Monday, April 14, 2014

KESENJANGAN FAHAM YANG KETARA : MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN MUSLIMIN




Agak pelik apabila ada selebriti agama dan orang yang kurang menyedari tentang keadaan getir umat, mengambil peranan dan bersubahat dalam mencela dan mengkondem Ikhwan al Muslimin. Pandangan begini menyimpang daripada landasan kebenaran dan menunjukkan kedangkalan pengetahuan. Kesalahan asas yang dilakukan adalah apabila mereka mengatakan apa yang mereka tidak mengetahui. Kemudian, mereka membiarkan si penzalim tanpa menolong orang yang dizalimi. Kesalahan lagi adalah apabila mereka menerima khabar dan membuat kesimpulan tanpa meneliti dan memeriksa fakta-fakta. Tetapi barangkali kesalahan terbesar adalah kegagalan untuk ta’aruf  dan gagal samasekali untuk mengenali bahawa orang-orang yang mereka tolak itulah sebenarnya saudara dan saudari se agama yang teraniaya dan yang sedang berjuang di atas jalan Islam, kebebasan, kehormatan dan keadilan.

Mereka seolah-olah berada selesa di alam impian, tersisih dan terpisah daripada realiti, penuh kealpaan dan kurang kesedaran. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya ini adalah rakan-rakan seperjuangan mereka lelaki dan wanita sedang berada dalam perjuangan yang perit, merasai kepedihan dan melalui penderitaan, dilayani dengan kekejaman tetapi masih kelihatan penuh tabah dan kesabaran. Apakah tidak ada kepedulian lagi? Suatu lagi kesalahan.

Adakah mereka sungguh naif sehingga tidak nampak usaha gigih dan berterusan sedang berjalan bagi menghapuskan dan membasmi Ikhwan Muslimin melalui komplot-komplot dan siri langkah-langkah yang strategik. Terdapat pakatan global yang bekerja keras bertahun-tahun lama yang ingin menamatkan kewujudan Ikhwan dan segala rangkaian perhubungannya. Ada pendapat yang mengatakan melalui apa yang berlaku di Mesir, musuh azali kepada Ikhwan telah berjaya memerangkap Ikhwan, bagi mendedahkan kepimpinan dan kelebaran pergerakan organisasinya. Musuh merasakan kekuatan Ikhwan boleh dilemahkan dan pergerakannya boleh dipatahkan melalui cara yang melampaui batas-batas sebelumnya. Daya ketahanan dan kebangkitan umat Mesir pula tidak lama dan mudah dipudarkan. Penduduk awam rakyat jelata Mesir terlalu tertekan kehidupan mereka dan terlalu susah untuk menggarap isu-isu yang besar. Pembunuhan berama-ramai pun gagal membangkitkan perasaan hati sanubari rakyat Mesir atau keprihatinan dunia. Rakyatnya masih terpukau dan terpaku kepada ketaatan mereka kepada pimpinan panglima autokrat walaupun mereka akan mengorbankan hak, maruah, kebebasan dan kecerdasan umat. Rakyat Mesir masih terkongkong sebagai keturunan “turun temurun Mubarak” yang tidak berdaya atau berupaya membebaskan kebergantungan kepada yang korup dan tidak mampu untuk mengangkat semula kegemilangan revolusi yang pernah mereka sendiri lalui – Thawrah Sy’ab – the Arab Spring.

Mereka yang memandang serong terhadap Ikhwan adalah samada sangat dangkal pengetahuan atau sengaja memejamkan mata, telinga dan menutup pintu perasaan mereka terhadap nasib saudara mereka yang semata-mata teraniaya kerana mengambil pendirian tegas atas prinsip agama, keadilan dan kemanusiaan. Tidakkah mereka tahu bahawa anggota dan penyokong Ikhwan Muslimin telah diserang dan dibunuh sewaktu mendirikan solat subuh berjamaah. Tidakkah mereka tahu bahawa Ikhwan, keluarga dan penyokong mereka telah diserang dengan kejam dan dibunuh beramai-ramai apabila pasukan keselamatan Mesir menyerbu khemah-khemah protes mereka di Medan Raba’a. Masjid di mana mereka berlindung telah dibakar sebahagiannya dan beribu-ribu orang awam tak bersenjata, wanita dan kanak-kanak ditembak, dibunuh dan dicederakan. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa sekumpulan wanita muda penyokong Ikhwan telah dihukum penjara selama 16 tahun kerana memprotes. Kini 529 orang penyokong Ikhwan telah dijatuhkan hukuman mati pada suatu perbicaraan mahkamah yang ternyata sudah hilang wibawa dan bakal memasuki rekod dunia sebagai babak hitam dalam sejarah moden. Sejarah hitam dan tanda kegelapan pengkisahan Mesir moden yang korup serta lumuran kekotoran pada muka masyarakat dunia yang membiarkan saja kezaliman ini berlaku.

Seorang presiden yang telah dipilih melalui pemilihan rakyat telah digulingkan dengan cara tidak sah dan sekarang dia dibicarakan seperti seorang penjenayah jalanan. Dia dituduh membunuh tetapi yang terkorban adalah penyokong-penyokongnya walhal pembunuh sebenar adalah angkatan bersenjata Mesir sendiri. Angkatan bersenjata Mesir yang tidak waras dan tidak setia sehingga sanggup membunuh rakyat negara mereka sendiri yang sepatutnya mereka lindungi. Sebaliknya penyokong-penyokong presiden inilah yang diburu, ditangkap dan dihukum. Negara-negara Arab lain terutama negara Telok yang kaya raya menindas Ikhwan, mengharamkan pergerakan Ikhwan dan memomokkan kehadiran mereka. Padahal mereka lupa dan mengkhianati  jasa dan bakti Ikhwan sejak tahun 60’an kerana ahli-ahli Ikhwan menyediakan pendakwah berwibawa, tenaga kerja terlatih, intelektual, dan ketangkasan profesional bagi membangunkan pendidikan, institusi, kewangan, perdagangan dan industri negara-negara Arab Saudi dan Telok. Eropah difahamkan sedang membahaskan tentang kewujudan Ikhwan dan  UK sedang memikir untuk menutup Ikhwan dan menyamakan mereka dengan al Qaeda, menggunakan label teroris.

Penceramah-penceramah yang petah berbahasa lazimnya gemar menceritakan tentang “Akhir Zaman” dan kemunculan Dajjal. Para pendengar memang akan asyik dan terpegun dengan penceritaan kisah dan tanda-tanda yang menakjubkan. Namun, umat nampaknya masih belum menangkap mesej dan petanda-petanda kedatangan musibah seperti ini dan seumpamanya. Mereka tidak menyedari tentang satu petanda yang sering disebut-sebut bahawa akan tiba masanya di mana kebenaran itu digambarkan sebagai kebatilan dan begitulah sebaliknya – tetapi orang masih terpedaya dengannya.



Pada adab belajar, menghormati guru dan menghargai susur galur salsilah  ilmu pengetahuan yang diperolehi, tradisi ini sering ditekankan namun masih ada kesenjangan faham yang ketara – a disconnect. Itulah mungkin sebabnya seorang selebriti agama yang bersikap negatif terhadap Ikhwan tetapi  masyhur kerana membaca koleksi dhikr al mathurat. Dia alami kesenjangan kerana tidak sedar bahawa pembacaan wirid al ma’thurat adalah tradisi Ikhwan daripada pengasasnya. Tragis dan mengecewakan.


No comments: