Sunday, September 4, 2016

AHMAD AZAM: MENGGALAS PERJUANGAN, MERINTIS AGENDA KEJAYAAN






MENGGALAS PERJUANGAN,
MERINTIS AGENDA KEJAYAAN
Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Selamat datang, ahlan wa sahlan wa marhaban kepada para muktamirin dan muktamirat pada Muktamar Nasional WADAH yang ke-10 dengan semangat ukhuwwah yang tinggi dan kekentalan perjuangan yang menyemarak untuk menggalas perjuangan yang masih panjang. Juga kesempatan ini saya mengalualukan kehadiran para peserta Seminar Cabaran dan Masa Depan Umat di Malaysia dengan harapan dan doa semoga seminar ini akan dapat menilai pencapaian dan meneruskan kesinambungan perjuangan dakwah untuk tahun-tahun mendatang.


1.0 Tata baru dunia dan penderitaan umat Islam

Tata baru dunia yang menjadikan dunia Islam sebagai sasaran baru bagi kuasa besar telah mencetuskan tragedi kemanusiaan yang sangat buruk bagi masyarakat Islam sepanjang dua dekad kebelakangan ini. Bukan sahaja umat Islam semakin menderita dan sengsara, tetapi juga mereka semakin berpecah dan semakin lemah. Peristiwa 11 September 2001 telah dijadikan alasan oleh Amerika Syarikat untuk melancarkan perang melawan pengganas. Afghanistan dibinasakan atas alasan mencari Osama Ben Ladin; Iraq dihancurluluhkan atas alasan memiliki weapons of mass destruction; Libya dan Syria dikacaubilaukan atas nama demokrasi. Begitu juga nasib negara Yaman yang diporakperandakan atas nama memerangi keganasan. Wilayah Islam di Asia Barat menjadi kucar-kacir dengan kesengsaraan dan penderitaan awam kerana peperangan yang dicetuskan oleh kuasa luar ini.

Salah satu kesan peperangan itu ialah krisis pelarian Islam yang menjangkau jutaan orang. Mengikut UNHCR, statistik akhir Februari 2016 menunjukkan bahawa 13.5 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan dengan 4.8 juta terpaksa lari keluar dari Syria termasuk 2.7 juta yang melarikan diri ke Turki. Data UNHCR (2015) juga menunjukkan bahawa 54% daripada semua pelarian di dunia ini datang dari tiga negara Islam iaitu Syria (5 juta), Afghanistan (2.7 juta) dan Somalia (1.1 juta).

Dalam usaha melemahkan dunia Islam, Amerika dan sekutunya telah melancarkan strategi yang dinamakan hard power dan soft power. Hard power dalam pengertian melaksanakan perang fizikal sementara soft power dalam pengertian menimbulkan konflik dalaman sesama Islam. Sehubungan dengan strategi soft power ini laporan RAND Corporation (2003) hasil kajian Cheryl Benard telah memecahkan masyarakat Islam kepada “seven-part typology of Muslims: radical fundamentalists, scriptural fundamentalists, conservative traditionalists, reformists, traditionalists, modernists, mainstream secularists, and radical secularists.” Perpecahan dalaman kepada tujuh kelompok ini menjadikan lebih mudah untuk umat Islam terus didominasi dari segi sosio-politik-ekonomi mereka.


2.0 Respons Gerakan Islam

Ketika dunia Islam semakin lemah kesan daripada pendekatan hard power and soft power ini, gerakan Islam merupakan satu-satunya kuasa yang ada untuk mempertahankan nasib diri dan maruah umat. Gerakan Islam khususnya Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1926 adalah respons kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Ikhwan Muslimin telah menjadi Model Gerakan Islam yang tumbuh di merata dunia Islam bagi mempertahankan Izzatul Islam. Gerakan Islam bermula sebagai gerakan sosial iaitu memberikan perkhidmatan seperti sekolah, klinik, kebajikan dan kesihatan bagi menampung keperluan umat Islam akibat kelemahan pemerintahan. Kemudian usaha ini mendapat sambutan daripada masyarakat dan gerakan Islam terlibat dalam politik kekuasaan dengan menjadikan gerakan tersebut juga sebagai sebuah parti politik. Kemuncak penglibatan gerakan Islam ialah menerima kaedah demokrasi sebagai cara untuk merealisasikan cita-cita politik Islam.

Penglibatan gerakan Islam di pentas demokrasi ternyata begitu berjaya sehingga menjelang 2011, beberapa negara Arab telah jatuh ke tangan parti politik yang didokong oleh gerakan Islam. Ikhwan Muslimin dengan Parti Kebebasan & Keadilan yang menang besar dalam pilihanraya Mesir telah menampilkan Mohammad Morsi sebagai Presiden dan Parti Kebebasan & Keadilan menjadi parti pemerintah. Namun, dunia Barat telah menyokong rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh General Abdel Fattah el-Sisi hanya selepas setahun Presiden Morsi memerintah.

Sejak itu gerakan Islam telah merobah pendekatan dari political Islam kepada Muslim democrat. Ini bermaksud gerakan Islam menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan pendemokrasian dengan tidak menjadikan cita-cita Islam sebagai agenda utama. Idea Muslim democrat ini dipelopori oleh pengasas al-Nahdah Tunisia, Sheikh Rached Ghannouchi. Penekanan Muslim Democrat adalah kepada nilai kebebasan, keadilan dan hak asasi, menggantikan penekanan kepada matlamat penubuhan negara Islam.


3.0 Cubaan Kudeta di Turki

Pada 15 Julai 2016, dunia dikejutkan dengan peristiwa percubaan kudeta di Turki. Kudeta ini dirancang bagi menjatuhkan kerajaan demokratik yang dipilih oleh rakyat, Recep Tayyib Erdogan, atas alasan beliau semakin autokratik. Namun demikian peristiwa kudeta tersebut telah memberi tiga pengajaran kepada dunia. Pertama adalah bagaimana rakyat Turki mempertahankan badan demokratik hingga sanggup mempertaruhkan nyawa. Seramai 250 jiwa tidak berdosa hilang dan 1,500 orang cedera. Pengorbanan dan keberanian luar biasa ini telah memberi inspirasi kepada dunia bagaimana rakyat Turki berani mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Kedua, peristiwa ini telah menunjukkan betapa tidak jujurnya negara-negara Barat terhadap Turki yang demokratik berdasarkan sikap dan pernyataan dingin mereka terhadap Turki apabila kudeta tersebut telah gagal.

Ketiga, bagaimana Fethullah Gulen dan gerakannya telah bersekongkol dan diperalatkan oleh Amerika untuk menjatuhkan Recep Tayyib Erdogan demi menjamin kepentingan Barat. Inilah realiti dunia Islam selama 25 tahun berada dalam kancah yang berpaksikan kuasa Amerika Syarikat. Apakah dunia Islam
akan terus diporakperandakan? Namun hikmah daripada kegagalan kudeta tersebut telah menyaksikan Turki mulai berperanan untuk merubah dunia unipolar ini kepada multipolar. Turki telah
memulakan kerjasama dengan Rusia, Iran dan China bagi merealisasikan kuasa alternatif kepada hegemoni Barat.


4.0 Kebangkitan Islam di Malaysia dan kendalanya

Sejarah membuktikan bahawa perubahan masyarakat hanya mampu dilakukan oleh orang-orang yang gigih bekerja dan berjuang. Betapa kita, masyarakat Melayu rantau ini, terhutang budi dengan para pendahulu yang terdiri daripada para da‘i yang bersungguhsungguh dan dengan penuh hikmah menyebarkan agama Islam ke rantau ini. Hasilnya, Islam diterima sebagai agama kehidupan oleh masyarakat serantau menggantikan kepercayaan animisme dan agama Hindu-Buddha. Islamisasi berlaku secara halus dan lembut tanpa tentangan dan bantahan, hingga akhirnya agama diterima sebagai asas kehidupan masyarakat dan negara.

4.1 Melayu sebati dengan Islam: Islam membentuk world-view baru bagi masyarakat Melayu dan world-view ini akhirnya menjadi kerangka berfikir dan landasan amal yang membentuk kebudayaan Melayu. Raja-raja Melayu memanfaatkan hikmah daripada agama dan memasukkannya ke dalam pentadbiran dan kanun-kanun negeri. Masyarakat Melayu yang mendapat inspirasi daripada al-Quran, menjadi lebih kreatif, bijaksana dan mencintai ilmu. Kitab kitab agama dan tulisan-tulisan berunsur sejarah dan ketatanegaraan terhasil daripada revolusi pemikiran yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Idea-idea pembaharuan dan polemik Kaum Tua dan Kaum Muda, dari satu segi, adalah refleksi wacana keilmuan yang berupaya membantu mempertajam daya fikir umat. Perkembangan perkembangan yang berlaku menyediakan umat untuk bergerak ke tahap lebih tinggi bagi satu transformasi yang lebih bermakna dalam penghayatan dan pendaulatan Islam.


4.2 Era Penjajahan: Bagaimanapun, perkembangan positif ini menjadi terbantut dengan kedatangan penjajah. Mereka bukan sahaja menguasai pentadbiran negeri dan aktiviti ekonomi, tetapi berusaha memperkukuh kedudukan mereka dengan memperkenalkan sistem pendidikan baru yang bebas-agama dan yang sekularistik. Masyarakat Melayu berkembang menjadi masyarakat yang meminggirkan agama dan memberinya peranan yang terhad kepada urusan ibadah ritualistik. Daripada sistem baru ini lahirlah generasi yang hilang kecintaan kepada agama. Pemahaman dan penghayatan
agama tidak berkembang dan kekal berada di tahap amat rendah.


4.3 Kebangkitan Generasi muda: Era 70-an dan 80-an memberi momentum baru kepada penghayatan Islam. Fenomena yang dikenal sebagai Islamic resurgence telah membangkitkan semangat baru di kalangan generasi muda di negara-negara Islam. Penggerak utama yang menjadi tulang belakang kepada resurgence di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan tokoh utama waktu itu ialah Presidennya, Anwar Ibrahim. Beliau berjaya menyuntik kesedaran Islam dan mengobarkan semangat generasi muda khususnya para mahasiswa di universiti-universiti untuk bangkit berperanan di tengah-tengah masyarakat, memperjuangkan kebenaran dan keadilan, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta membela golongan tertindas.

Hasilnya, masyarakat memperolehi kembali kekuatan spiritual intelektual dan harga diri daripada agamanya. Kesedaran dan semangat baru ini kemudian memberi kesan meluas yang mengubah persepsi masyarakat terhadap kedudukan dan peranan agama. Islam dilihat lebih daripada sekadar dogma dan ritual. Islam difahami sebagai peraturan sosial, dasar untuk pendidikan dan sistem keadilan. Islam dilihat memiliki prinsip kukuh bagi pembangunan ekonomi dan pembinaan negara serta berupaya mengangkat umat menjadi pemimpin dunia. Masyarakat Islam mulai menuntut penghayatan Islam yang lebih bermakna dalam semua aspek kehidupan. Kehendak masyarakat yang semakin kuat memaksa
pemerintah mengubah sikap terhadap isu-isu Islam. Mereka terpaksa menunjukkan sikap lebih simpati dan bertindak memberi respons yang lebih positif dengan mengetengahkan polisi dan program yang lebih Islamik.

Penyertaan Anwar Ibrahim dalam parti politik mulai tahun 1982 membolehkan berlakunya penerapan nilai-nilai Islam secara lebih bermakna Satu-persatu, reformasi telah dilakukan termasuk yang melibatkan polisi-polisi pendidikan, kewangan, sosial dan pembangunan negara yang membawa ke arah penghayatan Islam yang lebih menyeluruh termasuk pendekatan yang lebih agresif dalam membela golongan kurang bernasib baik dan langkah-langkah anti amalan rasuah. Sikap masyarakat yang positif dan reseptif terhadap Islam dan idea perubahan serta gandingannya dengan pimpinan negara yang komited dan berwawasan telah menyediakan tapak terbaik untuk lonjakan seterusnya bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai pemimpin dunia Islam tetapi juga dunia antarabangsa.


4.4 Politik fitnah: Sayangnya peluang baik ini tidak dapat dimanfaatkan. Fitnah, pendakwaan dan penahanan Anwar Ibrahim telah menyebabkan kendala terhadap proses perubahan yang berlaku. Masyarakat dan negara kembali terdedah kepada kepemimpinan yang tidak beretika, kerakusan dan salah guna kuasa. Proses pendidikan dan pematangan masyarakat terjejas, menjadikan mereka begitu rapuh terhadap serangan budaya luar yang merosakkan masyarakat. Walaupun negara, dari segi pembangunan prasarana mencapai kemajuan yang membanggakan, namun sikap, akhlak dan budaya pimpinan serta elit pemerintah mengundur jauh ke belakang, menongkah arus kesedaran masyarakat terbanyak. Zahirnya kelihatan kemajuan dan pembangunan yang memukau sedang hakikatnya kita sedang menempuh keadaan yang dapat diumpamakan dengan kata-kata T.S. Eliot, “in an age which advances progressively backward”.


4.5 Keberkatan yang hilang: Hari ini kita menyaksikan imej dan maruah negara yang terjejas kerana salah laku pimpinan. Rasuah dan salah guna kuasa berskala besar dipertahankan dan diberi justifikasi menjadi amalan yang dianggap normal. Pembaziran dan gaya hidup bermewah-mewahan berkembang menjadi budaya yang diterima dan tidak dicela. Nasib rakyat terbanyak tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Bahkan polisi-polisi yang diperkenalkan menambahkan beban dan penderitaan rakyat. Tata kelola yang baik (good governance) terhad dalam pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan namun amalan ini tidak terpakai dalam pemerintahan negara. Keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan dan amalan demokrasi terjejas teruk akibat beberapa tindakan pemerintah yang dilihat bertujuan melindungi kesalahan dan jenayah pihak-pihak yang berkepentingan. Rakyat terbanyak kelihatan bersikap pasif dan tidak berani untuk menyatakan bantahan dan rasa marah terhadap penyelewengan-penyelewengan yang berlaku di hadapan mata.

Keadaan-keadaan ini cukup untuk mendesak kita menilai semula dakwah dan gerak kerja yang kita lakukan selama ini. Di samping kejayaan meratakan dakwah dan kesedaran Islam, mengapakah tidak banyak perubahan di kalangan kelompok elit pemerintah; mengapakah kita gagal menyuntik keberanian untuk membantah dan menyekat penyelewengan? Di samping penegasan dan wacana tentang wasatiyyah, mengapakah anak-anak muda terpikat dengan pendekatan ekstremisme dan militant? Di samping seminar-seminar tentang Islam dan masyarakat majmuk serta Islam sebagai rahmat sejagat, mengapakah rasisme dan chauvinisme serta rasa kebencian antara kaum meningkat dan semakinmembimbangkan?


4.6 Merancang masa depan: Tanpa kita nafikan bahawa usaha-usaha dakwah masa lalu telah menghasilkan impak besar kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Namun selepas
empat setengah dekad berlaku, kita kini berhadapan pula dengan cabaran-cabaran baru yang mungkin berbeza daripada apa yang kita hadapi masa lalu. Ini menunjukkan bahawa wajar untuk gerakan Islam dan badan-badan dakwah seperti PKPIM, ABIM dan WADAH menilai kembali pendekatan dan cara bekerja yang sedia ada. Bagi menghadapi masa depan dengan realiti baru dalam dan luar negara yang lebih mencabar, para pimpinan gerakan perlu lebih kreatif dan berani mewacana dan mendebatkan isu-isu kritikal masyarakat dan umat secara tuntas, menentukan keutamaan-keutamaan (awlawiyyat) dan bertindak dengan penuh hikmah.

Usaha-usaha mendidik umat dan meningkatkan tahap kecerdasan dan kefahaman mereka perlu dibuat dengan lebih agresif dan menyeluruh ke kota dan desa serta menerobos ke tengah-tengah golongan elit dan birokrat. Kita perlu kembali menyemak dan menganalisis, merancang dan mengatur agenda bertindak bagi menentukan langkah yang lebih realistik, sesuai dengan perubahan masa dan cabaran-cabaran baru yang mendatang.


5.0 Cabaran-cabaran Semasa

5.1 Kemerdekaan yang bererti: Kita baru sahaja menyambut hari ulang tahun kemerdekaan Negara ke-59. Kemerdekaan adalah kebebasan dari belenggu penjajahan. Kemerdekaan memberi kita hak untuk menentukan sendiri akan nasib dan masa depan negara. Kemerdekaan memberi kita peluang menentukan bagaimana kita hendak mengolah dan memanfaatkan sumber-sumber kekayaan yang ada dengan cara yang paling baik agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama dan rancangan-rancangan pembangunan negara dapat dibiayai demi generasi akan datang. Dengan perkataan lain, negara yang merdeka hendaklah akhirnya mampu menyediakan kehidupan terbaik untuk rakyatnya.

Setelah 59 tahun mencapai kemerdekaan, kehidupan rakyat mengalami perubahan yang ketara. Secara umum kekayaan negara telah meningkat. Peluang pendidikan bertambah luas, dan perkembangan pelbagai sektor ekonomi telah menambah peluang-peluang pekerjaan. KDNK meningkat diikuti kenaikan dalam pendapatan per kapita. Pembangunan prasarana dan kemudahan perhubungan mencapai tahap yang tidak terbayang sebelumnya. Berdasarkan pencapaian-pencapaian ini negara menjadi lebih makmur. Namun adakah kemerdekaan hanya untuk kemakmuran? Bagi kita nikmat kemerdekaan harus melampaui kemakmuran (prosperity), yang selalunya berasaskan kekayaan dan angka-angka objektif. Nikmat kemerdekaan perlu mengambilkira bukan sahaja kemakmuran tetapi juga kesejahteraan hidup (wellbeing), yang sebahagiannya berasaskan angka-angka subjektif. Konsep kesejahteraan hidup akan mengambilkira lebih dari sekadar bantuan wang, makanan, penyediaan rumah mampu-milik dan kemudahan perubatan. Ia lebih daripada sekadar bilangan shopping malls dan bilangan pengunjungnya atau bilangan telefon bimbit setiap rumah atau kelajuan internet bandwidth yang disediakan. Atau bilangan lebuhraya, lapangan terbang dan pelabuhan. Kesejahteraan hidup (wellbeing) akan mengambilkira rasa selamat masyarakat dari jenayah dan intimidasi dalam apa bentuk pun, kepuasan mereka dengan standard hidup dan alam sekitar, persepsi bahawa kerja keras akan memberi ruang untuk maju, keyakinan terhadap institusi kewangan dan sistem keadilan, kestabilan kerajaan, keberkesanan pemerintahan, rule of law, pengasingan kuasa, keberkesanan memerangi kemiskinan, keberkesanan memerangi rasuah dalam kerajaan dan perniagaan, partisipasi politik dan keyakinan terhadap pilihanraya yang adil, jaminan kebebasan individu dan hak untuk bersuara, tahap toleransi sosial yang melibatkan kaum dan agama
serta bagaimana golongan minoriti dan pendatang dilayan. Sehingga semua perkara-perkara ini diambilkira, kita tidak seharusnya berpuas hati, mendabik dada bahawa kita telah mengisi erti kemerdekaan.

Dalam banyak hal pencapaian kita dalam perkara-perkara seperti ini masih jauh daripada memuaskan. Memperjuangkannya memerlukan pemimpin yang lebih bertanggungjawab, komited kepada prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan dan mereka yang meletakkan rakyat di hati. Rakyat yang sedar pula tidak harus berdiam diri, sebaliknya tampil bersama-sama berjuang menuntut perubahan yang lebih bermakna. Perjuangan mengisi kemerdekaan iuga memerlukan sikap yang konsisten. Mewar-war kejayaan ekonomi dan kenaikan pendapatan per kapita tidak sepatutnya menjadikan kita mendiamkan diri tentang hutang negara yang meningkat, jurang pendapatan di kalangan rakyat yang masih tinggi dan kadar keterhutangan berganda di kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam mera‘i kepelbagaian bangsa, agama dan budaya Malaysia, kita tidak sepatutnya memejam mata terhadap realiti meningkatnya suara-suara rasis dan kebencian daripada pelbagai pihak. Berbicara tentang kebebasan dan hak-hak yang diberi perlembagaan, harus juga dijelaskan bagaimana hak-hak tersebut semakin disekat oleh pelbagai akta baru yang diluluskan. Bercakap tentang ketinggian ajaran Islam dan tuntutan perpaduan umat tidak sepatutnya menjadikan kita bisu terhadap ketegasan Islam menolak fitnah dan rasuah yang semakin membudaya dalam masyarakat. Demikian juga apabila menyesali kerosakan akhlak anak-anak muda dengan budaya yang melalaikan, hiburan dan permainan-permainan berdasarkan realiti saduran (augmented reality), kita tidak harusnya takut untuk memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin lakonan yang rosak akhlak dengan rasuah, pembaziran dan pembohongan.


5.2 Pembinaan Bangsa: Setelah sekian lama merdeka, negara kita juga masih belum berjaya melahirkan satu rupa bangsa. Kita memang ada banyak suku bangsa tapi tak ada bangsa negara, Bangsa Malaysia. Kita telah menyentuh isu ini khususnya di muktamar ke-6, pada tahun 2012. Malahan mantan presiden ABIM dan Wadah, yang kini merupakan Ketua Majlis Istisyari WADAH, Dato’ Dr. Siddiq Fadhil telah menulis artikel, “Pembinaan Bangsa, Antara Wawasan Nasional dan Aspirasi Islam” yang dibentang dalam kongres cendekiawan Melayu VI pada tahun 1995.

Pewujudan satu bangsa ini menjadi sangat penting kerana ia bakal melahirkan rakyat yang mampu menyatakan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada negara. Dengan yang demikian kita akan dapat membina penyatuan dan perpaduan yang mantap di kalangan rakyat. Usaha ini patut mendapat sokongan dan dokongan padu daripada semua pihak kerana kita mahu melihat kewujudan satu masyarakat yang walaupun majmuk tetapi mampu hidup dalam suasana muhibah, rukun dan damai. Kita mestilah berani dan jujur untuk mengiktiraf bahawa setiap rakyat adalah warganegara yang setaraf dan berhak mendapat layanan saksama dalam setiap isu kemanusiaan.

Melalui usaha berterusan serta keikhlasan demi mengharap keredhaan Allah SWT untuk melihat lahirnya satu bangsa negara yang individunya mempunyai perwatakan yang unggul dengan kerjasama erat daripada semua pihak. Kita perlu merujuk semula Sahifah Madinah yang digubal pada zaman Rasulullah SAW kerana ia mengandungi ciri-ciri utama pembentukan suatu ummah. Ciri-ciri utama Sahifah Madinah jelas mengaplikasikan pembentukan suatu ummah yang terpadu melalui ikatan yang meliputi kesetiaan kepada Negara dan pucuk pemimpin, komited terhadap prinsip keadilan dan hak-hak manusia, serta iltizam ke atas tanggungjawab pertahanan dan keselamatan bersama. Perbezaan bangsa, agama dan adat resam tidak menghalang mereka untuk membentuk suatu ummah (bangsa).


5.3 Pengurusan Perbelanjaan Kerajaan: Trend perbelanjaan kerajaan persekutuan sudah sampai ke tahap yang membimbangkan untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Negara kita mengalami perbelanjaan defisit sepanjang 18 tahun berturut-turut sejak tahun 1998. Seandainya benar apa yang  diramalkan bahawa bajet seimbang hanya boleh dicapai pada tahun 2020, ini bermakna kita akan mengalami perbelanjaan defisit selama 22 tahun berturut-turut!

Dalam keadaan ini kita khuatir akan hal-hal berikut: Pertama, defisit fiskal yang terus-menerus meningkat dari RM21 billion pada tahun-tahun pra-2008 kepada antara RM35 billion hingga RM48 billion pada tahun-tahun pasca-2009 hingga kini. Kedua, pendekatan defisit fiskal sejak tahun 1998 sehingga kini menyebabkan hutang negara meningkat daripada di bawah RM90 billion (1997) kepada
RM630 billion (2015) – kenaikan sebanyak 600% atau 11.4% setahun. Ketiga, dalam 18 tahun kebelakangan ini, kita mengamalkan defisit fiskal tidak kira sama ada ekonomi negara berkembang rancak ataupun sebaliknya..

Kita memahami Teori Keynes tentang pentingnya defisit dalam bajet kerajaan untuk mengurus ekonomi negara. Tetapi kita perlu juga menekankan perlunya bajet seimbang untuk jangka panjang di antara 10 dan 15 tahun, iaitu dalam satu putaran ekonomi.


5.4 Keluarga pendokong kesinambungan dakwah: Keluarga merupakan unit yang paling kecil dalam sesebuah masyarakat, malah ia juga merupakan asas kepada sebuah tamadun. Islam amat memandang tinggi akan peranan institusi keluarga. Fungsi utama institusi keluarga adalah untuk menjamin wujudnya kelangsungan suasana amalan dan penerapan nilai-nilai Islam dapat berkembang
dalam jiwa dan sanubari setiap ahli keluarga. Selain daripada institusi yang menyemai kasih sayang di antara ahlinya ia juga merupakan madrasah kepada pembentuk sebuah umat yang akan meneruskan obor perjuangan dakwah Islamiah.

Mutakhir ini kita lihat institusi keluarga di negara kita ini berada dalam keadaan yang rapuh. Pelbagai masalah dan krisis keluarga timbul dan amat membimbangkan seperti perceraian, keganasan rumahtangga, gejala kehamilan luar nikah, jenayah sosial dan sebagainya. Kita seolah-olah sudah tidak selamat lagi berada di dalam masyarakat kini. Sebagai contoh konflik rumahtangga yang melibatkan perceraian mengikut data JKSM melibatkan sebanyak 53,887 kes (2014) manakala keganasan rumah tangga sejak tahun 2000-2012 melibatkan 42,499 kes. Bagi masalah dadah, walaupun kerajaan menyasarkan tahun 2015 sebagai Tahun Sifar Dadah tetapi bilangan penagih dadah baru yang dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada tahun 2015 ialah seramai 20,289, iaitu peningkatan sebanyak 13,605 orang penagih baru berbanding dengan tahun sebelumnya. Mengikut data KKM pula, pada tahun 2014 sebanyak 16,528 kehamilan remaja telah didaftarkan di fasiliti KKM, dan sebanyak 24% adalah kehamilan luar nikah.

Mutahir ini ini juga gejala pornografi melalui media sosial semakin berluasa. Kajian LPPKN pada 2014 mendapati bahawa 35.3% remaja terdedah kepada bahan lucah terutamanya daripada internet. Penggunaan pornografi secara berterusan akan membawa kepada banyak implikasi buruk. WADAH amat bimbang akan situasi ini. Memandangkan kesan negatif yang telah melanda dan menjejaskan umat khususnya institusi keluarga, WADAH menggerakkan kempen kesedaran “Sekeluarga Tolak Pornografi” atau STOP.

Kelestarian kehidupan manusia amat bergantung kepada keberkesanan jentera yang menjamin proses melahirkan umat yang berkualiti. Oleh yang demikian mewujudkan institusi keluarga yang berpaksikan syariat Islam amat penting dalam mendepani cabaran hidup masakini. Ibu dan bapa, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang sama dalam membentuk sebuah keluarga islami untuk melahirkan jundu Islamiyah dan para daei dan membangunkan masyarakat yang mempunyai keperibadian mulia,
daya intelektual tinggi dan amalan kerohanian yang mantap. Dalam usaha ini marilah kita dimulakan dengan keluarga kita sendiri.

Allah SWT berfirman dalam surah Nisa ayat 1:

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.


5.5 Tata Kelola Terbaik (Good Governance): Gerakan Islam amat peduli mengenai kepentingan mengurus dan mentadbir manusia, dana harta, ekonomi dan kemasyarakatan negara secara beramanah, berakhlak dan memenuhi prinsip “Maslahiy-maqasidiy.” Prinsip ini menegaskan bahawa menuntut semua yang berkuasa sama ada kuasa politik, kuasa eksekutif, kuasa legislatif atau apa jua bentuk kuasa yang diamanahkan supaya menunaikan tanggungjawab berteraskan suri teladan para nabi dan rasul serta pewaris yang mendukungi prinsip ini.

Dewasa ini, negara yang mempopularkan Orientasi Maqasid Syar’iyyah, dilanda hambatan yang menakutkan akibat kehilangan adab; merompak harta negara; gejala rasuah peringkat tertinggi; pembaziran dan ketirisan berskala besar, penyalahgunaan kuasa dan keadilan undang-undang; penguatkuasaan terpilih, penindasan ke atas kebajikan rakyat terutama golongan bawahan dan banyak lagi.

Semua fenomena ini menggugat dan menggusarkan kita kerana ia telah membariskan nilai integriti kepimpinan dan pengurusan di tahap yang amat membimbangkan. Impak besar di atas kebobrokan dan amalan keji ini telah menafikan prinsip dan objektif “hifzul al mal” yakni kekayaan dan kepentingan rakyat yang terpelihara dengan baik, bersih dan barakah. Ia tidak lagi mampu memberdayakan rakyat, bahkan mereka kini diperdayakan.

Sesungguhnya kita mestilah berkeyakinan untuk mengangkat wajah-wajah utama tata kelola terbaik iaitu Kepatuhan kepada undang-undang yang berpaksikan as-shura; Suri Teladan para nabi dan rasul berteraskan asas kekhalifahan; akauntabiliti, ketelusan; keadilan; ekuiti; dan al-amr bil ma’rufal wa nahi an al-mungkar. Tata kelola ini amat perlu kita ungkapkan secara meluas dan bijaksana kepada massa.

Allah swt berfirman dalam Surah al Maidah 5:8:

Mafhumnya: “Berlaku adillah, kerana [adil] itu itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Menyedari bahawa banyak cabaran yang menyentuh daya integriti yang perlu diharungi oleh kita kini, cabaran besar para pendukung WADAH ialah kita sendiri perlu juga segera menyelesaikan beberapa isu dalaman kita sendiri dalam aspek pengurusan institusi pendidikan, pengurusan ekonomi, pengrusan
hartanah dan sumber manusia kita sendiri. Kita perkukuhkan urus tadbir dalaman kita terutama yang
melibatkan ABIM dan WADAH. Marilah kita tampilkan kualiti dan budaya nilai kerja baharu dengan mengajak kepada aspek ketelusan, kecekapan, ketampakan (visibility) dan penerimaan (acceptability)
masyarakat mengenai kehadiran kita. Begitu juga dengan hambatan penyerlahan imej, maka kita harus mempunyai kepersisan dalam fokus tindakan kita agar setiap sumber mestilah menepati sasaran.


5.6 Agamawan dan Pembangunan umat: Umat perlu dibangunkan dari tidur. Membangunkan umat bukan seperti membangunkan sebuah bangunan, Pembangunan umat perlu kepada jatidiri dari “insan hidup” yang mempunyai karaamah insaniyyah. Pembangunan umat berkualiti perlu kepada insan ilmuan yang berintegriti: ruhiyyah sufiyyah sejati dan jasadnya pula jundiyyah yang hakiki. Mereka tersohor dengan ciri-ciri mereka iaitu a’lim, faqih, zuhud, a’bid, pejuang, pendakwah, bijak dan matang
dalam membuat keputusan. Mereka bukan ilmuan yang alim tetapi bacul; berani tetapi tidak kenal Allah; bermoral tetapi tidak berakhlak.

Contoh unggul yang dirakam di dalam al-Quran ialah Talut sebagai pemimpin pilihan. Dia terpilih bukan kerana kekayaannya tetapi kehebatan ilmu dan kekuatan jasadnya.

(Al Baqarah 247)

......”Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa......”.

Hari ini kita perlukan pembangun umat seperti Rubai bin Amir yang bertegas di hadapan Rustam pemimpin tentera Parsi. Beliau dengan tegas menjawab apabila ditanya oleh Rustam “kenapa kamu datang ke sini?” Rubai lantang menjawab: “Tuhan telah mengutus kami untuk membebaskan siapa yang mahu daripada menjadi hamba manusia kepada hamba Allah, dari kesempitan dunia kepada
keluasan dunia dan akhirat dan dari ketidakadilan agama-agama lain kepada keadilan Islam......”

Abu Zakaria Yahya Ibn Sharaf al Nawawî (imam Nawawi) juga contoh unggul ilmuan tegas dan berani berdasarkan ilmu dan hujah. Beliau bertegas dengan fatwanya bahawa pemerintah tidak ada hak untuk mengambil harta rakyat walau untuk tujuan mempertahankan negara dari serangan musuh. Selagi kemewahan raja yang memerintah tidak diambil dahulu, jika harta pemerintah sudah dikorbankan maka ketika itu barulah harta rakyat boleh diambil. Dalam kes ini beliau dibuang negara oleh pemerintah pada zamannya, iaitu Sultan Malikuzzahir.


5.7 ICT teknologi - Maslahah dan Mafsadah: ICT bagaikan pisau; ia boleh mengupas buah-buahan dan ia juga boleh membunuh nyawa yang tidak berdosa. ICT selalunya dirujuk kepada Hardware dan Software tetapi komponen yang paling penting sebenarnya ialah “heartware” yang dapat menentukan baik atau buruk penggunaan ICT itu. Penggunaan teknologi ICT termasuk media sosial seperti facebook, Instagram dan Whatsapp yang berleluasa, tidak bersempadan dan tidak terkawal adalah isu yang penting untuk kita tanggani.

Begitu juga dengan pelbagai aplikasi digital yang boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan. Aplikasi permainan alam maya seperti Pokemon GO telah dibangunkan oleh John Hanke, orang yang bertanggungjawab membina Google Earth, Google Map dan Google Street iaitu applikasi yang dapat
mengumpul maklumat setiap jalan dan bangunan. Aplikasi-aplikasi permainan dan hiburan di alam maya, seperti juga permainan dan hiburan di alam nyata perlu kita pantau penggunaannya supaya tidak membawa keburukan.

Penggunaan ICT yang bermanfaat sepatutnya dipupuk dan dididik di kalangan masyarakat. Jurang Digital di kalangan masyarakat seharusnya dikurangkan dan connectivity pada setiap peringkat masyarakat sepatutnya disebarluaskan sehingga tidak ada masyarakat yang tertinggal. Tanpa connectivity yang luas dan dengan adanya jurang digital yang dalam, masyarakat tidak boleh menjadi
Smart Citizen dalam Smart City dalam negara Smart Government.

Untuk menuju ke arah masyarakat smart ini, kita perlu membangunkan Masyarakat Madani yang menggunakan ICT berdasarkan prinsip-prinsit tertentu seperti menegakkan Kebenaran melalui ICT, menggalakkan Budaya Ilmu dalam penggunaan ICT, Mencari Kebahagian yang selari dengan Islam dengan ICT dan akhirnya Menggalakkan Amal Soleh dengan menggunakan ICT. Teknologi adalah sesuatu yang harus dimanfaatkan demi kemajuan hidup. Namun penggunaan tanpa batasan akan melahirkan generasi yang pelik dan yang mati rasa hati.

Gerakan Islam seharusnya mencipta sistem persekitaran yang baik dalam membentuk generasi muda. Sistem persekitaran yang baik adalah sistem yang mampu membangunkan jasmani, rohani, moral dan
intelektual generasi muda melalui ilmu yang benar. Akhirnya sistem sokongan ini berkemampuan membangunkan otak dan watak generasi muda iaitu generasi yang hatinya sentiasa rindu kepada
agama, dan jiwanya sentiasa mendesak untuk menyumbang kepada umat manusia.


6.0 Merintis Agenda Kejayaan

6.1 Optimisme dalam Perjuangan: Al-Quran mengajar kita agar sentiasa optimis tentang masa depan dan kejayaan umat Islam. Kita diwajibkan untuk berusaha dan berjihad sedangkan natijah bilakah hasil dan kemenangan akan tercapai, itu bukan urusan kita. Ia adalah dalam pengetahuan Allah SWT dan hak mutlak Allah SWT untuk menentukan bila, di mana dan bagaimana. Apa yang pasti, Allah akan memberi kemenangan kepada umat Islam.

As-Saff 61:9
Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

An-Nur 24:55
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW pula, sirahnya sarat dengan optimisme akan kemenangan Islam. Ketika Baginda bergelut dalam Perang Khandak pada tahun ke-5 Hijrah, Baginda meramalkan dalam sebuah hadith mengenai kejatuhan salah satu kota besar zaman tersebut iaitu Kota Konstantinopel. Siapa pun tidak terbayang bahawa kuasa besar itu akan jatuh ke tangan umat Islam. Namun ia menjadi realiti 852 tahun kemudian apabila Sultan Muhammad Al-Fatih membukanya pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awwal 857 Hijrah.

Begitu juga jika menelusuri sejarah perjuangan mujahid dakwah kontemporari abad 20, Badiuzzaman Said Nursi ketika berjuang mempertahankan akidah bangsa Turki dari badai sekularisme, beliau tidak pernah putus asa walau dalam kesukaran. Beliau tetap optimis akan kemenangan Islam. Beliau sempat melihat kejayaan hasil perjuangannya 10 tahun terakhir hidupnya bila Parti Demokrat pimpinan Adnan Menderes menang dalam Pilihanraya Umum di Turki pada tahun 1950. Azan kembali berkumandang dalam Bahasa Arab setelah 18 tahun dilaungkan dalam Bahasa Turki dan Al-Quran kembali diajar secara terbuka.


6.2 Menggalas Perjuangan dengan Wawasan Ummatik: Perjuangan dakwah sejak dulu hingga sekarang adalah untuk menyelamatkan umat daripada kesesatan dan menggembalikan mereka ke jalan yang benar. Ini adalah tugas dan tanggungjawab para anbiya dan mursalin. Gerakan Islam adalah penyambung mata-rantai perjuangan ini yang terangkum dalam suatu wawasan ummatik yang bermaksud bahawa umat harus menjadi paksi kepada segala kegiatan dakwah dan islah.

Al-Quran menegaskan lima ciri ciri penting yang menjadi asas kepada Wawasan Ummatik ini iaitu Hamba Allah (Ad Zhariyat 51:56), Khalifah Allah (Al Baqarah (2:30), Umat Terbaik (Ali Imran 3:110), Umat Adil (Al Baqarah 2:143) dan Rahmat Sekalian Alam (Al-Anbiya 21:107)


6.3 Merubah Generasi demi Merubah Dunia: Dalam sejarah kebangkitan Islam tahun 70-an, ternyata yang menjadi pelopor utamanya ialah generasi muda yang umumnya berlatarbelakang pendidikan profesional dan sekular. Generasi ini bangkit hampir serentak di seluruh dunia, terangkai dalam suatu kesatuan fikrah dan semangat untuk menggembalikan Al- Islam ya’lu wala yu’la ’alayh.

Apa yang kita lihat hari ini ialah hampir kesemua pemimpin Gerakan Islam yang memimpin dalam pelbagai kapasiti, baik sebagai pemerintah atau selainnya adalah generasi kebangkitan tahun 70- an tersebut. Tokoh seperti Recep Tayyib Erdogan, Abdullah Gul, Ahmet Davutoglu (Turki); Anwar Ibrahim, Siddiq Fadzil (Malaysia; Amien Rais, Jusuf Kalla (Indonesia); Rached Ghannoushi (Tunisia); Ibrahim Sanusi, Abdul Rahim Ali (Sudan); Ahmad Totonji, Abu Hamid Abu Sulayman, Hisham Talib (Saudi Arabia dan Amerika Syarikat; Ebrahim Moosa dan Ebrahim Rasool (Afrika Selatan) dan ramai lagi adalah antara generasi yang mencetuskan kebangkitan Islam di awal tahun 70-an. Nyata sekali, generasi ini telah banyak melakukan perubahan sosial ke arah dunia yang lebih Islami dengan peranan yang berbagaibagai. Justeru, agenda membina generasi harus sentiasa menjadi tumpuan utama Gerakan Islam.


6.4 Transformasi Gerakan Islam: Dr.Hisham Al-Talib tokoh yang banyak terlibat didalam mencetuskan kesedaran Islam di seluruh dunia telah mengajak kepemimpinan Gerakan Islam untuk bermuhasabah diri dengan menilai struktur dan amalan Gerakan Islam selama ini agar ia dirubah atau ditransformasi supaya bersesuaian dan relevan dengan perkembangan zaman yang bercirikan kecepatan dan ketangkasan dalam membuat keputusan.

Era digital dan ledakan maklumat memungkinkan keputusan syura dibuat secara online dan global. Sistem kepemimpinan ala Sheikh, Mursyidul ’Am, Hoca, Amir atau apa nama sekalipun yang mana proses membuat keputusan berpusat kepada Sheikh, dengan anggapan yang Sheikh mengetahui segala hal sudah berlalu. Proses pengupayaan atau empowerment pemimpin dipelbagai lapisan organisasi dalam membuat keputusan operasional adalah realiti kini. Gerakan Islam harus responsif kepada perkembangan zaman. Justeru, struktur organisasinya mesti berubah daripada ’highly structured’ kepada ’highly decentralized and democratized’.

Carne Ross, bekas diplomat kanan British dalam bukunya “The Leaderless Revolution. How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century”, menyatakan bahawa kuasa rakyat, jika digembeling atas isu yang menjejas kepentingan mereka, mampu menjadi suatu kekuatan baru untuk merubah politik negara walau tanpa pemimpin terkenal. Ini menggambarkan perubahan cara fikir
generasi baru mengenai rakyat dan pemerintah dan perubahan sosial.


6.5 Islamophobia dan cabaran menangganinya: Usaha untuk memburuk-buruk citra Islam atau Islamophobia dengan tujuan menyekat perkembangan Islam ke seluruh dunia semakin meningkat khususnya alam maya. Serangan bersifat keilmuan atau intelektual terhadap segala prinsip Islam yang murni seperti Syariah Islam, Negara Islam, Kedudukan wanita dalam Islam termasuk sejarah Islam yang sarat dengan tafsiran negatif dan jahat digembargemburkan sebagai fakta dan kenyataan.

Justeru, para Intelektual Islam harus digembeling dan diperkasa agar serangan ini dapat dipatahkan. Contohnya, isu LGBT cuba dipaksakan penerimaannya oleh negara Islam atas dasar hak asasi manusia. Begitu juga soal Syariah Islam, Hak Murtad atas dasar kebebasan agama, dan hak menghina Islam atas dasar kebebasan berfikir dan berpendapat.

Tokoh-tokoh seperti Bernard Lewis, Daniel Pipes, Doughlas Feith, Paul Wolfowitz, kesemuanya berbangsa Yahudi yang begitu berpengaruh di kalangan para Intelektual Barat dan pembuat dasar Amerika Syarikat sentiasa menimbulkan keraguan dan pandangan buruk terhadap Islam dan penganutnya.

Apakah dunia Islam mampu untuk melahirkan para Intelektual yang setanding dengan mereka dan mampu berhujah dan berdebat dengan mereka bagi mempertahankan kesucian agama Islam? Setakat ini tokoh seperti Tariq Ramadan banyak menanggani isu Islamophobia ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai tokoh seperti beliau.


6.6 Keperluan kepada Ijtihad dan Fiqh Baru: Sheikh Yusuf Al- Qaradawi, telah menyatakan tentang keperluan mendesak untuk ijtihad baru dan fiqh baru bagi menanggani isu-isu kontemporari umat Islam yang semakin rencam.

Isu seperti Dar Al-Harb (negara yang boleh diperangi) dan kaitannya dengan Kafir Harbi (orang kafir yang boleh diperangi) yang menjadi polemik hangat dalam negara ini boleh diselesaikan jika teks klasik berdasarkan ijtihad ulama silam ketika zaman Futuhat Islam, zaman Daulah Islam mengembangkan wilayah pengaruh Islam dengan peperangan melawan negara bukan Islam, dapat dilihat dalam konteks dan realiti semasa.

Ijtihad baru berdasarkan Fiqh kontemporari sebagaimana yang disarankan oleh Sheikh Qaradawi seperti Fiqh Al- Awlawiyyat (Faham Keutamaan), Fiqh Al-Muwazanah (Faham Pertimbangan Untung-Rugi), Fiqh Al-Sunan (Faham Memahami Sunnah), Fiqh Al-Ikhtilaf (Faham berbeza Pendapat), Fiqh Maalat (Faham Kesan dan Akibat), Fiqh Al- Muwatinun(Faham Kewarganegaraan), Maqasid Syar’iyyah, Siyasah Syar’iyyah adalah antara cara fikir baru yang sedang giat berkembang bagi mencetuskan ijtihad baru bagi menanggani permasalahan umat. Para ulama dan intelektual harus digembeling supaya terus mengkaji secara mendalam mengenai hal-hal sebegini berbanding terus bergantung kepada teks klasik yang mungkin sudah tidak relevan lagi.


6.7 Menggarap Politik Perubahan atas kebenaran dan keadilan:
Negara kita telah melalui krisis politik yang panjang khususnya sejak pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan sejak 1998. Sejak itu, krisis poltik semakin meruncing sehingga kedudukan umat Islam semakin berpecah dan lemah. Kualiti kepemimpinan negara semakin merosot kerana bukan terbaik yang dipilih untuk memimpin tetapi penyokong setia yang diberi keutamaan walaupun banyak cacat dan celanya. Isu rasuah semakin mengakar dalam pemerintahan sehingga mengaibkan negara di mata dunia. Soal Tata kelola atau governans banyak dibicara, namun kelihatan cantik diatas kertas, tapi jelek di peringkat perlaksanaan. Soal penderitaan rakyat semakin kronik akibat kenaikan harga barangan yang mendadak dan suasana ekonomi yang suram. Gejala sosial, kadar perceraian, hubungan ras yang semakin tajam adalah antara kesan dari kepemimpinan yang lemah, tidak berkualiti.

Justeru, WADAH berpandangan bahawa kesemua ini ada kaitannya dengan kepemimpinan negara yang lemah dan tidak berdaya. Suatu permuafakatan Nasional yang melibatkan semua pihak dari Istana, pemimpin politik pemerintah dan pembangkang, para ulama dan agamawan, pemimpin Badan Bukan Kerajaan harus digembeling bagi mencari jalan keluar kepada kemelut yang melanda. Lapan belas tahun dilanda krisis adalah waktu yang sangat panjang. Seorang anak yang lahir pada tahun 1998, sudah pun berumur 18 tahun. Hidupnya dilatari konflik dan pertelagahan. Ini semua harus dihentikan segera. Kesemua pihak harus berjiwa besar dan meletakkan kepentingan umat dan negara melebihi kepentingan peribadi dan kelompok atau parti.

Anwar Ibrahim harus dibebaskan segera kerana pertuduhan yang cukup mengaibkan maruah diri dan keluarga telah dijadikan senjata politik untuk menjatuhkan karier politiknya. Rakyat telah menolak pendekatan politik lucah dan fitnah ini dengan menyokong Parti Pembangkang sehingga dapat memerintah lima buah negeri  dalam Pilihanraya Umum 2008. Begitu juga dalam Pilihanraya Umum 2013, Gabungan Parti Pembangkang, Pakatan Rakyat telah berjaya mendapat majoriti undi popular berbanding Barisan Nasional buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya umum negara sejak merdeka. Pakatan Rakyat mendapat 50.87 peratus undi popular berbanding Barisan Nasional mendapat 47.38 peratus.

Atas nama kebenaran dan keadilan, WADAH menyeru agar semua pihak berjiwa besar, bersedia mengetepikan keegoan masing-masing, dan duduk semeja mencari jalan keluar dari kemelut ini demi maruah negara dan generasi akan datang.


7.0 Khatimah

WADAH telah memasuki tahun ke-10 penubuhannya. Sebagai wadah pasca ABIM, sudah tentu WADAH yang kaya dengan khazanah pengalaman jatuh bangun perjuangan dan pengorbanan untuk mengangkat martabat umat semakin yakin untuk melangkah  mengharungi masa depan dan cabaran mendatang.

Pengajaran yang penting daripada pengalaman kita ialah walau apapun cabaran yang datang, kita mesti menanganinya dengan iman yang kental dan kesabaran yang tinggi. Memang cabaran akan tetap
ada bagi setiap individu sehinggalah individu itu menemui Sang Pencipta dengan sebuah kematian. Namun selagi hayat dikandung badan, kita wajib berjuang dan berkorban demi perjuangan Islam yang suci ini.

Nabi Ibrahim tidak mengetahui bahawa api yang sepatutnya membakar, menjadi sejuk ketika dihumban ke dalam unggun api untuk membakarnya oleh Namrud. Namun imannya kepada Allah yang tidak tergugat hatta sebesar zarrah yang menyejukkan api tersebut. Begitu juga Nabi Musa a.s. tidak mengetahui bahawa Laut Merah boleh terbelah dua bagi menyelamatkannya dan Bani Israel dari buruan Firaun dan tenteranya. Imanlah yang menyelamatkannya. Begitu janji Allah dalam ayat Al-Quran,

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad 47:7)

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Siddiq Fadhil di atas kepemimpinannya sebagai Presiden WADAH selama tiga penggal sejak tahun penubuhan pada tahun 2005. Ustaz Siddiq merupakan tokoh yang instrumental di dalam membentuk kerangka intelektual dan keilmuan WADAH. Semoga peranan baru beliau sebagai Ketua Majlis Istisyari bakal mengukuhkan WADAH sebagai gerakan keilmuan dan pencerdasan.

Selamat bermuktamar, selamat berseminar semoga kesemuanya mendapat redha Allah SWT jua.


Rujukan:-
1. Al-Ghazali (2000) Peringatan Bagi Penguasa Agar Kekuasaan Tidak Menjadi Korup, Jakarta: Penerbit Hikmah
2. Carne Ross (2011), The Leaderless Revolution How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century, Simon & Schuster
3. Henry Kissinger (2014) World Order, Penguin Press
4. K.S Nathan & Mohammad Hashim Kamali (2005) Islam in Southeast Asia Political, Social and Strategic Challengers for the 21st Century, Singapura : Institute of Southeast Asian Studies
5. Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2001) Risalah Untuk Kaum Muslimin, Kuala Lumpur: ISTAC
6. Yusuf Al-Qaradhawi (2006) Fiqih Maqashid Syariah, Jakarta: Pustaka Al-Kautsar
7. Yusuf Al-Qaradhawi (2003) Kebangkitan Gerakan Islam Dari Masa Transisi Menuju Kematangan, Jakarta: Pustaka Al-Kautsar
8. Yusuf Al-Qaradhawi (1998) Generasi Mendatang Generasi Yang Menang, Kuala Lumpur : Al Hidayah Publishers



Amanat Pimpinan
Ahmad Azam Ab Rahman
Muktamar Nasional Kesepuluh
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
3 dan 4 September 2016 / 1 dan 2 Zulhijjah 1437

Kolej Dar al Hikmah & Hotel Bangi-PutraJaya

No comments: