Sewaktu merengkok di penjara di
kala era hitam Mesir, perasaan Sayyid Qutb telah tersurat pada karya tulisannya
membayangi dera penyiksaan pada tubuh badannya yang dia alami dan penderitaan
psikologi akibat pembunuhan sahabat-sahabat Ikhwan oleh regim Gamal Naseer.
Pembacaan karyanya fi zilal al Qur’an
– Di Bawah Naungan al Qur’an memperlihatkan kegusarannya terhadap kerajaan
tentera yang sanggup memperlakukan, menganiaya dan mendera ribuan anggota
Ikhwan tanpa mereka perlu rasa risau tentang tindakbalas kebangkitan rakyat.
Melihat kepada suasana semasa
pula, sekali lagi kerajaan ku deta – perampas yang ditubuhkan oleh angkatan
tentera telah membunuh secara beramai-ramai rakyatnya sendiri dan nampak
seolah-olah lepas bebas melakukan jenayah ini semata-mata kerana mangsa mereka
adalah Ikhwan al Muslimin dan penyokong-penyokong mereka. Tentera tidak mempedulikan
mangsa mereka samada tidak bersenjata, membantah dengan aman, samaada wanita
atau kanak-kanak, tanpa menghirau jamaah bersolat, mereka ditembak dan dibunuh
dengan sengaja. Beratus-ratus orang terbunuh dan ribuan yang cedera parah.
Tidak ada nada bunyi pun bantahan daripada para pemimpin negara-negara Islam
ataupun demokrat-demokrat Barat. Hanya Turki negara tunggal yang bersuara
lantang mengutuk dengan keras perbuatan jenayah terhadap kemanusiaan ini.
Mengimbas kepada masa yang lalu,
suatu peristiwa telah mempengaruhi Sayyid Qutb untuk mendorongnya menyertai
Ikhwan al Muslimin. Sayyid Qutb yang sedang melanjutkan pelajarannya, menyaksikan
suatu kejadian di media US sewaktu dia terlantar di hospital di Amerika
Syarikat. Amerika telah menyambut dengan meriah dan penuh kegembiraan apabila
diberitakan tentang pembunuhan Imam Hasan al-Banna pada Februari 12 1949. Hasan
al Banna adalah pengasas dan pelopor gerakan Ikhwan, seorang yang sangat berwibawa
dan berkarisma. Media Amerika tanpa segan silu menyorak riang pembunuhan
seorang reformis Mesir dan pemimpin gerakan kemerdekaan menentang penjajah
British.
Kini pula, seolah-olah tiada yang
berubah. Ini jelas kelihatan apabila "sang ibu" Katie Ashton pemimpin
Kesatuan Eropah EU diterbangkan khas oleh junta tentera Mesir untuk bertemu
dengan Presiden Morsi yang telah ditahan secara haram dan dikurung di lokasi
rahsia. Keluarga dan para peguam Dr Morsi pun tidak dibenarkan berjumpa
dengannya. Tetapi para diplomat Barat datang dan pergi bebas untuk bertemu
sesiapa saja ikut suka hati mereka. Diplomat-diplomat ini membincangkan dan
campur tangan dalam politik dalaman Mesir tetapi akan lincah membuat
penafian-penafian yang rapuh.
Adalah sangat mudah untuk membuat
kesimpulan sepertimana dirumuskan oleh Sayyid Qutb bahawa sebuah regim yang tiada
tara kekejamannya telah menguasai tampuk kuasa di Mesir dan permasalahan utama
adalah pengaruh besar kerajaan asing serta ketiadaan sistem keadilan sosial. Kini
ia merupakan rampasan kuasa total oleh kuasa-kuasa yang amat sangat memusuhi Islamis.
Seteru-seteru dari golongan sekularis
ekstrim suka meremehkan dan memandang enteng layanan kejam dan brutal regim ke
atas Ikhwan sebagai “naratif mehnah – tribulasi”. Mereka menyindir tanpa
perasaan peri kemanusiaan seolah-olah Ikhwan merelakan ahli-ahlinya mengalami
penyiksaan yang dahsyat dan pengorbanan nyawa hanya untuk menjadikannya kekal
popular dan relevan.
Tetapi apakah sebenarnya yang
melestarikan dan memampan Ikhwan al Muslimin walaupun ia mengharungi penindasan
sistematik dan penyingkiran ganas?
Meninjau kepada barisan politik
Ikhwan dan perkembangannya selama ini,
tentang aspek ijtihadiy, perihal
pemikiran dan pertimbangan ideologi menunjukkan keazaman luar biasa untuk survive - bertahan, menyesuaikan diri
dan and berkembang.
Perincian tentang penubuhan dan
sejarah awal Ikhwan al Muslimin menunjukkan bahawa ia bersedia untuk menjadi
organisasi yang sangat adaptif, mampu menangani permutasi-permutasi parti-parti
biasa dan mantap apabila menangani krisis.
Ikhwan telah sejak awal lagi menggubal
dan menganjurkan pelbagai landasan-landasan politik dan program-program ekonomi
sebelum ditamatkan oleh regim Nasser yang represif. Ikhwan dibubarkan secara
paksa dan pimpinannya serta ahli-ahlinya telah melalui bertahun-tahun lamanya dalam
tahanan penjara, ada yang dijatuhkan hukuman mati dan ramai yang berhijrah
menjadi pelarian mencari suaka. Gamal Naseer bersumpah akan membasmikan
sepenuhnya kewujudan pergerakan Ikhwan dan dia telah dilaporkan berikrar untuk
memusnahkan Ikhwan sewaktu melawat Moscow pada era Soviet.
Tetapi generasi penjara Ikhwan muncul
kembali apabila dibebaskan dan memasuki semula landskap politik. Ikhwan dengan
cara tersendirinya mampu mengekalkan kehadiran politiknya dan libatserta mampan
walaupun berhadapan dengan regim dan institusi-institusi opresif. Ikhwan mampu
bersaing dengan kuasa-kuasa politik dan ia masih mempunyai struktur organisasi
yang ampuh.
Dengan kedatangan ahli-ahli muda,
Ikhwan telah menguasai kemahiran politik pilihanraya dan politik adaptasi.
Ikhwan berkembang pesat di bawah toleransi de
facto regim autoritarian tetapi regim ini tidak pernah mengizinkan
kewujudan Ikhwan secara sah. Ikhwan mengamalkan teknik-teknik bertahan - memulihara
diri dan strategi memenangi pilihanraya. Pada 1984 murshid al am Ikhwan, Umar Tilmisany mengesan peluang keemasan bagi
bertanding di pilihanraya parlimen. Dia berkata bahawa jika mereka membiarkan saja kesempatan ini berlalu, mereka akan pasti dianggap
cuai. Ikhwan menjadi pakar dalam menubuhkan pakatan-pakatan politik dan
gabungan-gabungan dalam menangani rekayasa pilihanraya dan manipulasi berat
sebelah regim. Ikhwan telah bertanding sebagai calon bebas dan juga
melibatserta dan bekerjasama dengan parti Wafd dan parti Buruh.
Ikhwan kemudiannya menjadi
pesaing utama pemilihan walaupun padang lapangan pertarungan politik tidak
saksama. Ikhwan berprestasi dengan cemerlang di parlimen dengan interpelasi
legislatif – soalan parlimen - paling
besar jauh mengatasi rakan-rakan parti gabungan mereka.
Pada 1987, Ikhwan mengutarakkan
konsep al tahaluf al islamiy – bekerjasama
atas dasar moral yang disepakati –
pakatan yang diterajui Islamis. Slogan yang diperkenalkan - tatbiq
wa taqnin – pelaksanaan dan kanun perundangan.
Seperti yang lazim dilaluinya,
Ikhwan mengalami ritual biasa menyaksikan beratus-ratus pimpinannya dan
calon-calonnya ditangkap oleh regim
Murshid al am Ikhwan seterusnya, Mustafa Masyhur berkata dengan
penuh inspirasi , "Kita mesti
memanfaatkan pengalaman pilihanraya untuk masa depan kita, kerana pilihanraya
adalah seni yang mengandungi peraturannya sendiri, kepakaran dan kelayakan, dan
kita mesti mendesak mereka yang telah putus asa untuk merubah negara ini,
mendesak mereka supaya keluar daripada sikap pesimis ini.”
Ikhwan memenangi kerusi-kerusi
yang ditandingi kerana kemahiran tinggi berorganisasi, keupayaan mereka meraih
sokongan undi, rekod prestasi yang terbukti cemerlang dan ketelusan pengurusan
pertubuhan-pertubuhan mereka. Ikhwan menang bukan dengan penyelinapan rahsia
tetapi kerja keras berkempen dan membina rangkaian melebar khidmat pasca
pilihanraya kepada masyarakat.
Musuh-musuh Ikhwan melemparkan
tuduhan yang tidak berasas bahawa ia menggunakan taktik mengambil alih dan
manipulasi. Ikhwan dicemuh kerana
dianggap akan menjadi demokrat palsu dan mereka akan menjadi pesaing politik
yang tidak jujur kerana akan asyik merujuk kepada nas – teks agama untuk berhujah. Ikhwan digambarkan sebagai teokrat
yang fanatik.
Nampaknya apabila menilai
demokrasi, piawai neraca lebih tinggi digunakan ke atas Ikhwan mengatasi orang
lain. Ini menggambarkan seolah-olah Ikhwan sajalah yang bersifat autoritarian
di kalangan himpunan demokrat lain yang kononnya jujur dan teruji.
Tetapi prestasi Ikhwan di
parlimen, isu-isu yang mereka bangkitkan, kualiti hujah dan perdebatan mereka
menunjukkan kepintaran politik mereka, kebitaraan, skil artikulasi dan
penguasaan permasalahan yang melebihi tanggapan teokrasi. Ikhwan dilihat dan
dirasai sebagai demokrat Muslim.
Oleh itu adakah kemahiran, kepintaran
dan kebitaraan politik dan penguasaan ijtihadiy
– pertimbangan waqi’ – kontemporari
yang melestarikan perjuangan Ikhwan al Muslimin?
Profesor Muhammad Qutb menulis
bahawa tafsir fi zilal al Qur’an adalah karya agong hasil tahun-tahun
produktif kehidupan intelektual pengarang, dan pada masa yang sama, ekspresi
jelas perjuangan si pengarang yang berakhir dengan shaheed pada 1966. Muhammad
Qutb mencatat lagi bahawa jika al Qur’an dibaca secara pasif, dengan cara
terpisah , kita akan terlepas banyak pedomannya dan tersasar daripada mengenali tujuannya. Tetapi
apabila kita membacanya sewaktu kita benar-benar terlibat dalam perjuangan
memugarkan dan mengislah agama dan memperbaharui shahadah keimanan, maka hati
kita akan terbuka untuk menerima makna dan erti jika tidak akan bakal terlepas,
dan memperolehi petunjuk yang kita langsung tidak sedari. Itulah generasi al Qur’an
yang unggul. Generasi yang beriltizam, berpegang teguh kepada idealisme
kebenaran, kebebasan hakiki, kasih sayang, kesabaran dan keadilan. Itulah sumber kelestarian perjuangan Ikhwan al
Muslimin.
(Ada bahagian yang diadaptasi dan
disunting daripada Mona El Ghobashy, The
Metamorphosis of the Egyptian Muslim Brothers)
No comments:
Post a Comment