Tuesday, September 18, 2018

AHMAD AZAM: IBRAH, DAKWAH DAN POLITIK



DAKWAH DAN POLITIK:  
IBRAH DARIPADA MODEL MADINAH AL-NABI

“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-An’am 6:165).

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada  Allah SWT atas segala nikmat dan rahmat-Nya, atas limpahan kurnia-Nya, yang mengikat hati-hati ini dalam suatu ikatan kental ukhuwwah Islamiyyah dalam sebuah Gerakan tercinta bagi memperjuangkan cita-cita Islamiyyah, serta menegakkan kebenaran dan keadilan.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad , pembawa cahaya dan petunjuk kebenaran untuk panduan hidup bagi seluruh manusia sarwa alam.

1.0   PENGENALAN

AlhamduliLlah, Muktamar Nasional ke-12 kali ini amat bersejarah bagi kita semua. Buat pertama kali setelah mempelopori 20 tahun perjuangan Dakwah dan Reformasi, mengharungi ranjau dan duri, dihempas badai dan ombak demi sebuah perjuangan, kita dapat menghirup udara segar kebebasan. Bebas daripada ketakutan dan kongkongan. Bebas dari tekanan fizikal serta gangguan psikologikal sebuah pemerintahan kleptokrasi yang menindas.

Namun, cabaran di hadapan kita amat besar. Menukar kerajaan yang bobrok tidaklah sesukar membina dan mencipta sesuatu yang baru. Apatah lagi dengan pelbagai kerosakan yang telah dibuat termasuk beban hutang, ketirisan yang berskala mega dan kegagalan serta kecurangan institusi-institusi penting pemerintah. Justeru itu, sempena Muktamar Nasional kali ini, WADAH menganjurkan Seminar Gerakan Islam dan Perubahan Politik dengan mengangkat tema “Dari Reformasi ke Malaysia Baharu: Rahmat untuk semua”.

Apakah perubahan-perubahan yang kita harapkan? Bagaimanakah kita harus menangani perubahan-perubahan itu? Melakukan ‘perubahan politik’ tidaklah sesukar merancang sebuah ‘politik perubahan’. Suatu hakikat yang harus ada dalam minda kita bahawa sebarang usaha perubahan yang hendak dilakukan mestilah menerima hakikat kemajmukan kaum dan kepelbagaian agama dan budaya penduduknya. Ciri demikian merupakan satu keistimewaan dan sumber kekuatan. Allah SWT, dalam ayat al-Quran berikut, mengisytihar kepelbagaian sebagai satu ketetapan dari-Nya dan menjelaskan antara hikmah di sebalik ketentuan-Nya itu:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Al-Hujuraat 49:13).

2.0 NARATIF REFORMASI

Dalam euphoria meraikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu, banyak yang ingin ‘mengambil kredit’ dari peristiwa tersebut dan menyorong naratif yang mengangkat diri masing-masing. Walau apa pun, kejayaan ini bukanlah milik orang perseorangan, tetapi perjuangan yang didorong oleh kesedaran rakyat. Perjuangan menukar kerajaan yang bertapak lebih 61 tahun bukan sesuatu yang mudah. Perjuangan seperti ini bukan sahaja memerlukan semangat yang tinggi tetapi juga menuntut gemblengan tenaga yang tidak sedikit dan pengorbanan yang luar biasa.

Maka wajar sekali setiap peranan dan sumbangan yang diberi; tanpa mengira besar dan kecil dikenang dan dihargai. Sejarah Reformasi dan kemenangan PH adalah sejarah besar negara selepas sejarah kemerdekaan. Mengiktirafnya sebagai ‘kemerdekaan kedua’ untuk Malaysia adalah sesuatu yang mempunyai justifikasinya.

2.1 Pelopor Kebangkitan Rakyat: Tidak dapat dinafikan bahawa sejarah Reformasi diawali dengan sokongan tidak berbelah dan komitmen besar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sepanjang 20 tahun perjuangan Reformasi, gerakan kita tidak pernah ‘absent’ dalam setiap proses dan perkembangan yang berlaku sekalipun dengan berbuat demikian ABIM berhadapan dengan ‘ranjau dan duri’. Keputusan untuk ABIM tampil mempelopori gerakan Reformasi bukanlah sesuatu yang mudah. Selama 16 tahun ABIM mengambil pendekatan lunak sebagai ‘Rakan dalam Pembinaan Negara’ (Partner in Nation Building), membantu pemerintah terutama dalam membangunkan kesedaran rakyat. Namun apabila ABIM mengambil sikap lebih kritikal, ketika kerajaan berubah menjadi intoleran dan tidak prihatin, ABIM menerima berbagai tekanan dan tindakan dari pemerintah dengan risiko pengharaman, dakwaan dan tangkapan.

Sebagai sebuah gerakan yang bertanggungjawab, ABIM tidak mempunyai pilihan kecuali tetap memperjuangkan keadilan dan mempertahankan prinsip kebenaran. Seawal 6 September 1998, setelah pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998,  ABIM bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Angkatan Sains Islam Malaysia (ASASI) telah melancarkan Gerakan Reformasi Rakyat (GERAK) di Pusat Latihan ABIM, Sg Ramal Dalam. Bermulalah selepas itu protes dan demonstrasi, himpunan dan bantahan meluas ke pelbagai pelusuk negara hingga menimbulkan kebimbangan dan menggugat mereka yang berkuasa. 

2.2 Penangkapan dan Penahanan: Dari situ juga bermulalah perjuangan dengan onak dan duri yang menguji kesetiaan ahli dan mencabar integriti gerakan. Dengannya terserlah ‘yang mana kaca yang mana intan’, ‘siapa setia, siapa berkepentingan’ dalam kalangan mereka yang memanggil diri sebagai pejuang dan pendakwah. Dukungan ABIM dengan kekuatan jentera setiap negeri dan daerah telah menyemarakkan roh Reformasi dan berjaya melebarkannya ke seluruh negara. Tindakan-tindakan keras untuk melumpuhkan pengaruh ABIM dilakukan dengan pelbagai cara oleh kerajaan termasuklah penangkapan dan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tindakan, tidak hanya diambil terhadap pimpinan yang sedia ada, bahkan juga terhadap mantan-mantan pimpinan yang berada dalam posisi strategik dalam kerajaan dan Parti UMNO. Namun semua tindakan itu tidak dapat melenturkan semangat perjuangan pimpinan dan ahli-ahli ABIM.

2.3 Menolak Fitnah: Salah satu sumbangan terbesar ABIMdan dianggap paling berkesan ialah mempertahankan maruah Anwar Ibrahim daripada tercemar dengan tuduhan keji salah laku moral. ABIM menggerakkan kempen penerangan dan penjelasan melalui siri ceramah, penerbitan makalah dan forum. ABIM juga bekerja keras bagi mendapatkan pandangan ulama muktabar seluruh dunia bagi mengukuhkan keyakinan dan pendirian yang telah diambil. Mereka yang dirujuk termasuk Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Al-marhum Sheikh Wahbah al Zuhaili dan Sheikh Rached Ghanoushi.

2.4 Wan Azizah Sebagai Ikon Reformasi: Satu lagi peranan ABIM yang signifikan ialah mengangkat Dr. Wan Azizah sebagai Ikon Reformasi dengan memperkenalkan beliau melalui rangkaian ABIM ke seluruh negara. Langkah ini menempatkan Dr. Wan Azizah sebagai tokoh penting gerakan reformasi dan sekaligus mematikan polemik: boleh atau tidak wanita menjadi pemimpin.

3.0 MENANGANI PERUBAHAN

Pada PRU14, majoriti rakyat telah membuat keputusan dan mencapai kesepakatan menyokong secara terbuka politik perubahan yang dibawa oleh Pakatan Harapan. Kita  mengharapkan hasrat murni rakyat yang ingin melihat perubahan bermakna berlaku dalam negara ini, akan menjadi kenyataan termasuk tertegaknya demokrasi yang benar-benar merakyat, amalan nilai-nilai politik yang luhur dan proses proses pilihanraya yang adil dan bersih.

Seperti yang dinukilkan Dr Siddiq Fadzil, demokrasi memerlukan peranserta rakyat secara aktif dan bertanggungjawab, termasuk komitmen pemantauan, pengawalan, teguran dan koreksi (muraqabah dan muhasabah) terhadap dasar dan tindakan para penguasa, sesuai dengan kewajipan amar ma’ruf nahi munkar. Dalam hal ini, gagasan sistem dua parti diperlukan kerana ia memastikan adanya “semak dan imbang” atau ‘check and balance’ yang berkesan agar kuasa tidak dibolot oleh satu kelompok elit penguasa. Rakyat mempunyai pilihan yang terbaik daripada kumpulan yang berlainan visi, idea dan strategi, kompetensi, imej dan integriti. Sistem dua parti yang kuat berupaya menghalang salahguna kuasa dan memastikan terlaksananya keadilan sosial. Tujuan-tujuan inilah yang mendorong kita mengangkat agenda ‘politik perubahan’ agar menjadi realiti demi masa depan negara.

Perubahan dan kemajuan yang kita ingini daripada kebangkitan memerlukan asas ilmu, adab, moral dan etika. Pemikiran dan pengalaman tamadun Islam di rantau ini dan proses Islamisasi yang telah tergendala dan terkeliru sejak ratusan tahun yang lampau perlu dijadikan iktibar. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas  (Muhammad Naquib al-Attas, 1978: 41: lihat dalam Wan Mohd Nor Wan Daud (1991: 97): “Islamisasi adalah pembebasan manusia, pertama daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan, dan selepas itu (pembebasan) akal dan bahasa daripada pengaruh sekularisme.”

Islamisasi dalam konteks ini, merujuk kepada perubahan yang perlu berlaku di dalam pemikiran diri peribadi setiap Muslim. Hanya menerusi perubahan sedemikian iaitu bermula di peringkat peribadi barulah akan berlaku gelombang perubahan yang bermakna dalam masyarakat (Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2001).

4.0 BELAJAR DARIPADA KEBANGKITAN LAIN
Syaikh Yusuf Al-Qardhawi banyak menulis tentang kebangkitan Islam dan beliau telah memberi gagasan-gagasan penting demi meluruskan halatuju gerakan kebangkitan Islam.  

4.1 Kebangkitan Pengukuh Gerakan: Kebangkitan atau sahwah mengandungi arus pelbagai aliran, warna, kumpulan atau individu sama ada terarah, berencana ataupun tidak. Gerakan Islam pula merupakan pergerakan berorganisasi dengan matlamat yang jelas dan terarah. Setiap kebangkitan adalah gerakan tetapi bukan semua gerakan membawa kebangkitan. Kebangkitan atau sahwah adalah lebih besar dan gerakan berperanan mendorong kebangkitan ke arah dan matlamat yang benar-benar mendatangkan maslahah kepada ummah. Inilah cabaran besar yang perlu dihadapi.
Dr. Sali Berisha pemimpin pertama yang dipilih secara demokratik di Albania memberitahu Aliya Izetbegovic bahawa dia mewarisi pemerintahan yang korup, parah dan jejak-jejak gersang sehingga dia sendiri terpalit. Empat puluh lima tahun pemerintahan kuku besi dan komunis Enver Hoxha telah meninggalkan kerosakan parah kepada sistem dan budaya Albania. Kebangkitan rakyat dan pembebasan tidak menghasilkan perubahan serta pembaharuan yang dihasratkan apabila mereka kembali kepada zaman diktator korup yang lama. 

Begitulah juga nasib Dr Morsi di Mesir yang bertarung bagi mengisi kemenangan thawrah sy’ab yang telah dikecapi dengan harga yang mahal melalui pengorbanan nyawa dan darah. Namun, regim fasad dan korup terutama di kalangan tentera dan pegawai-pegawai kerajaan serta kaum elit yang berakar tunjang selama 60 tahun masih lagi kekal. Mereka kembali mengambil kesempatan merampas negara apabila sebahagian rakyat Mesir sendiri masih lemah dan mudah dihasut serta masih dibelenggu oleh ‘fikiran yang mati’ (al-fikri al mumit) dan jatidiri ‘seorang hamba’ (abdan mamluk).

Negara-negara Eropah Timur menghadapi dilemma yang sama pasca kejatuhan regim-regim Komunis. Selepas suku abad berlalu, rakyat kecewa dengan tiadanya perubahan yang diimpikan. Dengan sedikit kekecualian, negara-negara pascakomunis dilihat sebagai negara yang gagal dan masih tidak berjaya keluar daripada kemelut ekonomi, sosial dan politik dengan kemunculan diktator dan autokrat baharu. Perang dan keganasan yang meletus dari Nagorno-Karabakh, Chechnya dan Ukraine Timur telah merobek 40 tahun “cold peace” di benua Eropah.

4.2 Model Rekonstruksi Jerman dan Jepun: Usaha mendesak untuk mencari model pembangunan memerlukan proses merenung semula tentang kekuatan dan kegemilangan silam; bagaimana kita perlu bangkit daripada kemelut kleptokrasi dan plutokrasi (negara yang ditadbir oleh golongan kaya).
Model-model pemulihan dan pembangunan semula negara Jepun dan Jerman boleh dijadikan contoh. Kedua-dua negara ini mengalami economic miracles dalam dekad-dekad awal selepas Perang Dunia Kedua (1940-an hingga 1970-an) selepas mereka hancur musnah di ranah peperangan. Kedua-dua negara ini adalah antara empat  ekonomi terbesar di dunia ketika ini, selain Amerika Syarikat dan China. Meskipun evolusi pembangunan ekonomi mereka wajar ditelaah, kajian tersebut perlu juga meneliti impak kebajikan dan sosio-ekonomi ke atas perkembangan budaya dan pemikiran rakyat mereka.

Setelah pimpinan Nazi dibicarakan di Nuremberg dan dijatuhi hukuman, pentadbiran Jerman dipimpin oleh Konrad Adenauer selaku Canselor Jerman – negarawan tertua yang berusia 73 tahun dilantik sebagai pemimpin negara. Tiada seorang pun pimpinan Nazi yang tersisa yang boleh diharap untuk menerajui Jerman ketika itu kecuali beliau. Selama 14 tahun (1949-1963), Konrad Adenauer memulihkan negara Jerman, menjuarai proses perindustrian di Eropah dan akhirnya menatijahkan fenomena keajaiban ekonomi (wirtschaftswunder).

Jepun pula musnah ranah dengan tragedi Hiroshima dan Nagasaki dan psyche bangsanya dikatakan hancur luluh. Namun mereka mengumpul segala kekuatan untuk bermula daripada sifar. Bangsa Jepun menerima hakikat keadaan mereka seadanya – tidak apologetik dengan masa lalu, lalu melakar masa depan yang lebih pasti dan gemilang di bawah pimpinan Shigeru Yoshida (1946-1954) yang mula dilantik sebagai Perdana Menteri ketika berusia 68 tahun. Melaluinya, muncul generasi baru yang lebih terbuka, dengan corak pembangunan yang bernuansa baru – meninggalkan corak pembangunan a la Pembaharuan Meiji (Meiji Restoration) yang telah mengilhamkan sebuah kerajaan empayar yang kuat dan bersifat expansionary melampaui batas sempadan negara sendiri. Keajaiban Ekonomi Jepun selepas Perang Dunia Kedua menghasilkan syarikat-syarikat seperti Hitachi, Toyota, Sony, Mitsubishi, dan Honda – yang kini dikenali sebagai syarikat-syarikat gergasi dunia yang berteknologi tinggi. Peranan Kerajaan Jepun khususnya Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) diteliti rapi, lebih-lebih lagi berkenaan model pembangunan yang penuh campurtangan pemerintah (interventionism) yang dikenali sebagai developmental state atau negara kepembangunan (Johnson, Chalmers. 1982). Pengalaman pembangunan semula Jepun merumuskan bahawa kepimpinan yang berbeza diperlukan bagi menekankan pelaksanaan fokus yang berbeza. Dalam kesempatan itu juga mereka belajar untuk memaafkan dan melepaskan masa silam.

5.0 MALAYSIA BAHARU ACUAN MODEL MADINAH AL-NABI

Kejayaan Rasulullah memimpin masyarakat Arab amat disanjung tinggi oleh kawan dan lawan. Piagam Madinah yang menjadi sumber dan dasar dalam pentadbiran Islam mengetengahkan model terbaik dalam mengurus kepelbagaian masyarakat dalam konteks kenegaraan. Menurut Sai’d Hawwa, Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah adalah perlembagaan bertulis yang pertama diiktiraf di dunia. Dokumen yang disusun oleh Nabi Muhammad ini mengikat perjanjian formal antara dirinya dengan semua suku dan kaum penting di Yathrib (Madinah) pada tahun 622 Masihi. Antara tujuan utama Sahifah ini adalah untuk menyatukan Bani ʹAus dan Bani Khazraj dan menetapkan sejumlah hak dan kewajiban bagi kaum Muslim (Muhajirin dan Ansar), Musyrikin Arab dan kaum Yahudi, dalam komuniti ummah yang merdeka dan berdaulat serta bertanggungjawab memelihara keamanan negara Madinah. 

5.1 Hikmah Sahifah al-Madinah: Apakah hikmah daripada Sahifah al-Madinah? Kita lihat melalui sejarah penduduk Madinah yang berbilang bangsa dan agama hidup bersatu padu. Saling menghormati dan menerima perjanjian yang ditandatangani. Selain itu, ajaran Islam yang murni dan akhlak Nabi Muhammad yang terpuji menarik minat golongan musyrikin untuk memeluk agama Islam. Maka syiar Islam pun berkembang. Bilangan umat Islam pula semakin bertambah sekaligus memperkukuh negara Islam Madinah di persada Tanah Arab setanding kerajaan dunia semasa ketika itu seperti Rom dan Parsi. Bukankah kejayaan model Sahifah Madinah ini telah menempatkan Islam sebagai sebuah kerajaan yang  berjaya menyatukan umat daripada pelbagai agama dan bangsa di bawah bumbung Islam?

Tidakkah kita mahu sebagai sebuah negara majoriti umat Islam mempersiapkan diri mengambil ibrah daripada perjanjian Sahifah al-Madinah untuk meneroka kaedah bagaimana Islam mampu memimpin masyarakat dalam suasana kepelbagaian? Pengiktirafan Islam kepada hubungan dan ikatan anggota masyarakat berasaskan ukhuwwah imaniyyah (persaudaraan seiman) dan ukhuwwah wataniyyah (persaudaran setanah air) adalah pendekatan yang amat praktis dalam mewujudkan keharmonian masyarakat. Umat Islam tidak boleh terlalu eksklusif dengan takrifan persaudaraan yang rigid sebaliknya perlu inklusif sesuai dengan ajaran Islam yang luas dan penuh rahmat.

5.2 Masjid sebagai Pusat Pemerintahan dan Penyatuan: Perkembangan Islam bermula di masjid dan rumah-rumah Allah SWT yang dibina oleh Rasulullah dan para sahabat. Masjid pada zaman Nabi    bukan sahaja sebagai tempat ibadat namun juga sebagai pusat sosial dan pentadbiran kerajaan. Di sinilah Rasulullah  mencorakkan sistem perpolitikan yang terpimpin di bawah pentadbiran yang berteraskan tauhid dan aqidah yang murni. Masjid yang dibina menjadi medan menyebarkan elemen salam (kesejahteraan) dan melebarkan kefahaman Islam kepada Muslim dan bukan Muslim serta mengangkat martabat kemurnian Islam.

Masjid merupakan institusi sosial yang penting sebagaimana yang berlaku pada zaman Nabi SAW. Ini selaras dengan ayat al-Quran berikut,

“Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. Ibadah dikerjakan oleh orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, mereka takut hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan”. (Al-Nuur 24:36-37).

Dalam sejarah Islam Masjid adalah instrumen negara yang diberi perhatian serius dan dibangunkan  bagi memastikan keupayaan dan kecekapannya dipertingkat bagi membantu untuk merangka dasar, menyusun program serta melaksanakan projek, terutama yang ditujukan kepada umat Muslimin. Selain peranan masjid memperkukuhkan agenda pembangunan sosial, institusi masjid juga bertindak membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui bantuan-bantuan kebajikan, menjadi institusi pelengkap untuk membantu fakir miskin, tempat perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, remaja dan golongan kurang berkemampuan yang meliputi anak yatim, orang cacat, uzur atau tua dan ibu atau bapa tunggal. Keutamaan masjid sebagai benteng pertahanan moral dan keutuhan masyarakat perlu terus diperkukuh untuk memberi pengarahan dalam pembangunan masyarakat dan pendorong kepada keadilan dan kestabilan. Inilah peranan penting yang harus dimainkan agar tempat pengibadatan Islam lebih terbuka dan termasuk menyantuni masyarakat bukan Islam. Pemerintah Malaysia Baharu perlu mengambil kesempatan dari perubahan politik yang terjadi bagi mengupaya peranan masjid supaya benar-benar menjadi institusi sosial yang berkesan sesuai dengan model yang ditunjukkan oleh Rasulullah .


Tidak dapat dinafikan bahawa kesatuan, keharmonian and konsensus amat penting dalam pembinaan negara. Masalah kesatuan dan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk melibatkan Islam dan bukan Islam memang merupakan  cabaran besar yang perlu dihadapi dam membina masyarakat yang harmonis, seterusnya dalam membina negara bangsa; Bangsa Malaysia.

5.3.1 Polarisasi Kaum Makin Melebar: Kebimbangan masyarakat makin bertambah ekoran insiden-insiden yang memaparkan meningkatnya prasangka dan saling ketidakpercayaan antara kaum di negara ini termasuk kenyataan-kenyataan rasis yang mengundang kebencian, amalan diskriminatif serta pengunggulan kaum (race supremacy) yang melampau. Malaysia Racial Discrimination Report 2017 (MRDR 2017) menyebut, “there was an increase of incidences of racial discrimination in Malaysia in 2017.”  Menurut Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, “Based on general observation and election trend at the time, indicators of racial polarisation began to surface”. Polarisasi kaum dan diskriminasi  termasuk pernyataan dan ucapan kebencian (hate speeches), kelihatan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan.

5.3.2 Konflik Akibat Sentimen Kebencian Agama: Di Malaysia, keadaan menjadi lebih buruk kerana kebencian tidak hanya atas sebab-sebab perkauman tetapi diperkuat dengan sentimen keagamaan. MRDR 2017 menegaskan bahawa, “the intersectionality between religious and racial discrimination is apparent…”  Kita dapat melihat pertentangan antara kaum Melayu-Islam di satu pihak, dengan mereka yang bukan Islam di pihak yang lain. Bagi mempertahankan hak dan kebebasan, golongan bukan Islam membentuk MCCBCHT (Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Taoism) untuk membela agama dan penganut mereka daripada menjadi mangsa diskriminasi. Pendekatan konfrontasional antara komuniti Islam dengan bukan Islam tentulah tidak sihat bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keadaan demikian jelas tidak akan membantu usaha mewujudkan persefahaman dan integrasi nasional. Pendekatan terbaik bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih kekal bukan dengan cara berkonfrontasi tetapi melalui pembabitan positif (positive engagement) pihak-pihak terlibat melalui dialog yang lebih ramah dan bertanggungjawab.

5.3.3 Konsep Muwatanah Bukan Kafir Dhimmy/Harbi: Istilah-istilah kafir harbi (orang kafir yang diperangi) dan kafir dhimmiy (orang kafir yang dilindungi) diakui oleh ramai pemikir Islam kontemporari sebagai tidak lagi releven dengan konsep negara moden. Mereka yang bukan Islam kini, termasuk dalam negara kita Malaysia, adalah rakan senegara yang terlibat secara langsung dalam membangunkan negara dan mempertahankan kedaulatannya dan memperjuangkan kemerdekaan. Mereka adalah warga negara dan bukan lagi rakyat jajahan takluk dengan status warganegara kelas dua. Mereka memperolehi kedudukan muwatanah kamilah (full citizenship), memiliki hak-hak seperti warga negara yang, mereka ada hak dan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama dan mereka bebas untuk berpartisipasi dalam bidang-bidang ekonomi, politik, sosial dan pembangunan negara.

5.3.4 Hak Kebebasan Agama: Sekali lagi kami ingin menyentuh tentang Sahifah al-Madinah (Piagam Madinah). Kedudukan orang bukan Islam sebagai warga negara dengan hak-hak yang sama seperti orang-orang Islam, mempunyai tunjangan sejarah yang kukuh seperti yang terkandung dalam Sahifah al-Madinah. Hak dan tanggungjawab yang sama diberi kepada orang-orang Yahudi dan penganut agama lain untuk hidup bebas dan berpartisipasi dalam masyarakat tanpa diskriminasi dan penindasan.  Sahifah menyebut wa-annal Yahud Bani Auf ummatun ma`al mu’minin ( وأن اليهود بنى عوف أمة مع الؤمنين) ‘bahawa Yahudi Bani Auf adalah satu umat bersama orang-orang yang beriman’. Ikrar demikian mengukuhkan pernyataan dalam Mukadimah Sahifah yang menegaskan rupa bentuk masyarakat Madinah sebagai ummatun waa-hidah min duu-nin-nas ( أمة واحدة من دون الناس ) ‘satu umat yang berbeza dari orang yang lain’. Mereka bebas mengamalkan ajaran agama Yahudi sebagaimana kaum muslimin bebas mengamalkan ajaran Islam. Sahifah menyebut lil yahuud dii-nuhum wa lil muslimin dii-nuhum ( لليهود دينهم وللمسلمين دينهم )  ‘bagi orang-orang Yahudi agama mereka dan bagi kaum Muslimin agama mereka”. Seimbang dengan hak-hak yang mereka perolehi, mereka juga memikul tanggungjawab yang sama sebagaimana kaum muslimin yang lain seperti kaedah yang masyhur ‘lahum ma lana wa `alayhim ma `alayna’ ( لهم ما لنا وعليهم ما علينا ) ‘bagi mereka hak seperti kita dan tanggungjawab juga seperti kita’. Mereka perlu mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keamanan dan menjaga keharmonian hubungan dengan kaum muslimin.

5.3.5 Sahifah al-Madinah Jaminan Keadilan Semua: Konsep-konsep utama yang terkandung dalam Sahifah, tidak berbeza dari konsep kewarganegaraan atau citizenship dalam masyarakat moden yang secara umum dimengertikan ‘sebagai seseorang yang menjadi anggota sebuah komuniti politik atau negara, memiliki hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu dan baginya kebebasan untuk berpartisipasi secara penuh dalam proses politik dan pembangunan sosial-ekonomi negaranya’.

Deklarasi Al-Azhar hasil daripada sidang ‘Al-Muwatanah wal `Aish al-Mushtarak’ yang diadakan di Universiti al-Azhar al-Sharif, pada Februari 2017 menegaskan, “this declaration states with conviction that citizenship is not an imported solution, but the recovery of the early Islamic system of government applied by the Prophet of God – prayer and peace be upon him – in the first Islamic society founded by him: the State of Madina”.

Deklarasi ini juga menganjur agar semua pihak berhati-hati dengan istilah ‘minoriti’ kerana seringkali istilah ini membawa bersamanya nada diskriminasi dan pengasingan. Kita perlu secara berani mengangkat dasar-dasar penting seperti yang terkandung dalam Sahifah, khususnya konsep muwatanah agar difahami dan dihayati oleh masyarakat. Kefahaman konsep ini akan membantu membentuk sikap masyarakat yang lebih positif dan terbuka dalam meraikan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

5.3.6 Kemajmukan Suatu Rahmat: Islam adalah agama al-salam yang memberi penegasan luar biasa tentang cita-cita mewujudkan kasih sayang, perdamaian dan kesejahteraan hidup manusia. Risalah Islam hakikatnya adalah risalah keselamatan yang didatangkan dengan tujuan menyantuni manusia dalam mendepani kepelbagaian manusia dari segi jantina, bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya. Dalam konteks Islam, kepelbagaian (al-ta`ddudiyyah, al-tanawwu’) itu sendiri adalah bersifat tabi`i iaitu ketetapan dari Allah SWT sejak azali, termasuk di dalamnya kepelbagaian agama dan kepercayaan. Allah SWT menegaskan bahawa Dia dengan sengaja menjadikan manusia dengan sifatnya berbagai bahasa dan warna kulit (al-Ruum 30:22). Al-Quran juga menjelaskan bahawa penciptaan manusia, lelaki dan perempuan, kepelbagaian kaum dan bangsa adalah untuk mereka saling mengenali; kenal mengenal yang membawa kepada persefahaman, kasih sayang dan saling membantu (al-Hujurat 49:13). Islam menyedari bahawa dalam situasi aman dan damai yang disertai persefahaman dan kasih sayang sahaja manusia dapat bekerjasama bagi mengembangkan potensi diri dan memanfaatkan sumber-sumber yang ada bagi kesejahteraan hidup. Pentingnya al-salam (keselamatan, keamanan dan kedamaian) sehingga Islam menganjurkan supaya mereka yang bertanggungjawab dengan misi-misi perdamaian dan keamanan tidak memandang remeh setipis manapun peluang damai yang tinggal.

5.3.7 Fiqh al-Taayush al-Silmi: Berasaskan intipati al-salam ini,  para cerdik pandai Islam membangunkan ‘fiqh hidup bersama secara harmonis’ (fiqh al-taayush al-silmi) yang membahaskan prinsip-prinsip Islam tentang keperluan hidup bersama secara harmonis di tengah kepelbagaian ciptaan Allah SWT. Perbezaan bangsa dan kaum, bahasa dan budaya, bahkan perbezaan agama adalah tanda-tanda kekuasaan Allah SWT dan menjadi ujian kehambaan manusia. Perbezaan dan kepelbagaian yang terdapat di tengah-tengah manusia tidak seharusnya menjadi sebab timbulnya sangka buruk dan kebencian yang akhirnya membawa kepada diskriminasi, sikap rasis serta ketidakadilan.

Kepelbagaian adalah ciptaan Allah SWT, dan manusia tidak berhak mempersoalkan kebijaksanaan Allah SWT. Sebaliknya kita harus menerimanya secara terbuka dengan sangkaan yang baik. Kepelbagaian harus dilihat sebagai ujian Allah SWT bagi menentukan ketinggian akhlak dan ketaatan kita terhadap-Nya. Berasaskan prinsip-prinsip hidup al-taayush al-silmi, sebuah masyarakat harmonis dapat dibangunkan atas dasar kemuliaan insan (karamah insaniah), persaudaraan senegara (uhuwwah wataniah) dengan sikap hormat menghormati, bertolak ansur (tasaamuh) dan bekerjasama dalam kebajikan dan taqwa (taawun `alal-birr wat taqwa). Asas-asas ini cukup kuat untuk membentuk kehidupan yang harmonis dalam masyarakat.

5.3.8 Membendung Api Fitnah dan Kebencian: Perbezaan dan kepelbagaian mudah mencetuskan kebencian antara kaum dan agama yang membawa kepada tersebarnya budaya fitnah dan kebencian. Sekiranya hal ini diapi-apikan, tidak mustahil ketegangan akan bertukar menjadi kekacauan dan tragedi seperti yang pernah berlaku di negara ini pada tahun 1969. Namun kenyataannya, hari ini di Malaysia, hubungan antara kaum tidak menjadi lebih baik. Ada tanda-tanda yang jelas bahawa kebencian antara kaum serta prejudis antara agama Islam dan agama-agama lain semakin meningkat ekoran bertambahnya kenyataan-kenyataan rasis dan provokatif berbagai pihak. Pemimpin dan parti-parti politik dan NGO-NGO tertentu mengambil kesempatan menangguk sokongan dengan cara ‘menyerang kaum’ yang lain dan memainkan emosi dan sentimen kaumnya sendiri. Mereka yang masih melaung-laung label-label ‘pendatang’ dan ‘penceroboh’, ‘balik Tongsan’ atau ‘balik benua’, ‘Cina babi’, ‘Hindu Paria’ terhadap kaum-kaum Cina dan India di negara ini adalah mereka yang tidak memiliki ‘akal yang sejahtera’, fanatik dan berfikiran sempit. Tindakan demikian akhirnya akan membawa kemusnahan (disaster) kepada negara.

Akhir-akhir ini kita mendengar kenyataan-kenyataan yang dibuat dengan mengaitkan kaum Cina dengan DAP dan komunis. Cina, khususnya DAP dituduh berusaha menempatkan pimpinan utama negara yang berbangsa Cina, mengubah negara menjadi negara republik dan menukar status agama rasmi dari Islam kepada Kristian. Dalam masa yang sama ada pemimpin Melayu bertindak menyemarakkan rasa marah terhadap kaum yang lain dengan menggambarkan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam sedang diancam. ‘Himpunan Melayu Bangkit’ di Kampung Gajah pada 1 September 2018 menjadi contoh. Seperti yang ditanggap oleh Presiden Patriot, Brig-Gen Datuk Mohamed Arshad Raji, “ the rally does not add value to the wellbeing and betterment of the nation and its people. Rather, it is a hindrance and a setback to our nation's current strive for a united, progressive and prosperous Malaysian society.”

5.3.9 Banyakkan Interaksi, Bina Kefahaman: Kita mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk membentangkan RUU atau Akta Anti Kebencian Agama dan Kaum, Akta Anti Diskriminasi dan Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian pada tahun 2019.  Bagaimanapun WADAH melihat perlunya engagement diperluas dengan melibatkan seramai mungkin pihak yang berkepentingan termasuk badan-badan agama, NGO, tokoh-tokoh agama dan para intelektual. Dialog dan sesi sumbangsaran dengan kelompok-kelompok ini perlu untuk memastikan kandungan akta tersebut tepat, adil dan saksama serta sedia didokong oleh majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam apabila dikuatkuasakan nanti.

Bagaimanapun kita meyakini bahawa keutamaan (awlawiyyat) ialah menyebarluas kefahaman tentang prinsip-prinsip yang telah ditunjukkan oleh Islam tentang hidup bersama secara harmonis. Hal ini harus bermula dengan orang-orang Islam sendiri sebelum kita meminta orang lain memahami dan menerimanya. Kita percaya sikap yang tepat serta contoh terbaik yang ditunjukkan oleh pemimpin Islam dan penganut-penganut Islam sendiri akan memberi impak besar mengubah sikap negatif dan prejudis mereka yang bukan Islam terhadap agama Islam dan umatnya dan akan banyak membantu membina Bangsa Malaysia yang kita dihasratkan. Kalau kita bersikap keras dan bengis terhadap bangsa lain, janganlah kita mengharap mereka akan mendekati, memahami dan berlemah lembut serta bertolak ansur dengan kita.

“Dan berkat rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu”. (Aali-Imran 3:159).

6.0 CABARAN PENGISIAN

Cabaran mengisi kemenangan amatlah besar sekali. Cabaran datang daripada pelbagai sudut, luar dan dalam sedangkan harapan umat menggunung tinggi untuk melihat perubahan yang dijanjikan. Kegagalan untuk menggotakan janji-janji pilihanraya bakal mengundang krisis kepercayaan yang pastinya akan dieksploit semaksimumnya oleh golongan pembangkang.

Malaysia Baharu harus menunjukkan contoh yang terbaik dari segi pelaksanaan Demokrasi, konsep pemisahan kuasa Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman, Keadilan Sosial, Hak Asasi dan Kebebasan. Malaysia bukan Turki, Malaysia bukan Pakistan, Malaysia bukan Amerika Syarikat. Demokrasi yang ingin dilaksanakan harus mengikut acuan keunikan negara ini yang sarat dengan realiti kamajmukannya.

Cabaran yang mungkin saja boleh menjerumuskan negara ini ke lembah perpecahan dan kehancuran ialah soal pelaksanaan Islam dalam sistem kenegaraan yang melibatkan isu perundangan Islam dan undang-undang negara sedia ada yang sebahagiannya bersifat sekularistik. Persiapan minda masyarakat bukan Islam adalah diperlukan supaya mereka memahami hasrat murni umat Islam untuk melaksanakan syariat agamanya. Ini memerlukan engagement yang berterusan dengan mereka bagi mengurangkan prasangka negatif dan tentangan yang tajam. Isu kemajmukan bukanlah suatu beban, tetapi ia suatu keistimewaan dan kekuatan bagi negara ini. Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya bukan ‘satu kesialan’ tetapi ‘anugerah rahmat’ dari Allah SWT. Tidakkah boleh kita melihatnya sebagai cabaran Allah SWT terhadap kita untuk mengemukakan sebuah model untuk dunia: model hidup  bersama secara aman, saling memahami, berkerjasama dan bertolak ansur bagi kesejahteraan bersama?

Satu lagi cabaran yang berterusan kita hadapi adalah daripada gerakan Islamophobia yang terancang. Deepa Kumar dalam bukunya bertajuk Islamophobia and the Politics of Empire dan Nathan Lean dalam The Islamophobia Industry: How the Right Manufactures Hatred of Muslims menerangkan bahawa fenomena Islamophobia adalah gerakan terancang melalui rangkaian para akademia, badan pemikir, ahli politik berkepentingan, pihak keselamatan, industri filem, media arus perdana dan media sosial serta pelbagai badan bukan kerajaan yang ditaja dengan dana yang banyak.

Para pemimpin negara Islam yang bercita-cita untuk membebaskan diri daripada perhambaan dan penjajahan Barat dihitamkan citranya, dihina dan dicemuh secara terancang oleh rangkaian gerakan Islamophobia ini. Inilah yang berlaku kepada Presiden Recep Tayyib Erdogan, pemimpin Turki yang kini matawang negaranya diserang teruk supaya ekonomi Turki merudum jatuh dengan matlamat akhirnya untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin dan digantikan dengan pemimpin boneka.

Dalam hal yang berkaitan, sebarang usaha untuk melaksanakan undang-undang syariah di negara ini bakal mengundang kontroversi dan menjadi polemik bukan sahaja di dalam Negara, tetapi juga di luar Negara. Dengan ini, kita harus memahami Fiqh al- Waqi’ atau Faham Realiti semasa, Fiqh al-Awlawiyyat atau Faham Keutamaan. Kita memerlukan para ulama dan intelektual Islam untuk mengambil tanggungjawab meneroka dan mendalami isu-isu seperti ini dan memberikan jalan penyelesaian yang penuh dengan kebijaksanaan (al-hikmah) dengan mengambil kira realiti yang sebahagiannya tidak wujud dalam sejarah Islam masa lalu

7.0 SERUAN DAKWAH DENGAN RUH AL-JIHAD

Sebagai sebuah Gerakan Islam, dakwah adalah asas bagi segala pergerakan kita. Dalam keadaan apa pun walau senario sosio-politik-ekonomi berubah atau geopolitik mencabar kemandirian kita, rekayasa dakwah dan amanah dakwah perlu tetap sebati dalam perjuangan kita - walau berat untuk dipikul.
“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat” (al-Muzammil 73:5)
Dakwah dan politik tidak boleh dipisahkan kerana ia adalah kerangka quranik yang merupakan tuntutan perlaksanaan dan penghayatan prinsip Amar Ma’ruf Nahi Mungkar.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” (Ali ‘Imran 3:110)

7.1 Dakwah di Jalur Politik, Politik di Jalur Dakwah: Sejarah perjuangan dakwah dan politik kekuasaan sejak zaman Kerasulan disusuli dengan Khulafa’ Al-Rasyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah, Kerajaan Andalusia (Sepanyol), Kesultanan Seljuk, Kesultanan Mughal dan Khilafah Uthmaniyyah ternyata sarat dengan konflik dalaman dan peperangan menentang musuh dalaman dan luaran. Sebahagiannya disertai tragedi ‘bermandikan darah’. Justeru itu, pemimpin gerakan dakwah yang diamanahkan untuk menangani politik kekuasaan harus mempunyai daya mental, kekuatan rohani, kejituan fizikal dan ketahanan dalaman serta luaran. Sejarah mungkin sahaja berulang. Menelaah dan mengambil ibrah sejarah masa lalu akan membantu kita untuk membaca perancangan musuh dan lebih bersedia untuk berdepan dengan ‘serangan’ mereka. 

Politik adalah sebahagian daripada cabang dakwah yang wajib disantuni oleh Gerakan Islam. Muhammad Natsir, tokoh pemersatu bangsa Indonesia, pemikir dan da’i unggulan menyarankan formula “berdakwah di jalur politik, berpolitik dijalur dakwah” sebagai kerangka dalam menangani persoalan Islam dan kenegaraan. Politik tanpa dakwah akan menghancurkan umat, tegas beliau.

7.2 Ibrah daripada Gerakan Islam Antarabangsa: Sebagai Gerakan Islam yang relatif baru, kita bersyukur kerana berpeluang untuk menimba banyak pengalaman gerakan lain. Kita sentiasa bersikap terbuka dan ingin belajar dari mana-mana pengalaman berharga, baik atau  buruk sebagai  ibrah yang sangat berguna.

Pengalaman dakwah dan politik mutakhir Gerakan Islam di Mesir, Sudan, Tunisia, Pakistan, Turki, dan Indonesia banyak mengajar kita bahawa apabila kuasa mendatangi kita, maka ujian keimanan dan keikhlasan perjuangan selalunya menjadi taruhan. Seringkali Gerakan Islam menemui kegagalan kerana menderita sindrom ketagihan kuasa. Apabila mendapat kuasa, maka kuasa berubah menjadi matlamat bukan lagi wasilah seperti pegangan asal. Mereka yang sudah mendapat kuasa sanggup melakukan apa saja termasuk menjual maruah dan harga diri demi memburu dan mempertahankan kuasa. “Power at all cost” adalah politik-tanpa-prinsip yang menghalalkan segala cara.

7.3 Pendekatan Nonpartisan: Gerakan kita kekal dengan pendekatan non-partisan. Ia adalah dengan pengertian bahawa gerakan tidak terikat dan bebas daripada tertakluk dengan mana-mana parti politik, bebas menyokong pada waktu tertentu atau menentang pada waktu yang lain, mengikut maslahah dakwah. Ini adalah suatu hikmah atau kebijaksanaan yang mesti dipertahankan. Atas dasar yang sama ahli-ahli adalah individu-individu yang tidak dihalang untuk menyertai mana-mana parti politik mengikut kehendaknya selaras dengan hak demokratik yang dijamin Perlembagaan.

Gerakan kita akan terus memainkan peranannya sebagai Gerakan Dakwah yang syumul, menyantuni pelbagai dimensi kehidupan. Politik adalah persoalan umur janibiyyah, urusan yang perlu digarap apabila tiba waktu yang diperlukan. Namun dimensi dakwah begitu luas lebih dari sekedar dimensi politik. Pendidikan, kebudayaan, media, sosial, sains dan teknologi adalah dimensi-dimensi yang juga amat mencabar. Kerja-kerja dakwah dalam bidang ini perlu digarap secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh demi memenuhi cita-cita islah dalam pengertiannya yang sebenar.

7.4 Tumpuan kepada Gerakan Kaderisasi: Perkara yang perlu diberi perhatian segera ialah persoalan kaderisasi sebagai usaha berterusan untuk menyiapkan barisan pelapis berkualiti yang mampu memimpin cabaran zamannya. Gerakan Muhammadiyyah (1912) berjaya bertahan dan terus relevan hingga kini dengan adanya Madrasah Muallimin dan Muallimat yang diasaskan pada tahun 1918 yang bertujuan untuk mempersiapkan para pemimpin, bukan sahaja untuk menguruskan pelbagai agensi pendidikan, kesihatan dan khidmat sosial Muhammadiyyah yang mempunyai 50 juta ahli, tetapi juga menjadi pemimpin bagi memimpin bangsa dan membangunkan negara. Dalam hal ini, WADAH dan gerakan-gerakan Islam yang lain perlu saling mengongsi pengalaman dan kejayaan gerakan-gerakan yang lain – sama ada gerakan Islam dan bukan – demi membina model yang lebih berkesan dan mampu menghadapi cabaran-cabaran baru yang mendatang.

7.5 Permulaan yang Menggembirakan: Tahun 2018 adalah tahun yang bersejarah buat Gerakan tercinta. Selain dari kejayaan bersejarah menukar kerajaan secara aman dalam PRU ke 14 yang lalu, ada lagi tiga peristiwa penting yang menggembirakan kita.  Sebagai anggota gerakan Islam dan gerakan reformasi, kita harus bersyukur dapat menyaksikannya kejayaan dan peristiwa-peristiwa ini berlaku di hadapan mata kita Tidak semua mereka yang berjuang berkesempatan melihat dan menikmati hasil dari perjuangan mereka. Kita percaya kejayaan yang menyeluruh belum tercapai, namun peristiwa-peristiwa ini memberi kesan yang positif ke arah perubahan dan kejayaan yang lebih bermakna pada masa hadapan.

Pertama ialah pengampunan penuh oleh Yang Di-Pertuan Agong terhadap segala tuduhan yang didakwa ke atas Anwar Ibrahim pada 10 Mei 2018. Sekaligus itu membebas dan membersih beliau daripada segala rekod jenayah. Ini bermakna, 20 tahun perjuangan dan usaha membersihkan nama beliau dari segala fitnah dan mehnah berakhir dengan kemenangan berganda; bebas dari fitnah dan tuduhan jenayah seksual serta menang Pilihanraya ke-14. Insya-Allah seterusnya beliau diharap menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Kedua, Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 22 Mei 2018. Dengan demikian beliau menjadi wanita pertama menjawat jawatan tersebut buat negara ini. Beliau memimpin Parti Keadilan Rakyat dengan tabah dan sabar, menghadapi segala rintangan dan suasana jerih perit perjuangan tanpa suami di sisi.  Beliau menjadi ikon seorang pemimpin wanita Islam yang lemah lembut tetapi berjiwa waja. Gerakan kita menyokong sepenuhnya kepemimpinan Dr Wan Azizah dan mengharapkan pemerkasaan peranan wanita akan lebih menyerlah dalam pembinaan negara.

Ketiga, Ustaz Dr Siddiq Fadzil telah ditabalkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1440H oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 10 September 2018. Anugerah ini bagi kita ialah pengiktirafan terhadap perjuangan Gerakan tercinta, melalui fasa bangun dan jatuh mengharungi ranjau dan duri dengan penuh kesabaran sejak tahun penubuhan ABIM pada tahun 1971.

Tiada kalimah yang mampu diungkapkan selain ucapan syukur Alhamdulillah atas segala rahmah dan barakah berkat keikhlasan perjuangan kita semua.

8.0 KESIMPULAN: DARI DAKWAH KE DAWLAH

Tugas dan perjuangan dakwah kita kini telah memasuki fasa baru. Hijrah al-Rasul SAW dari Mekah ke Madinah adalah titik menandakan meningkatnya marhalah dakwah ke marhalah dawlah. Begitulah takdir menentukan buat kita semua. Kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018 dan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah kepada Ustaz Dr Siddiq Fadzil dapat kita lihat sebagai titik bertambahnya peranan dan tanggungjawab dari sekedar Dakwah kepada menguruskan Dawlah. Medan dakwah semakin luas terbentang, semakin kompleks dan mencabar.

Misi kita  ialah misi pembebasan daripada kejahilan pelbagai bentuk; misi pembebasan daripada kemiskinan jiwa, minda dan harta; misi pembebasan daripada perpecahan sesama umat. Dalam memikul tugas-tugas besar ini kita tidak boleh mempunyai sebarang alasan untuk gagal. Di hadapan kita ialah ruang dan peluang dakwah yang luas terbentang. Tiada lagi igauan ketakutan dan kebimbangan tindakan-tindakan keras dan intoleran kerajaan masa lalu yang bergelumang dengan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Di samping itu, kita terus menyatakan rasa solidariti tidak berbelah bagi dengan perjuangan pembebasan yang belum berakhir oleh rakyat Palestin dan Kashmir serta seluruh pejuang-pejuang kebebasan di seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama. Kita juga ingin menyatakan rasa simpati yang mendalam terhadap saudara-saudara seagama di Yaman, Syria, Rohingya serta Uighur yang menjadi mangsa perang, penindasan, penyiksaan dan mangsa pembunuhan kejam. Kami menyeru agar Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Organization of Islamic Countries (OIC) dan pemimpin-pemimpin dunia segera mengambil tindakan menghentikan perang dan kezaliman yang memangsakan ramai yang tidak berdosa.  Sudah banyak persidangan dan rundingan yang dibuat, namun tidak ada tindakan berkesan diambil, walk the talk! Kerajaan Malaysia yang baharu perlu tampil memainkan peranan aktif menggerakkan usaha-usaha yang berkesan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan kezaliman-kezaliman yang terjadi.

Ayuh, kita satukan saf, ikhlaskan nawaitu perjuangan, tingkatkan dakwah dengan ruh al-jihad demi mendapat mardhatiLlah dengan ganjaran syurgawi menanti, insya-Allah.

Allahu Akbar!  Allahu Akbar!  Allahu Akbar!


RUJUKAN
Allawi, Ali A. 2009. The Crisis of Islamic Civilisation. New Haven: Yale University Press.
Johnson, Chalmers. 1982. MITI and the Japanese Miracle: The Growth of Industrial Policy, 1925-1975. California: Stanford University Press.
Kumar, Deepa. 2012. Islamophobia and the Politics of Empire. Chicago: Haymarket Books.
Lean, Nathan. 2017. The Islamophobia Industry: How The Right Manufactures Hatred of Muslims, London: Pluto Press
Muhammad Hamidullah. 1997. The Life and Work of The Prophet of Islam. Islamabad: Islamic Research Institute’s Press
Hofmann, Murad. 1992. Islam: The Alternative. Beltsville:  Amana Publications
M. Natsir. 2001 Agama dan Negara Dalam Perspektif Islam. Jakarta: Media Da’wah
Siddiq Fadzil. 2012. Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan.
Sundaram, Jomo Kwame. 2009. “What Can the Developing World Learn from Post-Colonial Malaysia’s Development Experience?” dalam Nungsari Ahmad Radhi and Suryani Senja Alias (penyunting). 2009. Readings on Development: Malaysia 2057 – Uncommon Voices, Common Aspirations. Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Berhad.
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1978. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 2001. Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).
Tarek Osman. 2016. Islamism:  A History of Political Islam From The Fall of Ottoman Empire To The Rise of ISIS. New Haven: Yale University Press.
Wan Mohd Nor Wan Daud. 1991. Penjelasan Budaya Ilmu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments: