Tuesday, May 24, 2011

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: Bahagian 2, Dr Siddiq Fadil

Tafsir Maudhu'iy 59

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: MENANGKAP SEMANGAT

SURAH AL-TAWBAH:38-42 Bhg 2

Siddiq Fadzil

Perang Tabuk yang melatari penurunan ayat-ayat al-Tawbah itu adalah ujian keutuhan dan ketulenan iman dalam pengertian tersebut. Komitmen perjuangan diuji dengan perintah tampil di medan perang melawan kuasa besar dunia (Rom), di lokasi yang jauh di luar kota, pada musim panas terik; dan ketika itu pulalah buah-buahan di Madinah sedang masak ranum, musim memetik telah tiba. Suasana sedemikian itulah yang menyebabkan sebahagian warga Madinah berasa berat untuk berangkat. Mereka menjadi malas, dan sebahagiannya mencari-cari helah untuk melepaskan diri dari kewajipan berperang. Padanlah sikap kebendaan, lemah dan pengecut seperti itu mendapat reaksi dari langit dengan pertanyaan kesal, "Apa sudah jadi kepada kalian…?". Orang mukmin tidak sewajarnya bersikap, membuat keputusan atau pilihan yang merugikan diri sendiri. Iman apa dan mukmin apa yang memilih mata`u 'd-dunya yang rendah dan murah, dengan mengenepikan kurnia ukhrawi yang lebih tinggi, lebih hakiki, lebih bererti dan lebih abadi?.

Mereka seterusnya diperingatkan tentang bahaya berlakunya sunnatu 'Llah ke atas umat yang kematian daya juang, yang tidak mahu dan tidak mampu melaksanakan amanah perjuangan mendaulatkan kalimat Allah. Mereka akan ditimpa bencana besar yang menamatkan riwayat mereka sebagai umat; dan Tuhan akan tampilkan umat lain atau generasi lain yang komited dan layak mengambil alih tanggungjawab perjuangan menegakkan agama Allah. Amaran keras ini bukan lagi sekadar suatu kemungkinan, tetapi suatu kepastian kerana sunnatu 'Llah tidak pernah dan tidak akan pernah berubah. Begitulah cara Tuhan bertindak ke atas umat yang lari dari tanggungjawab. Yang rugi adalah mereka sendiri, bukan Tuhan, dan bukan juga Rasul-Nya. Tuhan Maha Berkuasa mengunggulkan agama-Nya dan memenangkan Rasul-Nya dengan cara-cara yang dikehendaki-Nya.

Ternyata bagi kaum mukminin, menjadi orang perjuangan bukan suatu pilihan, tetapi suatu syarat survival. Terserah, mahu menyahut panggilan perjuangan atau tidak. Agenda Tuhan tetap berjalan, dan Rasul-Nya akan dimenangkan dengan atau tanpa penyertaan mereka. Dahulu, ketika orang-orang kafir Makkah memburunya dalam peristiwa Hijrah, Rasulullah s.`a.w. bersembunyi di gua Thawr dengan hanya ditemani oleh seorang sahabat kepercayaannya, Abu Bakr al-Siddiq r.`a. yang dalam ayat ini disebut thaniya 'thnayn. Siapa yang menolongnya, siapa yang memberikannya kedamaian dan perlindungan hingga tiba di destinasi al-Madinat al-Munawwarah dengan selamat? Tuhan sendirilah yang mendampingi mereka. Setiap gerak dan setiap detik mereka berada dalam ma`iyyatu `Llah, kebersamaan dengan Allah. Memang Allah selamanya Maha Berkuasa menolong dan memenangkan Rasul-Nya kerana Ia memiliki bala tentera perkasa yang tidak kelihatan. Segalanya itu telah terbukti nyata di depan mata: faham dan nilai-nilai tradisi kafir jahili jatuh merudum, sedang agama Allah terjulang gemilang. Demikianlah jelmaan keperkasaan dan kebijaksanaan Tuhan yang Maha `Aziz, mampu melakukan apa sahaja; dan Maha Hakim, benar dan tepat segala kata dan perbuatan-Nya.

Ayat 41 dengan tegas memerintahkan mereka semuanya tampil ke medan tempur, tanpa kecuali, berat atau ringan, tua atau muda. Itulah ketikanya Allah tidak mahu melayani sebarang alasan menguzurkan diri. Dengan kata khifafan wa thiqalan (ringan atau berat) tertutuplah segala ruang pengecualian. Dalam masyarakat kaum mukminin setiap orang adalah pejuang yang sentiasa siap menyerahkan harta-benda dan jiwa-raganya demi menegakkan kebenaran dan keadilan agama Allah. Mereka cukup menyedari bahawa perjuangan di jalan Allah sama sekali bukan penderaan dan bukan beban yang menyusahkan, tetapi suatu tawaran peluang istimewa meraih keuntungan yang tidak ternilai. Tidak ada istilah rugi dalam kamus perjuangan mendaulatkan agama Allah. Seorang perwira di medan jihad hanya berhadapan dengan salah satu dari dua keuntungan: meraih shahadah (gugur syahid) yang membawanya ke syurga, atau pulang dengan pahala dan ghanimah. Memang tidak semua orang tahu tentang hakikat betapa beruntungnya menjadi pejuang. Yang tahu hanya mereka yang beriman dengan kehidupan ukhrawi, mereka yang meyakini nikmat syurgawi.


No comments: