Demi Memelihara Amanat al Da’wah
Kita sorot persoalan islah dengan
gelora yang sedang berlaku iaitu gelora reformasi. Gerakan islah mesti hadir di
mana-mana termasuk di dalam gerakan reformasi ini. Bermula pada 1998, diharap
akan bergelora lagi pada tahun-tahun mendatang.
Daripada awal lagi kita
merangkaikan reformasi dengan islah – reformasi islahiy. Gerakan reformasi
kebangkitan rakyat, gelombang kebangkitan rakyat mesti dijiwai dengan
nilai-nilai dan prinsip prinsip islah. Gerakan reformasi umumnya terdapat
pelbagai unsur, fahaman dan ideologi. Prinsip islah mesti dominan. Kini
pelbagai pihak memasuki arus gelombang reformasi ini termasuk bekas perdana
menteri yang bertanggungjawab menjadi pokok pangkal punca masalah. Periodnya
itu banyak membawa kerosakkan dan menyusahkan orang dengan pelbagai cara menakut-nakutkan.
Institusi-institusi dan sistem-sistem dirosakkan. Sistem pembahagian kuasa
digugat, rakyat dikelirukan dan ditakut-takutkan. Sebab itu prinsip reformasi
islahiy mesti dominan.
Islah bukan aktiviti atau
kegiatan. Islah adalah perjuangan. Perjuangan seperti diungkapkan oleh Nabi
Shuaib a.s. “Aku hanya bertujuan hendak
memperbaiki (islah) sedaya upayaku” (ayat 88 surah Hud). Anwar Ibrahim
seorang yang sangat memahami Islah sebagai satu perjuangan. Kita lihat
perjalanan hidupnya, keluar masuk penjara, bukan kerana pangkat, kedudukan atau
kerjaya. Baginya yang lain bukan keutamaan. Dia sangat memahami bahawa islah
itu adalah perjuangan sepenuh masa dan sepenuh hati.
Dia pernah berkata orang yang
mementingkan ijazah dan kerjaya daripada perjuangan adalah selfish. Ini telah menusuk ke hati apabila mendengarnya. Tetapi
ketegasan itu adalah supaya kekuatan dan keutamaan ditumpu kepada gerakan
islahiy sewaktu itu. Anwar Ibrahim mendidik, membina generasi itu untuk
menjadikan islah ini agenda utama ke mana saja kita pergi. Hatta jika menjadi
Naib Canselor Universiti Islam itu pun mesti membawa misi islah. Islah bukan
kerjaya, bukan career. Misi islah
itu agenda utama.
Kita tidak boleh berharap banyak
daripada kerajaan berkenaan islah. Mungkin semasa Anwar Ibrahim bersama dalam
kerajaan, dia membawa agenda islah tetapi selepas itu tidak banyak boleh
diharapkan. Komitmen islah tidak dapat dijamin lagi dan hanya dipilih agenda
yang menguntungkan pemerintah dan membawa kepada kekuasaan. Pemerintah hanya
mementingkan kekuasaan. Kerajaan dan pemerintah melihat islah demi kekuasaan.
Fiqh yang diguna pula agak pelik
dan ganjil serta tidak membantu islah. Fiqh yang menindas rakyat. Fatwa-fatwa
yang ganjil muncul bagi menentang demonstrasi menuntut pembersihan proses
pilihanraya, ataupun membangkitkan tuduhan kafir harbi ke atas sebuah parti
politik. Kini kita amat perlu kepada fiqh baru – fiqh taharur (kebebasan) atau fiqh
tamkin (pemberdayaan) bukan fiqh istibdad (penindasan). Rakyat
dilemahkan, dilumpuhkan, diperbodohkan sehingga tak berdaya berdepan dengan
pemerintah yang bertambah kuat.
Kepada generasi sekarang, tidak
cukup sekadar pencapaian wanita memakai
tudung. Itu perjuangan generasi dulu. Seterusnya mereka yang memakai tudung
sekarang perlu cerdas, berani, mengetahui hak-hak dan bebas daripada pemikiran
perhambaan.
Parti-parti politik pula terikat
dengan berusaha meraih undi terbanyak. Parti-parti politik berorientasikan
Islam pula boleh berubah dan boleh cenderung kepada sikap perkauman.
Yang kita menaruh harapan dan
penuh perhatian adalah kepada gerakan dakwah seperti ABIM, PKPIM dan WADAH –
gerakan kerakyatan, gerakan keumatan – gerakan ummatik. Gerakan yang mempunyai
kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan, mempunyai wawasan dan tradisi
keilmuan yang kuat. Kita percaya kepada rangkaian pergerakan kita.
Demi memelihara amanat al da’wah,
masalah kita bukan dengan orang lain, bukan masalah persaingan. Kita tidak
bersaing dengan parti-parti politik atau mana-mana parti. Tetapi yang menjadi
kecemburuan kita ialah amanat al da’wah.
Islam mesti disampaikan dalam
bentuk dan hakikatnya yang sebenar. Sekarang Islam sedang mengalami pencemaran
– pencemaran imej, pencemaran citra. Citra Islam sudah digambarkan tidak
semurni sebagaimana semestinya. Orang telah mendapat gambaran Islam yang
menakutkan, suatu yang bengis kerana mendapat gambaran itu daripada pihak-pihak
tertentu.
Dalam keadaan seperti itu, kita
tercabar untuk mengemukakan Islam dalam wajahnya dan citranya yang murni dan
impresif. Masalah yang ada adalah masalah amanat al da’wah. Bagaimana mungkin
orang yang komited kepada perjuangan dakwah berpuluhan tahun selama ini tidak
merasakan apa-apa apabila Islam dicorakkan dan diwarnakan mengikut selera
masing-masing demi kepentingan sendiri.
(Ucapan Dr Siddiq Fadzil, Ketua Majlis Isytishaari WADAH Pencedasan Umat pada MPAT ke 55 PKPIM)
No comments:
Post a Comment