TEKAD PERUBAHAN POLITIK
Pada pilihanraya yang lalu, majoriti rakyat
telah membuat keputusan, mencapai kesepakatan membulatkan tekad dan
menyokong secara terbuka perubahan politik yang dibawa oleh Pakatan Harapan.
Bagi gerakan Islam pula harapan kita adalah agar berlaku reformasi-islahiy.
Kita menyokong dan mendokong sistem demokrasi dalam pemerintahan negara dan
ingin memastikan pelaksanaan sebenar demokrasi merakyat dengan politik luhur
diamalkan serta terlaksana pilihanraya bersih demi maslahah umat dan negara.
Seperti dinukilkan oleh Dr Siddiq Fadzil, demokrasi memerlukan peranserta
rakyat secara aktif dan bertanggungjawab, termasuk komitmen pemantauan, pengawalan,
teguran dan koreksi (muraqabah dan muhasabah) terhadap dasar dan
tindakan para penguasa, sesuai dengan kewajipan amar ma’ruf nahi munkar.
Kita mendokong gagasan sistem dua parti kerana ia memastikan check and
balance – ‘saling semak dan imbang’ agar kuasa tidak diboloti dan tidak
hanya berlegar di kalangan satu kelompok elit penguasa. Rakyat mempunyai
pilihan yang terbaik, daripada pelbagai parti yang berlawanan menampilkan visi,
idea dan strategi, kompetensi serta imej
bersih berintegriti. Sistem dua parti yang kuat akan sentiasa menentang
salahguna kuasa dan memastikan keadilan sosial diutamakan.
Kita bergerak atas premis ini untuk
mengorak langkah maju ke hadapan agar politik perubahan menjadi realiti demi
masa depan negara.
Parti pemerintah yang lalu juga ada kelemahan dan ada kelebihannya. Namun
secara zahir Pakatan Harapan memiliki kesungguhan untuk memulih dan membina
semula negara manakala Barisan Nasional pula mempunyai pelbagai rekod kefasadan
yang nyata serta tidak berdaya untuk berubah. Malaysia amat memerlukan
perubahan politik.
Isu kleptokrasi dan rasuah bertaraf mega serta global 1MDB dan
skandal-skandal lain telah mengheret rakyat menjadi derita berpanjangan bakal
meninggalkan malapetaka kewangan kepada
beberapa generasi akan datang sedangkan elit pemerintah dan
kuncu-kuncunya hidup mewah penuh pembaziran yang melampau-lampau. Petanda jelas
ditunjukkan bahawa rata-rata rakyat menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Rakyat telah keluar mengundi beramai-ramai pada 9 Mei 2018 yang bersejarah
dan merubah kerajaan melalui tindakan demokratik serta aman sehingga
menggegarkan dunia.
Itulah rentetan hasil perjuangan dan citra gerakan reformasi Dato Seri
Anwar Ibrahim. Pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim sejurus kemenangan sangat simbolik
dan melambangkan keadilan itu sesuatu yang pasti. Pengorbanan Dato Seri Anwar
Ibrahim telah ditebus dengan pembebasan dan pembersihan nama serta maruahnya.
Ini hanya mungkin dengan kemenangan PH dalam PRU14.
Perubahan politik ini juga menunjukkan bahawa tuntutan keadilan merentas
kepentingan ras dan agama. Rakyat majoriti tanpa mengira kaum memilih untuk menyokong
kompak janjisetia moral – bai’ah moral yang dibawa dan dijanjikan oleh Pakatan
Harapan. Kepelbagaian dalam bingkai kesatuan dapat disatukan dengan matlamat
moral yang tinggi, harapan masa depan serta cinta kepada tanah air.
Kita telah menyumbang menurut nisbah penglibatan kita kepada kemenangan dan
pembaharuan landskap politik yang bersejarah.
Namun pada waktu getir ketika pertarungan politik dan sesudah mencapai kejayaan
wajar diingatkan agar semua insaf, bergantung harap dan bersyukur atas pertolongan
dan kemenangan yang dikurniakan Allah swt. Maka diantaranya disarankan membaca
dan mentadabbur surah Al Fath.
PENGAJARAN SURAH AL FATH
Surah Al-Fat-h - سورة الفتح
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu
jalan kemenangan yang jelas nyata,
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu
yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu,
serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan
melaksanakan hukum-hukumnya).
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai
kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada
bandingannya).
(Tuhan yang membuka jalan
kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati
orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya
mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang
sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong
mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Allah melakukan yang demikian)
supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan - ke dalam
Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka
di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu
pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka);
Menurut tafsir fi zilalil Qur’an Sayyid Qutb, pada waktu surah ini
diturunkan perubahan-perubahan penting telah berlaku kepada masyarakat Islam
Madinah, perubahan sikap mereka; perubahan sikap para penentang. Paling penting
adalah perubahan jiwa dan corak keimanan para sahabat umat Muslimin, tingkatan
keikhlasan, iltizam padu dipandu kefahaman matang dan mendalam mereka.
Rasulullah ﷺ mendapat mimpi
memasuki kota Makkah menunai ibadah haji. Sahabat-sahabat Ansar dan Muhajirin
gembira menerima perintah rombongan bersama Rasulullah ﷺ ke Baytul Haram.
Arahan kepada suku Arab dan Badawi hanya disambut sebahagian orang Arab tetapi
dilengahkan oleh Arab Badawi.
Rombongan Rasulullah ﷺ dengan bilangan 1400
orang, membawa unta-unta korban dan pakaian berihram bagi menunjukkan bahawa
tujuan mereka datang untuk beribadat ke Baytullah bukannya berperang dengan
Quraysh Makkah. Di Hudaybiyah rombongan disekat Quraysh yang telah mengerahkan
semua warga kota keluar bagi menghalang kedatangannya. Menurut riwayat, 4 orang
utusan daripada kabilah-kabilah Arab dikirim oleh Quraysh bertemu Rasulullah
s.a.w. dan kesemua mengesahkan rombongan itu hanya datang bertujuan menunaikan
ibadah.
Rasulullah ﷺ mengutus Uthman bin Affan r.a. dan
setelah disampai mesej Rasulullah ﷺ,
Uthman ditawarkan untuk tawaf tetapi dia enggan selagi tidak bersama rombongan.
Uthman pula ditahan oleh Quraysh.
Berita sampai kepada Rasulullah ﷺ
dan para sahabat bahawa Uthman r.a. telah dibunuh. Rasulullah ﷺ dan rombongannya mengadakan Bai’atur Ridwan, berjanji di bawah
sepohon pokok, untuk setia dan tidak lari daripada perjuangan. Berita sebenar
kemudian sampai bahawa Uthman tidak dibunuh.
Quraysh kemudiannya mengutus Suhayl ibn ‘Amr berunding panjang dan bertolak
ansur dengan Rasulullah ﷺ akhirnya tercapai
persetujuan damai.
Para sahabat terlalu berdukacita dan tidak berpuashati dengan syarat-syarat
perjanjian yang nampak berat sebelah dan menyulitkan Rasulullah ﷺ Mereka pada mulanya tidak akur perintah
untuk menyembelih unta dan bercukur. Sehinggalah Rasulullah ﷺ mengikut saranan isterinya Ummu Salamah r.a. agar baginda
sendiri memulakannya dan barulah turut diikuti oleh semua para sahabat.
Dalam perjalanan pulang ke Madinah turunlah surah al Fath. Surah yang
Rasulullah ﷺ bersabda
‘lebih dicintai daripada dunia dan seluruh isinya.’
Jiwa Rasulullah ﷺ tenteram dan tenang
menerima ilham Allah swt walaupun digugat cabaran Musyrikin Quraysh dan sikap para
sahabatnya yang pada mulanya sangat gusar dan resah.
Allah turunkan ketenteraman sakinah pada hati para sahabat lalu mereka
kembali ridha, yakin, patuh, ikhlas menerima perintah dan menunjukkan keinsafan
mendalam.
Perjanjian dan perdamaian Hudaybiyah merupakan kemenangan da’wah. Dulu
berperang, kini berdamai, da’wah tersebar luas tanpa sekatan, manusia
berbondong-bondong memeluk Islam. Umat Islam dapat memberi tumpuan dan
mengalahkan ancaman Yahudi Madinah.
Surah ini membayangkan kemenangan-kemenangan yang bakal datang, betapa kekuatan
umat Islam mengatasi Musyrikin dan kelemahan ketara Munafiqin. Ini berlaku di
dalam jangka masa 2 tahun sahaja.
Peringatan juga tentang ada golongan yang ingin harta rampasan ghanimah
tetapi tidak mahu turut serta berperang.
Perkembangan ini juga menunjukkan kesan asuhan Al Qur’an dan didikan
Rasulullah s.a.w. ke atas kelompok Mu’min yang unik dan bersejarah.
Saranan agar pemimpin-pemimpin da’wah memimpin manusia tidak jenuh, lalai
dan bosan dengan karenah kekurangan dan kelemahan manusia; keladak zaman silam
dan warisan-warisannya; tarikan duniawi. Pemimpin da’wah melihat dengan kejernihan,
pandangan hati yang tinggi dan melihat nur hidayah yang gemilang.
REALITI POLITIK DAN MEWARISI JEJAK KEFASADAN
Menurut Shaykh Yusuf al Qaradawi, fenomena yang berlaku adalah suatu
kebangkitan rakyat. Kebangkitan - sahwah bersifat umum mengandungi arus
pelbagai aliran, warna, kumpulan, individu samada terarah, berencana ataupun
tidak. Gerakan Islam pula pergerakan berorganisasi yang bermatlamat jelas serta
terarah khusus. Setiap gerakan adalah kebangkitan tetapi bukan semua
kebangkitan adalah gerakan. Sahwah lebih besar dan sepatutnya menjadi
pembekal dan pengukuh kepada gerakan dan gerakan berperanan memandu arah
kebangkitan itu ke jalan yang benar dan lurus agar memberikan maslahah kepada
ummah. Itulah cabarannya.
Dr. Sali Berisha pemimpin pertama dipilih secara demokratik di Albania
memberitahu Aliya Izetbegovic bahawa dia
mewarisi pemerintahan yang korup, parah dan jejak-jejak gersang sehingga dia
sendiri terpalit. 45 tahun pemerintahan kuku besi dan komunis Enver Hoxha
meninggalkan kerosakan parah kepada manusia, sistem dan budaya Albania.
Kebangkitan rakyat dan pembebasan tidak menghasilkan perubahan serta
pembaharuan yang dihasratkan rakyat sehingga mereka luahkan keinginan untuk
balik kembali kepada zaman diktator korup yang lama.
Begitulah nasib Dr Morsi di Mesir bertarung bagi mengisi kemenangan thawrah
sy’ab yang telah dikecapi dengan harga yang mahal nyawa, darah dan air mata
pengorbanan. Rakyat mahukan penyampaian segera penyelesaian kesempitan hidup
mereka. Regim fasad dan korup terutama di kalangan tentera dan pegawai-pegawai
kerajaan serta kaum elit telah bertapak berakar tunjang selama 60 tahun lama
menzalimi negara dan merompak laba rakyat masih menjadi barah deep state –
filoof kembali mengambil kesempatan
merampas negara apabila sebahagian rakyat Mesir sendiri masih sarat dengan
pemikiran mentaliti rendah, mudah dihasut dan berfikiran al fikri al mumit bersifat
abdan mamlukan.
Kita ambil iktibar pengalaman Indonesia sejurus Reformasi menghadapi
ketiadaan ketokohan kepimpinan yang dapat menyatukan, kesenjangan ketara di
antara kaya dan miskin, gejala rasuah yang masih parah walaupun nampak
ditangani berhadapan pula dengan kelemahan kepimpinan. Keadaan ini semacam sama
dengan negara-negara Eropah Timor pasca kejatuhan regim-regim Komunis
sehinggakan rakyat di sana mengeluh penderitaan mereka dengan ungkapan, “biar
regim korup asalkan ada makanan” – seolah mereka rela kembalinya regim
komunis autokrat.
Dalam bahasa Urdu - roti, kapla, makan.. ‘makanan, pakaian, tempat
tinggal’ – itu yang rakyat Pakistan marhaen dambakan setelah mencapai perubahan
dan pembebasan. Imran Khan dan partinya Pakistan Tehreek e Insaf yang baru saja
memenangi pilihanraya membawa imej bersih dan agenda reform, pasti akan diuji
oleh rakyat tentang perihal asasi ini.
Itulah nasib negara-negara Islam yang mewarisi 40 tahun atau lebih
pemerintahan diktator seperti Libya, Iraq, Afghanistan, Yaman, Tunisia, Syria
dan lain-lain yang mewarisi jejak-jejak kefasadan.
Begitulah juga nasib negara warisan kleptokrasi seperti negara kita yang
dahulu dipimpin dengan rakus tanpa malu, merompak, bermewah-mewahan dan
mengagihkan wang rakyat kepada akaun peribadi, kerabat, kroni dan parti.
Memulihkan negara daripada wabak kleptokrasi mengambil masa yang lama dan usaha
mengesan wang dicuri, menjejaki leretan wang haram – laundered money trails
akan melalui proses yang panjang dan rumit walaupun bertimbun-timbun selundupan
telah dtemui di beberapa kediaman.
Kini kleptokrat yang sama kembali menghasut rakyat dengan menyemai
kebencian kaum, menyebar ketakutan agama dan menabur fitnah merata-rata. Itulah
disebut oleh Bridget Welsh sebagai the same “old” playbook of the ex PM –
denial and defensiveness, cash-and-carry politics, ratcheting up race and
religious rhetoric and the use of underhanded undemocratic tactics.
Kleptokrat lama kini gigih mencari rakan-rakan bagi menubuh gagasan bagi mencabar
PH serta mengembalikan kemaruknya ingin berkuasa semula.
MENANGANI CABARAN KESENJANGAN POLITIK
Menurut Anwar Ibrahim, kesejengangan – political disconnect berlaku kerana apa yang diandaikan oleh ahli
politik tidak semestinya menjadi hakikat di bawah, bukan menjadi realiti di
lapangan. Ia tidak mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat. Ini memerlukan satu
perubahan, satu kebangkitan lebih bermakna dan lebih bererti. Rakyat resah
apabila melihat kebebasan belum boleh menjamin keadilan. Kedua-dua perlu
disejajarkan nilai dan polisinya. Bagaimana kebebasan dan keadilan itu
diterjemahkan ke dalam kepedulian pasaran dan menginsafi derita rakyat?
Menangani kesenjangan juga adalah bagaimana untuk mempertahankan prinsip
berwacana dalam keadaan pertembungan perbedaan – a serious discourse in a
coalition of contentious forces. Wacana perbedaan pandangan di kalangan
ahli politik dan masyarakat lebih tajam lagi dengan ledakan maklumat pintar
sentuhan jari.
Selepas perubahan, it cannot be business as usual – bukan urusan
cara lazim seperti dulu lagi. Kita perlu berwaspada tentang persekongkolan elit
ekonomi – politik. Pakatan Harapan akan hanya relevan jika ada pembaharuan
nilai dan polisi kepada sistem – supaya tiada lagi berlaku pembaziran dan
ketirisan. Setakat perbandingan dengan
UMNO/BN sudah tidak cukup kerana BN/UMNO mewakili sistem yang bobrok dan rosak.
PH tidak tertegak kerana ia hanya lebih baik daripada BN tetapi tertegak kerana
menjanjikan, mengikrarkan pembaharuan dan reformasi.
Jika masih bergelut dengan pertembungan sengit politik dalaman maka bagaimana
dengan kepentingan perjuangan nasib rakyat. Perubahan mestilah bermula dengan
mengenepikan persoalan politik kepartaian dari segi pergelutan biasa. PH perlu melihat
kerangka besar idealisme perjuangan. Ribut politik singgung negeri, cabang dan
ranting seolah-olah memadamkan isu besar yang dihadapi rakyat – kemiskinan,
kepapaan, harga barang yang meningkat dan tahap kefahaman yang remeh di
kalangan rakyat.
Apa sebenarnya yang dipertahankan dan dijadikan ciri sahsiah kepimpinan
yang boleh ditonjolkan? Oleh itu, kita harus mempertahankan tradisi keilmuan
dan tarbiyyah bagi mengisi kemenangan. Ini kerana, hendak memimpin ini menuntut
kepada sikap yang lebih tegas dan berani. Idealisme yang lebih baik. Ilmu yang
lebih mendalam. Perlu menggarap, menanggapi,
menilai dan menangkap maksud kerangka perjuangan yang lebih besar agar tidak akan
terbawa-bawa dan terheret dengan tuntutan semasa. Jika isu besarnya ekonomi
maka isu sebenarnya adalah tentang keadilan, pemerataan, isu keadilan ekonomi
atau ekonomi teragih.
Kalau kita tidak faham kerangka ini kita akan terbawa-bawa, contohnya, kepada isu bagaimana mempertahankan
kepentingan kelompok – seolah-olah terseret kepada kancah perkauman bukan lagi
kepada kerangka besar keadilan sosial.
Pakatan Harapan mesti mendahului, menerajui dan meletakkan agenda dominan dengan
mempamerkan kejayaannya, program dan perlaksanaan, agar menunjukkan dengan cara
paling berkesan apa kerjabuatnya serta
melakar naratif tersendiri ‘Malaysia Baharu’. PH tidak boleh membiarkan UMNO
serta rakan-rakan barunya serta kepentingan politik sempit menyampuk dan menentukan
halatuju.
PH harus mendepani dengan menggembleng semangat patriotisme dan kenegaraan,
mengukuhkan kesepakatan moral rakyat dan aspirasi keadilan sosial, menangani
dan menjambatani perhubungan kaum agar saling memahami serta hidup bersama
berharmoni, melakukan reformasi institusi-institusi dan melaksana transformasi
sosial. PH harus tetap dengan agenda besar reform, mengembalikan maruah dan
integriti, memulihkan ekonomi dan membawa penjenayah kleptorasi ke muka
keadilan bukan melayani setiap angkara picisan serta onar sensasi.
TRADISI ILMU, IBRAH DAN KEPIMPINAN
Nahdah Islamiyyah memerlukan dipupuk dan dibina atas pendidikan
Islam yang kuat. Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh
teladan terbaik kepimpinan umat. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada
usaha-usaha persediaan dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam
dan disiplin tinggi. Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah -
kecenderungan dan trend untuk melakukan perubahan - untuk islah dan tajdid.
Kekuatan Salahuddin al Ayyubi datang daripada tradisi ilmu di nizamiyah,
universiti-universiti yang subur berkembang di rantau itu. Salahudin tidak akan
muncul sekiranya tidak ada tradisi keilmuwan,
da’wah and tarbiyyah di seluruh negeri
Iraq pada era itu. Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada
pendidikan yang mantap.
Bagi memastikan kelestarian dan kemampanan kuasa rakyat dan keupayaan
membawa reformasi serta transformasi bermakna, Dr Siddiq Fadil menawarkan
formula dengan menyingkap qisasul anbiya’ kisah Rasul-Rasul a.s. dalam
al Qur’an dan model Dhul Qarnayn di dalam surah al Kahfi.
Bani Israil berada berkurun lama berhamba dibawah naungan memukau Firaun.
Mereka hilang maruah insan, tandus harga diri, menjadi penakut bacul dan tak
punya jiwa pejuang maka mereka warisi dan terima perhambaan hina turun temurun.
Keadaan ini hasil kefasadan iman menjadikan alpa dan lupa hingga sorang insan menjadi angkuh dan
bongkak mengagongkan diri dan brutal. Manusia yang meletakkan nafsunya sebagai
pujaan. Daripada tahap fasad al nufus – kefasadan jiwa kepada fasad
sosial - fasad al mujtama. Hubungan
kemanusiaan retak berkecai. Hilang saling hormat menghormati,
persaudaraan, kebersamaan, kerjasama dan sifat ingin melakukan kebaikan.
Sebaliknya dipupuk saling benci membenci, mementingkan diri sendiri dan
permusuhan sepanjang zaman menjadi resam. Mereka yang melampau batas
kemanusiaan menjadi dewa bermaharajalela dan mereka yang lemah menjadi hamba
diperas dan dipergunakan dewenang-wenangnya.
Nabi Musa a.s. berdepan dengan kedegilan Bani Israil. Musa disifatkan
dengan qawiyyul amin – kompeten dan beramanah. Selama 40 tahun Bani
Israil merayau dalam buangan di tengah-tengah padang pasir panas dan gersang
bagi melangsungkan hidup. Jiwa perjuangan sebahagian watak sesebuah bangsa.
Jiwa pejuang tidak dibina secara serta merta setelah teruk luntur dan reput.
Tanpa kesedaran sejati, kepekaan dan ruh perjuangan, bangsa jatuh disebabkan
fasad dan menjadi pengecut (al jubn) dijangkiti cinta dunia dan takut
mati (al wahn). Bayangkan situasi generasi Islam yang terpaksa menerima
agama tanpa dimensi jihad.
Menurut Mawlana Abul Hasan Ali an Nadwi, Yusuf a.s. mengetahui bahawa tidak
ramai orang pada masa itu yang beramanah serta mereka sering menipu. Mesir
memiliki banyak gudang-gudang simpanan jelapang biji-bijian tetapi di dalamnya
kosong melompong. Yusuf a.s. menyedari bahawa ada yang mengkhianati rakyat
jelata. Yusuf a.s. memerhati orang yang curang dan mencuri khazanah negara yang
dikurniakan Allah s.w.t. Dia melihat
betapa banyak, jenuh dan melimpah ruahnya kekayaan negara tetapi ia kian hilang
lesap.
Harta kekayaan negara habis lesap di tangan-tangan pemimpin-pemimpin dan
para pengelola yang mengurus khazanah itu. Mereka tidak takut kepada Allah
s.w.t. Mereka menghidang makanan kepada anjing-anjing mereka tetapi rakyat
biasa tidak mempunyai apa pun untuk dimakan. Mereka menghiasi rumah-rumah
mahligai kediaman mereka dengan boros dan berlebihan tetapi rakyat biasa tidak
mempunyai sehelai pakaian pun.
Rakyat biasa tidak akan menikmati apa-apa manfaat daripada perbendaharaan
negara Mesir kecuali jika seorang Bendahara yang jujur dan berpengetahuan
dilantik. Bendahara yang jujur tetapi tanpa berpengetahuan tidak akan tahu
bagaimana untuk mengurus dengan bijaksana. Sebaliknya, seorang bendahara yang
berpengetahuan tetapi tanpa kejujuran akan menipu rakyat dan menggunakan perbendaharaan
untuk tujuan kepentingan diri sendiri.
Yusuf a.s. seorang yang beramanah dan berpengetahuan – hafizun ‘alim.
Dia tidak boleh terima atau bertoleransi dengan pemimpin, pengelola dan mereka
yang diamanahkan tetapi membohongi rakyat serta mereka merampas menggeledah
harta kekayaan milik rakyat jelata.
Yusuf a.s. tidak dapat menerima lagi melihat pihak berkuasa dan autoriti
yang menginjak-injak hak rakyat. Yusuf a.s. tidak rela melihat rakyat kelaparan
dan mati kebuluran.
Yusuf a.s. tidak malu kerana memperjuangkan kebenaran dan menegakkan
keadilan. Dia memberitahu raja Mesir:
"Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir);
sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan (hafizun
‘alim)." (Surah Yusuf 12:55)
Begitulah Yusuf a.s. diberikan amanah menjaga dan mentadbir harta kekayaan
dan khazanah negara Mesir. Rakyat jelata berasa lega dan sangat gembira, lalu
mereka memuji Allah s.w.t.
Al Qur’an ditanzilkan dan menyampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ – sebuah cerita
terindah, kisah terbaik, ibrah yang manis – ahsan al qasas, pada Surah
Yusuf. Pengajaran besar kisah ini adalah jika seorang Mu’min beriman mempunyai
sahsiah Islamiyyah dan dikurniakan hikmah kebijaksanaan, dia mampu menawan
seluruh negara hanya dengan kekuatan keperibadiannya. Ibrah kehebatan Nabi
Yusuf a.s. mengajar kita bahawa seorang yang memiliki sahsiah yang tinggi dan
mulia akan berjaya walaupun terpaksa mengharungi dugaan berat, mehnah dan
fitnah dengan hidayah petunjuk Allah serta pertolonganNya.
Dhul Qarnayn mempamerkan kepimpinan transformasional merubah watak sebuah
bangsa yang hidup diancam teroris Yajuj Majuj.
Dhul Qarnayn pemimpin global ulung dan hebat mengurustadbir. Dalam
pengembaraannya, dia menemui satu bangsa yang jahil, lemah dan malas diambang
ditimpa bahaya. Bangsa ini menawarkan habuan dan upah tetapi Dhul Qarnayn menolak
kerana tidak mahu mengeksploitasi orang yang lemah dan terkebawah. Dhul Qarnayn tidak meminta ganjaran atau ghanimah
untuk berkhidmat. Sebaliknya, dia memberdayakan bangsa itu, melibatsertakan
mereka dalam projek pertahanan raksaksa. Dengan demikian, mereka menjalani
proses perkongsian pendidikan dan menggembling potensi mereka sendiri untuk
berjaya. Bersama-sama mereka membina penyelesaian kejuruteraan, tembok
menghalang kemaraan Yajuj Majuj, mengatasi kelemahan dalaman mereka sekaligus
menangani ancaman luar.
Shaykh al Qaradawi menegaskan panduan ilmu yang mantap, keperluan fiqh
mencapai kefahaman mendalam bagi menangani cabaran-cabaran zaman. Kita amat mengharapkan
pimpinan ulama dan zu’ama menekuni saranan ini dalam mencerahkan,
mencerdaskan dan memajukan maqasid al shariah, siyasah syar’iyyah dan
fiqh al mu’asir. Antaranya fiqh al dawlah, fiqh al awlawiyat, fiqh al
muwazanat, fiqh al taghyir, fiqh al sunan, fiqh al aqlanah, fiqh al tahrir dan
fiqh al tamkin. Politik kezaliman, al istibdaad al siyasi dan fiqh al istibdaad hendaklah dibenteras.
ISTIQAMAH DAN IDEALISME PERJUANGAN
Kebijaksanaan Rasulullah ﷺ
dan Harta Ghanimah:
Selepas peperangan Hunayn harta ghanimah
yang banyak dibahagi-bahagikan kepada Muhajirin dan lain-lain tetapi bukan
kepada Ansar sehingga mereka berasa tidak berpuashati.
Rasulullah ﷺ memanggil semua kaum
Ansar berkumpul bertemu dengannya. Setiap butir bicara Rasulullah ﷺ yang tenang dan teratur telah mencetuskan
suasana keharuan di lubuk hati para Ansar.
Sabda Rasulullah ﷺ,
“Kamu marah, saudara-saudara Ansar, hanya karena
sekelumit harta dunia yang hendak aku berikan kepada orang-orang yang perlu
dijinak hatinya agar mereka sudi masuk Islam, sedang keIslamanmu sudah sedia
kukuh.
Tidakkah kamu rela saudara-saudara Ansar, apabila orang-orang itu pergi
membawa kambing, membawa unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke
tempat kamu?
Maka demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, apa yang mereka perolehi
tidaklah lebih baik daripada apa yang kamu perolehi!
Kalau tidak kerana hijrah, tentu aku termasuk orang Ansar. Jika orang
ramai melalui suatu jalan di celah-celah gunung, dan Ansar melalui jalan yang
lain, nescaya aku akan melalui jalan orang Ansar.
Golongan Ansar ini seperti pakaian dalamanku, dan orang lain seperti di
pakaian luaran. (Menunjukkan betapa dekatnya Rasulullah saw dengan golongan
Ansar)
Allahumma ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan
cucu-cicit Ansar.”
Jawapan yang diberikan Rasulullah ﷺ
telah membuatkan jiwa mereka remuk redam. Mereka menangis sehingga air mata
mereka membasahi janggut mereka. Seorang tua daripada Ansar berkata,
“Kami telah meredhai Rasulullah ﷺ sebagai bahagian dan pemberian kepada
kami.”
Dr Razali Nawawi pernah berseloroh bertanya kepada kepada sahabat-sahabatnya
samada kita memilih ‘tokoh idealisme
perjuangan atau kambing’ setelah kemenangan pilihanraya dan pembebasan.
Satu rahsia kelangsungan Ikhwan al Muslimin terletak pada suatu dimensi
aktif organisasi Ikhwan iaitu organisasinya berfungsi bukan sahaja sebagai
hiraki tetapi bertindak melenyapkan cita-cita aspirasi peribadi serta ego
individu. Perangai mementingkan diri sendiri yang lazim terdapat di dalam
masyarakat kita dan masyarakat umum hampir tidak wujud di kalangan anggota
Ikhwan al Muslimun. Organisasi ini tidak mengendahkan atau melayani golongan
elit. Setiap anggota diseru agar hanya berkhidmat untuk Islam. Ini bermakna
berjuang dan berkhidmat bersama Ikhwan tanpa mengharapkan langsung kepada
ganjaran atau keuntungan peribadi.
KESATUAN BANGSA MALAYSIA
Dr Siddiq Fadzil merupakan tokoh terulung mempelopori gagasan Fiqh
Kewarganeraan dan anjuran citra kesatuan Bangsa Malaysia. Kemenangan PRU 14
menandakan dan mengiktiraf realiti kemajmukan negara adalah sebagai aset negara
bukan beban masalah. Menurut Dr Siddiq
Fadzil, Malaysia sebuah negara demokratik dan politik Islam menerima demokrasi
yang berintikan prinsip hak rakyat memilih pemerintah, hak rakyat
berpartisipasi dalam melaksanakan pemerintahan dan hak rakyat menentukan sistem
pemerintahan yang mereka inginkan sejauh yang tidak bertentangan dengan prinsip
dan nilai Islam.
Malaysia adalah negara bermasyarakat majmuk di mana Muslim dan bukan-Muslim
mendapat taraf kewarganegaraan penuh (muwatinun). Semua kaum dan
golongan berhak memelihara dan mempertahankan jati diri keagamaan dan
kebudayaan masing-masing dan kepelbagaian ini wujud sebagai ciri khas
masyarakat Malaysia.
Dr Siddiq menekankan bahawa kepelbagaian tidak seharusnya menjadi punca
silang sengketa. Islam menjadikan damai (salam) sebagai prinsip
pelayanan terhadap orang lain. Selama berabad-abad umat Islam telah membuktikan
semangat salam dalam interaksi mereka dengan kaum-kaum lain dan ini harus
dilestarikan.
Semua golongan dengan jati diri keagamaan dan kebudayaan yang pelbagai itu
harus bergabung membentuk satu ummah siyasiyyah yang inklusif dengan
memakai acuan Perlembagaan Madinah. Dari perlembagaan tersebutlah terumusnya
formula pembentukan bangsa Malaysia, kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Bingkai
kesatuan yang berupa persaudaraan kemanusiaan, persaudaraan kenegaraan,
kesepakatan komitmen terhadap dasar-dasar kenegaraan seperti rukun negara,
bahasa kebangsaan dan lain-lain di samping perkongsian nilai-nilai kemanusiaan
sejagat seperti patriotisme, integriti moral, kebebasan, keadilan, persamaan,
hak asasi manusia dan sebagainya.
KHATIMAH
Seringkali kita diingatkan bahawa penglibatan dalam politik ini hanya
menurut garis panduan umum sahaja dan bersifat ijtihadiy. Kita berpegang
kepada prinsip-prinsip asasi Islam dan maslahah ummah. Itulah erti non-partisan.
Umat Islam cukup dan padu dengan nilai kukuh dan penghayatan agama berdasarkan
prinsip-prinsip murni yang boleh maju berkembang dalam segenap suasana.
Penyesuaian kepada keperluan-keperluan konteks semasa tidak bermakna orang
Islam menggugur dan meleraikan nilai dan prinsipnya. Penyuaipadanan bermakna orang Islam boleh
menghayati agamanya dengan harmoni bersama masyarakat.
Mafhum hadith “dan jangan jadi seperti orang yang menuruti orang ramai,
mengatakan ‘pendapat aku bergantung kepada apa kata orang ramai. Jika semua
baik, aku akan baik. Kalau sebaliknya, aku turuti juga.’ Tetapi pegang kepada
kebenaran. Jika orang ramai baik, kamu baik. Dan jika mereka tidak baik, kamu jadikan mereka
baik.” (al Tirmidhi)
Demikianlah secebis permasalahan dan cabaran yang muncul bersama perubahan
baharu. Warisan regim lama terlalu rosak dan binasa sehingga para reformis yang
menempuh jejaknya juga berisiko terjebak dengan padah yang lalu.
Pimpinan negara hendaklah beristiqamah, berkompetensi tinggi dan mengekalkan
kewibawaan. Rakyat mesti terus meyakini dan meletakkan harapan mendokong penuh
gerakan Islam dan kebangkitan rakyat agar mencapai matlamat tinggi perubahan.
Transformasi manusia adalah suatu yang boleh dicapai dan ini mesti diyakini
dengan teguh.
Trend dan kuasa-kuasa radikal akan menangguk di air keruh dan berusaha
gigih mengucar-kacirkan keadaan. Musuh
luar dan dalam bertungkus lumus bekerja kuat mahu kegagalan dan kemusnahan
pembaharuan negara. Pihak yang hilang kuasa tidak akan berhenti menyemai
kekeliruan dan mengapi-apikan huru hara. Tidak ada ruang untuk bersikap lalai
dan leka.
Ekonomi manusiawi, baru dan adil bagi hendaklah diutamakan dan ditegakkan
bagi memastikan kecukupan dan kebebasan daripada rakyat meminta-meminta dan
ternanti-nanti. Di antara kritikan ke atas Freedom and Justice Party di Mesir adalah semacam ketiadaan program ekonomi yang
mantap dan begitulah jika dinilai program parti-parti berlandaskan politikal
Islam.
Tarbiyyah, pengisian dalaman, pengsucian jiwa, pembaikan watak dan kekuatan
kerohanian tidak boleh terpisah daripada landasan dan mesti menjadi pengkalan
serta bekalan wajib pimpinan serta aktivis.
Bagi meraih hasil terbaik demokrasi, gerakan Islam hendaklah berupaya
mengolah dan mengartikulasi posisi Islam dengan tepat dan penuh bererti.
Demokrasi mesti memastikan keadilan untuk semua dan menjamin kualiti hidup
rakyat sejahtera.
Seperti pesanan Dr Daud Bakar, sekarang bukan lagi masa slogan “Islam
adalah Penyelesaian” tetapi hendaklah “Bagaimana Islam menyelesaikan
masalah manusia.”
Perlu juga direnungkan hikmah bidalan seloroh Dr Siddiq Fadzil tentang ‘bagaimana
untuk menangkap ikan tanpa mengeruhkan air kerana dengan cara kita sekarang memang
berselerakan keruh air seperigi namun semua ikan lepas lari’.
No comments:
Post a Comment