MUKNAS10
MELAWAN BUDAYA TAKUT:
DAKWAH
DAN
PEMBERDAYAAN UMAT
Siddiq
Fadzil
(Pidato
Sambutan Muktamar Nasional ke-10, Wadah
Pencerdasan
Umat
Malaysia , 4hb September 2016, Hotel Bangi-Putrajaya).
Muktamar
Nasional ke-10 menghantarkan kita memasuki dekad kedua dalam pembabakan sejarah
WADAH sebagai gerakan pencerdasan dan pencerahan. Hari ini kita merakamkan suatu kesaksian bahawa wadah tercinta ini telah mencipta
prestasi yang cukup bererti, khususnya dalam konteks daerah lingkaran dakwah yang lebih luas dan
inklusif. Dengan semangat rahmatan li al-`alamin kita rentasi
sempadan kaum, kita lintasi batasan
agama. Komunikasi dan dialog dengan
masyarakat bukan Islam sedang memasuki tahap yang lebih intensif dan ekstensif. Memang kita adalah umat ukhrijat li al-nas, umat
yang ditampilkan untuk menyantuni warga kemanusiaan sejagat.
Menangani Pluraliti
Dalam
melaksanakan misi dakwah pencerdasan dan pencerahan kita selamanya dipandu fiqh al-waqi`, fiqh realiti kemalaysiaan dengan segala keunikannya. Apa yang selama ini kita sebut manhaj maliziy dalam pendakwahan
sebenarnya tidak lain adalah sejenis fiqh kontekstual yang terhasil dari dialektika
teks dengan konteks, dialog nass dengan
waqi`. Antara realiti yang sentiasa kita
perhitungkan ialah hakikat kemajmukan
atau pluraliti masyarakat Malaysia
yang menuntut kefahaman yang mendalam tentang fiqh al-ta`addudiyyah (fiqh pluraliti) yang meliputi persoalan hak
kebebasan beragama, hak asasi manusia, prinsip keadilan, nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan
seterusnya tata susila kesantunan hidup
berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kemajmukan masyarakat Malaysia adalah lahan paling subur
untuk menumbuhkan fiqh al-ta`ayush atau
fiqh co-existence dalam pengertian tata aturan hidup
berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga
pelbagai agama dan budaya. Yang harus
kita bina di Malaysia
ketika ini bukan fiqh al-harb (fiqh
perang), tetapi fiqh al-ta`ayush. Gagasan
ini harus kita tekuni dengan serius.
Memang kitalah yang harus mempeloporinya. Dalam kaitan ini kita tidak boleh melupakan
fakta
kepeloporan Sdr. Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai penggagas pertama projek Islam dan
pluraliti sebagaimana yang
diungkapkannya dalam Ucapan Dasar Presiden ABIM tahun 1979, Islam –
Penyelesaian kepada Masalah Masyarakat Majmuk..
Pidato
kepresidenan yang diucapkan 37 tahun yang lalu itulah yang menjadi asas
pengembangan wacana Islam dan kemajmukan hingga hari ini. Dari sanalah berpangkalnya gagasan pembinaan
bangsa Malaysia
berasaskan formula dasar “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan” dengan Piagam Madinah sebagai acuan. Gagasan
yang berteraskan konsep ummah
siyasiyyah yang inklusif ini adalah sebahagian daripada usaha membawa Islam
ke arus perdana dan berperanan positif dalam proses nation building.
Pemugaran Wacana Maqasid
al-Shari`ah
Bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim kita telah berusaha
menyegarkan wacana maqasid al-shari`ah di
tengah umat. Kesungguhan beliau dalam pengembangan al-fikr
al-maqasidiy (pemikiran berasaskan maqasid) memang cukup jelas. Dalam siri wacana jelajah maqasid beliau
banyak mempromosikan pemikiran maqasidi al-Shaykh Muhammad al-Tahir ibn
`Ashur (tokoh pembangkit kesedaran baru
tentang kepentingan maqasid al-shari`ah pertengahan
abad 20). Malah dalam pidato-pidatonya
sebagai pengasas dan penggagas World Forum for Muslim Democrats, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sentiasa
menggarisbawahi peranan maqasid
al-shari`ah sebagai landasan amalan demokrasi dan tatakelola yang baik (good governance). Seiring
dengan komitmen maqasidi Dato’ Seri Anwar, kita juga sedang serius menekuni kajian al-maqasid,
termasuk usaha pengemasan maqasid al-shari`ah sebagai nilai-nilai
sejagat. Kita promosikan nilai-nilai
sejagat maqasid sebagai jambatan
penghubung antara pelbagai kaum, agama dan budaya. Justeru,
sebagaimana yang disebut oleh
al-Shatibiy (Shaykh al-maqasid)
bahawa maqasid al-shari`ah yang terumus pada al-kulliyyat atau al-daruriyyat
yang lima
itu adalah kesepakatan seluruh umat dan semua agama. Selain itu kita juga memberikan komitmen
dukungan kepada hasrat kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan maqasid al-shari`ah sebagai landasan
segala dasar pentadbirannya.
Moral Politik dan Pemberdayaan Rakyat
Muknas ke-10
menjadi sangat penting kerana ia berlangsung di tengah kemelut moral politik
yang terjelma dalam praksis “mentang-mentang berwewenang, lalu berperilaku sewenang-wenang”, merosak trias
politica (prinsip pemisahan kuasa lagislatif, eksekutif dan kehakiman), memperalat institusi perundangan negara untuk
memenjara dan mendera saingan politik,
menghukum pegawai-pegawai kerajaan yang setia melaksanakan prinsip dan
nilai integriti, memfitnah dan
melakukan character assassination, menyalahgunakan dana
rakyat dalam jumlah bilionan ringgit sehingga
menjadi aib nasional, melakukan pemborosan
wang rakyat untuk membiayai selera gaya hidup mewah orang-orang tertentu, dan pelbagai skandal lain yang tidak terhitung
banyaknya. Semuanya berlaku di tengah ketidakberdayaan
rakyat bertindak sebagai kekuatan massa pencegah
kemungkaran. Rakyat yang telah
dilumpuhkan kekuatannya, dikacau-bilaukan nilai-nilai hidupnya dan dirosakkan
kemanusiaannya, gagal menjadi effective citizens. Segala yang menimpa negara dan rakyat
ketika ini mengingatkan kita kepada puisi
W.S.Rendra tentang Indonesia
pada penghujung abad lalu. Antara bait-bait puisi panjang yang berjudul Kesaksian
Akhir Abad itu:
O, Indonesia !
Ah, Indonesia !
Negara yang kehilangan
makna!
Rakyat sudah dirusak asas tatanan hidupnya.
Berarti sudah dirusak dasar peradabannya.
Dan akibatnya dirusak pula kemanusiaannya.
Maka sekarang negara tinggal
menjadi peta
itu pun peta yang lusuh
dan hampir sobek pula.
Pendangkalan kehidupan bangsa
telah terjadi.
Tata nilai rancu.
Dusta, pencurian, penjarahan,
dan kekerasan halal.
Manusia sekadar semak belukar
yang gampang dikacau dan dibakar.
Paket-paket pikiran murah
dijajakan.
Penalaran amarah yang salah
mendorong rakyat terpecah belah.
Kemelut yang
sedang menimpa negara ini bukan lagi urusan eksklusif parti-parti politik. Tetapi sudah seharusnya menjadi keprihatinan seluruh rakyat, termasuk pertubuhan-pertubuhan dakwah, badan-badan advokasi dan seluruh warga
masyarakat madani. Dalam hubungan inilah
kritikalnya peranan gerakan dakwah tampil sebagai kekuatan massa umat.
Dakwah sebagai gerakan kerakyatan bukan sekadar kegiatan rutin
ceramah-ceramahan, atau sekadar penghias
upacara kenegaraan: Maulid al-rasul,
Ma`al hijrah dan lain-lain sejenisnya.
Untuk menjadi a religio-cultural
force yang berimpak besar, gerakan dakwah seharusnya memberikan tumpuan pada agenda pemberdayaan rakyat. Justeru,
selama ini rakyat telah dilemahkan
dan dilumpuhkan sedemikian rupa sehingga tidak mampu berbuat apa-apa terhadap segala kemungkaran yang leluasa
berlaku di hadapan mata. Keberanian dan
daya lawan mereka hilang setelah sekian lama terbelenggu dalam cengkaman budaya
takut (culture of fear).
Melawan Budaya Takut (Culture of Fear)
Budaya takut
adalah projek orang-orang politik untuk mendapatkan dukungan dengan cara
menakut-nakutkan rakyat. Memang
definisi konvensional culture of fear ialah
the concept that people may incite fear
in the general public to achieve political goals through emotional bias. Dalam bukunya The Culture of Fear, Barry
Glassner menyebut ahli-ahli politik sebagai salah satu kelompok the peddlers of fear. Rasa takut yang membudaya tidak hanya akibat
propaganda politik, malah seringkali
akibat ancaman, penindasan dan penderaan oleh pihak berkuasa. Budaya
inilah yang telah mengecil dan mengerdilkan
rakyat, sehingga kata “rakyat”
selalu dirangkaikan dengan kata “kecil”, lalu menjadi “rakyat kecil”. Ironis memang, ada istilah “rakyat kecil”, tetapi tidak ada istilah “rakyat besar”. Bagaimana rakyat boleh mengecil, dan sebaliknya kerajaan menjadi begitu besar,
sedang slogan yang selalu dikumandangkan adalah “kerajaan rakyat, oleh rakyat,
untuk rakyat”? Dalam kaitan inilah
pentingnya tulisan al-Raysuniy, al-Ummah Hiya al-Asl, bahawa yang sebenarnya menjadi induk dan tonggak adalah umat (rakyat), sedang kerajaan hanya alat pelaksana kemahuan
umat.
Dalam rangka
pemberdayaan rakyat inilah gerakan dakwah harus mampu menjadi kekuatan pembebas
dari budaya takut. Yang pertama harus
dibebaskan dari budaya takut tidak lain adalah para pendakwah sendiri. Misi Islam sebagai agama pembebasan tidak
akan terlaksana di tangan pendakwah-pendakwah penakut. Ciri pendakwah sejati adalah tidak takut kepada siapa pun dan apa
pun selain Allah. Demikianlah pemerian
al-Qur’an tentang watak para pengemban
risalah Tuhan:
(iaitu)
orang-orang
yang menyempaikan risalah-risalah Allah,
mereka takut kepada-Nya dan tidak merasa takut kepada siapa
pun selain Allah.
Dan cukuplah Allah
sebagai Pembuat
perhitungan. (Al-Ahzab:39.)
Pembinaan etos
dan watak bangsa harus diangkat menjadi agenda utama, dengan memugar nilai-nilai unggul terutama nilai al-shaja`ah (keberanian)
yang semakin pupus ditindih dan ditindas budaya takut. Tanpa keberanian, tidak akan ada perubahan. Maklumat tentang kebobrokan yang
berlaku - sebanyak mana dan selengkap mana pun - tidak
akan dapat merubah sikap rakyat selagi mereka masih terbelenggu dalam budaya
takut. Demikianlah yang terjadi kepada
rakyat Mesir zaman Nabi Musa (`a.s.). Mereka
hadir beramai-ramai pada yawmu al-zinah di lokasi perlawanan antara Musa `a.s. dengan ahli-ahli sihir
Fir`awn, dan mereka menyaksikan dengan
mata terbelalak kemenangan mutlak Musa
`a.s. yang sekali gus membuktikan kebenaran kerasulannya. Tetapi
mereka tetap tidak berani beriman
kerana takut kepada Fir`awn dan pendukung-pendukungnya. Budaya takut yang dibina oleh pemerintahan
Fir`awn dan kesannya ke atas rakyat itu
disebut dalam al-Qur’an:
Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, selain
keturunan
dari kaumnya dalam keadaan takut bahawa Fir`awn dan para
pemuka (kaum)nya akan
menyiksa mereka. Dan sungguh,
Fir`awn itu benar-benar
telah berbuat
sewenang-wenang di
bumi, dan benar-benar termasuk
orang yang melampaui batas.
(Yunus:83).
Begitulah
hakikatnya, kebenaran yang terbukti
sedemikian jelas tidak dapat merubah sikap (mengalihkan dukungan dari Fir`awn
kepada Musa `a.s.) semata-mata kerana takut.
Damir dan hati nurani mereka seolah-olah
telah mati ditindas ketakutan. Kerana
itu gerakan pemberdayaan harus berpangkal dari perjuangan menghidupkan hati
nurani umat dengan iman dan pencerahan.
Al-Qur’an memberikan kita keyakinan bahawa hati yang mati boleh
dihidupkan kembali (dengan izin Allah):
Dan apakah orang yang sudah mati lalu Kami hidupkan dan
Kami beri dia cahaya yang membuatnya
dapat berjalan di
tengah-tengah orang banyak, sama
dengan orang yang berada
dalam kegelapan, sehingga dia tidak dapat keluar dari sana ?
Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang kafir
terhadap apa yang mereka kerjakan. (Al-An`am:122).
Optimisme bahawa hati yang mati boleh hidup kembali
terungkap juga dalam bait-bait puisi Rendra seterusnya:
Negara tak mungkin diutuhkan
tanpa rakyatnya dimanusiakan.
Dan manusia tak mungkin menjadi manusia
tanpa dihidupkan hati nuraninya.
Hati nurani adalah hakim adil
untuk diri kita sendiri
Hati nurani adalah sendi
dari kesadaran
akan kemerdekaan peribadi.
Dengan puisi ini aku bersaksi
bahwa hati nurani itu
meski dibakar
tidak bisa menjadi abu.
Hati nurani senantiasa bisa bersemi
meski sudah ditebang putus di batang.
Begitulah fitrah manusia
ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.
Apabila
al-Qur’an menyebut, “…dan Kami beri dia
cahaya yang membuatnya dapat berjalan di tengah-tengah orang banyak,…” maksudnya adalah pencerahan nur hidayah Qur’ani, yang dengannya manusia dapat melihat segalanya dalam wajah dan
hakikat sebenarnya. Manusia yang enlightened setelah mengalami pencerahan
Qurani tidak akan tertipu dengan Fir`awn yang berwajah Musa, atau Qarun yang
berwajah Harun. Manusia yang enlightened tidak akan mengkhianati suara hati nuraninya sendiri. Mereka menyikapi dan melayani manusia
mengikut martabat, kualiti dan posisi hakikinya. Mereka tidak akan melayani menteri sebagai
selebriti yang didewa dan dipuja,
sebaliknya sebagai pelaksana amanah rakyat yang harus diminta
pertanggungjawabannya, termasuk akaun
peribadinya, “min ayna laka hadha?” (dari
mana kau perolehi ini semua?). Pertanggungjawaban seperti itulah yang
dilakukan oleh Amir al-Mu’minin `Umar ibn al-Khattab r.`a. ketika dituntut
penjelasannya tentang bajunya yang berukuran melebihi ukuran baju orang lain. Sesuai dengan amalan kepimpinan yang telus (transparent leadership) beliau layani
tuntutan tersebut dengan fakta dan data,
nothing to hide yang memuaskan
semua, bahawa beliau tidak mengambil hak
orang lain. Lebihan kain bahan bajunya
yang dipermasalahkan itu adalah jatah (habuan) anaknya sendiri yang dengan rela
diberikan kepada ayahnya yang bertubuh besar sehingga memerlukan tambahan bahan
bajunya.
Demikianlah suatu
catatan abadi tentang ketulusan dan ketelusan pemimpin, tentang keberanian dan
kebebasan umat; suatu kesaksian sejarah
tentang daulat rakyat yang setianya
bersyarat. Sejarah tersebut pada
hakikatnya adalah sejarah kita sebagai umat,
sejarah yang terukir ketika umat memiliki hati nurani dan jiwa
merdeka. Sudah saatnya umat ini
dimerdekakan dari indoktrinasi fiqh
al-istibdad (fiqh penindasan), dan
dimanusiakan menerusi fiqh al-taharrur (fiqh
pembebasan).
Dakwah Memerangi Rasuah
Hanya dengan
hati nurani yang hidup dan jiwa merdeka yang peka, rakyat mampu mencegah segala
bentuk kezaliman dan kemungkaran,
terutama rasuah yang kini kian membarah.
Perbuatan keji itu tampaknya tidak lagi dilakukan sendiri-sendiri dan
sembunyi-sembunyi, tetapi sudah wujud
gejala “rasuah secara berjamaah”.
Gejala sedemikian itulah yang diungkapkan oleh Rendra lewat puisinya, Pantun
Koruptor:
Terang bulan terang di kali,
Buaya timbul disangka
kiyai,
Katanya ada reformasi,
Nyatanya tetap korupsi di sana-sini.
Kalau ada sumur di ladang,
Jangan diintip gadis yang mandi,
Koruptor akalnya panjang,
Jaksa dan hakim diajak kompromi.
Berburu ke padang
datar
Dapat janda belang di kaki
Koruptor sakit diizin bersiar,
Wang rakyat dibawa lari.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenangnya kapan-kapan,
Maling kecil sakit melulu,
Maling besar dimuliakan.
Kura-kura dalam perahu,
Buaya darat di dalam sedan,
Wakil rakyat jangan ditiru,
Korupsinya edan-edanan.
Si tukang riba disebut lintah darat,
Si hidung belang disebut buaya darat,
Pedagang banyak hutang itulah konglomerat,
Mereka yang berhutang, yang bayar lha kok rakyat!
Aduh cantiknya si janda kembang,
Sedap menyanyi si jali-jali,
Hujan emas di rantau orang,
Hujan babu di negeri sendiri.
Khatimah
Kita berkongsi
keprihatinan dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang rasuah yang begitu leluasa
dalam kalangan kerajaan-kerajaan pimpinan orang Islam. Katanya, “Indeed,
it is ironic that corruption (which is the worst form of the abuse of trust)
and abuse of power continue to be among the ‘notorious hallmarks’ of most Muslim governments.” Kita sahut seruan beliau agar rakyat
diselamatkan kemanusiaannya dengan memperjuangkan keadilan sosial. Justeru,
tanpa keadilan sosial manusia akan kehilangan kemanusiaannya, “Absent
of social justice, the poor get poorer, the weak become weaker while the rich
become richer and the strong, even stronger.
A vicious cycle follows going beyond material inequities, those at the short end of the social stick
are then threatened at the core. This
strikes at the very heart of being human
- the dignity of man.”
Rujukan:
Al-`Abd
al-Karim, Muhammad. 2013. Tafkik al-Istibdad:Dirasat Maqasidiyyah fi
Fiqh
al-Taharrur min al-Taghallub. Beirut : Al-Shabakat al-`Arabiyyah li al-
Abhath wa al-Nashr.
Al-Kawakibiy,
`Abd al-Rahman. 2006. Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad.
Al-Raysuniy,
Ahmad. 2014. Al-Ummah
Hiya al-Asl. Kaherah: Dar
al-Kalimah.
Anwar
Ibrahim. 2014. World
Forum for Muslim Democrats Concept Paper,
presented
for preparatory meeting
organized by Sasakawa Peace Foundation in
Glassner, B.
1999. The Culture of Fear: Why Americans are Afraid of the Wrong Things.
Rendra,
W.S. 2013. Doa
Untuk Anak Cucu. Yogyakarta :
Bentang.
Siddiq
Fadzil. 2016. Pembinaan
Bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai
Kesatuan. Shah
Alam: Institut Darul
Ehsan (IDE).
Hotel
Bangi-Putrajaya: 04092016.
No comments:
Post a Comment