Friday, October 18, 2013

BANGLADESH: GOVERNING IN THE DARK



When ruling governments become corrupt or are inherently illegitimate, they tend to rule in the dark. They are more likely to run the country by fear and coercion, governing in bits and pieces, always in crisis mode, deep in suspicion and mistrust. They become overly dependent on secret policing, draconian laws, powerful security intelligence and deep state bureaucracy of cronies and blind loyalists. Indeed foreign collaboration is sought to fend off sanctions and condemnations of human rights violations. There are never any long term plans nor good policies in the funnel. Everything is done to remain in power, using brute force and unbridled authority. Everything is run day by day to suppress freedom and to stifle dissent. Its intelligentsia, the elite and affluent, competent and able people of eminence are either cowered in fear, repressed, compliant, compromised or in culpability with the dark regime, living off in luxury aloof from the woes of the nation. Otherwise they are either in prison, hiding underground or in exile.

This is so in the political darkness of Bangladesh. States like these regard the opposition as enemies of the state. The government of Bangladesh behaves as if their opponents and dissenters are their primal foes to be vanquished and eradicated by any means. At present and throughout its rule, it is in a determined political deadlock with the opposition coalition. Democracy and peaceful means in resolving political issues seem beyond the aptitude of  Bangladesh’s ruling clique. Political dialogue and accommodation is simply ruled out. Its actions become more and more vicious and insidious hence condemning Hasina’s government towards a point of no return.

In a vibrant democracy, political conflicts cannot be won by criminalizing the other. Hasina has sentenced to death respected leaders of the Jamaat Islami at a time when political Islam ought to be a means of discourse in resolving Bangladesh’s turmoil. Instead of healthy engagement and rigorous debate over the course of the nation’s well being and future, Hasina prefers authoritarianism and the stifling of other views. Jamaat leaders are being unjustly treated, persecuted and meted out harsh sentences either to the gallows or spending years in prison. They are charged with something from figments of the past being made bogeymen for a catastrophic beginning in the birth of Bangladesh. Damage has already been done through brutal suppression of demonstrations and mass arrests but releasing these politicians would make possible reconciliation talks and making amends towards achieving higher objectives of the nation.

The past colonial masters made the carving up of old India into ungovernable parts of a unified Pakistan. The result being civil war and India’s invasion ending up with a new separate nation. This new country was beset by difficult geographic conditions and enormous economic problems, bad neighbours, one of the largest and densest population is the world, abject poverty, a legacy of failed governments and perpetual political crisis.

Yet there is hope. The success story of the microcredit scheme to alleviate the poor was started in Bangladesh. Bangladesh has a wealth of human resource, their expatriate workers and migrants provide ready cheap labour and contribute to the successful development of others especially in emerging countries and markets, they are known throughout the world as good workers. The way out of the mess the country is in is to lead and inspire these highly rated citizens and workers into building up their own nation and develop their much needed economy, education, infrastructure and social services. This needs able and competent leadership that can transcend narrow political rivalry and carry out change. This can only happen in calm and peaceful conditions. Bangladesh needs to make peace with itself. Its leaders must come out of the political darkness while there is still light.




Wednesday, October 9, 2013

IMBASAN 2002: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN


Sesungguhnya masa ini merupakan saat getir bagi  ummah dan gerakan Islam. Pada gerakan Islam, Ikhwan al Muslimin dianggap pergerakan pelopor dan perintis jalan yang sentiasa dilihat berada di pusat gempa kesedaran dan kebangkitan Islam. Ikhwan diperhatikan sebagai konsisten, istiqamah, teguh menggalas amanah menyampaikan risalah Islam kepada dunia moden, pembawa risalah menyeru dan menawarkan rahmat kepada manusia - rahmatan lil 'alamin. Sebagai mana pejuang islah sebelum mereka, Ikhwan membentangkan dan menerangkan Islam sebagai jalan benar dan lurus untuk mencapai kejayaan dan kesejahteraan ummah dan sekalian manusia, senantiasa mengemudi di atas jalan wasatiyyah, jalan kesederhanaan, tanpa berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam dan setia mengislahkan masyarakat.

Ikhwan sentiasa menganjurkan kefahaman sebenar Islam, memantapkan iman, menambahkan ketaqwaan, menegakkan kebenaran dan keadilan, menggalakkan amal kebajikan dan sadaqah, mengajak kepada mentazkiyah jiwa dan hati, melaksana da'wah, mendidik dan melatih dengan tarbiyyah, merencana misi Islam dan gerak kerja - amal jama'iyy, menjaga kesihatan dan kesejahteraan dan lebih lagi membina ikatan dan rangkaian persahabatan dan persaudaraan - ukhuwwah sesama Muslim dan menjaga hubungan sesama insan. Inilah menurut ajaran al Qur’an dan Sunnah  Rasulullah s.a.w.

Keperihan dan musibah berat telah menimpa Ikhwan, anggota lelaki dan wanita gerakan. Pada tahun 50' an dan 60'an, regim Mesir di bawah pemerintahan Gamal Nasser mengkhianati dan menfitnah gerakan Islam, menindas secara kejam Ikhwan, membunuh, memenjara dan menyiksa dengan brutal pimpinan dan ahli-ahlinya, lelaki dan wanita. Lelaki dan wanita Mesir, anak lelaki dan anak perempuan, anak bangsanya sendiri, mereka yang memiliki akhlak mulia dan idealisme tinggi - mereka yang jika berada di situasi dan ketika yang lain akan dianggap sebagai negarawan dan intelektual - model contoh mithali masyarakat.

Tetapi penzalim yang berhasad dengan sifat kefir'aunan tetap menindas dan membantai dengan brutal Ikhwan dan keganasan ini memuncak dengan hukuman bunuh tragis dan malang syuhada’ Abd Qadir Awdah and Sayyid Qutb dan lain-lain pejuang, semoga Allah s.w.t. merahmati mereka. Tuduhan-tuduhan ke atas mereka telah terbukti kemudiannya sebagai palsu tetapi Allah s.w.t. telah menentukan bahawa mereka dikembalikan kepadaNya menurut hikmah yang Maha Bijaksana.

Dengan memenjarakan belia yang berpotensi, menahan golongan intelektual dan profesional, dan menakut-nakutkan warganya yang bermaruah, Mesir, setahun kemudian, telah pergi berperangan dengan musuh sebenar yang nyata kejahatannya, Israel, yang berkesudahan dengan kekalahan teruk dan penghinaan bagi Mesir.

Penindasan Ikhwan memenuhi hasrat agenda Zionis, Komunis serta sekularis ekstrim pada waktu itu dan kuasa-kuasa Barat - bekas-bekas penjajah yang khuatir dengan gerakan revolusioner yang bakal mengancam status quo - kedudukan empuk mereka dan usaha membawa Mesir bebas daripada lingkaran pengaruh mereka.

Namun, walaupun Ikhwan diserang dengan kejam secara fizikal dan imejnya diputar belitkan serta sengaja dipamerkan secara jahat, Ikhwan tidak mengambil pendekatan radikal atau bertindak militan ataupun membalas secara keganasan. Imej negatif Ikhwan telah sentiasa dipupuk dan disebarkan secara sistematik oleh media dan ahli-ahli propaganda kepada seluruh dunia dan kepada rakyat jelata Mesir, kepada orang tua dan kanak-kanak. Ikhwan digembar gemburkan sebagai  irhab - teroris, sebagai orang ketinggalan zaman, sebagai momok, bahaya kepada masyarakat dan musuh negara. Namun, Ikhwan sentiasa mengekalkan jalan moderat dan berpegang teguh kepada mengutamakan awlawiyyat memelihara keamanan dan perpaduan ummah mengatasi segala pertimbangan yang lain.

Ikhwan sentiasa memilih kaedah of da’wah wa tarbiyyah – da'wah dan pendidikan. Inilah yang telah digariskan dan diajar oleh al syahid al Imam Hasan al Banna, pengasasnya yang sangat dihormati. Kaedah ini diteruskan dengan istiqamah dan kesabaran mereka yang datang selepasnya. Memang ada segelintir yang kurang sabar walaupun mungkin jujur, mereka telah berbeda pendapat dan membantah pendirian Ikhwan, mereka bertindak di luar batasan wasatiyyah - mereka telah membawa natijah yang lebih padah dan musibah besar kepada gerakan islam dan ummah secara keseluruhan. Inilah yang dialami kini oleh umat Islam  - fenomena Islamophobia - momokan agama Islam dan penganutnya - sebagai reaksi dan tindakbalas kepada peristiwa-peristiwa teroris dan kemarahan dunia. Tetapi Ikhwan kekal berwibawa sebagai aliran arus perdana gerakan Islam dan mengekalkan popularitinya serta masih dihormati rakan-rakan. Ikhwan juga sentiasa dicurigai dan ditakuti oleh musuh-musuhnya.

Bagi perihal prinsip, usul-usul asasi Islam dan menegakkan keadilan untuk ummah serta pembebasan bumi Palestin daripada penaklukan haram Israel, Ikhwan tetap tidak berkompromi.

Sebahagian pimpinan Ikhwan berhijrah mendapat suaka ke negara lain bagi meneruskan konsolidasi, perancangan dan organisasi pergerakan di peringkat antarabangsa. Pimpinan yang tinggal di Mesir bergerak secara rahsia dan berkembang terutama apabila generasi penjara mula dibebaskan serta pimpinan muda lebih berperanan. Pergerakan yang dilandasi prinsip-prinsip lain akan mudah berkecai dan lumpuh di bawah tekanan dahsyat dan kawalan rapi regim. Pergerakan yang mempunyai idealisme tinggi dan kepimpinan yang komited saja yang ampuh dan mampu bertahan. Ikhwan berpartisipasi dengan seadanya dan berjaya hadir secara berkesan dalam bidang politik, di masjid-masjid, di universiti dan pusat pengajian tinggi, di dalam badan-badan profesional - menguasai pertubuhan perubatan, kejuruteraan dan undang-undang; mendapat dokongan intelektual dan orang awam, berada di lapangan dan menjalankan kerja kebajikan.  

Wakil-wakil Ikhwan bertanding secara demokratik di pilihanraya, memenangi kerusi-kerusi legislatif secara konsisten. Mereka berjaya walaupun terpaksa merekayasa pelbagai wadah parti-parti politik sedia ada kerana berhadapan sistem politik yang sarat diskriminasi dan sistem pilihanraya Mesir yang berat sebelah - sistem yang pasti memihak kepada regim pemerintah.  

Sungguh sedih dan tragis bahawa Ikhwan Al Muslimin tidak pernah diiktiraf atau didaftar atau diizinkan bergerak secara terbuka di Mesir atau di mana-mana bumi Arab walaupun kehadiran mereka diketahui. Tetapi Ikhwan tetap wujud dan beriltizam, kehadirannya dirasai dan merekalah yang dirujuk serta merekalah yang datang membantu apabila diperlukan. Ini terbukti apabila berlaku bencana di Mesir - Ikhwan yang pertama tiba membantu mangsa-mangsa akibat gempa bumi dan operasi Ikhwan dilihat paling cekap, amanah dan dipercayai. Ikhwan yang diharapkan untuk mendamaikan konflik dan rusuhan di jalan raya. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa Ikhwan berada di barisan depan berperang membela Palestin pada 1948 sebelum mereka dikhianati oleh  askar Arab Legion era itu (dan telah dirakamkan oleh Yasser Arafat sendiri yang menyaksikannya kerana dia berada di situ pada waktu itu dan mengetahui komitmen Ikhwan serta pengkhianatan Arab Legion)

Pihak berkuasa regim menjadikan resam untuk menangkap dan menahan calon-calon dan pimpinan Ikhwan apabila saja hampir pilihanraya supaya cuba memporak-perandakan jentera pilihanraya Ikhwan serta memastikan mereka tewas. Perbuatan sumbang pihak berkuasa memuncak dengan penggunaan taktik melampau, provokatif dan ganas bagi memastikan kekalahan calon pertama wanita Ikhwan di kerusi parlimen Iskandariah. Calon wanita berkenaan sangat popular, dijangka mengatasi lawannya, dan kemenangannya akan menempelak segala pandangan serong dan prasangka golongan sekularis liberal ekstrimis terhadap Ikhwan serta penyerlahan sebenar sikap Ikhwan terhadap wanita dan kepimpinan. Ikhwan telah meletakkan calon wanita padahal parti-parti sekular yang hiruk pikuk itu semuanya enggan berbuat demikian. Banyak pihak termasuk parti-parti Islam lain di dunia mendapat pengajaran daripada pengalaman ini.

Adalah sungguh mendukacitakan kerana kebanyakan umat tidak tahu bahawa walaupun ramai pimpinan Ikhwan telah pergi, lantas umat masih tidak menyedari, tidak menghargai, tidak mengiktiraf sumbangan besar Ikhwan terhadap kebangkitan umat dan misi membangunkan agama serta kefahaman Islam di dunia kontemporari. Sejarah moden dunia Islam dan kajian sosial abad yang lalu perlu dikajisemula dan diteliti kembali supaya berlaku adil kepada insan lelaki dan wanita yang benar-benar telah menyumbang kepada kemajuan sosial, moral, etika dan pembangunan insan. Dengan kejatuhan khilafah 1927, gerakan Islam inilah yang dipelopori Ikhwan al Muslimin serta di bawah kepimpinan pengasas-pengasasnya yang memugarkan semula, memperbaharui, mengislah, menghidupkan dan melestarikan gagasan komuniti besar Islam -  Ummah, ukhuwwah Islamiyah – persaudaraan, kesatuan di kalangan negara Islam dan tasawwur Islam – pandangan sawar Islam, semuanya dengan rahmat limpah kurnia Allah swt. Sungguh dikesali bahawa pembebasan dunia Arab dan Muslim serta kebangunan semula semangat, pemikiran dan keyakinan negarabangsa tidak langsung mencatat atau menghargai sumbangan pergerakan Islam yang diwakili oleh Ikhwan al Muslimin. Banyak daripada malapetaka dan kegagalan negara-negara Arab dan negara Islam seumpamanya yang tidak berdaya maju adalah berpunca daripada dasar zalim dan penindasan teruk ke atas Islamis dan pembenterasan Islamisasi sepertimana pengalaman regim-regim yang cuba membasmikan pergerakan Ikhwan.




(terjemahan artikel yang ditulis pada  2002)

Monday, October 7, 2013

MELESTARI IDEALISME PERJUANGAN: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN


Sewaktu merengkok di penjara di kala era hitam Mesir, perasaan Sayyid Qutb telah tersurat pada karya tulisannya membayangi dera penyiksaan pada tubuh badannya yang dia alami dan penderitaan psikologi akibat pembunuhan sahabat-sahabat Ikhwan oleh regim Gamal Naseer. Pembacaan karyanya fi zilal al Qur’an – Di Bawah Naungan al Qur’an memperlihatkan kegusarannya terhadap kerajaan tentera yang sanggup memperlakukan, menganiaya dan mendera ribuan anggota Ikhwan tanpa mereka perlu rasa risau tentang tindakbalas kebangkitan rakyat.

Melihat kepada suasana semasa pula, sekali lagi kerajaan ku deta – perampas yang ditubuhkan oleh angkatan tentera telah membunuh secara beramai-ramai rakyatnya sendiri dan nampak seolah-olah lepas bebas melakukan jenayah ini semata-mata kerana mangsa mereka adalah Ikhwan al Muslimin dan penyokong-penyokong mereka. Tentera tidak mempedulikan mangsa mereka samada tidak bersenjata, membantah dengan aman, samaada wanita atau kanak-kanak, tanpa menghirau jamaah bersolat, mereka ditembak dan dibunuh dengan sengaja. Beratus-ratus orang terbunuh dan ribuan yang cedera parah. Tidak ada nada bunyi pun bantahan daripada para pemimpin negara-negara Islam ataupun demokrat-demokrat Barat. Hanya Turki negara tunggal yang bersuara lantang mengutuk dengan keras perbuatan jenayah terhadap kemanusiaan ini.

Mengimbas kepada masa yang lalu, suatu peristiwa telah mempengaruhi Sayyid Qutb untuk mendorongnya menyertai Ikhwan al Muslimin. Sayyid Qutb yang sedang melanjutkan pelajarannya, menyaksikan suatu kejadian di media US sewaktu dia terlantar di hospital di Amerika Syarikat. Amerika telah menyambut dengan meriah dan penuh kegembiraan apabila diberitakan tentang pembunuhan Imam Hasan al-Banna pada Februari 12 1949. Hasan al Banna adalah pengasas dan pelopor gerakan Ikhwan, seorang yang sangat berwibawa dan berkarisma. Media Amerika tanpa segan silu menyorak riang pembunuhan seorang reformis Mesir dan pemimpin gerakan kemerdekaan menentang penjajah British.

Kini pula, seolah-olah tiada yang berubah. Ini jelas kelihatan apabila "sang ibu" Katie Ashton pemimpin Kesatuan Eropah EU diterbangkan khas oleh junta tentera Mesir untuk bertemu dengan Presiden Morsi yang telah ditahan secara haram dan dikurung di lokasi rahsia. Keluarga dan para peguam Dr Morsi pun tidak dibenarkan berjumpa dengannya. Tetapi para diplomat Barat datang dan pergi bebas untuk bertemu sesiapa saja ikut suka hati mereka. Diplomat-diplomat ini membincangkan dan campur tangan dalam politik dalaman Mesir tetapi akan lincah membuat penafian-penafian yang  rapuh.

Adalah sangat mudah untuk membuat kesimpulan sepertimana dirumuskan oleh  Sayyid Qutb bahawa sebuah regim yang tiada tara kekejamannya telah menguasai tampuk kuasa di Mesir dan permasalahan utama adalah pengaruh besar kerajaan asing serta ketiadaan sistem keadilan sosial. Kini ia merupakan rampasan kuasa total oleh kuasa-kuasa yang amat sangat memusuhi Islamis.

Seteru-seteru dari golongan sekularis ekstrim suka meremehkan dan memandang enteng layanan kejam dan brutal regim ke atas Ikhwan sebagai “naratif mehnah – tribulasi”. Mereka menyindir tanpa perasaan peri kemanusiaan seolah-olah Ikhwan merelakan ahli-ahlinya mengalami penyiksaan yang dahsyat dan pengorbanan nyawa hanya untuk menjadikannya kekal popular dan relevan.

Tetapi apakah sebenarnya yang melestarikan dan memampan Ikhwan al Muslimin walaupun ia mengharungi penindasan sistematik dan penyingkiran ganas?

Meninjau kepada barisan politik Ikhwan  dan perkembangannya selama ini, tentang aspek ijtihadiy, perihal pemikiran dan pertimbangan ideologi menunjukkan keazaman luar biasa untuk survive - bertahan, menyesuaikan diri dan  and berkembang.

Perincian tentang penubuhan dan sejarah awal Ikhwan al Muslimin menunjukkan bahawa ia bersedia untuk menjadi organisasi yang sangat adaptif, mampu menangani permutasi-permutasi parti-parti biasa dan mantap apabila menangani krisis.  

Ikhwan telah sejak awal lagi menggubal dan menganjurkan pelbagai landasan-landasan politik dan program-program ekonomi sebelum ditamatkan oleh regim Nasser yang represif. Ikhwan dibubarkan secara paksa dan pimpinannya serta ahli-ahlinya telah melalui bertahun-tahun lamanya dalam tahanan penjara, ada yang dijatuhkan hukuman mati dan ramai yang berhijrah menjadi pelarian mencari suaka. Gamal Naseer bersumpah akan membasmikan sepenuhnya kewujudan pergerakan Ikhwan dan dia telah dilaporkan berikrar untuk memusnahkan Ikhwan sewaktu melawat Moscow pada era  Soviet.

Tetapi generasi penjara Ikhwan muncul kembali apabila dibebaskan dan memasuki semula landskap politik. Ikhwan dengan cara tersendirinya mampu mengekalkan kehadiran politiknya dan libatserta mampan walaupun berhadapan dengan regim dan institusi-institusi opresif. Ikhwan mampu bersaing dengan kuasa-kuasa politik dan ia masih mempunyai struktur organisasi yang ampuh.

Dengan kedatangan ahli-ahli muda, Ikhwan telah menguasai kemahiran politik pilihanraya dan politik adaptasi. Ikhwan berkembang pesat di bawah toleransi de facto regim autoritarian tetapi regim ini tidak pernah mengizinkan kewujudan Ikhwan secara sah. Ikhwan mengamalkan teknik-teknik bertahan - memulihara diri dan strategi memenangi pilihanraya. Pada 1984 murshid al am Ikhwan, Umar Tilmisany mengesan peluang keemasan bagi bertanding di pilihanraya parlimen. Dia berkata bahawa jika mereka membiarkan saja kesempatan ini berlalu, mereka akan pasti dianggap cuai. Ikhwan menjadi pakar dalam menubuhkan pakatan-pakatan politik dan gabungan-gabungan dalam menangani rekayasa pilihanraya dan manipulasi berat sebelah regim. Ikhwan telah bertanding sebagai calon bebas dan juga melibatserta dan bekerjasama dengan parti Wafd dan parti Buruh.

Ikhwan kemudiannya menjadi pesaing utama pemilihan walaupun padang lapangan pertarungan politik tidak saksama. Ikhwan berprestasi dengan cemerlang di parlimen dengan interpelasi legislatif – soalan parlimen -  paling besar jauh mengatasi rakan-rakan parti gabungan mereka.

Pada 1987, Ikhwan mengutarakkan konsep al tahaluf al islamiy – bekerjasama atas dasar moral  yang disepakati – pakatan yang diterajui Islamis. Slogan yang diperkenalkan  - tatbiq wa taqnin – pelaksanaan dan kanun perundangan.

Seperti yang lazim dilaluinya, Ikhwan mengalami ritual biasa menyaksikan beratus-ratus pimpinannya dan calon-calonnya ditangkap oleh regim
di ambang pilihanraya .

Murshid al am Ikhwan seterusnya, Mustafa Masyhur berkata dengan penuh inspirasi , "Kita mesti memanfaatkan pengalaman pilihanraya untuk masa depan kita, kerana pilihanraya adalah seni yang mengandungi peraturannya sendiri, kepakaran dan kelayakan, dan kita mesti mendesak mereka yang telah putus asa untuk merubah negara ini, mendesak mereka supaya keluar daripada sikap pesimis ini.”

Ikhwan memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi kerana kemahiran tinggi berorganisasi, keupayaan mereka meraih sokongan undi, rekod prestasi yang terbukti cemerlang dan ketelusan pengurusan pertubuhan-pertubuhan mereka. Ikhwan menang bukan dengan penyelinapan rahsia tetapi kerja keras berkempen dan membina rangkaian melebar khidmat pasca pilihanraya kepada masyarakat.

Musuh-musuh Ikhwan melemparkan tuduhan yang tidak berasas bahawa ia menggunakan taktik mengambil alih dan manipulasi.  Ikhwan dicemuh kerana dianggap akan menjadi demokrat palsu dan mereka akan menjadi pesaing politik yang tidak jujur kerana akan asyik merujuk kepada nas – teks agama untuk berhujah. Ikhwan digambarkan sebagai teokrat yang fanatik.

Nampaknya apabila menilai demokrasi, piawai neraca lebih tinggi digunakan ke atas Ikhwan mengatasi orang lain. Ini menggambarkan seolah-olah Ikhwan sajalah yang bersifat autoritarian di kalangan himpunan demokrat lain yang kononnya jujur dan teruji.

Tetapi prestasi Ikhwan di parlimen, isu-isu yang mereka bangkitkan, kualiti hujah dan perdebatan mereka menunjukkan kepintaran politik mereka, kebitaraan, skil artikulasi dan penguasaan permasalahan yang melebihi tanggapan teokrasi. Ikhwan dilihat dan dirasai sebagai demokrat Muslim.

Oleh itu adakah kemahiran, kepintaran dan kebitaraan politik dan penguasaan ijtihadiy – pertimbangan waqi’ – kontemporari yang melestarikan perjuangan Ikhwan al Muslimin?


Profesor Muhammad Qutb menulis bahawa tafsir fi zilal al Qur’an  adalah karya agong hasil tahun-tahun produktif kehidupan intelektual pengarang, dan pada masa yang sama, ekspresi jelas perjuangan si pengarang yang berakhir dengan shaheed pada 1966.  Muhammad Qutb mencatat lagi bahawa jika al Qur’an dibaca secara pasif, dengan cara terpisah , kita akan terlepas banyak pedomannya dan  tersasar daripada mengenali tujuannya. Tetapi apabila kita membacanya sewaktu kita benar-benar terlibat dalam perjuangan memugarkan dan mengislah agama dan memperbaharui shahadah keimanan, maka hati kita akan terbuka untuk menerima makna dan erti jika tidak akan bakal terlepas, dan memperolehi petunjuk yang kita langsung tidak sedari. Itulah generasi al Qur’an yang unggul. Generasi yang beriltizam, berpegang teguh kepada idealisme kebenaran, kebebasan hakiki, kasih sayang, kesabaran dan keadilan.  Itulah sumber kelestarian perjuangan Ikhwan al Muslimin.




(Ada bahagian yang diadaptasi dan disunting daripada Mona El Ghobashy, The Metamorphosis of the Egyptian Muslim Brothers)

Sunday, October 6, 2013

REVOLUSI YANG DIRAMPAS: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN


Pada peristiwa ngeri mirip gelagat ganas regim Syria pimpinan Assad menzalimi rakyatnya, pasukan keselamatan Mesir telah menyerang dan melepaskan tembakan bertubi-tubi membunuh dan mencederakan ramai penyokong Ikhwan al Muslimin sewaktu mereka menunaikan solat Subh. Sekali lagi militer Mesir mengkhianati revolusi rakyat. Kejadian berdarah di Rabia al Adawiyah adalah tragedi kemanusiaan dan musibah yang menimpa ummah. R4BIA menjadi lambang solidariti umat manusia menolak kezaliman dan menegakkan kembali keadilan.

KU DETA – RAMPASAN KUASA

Tentera Mesir sekali lagi terus mengukuhkan kedudukan empuk penguasa "kerajaan halus" -  golongan  makhzen, saki baki, konco kerabat Mubarak - golongan  filul – kumpulan ahli politik, general-general dan hartawan-hartawan niaga yang bersekutu dengan regim Hosni Mubarak, dan mereka yang kekal berpengaruh menguasai rakyat yang miskin dan tolol. Kumpulan-kumpulan ini sarat dengan limpahan dana dan tajaan, berperanan penting menghasut penentangan terhadap President Morsi sepanjang tahun, dan merancang demonstrasi-demonstrasi anti-Morsi. Mereka kembali dengan penuh hasad dan dendam kesumat, selepas revolusi pertama dan setelah percubaan pentadbiran baru Islamis untuk meleraikan wewenang kuasa, kepentingan dan pengaruh mereka selam ini.

Tentera melalui rampasan kuasa ini telah meletakkan dirinya sebagai pelindung “kerajaan halus” Mesir, golongan elit politik dan ekonomi yang melingkarinya, mengurusnya, memanfaatkan dan berkhidmat kepadanya.

Panglima turus Mesir acapkali mendakwa bahawa pasukan tentera tidak ingin memainkan peranan politik atau berhasrat memerintah Mesir tetapi dulu pun mereka berkata begitu. Mereka terus memerintah dengan brutal selama lebih se tahun sebelum Presiden Morsi mengarahkan tentera kembali ke berek mereka setelah dia dilantik.

Apabila tentera berkuasa maka ini bermakna pengaruh Amerika Syarikat sangat besar kerana tentera Mesir bergantung sepenuhnya kepada US untuk pembiayaan ekonomi dan bantuan kewangan. Tentera Mesir menerima bantuan US $1.3bn  setiap tahun wang pembayar cukai warga US setiap tahun dan mendapat amaun sepenuhnya tepat pada masanya.

GOLONGAN TAMARRUD - PEMBERONTAK

Pemberontak yang menggelarkan pergerakan mereka sebagai Tamarrud mempercayai bahawa jika mereka dapat menggembleng orang ramai yang tidak berpuas hati, dan jika pasukan tentera menyokong tindakan mereka, mereka mampu menjatuhkan pemimpin yang dipilih rakyat secara sah. Mereka boleh memenjarakan pimpinan yang sah dan merombak proses politik secara total.

Revolusi 25 Januari telah menjatuhkan regim Mubarak, tetapi revolusi 20 Jun telah menyerahkan balik tampuk kuasa kepada gabungan anti-Ikhwan yang terdiri daripada saki baki konco  Mubarak dan elit-elit sekular serta disokong ramai pihak Qibti.

Adalah tidak adil dan tidak wajar digulingkan presiden dan kerajaan pilihan rakyat semata-mata di atas penilaian cetek prestasi dan kompetensi Morsi kerana penentang sekular, termasuk konco kerabat Mubarak dan minoriti Qibti nekad tidak rela berada di dalam Mesir yang diperintah Islamis. Sektor-sektor yang kekal terbenam lama Mubarak di dalam kerajaan termasuk kehakiman, polis dan kementerian dalam negeri melemparkan segala aneka halangan dan jerangkap bagi menggagalkan pelaksanaan dasar kerajaan Morsi.

Dorongan mereka yang turun menunjuk perasaan menentang pemerintahan Ikhwan datang daripada pelbagai anasir dan ragam. Ada yang runsing dan gusar dengan keadaan ekonomi negara. Ada yang mendakwa Ikhwan tidak kompeten mentadbir. Ada yang bimbang dan takut tentang apa yang dituduh ikhwanat al-daula (Ikhwanisasi negara) akan menyebabkan dominasi Islamis. Ramai orang Kristian risau bahawa kewarganegaraan mereka terancam. Ada yang ingin melepaskan perasaan melaungkan kebebasan bersuara menentang Ikhwan. Sementara itu pasukan keselamatan berkempen dan menghasut secara separa senyap bagi memperkukuhkan dan melebarkan pergerakan Tamarrud ini. Strategi jahat tentera atau SCAF (nama junta mereka sebelum ini)  menatijahkan harga yang dahsyat dengan kehilangan nyawa yang banyak dan orang cedera parah sepanjang konflik yang berterusan ini.

Para pemimpin rampasan kuasa ini dengan sengaja tidak peduli bahawa Mesir telah dan sedang mengalami huru hara sejak kebangkitan menentang Hosni Mubarak tamat. Keadaan tidak aman dan tidak tenteram ini berlaku lama sebelum penggal Morsi bermula. Kerajaan Morsi tidak mempunyai kawalan ke atas pasukan keselamatan era Mubarak yang amat korup – ramai anggotanya menentang Morsi dan memprotes secara sembunyi dan secara terbuka.

Pihak Tamarrud yang bertanggungjawab ke atas kebanyakan peristiwa-peristiwa keganasan terancang yang disaksikan. Istana presiden telah berulang-kali diserang dengan bom api. Bangunan-bangunan kerajaan lain, 30 buah pejabat Ikhwan dan empat buah bas Ikhwan telah diserang dan dibakar. Di setiap insiden keganasan penyokong Ikhwan menjadi mangsanya.  Pasukan keselamatan tidak mengendahkan kejadian-kejadian ini dan tidak memberikan perlindungan.

Para pemimpin ku deta asyik kesal dan mengeluh tentang keadaan ekonomi Mesir, menyalahkan segala-galanya ke atas bahu Morsi.  Tetapi pentadbiran Morsi administration terpaksa menanggung ketidakstabilan yang berterusan, yang tidak menggalakkan pelaburan, perdagangan dan pelancongan. Seruan pertama melaungkan “revolusi” bagi menggulingkan  Morsi bermula beberapa minggu sahaja selepas dia dilantik, dan pihak Tamarrud sejak awal lagi telah mengisytiharkan hasrat mereka secara terus terang untuk menjatuhkan Morsi dengan apa cara sekali pun.

Para pimpinan rampasan kuasa nekad untuk membasmikan Ikhwan atau memaksa Ikhwan menyorok di bawah tanah. Mereka melakukan sewenang-wenangnya terhadap pimpinan Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) dengan alasan yang tipis, memaksa pemberontakan atau tunduk melutut menyerah kalah. Kepimpinan sementara ini bergerak ke arah polarisasi ekstrim dan penindasan politik sesiapa saja yang berhaluan Islamis. Tiada sesiapa pun di kalangan junta ini yang mahu mengakui sikap Morsi dalam menolak rampasan kuasa tentara, peranan Morsi menggesa penentangan secara aman tanpa keganasan dan tindakan-tindakan Morsi yang kesemuanya menurut lunas undang-undang.

Pemberontak Tamarrud memperjuangkan dan menyorakkan legasi totok Mubarak dan regimnya -  “asalkan bukan Ikhwan”,  yasqut yasqut hukm al-murshid – seruan jalanan untuk menjatuhkan murshid al am Ikhwan.  Mubarak  yang kini bebas tentu ceria dan bergembira dengan “anak-anaknya” yang telah mendedahkan diri mereka. Kalau dulu mereka nampak seolah-olah membenci meluap-luap Mubarak dan regimnya, pemberontak Tamarrud kini mempamerkan diri mereka sebagai pengikut tegar warisan totok Mubarak– “asalkan bukan Ikhwan”.

Pemberontak Tamarrud mengabaikan dua prinsip utama demokrasi – menghormati keputusan pilihanraya dan menolak campur tangan tentera di dalam politik. Jika pergerakan Tamarrud betul mempunyai 22 juta orang penyokong, sudah tentu ini boleh diterjemahkan kepada undi di dalam pilihanraya parlimen yang telah dijadualkan oleh Presiden President Morsi di hujung tahun, untuk menewaskan Morsi dan parti FJP. Senator US Lindsey Graham pernah bertanyakan kepada General al Sisi – You know if you were to hold elections now, Morsi would be defeated. Al Sisi menjawab, Yes. Graham kemudian berkata, Why don’t you hold elections then?  Al Sisi tidak menjawab.

Ini bukanlah kemenangan untuk pembebasan tetapi kejayaan bagi regim lama, golongan filul, atau  makhzen, “deep-state” Mesir – birokrasi, tentera dan elit bisnes yang tidak pernah lenyap akibat revolusi 25 Januari. Golongan liberal sekularis Mesir telah memutuskan bahawa tawaran “filul” yang korup lebih utama daripada demokrasi sebenar, sekaligus menafikan ruang berpolitik bagi Ikhwan dan Islamis.

Liberal sekularis Mesir mengidamkan “demokrasi” untuk semua kecuali Islamis walaupun Mesir adalah negara umat Islam yang ramai penduduknya. Ini sesuatu penafian hak Ikhwan yang tidak masuk akal, percubaan dangkal untuk menolak kedudukan Ikhwan di dalam hati sanubari masyarakat dan mengenepikan naratif bahawa Ikhwan sangat popular dan adalah gerakan yang telah terpahat di jiwa rakyat. Presiden Morsi dan Ikhwan, setelah mengharungi penganiayaan kejam dan tekanan yang lama, dan setelah melalui perdebatan dalaman yang hangat, memilih menerima proses pilihanraya demokratik. Sudah tentunya, memilih untuk berpendirian sebagai demokrat Muslim bukanlah perbuatan yang naif – betul bendul.

Dunia mungkin ingin alpa tetapi tidak dapat melupakan pengkhianatan demokrasi di Algeria 1991-92 dan pasca pilihanraya bebas Palestin 2006. Persepsi perit adalah apabila golongan Islamis memenangi pilihanraya bebas dan adil, mereka akan digulingkan atau cuba dijatuhkan melalui rampasan kuasa.

Kali ini pula, penjawat presiden bukan seorang diktator tajaan US dan bukan seorang yang dikekalkan kuasa melalui biaya dan dokongan politik US. Kali ini, presiden Morsi yang digulingkan adalah presiden pertama Mesir yang popular dan dilantik melalui pilihanraya demokratik sepanjang beberapa generasi lamanya.

DALANG-DALANG RAMPASAN KUASA

Pimpinan peralihan ini secara simbolik dibayangi tokoh seperti Paus Qibti - Coptic Pope dan Sheikh al-Azhar yang sememangnya pendokong-pendokong  kuat regim lama. Presiden sementara, Adly Mansour merupakan hakim lantikan pertama oleh Mubarak ke Mahkamah Tinggi Perlembagaan. Setiap orang hakim telah dilantik oleh regim Mubarak. Adly Mansour kekal sebagi saki baki kediktatoran Mubarak dan tidak langsung boleh diterima sebagai mewakili revolusi.

Perdana menteri sementara ku deta Hazem el-Beblawi pernah bertegas dengan Senator US Lindsey Graham, You can’t negotiate with these people (Ikhwan). They don’t respect the rule of law. Graham menjawab: Mr. Prime Minister, it’s pretty hard for you to lecture anyone on the rule of law. How many votes did you get? Oh, yeah, you didn’t have an election.

Mengenai El Baradei, dan pimpinan kanan Tamarrud, mereka menunggangi “demokrasi” di belakang kereta-kereta kebal. El Baradei sendiri adalah calon yang gagal bersaing untuk pilihanraya presiden.  Amat ironis melihat Mohamed El Baradei menolak pilihanraya popular sebelum ini dengan mendakwa ia dijalankan di bawah pemerintahan tentara, sebaliknya menerima lantikan terus daripada tidak lain dan tidak bukan angkatan tentera Mesir sendiri. Perlantikan El Baradei dikatakan bertujuan untuk membujuk  US dan semua orang tahu El Baradei telah berkhidmat dengan setia untuk kepentingan US, and membiarkan saja penaklukan Iraq semasa dia mengetuai IAEA. El Baradei mempunyai sokongan yang sangat kecil sehinggakan dia memerlukan kuasa tentera unutk menjawat jawatan naib presiden. Akhirnya, dia sendiri berundur meletak jawatan dan melarikan diri ke Barat.

El-Baradei sepatutnya orang yang pertama menyeru dan menuntut pembebasan Morsi. Tetapi kedua-dua El-Baradei mahupun Sabbahi tidak akan atau boleh menjadi pemimpin ikutan atau ikon revolusi.  Oleh itu, mereka menyokong penindasan anti-Ikhwan kerana pimpinan Ikhwan yang ditahan dianggap tidak mempunyai hak asasi dan sememangnya tempat ahli-ahli politik Islamis hanya di dalam penjara.

Pakatan pemberontak hanyalah untuk menjatuhkan Morsi government dan tidak mempunyai kepimpinan yang jelas, tiada wadah politik yang terang atau dipersetujui. Keahliannya yang pelbagai ragam dan ideologi saling bercanggah menjadikannya aneh. Peserta junta rampasan kuasa terdiri konco kerabat Mubarak daripada tentera, kehakiman, polis, pasukan keselamatan, birokrasi, calon-calon presiden yang tewas seperti  Amr Musa; sekularis-sekularis “tak liberal”; belia gerakan April Spring yang kecewa; pemimpin-pemimpin agama, Sheikh al-Azhar – yang juga seorang anggota Parti Demokratik Kebangsaan  NDP pimpinan  Mubarak; termasuk juga pimpinan Parti Salafi Salafist Al Nour dan Gereja Qibti.

Sungguh ganjil apabila dilihat bagaikan katil yang dikongsi bersama Qibti, sekularis ekstrim dan ahli parti Salafi bersama.


Parti Salafi al Nour didalangi Saudi Arabia. Saudi Arabia dan Emiriah Arab Bersatu merupakan penyokong tegar dan terbuka rampasan kuasa Mesir. Bagi mereka igauan mimpi paling ngeri adalah kemunculan dan kejayaan demokrasi pimpinan Islamis yang ditakuti bakal mengancam kelangsungan kuasa regim beraja mereka.

IKHWAN AL MUSLIMIN

Ikhwan telah wujud berdekad-dekad lama di dalam buangan, di dalam tahanan, ditindas dan dizalimi dengan kejam. Ikhwan telah belajar untuk survive – hidup dalam perjuangan dan telah terbukti sebagai pembangkang paling efektif yang berhadapan dengan tahun-tahun di bawah regim Mubarak. Ikhwan telah mempertimbangkan, berbedat dan membahaskan dengan hangat, berbolak balik, teragak-agak dan berasa amat berat samada ingin menerajui dan mengambil peranan memimpin order pasca revolusi 25 Januari. Pada babak akhirnya, Ikhwan memutuskan untuk mengambil risiko politik yang tinggi dan terus menyertai pertandingan pilihanraya di semua peringkat. Ikhwan melalui parti  FJP dan calonnya Dr Morsi memenangi kesemua 14 pusingan pengundian yang kompleks di peringkat legislatif,  parlimen, pilihanraya presiden dan pungutan suara pengesahan perlembagaan – membuktikan bahawa FJP layak di peti undi.

Kerajaan Morsi berusaha dengan urustadbir baik – governan dan ikhtiar kerjasama politik bagi di dalam suasana iklim politik dan ekonomi yang kompleks dan meruncingkan pasca 25 Januari. Risiko dan pertaruhan besar dalam proses transisi di Mesir pasca revolusi sangat berat kerana terlau banyak institusi “filul” dan agensi-agensi masih bersarat warisan Mubarak.  Walaupun ada pencapaian-pencapaian, namun kerajaan Morsi dan Ikhwan tidak dapat bergerak dengan cukup pantas dan tidak bertindak berkesan bagi meraih sokongan popular yang cukup bagi menyaingi gabungan puak-puak ekstrim anti Ikhwan, yang telah bulat ingin menjatuhkannya, gabungan yang mengglembengkan pelbagai sektor masyarakat yang pepak dengan kecurigaan, sungutan dan prasangka.  

Ikhwan dalam keadaanya yang cukup tertekan dan sebahagian besar pimpinannya ditahan, terpaksa cekal, istiqamah dan teguh pendiriannya meneruskan perjuangan dengan cara aman walauapapun berhadapan himpitan, kekejaman dan provokasi kerana mereka berpegang kepada kenyataan dan menghormati hakikat bahawa Ikhwan al Muslimin adalah pilihan rakyat Mesir untuk memimpin mereka dan menebus semula revolusi yang dirampas.

 


Thursday, October 3, 2013

Menghadam Amanat Pimpinan: Gerakan Islam dan Politik Perubahan: Optimis dalam Waspada

Menghadam Amanat Pimpinan -    Ringkasan  -



Muhasabah

Kita sebagai gerakan Islam memikul amanah memelihara dan melestarikan kebangkitan Islam bagi mengaktualisasikan misi Islam sebagai rahmatan li al 'alamin.

Nahdah Islamiyyah - kebangkitan Islam diperhatikan beralih dan berganjak daripada marhalat al da'wah kepada marhalat al dawlah. Memang dahsyat penentangan dan cabarannya terhahap politik perubahan ini. Profesor Tariq Ramadan pernah ungkapkan semasa ditanya pendapatnya berkenaan Arab Spring atau Thawrah Syab menyambutnya dengan optimisme berwaspada- cautious optimism.

Kita perlu bermuhasabah dan melakukan self criticism. Tarbiyah harakiyah perlu dilihat semula sebagai merubah diri - al taghyir al nafsiy - perubahan jiwa dan minda melebihi batas otak, meliputi watak dan akhlak agar menjadi ilmuwan yang berakhlak. Islam bangkit bukan emosi tetapi kekuatan ilmu yang memantapkan iman dan tawhid.

Fiqh

Kita prihatin kepada masa depan kerana kita umat yang berfikiran ke hadapan - al fikr al mustaqbal.

Kita perlu memahami fiqh al taghyir - fiqh perubahan kerana kita bekerja dan berjuang untuk perubahan. Kita perlu menguasai fiqh al taghyir and fiqh al waqi' -fiqh memahami realiti dengan tepat dan mendalam untuk bergerak secara realistik mengolah ilmu-ilmu kontemporari merentas disiplin. Kita perlu mampu mengartikulasi  fiqh al ta'adudiyyah - memahami pluraliti dan hakikat majmuk budaya. Kita harus pelajari lebih tentang  inklusiviti serta keterbukaan.

Cabaran zaman, kepelbagaian isu kontemporari  dan keperluan tahap kompetensi tinggi memerlukan ijtihad kolektif - al ijtihad al jama'iy.

Kita harus prihatin dengan permasalahan urutan keutamaan -  al awlawiyyat. Apa sepatutnya didahulukan dan dikemudiankan.

Kita perlu mengkaji semula kitab-kitab dan teks - turath. Pada tahun 60'an kita membaca karya Al Nadwi's ilal islam min jadid. Tetapi tidak cukup dengan hanya kekal dengan pustaka 60'an. Kita memerlukan karya- karya kontemporari dan kita harus merekayasa diri kita - membekalkan diri dengan ilmu-ilmu yang relevan semasa.

Warisan fiqh politik Islami harus difahami menyeluruh dan utuh dengan segala dimensi - siyasat al taghyir - politik perubahan yang didasarkan kepada fiqh al taghyir. Dimensi dengar dan patuh - sam'an wa ta'atan, dimensi oppositional/ revolutional - al janib althawriy al inqilabiy li al fiqh al Islamiy. Bangkangan dan perdebatan adalah tanggungjawab da'wah bagi paksi utama amar ma'ruf nahi mungkar. Menyatakan pandangan - menyokong atau membangkang adalah amalan musyawarah dan perlu ditanggapi dari perspektif fiqh kontemporari.

Kepimpinan

Kita amat khuatir dengan kualiti kepimpinan dunia Islam sekarang. Menerajui negara tidak sama seperti memimpin sebuah pergerakan. Kita mesti melakukan koreksi diri dan reformasi dalaman membina kualiti kepimpinan yang berdaya dan perkasa - pimpinan masa depan berlatar realiti baru yang kita hadapi. 
Kita bimbang dengan krisis harapan masyarakat - crisis of expectation - jika kita gagal memenuhi aspirasi mereka. Ekspektasi mereka pula ada yang tidak munasabah. Sekali rakyat kecewa, kita akan tanggung akibatnya buat masa yang lama.

Pluralisme

Gerakan Islam perlu bina upaya menyikapi dan menangani pluraliti - kekuatan ideologi dan aliran pemikiran beragam. Kepelbagaian dan perbedaan -  juga disebut ayat (tanda kebesaran Allah swt)  bukan fenomena asing bagi umat Islam. Inilah tabiat sejati kemanusiaan - al taghayur wa la tadafu' - sifat saling berbeda dan saling tolak - penggerak kearah kehidupan lebih baik - tahrik al hayat nahw al ahsan.

Medan al tadafu' - silang sengketa - adalah kancah pertarungan yang menyaring manusia mujahid atau yang munafiq - yang tabah dan yang lemah. Tetapi pluraliti tidak hanya bernatijah dengan silang sengketa tetapi dengan yang lebih jauh positif  iatu al ta'aruf - hubungan manusia saling mengenal, bekerjasama, memanfaatkan.

Sejarah umat Islam menunjukkan wujudnya kesatuan dan kepelbagaian - al wihdah wa al tanawwu' serta kepelbagaian dalam satu bingkai kesatuan.

Pluralisme politik - al ta'addudiyyah al siyasiyyah - bukan asing dalam sejarah umat Islam. Pluralisme politik sekarang merujuk amalan demokrasi yang buka ruang peranserta parti-parti berbeda ideologi dan program. Semua tidak terhalang termasuk sekularis, nasionalis , sosialis atau sesiapa untuk menganut dan memperjuangkan ideologi mereka. Suara rakyat memutuskannya. Jika golongan Islamis kalah bererti mereka gagal meyakinkan rakyat untuk menerima program mereka. Ini memang tidak menjadi masalah bagi golongan Islamis tetapi yang tidak dapat diterima adalah penipuan pilihanraya atau rampasan kuasa.

Pluralisme politik juga bermakna menerima kemungkinan bekerjasama dalam pakatan politik - al tahaluf al siasiy - dengan parti sekular jika didasari motif kebaikan - based on a moral compact, menegakkan kebenaran dan keadilan, menentang kezaliman dan penyelewengan. Inilah bidang cakupan siyasah al shar'iyyah dengan asas pertimbangan maslahah vs. mafsadah.

Model Siasah Turki

Pada saat sepenting dan segenting ini kompetensi gerakan Islam dan kepimpinan menjadi fokus sorotan dan model Turki menjadi perhatian, pengajaran dan harapan. Turki setelah alami period lama ketidakstabilan, konflik politik dan siri rampasan kuasa tentera, memilih parti moderat AKP. AKP dipilih kerana faktor Erdogan bereputasi cemerlang, urustadbir baik, bersih dan kompeten. Prestasi AKP menunjukkan kebolehan Islamis menangani realiti politik, memimpin, melebarkan wawasan, menyesuaikan ragam pluraliti dan memerintah dengan efektif. Mereka mengadakan pakatan bagi mendapatkan konsensus politik untuk memerintah.

AKP tidak khutbahkan kaedah tetapi mempraktikkan amal. Erdogan menghindari polemik ideologikal dan mengelak retorika gerakan Islam. AKP mengaktualisasikan semangat syari'at - kemerdekaan, keadilan, demokrasi. Erdogan memahami waqi', memilih pendekatan al tadarruj - beransur dan kalkulatif. Mereka membina kesedaran Islam - al wa'y al Islamiy - di kalangan massa rakyat.

Perubahan berlaku bukan dengan pemaksaan kerajaan tetapi pemikiran rakyat siap menerima. Erdogan selalu menggunakan proses demokrasi undi dan pungutan suara. Erdogan mengaplikasikan al awlawiyat dengan mengutamakan pengisian daripada label. Mereka menumpu kepada pembangunan, pertumbuhan dan pemerataan ekonomi. Pemerataan bermakna program ekonomi rakyat miskin bagi memastikan tiada rakyat tertinggal. Kejayaan ekonomi melonjakkan keyakinan rakyat.

Merujuk kepada pengalaman Turki, Profesor Tariq Ramadan meletak harapannya bagi kemunculan perkumpulan negara-negara demokratik Islam baru yang akan mengembalikan umat Islam dengan keyakinan, autonomi, pluraliti dan kejayaan.

Gerakan Islam dan Kuasa-Kuasa Besar Dunia

Kita berwaspada dalam optimisme politik perubahan kerana menyedari realiti kebangkitan Islam tidak disenangi dan memang nyata ada pakatan global anti Islamis. Sikap Amerika terutamanya kerana mereka gagal menyikapi dan membedakan di antara ekstremis dan umat Islam yang berprinsip serta bermaruah.

Model Partisipasi Politik Para Mursalin

Bagi pilihan model al siyasah al syar'iyyah, kita perlu kembali ke akar dan kita akan jumpa di dalam al Quran model-model kepimpinan.

Daud and Sulayman a.s. menerajui kerajaan berdasarkan prinsip dan nilai ketuhanan serta urustadbir terbaik. Kerajaan ini jelmaan pentadbiran berasaskan hikmah dan ilmu - hukman wa 'ilman. Kerajaan mereka kerajaan yang mendengar, komunikatif - memahami bahasa rakyat, mengambil peduli rintihan suara rakyat tak kira besar atau kecil. Daud a.s. membela kaum mustad'afin. Kerajaan yang komited kepada misi penyebaran da'wah.

Musa dan Harun a.s. bersifat berkonfrontasi dan berlawan dengan Fir'aun sehinggalah Musa  membebaskan umatnya dan menegakkan order baru yang berasaskan taqwa dan keimanan - perubahan yang mendasar. Perjuanagan Musa a.s. adalah penjelmaan harakah taghyiriyyah shamilah - gerakan reformasi total di atas keruntuhan kefir'aunan - membebaskan umat daripada pencabulan, perhambaan, belenggu pemikiran dan politik istibdad - penindasan.

Yusuf a.s. berpartisipasi dalam kerajaan non Muslim dengan membawa misi islahi menyelamatkan ekonomi Mesir. Yusuf a.s. melaksana fungsi sebagai menteri dengan integriti moral, pendirian tawhid dan prinsip agama. Yusuf a.s. berjaya mendapat dukungan dan kepercayaan raja dan rakyat kerana memiliki integriti moral dan keupayaan intelektual - inni hafizun 'alim.

Gerakan Islam dan Agenda Islah Siyasi

Misi da'wah yang kita warisi meliputi 'aqidah dan shari'ah, din dan dawlah - agama dan negara dan tidak boleh lari daripada tanggungjawab memperjuangkan negara adil, makmur dan dibimbing sinaran wahyu Ilahi. Al Islah al siyasi bermakna idealisme negara unggul al madinat al fadilah - negara yang membahagiakan, selamat, adil, makmur, rukun dan harmonis dengan nilai-nilai kemanusiaan beradab dan bertamadun.

Gerakan Islam perlu menentukan bentuk partisipasi sesuai dengan kemampuan dan realiti yang dihadapi berpandukan perjuangan para mursalin. Gerakan al islah al siyasiy sangat relevan bagi menangani kebobrokan - kadar jenayah, leluasa fitnah, korupsi, penyelewengan, kesengsaraan rakyat miskin terbeban, dekadensi moral dan ekonomi tak terkendali.

Perlu dikembalikan maruah bangsa, bangsa yang ditandai harga diri - dignity - oleh perasaan atau sifat tahu malu - a sense of shame.

It is undignified to have a dirty surrounding. It is undignified to live in a disorderly and haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state. (Alatas, SH)



(Ringkasan Amanat Pimpinan -  Gerakan Islam dan Politik Perubahan: Optimis dalam Waspada oleh Dato' Dr Siddiq Fadil sempena Muktamar Nasional Ketujuh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH dan Ijtima' Harakiy ke 3 di Shah Alam)

Teks penuh di bawah:-