FIQH KEWARGANEGARAAN : APLIKASINYA DALAM KONTEKS MALAYSIA BAHARU
Siddiq Fadzil
(Nota Ucaptama Muhadharah Pentadbiran Islam “Siyasah Shar`iyyah:
Aplikasi Fiqh Kewarganegaraan (Fiqh al-Muwatanah) Dalam Era Malaysia Baharu”)
Fiqh Kewarganegaraan termasuk dalam liputan al-Siyasah al-Shar`iyyah,
disiplin ilmu yang menangani perubahan dan perbezaan realiti politik. Ungkapan
“Syari`at Islam sesuai untuk semua tempat dan setiap zaman” dapat
direalisasikan apabila perubahan dan perbezaan realiti yang berlaku kerana
peredaran zaman dan perbezaan tempat ditangani dengan baik menerusi dinamika al-siyasah
al-shar`iyyah yang berpaksikan ijtihad demi maslahah.
Al-Siyasah al-Shar`iyyah telah membeku selama berabad-abad, dan ini
telah mengakibatkan perkembangan dan perubahan politik dalam masyarakat Islam
terlepas dari kendali siyasah shar’iyyah. Kerana itu dinamika siyasah
shar`iyyah harus dipulihkan bagi memungkinkannya berperanan semula
menangani realiti-realiti baru di ranah politik berasaskan prinsip dan nilai
politik Islam. Selari dengan itu fiqh al-siyasah atau fiqh al-dawlah
kita juga harus dibaharui sesuai dengan realiti politik hari ini. Warisan
turath fiqh politik abad ke-5 hingga abad ke-8H memang sesuai dengan realiti
politik zaman tersebut, tetapi realiti politik abad ke-15H jelas sudah banyak
berubah. Kerana itu kita memerlukan fiqh politik baru.
Terkait dengan itu diperlukan pula usaha penyegaran fiqh al-waqi`
(fiqh realiti) yang merujuk realiti perubahan zaman di samping realiti khas
tempatan. Dalam konteks Malaysia, realiti yang harus diperhitungkan termasuklah
sistem politik, komposisi penduduk, budaya dan sejarahnya. Ciri-ciri khas
kemalaysiaan inilah pula yang menjustifikasikan penggagasan fiqh Malaysia.
Malaysia adalah sebuah negara demokratik. Politik Islam boleh menerima
demokrasi yang berintikan prinsip hak rakyat memilih pemerintah, hak rakyat
berpartisipasi dalam melaksanakan pemerintahan dan hak rakyat menentukan sistem
pemerintahan yang mereka inginkan sejauh yang tidak bertentangan dengan prinsip
dan nilai Islam. Demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat dapat diserasikan
dengan hakikat bahawa menurut Islam umat adalah tonggak (al-ummah hiya
al-asl) seperti yang ditegaskan oleh al-Raysuniy. Dengan demikian al-ummah
(rakyat) harus lebih besar daripada al-dawlah (kerajaan). Justeru,
kerajaan pada hakikatnya adalah alat pelaksana kemahuan rakyat.
Demokrasi yang disemangati prinsip dan nilai Islam harus menjunjung tinggi
kedaulatan rakyat. Demokrasi hanya akan mempunyai erti jika rakyat menyedari
kedaulatan dirinya. Daulat rakyat dalam erti siyadat al-sha`b membawa
implikasi bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah).
Daulat rakyat dalam konteks umat Islam tidak mengatasi daulat syari`at. Daulat
syari`at mengatasi semua. Dalam konteks Malaysia, ada pula daulat raja di
samping daulat rakyat. Kedua-duanya mempunyai erti dan konteks sendiri-sendiri.
Daulat rakyat diertikan sebagai sumber kekuasaan dalam konteks sistem
demokrasi. Daulat raja pula diertikan sebagai kuasa tertinggi dalam konteks
raja berperlembagaan. Daulat raja juga dapat diertikan sebagai wibawa peribadi
dan institusi, sehingga selain memiliki kuasa yang diperuntukkan oleh
perlembagaan, raja juga memiliki moral authority yang tinggi dan dihormati.
Yang harus dipastikan ialah adanya maslahah yang real dalam pelestarian
institusi raja. Mungkin ini dapat dilihat dari segi fungsinya sebagai pelindung
rakyat yang mengatasi politik dan non-partisan. Kedudukannya sebagai ketua
agama pula dapat ditafsirkan sebagai institusi pengawal daulat syari`at.
Demokrasi selalu dipertentangkan dengan shura. Memang demokrasi
tidak mesti sama dan tidak mesti tidak sama dengan shura. Menurut Islam,
pemerintahan negara harus berdasarkan shura (dawlah shuriyyah)
dalam pengertian peranserta rakyat dalam pengurusan kehidupan mereka. Demokrasi
seharusnya menjiwai semangat tersebut dengan menepati makna peranserta rakyat
di semua peringkat baik secara langsung atau menerusi sistem perwakilan. Yang
lebih penting lagi ialah pembudayaan shura dalam kehidupan sehari-hari.
Malaysia adalah negara bermasyarakat majmuk. Muslim dan bukan-Muslim
mendapat taraf kewarganegaraan penuh. Semuanya disebut warganegara (muwatinun).
Pengkategorian kafir harbiy atau kafir dhimmiy bagi warga bukan-Muslim
tidak lagi relevan dalam realiti politik hari ini. Semua kaum dan golongan
berhak memelihara dan mempertahankan jati diri keagamaan dan kebudayaan
masing-masing. Dengan demikian kepelbagaian akan terus wujud sebagai ciri khas
masyarakat Malaysia.
Fenomena kepelbagaian harus disikapi secara positif. Ia wujud dengan
kehendak Allah sendiri kerana hikmah dan maslahah tertentu. Manusia yang
diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku adalah untuk tujuan saling
mengenal (lita`arafu). Berlakunya proses saling mengenal tentunya akan
berkelanjutan dengan saling memahami, saling menghormati, saling memberi dan
menerima, saling memperkaya, saling bekerjasama dan saling memperkuat. Demikian
andainya kepelbagaikan dimanfaatkan dengan bijaksana.
Kepelbagaian tidak seharusnya menjadi punca silang sengketa. Islam
menjadikan damai (salam) sebagai prinsip pelayanan terhadap orang lain.
Nilai salam diinternalisasikan menerusi pelbagai cara. Justeru, salam
adalah nama Tuhan, nama syurga, lafaz hormat orang Islam, kata penutup
sembahyang dan lain-lain lagi. Selama berabad-abad umat Islam telah membuktikan
semangat salam dalam interaksi mereka dengan kaum-kaum lain. Semangat
ini harus dilestarikan.
Semua golongan dengan jati diri keagamaan dan kebudayaan yang pelbagai itu
harus bergabung membentuk satu ummah siyasiyyah yang inklusif dengan
memakai acuan Perlembagaan Madinah. Dari perlembagaan tersebutlah terumusnya
formula pembentukan bangsa Malaysia, kepelbagaian dalam bungkai kesatuan.
Kepelbagaian tetap wujud, tetapi semuanya terpadu dalam lingkaran bingkai
kesatuan yang berupa persaudaraan kemanusiaan, persaudaraan kenegaraan,
kesepakatan komitmen terhadap dasar-dasar kenegaraan seperti rukun negara,
bahasa kebangsaan dan lain-lain di samping perkongsian nilai-nilai kemanusiaan
sejagat seperti patriotisme, integriti moral, kebebasan, keadilan, persamaan,
hak asasi manusia dan sebagainya.
Keadilan sebagai nilai teras ajaran Islam harus dilaksanakan baik sesama
Muslim mahupun terhadap yang bukan-Muslim. Dasar Islam dalam melayani warga
bukan Islam yang komited terhadap aspirasi hidup berdampingan secara damai
ialah melakukan kebaikan (al-birr) dan menegakkan keadilan (al-qist).
KDH/IDE/UNISEL
ILIM: 06092018.
No comments:
Post a Comment