Deretan episod-episod hina selama
16 tahun - tuduhan jahat, pendakwaan, hukuman, penyebaran cerita dan video aib bertubi-tubi,
siaran akhbar dan TV, dan serangan
peribadi bertalu-talu bukanlah bertujuan baik
ataupun jauh sekali mulia tetapi untuk semata-mata mengisytiharkan
bahawa Anwar Ibrahim tidak layak menjadi pemimpin, menanam keraguan di kalangan
rakyat, sekaligus menjadikan ini isu
politik partisan. Tuduhan ini dan segala fitnah seibaratnya tidak akan diangkat
selagi matlamat realpolitik – politik
mentah- ini tidak tercapai walauapapun
hujah agama, moral, legal, universal
atau peri kemanusiaan digunakan untuk menentang dan membantahnya.
Oleh itu, kenapalah ada pimpinan pergerakan
pemisah jamaah islah dengan sebahagiannya berkelulusan Mesir masih ingin
meranduk dan berlumpur di kubang jenayah dan dosa besar yang selayaknya menjadi
kumbahan geng trio Datuk T, blogger psiko,
sang penibai, sang penghilai dan karakter buruk tak bermoral seumpamanya?
Bukankah amsal daripada Sunnah telah
lama diingatkan supaya menjauhi tukang besi tetapi menghampiri penjual minyak
wangi? Kenapa mengambil saksi fasik
sambil mendabik dada, mempromosikan orang tidak bermoral, berpakat dengan orang
jahat dan menghalalkan matlamat yang jelek? Kenapa relakan rasuah, mendokong
yang korup dan menjadi alat perasuah?
Matlamat realpolitik begini
adalah semata-mata singkat, temporal, sementara dan di dunia saja. Kesannya dan
balasannya adalah abada –
selama-lamanya.
Jenayah - Peringatan Kesekian
Kalinya
Adapun jenayah zina melibatkan
kesalahan kehormatan, maruah dan peribadi individu. Oleh itu, sebelum
pertuduhan boleh dibuat, empat saksi perlu dihadirkan supaya tiada pencabulan
diri, penyelewengan undang-undang atau kezaliman berlaku kepada hak,
kehormatan, maruah dan peribadi Muslim dan Musiimah. Tidak ada kompromi. Ini
pegangan ahli fiqh salaf dan khalaf, mereka tidak menerima
keterangan-keterangan lain kerana mereka masih mementingkan pemeliharaan kemuliaan individu dan kesejahteraan
masyarakat. Tidak boleh tuduhan melulu atau percubaan sebarang keraguan. Bukan
boleh bermain dengan sumpah atau menggunakan circumstantial evidence. Inilah yang diterangkan dalam
surah-surah al hujurat dan al nur.
Kita diingatkan supaya jangan menerima pemberitaan orang-orang fasik. Kita
diingatkan supaya jangan tuduh menuduh, kata-mengata, umpat mengumpat dan tidak
intip-mengintip. Kita diingatkan supaya meminta kehadiran empat orang saksi
jika ada tuduhan zina dan jika tidak dapat dihadirkan, maka kita diperintah
mengatakan bahawa ini tuduhan pembohongan yang besar dan nyata. Kemudian
sesiapa yang menuduh dengan tiada saksi-saksi ini dikenakan hukuman qazaf.
Hukumannya adalah sebatan bagi menunjukkan betapa besar dosa ini. Keterangan
dan kesaksian mereka ditolak selama-lamanya menurut ulama kecuali bertaubat.
Ini adalah ajaran Islam. Ini adalah shariah yang perlu ditegakkan dan
didaulatkan.
Kesalahan Kumpulan Pemisah Jamaah
Islah
Mereka memilih untuk menolak
tujuan utama shariah, mereka mengabaikan pemeliharaan kehormatan manusia dan prinsip
kemuliaan insan - karamah insaniyah. Mereka
mengkhianati amanah da’wah, dengan mengabaikan prinsip kebenaran dan keadilan,
malah mencanggahi seruan kebaikan dan pencegahan kemungkaran. Mereka mempertahankan
kebatilan walaupun nyata fasad dan korup serta sekalian kefasikan yang
dibawanya. Mereka menyumbang kepada fitnah besar, mentohmah pemimpin Islam dan
perjuangan yang digalasnya. Mereka menundukkan ilmu, adab dan kefahaman yang
mereka miliki kepada kehendak penguasa dan kekuasaan fana yang ada. Mereka
menjadi model contoh ikutan kepada angkatan muda tulus yang bakal hilang kompas
moral. Mereka berlaku zalim dengan memainkan bibit-bibit perkauman.
Isu sebenar
Isu sebenar adalah isu keadilan.
Jika Anwar Ibrahim secara jujur dirasakan tidak sesuai atau layak diangkat
sebagai pemmpin negara, maka gunakanlah segala hujah politik luhur dan strategi
politik yang tinggi, adil dan saksama. Berpencaklah dan bertarunglah di pentas
demokratik. Berdebatlah secara terbuka, beretika dan sihat dengannya tentang
isu-isu kenegaraan, wawasan dan perancangan masa depan. Cubalah secara
waras dengan fakta bahaskan dasar-dasar,
program-program dan pandangan-pandangannya tentang Islam, Melayu, pembangunan,
ekonomi, pendidikan, keadilan, kemiskinan, nasib rakyat, integriti, penyatuan,
perpaduan, masa depan negara, dasar luar dan lain-lain seluasnya. Kempen
selebar mungkin, analisa setiap ucapannya, libatserta dan cabar - engage and challenge, dan cubalah yakinkan penyokong-penyokongnya.
Tetapi jika politik dan kuasa digunakan dengan cara yang tidak adil malah
menzalimi peribadi yang baik maka inilah angkaranya sehingga fitnah yang jahat
dan nyata pun ingin dipertahankan lalu panduan agama serta pendirian moral yang
jelas juga dipertikaikan secara partisan yang serong dan sempit. Bayangkan masa
depan negara dan nasib generasi era ini serta maruah warga pada masa depan jika
politik mentah terus berkuasa.
Kita perlu sedar bahawa surah al nur juga mengingatkan berulang kali
bahawa jika bukan kerana rahmat Allah swt ke atas kita semua nescaya telah lama
diazab kerana fitnah besar sebegini.
No comments:
Post a Comment