Islam dan Prinsip al-Ta`ayush al-Silmi
Abdul Halim Ismail
Kepelbagaian
Bangsa dan Agama Sebagai Sunnah Allah
Allah
s.w.t. menjadikan manusia dalam kepelbagaian; berbagai bangsa, kaum, warna
kulit, bahasa dan budaya. Dengan
kehendak-Nya, tidak dijadikan satu umat yang seragam, walaupun Allah s.w.t.
Yang Maha Berkuasa berupaya berbuat demikian (Yunus 10:99, Hud 11:118). Dengan
kehendak-Nya juga tidak dijadikan semua manusia beriman, lalu dibiar-Nya sebahagian
manusia beriman dan sebahagian yang lain tidak beriman (al-Taghaabun 64:2,
al-Kahfi 18:29). Dari sini kita memahami bahawa kepelbagaian atau ta’addudiyyah,
termasuk dalam soal kepercayaan dan agama adalah bersifat tabi`ii dan
merupakan sunnatullah yang telah ditentukan Allah s.w.t.
Di antara tanda-tanda
(kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna
kulit-mu. Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi
orang yang mengetahui –
Al-Rum 30:22.
Allah
s.w.t. menegaskan bahawa Dia dengan kehendak-Nya menjadikan manusia berbangsa-bangsa
dan berpuak-puak, berbagai bahasa dan berbeza warna kulit, bagi memboleh
berlakunya interaksi yang menjadikan mereka saling mengenali hingga menwujudkan
persefahaman dan kesediaan untuk saling membantu bagi membina kesejahteraan
bersama.
Kami menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu saling mengenali -
al-Hujurat 49:13.
Rasulullah s.a.w. diutus ke seluruh umat manusia untuk mengajak
mereka beriman kepada Allah s.w.t. Namun realiti beragama dan reaksi manusia terhadap
seruan Baginda adalah berbeza-beza mengikut ketetapan Allah s.w.t. Di samping
Islam, Dia juga membiarkan munculnya berbagai kepercayaan dan agama di berbagai
belahan dunia. Sekalipun Islam merupakan agama samawi terakhir yang memansuhkan
syariat Nabi Musa dan Isa `alayhimas-slam, namun kenyataannya sejumlah
manusia tidak menerima Islam dan masih kekal berpegang kepada agama tersebut.
Islam mengakui realiti ini. Bahkan Al-Quran menghormati mereka dengan mengkategorikan
mereka sebagai ahl al-kitab dan memanggil mereka sebagai al-Nasara
dan al-Yahud serta menggariskan panduan dan tatacara bagaimana kaum
muslimin harus bermu`amalah dengan mereka. Ini menjadikan Islam satu-satunya
agama yang menetapkan cara berhubung dan berinteraksi dengan mereka yang
menganut kepercayaan dan agama yang lain di luar dari lingkungannya. Panduan
serta tatacara ini menjadi sebagai sebahagian dari syari`at Islam sendiri. Di
samping ahl al-kitab dengan agama Yahudi dan Nasrani, terdapat berbagai lagi
kepercayaan dan agama yang dianut oleh berbagai bangsa di dunia.
Hidup
Bersama Secara Aman (al-Ta`ayush al-Silmi/peaceful co-existence).
Menghadapi
realiti kepelbagaian bangsa, warna kulit, budaya, agama dan kepercayaan, Islam tampil
dengan gesaan agar umatnya sentiasa berbuat baik dan berlaku adil sekalipun
terhadap mereka yang kafir atau musyrik (ahl al-syirk).
Allah
tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang
tidak memerangi kamu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampong
halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil – al-Mumtahanah 60:8.
Berdasarkan ayat dari surah al-Mumtahanah di atas, Allah
s.w.t. tidak menegah penganutnya dari berbuat baik (an-tabarruu-hum) dan
berlaku adil (an-taqsithu ilay-him) terhadap orang-orang bukan Islam
yang tidak memerangi orang-orang Islam dan tidak bertindak mengusir mereka
keluar dari tempat tinggal. Bahkan Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia mengasihi
mereka yang berlaku adil terhadap mereka yang bukan-Islam.
Islam telah meletakkan
prinsip-prinsip yang jelas sebagai asas pembinaan masyarakat yang sejahtera
iaitu prinsip hidup bersama. Prinsip ini mampu menyediakan kerangka bagi
menampung keragaman yang wujud dalam masyarakat manusia termasuk kepelbagaian
agama, bangsa dan budaya. Ketegasan Islam dalam mendokong konsep dan prinsip
kesatuan manusia sejagat, kemuliaan insan, kebebasan beragama, keadilan dan
pemeliharaan hak-hak insan perlu digarap bersama naratif kegemilangan masa lalu
yang telah membuktikan kejayaannya dalam membina kerukunan hidup masyarakat berbilang
kaum dan agama. Dasar-dasar penting yang
digariskan oleh al-Quran yang seharusnya menjadi asas perhubungan antara kaum
dan menjadi panduan bagi membina kehidupan bersama secara aman. Selain dari
al-Mumtahanah 60:8, beberapa prinsip utama dinyatakan dalam ayat-ayat berikut:
Sesungguhnya
Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan
kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan
permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil
peringatan (Al-Nahl 16:90).
Wahai manusia! Sungguh telah Kami ciptakan kamu
dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang
paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah
Maha Mengetahui, Maha Teliti (al-Hujurat 49:13).
Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam).
Sesungguhnya telah jelas perbedaan antara petunjuk (yang benar) dari kesesatan (al-Baqarah 2:256).
Antara yang terpenting dapat
difahami dari ayat-ayat tersebut ialah asas-asas keadilan, kesatuan insan,
hidup bersama, saling menghormati dan tiada pemaksaan dalam agama dan
kepercayaan. Ghanushi dalam Huquq al-Muwatinah berpandangan bahawa hukum-hukum umum yang terdapat
dalam ayat-ayat ini adalah pendirian de jure Islam tentang kesaksamaan
kewarganegaraan mereka yang bukan Islam.
Wujudnya kategori bukan-Islam sebagai ahl al-dhimmah atau dhimmiy dalam sejarah awal
Islam bukan bertujuan mendiskriminasi warga bukan-Islam yang
berada di bawah pemerintahan Islam.
Pengkategorian tersebut muncul sebagai komitmen pemerintah Islam untuk
melaksanakan amanah perlindungan terhadap golongan bukan-Islam dan bagi memastikan keadilan dan hak-hak
mereka dijamin dan terhalang dari berlaku sebarang ketidakadilan. Bagaimanapun dalam dunia hari ini, bukan-Muslim bukan lagi dhimmiy yang
memerlukan perlindungan. Mereka bukan hamba-hamba atau tawanan akibat perang
atau penaklukan atau natijah dari perjanjian-perjanjian damai seperti yang
berlaku dalam sejarah. Mereka lahir di negara-negara yang dihuni oleh majoriti
orang-orang Islam, dan di negara tersebut juga mereka membesar dan mencari
rezeki untuk penghidupan. Mereka
kini adalah warga negara yang sah dengan segala hak dan tanggungjawab seperti
orang-orang yang lain. Banyak pemikir
Islam kontemporari menerima kenyataan bahawa tiada
lagi justifikasi pengkategorian dhimmiy atau bukan-dhimmiy dan
menegaskan istilah-istilah demikian sudah tidak relevan lagi. Inilah yang dikemukakan oleh Fahmi Huwaydi apabila beliau menulis bukunya Muwatinun
la Dhimmiyyun (Warganegara Bukan Lagi Dhimmiy).
Sahifah Madinah Sebagai Model Membina Hidup
Bersama
Dalam
mendepani zaman moden, Islam mempunyai prinsip-prinsip yang kuat dalam membina
bentuk hubungan antara warga Islam dan bukan Islam yang mampu menjamin
kehidupan yang sejahtera dalam sesebuah negara. Dalam hal ini rujukan
terpenting ialah Sahifah Madinah atau Piagam Madinah iaitu satu gagasan
politik bernegara oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang meletakkan dasar-dasar penting
hubungan warga Islam dengan warga bukan-Islam. Piagam ini mengandungi 47
artikel dengan bahagian pertama (artikel 1 hingga 23) mengenai hak dan
tanggungjawab orang-orang Islam yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar.
Sementara bahagian kedua (artikel 24 hingga 47) berkaitan dengan hak dan
tanggungjawab orang-orang Yahudi. Piagam yang didahului dengan perundingan
dengan pihak-pihak yang terlibat, diterima tanpa bantahan oleh semua warga
Madinah.
Beberapa artikel dari piagam ini
wajar dirujuk. Antaranya Artikel 1 yang memulakan pernyataan dengan basmalah
dan penegasan bahawa piagam tersebut dari Nabi Muhammad sebagai Rasul iaitu
Utusan Allah, yang dibuat antara orang-orang mukmin dan muslim dari Quraisy
(Muhajirin) dan ahli Yathrib (Ansar dan Yahudi) dan “orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke
dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka”. Artikel 2
menjelaskan, “Bahawa mereka adalah satu umat yang berbeza dari manusia lain (ummatun
wa-hidah min du-nin-nas)”. Artikel 25 versi Ibn Hisham menyebut secara
jelas tentang kaum Yahudi yang didahului dengan Yahudi Bani 'Awf bahawa, “kaum
Yahudi Bani ‘Awf adalah satu umat bersama orang-orang mukmin” (wa-annal-yahuda
bani-‘auf ummatun ma’almu’minin) dan diikuti Yahudi-Yahudi Bani Najjar,
Bani al-Harith, Bani Saidah, Bani
Jusham, Bani al-Aus, Bani Tha’labah, Jafna dan Bani Shutaybah. Ini memberi
makna bahawa piagam ini mengiktiraf semua kelompok yang berada di Madinah
sebagai warga masyarakat Madinah (citizens of Medinan society). Nabi
s.a.w. menyebut dengan jelas tiap kelompok Yahudi yang terlibat serta
tanggungjawab individu dan tanggungjawab kemasyarakatan yang harus mereka
penuhi. Mereka diberi kebebasan mengamal ajaran agama masing-masing tanpa
diganggu, namun mereka memikul tanggungjawab bersama ketika negara diancam
iaitu berkewajipan menyediakan bantuan fizikal dan kewangan bagi mempertahankan
Madinah. Artikel 39 pula menyebut bahawa, “Kota Yathrib adalah wilayah yang
terpelihara aman bagi mereka yang mendokong Piagam ini”, yang membawa erti
jaminan keamanan Kota Yathrib bagi semua warganya. Sementara Artikel 40
menyebut bahawa, “Jiran hendaklah diperlakukan sebagai satu jiwa, tidak boleh
dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa”. Ini memberi jaminan
keselamatan dan keamanan yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Tentang
kehormatan wanita, Artikel 41 mengingatkan, “Tidak boleh dihampiri kehormatan
wanita melainkan dengan izin keluarganya sendiri”.
Jelas melalui sahifah ini
satu kontrak sosial (social contract) telah terbentuk lalu melahirkan
sebuah komuniti baru yang pluralistik, dikenali sebagai ummah yang
menggabungkan kaum Muslimin (orang-orang Muhajirin dan Ansar) dan berbagai
kelompok kaum Yahudi yang berada di Madinah. Ini membuktikan kesatuan yang
dibina atas dasar agama (ukhuwwah diniyyah) dan kesatuan yang dibina
atas dasar negara (ukhuwwah wataniyyah) tidak menimbulkan konflik dan
tidak menghalang proses pembinaan satu bangsa yang bersatu. Sahifah
mengandungi asas kehidupan bersama secara aman (peaceful co-existence)
yang jelas, berdasarkan prinsip keadilan, saling menghormati dan pengiktirafan
hak-hak asasi semua pihak. Sahifah berjaya menyatukan kota yang dihuni
oleh pelbagai kelompok dan kabilah, pelbagai agama, budaya dan bahasa. Hasilnya ialah ‘sebuah komuniti tunggal’ (one
single community) yang berjaya menutup ruang untuk sebarang usaha
diskriminatif dan menghalang sesiapa dari merasai diri sebagai ‘warganegara
kelas dua’. Demikian kita mendapati bagaimana Risalah Ilahi yang dibawa Baginda
s.a.w. diterjemahkan secara praktis memenuhi maqasid al-syaria’ah iaitu
memelihara dan menwujudkan kesejahteraan hidup manusia.
Piagam ini menjadi perlembagaan
demokrasi pertama dalam sejarah pemerintahan demokrasi dunia. Dengan piagam ini
undang-undang (rule of law) mengambilalih wewenangan ketua-ketua
kabilah. Lahir dari konstitusi ini negara Islam pertama yang terbentuk
berasaskan masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya. Secara jelas piagam
ini meletakkan kebebasan, keadilan dan persamaan sebagai asas utama dan ini
adalah refleksi dari ajaran-ajaran utama al-Quran dan membuktikan bahawa Islam
menolak sebarang bentuk pemaksaan, ketidakadilan dan diskriminasi. Ini adalah
contoh bagaimana sebuah piagam bagi mengatur kehidupan manusia yang digubal
berasaskan petunjuk dari wahyu ilahi.
Gagasan yang terkandung dalam Sahifah
menggambarkan keterbukaan dan toleransi Islam dalam mendepani dan menyelesaikan
masalah-masalah berat berkait dengan isu-isu kepelbagaian kaum, agama dan
budaya yang kini dihadapi oleh hampir semua negara moden. Model Sahifah
yang jelas, mudah dan tanpa kekaburan ini seharusnya menjadi rujukan asas yang
didahulukan tentang model Islam mengenai hubungan Islam dan bukan-Islam serta
prinsip-prinsip hidup bersama. Harus
diingat bahawa Sahifah mendahului undang-undang tentang dhimmah.
Hal ini disetujui oleh Syed Sikandar Haneef bila beliau menyebut dalam
tulisannya Non-Muslims’ Citizenship in Islamic Law, “constitutional precedent of the Prophet (Sahifah
al-Madinah), predating the law of dhimmah is an ipso facto
evidence of the original position on non Muslim’s equal nationality status in
Islam.” Sekiranya orang-orang Yahudi Madinah tidak khianat..
Sebahagian dari semangat dan
ciri-ciri Sahifah tergambar dalam Perlembagaan Malaysia termasuk kebebasan
agama, kewarganegaraan, hak dan kesamarataan, peranan Parlimen selaku badan
musyawarah dan tanggungjawab bersama mempertahankan kewibawaan dan maruah negara.
Bagaimanapun perlembagaan harus didokong dengan kesedaran bersama secara tulus
bagi membangun kesejahteraan untuk semua berasaskan perkongsian hidup sebagai
satu keluarga besar Bangsa Malaysia yang mengutamakan sikap toleransi, hormat
menghormati dan saling memahami serta mengenepikan prejudis dan sikap
chauvanistik. Kesediaan untuk bertolak ansur, berkorban dan berakomodasi mesti
menjadi ciri bangsa yang menginginkan kesejahteraan hidup yang menyeluruh dan
berpanjangan. Politik komunalisme yang biasanya ditandai emosi dan dan
kebencian akan menggagalkan apa juga usaha ke arah keharmonian dan
kesejahteraan hidup antara kaum, sekalipun perlembagaan yang digubal amat baik.
La Convivencia Model Andalus
Andalus atau Spain di zaman
kegemilangan pemerintahan Islam, khususnya semasa pemerintahan Abd al-Rahman
III (912-961) berjaya membangun masyarakat cemerlang (an enlightened
society) dengan model la convivencia (hidup bersama secara aman)
yang menakjubkan. Kebebasan penuh diberikan kepada penganut agama Kristian dan
Yahudi untuk mengamalkan ajaran agama dan budaya serta cara hidup mereka
masing-masing tanpa diganggu. Ini diperkukuh dengan kesedaran bahawa
agama-agama Islam, Kristian dan Yahudi mempunyai pertalian kerana bersumber
dari Nabi Ibrahim a.s. (Abrahamic faiths). Orang-orang Yahudi dan
Kristian turut memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekonomi,
perniagaan dan perdagangan. Mereka
turut diberi jawatan-jawatan yang
penting dan strategik termasuk dalam urusan pemerintahan, pentadbiran dan
diplomatik. Andalus kemudiannya muncul sebagai sebuah negara yang terkenal
tidak hanya dari segi kemajuan ekonomi dan pembangunan yang mendahului Eropah,
tetapi juga masyhur kerana perkembangan ilmu pengetahuan dan budaya termasuk
bidang-bidang falsafah, metafizik, seni bina dan kesusateraan dengan
tokoh-tokoh dari berbagai agama. Lebih
400 tahun, Muslim, Kristian dan Yahudi dapat hidup bersama secara aman dan
penuh harmoni. Tempoh gemilang itu dianggap sebagai zaman keemasan (golden
age) dan menjadi model terbaik bagaimana masyarakat berbilang kaum dan
berbilang agama boleh hidup bersama secara aman (peaceful co-existence atau
al-ta’aa-yus al-silmi).
Malaysia: Prospek Membina Hidup Bersama
Di akhir-akhir ini hubungan antara
kaum dan agama di Malaysia berada di tahap membimbangkan. Ini tergambar ekoran
seringnya muncul kenyataan berbaur perkauman dan berunsur rasis diungkap dengan
nada kebencian dan dendam, sama ada datangnya dari kalangan orang-orang Melayu
yang beragama Islam atau dari kalangan bukan-Islam yang kebanyakannya berbangsa
Cina dan India. Sebahagian dari
kenyataan ini dibuat atas nama agama (Islam) dengan hujah mempertahankan
kepentingan Melayu dam Islam. Sebahagian dari tokoh-tokoh Melayu dan
pertubuhan-pertubuhan Melayu Islam pula cenderung memposisi diri sebagai
‘pembela Melayu’ dan golongan bukan-Islam (Cina dan India) pula sebagai ‘musuh
yang berniat jahat’ yang siap siaga dengan segala tipu muslihat bagi merampas
hak-hak orang-orang Melayu-Islam dan menyekat peluang untuk mereka maju serta
akhirnya bertujuan mengambilalih pemerintahan negara dari tangan orang-orang
Melayu. Ini menjadikan pendekatan yang digunakan dalam mendepani golongan
bukan-Islam sering diselubungi prejudis yang tebal, kebencian dan
permusuhan. Sikap ini mendorong
terbitnya kenyataan-kenyataan rasis dan berlakunya berbagai insiden provokatif.
Kelihatan semacam adanya kesengajaan kelompok tertentu mengeksploitasi isu-isu
sensitif, mencemuh kepercayaan dan amalan kaum tertentu, memberi label dan
gelar yang menimbulkan kemarahan penganut agama-agama yang lain. Keadaan
menjadi bertambah buruk apabila ada parti-parti politik yang secara langsung
atau tidak langsung mengeksploitasi isu-isu perkauman bagi kepentingan survival atau kelangsungan hayat parti
politik mereka.
Adalah realiti dan ketentuan ilahi
bahawa orang-orang Islam akan hidup berdampingan dengan mereka yang
bukan-Islam. Dalam apa keadaan sekalipun tidak mungkin orang-orang Islam boleh
hidup terpisah atau mengelak diri dari berinteraksi dengan mereka yang
bukan-Islam. Pendekatan keras dan sikap permusuhan serta emosi kebencian akan
menjadikan hubungan orang-orang Islam dengan bukan-Islam sentiasa tegang dan
boleh bertukar menjadi lebih buruk bahkan mungkin mencetuskan pergaduhan kaum
yang memakan korban. Sebahagian dari sikap negatif orang-orang bukan-Islam
terjadi sebagai reaksi terhadap sikap dan tindak tanduk orang-orang Islam
sendiri yang provokatif dan emosional. Dalam banyak keadaan, sikap, pandangan dan
tindak tanduk mereka sebenarnya jauh menyimpang dari pendirian Islam yang
benar. Allah s.w.t. mengingatkan agar
jangan sampai kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong berlakunya kezaliman ke
atas mereka.
Dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu melakukan
ketidakadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap
adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan – al-Maidah 5:8
Hubungan sesama Islam adalah atas
dasar persaudaraan keimanan (ukhuwwah imaniyyah). Sebaliknya orang-orang
Cina dan India, walaupun tidak beragama Islam tetapi mereka adalah warga negara
Malaysia yang sah dan mereka merupakan rakan senegara. Dan atas dasar persaudaran
kerana tanahair (ukhuwwah wataniyyah), mereka adalah rakan senegara yang
mempunyai hak yang mesti dihormati dan dipertahankan. Hasrat untuk cita-cita
membina Bangsa Malaysia yang diwar-warkan, tidak akan tercapai kecuali dengan
perpaduan dan kesatuan semua bangsa yang ada; Melayu, Cina, India dan
lain-lain. Semua bangsa yang ada perlu mempunyai matlamat yang jelas serta
tekad yang kuat untuk membina hidup bersama secara aman. Pemerintah perlu
menjadikan ‘membina hidup bersama secara aman’ sebagai asas yang terkandung
dalam semua dasar yang dirumusnya. Untuk itu keutamaan mesti diberi kepada
memperkukuhkan sistem musyawarah yang melibatkan pimpinan dan cerdik
pandai semua kaum. Sikap terbuka dengan dialog dan positive engagement yang
dibuat dengan jujur akan menyumbang kepada persefahaman yang lebih baik serta
penyatuan matlamat yang diperlukan dalam usaha membina Bangsa Malaysia.
Para pemimpin politik seharusnya
berfikiran jauh dan bertindak sebagai statesman yang memikirkan masa
depan negara dan kepentingan jangka panjang. Mereka perlu mengelak diri dari
memainkan isu-isu bangsa dan kaum dan berhenti dari menggunakan strategi
menakut-nakut satu kaum dari kaum yang lain. Mungkin tindakan seperti ini,
untuk suatu tempoh, membantu
memanjangkan hayat politik seseorang atau sesebuah parti politik namun akhirnya
akan menimbulkan perbalahan kaum yang akan memporakperandakan negara. Sekiranya
para pemimpin negara tidak mengambil pendirian tegas berdasarkan prinsip
kebenaran dan keadilan, sementara masyarakat terbanyak pula tidak dididik agar
menghormati satu sama lain, belajar menghargai perbezaan dan kepelbagaian serta
bersedia bertolak ansur, keadaan akan menjadi lebih buruk dan negara sekali
lagi akan berdepan dengan bencana yang pernah menimpanya. Sejarah yang kita
lalui memperlihat berbagai ketegangan dan konflik perkauman berlaku sejak tahun
1945 termasuk peristiwa terburuk yang terjadi pada 13 Mei 1969.
Sekian.
(Cikgu Abd Halim Ismail adalah Naib Pengerusi Wadah
Pencerdasan Umat Malaysia WADAH. Artikel ini diterbitkan di dalam majalah
PENCERDASAN Edisi Januari-April 2017)
No comments:
Post a Comment