Friday, September 5, 2014

QASSAM: WIDAD ISTERI YANG SYAHIDA



Mohammed Deif adalah perwira bangsa, teman sejati dan buah hati Widad Asfoura. Jari kirinya menyarung cincin perkahwinan Widad. Widad menghargai dan menikmati setiap saat mereka bersama dan dengan Deif dia telah hidup bahagia setelah bertahun-tahun derita tangisan.

Widad wanita yang telah syahid kembali ke rahmatullah agar suaminya dapat meneruskan perjuangan, memimpin tentera dan membina kekuatan militari. Dia hidup bagaikan ratu bertahun-tahun lamanya walaupun cara hidup mereka berdua amat berbeda dan Deif sentiasa bergerak randah tanpa henti.

Kini, namanya dan nama Mohamed Diab Al-Deif, dapat diumumkan bersama, untuk didengari oleh dunia agar dibentang permaidani indah bagi pasangan ini. Bintang-bintang berkelipan yang tulen bukan berada di langit tetapi bintang-bintang yang tersembunyi menghuni di dalam terowong-terowong. Namun suatu hari nanti akan mereka temui cahaya dan kelak alam akan  akhirnya menyaksikan kecantikan kilauan mereka.

Widad mengetahui bahawa Deif sentiasa tergesa-gesa kerana kekangan masa dan ketidaktentuan waktu-waktu kegelapan ini. Tetapi Widad ingin supaya musuh mendengar kata-katanya dan dia menganggap dirinya juga seorang askar yang tak bernama, sepertimana para tentera pejuang Qassam yang lain yang berkhidmat di bawah Deif.

Widad ingin supaya Deif duduk bersamanya buat seketika, bagi kali terakhir, berpakaian seragam Qassam. Deif baginya lebih tampan dengan pakaian tentera, lebih kacak daripada memakai kemeja putih bertali leher merah sepertimana wajah ahli politik dan orang berpengaruh yang lain. Bauan aroma peluh pertempuran yang datang daripada badan dan ‘jenama’ Deif lebih wangi menewaskan wangian Perancis dan keharuman bungaan jasmin.


Ibu Widad yang melamar Deif untuknya

Widad seorang yang baik, luhur dan berhati-hati sewaktu kecil dan saudaranya Eman, yang lebih tua setahun daripadanya, paling akrab di antara empat saudara perempuan. Eman suka mengusiknya. Apabila mereka telah dewasa, Eman masih mengingatkannya tentang zaman persekolahan mereka dan bagaimana mereka melintasi jalan ke sekolah. Apabila Widad nampak kedatangan sebuah kereta, dia akan tunggu sehingga kereta itu melepasinya sebelum  melintas jalan. Eman akan marah dan berkata "Ambillah masa kamu Widad! Aku akan tinggalkan kamu kerana loceng sekolah akan berbunyi tak lama lagi."

Widad sentiasa kagum dengan cara hidup menekuni agama yang diamalkan oleh saudara lelakinya, Ibrahim. Dia dipengaruhi oleh Ibrahim dan mentaatinya seolah-olah dia adalah bapa Widad. Widad mengejutkannya untuk bangun awal supaya belajar bagi persediaan peperiksaan akhir persekolahan tingginya. Ibu Widad memiliki muka yang berseri bagaikan sinaran mentari. Ibunya akan selalu berkata, “Aku akan hanya nikahkan kamu kepada seorang pejuang Briged Qassam.” Ibunya sentiasa memberikan perangsang dan kepujian, dia memupuk diri Widad bahawa dia berbeda daripada yang lain. Widad yang paling berazam untuk menghafaz Al Qur’an, orang yang paling tasamuh dan bersabar, mudah bertolak ansur dan beralah walaupun dia berada di pihak yang betul.

Widad amat menyayangi ibunya apabila ibunya menceritakan kisah perkahwinan Widad dan Mohamed Al-Deif. Cerita ibunya disertai ketawa gembira tetapi bukanlah merupakan kebanggaan yang tidak bermakna.  Enam tahun lalu, ibu Widad secara spontan menyebut kepada sekumpulan wanita: “Jikalau dia melamar anak perempuan aku, aku akan menerimanya. Lamarannya adalah suatu penghormatan bagi kami.” Kata-katanya disampaikan kepada Mohamed Al-Deif , dan pada hari berikutnya, dia terus meminang Widad.

Widad suka dengan celoteh ibunya, “Akulah yang melamarnya untuk menikahi anak aku, bukan dia". Ibunya mengujar bahawa lebih baik berkahwin dengan seorang lelaki sejati daripada seorang lelaki yang tidak berakhlak.


Keputusan yang payah dibuat

Widad seorang janda kepada seorang pejuang Qassam "Belal Qaseea'a" yang telah syahid.  Mereka dikurniakan dua orang anak Bakr and Banan. Setelah Belal syahid, Widad sedih selama tiga tahun sehingga keluarganya amat bimbang terhadapnya.

Widad enggan berdoa “Ya Allah, kurniakanlah daripada musibah ini sesuatu yang lebih baik bagiku.” Sebaliknya dia seperti Umm Salama r.a. yang menyangkakan dia tidak akan mengahwini sesiapa kerana tiada yang lebih baik disebabkan  betapa sayangnya dia kepada suami sebelumnya. Kesudahannya Um Salama menjadi isteri Rasulullah s.a.w. Widad pun berkata seumpama itu, "Adakah yang lebih baik daripada  Belal?". Setelah tertekan, Widad bersetuju menerima pinangan Mohamed Al-Deif yang merupakan suatu ketentuan walaupun dia pernah menolak pinangannya sebelum ini. Pada ketika itu ibu Widad berkata, "Widad akan menjadi seperti mereka yang telah menemui harta emas di penghujung pelangi.“

Deif memang mahukan isteri yang seorang janda dan bersama anak-anak yatim, dan Abu Khalid (nama gelaran Deif) bersetuju anak-anaknya itu  kekal bersama mereka.

Perkahwinan itu bagaikan mimpi dan ia merupakan mimpi yang indah tidak terperi yang menjadi nyata dalam tempoh beberapa jam sahaja. Widad memberitahu Eman setelah berkahwin: "Aku telah mendengar banyak tentangnya tetapi aku tidak terbayang betapa berbedanya hidup bersama dengannya. Jika aku hanya mendapat beberapa hari sahaja bersamanya, cukuplah itu untuk seumur hidupku.”

Israel mendakwa “Al-Deif berkahwin dengan tergesa-gesa kerana dia hanya “separuh lelaki”. Teror sebati dengannya". Widad membidas mereka dengan senyuman sinis, “Pergi mampuslah kamu dalam kegusaran kamu.”


Hadiah bagi Widad adalah supaya bersama Deif 

Mohamed Al-Deif memporak perandakan Israel kerana mereka melihat tindak tanduknya tetapi gagal menatap wajahnya. Percubaan demi percubaan membunuh Deif gagal. Seluruh negara ingin melihat bayangan seorang wira ini walaupun dari jauh. Tetapi hanya Widad yang mengetahui warna mata Deif, mimik mukanya, ketinggian tubuhnya, berapa banyak gula di dalam bancuhan tehnya dan apa rupa berus giginya. Widad seorang sahaja yang mengetahui tabiat Deif seolah-olah Tuhan telah menjadikannya pasangan padan bagi seorang legenda. Padahal semua orang tahu Widad sangat berhati-hati, menyendiri dan amat berahsia.

Rumah tangga mereka tidak mempunyai satu alamat tertentu. Alamat-alamat mereka dikelilingi hadangan langkah-langkah keselamatan. Tidak sesiapa pun yang tahu bahawa Widad adalah isteri kepada orang yang paling dikehendaki, kecualilah mereka yang amat rapat dengannya. Apabila berita berkenaan perkahwinan itu bocor kepada umum, saudara maranya memarahi ibu bapanya, “Kamu tidak menandatangani sijil nikahnya, kamu menandatangani sijil kematiannya.” Widad sentiasa berjaga-jaga terutama apabila ada pihak yang terlalu berminat dengan dokumen pengenalan anak-anaknya.

Dalam kisah cinta mereka, mereka tidak diizinkan bersiar-siar secara santai, menziarahi kaum kerabat ataupun  berbual telefon dengan  tenang.  Laut biru pun tidak percaya bahawa ia tidak pernah menyaksikan mereka berjalan-jalan di tepian pantai seperti orang lain. Deif amat pintar dalam memadamkan kesan pergerakan mereka.

Dalam fikiran Widad hanya bagaimana untuk melakukan terbaik bagi melayani Deif supaya bahagia. Dia memastikan keselesaan pada pakaiannya dan menyediakan masakan tradisi yang Deif gemari. Kata-kata ibu Deif sentiasa terngiang-ngiang di telinganya, “Aku lihat kebaikan pada Widad, wahai anak ku.”

Widad masih mengenangkan kerut muka Deif yang memberi kesan besar kepadanya, semasa awal perkahwinan. Deif mengajarnya tentang ketentuan dan keazaman. Deif memberitahunya, “Widad, waktu aku bersamamu mungkin terhad atau Allah taqdirkan aku hidup berdekad-dekad lamanya. Khalid ibn Al-Walid berjuang menentang musuh tetapi mati di atas katil. Walaubagaimanapun, aku bercita-cita untuk mati syahid."

Bermula hari pertama mereka bersama, hidup Widad berubah. Widad berasa bagaikan seekor burung bulbul rindu malam. Dia akan terbang apabila sampai pesanan yang istimewa daripada Deif, pergi ke tempat yang terpilih. Kejutan bagi Widad berupa menemui suaminya dan inilah hadiah teristimewa baginya. Jika Widad melakukan sesuatu yang menyakiti perasaan Deif, dia menarik perhatiannya dengan cara lemah lembut yang penuh kasih sayang.

Widad pula akan bersuara: "Aku tidak dapat bayangkan jika kamu mati syahid sebelum aku. Aku tidak rela menahan penderitaannya lagi. Mohamed, aku akan mengorbankan nyawaku untukmu, wahai pemimpinku."


Lelaki yang mulia

Widad agak terperanjat bahawa lelaki ini yang berjaya mengegarkan kekebalan tentera Israel, mempunyai keupayaan mengasihinya. Deif suka membelikan pakaian yang banyak untuk Widad dan anak-anak mereka Omar, Ali, Halima and Sara. Pada waktu itu, Widad terfikir untuk mensedekahkan sebahagiannya untuk didermakan. Tetapi dia berkata pada dirinya, “Aku tak boleh kerana hadiah ini mengingatkan aku tentang Mohamed." Widad terpegun melihat seorang komander tentera pejuang yang beketrampilan di laut, udara dan darat seronok bermain-main dengan anak-anaknya terutama anak kesayangannya si manja anak bongsunya, Ali. Widad hairan bagaimana Deif sentiasa risau tentang mereka dan ada ketika dia meminta tingkap-tingkap ditutup agar tiupan angin tidak memudaratkan anak-anak mereka.

Mereka tidak berkesempatan memiliki potret gambar yang ditangkap oleh seorang jurufoto. Ada sedikit saja kepingan foto yang disebarkan dan digunakan oleh  Israel yang masih meraba-meraba mencari bagaimana untuk mengenalpasti rupa Deif. Keadaannya yang terpencil daripada bentuk-bentuk komunikasi moden tidak menyedihkan Widad; samada telefon pintar, Facebook atau yang lain-lain tidak dizinkan “obsesi keselamatan” Deif. Suaminya pun bukanlah suka untuk menunjuk-nunjuk. Empat budipekerti mulia Deif adalah sifat rendah diri, sabar, kerahsiaan dan kekuatan, budi pekerti yang dipelajari Widad daripadanya.

Apabila Widad beramah mesra di majlis-majlis perhimpunan bersama wanita-wanita lain, dia amat pendiam. Eman selalu mengusiknya dengan berkata, “Wahai Widad, kalaulah kamu bersumpah kepada mereka bahawa kamu adalah isteri Al-Deif, mereka tidak akan mempercayai kamu."


Babak terakhir

Apabila gendang perang berbunyi, mereka menghadapi suasana yang perih dan getir. Abu Khaled (nama gelaran Mohamed al Deif) amat bimbang tentang nasib orang ramai. Suatu kejadian yang menusuk jiwa Mohamed ao Deif adalah kisah yang dipaparkan di kaca TV tentang seorang wanita yang buta akibat rumahnya dibom oleh Israel, malah semua anak-anak lelakinya syahid tanpa disedarinya.

Pada genjatan senjata pertama, Widad menerima pesanan bahawa anak perempuannya Banan yang sedang tinggal bersama adik beradiknya di rumah datuk mereka, asyik menangis.  Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menjawab: "Kapalterbang melepaskan bom dan saya takut ibu akan syahid macam ayah (Belal) sebelum ini." Widad bergegas untuk pergi menenangkan anaknya dengan memakai jilbab hijau, seolah-olah pakaian untuk syahid. Saudaranya Eman mengusiknya tentang jilbab yang dipakai itu.

Widad sangat rindu kepada anak-anaknya dan memberitahu mereka bahawa dia akan menziarahi mereka dengan izin Allah pada keesokannya berdasarkan maklumat disebar tentang genjatan senjata baru. Widad telah menunaikan janjinya tetapi telah datang diusung di atas bahu-bahu rakyat sebagai jenazah syahida. Israel mencabul genjatan senjata itu kerana angkara gelojoh untuk cuba membunuh sasaran nombor satu mereka, suami Widad. Kaum kerabat Belal and Mohamed yang [a;ing awal datang untuk menyampaikan ta’ziah.


Mengusap pemetik rifel dengan titisan air mata

Eman berasa amat resah gelisah apabila mendengar berita rumah keluarga Al-Dalou telah dibom. Eman melihat Omar sedang mencari-cari kesan barangsiapa yang dia kenali di situ. Tetapi Eman tidak berani mengesahkan apa yang dia sudahpun ketahui kerana bimbang tentang akibat kepada keselamatan. Dia terpaksa menunggu laporan media untuk mengumumkannya. Eman merasai sungguh sukar untuk memerhati Halima mengumpul gula-gula, buah dan belon bagi membina sebuah “jannah”,  syurga pemergian ibunya. Juga lebih sukar lagi untuk cuba memberitahu  Bakr dan adik beradiknya bahawa ibu mereka sudah tiada lagi bersama mereka. Namun mereka sudah menyedarinya daripada raut wajah Eman dan tangisan air matanya. Adalah amat berat dan menyayatkan apabila kanak-kanak seperti  Banan, berdiri menghadap mayat ibunya Widad dan berdoa: "Ya Allah, kurniakanlah kepada ibu dan bapaku Jannatul firdaus.”

Pada saat pesawat Israel melepaskan peluru berpandunya, Widad sedang bergembira menikmati minuman kopi dan berbual dengan anak-anaknya melayani karenah mereka. Omar sempat lari ke pangkuan Halima tetapi Widad, Ali dan Sara telah menepati janji dengan suratan taqdir.

Mohamed Al-Deif menitis air mata mengalir di pipinya, mengenangkan masa bersama Widad dan waktu keemasan mereka berdua yang tiada siapa pun tahu kecuali Allah swt. Mohamed Al-Deif akan mengusap senjatanya dengan titisan air mata itu. Tangisan melihat pembunuhan beramai-ramai tidak akan melemahkan lelaki pejuang; kezaliman itu menjadikan mereka lebih kental daya juang dan membakar semangat. Dia sedih tetapi dia tidak akan menyalah bulan Ogos pada mana buah hatinya Widad dan cahaya-cahaya matanya Ali dan Sara dibedil peluru berpandu musuh. Inilah bulan bagi orang yang bermaruah untuk memimpin para pejuang bagi menunaikan janji mereka kepada Allah swt.



(Diadaptasi dan disunting daripada surat karangan Hadeel Attallah daripada maklumat ibu Widad, Um Ibrahim dan saudaranya Eman Asfoura. Widad Asfoura adalah isteri kepada Mohamed Al-Deif, komander Briged Qassam. Widad, Sara dan anak kecil mereka  Ali terkorban dalam serangan Israel ke atas rumah mereka yang bertujuan membunuh suaminya sewaktu genjatan senjata peperangan Gaza. Diterbitkan dalam bahasa Arab di akhbar Felesteen dan diterjemah daripada Bahasa Inggeris daripada Middle East Monitor)



No comments: