TM76
MEMPERINGATI WIRA DARI GUA:
PEMUDA-PEMUDA AL-KAHFI DALAM PENCITRAAN QUR’ANI
(Memahami mesej surah al-kahf ayat 19 - 26)
19. Dan
demikianlah Kami bangunkan mereka, agar di antara mereka saling bertanya. Salah seorang di antara mereka berkata, “Sudah berapa lama
kamu berada (di sini)?” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari atau setengah
hari.” Berkata (yang lain pula), “Tuhan-mu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini). Maka
suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang
lebih baik, dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu,
dan hendaklah dia berlaku lemah-lembut dan jangan sekali-kali menceritakan
halmu kepada sesiapa pun.
20. Sesungguhnya
jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempari kamu dengan
batu, atau memaksamu kembali kepada
agama mereka, dan jika demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.”
21. Dan
demikian (pula) Kami perlihatkan (manusia) dengan mereka, agar mereka tahu, bahawa
Janji Allah benar, dan bahawa
(kedatangan) hari Kiamat tidak ada keraguan padanya. Ketika
mereka berselisih tentang urusan
mereka, maka mereka berkata, “Dirikanlah
sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan
lebih mengetahui tentang mereka.” Orang yang
berkuasa atas urusan mereka berkata, “Kami pasti akan
mendirikan sebuah rumah ibadat di atasnya.”
22. Nanti (ada
orang yang akan) mengatakan, “(jumlah
mereka) tiga (orang), yang keempat
adalah anjingnya,” dan (yang lain) mengatakan, “(jumlah mereka) lima (orang), yang keenam adalah
anjingnya,” sebagai terkaan terhadap yang ghaib; dan (yang lain lagi) mengatakan, “(jumlah mereka) tujuh
(orang), yang kedelapan adalah anjingnya.”
Katakanlah (Muhammad), “Tuhan-ku
lebih mengetahui jumlah mereka;
tidak ada yang mengetahui (bilangan) mereka kecualisedikit.” Kerana itu
janganlah engkau (Muhammad) berbantah tentang hal mereka, kecuali perbantahan lahir sahaja dan jangan
engkau menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda itu) kepada siapa pun.
23. Dan janganlah
sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, “Aku pasti melakukan itu besok pagi,
“
24. kecuali (dengan mengatakan), “In sha’a ‘Llah.” Dan ingatlah
kepada Tuhan-mu apabila engkau lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhan-ku
akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada
ini.”
25. Dan mereka
tinggal dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun.
26. Katakanlah,
“Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua); miliknya semua yang tersembunyi di langit dan
di bumi. Alangkah terang penglihatan-Nya
dan alangkah tajam pendengaran-Nya; tidak ada
seorang pelindung pun bagi mereka
selain Dia; dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi
sekutu-Nya dalam menetapkan keputusan.”
Mukadimah
Ashab al-Kahf bukan
sekadar sebuah kisah, tetapi suatu peristiwa
sejarah yang diabadikan dalam al-Qur’an untuk menyampaikan mesej tentang erti hakiki kewiraan yang bercirikan iman dan perjuangan. Peristiwa heroik tersebut berlaku pada awal
tarikh masihi, di sebuah kota (yang
tidak jelas namanya) dalam kerajaan Romawi purba, ketika
memuncaknya reign of terror dan gaya hidup materialistik-hedonistik dalam tradisi
keagamaan memuja berhala yang dipaksakan ke atas seluruh warga. Sepanjang
era tersebut, kuasa adalah
segala-gala. Yang berkuatkuasa adalah
undang-undang rimba - yang besar membuli yang kecil, yang kuat
memangsakan yang lemah. Golongan elit penguasa
merajalela memaksakan kemahuannya ke atas rakyat jelata. Prinsip keadilan, kebebasan, hak asasi dan segala nilai murni peradaban hancur dimamah
keserakahan penguasa. Kerajaan menguasai dan mendominasi segala sumber kehidupan. Segalanya dari kerajaan, sehingga tidak ada siapa pun boleh memiliki
apa-apa (kekayaan, kehormatan, keselesaan dll) tanpa izin dan restu kerajaan. Semuanya
harus ditentukan oleh kerajaan,
termasuk kepercayaan dan agama anutan.
Tidak ada siapa pun yang boleh menganut agama selain agama negara - menyembah berhala. Sistem sedemikian telah menyuburkan budaya opportunism
dalam kalangan rakyat - untuk hidup harus mengampu kerajaan. Demikianlah,
rakyat rata-rata sudah menjadi hamba nafsu kebendaan dan pengabdi kekuasaan. Tidak mematuhi kemahuan kerajaan, alamat celakalah padahnya.
Tuhan
yang Maha Penyayang, tebaran rahmat-Nya amat
luas, boleh sampai ke mana sahaja, dan boleh menjangkau siapa sahaja yang
dikehendaki-Nya. Di tengah masyarakat
yang rosak separah itu, masih ada rahmat
hidayah yang menyerap ke dalam hati sekumpulan anak-anak muda. Merekalah ashab
al-kahf yang berlindung di gua demi
menyelamatkan iman dan pendirian mereka.
Keberanian bersikap - menolak agama dan budaya sesat anutan penguasa dan
masyarakat - mendedahkan diri mereka kepada bahaya deraan
kejam penguasa yang sudah mengerahkan seluruh jenteranya menangkap mereka. Pemuda-pemuda
al-kahf itu menjadi buruan rejim kuku besi yang mulai merasa tergugat.
Bagi kerajaan, mereka adalah “musuh” negara, “pengkhianat” bangsa, dan “perosak” agama. Jumlah mereka memang sangat kecil, hanya beberapa orang, tetapi keberanian mereka menolak agama dan
budaya pihak berkuasa tetap menakutkan kerana mereka memiliki potensi besar
membenihkan kesedaran rakyat. Justeru,
mereka memiliki kekuatan iman, kekuatan fikrah,
kekuatan daya tahan dan daya juang yang luar biasa.
Dalam
situasi sedemikian, satu-satunya pilihan
bagi pemuda-pemuda al-kahf tersebut ialah `uzlah, mencari tempat
berlindung yang selamat, sebuah gua yang
meskipun pada zahirnya kasar, kelam, sempit, berbahaya dan menyeramkan; tetapi apabila Tuhan berkenan menabur rahmat-Nya, ia
menjadi lapang dan nyaman. Demikianlah,
hakikatnya mereka lari kepada
(perlindungan) Allah. Tidak ada
perlindungan lebih selamat dan lebih nyaman daripada perlindungan Allah. Di sanalah berlakunya tadbir perencanaan Tuhan yang Maha Bijaksana, mereka tertidur dalam belaian rahmat Ilahi selama lebih tiga ratus
tahun.
Huraian Maksud Ayat
Ayat
19 menyerlahkan kekuasaan Tuhan yang amat menakjubkan dengan membangunkan pemuda-pemuda
al-kahf setelah ditidurkan selama ratusan tahun dalam
keadaan sihat, segar-bugar walaupun tanpa makan-minum selama tempoh tersebut. Mereka sendiri tidak menyangka telah
tidur selama itu. Mereka hanya menduga
paling lama sehari atau setengah hari. Keajaiban tersebut bukan untuk
dirahsiakan, tetapi kemudiannya didedahkan
kepada umum dengan bukti nyata yang cukup meyakinkan. Tujuannya ialah untuk menjawab isu keraguan
terhadap hari kebangkitan. Setelah
Kiamat, manusia yang semuanya telah mati dibangkitkan semula. Justeru,
bangun dari tidur ratusan tahun, hakikatnya hampir sama dengan bangun semula setelah mati. Keajaiban tersebut adalah bukti bahawa segala
janji Ilahi pasti ditepati.
Pemuda-pemuda
al-kahf yang tertanya-tanya selama
mana mereka telah tidur, akhirnya
menyerahkan persoalan tersebut kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Demikianlah adab manusia mukmin ketika
berhadapan dengan sesuatu kemusykilan. Soal-jawab
tentang persoalan seperti itu tidak perlu diperpanjang. Mereka segera beralih kepada persoalan lain
yang lebih mendesak bahawa mereka sama-sama lapar dan perlu makan. Peristiwa masuk kota untuk membeli
makanan inilah pula yang menyedut perhatian orang ramai terhadap siapa
sebenarnya mereka, dan mengungkapkan
semula sejarah yang tercipta lebih tiga abad yang lalu. Warga kota dapat mengesan jejak pemuda al-kahf
itu menerusi wang perak (dirham) yang dihulurkan untuk membeli makanan, atau mungkin juga dari dialek pertuturan dan
pakaiannya.
Memang
rencana Tuhan mahu membuka peristiwa ini kepada pengetahuan umum dengan maksud
yang dinyatakan secara eksplisit dalam ayat 21, iaitu untuk meyakinkan mereka bahawa janji
Ilahi membangkitkan manusia yang telah mati bukan gertak kosong, tetapi benar-benar akan terjadi. Selain itu tersirat pula hakikat bahawa
isu kehilangan misterius sekumpulan pemuda beriman itu masih terus hidup di
tengah masyarakat walaupun setelah tiga abad. Selama tempoh tersebut banyak perubahan
telah berlaku, termasuk berakhirnya pemerintahan rejim zalim pemuja berhala zaman pemuda kahfi, digantikan oleh kerajaan baru yang beriman. Ternyata yang berubah bukan hanya raja yang
memerintah, tetapi yang lebih bererti
lagi ialah berubahnya agama, budaya, ideologi, sistem nilai, dan cara berfikir
rakyat. Generasi
yang hidup pada zaman pemerintahan baru inilah yang memiliki kesedaran sejarah tentang
kehebatan pemuda-pemuda yang berani bersikap
menolak tradisi bejat dan sesat
untuk memilih iman dengan segala risikonya. Di mata generasi baru ini, pemuda-pemuda al-kahf bukan lagi orang-orang buruan, tetapi pahlawan yang sangat
menginspirasikan. Demikianlah
hakikatnya, citra manusia dalam
sejarah boleh berubah.
Pemuda-pemuda
al-kahf itu sendiri memang tidak
menyedari perubahan yang telah berlaku.
Masa yang dilalui dalam gua terasa seperti baru sehari atau setengah
hari. Rasa cemas masih menghantui
perasaan mereka. Kerana itu mereka
sangat berhati-hati merencana strategi,
jangan sampai ada yang tahu siapa mereka dan di mana tempat
persembunyian mereka. Andainya mereka
tertangkap, risikonya besar sekali -
direjam atau didera untuk memaksa mereka kembali kepada agama dan budaya sesat. Risiko berat inilah yang mereka cuba
hindari, kerana mereka tahu benar bahawa kembali kepada kesesatan bererti rugi besar duniawi-ukhrawi.
Al-Qur’an
tidak memaparkan rincian peristiwa yang
membawa kepada terungkapnya hakikat bahawa merekalah sebenarnya pemuda-pemuda al-kahf yang menghilang (demi
menyelamatkan iman) tiga abad yang lalu.
Terdapat indikasi bahawa Tuhan segera mematikan mereka sejurus selepas
terungkapnya segala yang terjadi. Kematian
mereka adalah rahmat dari Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat
mereka. Justeru, serba-serbinya telah berubah sehingga
menyukarkan mereka menyesuaikan diri andainya mereka hidup lebih lama
lagi. Selain itu mereka dihadirkan untuk membawa misi khusus Ilahi, dan misi tersebut telah sempurna terlaksana. Mungkin juga kematian yang berlaku pada
waktu itu sebagai rahmat kurnia Allah
menyempatkan mereka menyaksikan perubahan yang berlaku walaupun untuk hanya
beberapa detik.
Al-Qur’an
hanya menggambarkan sambutan hangat masyarakat terhadap kemunculan semula pahlawan-pahlawan
yang selama ini terselubung misteri dan teka-teki. Demikian tingginya penghormatan mereka
terhadap pemuda-pemuda ashab al-kahf itu
sehingga gua persembunyian mereka menjadi tumpuan ramai, masing-masing ingin mengabadikan rasa hormat
dan apresiasi dengan cara sendiri-sendiri.
Ayat 21 menyatakan berlakunya perselisihan dalam kalangan pelbagai pihak
tentang apa yang harus dilakukan terhadap gua persembunyian yang menyimpan
sejarah besar yang ketika itu sudah
menjadi makam pahlawan. Ada yang
ingin membina bangunan tugu peringatan,
sementara pihak berkuasa pula memutuskan untuk membina masjid di
atasnya. Di balik pengkisahan tentang
perselisihan tersebut, tersirat suatu hakikat
bahawa semuanya adalah pengagum-pengagum
ashab al-kahf yang berkongsi keinginan mengabadikan sanjungan, hormat dan apresiasi dengan
cara masing-masing. Demikianlah
terciptanya peristiwa sejarah yang cukup mengharukan: kelmarin diburu sebagai pengkhianat, hari ini dinobat sebagai pahlawan. Ia berlaku dengan kuasa Allah menurut sunnah
aturan-Nya. Memang sejarah mempunyai
undang-undangnya sendiri yang menjadi bahagian daripada sunnatu ‘Llah.
Wira-wira
al-kahf itu telah mati, tetapi al-Qur’an membayangkan kisah mereka
tidak pernah mati. Polemik dan debat
tentang persoalan-persoalan di sekitar
mereka terus berlaku sepanjang zaman.
Ayat 22 menyebut bahawa suatu ketika nanti akan muncul pelbagai
teori tentang jumlah sebenar pemuda-pemuda
tersebut - tiga, lima atau tujuh orang. Ternyata
minat untuk menelusuri lebih jauh tentang ashab
al-kahf terus tumbuh terutama dalam kalangan ilmuwan-sejarawan. Terasa ada isyarat pada ayat tersebut bahawa
yang benar adalah tujuh orang. Yang
mengatakan tiga dan lima orang disebut rajman bi ‘l-ghayb (terkaan terhadap
yang ghaib), tetapi yang mengatakan tujuh orang tidak disebut
demikian. Bagaimanapun gaya dan nada
al-Qur’an mengungkapkan isu tersebut memberikan indikasi bahawa soal jumlah
pemuda yang terlibat tidak perlu dipolemikkan.
Yang penting dalam pengajian sejarah
bukan rincian kisah, tetapi `ibrah atau iktibar pengajarannya. Dalam konteks ashab al-kahf, berapa pun
jumlahnya (tiga, lima atau tujuh) tidak merubah pengajaran yang terkandung
dalam peristiwa sejarah tersebut.
Ayat-ayat
seterusnya membawakan pesan Tuhan tentang bagaimana menyikapi persoalan-persoalan ghaybiyyat (perkara-perkara ghaib)
baik mengenai masa lalu atau masa mendatang. Hal-hal seperti itu hanya Tuhan yang
tahu. Kerana itu serahkan dan kembalikan
sahaja kepada-Nya dengan kata Allahu
a`lam (Allah sahajalah yang lebih tahu).
Ilmuwan-sejarawan tidak perlu mengada-ngada, berteori dan berhipotesis tentang hal-hal
ghaib yang di luar daerah jangkauannya. Sebagaimana masa lalu, masa depan juga adalah daerah ghaybiyyat
yang hanya diketahui dengan
pasti oleh Tuhan sendiri. Memang kita
harus melihat ke hadapan, merancang dan bersiap menghadapi kemungkinan-kemungkinan masa depan. Tetapi
penentu apa yang akan terjadi adalah kuasa Allah. Kerana itu apa pun yang kita ingin lakukan
harus disandarkan kepada Allah dengan in
sha’a ‘Llah.
Sikap
mengembalikan segalanya kepada Allah dan menyandarkan segalanya kepada kuasa
Allah adalah bahagian daripada implikasi tauhid. Allah adalah kuasa tunggal yang semutlaknya
dalam menentukan segala-gala.
Khatimah
Citra
manusia dalam sejarah boleh berubah kerana
ini tertakluk kepada penafsiran semula dari masa ke masa berasaskan perspektif dan sudut pandang yang berbeza dan
berubah. Pencitraan palsu oleh media
propaganda politik tidak akan mampu bertahan lama kerana dasarnya bukan fakta
dan kebenaran. Apa yang selalu dipromosikan sebagai “sejarah” seringkali berupa versi bikinan
pemerintah yang didasari motif kepentingan.
Sejarah yang direkayasa seperti
itulah yang selalu dipenuhi distorsi sehingga
menciptakan fenomena tragik ramainya
pahlawan yang tidak didendang. Tetapi akan sampai masanya, sejarah bikinan seperti itu tidak mampu berhadapan dengan sejarah tandingan yang
berasaskan kejujuran ilmiah.
KDH:27022016.
1 comment:
👍👍👍 sekian lama mencari..
Post a Comment