KARAMAH INSAN DALAM KEBANGKITAN ISLAM
MASA DEPAN
Karamah Insaniah Sebagai Anugerah Ilahi
Karamah Insaniah (Kemuliaan Insan) adalah takrim al-ilahiyy, anugerah kemuliaan yang
bersumber dari Allah. Ini membawa maksud bahawa anugerah ini adalah divine
origin. Dia mencipta manusia dan Dia memberi manusia kemuliaan (karaa-mah).
Allah mengisytiharkan bahawa,
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan
anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di daratan dan di lautan dan Kami beri
mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak
makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna” - (al-Isra’
17:30).
Ayat ini menjadi asas yang tegas dan tidak berubah tentang Karamah Insaniah.
Karamah Insaniah adalah sesuatu yang 'melekat' pada diri manusia secara semulajadi
(inherent), lahir bersamanya sejak penciptaan Adam dan bukanlah hasil dari perjuangan
atau PROSES kematangan dan sejarah pengalaman yang ditempuh oleh manusia.
Karamah Insaniah adalah fitrah dan fitrah ini kekal, tidak berubah, sekalipun
berlalunya masa. Allah menegaskan bahawa,
“…Dia telah mencipta manusia menurut (fitrah)
itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah” - (al-Rum 30:30).
Allah telah memuliakan manusia dan mengangkat darjat manusia dengan
menciptanya dalam rupa bentuk yang terbaik (al-Tin 95:4), dicipta mengikut rupa-Nya
(al-Hadis), dicipta dengan tangan-Nya (Sad 38:75) dan ditiup dari roh-Nya
(al-Sajdah 32:9). Maka penghormatan harus diberikan kepada jiwa manusia ciptaan
Allah ini, sama ada dia beragama atau tidak, sama ada dia Islam atau bukan
Islam.
Islam adalah risalah ilahi yang bertujuan membawa kebahagiaan hidup
kepada manusia dengan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan yang membawa kebaikan,
memandu mereka ke arah apa yang memberi
manfaat dan menghindar mereka dari segala yang membawa mudharat. Ini adalah
tujuan dari syariat atau maqasid syariah. Namun maqasid ini hanya
mampu direalisasi kiranya berlaku pengiktirafan terhadap kesucian dan kekudusan
Kemuliaan Insan. Sebagaimana Allah memuliakan anak cucu Adam maka demikian juga
yang harus dilakukan oleh anak Adam sesamanya. Allah memerintah “Wa ah-sin
ka-ma ah-sanallahu ilay-ka ” – ‘Berbuat baiklah kamu sebagaimana Allah
telah berbuat baik kepadamu’ (al-Qasas 28:77).
Seiring dengan kemuliaan ini ialah hak-hak dan kebebasan yang perlu dipertahankan
termasuk hak seseorang sebagai individu atau hak bagi suatu kelompok manusia.
Manusia tidak boleh dihina, direndah-rendahkan, didiskriminasi dan dizalimi
kerana perbedaan bangsa, kaum, etnik, warna kulit, jantina, agama, usia, keupayaan
mental dan fizikal. Mereka berhak untuk hidup aman tanpa gangguan, untuk bebas menjalankan
pekerjaan bagi menyara dan membina kehidupan, mereka perlu diberi hak untuk memberi
pendapat dan menyuarakan ketidakpuasaan, hak agar pandangan, rungutan dan
protes mereka didengari, hak untuk mendapat perhatian, pertimbangan dan pelayanan
yang saksama. Setiap orang manusia harus diiktiraf sebagai memiliki identiti,
jiwa dan perasaan dan keunikan masing-masing. Mereka adalah diri yang mempunyai
maruah yang perlu diiktiraf dan dihormati. Setiap orang dari mereka adalah
entiti yang bermakna untuk masyarakatnya. Ini memberi implikasi bahawa sebarang
usaha menafi dan mengenepi hak-hak ini bererti menafikan kemuliaan yang telah ‘dipakaikan’
Allah kepada mereka sejak penciptaan insan pertama iaitu Adam lagi. Selagi seseorang itu bergelar insan, selagi
itu dia memiliki kemuliaan anugerah ilahi ini. Rasullulah s.a.w. pernah berdiri
menghormati jenazah Yahudi yang dibawa melewati Baginda. Para sahabat
memaklumkan Baginda s.a.w. bahawa jenazah adalah seorang Yahudi. Baginda mempersoalkan: alay-sat naf-san,
tidakkah dia juga satu jiwa (yang harus dihormati)? Para sahabat sendiri turut
mengiringi jenazah ibu bapa mereka walaupun mereka Yahudi atau Nasrani.
Ada di kalangan ulama dan pemikir Islam menghujah bahawa al-‘irdh iaitu
kemuliaan dan maruah adalah antara maqasid syariah selain dari al-kulliyat
al-hams; pemeliharaan agama, jiwa, aqal, harta dan nasab. Kepentingannya
dibuat berdasarkan besarnya kemurkaan Allah dan azab amat pedih yang akan bakal
ditimpakan ke atas mereka yang terlibat dalam peristiwa hadith al-ifk yang
melibatkan fitnah, yang menggugat kehormatan Saydatina Aishah (al-Nur 24: 1115,
19, 23-25). Juga berasaskan penegasan Rasulullah s.a.w. sewaktu Hajjatul Wada’
bahawa, “In-na di-maa-a-kum wa am-wa-la-kum wa a’raa-dha-kum alai-ku haraa-mun”
(Sesungguhnya, darah, harta dan kehormatan kamu haram dicerobohi). Tuduhan zina
dan qazaf adalah serangan terhadap kemuliaan seorang insan dan ayat-ayat Quran
yang berkaitan tidak memberi ruang untuk berkompromi terhadap mereka yang
membuat tuduhan sedemikian.
Karamah atau kemuliaan (dignity) berbeza dari penghormatan (respect),
kerana kemuliaan adalah nilai yang sedia ada pada diri manusia sedang
penghormatan adalah kesan atau natijah dari perilaku atau akhlak seseorang.
Karamah insan juga bukan terhasil dari undang-undang yang digubal.
Undang-undang boleh digubal bagi melindungi dan mempertahankan Kemuliaan Insan
tetapi undang-undang tidak boleh merungkai atau mencabutnya dari diri manusia. Hak-hak
asasi (human rights) yang digubal oleh manusia adalah bukti perakuan
manusia terhadap kemuliaan insan yang secara tabi’i sebati dengan diri manusia (human
rights are the recognition of inalienable dignity of human beings).
Allah menegaskan realisasi tertinggi Kemuliaan Insan di
sisi-Nya ialah apabila seseorang mencapai darjat Taqwa. Firman Allah, yang
mafhumnya,
“Sesungguhnya yang paling mulia
di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa” - (al-Hujurat
48:13).
Sementara beriman dan beramal salih pula menjadi syarat mengelak dari
jatuh kepada kehinaan. Al-Quran mengungkap,
“Sungguh telah Kami ciptakan
manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke
tempat yang serendah-rendahnya (as-falas
sa-filin), kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan kebaikan, maka
mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.” - (al-Tin 95:4-6).
Ini bermakna seorang muslim perlu mengangkat kemuliaan dirinya
melampaui batas-batas standard yang dianugerah secara tabi’i oleh Allah.
Kemuliaan tertinggi di sisi Allah adalah kemuliaan yang mesti diusahakan oleh
manusia dengan cara beriman dan beramal salih. Kemuliaan yang dicapai kerana
ketaqwaan akan memberi implikasi yang melampaui batas dunia. Allah menjanjikan
balasan terbaik dan darjat yang tinggi di Hari Akhirat nanti.
Kemuliaan Insan Dalam Masyarakat Barat
Dalam konteks masyarakat Barat, Aristotle, Cicero, Albert the Great
dan Thomas Aquinas adalah nama-nama awal yang menyinggung konsep dignitas
humana atau dalam istilah yang dipakai kini Human Dignity. Dari segi
sejarah, perkataan dignity yang berasal dari perkataan latin, dignus
yang bermaksud wajar dan disanjung (worthy), digunakan sebagai menggambarkan
kedudukan dan kemuliaan seseorang dalam masyarakat. Immanuel
Kant (1724-1808), seorang ahli falsafah German, dianggap sebagai sumber idea
kontemporari tentang Human Dignity. Dari sekian perspektif perbahasan
tentang konsep ini, perspektif Christo-centric mempunyai banyak kesamaan
dengan Islam kerana perspektif ini turut melihat manusia memiliki kemuliaan
kerana dia dicipta oleh ‘Tuhan dalam imej-Nya’. Bagaimanapun, kerangka falsafah
post-modern mengenai Human Dignity dilihat lebih banyak pengaruh
dalam membentuk asas bagi demokrasi moden dan hak-hak asasi manusia. Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia, 1948, turut
menerima prinsip ‘human dignity’ dan menganggapnya sebagai inherent
dan inalienable. Prinsip ini telah diguna sebagai rasional bagi pengubalan
hak-hak asasi.
Pencerobohan Terhadap Kehormatan Insan
Realiti kehidupan manusia menghadapkan kita kepada pencabulan terhadap
Kemuliaan Insan dalam pelbagai bentuk. Termasuk antaranya ialah penghinaan dan
tindakan-tindakan menjatuhkan maruah dan harga diri (humiliation). Penyiksaan
dan penghinaan yang dilakukan oleh tentera US dan CIA terhadap tahanan Penjara
Abu Ghraib di Iraq, March 2003, atau di Guantanamo Bay atau seperti ‘squatgate’
atau ‘gadis lokap’ di balai polis Petaling Jaya pada tahun 2005, adalah termasuk
dalam kategori ini. Langkah mewujudkan bahagian khas bagi bagi pemeriksaan
keselamatan terhadap orang-orang Islam dan penggunaan full body scanner di
lapangan-lapangan terbang merupakan suatu bentuk humiliation yang tidak
wajar sama sekali. Demikian juga tindakan melampau Donald Trump untuk membina
pengkalan data yang melibatkan seluruh orang-orang Islam di US serta saranannya
untuk “a total and complete shutdown of
Muslims entering the United States”.
Pencerobohan terhadap Kemuliaan Insan juga boleh berlaku apabila
manusia diperalatkan (instrumentalization) seperti objectification of
women iaitu penggunaan wanita-wanita cantik dengan daya tarik seks bagi
mempromosi events atau mengiklankan barangan atau menjadikan mereka penghias
majalah bagi melariskan jualan atau menjadikan mereka alat untuk majalah atau
filem pornografik. Degradation pula
ialah tindakan-tindakan yang menurunkan maruah dan menjejaskan kehormatan diri
manusia. Hal seperti ini boleh berlaku apabila hak dan kebebasan seseorang
untuk membuat keputusan dan menentukan nasib diri ‘dirampas’ dan berada di
tangan orang lain. Degradation boleh berlaku walaupun tanpa disedari dan
walaupun dengan persetujuan (consent). Sistem perhambaan (slavery) sebagai
contoh, menafikan autonomi atas diri dan merampas rasa memiliki diri (sense
of ownership) yang menjadi ciri manusia yang merdeka. Lihat bagaimana
Bani Israel hampir hilang harga diri dan tidak berdaya untuk bangun sebagai
akibat dari perhambaan yang dipaksa ke atas mereka oleh Firaun.
Kemuliaan Insan boleh terhakis kerana tindakan-tindakan dehumanisasi
atau penyahinsanan (dehumanisation). Hal seperti ini berlaku apabila tindakan-tindakan
yang diambil menjadikan manusia seolah-olah not fully human or less human.
Pembersihan etnik (ethnic cleansing), pembunuhan kaum (genocide)
dan penyiksaan (torture) adalah
tindakan-tindakan dehumanisasi yang masih berlaku di dunia hari
ini. Hal ini berlaku di Bosnia
Herzegovina di tahun-tahun 1992-95 dalam bentuk siksaan, pencabulan kehormatan
serta pembunuhan sehingga 100,000 jiwa dan apa yang berlaku akhir-akhir ini di
Arakan, Burma, yang mengakibatkan perogolan wanita-wanita dan penyembelihan
orang-orang Islam Rohingya adalah contoh-contoh dehumanisasi yang keterlaluan.
Demikian juga kes klasik Adolf Hitler dengan projek ‘final solution’ yang membawa kepada tragedi Holocaust
(1941-45) yang terkenal itu.
Kebangkitan Islam dan Masa Hadapan
Sejak kebangkitan Islam tahun 1970-an hingga kini terdapat tiga fasa
yang mungkin boleh membantu kita memahami fenomena perubahan yang telah
terjadi. Fasa pertama mulai awal 1970-an hingga 1980-an ditandai dengan
landaan kesedaran agama yang amat kuat. Kesedaran baru ini mendorong sikap
keras menolak faham dan cara hidup sekularistik dan menganggap dunia kini
adalah jelmaan jahiliah yang tidak banyak bezanya dari jahiliah pra-Islam.
Istilah al-jahiliyyatu qanul ‘isyrin menjadi sebutan yang popular dalam
ceramah para pendakwah waktu itu. Ini mendorong sesetengah pihak bersikap
menolak secara total sistem hidup yang ada dan berusaha membina kehidupan
alternatif. Pemikiran-pemikiran pokok tentang agama ditekuni oleh para aktivis
dan kemudiannya dikongsi dengan masyarakat terbanyak. Istilah-istilah seperti
Islam: Nizam al-Hayah. Islam Yang Syumul, Islam: Din wa al-Daulah, Islam: Penyelesaian Masalah, begitu memukau masyarakat. Satu revolusi
kesedaran merempuh tidak hanya mahasiswa dikampus-kampus tetapi juga masyarakat
umum di bandar maupun di kampong. Seminar-seminar tentang konsep pendidikan
Islam dan teori ekonomi Islam menjadi acara yang tidak asing bagi masyarakat. Tahap
ini memberi impak besar mengembalikan harga diri dan keyakinan umat terhadap
potensi diri dengan agama sebagai kekuatan. Semangat ke arah penghayatan agama
melanda hampir setiap sektor masyarakat. Perubahan ketara di kalangan wanita
muslimah termasuk pelajar di universiti dan sekolah-sekolah. Bahkan tidak
sedikit yang berani mencabar the establishment yang cuba mempertahankan
status quo, termasuk dalam soal pakaian. Hampir tidak ada sektor yang tidak
menerima pengaruh dari kesedaran baru ini.
Selepas 1980-an, kesedaran yang melanda masyarakat menjadi real dan
tidak dapat ditolak lagi. Masyarakat menghendaki perubahan yang lebih konkrit
khususnya dalam pendidikan, ekonomi dan undang-undang. Pemerintah dan kelompok the
establishment yang resah dengan dakwah dan Islam akhirnya terpaksa
akur lalu bersikap lebih lunak, akomodatif terhadap tuntutan masyarakat. Fasa
kedua ditandai dengan kemunculan institusi-institusi yang menyantuni
kehendak umat seperti penubuhan Bank Islam (1983), Universiti Islam (1983), Takaful
(1984) dan diikuti dengan berbagai institusi lain termasuk sekolah-sekolah
menengah agama telah ditubuhkan. Kini terdapat Majlis Penasihat Syariah
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan berbagai panel syariah yang memastikan urusan
jual beli yang berlaku mematuhi kehendak syariah. Pasaran sukuk telah
berkembang pesat dalam pasaran modal dan menjadi penyumbang terbesar pasaran
sukuk global. Kini terdapat hampir 40 entiti perkhidmatan profesional yang
berperanan dalam pembangunan kewangan Islam. Perkembangan ini tidak akan
berhenti kerana penggubalan polisi-polisi yang berasaskan Islam serta
pembangunan institusi-instusi bagi merealisasi polisi-polisi ini akan terus
berlaku dengan perkembangan masa. Usaha-usaha turut dibuat bagi menaiktaraf
Mahkamah Syariah dan memperkasanya dengan pindaan-pindaan akta yang baru di
samping kelengakapan, imej dan prasarana yang lebih baik.
Sementara pemerataan kesedaran melalui program dakwah seperti dalam fasa
pertama akan terus berjalan dan demikian juga polisi dan institusi
berasaskan Islam akan terus berkembang sebagai lanjutan dari fasa dua,
masyarakat memasuki kini memasuki fasa ketiga dengan isu-isu yang lebih
kompleks. Masyarakat mulai menyedari bahawa terdapat isu-isu yang vital
dan crucial yang perlu dihadapi dengan berani sekiranya kita benar-benar
ingin menghayati Islam seutuhnya. Isu-isu ini lebih dari sekedar kesedaran dan
kefahaman dan lebih dari semata-mata polisi dan institusi. Perkara-perkara ini
memerlukan jihad iaitu kegigihan dan perjuangan yang jauh lebih sukar. Dalam
konteks Malaysia (dan juga dunia umumnya) persoalan-persoalan seperti keadilan
sosial, kesamarataan, kesejahteraan hidup, hak-hak asasi dan demokrasi semakin menjadi
terjejas dan perlu ditangani segera. Ketegangan kaum, sikap rasis dan
chauvanistik nampaknya semakin tidak terkawal. Budaya feudalistik yang tebal,
kepimpinan negara yang tidak bertanggungjawab serta kurang prihatin dan
mementing diri, kegagalan pemerintah memastikan tatakelola negara yang baik (good
governance), ahli-ahli politik yang kurang akhlak, politik adu domba dan
fitnah serta justifikasi penerusan politics of fear, intimidasi dan tindakan
keras terhadap mereka yang berbeda pandangan dan penggunaan akta-akta
sewenang-wenang terhadap pengkritik ‘whistleblowers’ adalah resipi yang
memundurkan masyarakat. Isu-isu keruntuhan akhlak, rapuhnya institusi-institusi
keluarga adalah juga isu-isu real perlu segera ditangani. Media yang
sepatutnya mendidik dan mencerdaskan umat sebaliknya telah memecahbelah dan
memperbodoh dan merosakkan akhlak masyarakat. Tanpa kesedaran yang mendalam dan
meluas stentang isu-isu ini dan tanpa disertai keberanian dan kegigihan
perjuangan menangani isu-isu ini, negara sebenarnya dibiar menapak ke arah failed
state. Masa depan adalah untuk gerakan Islam yang memahami isu-isu ini dan
sedia tampil menggembleng dan memimpin masyarakat dan umat untuk perubahan yang
berkesan.
Pencerobohan Terhadap Kemuliaan Insan
Sebahagian besar dari isu-isu yang berbangkit dalam masyakat adalah berkaitan
dengan kehilangan kesedaran tentang kehormatan, maruah dan harga diri manusia.
Masyarakat dan negara perlu mengiktiraf kemuliaan diri manusia – sama ada
sebagai seorang individu maupun masyarakat – dan melayani mereka sewajarnya dengan
menghormati dan memberi ruang untuk mereka berperanan dan berpartisipasi secara
sihat. Kepelbagaian dalam apa bentukpun, harus dira’i sewajarnya bagi mewujudkan
keharmonian hidup bersama. Mereka yang berkuasa perlu mengikutsertakan
pihak-pihak lain seperti NGOs dan badan-badan yang mewakili rakyat (civil
societies) termasuk parti-parti pembangkang dalam proses membuat keputusan
dengan menganggap mereka sebagai rakan (partners) dalam rangka membangun
masa depan negara dan mereka wajar didorong untuk memberi pandangan dan saranan yang konstruktif. Mengenepikan
masyarakat dan menyisihkan mereka dari terlibat dalam proses pembangunan adalah
pencabulan terhadap kehormatan mereka
sebagai manusia. Menakut-nakutkan rakyat dan mengongkong mereka dengan akta dan
tindakan undang-undang yang tidak wajar adalah pencerobohan terhadap nilai dan
kemuliaan diri insan. Ini akan memaksa mereka menarik diri dari proses demokratik
yang sihat dan merendahkan kedudukan mereka sebagai manusia yang mempunyai
kemuliaan.
Rakyat di zaman lampau merupakan pacal yang hina, sedia menjunjung
perintah dan pantang menderhaka. Ciri-ciri feudalisme demikian telah
membentuk minda hamba yang menebal dalam masyarakat Melayu. Kini ketaatan
demikian rupa berpindah dari raja kepada pemimpin dan parti politik lalu
membentuk feudalisme baru. Sikap demikian telah menghalang mereka dari bangun
memperkembang potensi diri sebagai masyarakat moden yang demokratik dan mampu
bersaing. Sikap taat membuta tuli terhadap pemimpin, tidak kisah tentang apa
yang benar dan apa yang adil, enggan berfikir, diperkukuhkan dengan budaya
menakut-nakutkan mereka dengan akta dan tindakan undang-undang, telah
memandulkan akal dan kreativiti masyarakat. Akal yang aktif dan hidup ialah
akal yang kritis, mampu merenung dan berfikir mencari kebenaran dan sedia mengungkap
kebenaran dan menyanggah kebatilan. Akal
seperti ini akan mengangkat darjat kemuliaan diri manusia dan masyarakat. Sebaliknya
akal yang mati akan merendahkan martabat manusia dan menjadikannya hina. Allah
menggambarkan kedudukan mereka yang gagal menggunakan fakulti yang diberikan,
sebagai makhluk yang rendah dan hina sebagaimana rendah dan hinanya haiwan
ternak,
“Dan sungguh Kami akan isi
neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati,
tapi tidak mahu berfikir dengannya, mereka mempunyai mata, namun enggan melihat
dengannya, mereka mempunyai telinga,
tapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih
sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah” - (al-A’raf 7:179).
Dakwah baru perlu memberi tumpuan perhatian kepada usaha mencerdaskan
pemikiran masyarakat, melalui wacana dan dialog, perbincangan dan diskusi,
perbahasan dan polemik yang mengangkat keupayaan berta’akkul. Dakwah baru mesti
berupaya membangun kesedaran umat tentang kemuliaan diri mereka sebagai
manusia. Manusia yang menpunyai kesedaran kemuliaan tidak akan merelakan diri
mereka diremeh, dihina, diperbodoh dan diperhambakan. Hanya mereka yang
memiliki kesedaran akan kemuliaan diri mampu membuat perubahan dan mengangkat
martabat umat.
When people are taught to be aware of their
‘conscious dignity’, they are less likely to let themselves be held slavery of
any kind.
Mette Lebech, On The Problem of Human Dignity.
Sekian.
(Cikgu Abd Halim Ismail adalah Naib Pengerusi
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH. Kertas kerja dibentang di Tamrin SALWA
Kebangsaan, di Anjung Rahmat, Bangi, 9 Disember 2016)
1 comment:
Assalamu 'alaikum, terdapat kesilapan pada ayat "Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam... ". Yang betul ialah surah al-Isra, 17:70. bukan ayat 30.
Post a Comment