MALAYSIA BAHARU: REALISASI AGENDA REFORMASI
Siddiq Fadzil
Mukadimah
Keputusan PRU-14 rata-rata dirasakan sebagai suatu kejutan. Rasa terkejut
dengan kemenangan besar PH pada 9 Mei 2018 itu memang beralasan. Tetapi
hakikatnya ia bukan suatu yang tiba-tiba atau mendadak. Ia adalah kemuncak dari
suatu rentetan panjang peristiwa ledakan kesedaran rakyat yang menginginkan
perubahan besar dan mendasar. Ia tidak terpisah dari latar gerakan reformasi
yang berpangkal dari Deklarasi Permatang Pauh 12 September 1998 yang
dikumandangkan oleh Anwar Ibrahim. Selama 20 tahun gerakan tersebut membesar
dan akhirnya memuncak menjadi gelombang kebangkitan rakyat meruntuhkan rejim
UMNO-BN. Dengan latar sedemikian, Malaysia Baharu yang terhasil dari PRU-14
tidak boleh lain selain berintikan realisasi agenda reformasi.
Deklarasi Permatang Pauh (DPP)
Teks DPP seperti yang diungkapkan oleh penggagas dan proklamatornya Anwar
Ibrahim mengandungi mukadimah ringkas, diikuti senarai tujuh agenda reformasi
dan diakhiri dengan satu ayat penutup:
DEKLARASI PERMATANG PAUH
Menyedari gesaan al-Qur’an yang bermaksud “... tidaklah kami mahu melainkan
untuk melakukan islah sekuat daya kami.”;
Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan
pembaharuan diri dan masyarakat; dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam
kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; maka
kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekad untuk melancarkan
gerakan reformasi yang menyeluruh:
Gerakan reformasi yang terpancar dari perjuangan hati nurani, dari kesedaran
bahawa sesungguhnya diri manusia mulia dan merdeka, mempunyai hak dan
tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelenggu dan
disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;
Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang
lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses
undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses Demokrasi.
Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri
manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk
berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;
Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi, menjaga menjana
pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang
miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak
mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;
Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa,
mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan maha kaya;
Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jati diri budaya yang dinamis, setia
kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua
budaya;
Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia
tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin
persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan
dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.
Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.
Permatang Pauh
12 September 1998
ANWAR IBRAHIM
Memahami Mukadimah DPP
Memang tepat apabila kita menyebut bahawa DPP adalah suatu agenda
reformasi-islahi kerana ia jelas bertitik tolak dari ayat 88 surah Hud yang
mengabadikan pernyataan tekad perjuangan profetis demi islah, kata yang sarat
dengan nilai-nilai rabbani. Dengan menjadikan islah sebagai landasan asasi,
bererti ia adalah perjuangan merealisasikan maqasid al-Qur’an dan maqasid
al-shari`ah yang terumus pada ungkapan li islah al-`ibad (untuk
memperbaiki umat manusia).
Pada ayat:
ان اريد الا الاصلاح ما استطعت
terkesan makna kemurnian tekad dan ketulusan niat perjuangan semata-mata
demi islah. Tidak ada motif sampingan lain. Terkesan juga makna kesungguhan
berjuang dengan kekuatan semaksimumnya (sekuat dayaku).
Sebagai perjuangan kolektif rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama,
perjuangan ini juga mengambil semangat pembaharuan dari nilai-nilai positif
budaya Asia yang mendorong perubahan ke arah yang lebih baik. Menyemaraknya
wacana tentang Asian values adalah jelmaan kesedaran bangsa-bangsa Asia tentang
kekuatan nilai-nilai yang digali dari tradisi budaya sendiri. Wacana tersebut
juga banyak ditafsirkan sebagai ekspresi keyakinan budaya (cultural
confidence) bangsa-bangsa Asia untuk membangun dan maju dalam acuan
nilai-nilai Asia, dan tidak lagi memakai acuan Barat.
Bagi umat Islam semangat islahi-tajdidi yang terkandung dalam ajaran
Islam harus dimanfaatkan untuk menjayakan agenda pembaharuan. Yang penting
semangat tersebut harus dipugar dan disegarkan untuk menjana “kekuatan dalaman”
yang merupakan pra-syarat terpenting menangani kemelut kezaliman dan kebobrokan
moral. Tidak ada “kekuatan dalaman” yang mengatasi kekuatan iman yang murni dan
sihat (al-`aqidah al-salimah).
Kemelut dan petaka yang menimpa tidak hanya dirasakan oleh kaum tertentu,
tetapi maratai seluruh rakyat tanpa kecuali. Kerana itu ia bukan masalah Melayu
atau masalah Cina atau masalah India, tetapi masalah semua. Suatu gerakan
kerakyatan yang merentas sempadan kaum, agama dan budaya perlu digembleng demi
menjayakan reformasi menyeluruh, meliputi segala ranah kehidupan bermasyarakat
dan bernegara. Demikianlah, sejak detik pertama, DPP sudah terjelma sebagai
wawasan dan gagasan nasional yang menampung semua kaum dalam kesatuan tekad dan
aspirasi.
Menangkap Semangat Tujuh Agenda Reformasi
DPP menggariskan tujuh agenda besar reformasi menyeluruh yang diungkapkan
secara ringkas dengan kalimat-kalimat terbatas, tetapi padat dan sarat dengan
makna tersirat. Siapa sahaja yang membaca deklarasi tersebut akan dapat
merasakan bahawa yang tersirat jauh lebih luas daripada yang tersurat. Kita
harus cuba merenung dan menangkap segala yang tersirat di balik ketujuh-tujuh
agenda tersebut:
Pertama: memperjuangkan ketinggian martabat manusia (karamah insaniyah)
sebagai makhluk mulia dan merdeka. Kemuliaan insan adalah anugerah Tuhan kepada
semua keturunan Adam `a.s. tanpa mengira warna, bahasa atau agamanya.
Demikianlah yang disebut al-takrim al-Ilahiy sebagaimana yang ditetapkan
dalam ayat 70 surah al-Isra’. Tuhan sendiri yang memuliakan manusia, dan
kerananya tidak siapa pun berhak menghina, menzalimi atau mengaibkan manusia.
Umat Melayu telah berjaya menangkap mesej ayat tersebut lalu mengabadikannya
dalam tradisi politik yang menjadikan kezaliman sebagai justifikasi terbatalnya
kesetiaan. Demikianlah yang dimaksudkan dalam ungkapan tradisional, “...raja
zalim, raja disanggah.” Demikian juga dengan larangan mengaibkan rakyat
yang menjadi teras wa`ad antara Seri Tri Buana dengan Demang Lebar Daun, sebuah
dokumen kontrak sosial Melayu tradisi yang diakhiri dengan sumpahan berat,”...Jikalau
ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seseorang hamba Melayu, alamat
negerinya akan binasa.” Demikian seriusnya kesalahan menzalimi dan
mengaibkan orang dalam tatanan hidup Melayu-Islam.
Kemerdekaan adalah bahagian daripada kemanusiaan. Ia bukan sekadar hak yang
boleh diambil atau ditolak, tetapi suatu keperluan (darurat) yang tanpanya
manusia kehilangan kemanusiaannya. Merampas kebebasan seseorang dengan
membelenggu atau memenjaranya tanpa proses perbicaraan yang adil berdasarkan
undang-undang adalah suatu pelanggaran serius terhadap hak kemanusiaan. Dalam
Islam, kebebasan adalah syarat sah beragama berasaskan prinsip “tidak ada
paksaan dalam beragama”.
Bebas dari penjajahan asing tidak dengan sendirinya bererti rakyat telah
merdeka. Hakikat inilah yang diungkapkan oleh penyair W.S.Rendra dalam konteks
rakyat Indonesia menjelang abad 21:
Dengan puisi ini aku bersaksi
bahawa rakyat Indonesia belum merdeka.
Rakyat yang tanpa hak hukum
bukanlah rakyat merdeka.
Hak hukum yang tidak dilindungi
oleh lembaga pengadilan yang mandiri
adalah hukum yang ditulis di atas air.
Bagaimana rakyat bisa merdeka
bila polisi menjdi aparat pemerintah,
dan tidak menjadi aparat hukum
yang melindungi warganegara.
Bagaimana rakyat bisa merdeka
bila birokrasi negaramenjadi aparat pemerintah
dan tidak menjadi aparat rakyat
yang otonom mandiri
sebagaimana layaknya
di negara yang berdaulat rakyat.
......................
Dengan puisi ini aku bersaksi
bahawa sampai saat puisi ini aku tandatangani
para elit politik yang berkedudukan
atau pun yang masih di jalan
tidak pernah memperjuangkan
sarana-sarana kemerdekaan rakyat.
Lewat puisi tersebut Rendra memberikan kesaksian tentang kerosakan trias
politica apabila pemerintah menguasai segala-gala: kehakiman, kepolisan dan
perkhidmatan awam. Dengan menundukkan semuanya itu di bawah telunjuk
pemerintah, maka yang berlaku bukan lagi rule of law, tetapi
kesewenang-wenangan law of the ruler dengan memangsakan rakyat yang telah
dilucuti hak kemerdekaannya. Kerana itu kita sering memperingatkan pentingnya fiqh
al-tahrir atau fiqh pembebasan atas pertimbangan bahawa selama berabad-abad
umat Islam didominasi oleh pemikiran fuqaha’ al-istibdad atau ahli-ahli
fiqh penindasan, iaitu fatwa dan ajaran ulama yang bersekongkol dengan
kerajaan-kerajaan penindas. Demikian seperti yang dibahas oleh al-Kawakibiy
dalam bukunya Taba’i` al-Istibdad, dan dilanjutkan oleh Muhammad
al-Ghazaliy lewat bukunya al-Istibdad al-Siyasiy. Idea dan semangat fiqh
pembebasan tidak seharusnya hanya sebatas wacana intelektual, tetapi
diterjemahkan ke dalam realiti politik. Demikianlah perlunya politik baru,
iaitu politik pembebasan atau emancipatory politics.
Kedua: memperjuangkan keadilan untuk semua, Muslim dan bukan-Muslim, kawan
dan lawan. Justeru, keadilan tidak boleh dibataskan hanya untuk golongan
tertentu, dan kerana itu tidak harus ada amalan diskriminatif dalam menegakkan
keadilan. Keadilan adalah objektif tertinggi syari`at seperti yang dinyatakan
dalam ayat 25 surah al-Hadid bahawa para rasul diutus dengan keterangan dan
diturunkan bersama mereka kitab dan neraca timbangan, dengan tujuan agar
manusia melaksanakan keadilan. Ayat tersebut mengisyaratkan bahawa keadilanlah
yang menjadi esensi semua agama samawi.
Demikian pentingnya kedudukan dan peranan keadilan dalam kehidupan manusia
sehingga Ibn Taymiyyah menyimpulkan bahawa pertolongan Allah bersama negara
yang adil, meskipun ia kafir; dan tidak bersama negara yang zalim, meskipun ia
Muslim. Katanya lagi, dunia boleh selamat lestari dan berkelanjutan dengan
keadilan meskipun bersama kekafiran; tetapi tidak akan selamat dengan
kezaliman, sekalipun bersama Islam.
Untuk menjamin tegaknya keadilan, undang-undang harus baik, dan hakim harus
jurdil (jujur dan adil). Undang-undang sebaik mana pun tidak menjamin tegaknya
keadilan jika hakimnya korup dan khianat. Kerana itu badan kehakiman dan semua
badan penegak undang-undang perlu dibersihkan daripada korupsi dan
penyalahgunaan kuasa.
Ketiga: pendaulatan kuasa rakyat dalam pengertian rakyat sebagai sumber
kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah). Untuk itu sistem demokrasi yang
bersih dan adil perlu ditegakkan. Justeru, hanya demokrasi tulen yang dapat
menjadi saluran kuasa rakyat mengangkat pemimpin dan kerajaan pilihan mereka.
Untuk itu harus ada usaha penyihatan demokrasi dari apa sahaja yang mencacatkan
demokrasi. Segala bentuk penipuan dan kecurangan, termasuk penipuan yang
disahkan oleh undang-undang seperti gerrymandering dan malapportionment.
Demokrasi sebagai penjelmaan kuasa rakyat harus diselamatkan dari di”hijack”
oleh mereka yang memiliki modal kewangan bilionan ringgit. Jangan sampai daulat
rakyat mati dicekik daulat ringgit. Di mana-mana kedengaran jeritan cemas
demokrasi hanya akan tinggal nama. Jeritan seperti itulah yang kita dengar dari
Hariman Siregar (mantan aktivis mahasiswa Indonesia tahun 70’an), “kembalikan
kedaulatan rakyat, jangan bajak demokrasi” (Hariman, S., 2008).
Demokrasi hanya akan bererti jika rakyat menyedari kedaulatan dirinya, dan
kerana itu akan menolak sebarang pelecehan terhadap kedaulatannya seperti
penipuan dan kecurangan dalam pilihan raya. Kesedaran tentang daulat rakyat
perlu dipupuk, dan demokrasi harus dibudayakan menjadi bahagian daripada cara
hidup rakyat. Demokrasi bukan hanya pilihan raya lima tahun sekali, tetapi
lebih penting lagi ialah budaya demokrasi yang subur dan merakyat. Prinsip dan
nilai demokrasi yang menyebati dalam budaya rakyat akan menjadi kekuatan
penghadang kezaliman penguasa.
Keempat: memperjuangkan keadilan ekonomi dalam pengertian penjanaan
pertumbuhan yang terpadu dengan pemerataan agihan. Mungkin inilah yang
dimaksudkan dengan economic growth yang beriringan dengan distributive
justice. Dengan demikian akan terciptalah keadilan ekonomi dan keadilan
sosial apabila seluruh rakyat mendapat agihan yang saksama dari kueh negara.
Tanpa keadilan ekonomi jurang miskin-kaya dan super kaya akan bertambah
luas. Jurang ekonomi yang terus melebar akan menimbulkan masalah kecemburuan
sosial dan akan menjadi bom waktu yang sewaktu-waktu meledakkan konflik yang
berakibat fatal.
Demi pemerataan dan kesejahteraan bersama, kita telah lama menuntut
pendemokrasian ekonomi. Gerakan reformasi harus mendukung realisasi tuntutan
tersebut. Keadilan ekonomi juga sangat terkait dengan gagasan ekonomi manusiawi
(human economy) yang semangatnya ialah untuk menyejahterakan umat
manusia keseluruhannya. Di tengah dominasi ekonomi kapitalistik yang menindas
kaum du`afa’ (golongan lemah) untuk kepentingan golongan kaya, kita
memang memerlukan sejenis ekonomi maslahiy yang humane dan needs-oriented.
Ekonomi maslahiy adalah kekuatan yang dapat melawan kerakusan dan
pembolotan oleh kaum kapitalis yang memang tidak pernah mengenal kepuasan.
Kelima: membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kian membarah
terutama dalam kalangan elit penguasa. Untuk itu para pelaku rasuah harus
diburu walau sampai ke lubang cacing untuk diadili dan dihukum, malah kalau
perlu harus dimiskinkan kerana merekalah yang menyebabkan kemiskinan rakyat.
Selain menghukum pelaku rasuah, rakyat perlu dididik dengan kesedaran integriti
yang menekankan nilai-nilai moral amanah, kejujuran, ketulusan dan ketelusan.
Malu sebagai salah satu nilai teras agama Islam dan budaya Melayu harus disegar
dan disuburkan kembali. Justeru, sifat tahu malu (sense of shame) adalah
suatu kekuatan moral yang dapat menghalang seseorang daripada melakukan
sebarang kejahatan.
Kuasa adalah amanah dan beban tanggungjawab, bukan habuan dan milik
peribadi. Kekuasaan memang selalu menyebabkan orang lupa daratan, mentang-mentang
berwewenang lalu menjadi sewenang-wenang. Penyalahgunaan kuasa mungkin dapat
dikawal apabila rakyat dididik menjadi effective citizens yang mengawasi
dengan peka segala perilaku para pemegang amanah kekuasaan. Rakyat tidak boleh
pasif dan naif menyikapi manipulasi golongan yang memiliki kuasa, wang dan
pengaruh merosak ekonomi rakyat. Ekonomi tidak boleh menjadi urusan eksklusif
segelintir manusia super kaya berbuat semahunya mengaut keuntungan tanpa
kepedulian terhadap nasib rakyat. Untuk melawan kerakusan manusia super kaya
inilah ekonomi maslahi-manusiawi harus dibangun. Memang antara ciri ekonomi
manusiawi ialah bahawa ekonomi adalah suatu yang made and remade by
people themselves.
Keenam: memperkukuh jati diri budaya yang dinamis. Jati diri dalam konteks
ini dapat diertikan sebagai ciri-ciri khas budaya yang membezakan sesuatu
bangsa daripada bangsa lain. Jati diri dalam pengertian tersebut tidak membeku,
tetapi dinamis dalam pengertian bersedia dan mampu menyesuaikan diri dengan
perubahan zaman. Namun demikian ia tidak pula cair sehingga hanyut dan larut
dalam arus perubahan yang tidak terkendali. Ia adalah jati diri budaya dinamis
yang tetap setia kepada nilai-nilai positif warisan budaya yang relevan dengan
semangat zaman. Demikianlah, kesetiaan yang diimbangi dengan keterbukaan
terhadap segala yang baik dari budaya dan tamadun dunia. Justeru, hikmah
kebijaksanaan (wisdom) adalah milik bersama seluruh warga kemanusiaan.
Dengan demikian akan terbentuk jati diri yang utuh dan tangguh menghadapi ujian
zaman.
Ketujuh: membina bangsa yang bertamadun dan beradab dengan kompetensi masa
kini. Justeru, bangsa ini harus menerima pencerahan kemajuan era maklumat dan
sekali gus memiliki hikmah kebijaksanaan - memahami segala sesuatu dengan tepat
serta bersikap dan bertindak dengan benar. Memang era sekarang tidak lagi
terbatas pada kemajuan maklumat, tetapi beriringan dengan era yang disebut the
age of wisdom. Bangsa ini juga harus dibina menjadi bangsa yang memiliki
keyakinan diri, karakter bangsa yang terbentuk dari keyakinan terhadap
keunggulan nilai-nilai agama dan budaya sendiri. Dengan kekuatan karakter
sedemikian bangsa ini akan selamat memasuki dunia tanpa sempadan dengan jati
diri yang utuh, dan seterusnya mampu menjadi global player dalam persaingan di pentas
dunia terbuka. Dalam dunia yang penuh silang-sengketa, bangsa ini harus mampu
tampil sebagai kekuatan damai (salam), membina persaudaraan kemanusiaan
sejagat di atas prinsip dan nilai murni, kebenaran dan keadilan. Pembentukan
pelbagai pakatan antara negara yang didasari kepentingan dan motif curang
adalah bahaya kepada kedamaian dan kesejahteraan masyarakat dunia. Kerana itu
prinsip kebenaran dan keadilan perlu diperjuangkan menjadi dasar hubungan
antara negara. Umat Islam bertanggungjawab melaksanakan misi kemanusiaan dan
kedamaian dunia berasaskan hakikat Islam yang insaniyyat al-da`wah wa
`alamiyyat al-risalah (dakwah insani dan risalah alami).
Penutup DPP: pernyataan komitmen perjuangan secara damai dan aman sesuai
dengan semangat perlembagaan dan selaras dengan aturan rule of law.
Reformasi adalah gerakan kerakyatan yang memilih jalan silmiyyah, tanpa
kekerasan. Jelas, gerakan reformasi adalah perjuangan yang sah dari segi
undang-undang negara dan dari segi hukum syarak.
Khatimah
Ungkapan Malaysia Baharu adalah laungan spontan rakyat Malaysia menyambut
pertukaran pentadbiran pada 9 Mei 2018. Dua patah kata tersebut menyiratkan
segunung harapan untuk segera menyaksi dan mengalami Malaysia yang lebih baik.
Untuk memenuhi harapan tersebut harus segera dilaksanakan agenda reformasi
berpandukan kaedah fiqh: tasarruf al-imam `ala al-ra`iyyati manutun bi
‘l-maslahah (pelayanan pemerintah terhadap rakyat terikat dengan prinsip
maslahah). Aktualisasi maslahah atau kepentingan rakyat terutamanya ialah penyejahteraan
kehidupan yang meliputi jaminan keperluan asas dan jaminan keselamatan. Sama
pentingnya dengan itu ialah pengembalian maruah bangsa dan negara yang telah
tercedera parah sehingga dunia melihat negara ini sebagai kleptocracy at its
worst. Mudah-mudahan dalam era Malaysia Baharu kita akan tampil di
masyarakat dunia dengan kepala tegak sebagai bangsa yang bermaruah dan
bermartabat.
MUKNAS/KDH/IDE/UNISEL
16092018
No comments:
Post a Comment