Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Sunday, September 2, 2012

UCAPAN DASAR WADAH PULAU PINANG: Dr Wan Salim Mohd Noor





UCAPAN DASAR PENGERUSI WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH) PULAU PINANG pada MUKTAMAR WADAH NEGERI PADA 2 SEPTEMBER 2012 Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor


Muktamirin dan muktamirat sekelian!


1. Muhasabah

Dalam kesempatan ini kita elok rasanya kita memperingatkan kembali diri masing-masing tentang hakikat gerakan dakwah, islah dan tajdid yang sama-sama kita perjuangkan sejak 4 dasawarsa yang lalu atas nama PKPIM, ABIM dan WADAH. Kita perlu memperingatkan kembali bahawa sesungguhnya gerakan ini bukanlah satu usaha kecil yang boleh dilaksanakan secara sambil lewa sahaja. Gerakan ini  sebenarnya merupakan suatu usaha kerja yang menyeluruh. Matlamat yang ingin dicapai juga jauh berbeza daripada perjuangan-perjuangan yang biasa diusahakan oleh pelbagai pihak yang lain. Ia tidak berakhir dengan penguasaan tampuk pemerintahan, peningkatan taraf ekonomi rakyat, keamanan negara, kestabilan situasi sosial dan sebagainya. Perjuangan ini berhasrat untuk mengadakan perubahan total terhadap semua aspek kehidupan manusia yang tersasar daripada landasan kebenaran atau al-sirat al-mustaqim dan mengembalikannya semula ke jalan tersebut menerusi pelaksanaan misi suci iaitu ‘ubudiiyyah (pengabdian kepada Allah SWT), melakukan kebajikan kepada sesama makhluk dan berjihad fi sabilillah.

Firman Allah SWT:
 “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah dan beribadatlah kepada Tuhan kamu , kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya…”  (Al-Hajj: 77 – 78)

Sesungguhnya perjuangan ini terlalu besar untuk dilakukan oleh usaha individu. Bebanannya amat berat untuk dipikulkan ke atas orang tertentu atau beberapa orang tertentu sahaja. Justru kita memerlukan usaha sama dalam ertikata yang sebenarnya. Kita memerlukan keikhlasan dan komitmen yang utuh, persaudaraan yang ikhlas, perpaduan yang kental dan semangat kesetiakawanan yang tinggi.

Sebagai anggota senior gerakan Islam kita wajar mengambil ihtisab pesanan mantan Ketua HELWA Ustazah Dr. Siti Zulaikhah Mohd Noor tentang wakaf ujrah yang dimaksudkan sebagai mewakafkan profesionalisme kita untuk jamaah dan usaha kerja harakah. Kita juga perlu merenung peringatan yang pernah disuarakan oleh al-Marhum Ustaz Ni’mat Yusoff, salah seorang tokoh awal ABIM dan pengasas Ma’had Tarbiyyah Dehrang supaya tidak hanya menyumbang sisa sahaja untuk gerakan Islam dan untuk umat kita.

Oleh itu, dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasi perjuangan kita ini dan untuk merancakkan lagi aktiviti-aktivitinya, maka WADAH akan berusaha mendaftar kepakaran, kebolehan dan minat para ahli. Kita harap semua ahli akan memberi kerjasama dan akan menyumbang dengan segera dan dengan penuh kerelaan dan tanggungjawab apabila diminta nanti.

Begitu juga diharap para anggota akan menyumbang kewangan dan material dengan rela dan segera kepada tabung WADAH dan tabung-tabung yang lain untuk membantu  madrasah, institusi dan program yang telah dan akan diatur.  

Dengarlah sabda Rasulullah s.‘a.w. sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah r.‘a:
 “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan diri seseorang dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Riwayat Muslim, al-Darimi dan Ahmad).


2. Kepedulian Umat

Di peringkat global, kita perhatikan umat Islam hari ini berada di dalam keadaan dilema di antara komitmen Islamnya dengan cara hidup dan gaya hidup semasa yang banyak dipengaruhi faham materialism dan budaya nafsu yang tidak selari dengan tuntutan-tuntutan iman dan misi Islam yang suci.
Kebanyakan negara umat Islam kini masih diperintah oleh penguasa-penguasa sekular yang tidak selesa dengan ajaran-ajaran Islam dan cara / gaya hidupnya. Mereka ini memimpin rakyat jelata dengan corak dan sistem pemerintahan yang banyak bercanggah dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang diajar di dalam Islam.

Perkembangan mutakhir di dunia Islam memanifestasikan rasa mual, resah dan bosan umat Islam terhadap pemerintahan sekular yang sudah terbukti gagal membawa kehidupan yang aman dan sejahtera kepada rakyat jelata. Mereka akhirnya bertekad untuk kembali mencari penyelesaian secara Islam. Amanah berat ini terpikul di atas bahu para pemimpin beberapa pertubuhan Islam yang diberi kepercayaan oleh rakyat di negara-negara tertentu untuk mengendali urusan-urusan mereka dan sekaligus harapan untuk menyelesaikan masalah-masalah hidup yang dialami mereka sejak puluhan tahun yang lalu. Semoga para pemimpin Islamis mampu melaksanakan tanggungjawab yang berat ini dengan izin dan ma‘unah Allah SWT.

Di peringkat nasional, janji-janji terus ditabur, bantuan dan “hadiah-hadiah” pun dihambur dengan lumayan kepada rakyat jelata apabila pilihan raya umum semakin hampir menjelang . Namun lazimnya, seperti masa-masa lalu,“janji ditepati” hanya tinggal sebagai slogan kosong semata-mata. Apa yang berlaku kekayaan negara yang melimpah ruah hanya dinikmati oleh kalangan tertentu sahaja; sedangkan masih ramai rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan, sementara sebahagian lagi bertungkus lumus bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga disebabkan kos sara  hidup yang semakin meningkat dengan harga komoditi yang kian melambung tinggi!

Di peringkat negeri,  majoriti umat Islam masih berpendapatan rendah dan mereka dibelenggu pelbagai masalah termasuk kos sara hidup yang meningkat, penempatan dan perumahan yang sukar dan masa depan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Situasi sosial umat Islam  di negeri ini menghadapi masalah krisis dalaman, keruntuhan akhlak dan ikatan persaudaraan yang semakin terlerai.

Ironisnya Pulau Pinang sejak dahulu lagi adalah sebuah negeri yang berkembang pesat serta maju, tetapi majoriti umat Islam ketinggalan daripada arus kemajuan dan tidak menikmati kemewahan. Rata-rata umat Islam di negeri ini secara relatifnya memiliki aset yang sedikit, pendapatan yang lebih kecil dan tahap pendidikan yang lebih rendah.

Di samping itu Pulau Pinang yang sedang dibangunkan dengan kadar yang cukup pantas kini menjejaskan warisan penduduk, keseimbangan persekitaran dan kehijauan. Pembangunan juga menimbulkan pertindihan perancangan, kesesakan, banjir kilat dan lain-lain lagi daripada gejala-gejala kotaraya.

Di tengah-tengah cabaran inilah WADAH yang mempunyai misi pencerahan dan pencerdasan umat perlu beroperasi dengan upaya seadanya. WADAH Pulau Pinang perlu merancang, merumus dan memberi fokus yang realistik dan berkesan dalam usaha menegakkan cita-cita Islamiyyah yang digalas sejak zaman belia lagi iaitu ketika giat bekecimpung di dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dikendalikan oleh ABIM.

Salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh kepimpinan umat dan gerakan Islam ialah bagaimana untuk merobah umat al-yad al-sufla (penadah) kepada umat al-yad al-‘ulya (penyumbang).

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam, Rasulullah s.‘a.w. bersabda yang maksudnya:
 “Tangan yang di atas (yang memberi)lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada mereka yang di bawah tanggunganmu (keluarga). Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung kepada selain daripada Allah) maka Allah akan mencukupkannya.” (Al-Bukhari).


3. Kesenjangan

Sepertimana kesenjangan yang berlaku kepada tahap kesejahteraan rakyat berbanding kemajuan negeri, begitu jugalah keadaannya yang wujud di dalam politik. Kesenjangan sering dapat disaksikan di antara idealisme untuk mengadakan perubahan, janji pemimpin dan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan.

Untuk mengatasi kesenjangan ini maka diharap institusi-institusi dan agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Negeri, Pusat Urus Zakat, Baitul Mal dan badan-badan lain yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam akan mempamirkan prestasi tinggi dan dapat menyelesaikan segala aspirasi dan rintihan umat agar tercapai tujuan merealisasikan tahap kehidupan yang menyelesakan (hayatan tayyibah). Begitu juga contohnya, jabatan-jabatan yang bertanggungjawab untuk perbandaran, utilitii dan kesejahteraan bandar dan penduduk, diharapkan mampu meningkatkan kualiti kehidupan dari aspek-aspek ketelusan, kebersihan, kecekapan, kepantasan, kemesraan, profesionalisme, memudahkan segala urusan…, bukan sepertimana prestasi hambar yang wujud pada kepimpinan sebelum ini. Prestasi yang tidak mencerminkan idealisme perubahan itulah yang dimaksudkan dengan kesenjangan.

Bagi gerakan dan aktivitis Islam, perubahan bermakna mengisi ruang-ruang yang ada untuk menyumbang kepada pencapaian hayatan tayyibah. Usaha sedemikian perlu dilakukan supaya gerakan Islam tidak hanya menjadi agitator, tetapi menjadi tenaga penggerak islah. Di sini aktivis Islam wajar menghayati pesanan al-Marhum Shaikh Mustafa Masyhur supaya memainkan peranan serampang dua mata islah nafsak wad’u ghairak – Perbaikilah diri anda sendiri dan serulah orang lain.

Kesenjangan yang berlaku jika tidak ditangani dengan bijaksana akan menyebabkan rakyat dan umat kecewa dengan janji-janji sebelum perubahan, seterusnya menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan baru dan kembali semula merelakan diri dan kehidupan untuk diterajui oleh regim sebelumnya serta mengekalkan budaya yang lalu.

4. Pengisian

Sebagai sebuah gerakan Islam semasa yang berhasrat untuk menjana kecerdasan dan kecemerlangan umat, maka WADAH mesti sentiasa diperkasakan dengan elemen-elemen yang dapat membantunya merealisasikan hasrat tersebut. Berikut disarankan beberapa langkah pengisian yang difikirkan perlu bagi tujuan yang dimaksudkan:

·                     Pemantapan ilmu, pengisian dimensi rohani dan amalan berterusan hendaklah diterapkan dengan bersungguh-sungguh oleh jamaah.

·      Gerakkerja berjemaah dan pengurusan paling efishen dengan  memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan alatan adalah menjadi kewajipan perjuangan masakini.

·       WADAH dan para ahlinya harus berusaha menguasai pengetahuan, ketangkasan pengolahan dan artikulasi perihal asasi umat, isu semasa dan berketerampilan melahirkan pandangan dan panduan bernas untuk menawarkan penyelesaian.

·       Cabaran semasa memerlukan keupayaan artikulatif dalam memahami dan mengolah syari‘ah, maqasid al-syari‘ah, siyasah al-syar‘iyyah, fiqh Kenegaraan, fiqh keutamaan, fiqh keseimbangan, fiqh perubahan, fiqh semasa, fiqh pluraliti, ekonomi berkeadilan, sekular dan sekularisasi dan konsep kewarganegaraan.

·       Perbahasan mengenai isu-isu ekonomi, politik, isu-isu semasa umat, memerlukan jawapan, pandangan dan panduan yang jujur, jitu, tepat dan cepat sebelum ianya diwacanakan dan diwarnai pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab dan sebelum ianya dipengaruhi pelbagai aliran dan trend yang mengelirukan.

·       Adalah disarankan supaya dihidupkan semula usrah umum (halaqah ‘ammah), dengan pendekatan kuliah Tafsir Maudu‘iyy atau topik terpilih daripada isu-isu kontemporari secara mingguan bagi memenuhi keperluan ilmu ketiga-tiga generasi jamaah. Ini amat penting dalam usaha pengisian ilmu yang dikendalikan secara tersusun untuk semua ahli termasuk pelapis.


·       Helwa WADAH perlu disusun semula serta diaktifkan bagi menjayakan cita-cita WADAH secara seiringan.

·       Segala program dan aktiviti pengisian hendaklah dipastikan terlaksana dengan baik dan teratur supaya semangat para ahli dapat dikentalkan kembali dan penyertaan dalam program-program WADAH dapat dirancakkan semula.

Para ahli WADAH khasnya dan para anggota harakah Islamiyyah amnya patut mengamati maksud firman Allah yang berbunyi:
 “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 100).





5. Tumpuan WADAH

Untuk merealisasikan pencapaian hasrat WADAH, maka prasyaratnya amat menuntut pengorbanan masa dan tumpuan penuh para ahli di samping amat memerlukan tekad dan komitmen yang bulat daripada pihak kepimpinan.

Secara am tumpuan WADAH adalah seperti berikut:

·    Keahlian:   Mengumpul dan menggembleng ahli, aktiviti usrah, kuliah / usrah umum, gabungan, pertemuan, pembinaan rangkaian dan jaringan.

·    Pemikiran:    Menggerakkan institut kajian dasar, menyampaikan pandangan secara tersusun kepada pihak berwajib, pembuat dasar dan masyarakat amnya, tentang isu asasi umat, ekonomi, sosial dan semasa.

·       Institusi:  Membangunkan dan mempertingkatkan prestasi madrasah-madrasah SEMI, SERI, Al-‘Uthmaniah, Outreach, Rohingya Educational Centre REC, TASKI, Tabung Ekonomi.

·  Aktivisme: Melaksanakan kerja di lapangan, memberi sumbangan, merencana program dan ceramah kemasyarakatan, bekerjasama dengan gerakan dakwah, ABIM dan Pembimbing, membantu golongan du‘afa jauh dan dekat.

·     Jaringan:  Melebarkan serta mengeratkan perhubungan serta wilayah pengaruh supaya lebih ramai mengetahui kehadiran dan tujuan WADAH, mendukungnya serta menerima apa yang ditawarkannya untuk semua.


Sekian, Wa akhiru da‘wana anil hamdu lil’Lahi Rabbil ‘Alamin.


Wassalamu ‘alaikum wrh., wbr.


Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor
Gelugor, Pulau Pinang
15 Syawwal 1433 / 02 September 2012.


Thursday, November 24, 2011

Satu Keyakinan, Satu Perjuangan


Multaqa Masyayikh al Harakah: Satu Keyakinan, Satu Perjuangan

Berikut adalah sedikit catatan ringkas program yang julung kali diadakan. Alhamdulillah. Multaqa Masyayikh al Harakah ABIM atau Perjumpaan Senior-Senior Gerakan ABIM telah berjalan lancar pada 20 November 2011 di SERI Madrasah Ad Diniah Sg Bakap dengan hampir semua tetamu jemputan utama hadir. Pertemuan ini dapat mengumpulkan sahabat-sahabat senior merentasi negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan. Kehadiran pula sekitar 80 orang termasuk anggota WADAH, ABIM dan HELWA.

Di antara yang hadir : Dato Ustaz Abd Majid Zainal Abidin, Dato Ustaz Mohd Yusuf Abd Latif, Ustaz Shoib Mohd Amin, Ustaz Abdullah Che Teh, Ustaz Abd Wahab, Cikgu Shuib Jaafar ( datang dari Sg Petani), YB Ustaz Makhtar Shafie,  Cikgu Ismail Othman, Hj Mohammad Din, Prof Zhari Ismail, Cikgu Mustafa Shafie, Ustazah Jau Zaharah,  serta sahabat-sahabat pimpinan WADAH, ABIM dan para tetamu.

Program bermula pada 11.00 pagi dengan pembacaan Doa Rabitah sebagai pembukaan oleh Ustaz Shoib Mohd Amin (mantan NYDP pada 80'an). Tayangan video Selamat Berjuang yang merakamkan perjalanan awal dakwah dan perjuangan ABIM dipertontonkan.

Tuan rumah Cikgu Hj Mustafa Shafie yang mewakili Madrasah Ad Diniah telah mengalu-alukan kedatangan para hadirin. Madrasah Ad Diniah adalah tapak dan pengkalan bagi pembangunan pendidikan SERI dan SEMI. Madrasah ini juga adalah warisan dan waqaf pejuang agama yang setia dan kekal sentiasa menjadi pusat da’wah dan markaz gerakan ABIM bagi meneruskan kebangkitan dan pengisian kesedaran Islam. Cikgu Mustafa menceritakan bahawa beliau mengaturkan Multaqa ini bersama rakan-rakan lain bagi memenuhi hasrat dan hajat Ustaz Abd Majid untuk bertemu semula dengan sahabat-sahabat seangkatan.

Tuan Hj Zainon berucap sebagai NYDP mewakili WADAH Pulau Pinang melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan wajah-wajah sahabat lama. Kenangan manis nostalgia semasa berpengkalan di Masjid An Nur, Jalan Pintal Tali, Georgetown dinukilkannya. Masjid An Nur Pintal Tali adalah masjid terbiar di tengah-tengah Pusat Bandar dan di sini ABIM cuba mengimarah menghidupkannya kembali dengan penuh keiltizaman.

Ucapan Ustazah Jau Jaharah (mantan Ketua HELWA 80'an-90'an) mewakili HELWA telah merasakan terpanggil untuk menggerakkan bersama  wadah gerakan Islam ini. HELWA berganding bahu aktif berjuang bersama mencapai cita-cita gerakan tanpa mengabaikan keluarga dan akhlak tatasulia. Sesungguhnya perjuangan yang dipikul ini ada keberkatannya. Beliau mengingatkan bahawa Istiqamah  dalam perjuangan ini adalah satu tuntutan.

YB Ustaz Makhtar Shafie telah mengakui bahawa penyertaan di dalam gerakan ABIM dan pembentukan watak serta peningkatan kesedaran melalui usrah memberikan kesan bermakna yang membawa kepada kebaikan dalam diri dan untuk masyarakat.  Begitulah dinamakan iltizam bil jamaah iaitu walaupun berasa penat berkhidmat  tetapi apabila tetap berminat  maka hilang rasa kekecewaan. Hasil tarbiyyah dan didikan yang diperolehi daripada usrah itulah yang cuba di terjemahkan dalam tindakan dan perlaksanaan.

Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor YDP WADAH Pulau Pinang menyampaikan bahawa ikatan yang mengeratkan hubungan kita semua ialah ukhuwwah Islamiah - persaudaraan Islam. Ikrar perjuangan ditautkan dengan ikatan ukhuwwah, pertemuan atas pesanan kebenaran dan kesabaran, hati-hati disatukan dengan kalimah tinggi dan mulia meneruskan risalah. Perjuangan kita memang realistik dan praktikal. Pendirian pendekatan kita adalah wasotiyyah - pertengahan. Kita memanfaatkan cetusan pelbagai idea kreatif menyampaikan da’wah dan risalah dengan pendekatan bil hikmah, kebijaksanaan, bil hal,  model contoh teladan, bil lisan, dengan ucapan yg bernas, kesederhanaan berprinsip sebagai rahmat kepada seluruh alam. Menyentuh dengan agak panjang lebar berkenaan hal semasa dan  isu hak asasi manusia -human rights - Ustaz Wan Salim menyatakan bahawa Islam menerima dan menyaring. Islam memang menganjurkan kebebasan sebagai satu hak asasi manusia yang mesti dijamin dan dilindungi. Ini merangkumi hak kebebasan beragama - menganut mana-mana agama yang diyakini dan cara mendirikan ritual menurut agama masing-masing, hak mengungkapkan pandangan, hak memilih pekerjaan, hak berpolitik - menganggotai dan menyokong mana-mana parti politik yang disukai, malah hak menjatuhkan pemerintahan yang tidak disukai dengan memakai-cara-cara yang diizinkan oleh undang-undang sesebuah negara.

Tetapi dari sudut lain, kebebasan sebagai salah satu hak asasi manusia mestilah bersandar kepada ciri-ciri dan nilai-nilai kemanusiaan, mesti berprinsip dan berperaturan; bukan kebebasan melulu. Hak mestilah diimbangi dengan kewajipan, mesti akur kepada shariah dan perundangan.  Agama, amat bergantung kepada kawalan dari dalam diri manusia itu sendiri (iman, takwa, khashyatillah). Tetapi jika daya kawalan batin ini lemah maka terpaksalah dipakai undang-undang dan yang pentingnya undang-undang mestilah adil demi memelihara hak orang lain dan memelihara kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Sdr Rezal Abd Majid NYDP ABIM Pulau Pinang berpandangan bahawa cabaran semasa cukup berbeza antara dahulu dan sekarang. Ada keterbatasan pergerakan dalam isu Akta Belia. Apabila Parlimen Belia bermula pada 2013, pencalonan wakil parlimen belia akan di undi secara online untuk memenangi kerusi. Kita perlu bersama dan besepakat  membantu anak-anak, jiran dan semua yang berada di wilayah pengaruh kita semua untuk suburkan ABIM sebagai gerakan masyarakat.

Cikgu Hj Abd Karim Ismail (mantan Setiausaha ABIM Pulau Pinang paling lama berkhidmat bersama 3 orang YDP ABIM Pulau Pinang bermula dengani Dato Ustaz Mohd Yusuf, Dato Ustaz Abd Majid dan Ustaz Dr Wan Salim) sekarang menetap di Baling. Menurutnya, Gerakan ABIM adalah satu rahmat kerana menyertainya bermakna melalui skima Dakwah dan Tarbiyyah. Inilah dua elemen yang penting yang boleh di bawa ke mana-mana. Malah selama 2 penggal menjadi YDP PAS Baling -Cikgu Abd Karim membawa budaya ini, ada yang terima dan ada juga segelintir yang berasa rimas. Sebab itu perlu juga dikerahkan jihad di minda bukan daripada semangat berkobar saja tanpa disertai bersama roh dalaman. Ingatan dan perjuangan Gerakan masih fresh...segar bugar bagaikan bayu pagi yang meniup dari gunung Baling.

Dato' Ustaz Mohd Yusof Abd Latif (mantan YDP ABIM Pulau Pinang ke 2) menyatakan kesyukuran atas kesihatannya, alhamdulillah. Beliau berucap bertongkat dan duduk di atas kerusi. Pengalamannya selama 5 tahun belajar di Universiti AL Azhar tetapi tidak bertemu dengan perjuangan berbentuk Haraki dan Jamaah. Apabila kembali ke  Malaysia barulah berjumpa dan setelah mendengar tadhkirah-kuliah Anwar Ibrahim , maka kenal,  cinta dan bersama Gerakan ABIM. Beliau merasakan keindahannya sehingga sampai nak dibawa ke mana-mana. Nukilannya pengalaman bersama politik dan menjadi MP dan wakil rakyat -adalah hasil pengalaman bersama ABIM. Rakyat bukan Islam cukup respect - sangat menghormati kerana wakil rakyat yang... clean - yang bersih,  yang amanah - tak mau dan tak makan duit.

Dato Ustaz Abd Majid Zainal Abidin (mantan YDP ABIM Pulau Pinang ke 3)  berasa teramat yakin bahawa perjuangan kita bertunjangkan keikhlasan pada Allah swt. Sebab itulah kita boleh Istiqamah dengan perjuangan. ABIM berusaha sebagai Gerakan Islam untuk ummah, menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah s.w.t., menegakkan cita-cita Islamiyyah demi mencapai keridhaanNya. Kita menimba ilmu, memantapkan iman, memperbaiki amal, gerakerja berjamaah, membentuk kesabaran, istiqamah dalam perjuangan. Memang tribulasi bermacam-macam tetapi kita masih yakin dengan perjuangan. Banyak kenangan manis perjuangan dan peristiwa bersejarah bagi tokoh dan akitivis gerakan. Beliau menceritakan bahawa Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud (mantan pimpinan ABIM Pulau Pinang) - telah berwasiat kepada isterinya berbunyi ...... kalau aku mati - talipon Ust Majid........ itulah antara sahabat sehati sejiwa dengan perjuangan, gerakan dan Islam. Sahabat dunia dan akhirat.

ALLAHU AKBAR. Para hadirin merasa sebak melihat keyakinan yang seyakin-yakinnya dengan perjuangan Islam melalui wadah ABIM ini.

Program di akhiri dengan Tahlil yang di ketuai Ustaz Abdullah Che Teh yang sentiasa bersemangat, ceria dan terkenal dengan ungkapan selorohnya......the first and the last.


(Adaptasi daripada catatan asal oleh sdr Hj Muhamad Zaki Bin Hj Rafiee)

Wednesday, August 3, 2011

Tribute untuk Abim setelah 40 tahun - Dr Mujahid Yusuf Rawa



 

2 OGOS — Semasa saya menerima undangan dari Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) untuk memberikan ulasan pembentangan sebuah Kertas Kerja, saya tidak teragak-agak untuk menerima jemputan itu walaupun program itu jauh 3 bulan lagi ke hadapan. Persetujuan saya untuk hadir sememangnya diuji dengan berbagai dugaan.

Pertama jadual saya bertindih pada hari yang sama walaupun dah dimaklum lebih awal, kedua pihak urusetia mengandaikan pelawaan tiga bulan lalu tak perlu diingatkan semula. Ketiga sebagai ahli politik jadual mengejut memang biasa. Saya hampir membatalkan temujanji dengan pihak ABIM, tetapi memandangkan jemputan Abim lebih awal saya terpaksa menyusun jadual yang ketat pada hari itu.

Hari itu 23hb July saya ada kuliah pagi mingguan di Pasar Taman Sardon Gelugor, flite saya ke KL pukul 11.50 pagi dan saya perlu berada di program Abim pada pukul 2.00 ptg. Jadual pesawat kembali ke Penang ialah pukul 4.50ptg kerana saya terpaksa menghadiri kuliah maghrib di Penaga dan kemudian bergegas ke ceramah politik di Seberang Jaya. Ini bermakna saya ke Kuala Lumpur semata-mata kerana memenuhi undangan ABIM dan saya diberi hanya 10-15 minit untuk membuat ulasan kertas kerja Prof Ghazali Basri di atas tajuk “Di antara Pluralisme dan Plurality: Sikap Islam”. Walaupun hanya untuk 10-15 minit tetapi saya merasakan kehadiran saya di program Abim sempena sambutan 40 tahun Abim berada di pesada dakwah cukup bermakna bagi saya.

ABIM begitu sinonim dengan Anwar Ibrahim dan seringkali nama-nama awal tokoh Abim seperti Kamarudin Mohd Nor, Kamarudin Jaafar dan Sidiq Fadhil dikaitkan dengan gerakan belia Islam yang dinamik dan progresif. Anak-anak muda yang begitu idealis melihat nasib anak bangsanya menjadikan Islam sebagai teras perjuangan dan berdasarkan kepada pendekatan umatik yang dinamik. ABIM satu ketika dilihat sebagai ‘anak’ PAS yang memberontak kepada cita-cita sebuah Gerakan Islam yang lebih tegas pendirian Islamnya pada saat PAS menghadapi krisis dalam kepimpinan Datuk Asri Haji Muda. Anak-anak muda ini mahukan sistem pentarbiyahan ala ikhwan melalui unit-unit usrah yang benar-benar berfungsi manakala dari sudut memacakkan perjuangan di bumi Malaysia mereka mendapatkan bimbingan Pak Nastir dari Indonesia. Gabungan idealism pan-Islam Ikhwan dan pribumisasi Islam dalam kerangka negara bangsa mencetuskan satu fenomena baru dalam ledakan kebangkitan Islam di sekitar awal 80an.

Hanya setelah Anwar Ibrahim memilih untuk menyertai Umno, Abim hilang taringnya dan dilihat sebagai alat untuk agenda Islamisasi kepimpinan Tun Dr Mahathir. Keakraban PAS dan Abim terhakis sehingga ia mencetuskan gegaran dalaman di kalangan pendokong Abim sendiri yang membuat pilihan sebahagiannya menyertai PAS.

Namun saya mempunyai cerita saya sendiri dengan perjuangan Abim, malah saya memulakan ucapan saya dalam perhimpunan Abim hari itu dengan menyatakan dalam bahasa Inggeris: “I grew up with Abim”.  Mungkin generasi hari ini tidak mengetahui bahawa sekitar awal 80an, Abim banyak memperkenalkan program Islami untuk pelajar-pelajar sekolah menengah seperti saya. Saya mengikuti setiap musim cuti sekolah satu program yang sinonim dengan Abim iaitu Khemah Ibadat.

Tempat kami ialah di Madrasah Masriyah Bukit Mertajam. Kami akan mengikuti program selama 3 hari 2 malam di mana pengisian program terbahagi kepada tiga elemen ialaitu Spiritual, Mental dan Fizikal. Saya didedahkan dengan qiyamullail, solat dhuha, ma’thurat dan berbagai aktiviti spiritual ibadah yang lain. Untuk mental kami mendengar kertas kerja yang dibentangkan oleh pensyarah-pensyarah dan ustaz-ustaz tentang perjuangan Islam, tokoh-tokoh Gerakan Islam dan idealism perjuangan Islam. Saya mula mengenali nama Hassan Al Banna, Syed Qutb dan Mustafa Mashor dalam program-program ini. Fizilkal, kami didedahkan dengan riyadhah, main bola dll aktiviti. Nama Ustaz Abdul Majid Zainal Abidin dan Dr Wan Salim memang saya kenali sejak di bangku sekolah menengah lagi. Bukan setakat program  musim cuti sekolah, malah saya menjadi anak murid ustaz Abdul Majid di Mesjid Gelugor dengan mengikuti kuliah tafsirnya dan usrahnya selepas kuliah. Tafsir Fi Zilal yang menjadi rujukannya cukup memberi kesan pada jiwa saya yang masih mentah lagi ketika itu.

Saya juga menyertai aktiviti PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) sebagai mewakili badan pelajar di sekolah saya iaitu Penang Free School. Saya menghadiri perhimpunan agung PKPIM tahun 1981 atau 82 di UM dan pertama kali didedahkan dengan activism pelajar walaupun saya lebih mendengar daripada berpartisipasi. Saya mengkagumi kepimpinan Abim ketika itu kerana melihat mereka mempunyai daya pemikiran yang hebat tentang Islam dan masa depan anak-anak muda seperti saya. Saya masih ingat yang meresmikan Muktamar Agung PKPIM tahun itu ialah Kamarudin Mohd Nor (kini bergelar Datok), dia bersalaman dengan saya dan ketika diperkenalkan saya anak Pak Yusof Rawa, dia bertanyakan khabar ayah saya dan mengambil sedikit masa bersembang dengan saya. Saya membaca Risalah Abim yang memuatkan artikel-artikel yang bermutu tentang idealism perjuangan Islam era 80an. Buku-buku tentang fikrah Islam yang diterjemahkan banyak diterbitkan oleh ABIM dan bacaan-bacaan saya ketika itu banyak merangsang idealism Islam dalam diri saya hingga ke hari ini. Buku yang paling memberi kesan kepada saya ialah terjemahan dua serangkai karangan Al Maududi dan Syed Qutb oleh ABIM Kedah. Saya menjadikan ia teks usrah saya semasa di tingkatan Enam di Penang Free School  di mana saya adalah naqibnya (ketua usrah).
 
Kehadiran saya pada Muktamar Senawi Abim sempena 40 tahun membawa saya mengimbau masa lampau sewaktu saya mengenali idealism perjuangan Islam di bangku sekolah. Apabila saya berkata : I grew up with Abim (saya membesar dengan Abim yang memperkenalkan saya idealism perjuangan Islam), saya memang jujur dalam ungkapan saya, malangnya waktu 15 minit tak memberikan saya kesempatan untuk menceritakan sejarah silam ini untuk dikongsi dengan peserta-peserta dari anak-anak muda yang ramai hadir hari itu. Namun wajah-wajah Dr Mohammad Nor Manuti, Datuk Kamarudin Jaafar dan lain-lain kepimpinan Abim yang senior tampak tersenyum riang sepanjang pembentangan saya, mereka memang mengetahui peranan besar Abim dalam menarik anak-anak muda seperti saya seketika dahulu menyertai karavan perjuangan Islam ini. Hari ini saya berdiri di hadapan mereka sebagai AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Malaysia, tidak ada apa yang lebih hebat yang boleh saya nukilkan dalam tulisan ini melainkan ungkapan: “Syabas dan Tabik Abim kerana sempat membesar dengan mu!”

(Petikan tulisan daripada Detik Daily; gambar tambahan adalah koleksi Sambutan 30 tahun ABIM Pulau Pinang 2004)