SIARAN MEDIA ABIM
9 Februari 2016
ABIM TUNTUT PEMBEBASAN ANWAR IBRAHIM
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru
rakyat Malaysia mengimbau semula pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang
genap setahun pada 10 Februari 2016. Sesungguhnya peristiwa pemenjaraan Dato’
Seri Anwar Ibrahim, mantan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang
merupakan peristiwa hitam yang tragis dalam sejarah politik dan perkembangan
demokrasi negara yang kita cintai.
Anwar Ibrahim merupakan simbol dan lambang keberanian
pemimpin yang sanggup mengambil segala risiko - hatta mengorbankan kebebasannya
jasadnya - demi perjuangan membela hak rakyat dan menyanggah kezaliman elit
pemerintah. Tampak semakin jelas, dalam situasi negara yang terus-terusan
dilanda krisis kepimpinan dan integriti yang mencemar reputasi rakyat Malaysia
seantero dunia, pemimpin berjiwa besar yang sanggup meletakkan kepentingan
peribadi bagi menempuhi perit-jerih perjuangan bersama rakyat terbanyak semakin
sukar dicari. Justeru amatlah malang; di kala negara memerlukan lonjakan
gergasi untuk segera keluar dari kemelut sosio-politik dan ekonomi yang kian mencengkam,
pemimpin pejuang rakyat yang komitmennya telah diuji dan kualiti kepimpinan telah
diiktiraf di peringkat antarabangsa dibiarkan mendekam di penjara selama 5
tahun.
Anwar
Ibrahim - tanpa ragu - merupakan seorang tahanan politik yang dipenjarakan secara
arbitrari, yakni pemenjaraan salah yang dilakukan tanpa bersandarkan bukti yang
kukuh. Kumpulan Kerja Penahanan
Arbitrari, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN
Working Group on Arbitrary Detention – UNWGAD) telah sebulat suara
mendapati Anwar dipenjarakan secara haram, dan melanggar undang-undang
antarabangsa melalui Pendapat No. 22/2015;
“Pemenjaraan Saudara (Anwar) Ibrahim adalah
arbitrari. . . mengambil kira semua hal dalam kes tersebut, Kumpulan Kerja ini
berpendapat bahawa jalan untuk membetulkan keadaan adalah untuk membebaskan
Saudara (Anwar) Ibrahim dengan serta merta, dan memastikan hak-hak politik
beliau yang dirampas oleh kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan”.
Pemenjaraan
politik bukanlah sesuatu yang baru lagi menghairankan. Dalam apa pun nama
sistem dan istilahnya dalam liku-liku sejarah peradaban manusiawi, hakikatnya tetap
sama - bahawa wujud insan-insan tidak
berdosa sepanjang zaman yang dihumbankan di balik jeriji dek pertuduhan palsu
yang menjengkelkan dan dakwaan memualkan!
Hanya segelintir yang buta sejarah berani menafikan betapa undang-undang
telah disalahgunakan oleh pemegang tampuk kekuasaan untuk memenjarakan secara
zalim seteru politik dan para penentang yang lantang memperjuangkan prinsip kebenaran
dan keadilan. Demikianlah juga, hanya pemerintah yang telah tercabut rasa
kemanusiaannya laksana Al Sisi dan Sheikh Haseena yang tega memekakkan telinga
dan memejamkan mata dan terus-terusan membelenggu musuh politik sementelahan dikutuk
masyarakat bertamadun seantero dunia.
Walaupun
demikian, ABIM berkeyakinan majoriti rakyat Malaysia masih punya ketinggian
akalbudi, naluri kesedaran yang mendalam dan dhamir yang suci untuk mengakui
hakikat bahawa Anwar Ibrahim merupakan mangsa politik keji konspirator yang sanggup menggunakan apa
sahaja helah bagi mengaibkan dan merampas hak kebebasan seteru yang tidak dapat
ditundukkan dalam gelanggang politik demoktratik secara budiman, adil dan
saksama. Pertuduhan dan sabitan
kesalahan seksual ke atas beliau melalui kerahan dan sebaran propaganda lucah
yang diarusperdanakan buat tontonan umum telah meninggalkan warisan memori yang
memalukan khususnya buat generasi muda negara.
ABIM
menilai bahawa seluruh episod serangan yang jijik terhadap peribadi DSAI telah
membiakkan budaya fitnah dalam masyarakat dan menyuburkan amalan Qazaf -
menuduh wanita dan lelaki yang baik berzina atau liwat tanpa mendatangkan 4
orang saksi - yang amat dibenci oleh ajaran agama. Bahkan sebaliknya, penekanan
terhadap pemeliharaan maruah (hifz ‘ird) dan kemulian insaniah yang digariskan
dalam objektif pensyariatan Islam telah dilanggar dengan wewenangnya dalam siri
serangan propaganda terhadap beliau. Sahsiah peribadi dan komitmen keislaman
Anwar Ibrahim, yang diiktiraf oleh ulama-ulama’ muktabar dan cendiakawan Islam di
pelbagai belahan dunia dari usia mudanya sewaktu memimpin gerakan Islam sehinggalah
saat dan tika ini telah tercalar dan tercemar dengan tuduhan Qazaf yang
dipropagandakan di peringkat nasional.
Marilah
kita bersama-sama merenung dan menghayati mesej penting Syekh Yusuf Qaradhawi
dalam surat umumnya kepada seluruh rakyat Malaysia pada 27 Oktober 2014 sewaktu Dato
Seri Anwar Ibrahim melalui fasa-fasa terakhir kes perbicaraan beliau di
Mahkamah Persekutuan.
“Dalam
kaitan inilah, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin besar.Dengan jejak sejarah
perjuangan dan pengalamannya, kesabaran, ketahanan dan kegigihannya sejak muda
hingga sekarang, seharusnya beliau dihormati dan dilayani selayaknya, sesuai
dengan perjuangannya, dan tidak wajar sama sekali beliau dilempari
tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas”
Bersempena
genap setahun penahanan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari 2016, ABIM dengan
ini menuntut agar Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan segera secara sah menurut saluran perundangan dan
dibersihkan dari segala sabitannya melalui semakan kehakiman yang sedang
diusahakan oleh barisan peguam beliau. Sementara proses tersebut berlangsung,
beliau haruslah diberikan segala haknya sebagai tahanan politik yang dijamin di
bawah perundangan antarabangsa termasuklah hak bagi mendapatkan rawatan
berterusan menurut pilihannya bagi mengubati kesakitan dan kecederaan beliau
yang kini telahpun berusia 68 tahun.
ABIM turut menuntut agar hak untuk bertemu dengan peguam-peguam beliau
yang dijamin oleh peruntukan undang-undang diberikan sepenuhnya tanpa
sekatan-sekatan politik dan birokratik yang menjejaskan akses beliau terhadap
nasihat perundangan yang selayaknya. Keluarga Dato Seri Anwar Ibrahim juga
haruslah diberikan akses sepenuhnya untuk bersua, bertemu mata dan
berkomunikasi tanpa sebarang halangan dengan beliau sewaktu di penjara.
Akhir sekali, jika ada satu pengajaran penting
yang perlu kita insafi dari peristiwa pemenjaraan insan bernama Anwar Ibrahim
ialah beliau mengajar setiap daripada rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran
dan keadilan untuk menjadi berani – berani menyatakan keberanan dan keadilan, dan
berani menguasai ketakutan yang membelenggu diri dari menyatakan dengan penuh
lantang bangkangan terhadapan kebatilan dan kezaliman. Inilah mesej penting
pemimpin pejuang rakyat seperti yang diungkapkan oleh pejuang pembebasan
apartheid Nelson Mandela “I learned that
courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man in
not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear”.
Jika takut pada risiko, jangan bicara soal
perjuangan!
MOHAMAD
RAIMI AB.RAHIM
Presiden
No comments:
Post a Comment