Ketika kali pertama kami bersua
di hulu Sungai Bambu, saya diseliputi rasa hiba dan sayu. Hiba melihat wajah
dan tubuhnya yang cengkung dan sesekali dia menahan sakit. Sayu kerana di balik
tekanan dan mehnah yang menimpa diri dan keluarganya, dia masih menyambut saya
dengan senyuman. Aneh sekali sosok peribadi ini, dia yang bertanya khabar saya
dengan ramah sedang saya sudah bergenang air mata menahan rempuhan ombak air
mata.
Begitulah pertemuan kami dari
sehari ke bulan berikutnya. Saya menyaksikan sebuah madrasah tarbiyyah di hulu Sungai Bambu ini.
Pasaknya telah disediakan seawal beliau menjadi Presiden ABIM dan memimpin
sebuah harakah Islamiyyah belia yang
terkemuka. Rupanya ujian keluar-masuk tirai besi oleh sang tirani ini adalah
sebuah proses uzlah yang luar biasa. Dari usianya muda sehingga kini, ujian
datang bertimpa dan ketika itulah beliau keluar masuk penjara hanya untuk
membuktikan betapa korupnya moral dan kebankrapan akhlaq sang tirani.
Saya tidak berminat dengan kisah
politiknya. Kerana di mata saya, kekuatan peribadinya adalah luar biasa.
Barangkali jika kita yang biasa-biasa ini, sudah pasti akan gila jika dtindas
begini. Namun, sekali lagi saya menyaksikan sosok tubuh yang hanya dipenjara
jasadnya tetapi tidak jiwa dan pemikirannya.
Seorang rakan dari Indonesia
pernah berpesan kepada saya bahawa Anwar Ibrahim tidak akan mati walau dibunuh
berkali-kali. Ini kerana pemikirannya sangat hidup dan sangat dekat dengan
ummat. Maka, sekalipun dia menghuni sel di balik jeriji besi, pemikirannya mesti
ditulis dan dicatat agar sentiasa segar. Teman saya menceritakan bahawa sejarah
kelahiran kitab Fiqhud Dakwah, titipan Almarhum Pak Natsir, Putera teragung
dari Indonesia adalah hasil pemikiran Almarhum Pak Natsir yang dicatat oleh
anak muridnya ketika beliau dipenjara. Wallahi,
Fiqhud Dakwah bukan kitab biasa, ia sangat luar biasa. Ia mutiara penjara dan
telah melahirkan ribuan kader dakwah!
Berkerut-kerut dahi saya mencatat
nama-nama tokoh yang beliau sebut dan kitab-kitab tersohor yang beliau tekuni.
Ada ketikanya saya “stress” yang amat
kerana saya langsung tidak boleh mengeja nama penulis mahupun kitabnya.
Sudahnya, saya dengan rasa malu dan rendah diri meminta beliau menulis nama
penulis dan nama kitabnya. Tepuk dahi. Sedang apabila pulang ke rumah, saya
melihat deretan buku dan penulis yang sama di kutubkhanah keluarga. Tepuk dahi
dua kali.
Tahun lepas sahaja beliau telah
membaca lebih 500 buah buku. Itulah perbezaan utama kepimpinan dan kapasiti
intelektual beliau berbanding dengan pimpinan negara yang lain. Malah beliau
juga menggunakan perkataan “mengunyah” ketika membuat deskripsi bahan bacaan
yang beliau telah selesai pembacaannya secara tuntas. Apabila beliau selesai
“mengunyah” buku bermakna kita harus bersedia untuk berdebat dengan beliau tentang
jalur pemikiran penulisan atau doktrin yang dibahaskan.
Perjalanan intelektual beliau
sangat mengkhayalkan. Tidak mustahil tempoh beruzlah ini beliau akan melepasi
bilangan 500 buah buku setahun sedang Al Quran pun beliau mampu khatam dalam
tempoh minima 3 hari sehingga sebulan.
Makalah Paulo Reglus Neves Freire
sangat segar apabila beliau membicarakannya semula dalam konteks pendidikan dan
kemiskinan. Diasuhnya juga saya agar menekuni semua, maksud saya semua tanpa
kecuali penulisan Dr Yusuf Al Qaradhawi tanpa cuai. Maksud beliau jika saya
membaca teks dalam Bahasa Melayu, saya mesti membaca bersama teksnya yang asal
di dalam Bahasa Arab dan merentas ke Bahasa Inggeris. Bingung saya dibuatnya.
Teks yang sama tetapi saya harus ulang baca dalam bahasa yang berbeda. Ketika
itulah baru saya mengerti dari mana beliau menjana keupayaan intelektualnya dan
kefasihan multi-bahasanya.
Disiplin dalam budaya ilmu ini
tiada kompromi. Pernah seorang rakan usrah beliau mengkisahkan bahawa di dalam
unit usrah, beliau adalah pencatat yang tekun dan tegar. Jika mahu apa yang
dibincangkan di dalam usrah, maka lihatlah catatan beliau. Ketika itu juga,
saya terasa empangan mata saya hangat ketika melihat catatan-catatan kuliyyah
beliau di Sungai Bambu. Tulisannya sedikit bergetar barangkali menahan sakit
akibat kecederaan bahunya yang tidak tertanggung. Tetapi enggan mengalah
mencatat.
Catatan-catatan nota itu
barangkali adalah sebuah tesis kedoktoran yang sifatnya akademik tetapi
mempunyai ruh pejuang.
Ia hidup dalam anugerah
intelektual dan daya ketahanann jiwa yang terisi dengan sebuah budaya keilmuan harakiyy yang sekian lama dibugar di
madrasah tarbiyyah ini. Saya kerap
serba salah apabila beliau menegur penulisan tesis PhD bapak saya. Kelihatannya
dia mendesak. Dalam dunia ini, selain penyelia tesis bapak saya, hanya beliau
dan Almarhum Professor Ahmad Ibrahim sahaja yang telah khatam membaca tesis PhD
bapak saya itu. Maka beliau mengulas dari satu topik ke satu topik sehinggalah
sekecil-kecil nota kaki tesis tersebut dan bapa saya akur dengan keilmuannya
tanpa bahas. Aneh sekali. Bapak sering mengungkapkan, “He knows better” sambil mengingatkan bahawa setiap daripada kita
ini berhutang dengan sosok ini.
365 ini adalah mantra yang padu
kerana 365 juga saya belajar memaknai sebuah pengorbanan dan perjuangan.
Barangkali 365 ini juga, sewajarnya beliau diangkat menjadi seorang mahaguru
ummat yang sedang bertapa dan dijauhkan dari nista fitnah yang kita sahaja tahu
betapa geringnya Negara kita ketika ini. Kita ketandusan pimpinan adiwira yang
benar-benar memperjuangkan keadilan dan kebenaran.
365 telah genap kiraannya pada 10
haribulan Februari, 2016. Perjalanan intelektual dan kerohanian beliau serta
jiwa daienya sangat gagah terpasak.
Dhamir yang sangat mengasihani ummat terpancar di sanubarinya kerana bicaranya
setiap kali dalam pertemuan kami adalah kepeduliannya terhadap kehidupan ummat
yang kian ditekan sarat.
Usai 365, maka hari 366 adalah
klimaks untuk menghentikan kebobrokan dan penindasan tirani. Membebaskan beliau
tidak cukup dengan slogan-sloganan dan sentimental pidatonya. Ia mesti diisi
dengan conviction yang padu dan
keyakinan terhadap perjuangannya. Perjalanan intelektualnya mesti ditulis.
Penolakannya yang keras terhadap rasuah dan kezaliman mesti diangkat. Akhlaqnya sebagai seorang daie ketika dihenyak tanpa belas dan
difitnah secara terancang oleh konspirator keji mesti diperlihatkan.
Kepimpinannya semenjak usia belia dan memimpin negara adalah catatan historikal
yang anggun. Sejarah Malaysia akan kelam tanpa kelibat beliau dalam paparan
sebenar dinamika kepimpinan negara.
365 adalah kesaksian kita semua
bahawa menjadi penakut itu akan menjadi penyesalan yang sangat hina ketika
mati. Sebagaimana yang diungkapkan oleh penyair ulung Rendra dalam puisinya
“Kesaksian Bapak Saija”, “….Hidup tanpa daya, sebab daya ditindih ketakutan.
Setiap hari seperti mati berulang kali…Sekarang setelah aku mati, baru aku
menyadari bahawa ketakutanku membantu penindasan, Dan sikap tidak berdaya,
menyuburkan ketidakadilan”.
Semoga beliau dipelihara Allah
dan kembali dengan lebih sakti lagi.
Anwar Ibrahim, 365.
(Nukilan Fadhlina Sidek)
No comments:
Post a Comment