Sesungguhnya masa
ini merupakan saat getir bagi ummah dan
gerakan Islam. Pada gerakan Islam, Ikhwan al Muslimin dianggap pergerakan
pelopor dan perintis jalan yang sentiasa dilihat berada di pusat gempa
kesedaran dan kebangkitan Islam. Ikhwan diperhatikan sebagai konsisten,
istiqamah, teguh menggalas amanah menyampaikan risalah Islam kepada dunia
moden, pembawa risalah menyeru dan menawarkan rahmat kepada manusia - rahmatan lil 'alamin. Sebagai mana
pejuang islah sebelum mereka, Ikhwan membentangkan dan menerangkan Islam
sebagai jalan benar dan lurus untuk mencapai kejayaan dan kesejahteraan ummah
dan sekalian manusia, senantiasa mengemudi di atas jalan wasatiyyah, jalan
kesederhanaan, tanpa berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam dan setia mengislahkan
masyarakat.
Ikhwan sentiasa
menganjurkan kefahaman sebenar Islam, memantapkan iman, menambahkan ketaqwaan,
menegakkan kebenaran dan keadilan, menggalakkan amal kebajikan dan sadaqah, mengajak
kepada mentazkiyah jiwa dan hati, melaksana da'wah, mendidik dan melatih dengan
tarbiyyah, merencana misi Islam dan gerak kerja - amal jama'iyy, menjaga kesihatan dan kesejahteraan dan lebih lagi
membina ikatan dan rangkaian persahabatan dan persaudaraan - ukhuwwah sesama Muslim dan menjaga hubungan
sesama insan. Inilah menurut ajaran al Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Keperihan dan
musibah berat telah menimpa Ikhwan, anggota lelaki dan wanita gerakan. Pada
tahun 50' an dan 60'an, regim Mesir di bawah pemerintahan Gamal Nasser mengkhianati
dan menfitnah gerakan Islam, menindas secara kejam Ikhwan, membunuh, memenjara
dan menyiksa dengan brutal pimpinan dan ahli-ahlinya, lelaki dan wanita. Lelaki
dan wanita Mesir, anak lelaki dan anak perempuan, anak bangsanya sendiri,
mereka yang memiliki akhlak mulia dan idealisme tinggi - mereka yang jika
berada di situasi dan ketika yang lain akan dianggap sebagai negarawan dan
intelektual - model contoh mithali masyarakat.
Tetapi penzalim
yang berhasad dengan sifat kefir'aunan tetap menindas dan membantai dengan
brutal Ikhwan dan keganasan ini memuncak dengan hukuman bunuh tragis dan malang
syuhada’ Abd Qadir Awdah and Sayyid Qutb dan lain-lain pejuang, semoga Allah s.w.t.
merahmati mereka. Tuduhan-tuduhan ke atas mereka telah terbukti kemudiannya
sebagai palsu tetapi Allah s.w.t. telah menentukan bahawa mereka dikembalikan
kepadaNya menurut hikmah yang Maha Bijaksana.
Dengan
memenjarakan belia yang berpotensi, menahan golongan intelektual dan
profesional, dan menakut-nakutkan warganya yang bermaruah, Mesir, setahun
kemudian, telah pergi berperangan dengan musuh sebenar yang nyata kejahatannya,
Israel, yang berkesudahan dengan kekalahan teruk dan penghinaan bagi Mesir.
Penindasan Ikhwan
memenuhi hasrat agenda Zionis, Komunis serta sekularis ekstrim pada waktu itu
dan kuasa-kuasa Barat - bekas-bekas penjajah yang khuatir dengan gerakan
revolusioner yang bakal mengancam status
quo - kedudukan empuk mereka dan usaha membawa Mesir bebas daripada
lingkaran pengaruh mereka.
Namun, walaupun Ikhwan
diserang dengan kejam secara fizikal dan imejnya diputar belitkan serta sengaja
dipamerkan secara jahat, Ikhwan tidak mengambil pendekatan radikal atau
bertindak militan ataupun membalas secara keganasan. Imej negatif Ikhwan telah
sentiasa dipupuk dan disebarkan secara sistematik oleh media dan ahli-ahli
propaganda kepada seluruh dunia dan kepada rakyat jelata Mesir, kepada orang
tua dan kanak-kanak. Ikhwan digembar gemburkan sebagai irhab -
teroris, sebagai orang ketinggalan zaman, sebagai momok, bahaya kepada
masyarakat dan musuh negara. Namun, Ikhwan sentiasa mengekalkan jalan moderat
dan berpegang teguh kepada mengutamakan awlawiyyat
memelihara keamanan dan perpaduan ummah mengatasi segala pertimbangan yang
lain.
Ikhwan sentiasa
memilih kaedah of da’wah wa tarbiyyah
– da'wah dan pendidikan. Inilah yang telah digariskan dan diajar oleh al syahid
al Imam Hasan al Banna, pengasasnya yang sangat dihormati. Kaedah ini
diteruskan dengan istiqamah dan kesabaran mereka yang datang selepasnya. Memang
ada segelintir yang kurang sabar walaupun mungkin jujur, mereka telah berbeda
pendapat dan membantah pendirian Ikhwan, mereka bertindak di luar batasan wasatiyyah - mereka telah membawa
natijah yang lebih padah dan musibah besar kepada gerakan islam dan ummah
secara keseluruhan. Inilah yang dialami kini oleh umat Islam - fenomena
Islamophobia - momokan agama Islam dan penganutnya - sebagai reaksi dan
tindakbalas kepada peristiwa-peristiwa teroris dan kemarahan dunia. Tetapi Ikhwan
kekal berwibawa sebagai aliran arus perdana gerakan Islam dan mengekalkan
popularitinya serta masih dihormati rakan-rakan. Ikhwan juga sentiasa dicurigai
dan ditakuti oleh musuh-musuhnya.
Bagi perihal
prinsip, usul-usul asasi Islam dan menegakkan keadilan untuk ummah serta
pembebasan bumi Palestin daripada penaklukan haram Israel, Ikhwan tetap tidak
berkompromi.
Sebahagian
pimpinan Ikhwan berhijrah mendapat suaka ke negara lain bagi meneruskan
konsolidasi, perancangan dan organisasi pergerakan di peringkat antarabangsa.
Pimpinan yang tinggal di Mesir bergerak secara rahsia dan berkembang terutama
apabila generasi penjara mula dibebaskan serta pimpinan muda lebih berperanan.
Pergerakan yang dilandasi prinsip-prinsip lain akan mudah berkecai dan lumpuh
di bawah tekanan dahsyat dan kawalan rapi regim. Pergerakan yang mempunyai
idealisme tinggi dan kepimpinan yang komited saja yang ampuh dan mampu
bertahan. Ikhwan berpartisipasi dengan seadanya dan berjaya hadir secara
berkesan dalam bidang politik, di masjid-masjid, di universiti dan pusat
pengajian tinggi, di dalam badan-badan profesional - menguasai pertubuhan
perubatan, kejuruteraan dan undang-undang; mendapat dokongan intelektual dan
orang awam, berada di lapangan dan menjalankan kerja kebajikan.
Wakil-wakil
Ikhwan bertanding secara demokratik di pilihanraya, memenangi kerusi-kerusi
legislatif secara konsisten. Mereka berjaya walaupun terpaksa merekayasa
pelbagai wadah parti-parti politik sedia ada kerana berhadapan sistem politik
yang sarat diskriminasi dan sistem pilihanraya Mesir yang berat sebelah -
sistem yang pasti memihak kepada regim pemerintah.
Sungguh sedih
dan tragis bahawa Ikhwan Al Muslimin tidak pernah diiktiraf atau didaftar atau
diizinkan bergerak secara terbuka di Mesir atau di mana-mana bumi Arab walaupun
kehadiran mereka diketahui. Tetapi Ikhwan tetap wujud dan beriltizam,
kehadirannya dirasai dan merekalah yang dirujuk serta merekalah yang datang
membantu apabila diperlukan. Ini terbukti apabila berlaku bencana di Mesir -
Ikhwan yang pertama tiba membantu mangsa-mangsa akibat gempa bumi dan operasi Ikhwan
dilihat paling cekap, amanah dan dipercayai. Ikhwan yang diharapkan untuk
mendamaikan konflik dan rusuhan di jalan raya. Sejarah juga telah menunjukkan
bahawa Ikhwan berada di barisan depan berperang membela Palestin pada 1948
sebelum mereka dikhianati oleh askar Arab Legion era itu (dan telah
dirakamkan oleh Yasser Arafat sendiri yang menyaksikannya kerana dia berada di
situ pada waktu itu dan mengetahui komitmen Ikhwan serta pengkhianatan Arab Legion)
Pihak berkuasa
regim menjadikan resam untuk menangkap dan menahan calon-calon dan pimpinan
Ikhwan apabila saja hampir pilihanraya supaya cuba memporak-perandakan jentera
pilihanraya Ikhwan serta memastikan mereka tewas. Perbuatan sumbang pihak
berkuasa memuncak dengan penggunaan taktik melampau, provokatif dan ganas bagi
memastikan kekalahan calon pertama wanita Ikhwan di kerusi parlimen
Iskandariah. Calon wanita berkenaan sangat popular, dijangka mengatasi
lawannya, dan kemenangannya akan menempelak segala pandangan serong dan
prasangka golongan sekularis liberal ekstrimis terhadap Ikhwan serta
penyerlahan sebenar sikap Ikhwan terhadap wanita dan kepimpinan. Ikhwan telah
meletakkan calon wanita padahal parti-parti sekular yang hiruk pikuk itu
semuanya enggan berbuat demikian. Banyak pihak termasuk parti-parti Islam lain
di dunia mendapat pengajaran daripada pengalaman ini.
Adalah sungguh
mendukacitakan kerana kebanyakan umat tidak tahu bahawa walaupun ramai pimpinan
Ikhwan telah pergi, lantas umat masih tidak menyedari, tidak menghargai, tidak
mengiktiraf sumbangan besar Ikhwan terhadap kebangkitan umat dan misi
membangunkan agama serta kefahaman Islam di dunia kontemporari. Sejarah moden
dunia Islam dan kajian sosial abad yang lalu perlu dikajisemula dan diteliti
kembali supaya berlaku adil kepada insan lelaki dan wanita yang benar-benar
telah menyumbang kepada kemajuan sosial, moral, etika dan pembangunan insan.
Dengan kejatuhan khilafah 1927, gerakan Islam inilah yang dipelopori Ikhwan al
Muslimin serta di bawah kepimpinan pengasas-pengasasnya yang memugarkan semula,
memperbaharui, mengislah, menghidupkan dan melestarikan gagasan komuniti besar
Islam - Ummah, ukhuwwah Islamiyah –
persaudaraan, kesatuan di kalangan negara Islam dan tasawwur Islam – pandangan
sawar Islam, semuanya dengan rahmat limpah kurnia Allah swt. Sungguh dikesali
bahawa pembebasan dunia Arab dan Muslim serta kebangunan semula semangat,
pemikiran dan keyakinan negarabangsa tidak langsung mencatat atau menghargai
sumbangan pergerakan Islam yang diwakili oleh Ikhwan al Muslimin. Banyak
daripada malapetaka dan kegagalan negara-negara Arab dan negara Islam
seumpamanya yang tidak berdaya maju adalah berpunca daripada dasar zalim dan penindasan
teruk ke atas Islamis dan pembenterasan Islamisasi sepertimana pengalaman
regim-regim yang cuba membasmikan pergerakan Ikhwan.
No comments:
Post a Comment