Tuesday, May 24, 2011

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: Dr Siddiq Fadil bahagian akhir

Tafsir Maudhu'iy 59

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: MENANGKAP SEMANGAT

SURAH AL-TAWBAH:38-42

42. kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Ayat seterusnya mendedahkan sifat opportunist dan materialistiknya kaum munafiqin yang datang dengan seribu dalih untuk tidak menyertai angkatan mujahidin yang berangkat ke medan perang. Segala keuzuran mereka adalah pembohongan belaka. Pura-pura sakit, walhal sebenarnya mereka segar bugar; pura-pura tidak memiliki biaya, walhal sebenarnya mereka kaya raya. Sebab sebenar ketidaksediaan mereka ikut serta adalah kerana jauhnya perjalanan dan teriknya bahang musim panas ketika itu. Hakikat kemunafikan inilah yang didedahkan oleh al-Qur'an: andainya mereka diajak mengaut keuntungan kebendaan yang mewah dan mudah, jaraknya dekat dan waktunya singkat, pasti mereka akan bergegas meluru dan menyerbunya. Dasar munafik opportunist!

Sekembalinya Rasulullah s.`a.w. dari medan perang Tabuk, mereka mendatangi Junjungan s.`a.w. dengan berpura-pura kesal dan sedih tidak dapat ikut berjuang kerana keuzuran. Untuk menjadikan lakonan mereka lebih mengesankan mereka bersumpah dengan Nama Allah, "Kalaulah tidak kerana berhalangan, pasti kami telah ikut menyertai kalian ke medan perang!". Demikianlah selamanya, bersumpah adalah akal munafik menutupi kebohongan. Mereka sendiri tahu pembohongan itu tidak dapat dipercaya, dan kerana itu mereka bersumpah dengan harapan akan dipercaya. Ayat al-Tawbah ini dengan jelas dan tegas menyebut bahawa sumpah bohong akan membawa padah kehancuran. Ia adalah suatu ketololan yang merosak diri. Sumpah bohong hanya akan lebih memperparah kebejatan moral-spiritual mereka. Andainya sumpah bohong itu berjaya menipu orang, tetapi pada hakikatnya yang paling tertipu adalah diri sendiri. Allah yang Nama-Nya dipakai untuk bersumpah bohong itu tahu bahawa mereka adalah pembohong. Tuhan yang mengetahui kebohongan mereka itu sendiri yang berkata, "yuhlikuna anfusahum…(mereka membinasakan diri sendiri)", lalu mahu lari ke mana?

Masyarakat berbudaya sumpah adalah masyarakat yang ditimpa krisis kepercayaan. Apabila berbohong sudah dianggap hal yang biasa sehingga menjadi budaya, maka terwujudlah sikap saling tidak percaya. Tidak siapa pun yang percaya kepada siapa-siapa. Dalam keadaan seperti itulah terbentuknya masyarakat hallaf, iaitu masyarakat yang berbudaya sumpah. Tetapi apabila terlalu banyak bersumpah, sudahnya sumpah pun tidak lagi dipercaya. Masyarakat mukmin adalah masyarakat yang mengamalkan budaya berkata benar, masyarakat amanah, berintegriti dan berwibawa. Kerana itu wujud sikap saling percaya di kalangan warganya.

Masyarakat mukmin juga adalah masyarakat idealis, masyarakat pejuang dan masyarakat yang berani menghadapi risiko. Ia bukan masyarakat penakut, short termist, opportunist, materialist. Seluruh warga umat, terutama generasi mudanya harus diorientasikan dengan semangat dan komitmen perjuangan. Untuk itu harus ada kesediaan untuk melawan gejala pembunuhan idealisme (penegakan nilai-nilai murni kebenaran, keadilan, hak asasi, demokrasi dll.), melawan politik pembohongan dan pembodohan, melawan usaha jahat melumpuhkan semangat dan daya juang umat. Amalan politik menabur gula-gula, mempedaya rakyat dengan umpan-umpan kebendaan, dan melemaskan generasi muda dalam arus budaya hiburan gila-gila adalah bahaya besar yang akan berhujung pada tragedi the death of idealism atau kematian idealisme. Demikian juga dengan kehidupan yang dikuasai budaya takut (culture of fear) yang akan menciptakan umat pengecut, dan generasi bermentaliti kalah. Apabila keadaan itu terjadi, berakhirlah riwayat satu umat, dan bersiaplah untuk menerima ketentuan sunnatu 'Llah: petaka kehancuran dan penampilan umat pengganti, "generasi anak jantan yang berani mati digelanggang"


No comments: