Kita berhimpun bagi mengingati suatu
babak dalam sejarah umat. Saya sendiri sangat terkesan dengan pemenjaraan Anwar
Ibrahim.
Pada akhir usia ini, kita
sentiasa terkenang kenikmatan Allah swt berikan selama ini dalam kehidupan. Di
antara nikmat Allah swt yang sangat dihargai adalah ditakdirkan bertemu dan
persahabatan dengan Anwar Ibrahim sejak tahun-tahun 60’an.
Sekiranya sekarang ditakdirkan
tidak berjumpa Anwar Ibrahim lagi sebelum mati, kita ingin dirakamkan
sesungguhnya jasa Anwar Ibrahim kepada diri saya sangat besar. Dia telah
memperkenalkan harakah Islamiyyah. Kalau tidak bertemu, saya tidak akan menjadi
seperti apa yang ada sekarang.
Oleh itu, mana mungkin saya
berdiam diri apabila sahabat baik difitnah dan diaibkan serta dizalimi sebegitu
rupa.
Sesiapa sahaja kalau mahu
mengkritik pemikiran dan gagasan idea Anwar Ibrahim contohnya program Buku
Jingga dan sebagainya, dipersilakan. Tetapi apabila memfitnah jahat, ini mesti
ditentang!
Saya mengenali Anwar Ibrahim
sejak 1966 sewaktu saya di Maktab Perguruan Lembah Pantai. Kami begitu akrab
sekali. Tetapi nasib saya berbeda. Saya tidak pernah dipenjara dan saya menjadi
malu. Mujur mungkin kerana saya tak tahan ditahan.
Saya tidaklah sekuat
sahabat-sahabat lain jika dipenjarakan. Ini mungkin berkat kata orang tua-tua,
“Pandai-pandailah menjaga diri. Jangan
sampai terkurung atau tersepit. Kalau terkurung, biar di luar. Kalau tersepit,
biar di atas.” (berseloroh)
Pemenjaraan Anwar Ibrahim adalah
suatu kezaliman dan tindakan pengecut. Dr M sebenarnya seorang pengecut. Seorang yang
ahli dalam menggunakan kekuasaannya dan memperalatkan segala jentera kerajaan.
Dia tidak berani berlawan secara anak jantan. Tidak berani berdepan dengan
Anwar di gelanggang lalu dipenjarakan. Orang begini tidak wajar dihormati. Itulah
diwarisi oleh pemimpin sekarang, seorang murid yang pandai menggunakan kuasa
yang dipelajari daripada mahagurunya.
Mereka ini kelihatan gagah semasa
berada di tampuk kuasa. Tetapi apabila kuasa tiada, anaknya sendiri pun tidak
terdaya unutk berbuat apa-apa untuk membelanya.
Saya menghormati Anwar menjalani
kehidupan di dalam penjara. Ibrah daripada kisah Nabi Yusuf a.s. dipenjarakan
adalah nama kemasyhuran Nabi Yusuf a.s. kekal disebut-sebut sehingga kini tetapi
nama-nama mereka yang memenjarakannya dilupakan orang.
Kehidupan penjara tidak asing
bagi seorang pejuang. Mereka tidak gentar dengan penjara. Ibn Taimiyyah juga
ada mengatakan: "Ketika aku dimasukkan ke dalam penjara dan sesaat
kemudian para pengawal mengunci pintunya, aku seperti mendengar firman Allah
Ta'ala:
(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang
sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada
orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari
cahaya kamu”. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): “Baliklah
kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)”, serta diadakanlah di
antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai
pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di
sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa. (Al-Hadid :
13)
Orang-orang munafik dan
orang-orang mu’min dipisahkan oleh tembok. Di dalam penjara ada rahmah manakala
di luar penjara tersiksa.
Daripada surat yang diutuskan
oleh Anwar Ibrahim, saya dapat merasakan sesuatu nikmat yang dikecapi Anwar
Ibrahim. Anwar berkata, “ Benar, saya
diasingkan daripada orang tetapi saya merasa dekat dengan Allah swt.”
Allah swt berfirman di dalam
surah al Nur: ‘’Sesungguhnya orang-orang
yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan
orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat
…" (An-Nur : 19)
Oleh itu janganlah merasa sudah
menang wahai pelaku kejahatan. Allah swt mungkin menangguhkan balasan dan
hukuman. Mereka jangan sekali-kali merasa sudah menang. Yakinlah Allah swt
menangguhkan keputusan hukumanNya kepada mereka yang melakukan kezaliman.
Hanya mereka tidak mengerti
tentang tragedi yang melanda sejarah umat. Lim Guan Eng, seorang Non Muslim
menangis apabila melihat Anwar Ibrahim dipenjarakan tetapi mereka yang pernah
berusrah bersamanya bergembira apabila melihat Anwar di penjara. Guan Eng dapat
merasakan betapa ruginya bangsa dan negara dengan terpenjaranya Anwar. Kalau
kita tidak merasakan kerugiannya maka malanglah kita.
Buktikanlah kalau Anwar akan
dilupakan oleh rakyat! Jawapannya, tidak mungkin.
Marilah kita menjawab kepada
mereka yang memenjarakannya: “You are
Wrong!” – Kamu salah!
Anwar Ibrahim bukan sekadar
jasadnya. Bagaimana mungkin memenjarakan idea dan pemikiran Anwar Ibrahim. Oleh
itu, marilah kita menyemarakkan pemikiran Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim seorang ilmuwan
yang luar biasa. Keprihatinannya terhadap nasib rakyat termiskin merupakan
perjuangan yang melayakkan dia diangkat sebagai pemimpin yang hebat, jika kita
rujuk kepada buku Asian Drama – An
Inquiry into the Poverty of Nations.
Saya belajar daripadanya untuk
mengenali tokoh-tokoh pemikir. Anwar mengetahui apa yang dia bicarakan dan dia
tahu apa yang dicakapkan tentang maqasid shariah. Apabila kita menyebut Dr
Raysuni, Anwar sebut Ibn Ashur tentang maqasid shariah. Dia memahami
pemikiran-pemikiran terkini. Oleh itu, jangan jadi seperti burung kakak tua
yang hanya menyebut-nyebut ‘maqasid shariah’, menyebut sekadar apa yang orang
lain sebut.
Anwar Ibrahim bukan sekadar
membaca teks ucapan tetapi dia mengetahui apa yang dibacanya dan disampaikan.
Walaupun jasadnya di Sungai Buluh
tetapi pemikirannya berada di merata-rata.
Kita merupakan organisasi yang
paling kaya dengan pemikiran dan intelektualisme, maka laksanakan agenda
perkembangan intelektual.
Apa tandanya anak jantan?
Anak jantan matinya di tengah
gelanggang
Anak jantan tidurnya di puncak gelombang
Apa maknanya mati di gelanggang?
Maksudnya mati dalam keadaan
berjuang dan melawan!
(Dr Siddiq Fadzil di Anjung
Rahmat sempena Mengingati Satu Tahun Anwar Ibrahim di penjara)
(Disunting daripada catatan
oleh sdr Fauzan dan sdr Sirajuddin)
No comments:
Post a Comment