara`.   Untuk merumuskan kepelbagaian makna tersebut  al-Shaykh `Abd al-Wahhab Khallaf menyarankan definisi yang inklusif bagi  istilah al-siyasah al-shar`iyyah iaitu:
                        فعلم  السياسة الشرعيّة علم  يبحث فيه عما تدبر  به  شؤون  الدولة الإسلاميّة  من
                        القوانين والنظم التى تتفق وأصول الإسلام ، وإن لم يقم على كل تدبير دليل خاص.

Ternyata siyasah shar`iyyah  adalah ijtihad merealisasikan maslahah penyejahteraan kehidupan umat, yang dalam  konteks ini   maslahah yang dimaksudkan itu tidak lain adalah maqasid al-shari`ah.   Untuk itu memang politik Islam harus selamanya terikat dengan nas-nas syara`.   Justeru,  objektif syara`  adalah demi  maslahah umat.  Namun demikian  sebahagian maslahah tersebut  direalisasikan menerusi ijtihad, terutama dalam hal-hal yang memang diserahkan kepada umat sendiri  memutuskannya berasaskan pertimbangan apa yang terbaik  dalam konteks zaman dan lingkungan yang berkembang dan berubah.  Kerana itu al-siyasat al-shar`iyyah pada garis besarnya adalah al-`amal bi al-masalih al-mursalah.   Berasaskan bertimbangan al-masalih itulah umat harus menentukan  sistem apa dan aturan  bagaimana yang  terbaik buat mereka.

Islam dan Demokrasi   
Antara perkembangan di Dunia Islam yang sedang mendapat sorotan luas ketika ini  ialah kebangkitan Islam  sebagai kekuatan politik,  dan keghairahan terhadap demokrasi.   Yang jelas,  Islam dan demokrasi    telah menjadi isu yang dominan dalam wacana politik pasca Thawrat al-Shabab (Revolusi  Pemuda) di Asia Barat.  Ramalan bahawa rantau tersebut akan menjadi lebih Islamik dan sekaligus lebih demokratik telah  menciptakan suatu scenario keserasian  Islam dengan demokrasi,  suatu yang mungkin  tidak tergambar dalam pemikiran kaum sekularis yang selama ini mempersepsikan Islam sebagai promoter pemerintahan diktator-teokratik;  malah mungkin juga tidak terbayang dalam benak golongan Muslim jumud yang melihat demokrasi sebagai suatu kekufuran.

Satu lagi perkembangan penting yang  sedang menjadi tumpuan perhatian dunia ialah kemunculan Recep Tayyip Erdogan dan parti pimpinannya  (AKP) di Turki.    Kejayaannya memenangi pilihan raya umum tiga kali berturut-turut  dengan dukungan rakyat yang semakin meluas, di samping prestasi cemerlangnya dalam pelbagai bidang:   ekonomi, politik dan diplomatik telah memberikan pencitraan  baru  terhadap Islam dan demokrasi.  Adalah suatu yang sangat bererti apabila Turki disebut sebagai a working example of Muslim democracy.   Segala perkembangan tersebut memberikan harapan  bahawa Islam akan lebih menyemarak dalam sistem demokrasi yang sihat,   dan demikian pula demokrasi akan lebih subur dan segar di bawah pimpinan Muslim-demokrat,  berbanding  keadaannya ketika  di bawah  kekuasaan nasionalis-sekularis-autokrat. 

Pada hakikatnya  Islam dan demokrasi tidak semestinya bertentangan,  dan tidak juga semestinya  bersesuaian.   Sesuai atau tidaknya tergantung  bagaimana kita mempersepsikan politik Islam dan bagaimana kita mendefinisikan demokrasi.    Mungkin bentuk-bentuk tertentu politik Islam memang bertentangan dengan model-model demokrasi  tertentu.  Tetapi mengingat hakikat bahawa politik Islam tidak membeku pada sesuatu bentuk,  sementara demokrasi  juga  tidak membeku pada suatu model,     maka kemungkinan bertemunya Islam dengan demokrasi  pada suatu titik keserasian adalah suatu yang sangat mungkin.  
     
Kemungkinan seperti itulah yang cuba diteroka oleh para leluhur kita dalam gerakan Islam seperti  Muhammad Natsir dan Abu  al-A`la al-Mawdudiy.     Muhammad Natsir menerima demokrasi yang dimodifikasi menjadi  theistic democracy,   sementara al-Mawdudiy juga menerimanya  dengan memodifikasikannya menjadi theo-democracy.    Demikianlah umumnya pendirian tokoh-tokoh gerakan Islam kontemporari yang melihat adanya maslahah dalam penerimaan terhadap demokrasi setelah ia diletakkan dalam perspektif dan worldview Islam.       

Penerimaan terhadap demokrasi  di kalangan ilmuwan dan tokoh gerakan Islam masa kini ternyata semakin meluas.    Bagaimanapun ini tidak bererti mereka  telah menerima  model demokrasi Barat sepenuh dan seutuhnya.   Dr. Yusuf al-Qaradawiy adalah antara tokoh paling artikulatif menyuarakan dukungannya terhadap demokrasi,  tetapi  tetap kritis terhadap model demokrasi Barat  yang terlalu liberal dan telah terlepas dari kendali agama dan moral.    Yang menjadi  asas pijakan pembelaan al-Qaradawiy terhahap demokrasi bukan bentuk jelmaannya di Barat,  tetapi  jawhar al-dimuqratiyyah atau  idea dasar  demokrasi itu sendiri yang dinilainya selaras dengan Islam.  
                   
Al-Qaradawiy bertolak dari hakikat bahawa negara Islam bukan negara teokratik,  bukan pemerintahan sekumpulan "orang agama" yang menguasai  rakyat atas nama al-haqq al-Ilahiy.   Tetapi ia buka juga negara sekular yang memusuhi atau menolak agama.   Negara Islam adalah negara madani  (civil) berasaskan Islam,  berdasarkan bay`ah dan shura,  yang ditadbir oleh pemerintah  pilihan rakyat dari kalangan mereka yang berkelayakan:  qawiyyun amin dan hafizun `alim (perkasa dan dapat dipercaya, berintegriti moral dan berkompetensi intelektual).    Mereka bukan golongan maksum yang kebal kritik dan teguran.    Dalam pemerintahan Islam yang sedemikian, ruang partisipasi atau peranserta rakyat  memang terbuka luas,  terutama para ilmuwan yang secara agama diwajibkan menasihati pemerintah atas dasar  amar makruf nahi munkar.

Dengan tegas al-Qaradawiy menyimpulkan bahawa pemerintahan Islam dibangun di atas  prinsip-prinsip demokratik paling unggul,   tetapi dengan catatan bahawa ia bukan sebuah replika demokrasi Barat.    Demokratiknya Islam adalah kerana  keserasiannya dengan    prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasar demokrasi.   Apa yang disebut  sebagai  jawhar al-dimuqratiyyah itu beliau rumuskan,    bahawa rakyatlah yang harus memilih  sendiri pemerintah  yang mereka senangi,   bahawa rakyat tidak boleh dipaksa menerima pemerintah yang mereka tidak suka,  atau sistem yang mereka tidak suka;   bahawa rakyat berhak menilai (muhasabah) dan mengambil tindakan ke atas pemerintah apabila bersalah; bahawa rakyat berhak memecat atau menggantikan  mereka apabila menyeleweng.   Demikianlah antara idea-idea teras faham demokrasi yang untuk merealisasikannya terciptalah sejumlah sistem dan mekanisme pelaksananya seperti pilihan raya, pungutan suara,   pengiktirafan keputusan suara terbanyak,  pelaksanaan sistem pelbagai parti politik (ta`addud al-ahzab al-siyasiyyah),  hak membangkang atau beroposisi (haqq al-mu`aradah)  bagi golongan minoriti,  kebebasan akhbar, kebebasan kehakiman dan seterusnya.   Al-Qaradawiy  seterusnya bertanya,   jika itulah yang namanya demokrasi,   lalu di mana pertentangannya dengan Islam?

Demikianlah kenyataannya, pilihan raya sebagai mekanisme penting bagi terlaksananya  demokrasi.       Tetapi ini tidak bererti bahawa asal ada pilihan raya, maka adalah demokrasi.   Pilihan raya asal-asalan tidak mungkin  merealisasikan demokrasi yang sihat dan tulen.  Justeru, demi terlaksananya demokrasi dalam erti semurninya,   pilihan raya harus adil dan bersih dari sebarang kecurangan.       Dan kerana itu pula perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih adalah bahagian daripada perjuangan merealisasikan jawhar al-demuqratiyyah,   sistem yang disebut oleh al-Qaradawiy sebagai  min samim al-Islam.   Jika demikianlah hakikatnya,  maka dari fiqh rimba mana datangnya fatwa bahawa perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih itu bertentangan dengan Islam? 
                 
Seperti yang telah disebutkan,  bahawa antara komponen penting jawhar al-dimuqratiyyah adalah haqq al-mu`aradah  atau hak untuk membangkang dan beroposisi.   Ia adalah penjelmaan  hak kebebasan berfikir dan bersuara yang merupakan bahagian daripada hak asasi manusia.   Kerana itu kehadiran pembangkang harus diterima dengan jiwa besar sebagai unsur penting penyuburan dan penyegaran demokrasi.  Dalam konteks  Islam kritik dan bangkangan yang membina  adalah bahagian daripada  tanggungjawab al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar.  Membangkang dalam semangat dan pengertian tersebut bukan sekadar suatu hak demokratik yang boleh dilaksanakan, dan boleh pula ditinggalkan  (memang demikianlah yang namanya hak,  yang boleh diambil dan boleh ditolak), tetapi lebih daripada itu ia adalah tanggungjawab keagamaan yang wajib dilaksanakan.   Jika demikianlah hakikatnya,   lalu dari fiqh hutan mana datangnya hukum bahawa pembangkang adalah golongan bughah (penderhaka)?

Demokrasi tidak hanya bererti pemerintahan golongan majoriti,   tetapi juga oposisi golongan minoriti,  dan yang menjadi  minoriti hari ini,  mungkin berubah manjadi majoriti apabila sampai masanya nanti.    Demikian kata Dandal Jabr dalam tulisannya, al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyah wa Tadawul al-Sultah fi al-Siyasat al-Shar`iyyah:
          وذلك لأن الديموقراطية ليست هي حكم الأغلبية فقط وإنما هي كذلك معارضة الأقلية خاصة
           وأن أقلية اليوم يمكن أن تصبح أغلبية الغد.



(Teks Amanat Pimpinan Wadah Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah:  Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H.,  Taman EkspoPertanian Malaysia, Serdang .)

Thursday, August 4, 2011

Dr Siddiq Fadil: DEMOKRASI DAN PLURALITI bahagian 1

DEMOKRASI DAN PLURALITI: PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH
Siddiq Fadzil

Memaknai Masa Lalu 

Sempena Ijtimak Harakiy ke-2 ini kita mensyukuri  nikmat sejarah,   bahawa setelah setengah  abad bagi PKPIM dan setelah empat dekad bagi ABIM,   rangkaian gerakan  dakwah ini  masih hadir dan masih relevan di tengah zaman dan lingkungan yang terus-menerus berubah.     Kita mensyukuri nikmat sejarah dengan memaknai  masa lalu,   sejarah suka-duka  perjuangan generasi muda idealis yang mendapat pencerahan al-wa`y al-Islamiy,  dan mendapat suntikan dinamika tajdid imani, lalu menjelmakan gerakan transformatif pendakwahan yang merubah lanskap kehidupan umat.

Sesungguhnya  sejarah yang telah dicipta oleh generasi  pelopor kebangkitan Islam tersebut telah   memberikan kita keyakinan tentang kekuatan gerakan kerakyatan,  kekuatan dinamika kepemudaan,  kekuatan  `aqidah,  kekuatan  fikrah, dan kekuatan idealisme.   Dengan izin Yang Maha Perkasa, gemblengan kekuatan tersebut telah berhasil merealisasikan misi transformatif pendakwahan:  reislamisasi masyarakat yang menciptakan babak sejarah keislaman terpenting abad 20.  Tidak dapat dinafikan bahawa semarak Islamic resurgence  tersebut dilatari pelbagai faktor, termasuk karisma kepimpinannya dan kompetensi organisasi yang mewadahinya. 

Para pewaris gerakan ini harus bijak memaknai  sejarah sebagai  khazanah iktibar dan pengajaran.  Dengan demikian kejayaan masa lalu dapat dilestarikan,  sementara   kegagalannya pula  tidak berulang.   Justeru, bagi gerakan yang mampu menangkap pesan-pesan sejarah,  kejayaan tidak akan pernah berakhir;   sementara kegagalan pula   tidak akan mengakhiri  segala-gala.    Success is never ending,   failure is never final.

Sejarah pada hakikatnya adalah suatu amanah.  Untuk memaknai sejarah harus ada kejujuran dalam pencatatannya,  di samping harus ada kejujuran dalam penafsirannya.  Demikianlah petunjuk  al-Qur'an tentang kaedah pengkisahan yang harus jujur   sebagaimana  yang diperingatkannya  ketika mengungkapkan kisah Tujuh Pemuda Kahfi:
                                                             نحن نقصّ عليك نبأهم بالحقّ  ...
              (Kami ceritakan kepadamu kisah mereka dengan sebenarnya,  …)
                           
Demikian pula dengan penafsirannya yang juga memerlukan tahap kejujuran yang tinggi.  Kerana itu al-Qur'an banyak menyebut tentang `ibrah (iktibar pengajaran) dari kisah-kisah Qur'ani yang dikaitkan dengan golongan ulu 'l-albab,  para ilmuwan yang memiliki ketajaman daya renung dan berintegriti tinggi.  Pada zaman leluasanya perbuatan pecah amanah, sering sekali terjadi distorsi fakta sejarah.Antara yang selalu menjadi pelaku utamanya adalah para penguasa,  yang menggunakan kuasa untuk memaksa merubah fakta demi menjaga citra.   Demikian seringnya hal seperti itu terjadi sehingga timbul anggapan sejarah adalah bikinan pihak berkuasa, bukan fakta seadanya.
Sebagai pelaku sejarah, PKPIM-ABIM harus mewaspadai kemungkinan berlakunya pemalsuan dan penggelapan fakta oleh mana-mana pihak.  Ketika ini pun kita sedang menyaksikan pelbagai percubaan yang tidak putus-putus untuk mengaibkan tokoh paling berjasa dalam PKPIM-ABIM.   Mengaibkan tokoh utama pengasas dan Pembina gerakan ini bererti menghina  sebuah gerakan Islam yang berwibawa dan berjasa.

Sejarah PKPIM-ABIM  adalah sejarah kepeloporan:   mempelopori  gerakan kebangkitan Islam (Islamic resurgence) yang berintikan  kesedaran  al-wa`y al-Islamiy bahawa Islam adalah the way of life, cara hidup yang serba sempurna.  Sejarah kita adalah sejarah kepeloporan: mempelopori  pendekatan  yang sihat dan realistik dalam menyikapi  kenyataan atau realiti zaman dan lingkungan.     Sikap inilah yang telah melahirkan pendekatan kemalaysiaan dalam  strategi pendakwahan sebagaimana yang terumus dalam istilah  manhaj maliziy. 
Ketika  gerakan Islam menghadapi kemaraan arus radikalisme dan kebangkitan aliran garis keras,   kita tetap istiqamah mempromosikan pendekatan moderat yang menepati  makna dan semangatwasatiyyat al-Islam,  dan sesuai pula dengan  sejarah, budaya dan nilai-nilai kehalusan Melayu.      Kita ingin mempastikan bahawa kebangkitan Islam yang kita pelopori ini benar-benar dirasakan secara  nyata sebagai rahmat dan pembawa harapan baru.  Sebagai pengemban amanah al-sahwah  al-Islamiyyah kita memang sangat prihatin andainya umat tidak mendapat apa-apa dari kebangkitan Islam,  selain rasa dikutuk, disumpah, dihina  dan ditakut-takuti.         Demi amanah tersebut kita sanggup membayar mahal,   termasuk mempertaruhkan populariti kita.

Memang  dari awal kita sentiasa memberikan perhatian istimewa kepada  realiti kemalaysiaan (al-waqi` al-Maliziy).  Dan kerana itu pulalah kita sentiasa menyatakan sikap   bahawa kita tidak bersedia dimentori  oleh pihak luar berasaskan  wisdom pusaka ahlu Makkata adra bishi`abiha  (warga Makkah sendirilah yang lebih tahu tentang lurah dan lembahnya).      Antara realiti kemalaysiaan yang  cukup fenomenal  termasuklah  sistem politik demokrasi berparlimen yang berdampingan dengan sistem tradisi  raja berperlembagaan.  Selain itu, satu lagi ciri kemalaysiaan  yang cukup unik ialah  pluraliti  masyarakatnya  dari segi ras,  agama dan budaya.

Para aktivis gerakan Islam telahpun mewacanakan isu  Islam dan demokrasi  sejak  tahun-tahun awal  kebangkitan al-wa`y al-Islamiy.   Ketika demokrasi,   teori dan praktiknya, dilihat sebagai produk tamadun Barat,  memang  terkesan bermasalah terutama apabila  dipadankan dengan amalan shura dalam tradisi politik Islam.   Bagaimanapun,  kita tidak pernah menolak hakikat demokrasi sebagai  satu-satunya pilihan yang ada ketika ini untuk dijadikan wahana penyaluran aspirasi politik umat.   Kerana itu komitmen dan partisipasi demokratik kita tidak pernah menurun dari dahulu hingga kini.    Kita ikut mempromosikan masyarakat demokratik,  memasyarakatkan pendidikan demokrasi  dan menuntut  penyihatan amalan demokrasi. 
           
sikap realistik yang berprinsip  (al-waqi`yyat al-mu'assalah)  itulah juga  yang melatari sikap   positif kita terhadap fenomena pluraliti.    Justeru, kita tidak pernah mempersepsikan pluraliti  (ta`addudiyyah) sebagai  suatu kesialan sosial  yang harus disesali.  Sikap positif-realistik terhadap  pluraliti  sudah terungkap  secara jelas dan tegas (loud and clear)     seawal tahun 1979 apabila Sdr. Anwar Ibrahim,   Presiden  ABIM ketika itu menyampaikan Ucapan Dasarnya dalam Muktamar Sanawi ke-8 dengan mengangkat tema  Islam  --  Penyelesaian  kepada Masyarakat Majmuk.    Demikianlah rekod kepeloporan gerakan ini  dalam  menyikapi dan menangani  isu pluraliti berasaskan prinsip  karamah insaniyyah  dan keadilan sosial  dalam Islam.   Memang itulah keyakinan kita sejak dahulu,  bahawa yang memiliki formula menangani  persoalan pluraliti adalah Islam,  bukan cauvinisme, bukan nasionalisme sempit, dan bukan nasionalisme ras.

Dalam ijtimak harakiy  tahun lalu,  kita telah mempromosikan pendekatan maqasid al-shari`ah atau maqasid based approach  dalam perjuangan Islam masa kini.  Maqasid al-Shari`ah   adalah  objektif-objektif unggul  syari`at Islam yang diterima luas sebagai nilai-nilai sejagat,  dan dikongsi  secara kolektif oleh semua agama dan tamadun besar dunia.  Siri wacana tentang maqasid al-shari`ah  yang  telah kita anjurkan  di pelbagai negeri dan daerah telah mendapat  sambutan yang sangat menggalakkan,  termasuk  kalangan bukan Islam.    Wacana  maqasid seharusnya diteruskan  dalam rangka pencerdasan dan pencerahan umat.

(Teks Amanat Pimpinan Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah:  Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H.,
 Taman EkspoPertanian Malaysia, Sedang .)

(bersambung...)