Showing posts with label Islam dan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Islam dan Melayu. Show all posts

Friday, January 4, 2013

CATATAN USRAH: DR SIDDIQ FADIL


Dicatat oleh: Shirajuddin Sirat    




USRAH

1)   Konsep usrah adalah belajar secara bersama.


PENDIDIKAN

2)   “We need to reeducate ourselves.” Kita mesti mendidik semula diri kita.

a)    Ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan yang sedia ada. Ada perkara yang dirasakan tidak cukup.
b)   Sebagai contoh, kita dilatih sebagai seorang doktor perubatan, tetapi kita tidak betul-betul dilatih sebagai seorang manusia.
c)    Sistem kita tidak mementingkan watak manusia tetapi mementingkan otak manusia.
d)   Maka jadilah atau lahirnya manusia yang berotak tetapi tidak berwatak dan berakhlak.
e)    Apa yang dipentingkan oleh kebanyakan orang sekarang ialah kecemerlangan akademik.
f)     Subjek pengajian Islam sendiri telah terheret kepada exam oriented bukannya penghayatan, pengamalan dan pengabdian diri kepada Allah.
g)    Kita mesti cinta kepada ilmu dengan memahami konsep menuntut ilmu itu sebenarnya.
h)   Kalau sekadar mahu mengisi otak sahaja, maka kita akan lupa.
i)     Sebagai contoh, mereka yang sudah lama berkerjaya, cuba ambil peperiksaan SPM sekarang, maka pastinya tidak boleh lulus semuanya dengan cemerlang.
i)     Usahakan cinta kepada ilmu.


KEMANUSIAAN

3)   Dimensi kemanusiaan yang ada pada diri kita dilihat seolah-olah telah hilang.

a)    Konsep keinsanan dalam watak manusia tidak sama dengan penemuan sains manusia.

b)   Manusia dalam Al-Qur`an adalah makhuk yang dimuliakan oleh Allah dalam hembusan roh Ilahi.
i)     Manusia dalam ilmu moden tidak ada konsep ini.
ii)    Sesungguhnya yang menjadikan manusia makhluk yang terbaik kerana adanya hembusan roh Ilahi di dalamnya. Inilah ciri keinsanan yang asasi.
iii)  Apabila Adam dicipta atau dibentuk daripada tanah, ianya tidak dibiarkan oleh Allah sebagai tanah sahaja tetapi dihembuskan dengan roh kemudiannya.
iv)  Kejadian ini difahami oleh para malaikat tetapi diingkari oleh para iblis.
v)    Ketika disuruh sujud kepada Adam, malaikat sujud tanda hormat tetapi diingkari oleh iblis kerana merasakan dirinya yang dijadikan dari api lebih mulia daripada manusia yang dijadikan daripada tanah.
vi)  Jangan ditanya bagaimana caranya roh tersebut dihembus masuk ke dalam diri manusia.
vii) Juga, jangan sesekali menghina anak manusia kerana dalam dirinya ada roh hembusan Ilahi.
viii)        Makhluk-makhluk lain tidak menjalani proses hembusan roh Ilahi sepertimana yang dialami oleh manusia, sebab itu manusia layak menjadi khalifah di dunia ini.

c)    Profesor Syed Husein Nasr menyebut bahawa sains moden menganggap manusia sebagai earthly bound man - manusia yang sudah tertambat atau terikat atau terlekat di bumi.  Kalau begitu, apa bezanya manusia dengan iblis.
i)     Maka kerana itulah kita kena reeducate atau mendidik semula manusia untuk membina jadi diri kemanusiaan pada diri manusia itu sendiri.
ii)    Sebab itu, yang berhak mendapat human rights adalah humans.
iii)  Akhirnya, ada sesuatu yang asas dalam sistem pendidikan kita yang tak kena.

d)   Krisis kelemahan kemanusiaan ini sedang berlaku secara berleluasa.
i)     Masalah ketamadunan manusia sekarang yang dilihat sebagai makhluk mulia yang tidak dikenali lagi yang adanya roh hembusan Ilahi.
ii)    Manusia kini dilihat sebagai kehilangan ciri-ciri kemanusiaannya.

e)    Seorang budayawan atau seniman di Indonesia, Emha Ainun Najib mengatakan bahawa Iblis kelihatan senyum-senyum sahaja kerana seolah-olah permohonannya untuk merosakkan manusia sehingga kiamat dianggap telah berjaya lebih awal dari jangkaannya.  Tempoh yang diminta sehingga kiamat cuba dibuktikan bahawa manusia ini tidak layak menerima sujud ketika mula-mula dijadikan.  Itu sekadar imaginasi seorang seniman.  Beliau senyum-senyum kerana tidak perlu tunggu sehingga kiamat pun, manusia telah berjaya dirosakkan.


MELAYU DAN ISLAM

4)   Mengapa Melayu menerima Islam?

a)    Kerana Islam menjanjikan sesuatu yang lebih baik.
b)   Sebelum Melayu menganut Islam, dalam sistem feudal Melayu, ianya menganut fahaman Hindu.
c)    Rakyat tiada hak menuntut keadilan ketika itu.
d)   Prinsipnya “you don't have the right to have rights” - tiada hak untuk menuntut apa-apa hak. 
e)    Sebagai contoh, tidak boleh menuntut hak kepada Raja, tetapi ianya sekadar dipanggil kurnia Raja, contohnya tanah kurnia!
f)     Setelah Islam datang, Islam memuliakan manusia.
g)    Semua manusia asal usulnya dari Adam yang dijadikan daripada tanah, maka tidak timbul isu Raja berasal dari kayangan.

h)   Ketika Islam datang ke Tanah Melayu, para ulama berusaha untuk memanusiakan Raja. Namun, bukannya mudah untuk memanusiakan Raja.
i)     Selepas itu, barulah rakyat boleh terangkat setaraf dengan golongan Raja dari segi kamanusiaannya. 
j)     Ungkapan Melayu:  “Raja adil Raja disembah. Raja zalim Raja disanggah.”
k)    Melayu setia kepada Raja bersyarat dan derhaka kepada Raja kerana bersebab.  Adil vs zalim.


MARUAH DAN KEHORMATAN

 5)   Satu ketika dahulu, orang dalam bidang agama merasa sangat “inferiority complex” atau rendah diri berbanding dengan golongan sains.

a)    Rasa rendah diri ini berada pada jangka waktu yang agak lama.
b)   Penyanjungan yang melampau kepada golongan tertentu tidak sewajarnya berlaku.

c)    Rasululah s.a.w. meraikan golongan badwi yang berada dalam rendah diri ketika itu dengan ungkapan, "Aku bukan siapa-siapa”.
i)     Aku anak seorang wanita Quraish yang biasa makan daging kering."
ii)    Rasulullah s.a.w. secara sengaja “silent” atau diamkan perkataan atau asal usul bapanya kerana bapanya dari keturunan orang ternama sedangkan ibunya dari orang awam. 
iii)  Makanannya juga biasa-biasa sahaja kerana kebiasaannya makanan yang kita biasa ambil dilihat sebagai indikasi status sosial.
iv)  Sebab itu Rasulullah s.a.w. berkata baginda berasal daripada manusia biasa.

6)   Dalam Islam tidak boleh merendahkan orang dan merasa bangga diri.

a)    Kesedaran tentang maruah diri perlu dititikberatkan.
b)   Jangan sesekali menghina atau menjatuhkan maruah atau “dignity” seseorang.
c)    Orang yang bermaruah ada sifat tahu malu. Sebagai contoh, orang bermaruah bukan sahaja tidak sanggup masuk ke kedai nombor ekor, malah lalu di hadapannya sahaja sudah merasa malu.
d)   Sebagai contoh lain, satu ketika dahulu, sekitar tahun 80-an, kebiasaannya, bagi mendapatkan “Certificate of Fitness” (CF) bagi membina rumah, perlu 'hulur'.  Namun, orang yang ada maruah, dia lebih rela membayar denda kerana tidak ada CF pada rumah yang dibina daripada 'hulur' untuk mendapatkan CF.  Itulah namanya orang yang bermaruah!

7)   Yang DiPertuan adalah yang dijadikan tuan oleh rakyat.

a)    Maka rakyat sebenarnya yang mengangkat Raja. 

b)   Melayu kalau melakukan kesalahan dari segi syarak, boleh menerima  hukuman tetapi Melayu jangan sesekali diaibkan.  Inilah kontrak sosial Melayu. 
i)     Sekiranya seseorang diaibkan secara berleluasa, maka kita perlu ada maruah untuk membelanya.
 ii)    Gabungkan bangsa yang bermaruah, kuat dan punya keberanian.
iii)  Kekuatan tiada ertinya kalau tiada keberanian.
iv)  Gurauan: Badan sahaja bertubuh sasa dan fizikalnya kuat tetapi tengah malam apabila mahu ke dapur pun maka dikejutkan isterinya untuk temankan kerana tidak berani.

v)    Peribahasa Melayu:
(1) “Apa guna pergi ke bendang kalau tidak menanam padi, apa guna keris disandang kalau tidak berani mati. Sebab itu, demi menjaga maruah, manusia wajar berani mati!”
(2) “Apakah tandanya anak jantan?  Matinya di gelanggang (iaitu mati berjuang).”

vi)  Keris pada suatu ketika dahulu menjadi pembela tetapi keris ketika ini sekadar menjadi simbol!
vii) Gurauan: "Apa guna pergi ke bendang kalau tidak bertanam padi. Apa guna keris bersilang kalau takut sama bini.”


8)   Soal-jawab dan Respon:

a)    Isu semasa berkenaan penjelasan Surah 2. Al-Baqarah, Ayat 256, "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)"? 

i)     Ianya berlaku dalam satu forum.  Apabila sesuatu dibataskan penjelasannya dari segi masanya, kemudian ianya dieksploitasikan di pentas media atas kepentingan sekumpulan puak, maka hasilnya daripada suasana yang tidak adil ini tentulah kucar-kacir jadinya.
ii)    Secara aqidahnya bahawa sesuatu yang dipaksa ke atas seseorang maka tidak sah hukumnya.  Ia mesti yakin.

iii)  Ayat ini diturunkan dalam situasi seorang bapa daripada golongan Ansar yang mana 2 orang anaknya sebagai penganut Kristian. 

(1) Rasulullah s.a.w. ketika diminta nasihat berkenaannya, maka turunlah ayat ini. 
(2) Tidak boleh paksa orang masuk Islam dan tidak boleh paksa orang keluar dari Islam.
(3)  Ayat ini adalah “universal, applicable to everyone”, tidak kira apa bangsa sekalipun.

iv)  Kalau orang Islam keluar daripada Islam, itu bab lain iaitu ada hukuman bagi orang yang murtad.
v)    Kalau ianya dibahaskan secara akademik, sudah tentu ada penyelesaiannya.   Masalahnya ialah ada pihak dengan niat mempolemikkan isu ini dan dianggap sebagai perangkap.

vi)  Dalam Islam, apabila tersebarnya sesuatu berita, apalagi kalau disebarkan oleh golongan fasiq, maka harus dilakukan kesahihannya.
(1) Begitu jugalah, kalau ianya disebarkan oleh suratkhabar fasiq, maka periksalah dahulu atau bertanyakan kepada sumbernya.
(2) Lakukan tabayyun iaitu pastikan! 
(3) Kalau dahulu, apabila terdengar sesuatu berita, terpaksa naik unta berhari-hari untuk mendapatkan kesahihannya, inikan pula dalam zaman moden ini dengan segala kemudahannya, kenapalah tidak "ditanya" terlebih dahulu kepada yang punya diri.


b)   Konsep Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu? 

i)     Mengikut sejarahnya, ungkapan orang dulu-dulu:  “Bukan kapak sebarang kapak tetapi kapak dibuat belah kayu. Bukan Batak sebarang Batak tetapi Batak sudah masuk Melayu.”
ii)    Dari segi sejarahnya, tiada bukti Melayu dipaksa masuk Islam.
iii)  Melayu masuk Islam adalah atas dasar kerelaannya.


 (Dicatat oleh: Shirajuddin Sirat    shirajuddin@gmail.com)
(Usrah Biro Kesihatan ABIM (BKA)
(Pengisian oleh:          Dato’ Dr Siddiq Fadhil)

 (8 Disember 2012 (Sabtu)



Thursday, July 19, 2012

Amidi Abd Manan: Memaknai Melayu


         

DARI TAGHYIR al-NUFUS KE MEMARTABAT UMAT

Oleh: Amidi Dato' Abd Manan

Membaca buku hasil karya Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang lebih dikenali sebagai Ustaz Siddiq Fadzil (USF) yang terkini berjudul Islam dan Melayu : Martabat Umat dan Daulat Rakyat amat mengujakan. USF mengulas satu persatu isu yang ditampilkan dengan pesona hujah dan bahasa yang menggamit ghairah membaca tanpa henti.

Hubungan rakyat dan raja yang terukir dalam peradaban Melayu amat kuat dipengaruhi oleh pandangan sarwa  yang diterasi oleh Islam. Status insan yang memiliki izzah tidak membedakan raja dan rakyat jelata perlu dipelihara oleh semua pihak.  Raja yang di pertuankan oleh bangsa Melayu bukan satu status yang tidak boleh dicabar atau terlepas dari tangungjawab sebagai pengemban amanah Allah.

Sang penguasa perlu untuk memelihara maruah rakyat serta melaksanakan tugas dengan penuh rasa tawadhu’ ,  menyedari hakikat bahawa penghisaban Allah tidak akan melepaskan sesiap di akhirat kelak. Beberapa contoh yang dibawakan oleh USF mengisyaratkan bahawa transformational leader bukan sesuatu yang mustahil dicapai.

Ia bukan satu keistimewaan yang hanya dapat hadir dengan kesaktian yang di luar kebiasaan. Begitu juga disenaraikan sejumlah ciri kepimpinan yang dituntut oleh agama yang telah terbukti berupaya membina tamadun yang hebat dan berwibawa.

Umat Melayu adalah umat yang dibentuk dalam acuan Islam sejak sekian lama. Ia terbukti dengan banyak hasil kesusasteraan dan catatan sejarah yang menunjukkan pengaruh Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu, seperti dalam ungkapan tradisional berikut:



Bergantung kepada Yang Satu

Berpegang kepada yang Esa

Tuah hidup sempurna hidup

Hidup berakal mati beriman

Malang hidup celaka hidup

Hidup tak tahu halal haram


Bagi bangsa Melayu diangkat martabatnya, bangsa Melayu perlu kembali ke akar umbi kekuatan peradabannya. Kerana disitulah usaha yang seharusnya ditumpukan dan telah terbukti sejak zaman berzaman. Islam sebagai punca kekuatan bangsa Melayu seharusnya difahami dan dihayati dari segala aspek kehidupan.

 Islam yang membawa misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) melepaskan umat Melayu dari kepercayaan tahyul dan mengangkat martabat keinsanan setiap individu Melayu. Justeru itu, taghyir al-nufus (merubah diri) merupakan agenda wajib bagi mereka yang inginkan perubahan. Ia mestilah meliputi segala sudut kehidupan termasuk jiwa dan minda bangsa, juga watak dan mentality qabiliyyah li ‘l-isti’mar atau colonizabilitie. Idea ‘pentaghyiran’ didokong oleh ramai pejuang Islam seperti Rashid Rida, Afghani dan Amir Shakib Arsalan.

Resam bahari (kelautan) dalam budaya orang Melayu diolah dengan indah oleh USF:

Tradisi bahari atau budaya kelautan telah membentuk watak yang kuat, berdaya tahan dan berdaya juang. Di darat banyak tempat selamat, banyak pilihan untuk berteduh dan berlindung, bersembunyi dan berdiam diri, mengelak dan menghindar. Tetapi di laut tidak banyak pilihan, malah mungkin tidak ada pilihan sama sekali. Anak laut tidak dapat lari dari gelombang dan taufan, tidak dapat menghindar dari ribut dan badai.



Tidak ada pilihan bagi anak laut selain menghadapi dan menaklukinyadengan sepenuh keberanian dan kekuatan. Kehidupan dan budaya kelautan mendidik bangsa ini menjadi bangsa yang bijaksana yang mampu membaca tanda, menafsir isyarat dan menangkap pesan yang dibisikkan oleh angin dan ombak, burung dan ikan.

Kebejatan dalam masyarakat seperti gejala rasuah, kehilangan peduli sosial, gaya hidup mewah yang keterlaluan, kehilangan keberanian dan kerakusan penguasa tidak terlepas dari singgungan dan kritikan USF. Pemerhatian dalam ruang sejarah bangsa mahupun catatan al-Quran memberikan satu tanggapan yang bertenaga bersama panduan serta tamsilan yang bersahaja.


Sajak Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul ‘Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar’ adalah satu sindiran tajam terhadap penghinaan maruah, begitu juga sajak ‘Di Negeri Amplop (envelope)’ karya HM Kiyai Hasan Bisri yang menyindir gejala rasuah yang berleluasa.

USF juga menyentuh beberapa persoalan pemikiran yang berat seperti keadilan, hubungan Islam dan demokrasi, pemikiran ilmu kalam, tasawuf falsafi dan pemikiran fiqh di alam Melayu.

Bahasa dan sastera mendapat tempat yang istimewa apabila disentuh secara khusus dalam bab yang ke sepuluh.

Menyorot kebangkitan dan kesedaran Islam di rantau Melayu lewat abad ke -20 dengan mengungkap peranan ABIM dalam arus tersebut perlu menjadi renungan kita semua. Cabaran dan tribulasi yang bertali arus dari segenap sudut melahirkan satu pertubuhan yang mantap, tahan diuji dan tegap menempuh arus perubahan.

Justeru itu kepada semua pendokongan gerakan buku ini adalah satu bacaan wajib untuk kita semua sekiranya kita bersungguh-sungguh mahukan kefahaman latar, pemikiran dan hujah dalam mendepani rempuhan globalisasi sebagaimana terungkap dalam khatimah buku ini:

Demikianlah antara cabaran ketamadunan masa kini yang perlu ditangani dengan pemerkasaan budaya kita sendiri, pengukuhan jati dirinya dan penyegaran nilai-nilai tradisinya. Kesediaan untuk memanfaatkan segala kebaikan dari kebudayaan lain harus diibangi dengan kesedaran jati diri dan kewaspadaan terhadap segala bahaya. Kebudayaan Melayu-Islam harus menjadi kebudayaan yang kuat untuk memungkinkannya berfungsi sebagai wahana kebangkitan umat.


(Untuk mendapatkan buku "Islam Dan Melayu: Martabat Umat Dan Daulat Rakyat" sila emelkan pada melayu.islam2020@gmail.com)


Penulis adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Sunday, July 8, 2012

Membaca Buku Islam dan Melayu


Membaca Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat


oleh  Ooi Heng , Merdeka Review

 

Membaca buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat membawa pemikiran saya kepada dimensi pinggiran yang lebih merupakan interaksi seorang bukan Muslim dengan realiti semasa.  Dimensi utama yang melibatkan interaksi seorang Muslim dengan dunia di sekelilingnya bukanlah pengalaman dan worldview yang mencorakkan pemikiran seorang bukan Muslim seperti saya.

Tanggal 25 Jun 2012, saya telah menghadiri masjlis pelancaran buku ini, yakni karya terkini Dr. Siddiq Fadzil, "seorang guru tua dari pedalaman" yang telah terlibat sebagai seorang aktivis semenjak zaman pelajar sehinggalah beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ketiga (1982-1991).  Hampir seribu hadirin hadirat yang mengisi dewan sebuah hotel di Ampang mungkin ternampak kehadiran seorang dua bukan Muslim pada malam itu.

Saya ghaibnya membaca dengan pantas dan dapat menghabiskan sebuah buku dalam masa dua tiga hari termasuk hari Sabtu dan Ahad.  Tetapi saya asyik berhenti memikirkan sesuatu semasa membaca buku Islam dan Melayu, sehinggalah pada ketika menulis artikel ini, saya hanya sempat membaca hampir seratus halaman.

Selama lebih kurang satu dasawarsa berkecimpung dalam dunia penulisan bermula dengan penulisan bahasa Cina, membaca merentasi bahasa mencakupi bahasa Cina, Melayu dan Inggeris telah mengisi kebanyakan masa lapang saya.  Membaca merentasi bahasa dan membabitkan pembacaan membicarakan soal Islam dan Melayu adalah suatu pengalaman unik bagi seorang bukan Muslim seperti saya.  Yang direntasi bukan sekadar perbezaan bahasa, tetapi juga melibatkan perbezaan budaya, tradisi ilmu dan worldview.

Dunia penulisan bahasa Cina telah banyak kali mempersoalkan mengapa pembaca senantiasa meletak segolongan penulis "dunia Tionghua" termasuk Taiwan dan China sebagai intelektual utama yang juga menjadi inspirasi dalam proses pencarian ilmu dan penulisan bahasa Cina.  Dengan kata lain, mengapakah tradisi ilmu di negara lain dijadikan sebagai sumber utama tradisi ilmu tempatan?  Tiadakah penulis tempatan yang juga bergelar intelektual?  Tidak cukupkah bilangan penulis tempatan dan kualiti penulisan mereka dalam membentuk gelanggang penulisan bahasa Cina dengan tradisi ilmu tersendiri?

Sesungguhnya, dunia penulisan bahasa Melayu juga berdepan dengan persoalan seumpama.  Lebih-lebih lagi penulisan bahasa Melayu yang juga menyentuh soal Islam.  Di manakah tradisi ilmu yang menjadi sumber inspirasi utama dunia penulisan bahasa Melayu dan Islam jikalau bukan terlahir daripada gelanggang penulis tempatan?  Apakah Indonesia dan negara-negara sekitar gerakan Arab Spring yang menjadi sumber utama membentuk tradisi ilmu tempatan?

Bagi penulis bahasa Cina tempatan, satu persoalan yang lebih unik adalah, mengapakah penulisan bahasa Cina sering kali berdepan dengan masalah pengiktirafan dalam tanah air kelahiran mereka?

Saya masih ingat pada satu hari apabila saya terbaca dalam buku Edward Said, beliau menyentuh sumbangan tokoh ilmu tempatan Syed Hussein Alatas dalam mempersoalkan kerangka permasalahan penulisan dan proses kolonialisme yang mencorakkan sifat Melayu kononnya disemai budaya malas.  Selepas itu, saya pernah beberapa kali menanyakan kawan-kawan yang saya temui, ramai dalam kalangan mereka yang mengenali Edward Said tidak mengenali tokoh besar tempatan Syed Hussein Alatas.

Pernah juga saya terbaca karya yang menyifatkan intelektual awam sebagai species unik yang penulisannya merupakan sebahagian daripada praktis yang dapat memimpin (lead) pada masa yang sama membentuk nilai dan budaya kehidupan awam sesuatu masyarakat pada zaman tertentu.  Agak ramai intelektual tempatan yang pada pandangan saya pernah menghidupkan sifat seorang intelektual awam.  Bermula pada malam pelancaran buku Islam dan Melayu, saya berpeluang mengenali seorang lagi aktivis masyarakat yang disifatkan oleh pemidato pada malam tersebut Anwar Ibrahim sebagai intelektual awam.

Kali ini agak istimewa buat saya, kerana yang saya mengenali melalui pandangan orang dan pemahaman diri saya adalah seorang aktivis Islam yang membicarakan soal Islam dan umatnya.  Saya sukakan buku ini kerana beberapa kemusyikilan yang tertanam dalam hati saya kini "terjawab".  Barang kali "terjawab" bukanlah istilah yang tepat.  Saya bukan mendapat jawapan daripada pembacaan buku tersebut tetapi dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai persoalan tertentu melalui dialog antara bisikan pemikiran saya dengan apa yang dibicarakan dalam buku Islam dan Melayu.

Bagi seorang bukan Muslim, persepsinya terhadap Islam sering kali tertanam kerana pengaruh kuat politik kepartian.  Tetapi buku Islam dan Melayu telah melakarkan sesuatu yang berbeza dengan persepsi bukan Muslim mengenai Islam.  Telah banyak kali akhbar bahasa Cina melaporkan sudut berita atau pandangan bahawa bukan Muslim akan mendapat layanan second class mengikut hukum Islam.  Dalam makalah berjudul "Kepimpinan Politik Melayu: Dari Tradisi ke Demokrasi-Islami", Ustaz Siddiq Fadzil telah membicarakan permalasahan berhubung status Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan akhirnya merumuskan pandangan di bawah yang juga menyentuh hak seorang bukan Muslim:

Negara yang demokratik-Islamik model Malaysia harus mampu merealisasikan maqasid al-shari'ah dalam konteks pluraliti kaum, agama dan budaya. Keadilan, kebebasan dan martabat keinsanan yang merupakan bahagian penting daripada objektif syari'at harus dapat dinikmati oleh seluruh warga, termasuk warga bukan-Muslim. Mereka harus dilayani selayaknya sebagai warganegara (muwatinun), bukan kaum zimmi (dhimmiyyun). Perubahan realiti politik telah menjadikan pengkategorian  zhimmiy-harbiy tidak relevan lagi.

Konsep warganegara adalah satu konsep penting dalam dunia hari ini.  Biarpun bagi bukan Muslim yang tidak mempunyai pemahaman mengenai hukum Islam, pengiktirafan sebagai warganegara adalah asas sekali, malah, penyelesaian kepada masalah utama yang berbangkit kerana ketidaksaksamaan dari segi pelaksanaan dasar selama ini juga berkait rapat dengan kelemahan penghayatan pemegang kuasa terhadap konsep warganegara.  Hari ini banyak yang telah dibincangkan mengenai kegagalan dasar kerajaan dalam menyelesaikan masalah kemiskinan dan jurang antara Melayu kaya dengan Melayu kurang berada yang semakin meluas.  Begitu juga keadaannya apabila dibincangkan jurang antara keluarga berada dengan keluarga kurang berada tanpa mengira latar etnik.

Dalam makalah berjudul "Wasatiyyat al-Islam: Melihat Kembali Erti dan Aplikasi 'Moderasi' islam", Ustaz Siddiiq Fadzil ada menyentuh soal jurang kekayaan. Menurut beliau,

Ekonomi wasatiyyah tidak mengizinkan pembolotan sehingga hak memanfaat dan menikmati kekayaan menjadi terbatas hanya di kalangan kelompok kecil para hartawan (dulatan bayma al-aghniya’). Apabila jurang ekonomi antara golongan: the have - the have not - the have a lot telah menjadi sedemikian luas, pemerintah harus campur tangan demi mengembalikan wasatiyyah dalam erti keseimbangan dan keadilan sosial.

Selain campur tangan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar, saya berpendapat, pembaharuan proses penggubalan dasar yakni paradigma yang mencorakkan keseluruhan pembentukan dasar baharu adalah perlu.  Paradigma lama selama ini yang dtunjangi pemikiran dan kepentingan kelompok kecil sama ada bertopengkan nama bangsa, kaum, atau negara, sering kali meminggirkan kepentingan kaum majoriti (atau etnik?) dan membangkitkan ketidakpuasan kaum minoriti (atau etnik?).

Pelbagai masalah yang berbangkit ekoran pelaksanaan dasar yang tidak adil tidak dapat diselesaikan selain menanam dalam minda etnik terbesar bahawa mereka berada dalam keadaan terancam meskipun hakikatnya bukan begitu.  Tindakan sedemikian serupa apa yang disifatkan dalam buku Islam dan Melayu sebagai gejala pembodohan rakyat.  Apakah Melayu mahu terus diperbodohkan dengan andaian yang jauh memesong daripada realiti semasa kononnya etnik terbesar berdepan dengan ancaman?

Bagi saya, pendekatan baharu berlandaskan konsep warganegara dan bukannya kepentingan kelompok tertentu harus melatari keseluruhan proses penggubalan dan pelaksanaan dasar.  Dalam pada itu, pemberdayaan rakyat adalah penting untuk menyingkir gejala pembodohan rakyat sekaligus menyediakan suasana yang cergas untuk penerapan dan pencerahan idea yang seiring dengan nilai zaman semasa.

Dalam makalah berjudul "Pemberdayaan Umat: Kembalikan Daulat Keinsanan Rakyat!", Ustaz Siddiq Fadzil telah menyentuh peri pentingnya pemberdayaan rakyat dan bahawa "pakej pemberdayaan rakyat dalam konteks sekarang harus meliputi pendidikan demokrasi, agar dengan begitu rakyat tahu makna sebenar demokrasi, dan bagaimana ia semestinya dilaksanakan".  Rakyat harus dididik bagaimana menggunakan hak demokratiknya secara bijaksana dan bermaruah.

Sebenarnya banyak hujah Ustaz Siddiq Fadzil yang ingin saya sentuh dan bincang.  Tetapi apa yang lebih penting ialah, buku ini wajar dijadikan bacaan penting bukan Muslim.  Hujah progresif dalam konteks hukum Islam berbeza dengan sudut berita yang diutarakan dalam media.  Bacalah sendiri supaya anda dapat menghayati sebuah karya secara menyeluruh dan mendalam.  Saya sekadar menyentuh dimensi pinggiran.

Akhir sekali, ingin saya berkongsi puisi seorang penyair-budayawan kenamaan Rendra berjudul "Kesaksian Bapak Saija" yang berbunyi seperti berikut:

Hidup tanpa daya
sebab daya ditindih ketakutan.
Setiap hari seperti mati berulang kali.
Setiap saat berharap menjadi semut
agar bias menjadi tidak kelihatan.
Sekarang setelah mati
baru aku menyedari
bahwa ketakutanku membantu penindasan,
dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.


*Ooi Heng ialah Pengarah badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis Merdeka Review bahasa Melayu dan bahasa Cina.