Pada suatu pagi
di sebuah surau perumahan di Tambun, Perak, Ustaz menyampaikan kuliah subuh
mengolah kitab bahrul mazi berkaitan
kejahatan. Dia berseloroh tentang tahap tingkatan kejahatan dengan memberikan
contoh dengan menggunakan celupan bahasa Inggeris - jahat, jahater, jahatest. Katanya, Abrahah merupakan yang paling
jahat kerana memimpin pengikut-pengikutnya untuk melakukan rancangan terkutuk iaitu ingin meruntuhkan Ka'bah.
Begitu jahatnya Abrahah dengan pengikut-pengikutnya kerana sanggup berangkat
dan meredah perjalanan yang jauh daripada Yaman hingga ke Makkah. Abrahah dan
pembesar-pembesarnya menunggang gajah manakala tentera-tentera pengikutnya
menjadi macai (istilah ustaz)
berjalankaki sepanjang perjalanan.
Amat malang apabila
"40 NGO" menggelarkan diri "NGO Islam" tetapi membuat fitnah jahat dan
menjadi pencacai politik bankrap.
Anwar Ibrahim tidak pernah ada masalah dengan para
alim ulama dan mufti-mufti semasa dia salah seorang pemimpin kerajaan dahulu. Anwar tidak ada masalah dengan ulama' mu'tabar
dunia malah mereka sentiasa mendokong dan membelanya serta berhujah
menyokongnya. Anwar tidak ada masalah dengan Ikhwan, Hamas atau kelompok
pergerakan Islam mana sekalipun walaupun musuh-musuh cuba berkali-kali untuk
mencemuhnya di mata para pejuang. Para pejuang Islam terutama Hamas dan Ikhwan
lebih mengenali Anwar, mempercayainya dan mereka lebih mengenali gelagat konco-konco
regim serta pengampu kerana mereka telah melalui fitnah yang sama.
Anwar tidak
menimbulkan masalah dengan agama lain, bangsa lain dan ramai tokoh politik lain
dalam ataupun di luar negara. Prinsipnya adalah engagement. Dia mengambil pendekatan berkenalan dan bersahabat dengan semua orang. Dia berdialog
dengan semua orang. Dia berdialog dan
bersua muka sejak zaman dia memimpin pergerakan belia lagi. Adakah mereka marah
Anwar kerana dia berjaya berkomunikasi dan berinteraksi dengan semua samada di
negara atau antarabangsa, Muslim dan bukan Muslim?
Anwar berpegang
kepada politik beridealisme. Inilah kata-katanya sendiri tentang pendiriannya:-
"I grew up in a time of great social
transformation wherein the interplay of ideas and events coincided with
student activism, religious revivalism and political turmoil. Not content to be
a mere bystander, I chose to be an active participant instead. I emerged from
all this convinced that while a life of contemplation and solitude can indeed
be invigorating to the mind and the soul, a life of contemplation coupled with
action and fraternity can be even more so. I have no regrets for the road not
taken because the one that I took has led me to a challenging and fulfilling
public life. And it is in this domain that I will continue to actively and
fully participate in the realization of the higher ideals of life."
"Saya dibesarkan pada zaman transformasi sosial hebat di mana berlaku cetusan ledakan idea-idea dan peristiwa-peristiwa berbetulan serta bertindan dengan aktivisme mahasiswa, kebangkitan agama dan pergolakan politik. Saya tidak rela berada selaku pemerhati sahaja, bahkan saya memilih untuk menjadi ahli yang berpartisipasi aktif. Saya muncul daripada semua ini dengan berkeyakinan bahawa sementara pilihan hidup secara bertafakur, berfikir dan bertapa menyendiri boleh menyegarkan dan melazatkan minda dan jiwa, tetapi hidup bertafakur digandingkan pula dengan gerak tindakan dan pupuk persaudaraan lebih memugarkan aktualisasi diri. Saya tidak menyesali jalan yang ditempohi kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang lingkup inilah saya akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih tinggi."
Sebahagian mereka yang sanggup menandatangani tuduhan berat dan kenyataan fitnah "40 NGO" lebih mengenali Anwar Ibrahim tetapi dengan sengaja melakukan kedurjanaan. Adakah mereka sudah lupa peribadinya yang mengamalkan ibadah solat sejak kecil, berpegang kepada ajaran Islam, memperjuangkan Islam sebagai ad din sejak bangku persekolahan dan mengasaskan pergerakan kebangkitan Islam negara? Adakah mereka lupa bahawa dia yang mengajar dan mendidik mereka, menyedarkan mereka dan menginspirasikan mereka untuk turut serta dalam gelombang kebangkitan baru Islam pada waktu mereka masih muda? Adakah mereka lupa bahawa inilah orang yang menjadi lambang setiakawan dan memberikan erti persahabatan dalam perjuangan?
Memang berbaris
dan bergilir malah berebut-rebut sekalian tukang ampu, pencacai, para pemberita pembawa naba fasiq dan pengaut pangkat dan laba, bersusun sesak dengan
bermacam-macam idea dan makar bagaimana dan apa kata-kata nista dan celaan yang direka bagi mengutuk
dan menginginkan supaya hancur lebur manusia bernama Anwar Ibrahim. Mereka mahu
rakyat meragui keikhlasan dan idealisme perjuangan yang dibawa Anwar. Asalkan
rakyat terutama orang Melayu ragu, matlamat mereka tercapai. Betapa bodoh
sekalipun rekayasa dan tuduhan itu, asalkan Anwar diganyang. Matlamat kerdil bagi
mengekalkan kuasa pemerintahan sedia ada menghalalkan cara tak kira betapa
korup dan fasad penaja dan penaung mereka. Bukankah nyata sekali ini kerja
orang jahat?
Maka segala
ajaran Islam tentang Iman, Islam dan Ihsan diketepikan begitu saja. Segala
hukum shariah mereka langgar dengan membuat tuduhan melulu tanpa bukti dan
tanpa bicara, tanpa pengadilan. Apabila jelas ada pimpinan di belakang mereka
yang membayangkan menyokong idea penolakan hadith, mereka diam seribu bahasa. Mereka
ada penyakit di dalam hati mereka.
Sebelum ini
mereka cuba mematahkan kemaraan Anwar Ibrahim dengan menuduh dan menjadikannya
penjenayah, malah mengurungnya di dalam penjara. Tidak cukup dengan itu, mereka
cuba bunuh karakternya dengan cara yang amat aib dan paling hina dalam sejarah.
Kemudian mereka cuba menanamkan keraguan umat kepada kefahaman agamanya. Kini
mereka melampaui semua itu dengan menghampiri kalimat kekufuran - mengandaikan
Anwar dengan sifat Dajjal. Semoga Allah swt melindungi kita daripada fitnah
mereka!
Mereka mendapat segala
kelebaran akses media, siaran perdana dengan segala perlindungan dan penajaan. Ini
mengingatkan kita semula kepada angkara geng Datuk T dan cubaan gila video aib
mereka, menyebar kejahatan secara berleluasa. Modus operandi mereka sama saja
walaupun kaedah cara kutukannya berbeda - fitnah dan biarkan saja - asalkan
tercalit keburukan kepada Anwar dan menghakis kepercayaan rakyat kepadanya.
Adalah jelas
kenyataan dan kelakuan "40 NGO" ini satu kejahatan yang besar.
Matlamat mereka amat cetek sekali iaitu
cuba menghalang dan menjadi satu lagi alat rintangan kemaraan seorang pemimpin
yang masih mendapat tempat pada hati sanubari kebanyakan penduduk negara ini.
Selama 15 tahun
lamanya, serangan demi serangan peribadi, fitnah, tuduhan, pendakwaan, di
perbicaraan, di kaca TV, akhbar, di internet - mencela diri Anwar dan
keluarganya, menggasak penyokongnya serta sahabat-sahabatnya dalam gerakan
Islam dan aktivis masyarakat. Betapa banyaknya saham kejahatan terkumpul oleh
parti, regim, penyokong, pencacai, pemberita, penulis, ahli panel, pegawai,
pengacara dan penganalisa, segala makhluk yang dikerahkan serta para pendengar
dan pembaca yang setia. Istilah keji, terkutuk dan kata-kata paling nista telah
diperkenalkan kepada masyarakat tak kira
tua, muda dan kanak-kanak. Semua ini
dilakukan secara tersusun, berterusan dan tanpa segan silu ataupun rasa
bersalah selama 15 tahun dan masih berjalan lagi. Semua ini semata-mata untuk
menyekat Anwar Ibrahim dan
perjuangannya. Apabila dimuhasabah semula sudah tentu lebih banyak perkara yang
bermanfaat dan menyelamatkan diri dan membina negara bangsa yang boleh
dilakukan dengan segala sumber, jentera, tenaga dan masa yang terbuang dengan
bergelumang angkara fitnah dan tidak akan boleh ditebus semula.
Barangkali
"40 NGO" ini sudah terlupa bahawa hujah "21 dalil" ini
mirip dalil-dalil rekaan arwah Khalid Jefri yang memulakan era menfitnah Anwar
sehingga kini, malah "40 NGO" ini semacam pewaris angkara bejat yang
basi dan lama. Mereka pasti akan hampa dan kehampaan ini jika tidak kembali ke
pangkal jalan akan berlaku selama-lamanya.
Sahabat-sahabat
sejati Anwar Ibrahim di dalam gerakan Islam telah lama kenal peribadi dan
perjuangannya, tidak pernah meraguinya dan sentiasa menyokongnya. Prinsip yang
dipegang adalah pada menegakkan kebenaran dan keadilan, prinsip Islam yang
menolak kezaliman, kebatilan dan
kepura-puraan. Inilah pengkalan yang selamat dan bahtera perjuangan Islam.
Kawan-kawan yang telah isytihar meninggalkannya dan memilih pula untuk
bersekongkol memfitnah juga tahu semua ini, namun mereka telah mengambil jalan
yang semacam tiada titik kembali ke pengkalan lagi.
Inilah kata-kata
Anwar Ibrahim kepada sahabat-sahabatnya sebaik saja dibebaskan daripada penjara
-
Pada tahun 1974, pertama kalinya pada
September 1974, kerana memperjuangkan masalah kemiskinan Baling, saya
dipenjarakan tetapi keadaan waktu itu tidaklah seteruk. Tetapi kali ini (1998),
ia amat berat bagi saya secara peribadi, merasai kepayahan, penghinaan, sukar
kerana usia dan kedudukan. Saya telah dipukul, ditelanjangkan, dibiarkan
bagaikan se ekor haiwan, dinafikan rawatan. Bagaimana untuk menceritakan
layanan buruk ini? Sukar juga untuk memahami bagaimana boleh sampai begini
jadinya. Saya terpaksa mengharunginya, Azizah dan anak-anak juga terpaksa
mengharunginya. Waktu itu amat mencabar dan sangat getir. Di situlah ABIM
membantu dan menolong, memberikan keyakinan bagi saya.
Banyak lagi sekatan
berat yang bakal menempuhi ahli politik idealis bernama Anwar Ibrahim. Apabila
ditanya kenapa dia masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini
dengan segala mehnah dan fitnah, dia menjawab, dengan merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tum - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan
islah sekuat daya kami.”
Apabila ditanya
bagaimana dia mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, dia
merujuk kepada pesanan tok guru dan alim ulama supaya berpaut kepada ungkapan Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan,
“Tuhan kami ialah Allah”) sebagai
pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian
mereka meneguhkan pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)
No comments:
Post a Comment