ESENSI DEMOKRASI
Dalam konteks Malaysia, kita
tidak pernah menghadapi dilema tentang demokrasi. Sejak 1955, rakyat Malaysia
sudah keluar mengundi tanpa merasa apa-apa dilema tentang sistem ini. Apa
pilihan lain yang ada selain demokrasi? Umat Islam semakin mantap memahami bahawa
tidak ada masalah untuk menerima demokrasi.
Dengan memahami jawharu dimukratiyya, the essence of
democracy, esensi demokrasi adalah ketetapan suara rakyat – al sha’b masdarul sultah – rakyat
sebagai sumber kekuasaan. Memang yang mengangkat pemimpin itu adalah rakyat.
Kerelaan dan keridhaan rakyat adalah asasi dalam pemikiran politik Islam.
Apatah lagi menyedari pemikiran politik Islam tidak beku, bentuk pemerintahan
tidak beku, sementara demokrasi itu sendiri tidak punya definisi yang baku.
Bentuk demokrasi boleh berbeda-beda, bermacam-macam. Pemikiran Islam boleh berkembang. Dinamika
politik Islam dengan dinamika demokrasi boleh bertemu pada satu titik demokrasi
yang Islamik.
Kita dapat kekuatan daripada
Profesor Yusuf al Qaradawi yang mengendorse
– memperakukan demokrasi sebagai kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang
mereka mahu, memilih dan membentuk corak pemerintahan yang mereka sukai.
Qaradawi menjustifikasikannya dengan contoh sebuah hadith tentang tiga jenis
manusia yang tidak diangkat solatnya. Pertama adalah imam yang memimpin solat
dalam keadaan para jemaah tidak menyukainya – tidak diangkat solatnya walau
seinci pun dari kepala mereka.
Pemimpin yang tidak disukai oleh
rakyat harus berhenti saja.
KEBEBASAN DAN MEDIA
Demokrasi tidak akan ada ertinya
tanpa kebebasan sepenuhnya untuk memilih. Tidak kurang pentingnya adalah media.
Media yang tidak bebas tidak membolehkan rakyat mengetahui realiti hakikat semasa
dan maklumat yang sebenarnya. Ini malangnya berlaku kerana mainan media. Banyak
negara mengamalkan demokrasi tetapi tanpa kebebasan media. Sepatutnya ada freedom of the press tetapi yang sering
berlaku adalah freedom from the press.
Pemerintah bebas daripada dikritik akhbar kerana akhbar yang mengkritik
pemerintah akan pendek umurnya. Sebagai image
maker media selalu mempamerkan citra palsu hingga yang ditampak bukan citra
hakiki sebuah parti dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang
begitu berleluasa pasti akan mencederai demokrasi. Pemalsuan media akan
menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang benar. Bagaimana mungkin demokrasi
yang Islamik diharapkan tanpa maklumat benar dan lengkap tentang calon yang
bertanding? Bagaimana mungkin rakyat hendak membuat pilihan yang tepat dengan
penipuan kosmetik propaganda media?
PILIHANRAYA ADALAH KESAKSIAN
Sedangkan mengundi itu adalah
kesaksian. Daripada perspektif Islam ia bukan hanya hak tetapi kewajipan syara’
kerana ini adalah satu kesaksian. Begitulah menurut Profesor al Qaradawi.
Bagaimana hendak membuat kesaksian setelah dibingungkan dan disesatkan oleh
media? Saksi mesti adil. Bagaimana hendak adil dan benar kalau tidak mengenali
calon dan parti dengan tepat? Ketentuan syara’ adalah tidak boleh tidak mesti
pergi mengundi. “Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi
saksi….” – al Baqarah 282. Begitulah pilihanraya sebagai fungsi
kesaksian.
Untuk membolehkan rakyat memilih
apa yang mereka sukai, mereka perlu mendapat fakta cukup dan benar.
JAWATAN DAN KELAYAKAN
Nabi Yusuf a.s. ketika menawarkan
dirinya menjadi menteri khazanah bumi – khaza’inil
ard. Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan kerana dia memiliki integriti dan
kepakaran. Dia memperkenalkan dirinya dengan kredentialnya inni hafizun ‘alim – “aku mampu menjaga harta negara dan perbendarahaan”.
Menteri yang hafiz – berintegriti bermakna mampu menjamin tiada kehilangan
dan ketirisan negara. Ayat 55 Surah Yusuf: “Jadikanlah
aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia
menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”
Signifikan ayat ini adalah:-
1. tidak menjadi kesalahan untuk
menawarkan diri memegang sesuatu jawatan
Ulama mengatakan adalah harus
untuk menawarkan diri sekiranya orang yang menawarkan itu mampu menegakkan
keadilan.
2. boleh menyebutkan kekuatan
kualiti yang ada pada dirinya dengan syarat benar – bil haq – dan bukan berlebih-lebihan.
Pada konteks pilihanraya ataupun
di luar pilihanraya, syaratnya adalah mesti benar, fakta yang betul.
KEDUDUKAN PEMBANGKANG
Di dalam sistem demokrasi wujud
pemerintah dan pembangkang. Ini menimbulkan persoalan setengah pihak samada ada
pembangkang di dalam sistem Islam. Lalu ada yang gopoh dan terburu-buru terutama
kebelakangan ini untuk menyimpulkan bahawa pembangkang itu bughah - pemberontak.
Padahal dalam Islam ada haq al mu’aradah – hak untuk
membangkang, hak untuk tidak bersetuju. Bukan membangkang semata-mata untuk
membangkang. Not to oppose for the sake
of opposing. Membangkang dalam konteks amar
ma’ruf nahy mungkar – menganjur kebaikan dan mencegah kemungkaran, al musyarakah al siyasiyah – political participation. Al mu’aradah dalam konteks ingkarul mungkar. Memang ada tempat bagi bangkangan termasuk
hak untuk berdemonstrasi dalam konteks amar
ma’ruf nahy mungkar.
Perihal yang diperselisihkan
adalah samada aksi demonstrasi itu mengancam keselamatan dan ketenteraman.
Tetapi kalau demonstrasi itu aman, duduk-duduk membuat bantahan, apa bahayanya?
Apa alasan syara’ untuk mengharamkannya kalau ia berlaku dengan aman?
Apa erti semangat bersendirian
kalau tidak disuarakan? Amar ma’ruf
hendaklah dilakukan dengan jelas supaya didengari oleh semua, ingkarul
mungkar bi sawt al masmu’ – menolak kemungkaran dengan suara yang jelas
kedengaran. Tiada alasan untuk menolak demonstrasi kalau begini.
BERCAKAP BENAR DI HADAPAN
PENGUASA
Ulama silam telah lama
melaksanakan amar ma’ruf nahy mungkar
dengan bermacam kaedah dan cara. Adakalanya lembut dan adakalanya keras sesuai
dengan konteks dan tempat masing-masing.
i. Itulah sebabnya apabila Imam
al Ghazali apabila berhadapan dengan pemimpin yang mudah mendengar – a listening
leader, menteri Fakhruddin Mulk, mendekatinya dengan baik, menganjurkan
kepadanya supaya bersolat malam.
Kepada menteri yang mahu bersolat
ini, Imam al Ghazali menasihatinya supaya bersolat dua raka’at pada malam
dengan membaca doa ini ketika bersujud,
“Ya Tuhan, Raja yang tidak akan hilang KerajaanNya, kasihanilah raja
ini yang segera akan kehilangan kerajaannya, sedarkan dia daripada kelalaian,
berilah petunjuk kepadanya untuk memperbaiki rakyat…..”
ii. Tetapi kepada Sultan Saljuk,
Sanjar Ibn Malik Shah, Imam al Ghazali berkata keras,
“Malang sekali tengkok kuda kamu hampir patah kerana dibebani
kalung-kalung kamu yang mahal dan berat, sedangkan tengkok rakyat kamu hampir
patah disebabkan menanggung bermacam-macam cukai yang kamu kenakan kepada
mereka…”
TAHALLUF SIYASI – PAKATAN POLITIK
Pada konteks pemikiran politik
Islam tahalluf siyasi tidak menjadi
isu atau masalah. Asas-asas telah lama disiapkan oleh para fuqaha’. Dalam kitab al Mughni Muhtaj karya Asy Syarbini syarah
Imam al Shafie, telah digariskan panduan berhubung dengannya. Menurut syarah
Imam al Shafie, jika orang bukan Islam mempunyai fikiran yang baik dan amanah,
mempunyai idea dan boleh dipercayai, dan dapat memberi pertolongan,
bekerjasama, maka diperbolehkan. Ini menunjukkan pada kitab-kitab turath yang
dikaji dan dibaca ulama’ tradisional sudah ada banyak rujukan, sudah ada
pemikiran tentangnya dan tahalluf bukan
lagi menjadi isu.
Selain itu adalah seerah Rasulullah s.a.w. dan pengalaman
baginda sendiri di dalam hilful fudul
– suatu pakatan sebelum kedatangan kerasulan. Rasulullah s.a.w. bersama-sama dalam
suatu pakatan untuk menghalang kezaliman dan membela orang yang teraniaya.
Apabila Nabi s.a.w. mengenangkan peristiwa itu, baginda berkata, “Andai aku dipanggil bersama dalam tahalluf
seperti itu akan aku sambut…”
POLA PERTENTANGAN MAJORITI
MINORITI
Mestikah harus ada dalam
demokrasi Islam pertentangan di antara
majoriti dengan minoriti. Samada penguasaan majoriti ke atas minoriti ataupun
kadang-kadang tekanan minoriti ke atas majoriti. Demokrasi Islam tidak beku di
dalam bentuk pertentangan dan pertembungan di antara majoriti dan minoriti.
Mungkin ada pilihan yang lain.
Rashid al Ghanoushi merintis al wifaq al wataniy – kesepakatan
nasional - di mana tidak semestinya terperangkap di dalam tradisi konfrontasi. Barangkali
eksperimen yang dilakukan oleh Muslim
democrats parti En Nahdah pimpinannya dalam konteks politik Tunisia boleh
dikaji.
Ghanoushi membuktikan bahawa
parti Islamis tidak mahu berkuasa bersendirian – mereka mencari konsensus
dengan parti-parti lain, di luar parti Islam. Bagi Ghanoushi, esensi demokrasi
Islamik itu adalah “penggiliran kuasa
yang aman.” Dia menerima prinsip itu dan dia telah membuktikannya. Dengan tindakan
mengundur, dia berkata, “kita keluar
daripada kekuasaan dan berada di dalam pemerintahan”. Tindakan ini memberikan
ruang kepada kabinet baru terdiri daripada teknokrat untuk kendali pilihanraya
dengan adil dan bebas daripada pengaruh parti pemerintah.
Seorang Muslim demokrat sanggup
kalah andainya itulah kehendak rakyat. Dia tidak keberatan kalah kalau itu
keputusan rakyat. Menyerah kuasa tidak ada masalah. Tetapi bukan kerana
penipuan. Itu kita tidak dapat terima. Kita tidak terima dipaksa kalah kerana
penipuan.
KEBERSIHAN MEKANISME PILIHANRAYA
DAN BUDAYA POLITIK
Untuk menjayakan demokrasi
elektoral memerlukan mekanisme pilihanraya bersih, cekap dan berkecuali.
Mekanisme yang benar-benar mampu menggalas amanah oleh rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat.
Pimpinan yang naik mestilah yang
terbaik. Bukan yang naik itu yang sakit dan bermasalah. Jika itu berlaku, itu
mekanisme enjet-enjet semut, siapa sakit
naik atas.
Dengan demikian, kemenangan yang
diraih oleh calon atau oleh parti benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Semua
pihak akan bergembira dengan keputusannya termasuk yang kalah kerana yang
menang itu adalah demokrasi, yang menang itu nilai-nilai dan prinsipnya, yang
menang itu rakyat.
Tetapi jika yang menang itu
akibat wang, rasuah, kecurangan dan penipuan, itu amat mendukacitakan. Kita
sangat prihatin dan merakamkan concern
bahawa biaya pilihanraya terlalu mahal sehingga dana menjadi tumpuan
pilihanraya. Pilihanraya mahal membuka ruang seluasnya untuk rasuah dan
pelaburan pembiaya yang tidak sihat daripada pemilik dana, konglomerat, kapitalis,
korporat dan cukong-cukong. Apabila berlaku
persekongkolan politik dan bisnes – kiamatlah
moral politik. Moral politik tidak akan laku di tengah-tengah pasar jual
beli undi.
Wang sudah menjadi bahasa politik bukan sekadar ekonomi lagi. Wang
penentu party electability. Wang penentu pemenangnya. Wang dapat membeli
segala-galanya.
Suara rakyat berlawan dengan wang,
media, jentera dan segalanya. Pilihanraya menjadi kesempatan terbaik melabur
dalam politik bagi mendapat peluang pulangan daripada projek dan kontrak
kerajaan selepas pilihanraya.
Budaya politik rasuah ini akan akhirnya
terbentuk kerajaan yang korup. Untuk melindungi kekuasaannya yang korup,
institusi-institusi penegak undang-undang akan atau telahpun dilemahkan dan
dilumpuhkan – kepolisan, peguam negara, badan kehakiman, badan pesuruhjaya
pilihanraya, badan pencegah rasuah dan seumpamanya. Dengan demikian institusi-institusi
ditransformasi daripada menjadi agen menegakkan keadilan dan ketertiban kepada
agen pelindung korupsi dan penyelewengan. Berfungsi hanya untuk kelangsungan kuasa
dan sistem yang korup.
Korupsi dan politik wang itu
sarat seperti barah tetapi sukar untuk dibuktikan. Itulah sebabnya seorang
tokoh Indonesia menyifatkan korupsi seperti “kentut” – baunya ada tetapi si pelakunya tidak mahu mengaku.
( Dr Siddiq Fadil, Presiden WADAH Pencerdasan Umat di Wacana Islam dan Demokrasi, Kajang)