Tuesday, March 15, 2016

Yusuf a.s. diamanahkan mengurus Perbendaharaan Negara



Yusuf a.s. mengetahui bahawa tidak ramai orang pada masa itu yang beramanah serta mereka sering menipu. Mesir memiliki banyak gudang-gudang simpanan jelapang biji-bijian tetapi di dalamnya kosong melompong. Yusuf a.s. menyedari bahawa ada yang mengkhianati rakyat jelata. Yusuf a.s. memerhati orang yang curang dan mencuri khazanah negara yang dikurniakan Allah s.w.t.  Dia melihat betapa banyak, jenuh dan melimpah ruahnya kekayaan negara tetapi ia kian hilang lesap.

Harta kekayaan negara habis lesap di tangan-tangan pemimpin-pemimpin dan para pengelola yang mengurus khazanah itu. Mereka tidak takut kepada Allah s.w.t. Mereka menghidang makanan kepada anjing-anjing mereka tetapi rakyat biasa tidak mempunyai apa pun untuk dimakan. Mereka menghiasi rumah-rumah mahligai kediaman mereka dengan boros dan berlebihan tetapi rakyat biasa tidak mempunyai  sehelai pakaian pun.

Rakyat biasa tidak akan menikmati apa-apa manfaat daripada perbendaharaan negara Mesir kecuali jika seorang Bendahara yang jujur dan berpengetahuan dilantik. Bendahara yang jujur tetapi tanpa berpengetahuan tidak akan tahu bagaimana untuk mengurus dengan bijaksana. Sebaliknya, seorang bendahara yang berpengetahuan tetapi tanpa kejujuran akan menipu rakyat dan menggunakan perbendaharaan untuk tujuan kepentingan diri sendiri.

Yusuf a.s. seorang yang beramanah dan berpengetahuan. Dia tidak boleh terima atau bertoleransi dengan pemimpin, pengelola dan mereka yang diamanahkan tetapi membohongi rakyat serta mereka merampas menggeledah harta kekayaan milik rakyat jelata.  Yusuf a.s. tidak dapat menerima lagi melihat pihak berkuasa dan autoriti yang menginjak-injak hak rakyat. Yusuf a.s. tidak rela melihat rakyat kelaparan dan mati  kebuluran.


Yusuf a.s. tidak malu kerana memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan. Dia memberitahu raja Mesir:

"Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan (hafizun ‘alim)." (Surah Yusuf 12:55)

Begitulah Yusuf a.s. diberikan amanah menjaga dan mentadbir harta kekayaan dan khazanah negara Mesir. Rakyat jelata berasa lega dan sangat gembira, lalu mereka memuji Allah s.w.t.


Al Qur’an ditanzilkan dan menyampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. – sebuah cerita terindah, kisah terbaik, ibrah yang manis – ahsan al qasas, pada Surah Yusuf. Pengajaran besar kisah ini adalah jika seorang Mu’min beriman mempunyai sahsiah Islamiyyah dan dikurniakan hikmah kebijaksanaan, dia mampu menawan seluruh negara hanya dengan kekuatan keperibadiannya. Ibrah kehebatan Nabi Yusuf a.s. mengajar kita bahawa seorang yang memiliki sahsiah yang tinggi dan mulia akan berjaya walaupun terpaksa mengharungi dugaan berat, mehnah dan fitnah dengan hidayah petunjuk Allah serta pertolonganNya.




(Adaptasi, terjemahan dan  suntingan daripada kitab Qisas an-Nabiyin – Kisah Rasul-Rasul oleh  Sayyid Abul Hasan Ali Nadwi (rh), sebuah buku yang ditulis untuk kanak-kanak dan suatu teks berkesan bagi mempelajari Bahasa Arab. Nota tambahan juga daripada buku Towards Understanding the QurĂ¡n oleh Sayyid Abul A’la Mawdudi)



No comments: