TM64 : Kuliah Tafsir Maudu'iy
HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH
(Menghayati Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Nur: 11-21)
11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu
ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang
dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di
antara mereka akan beroleh hukuman sepadan Dengan kesalahan Yang dilakukannya
itu, dan orang yang mengambil bahagian besar Dalam menyiarkannya di antara
mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).
12. sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang
beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang)
mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
13. sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi
membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang
saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang Yang dusta.
14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya
kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa Yang
besar disebabkan kamu turut campur Dalam berita palsu itu; -
15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan
lidah kamu, dan memperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak
mempunyai pengetahuan Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara
kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.
16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata:
"Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya
Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta
besar yang mengejutkan".
17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi
perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang
beriman.
18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan
(hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
19. Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk
Dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang
tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui
(segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya
kepada kamu, dan juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas
kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab Dengan serta-merta).
21. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak
langkah Syaitan; dan sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka
Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan
perkara yang keji dan perbuatan Yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah
kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara
kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan
sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah
Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui
Latar Penurunan Ayat:
Ayat-ayat tersebut merujuk
peristiwa yang menimpa `Aishah r.`a. apabila difitnah oleh kaum munafiqin konon
beliau telah melakukan perbuatan keji dengan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a.,
seorang sahabiy yang menemukannya sendirian kerana ditinggalkan oleh rombongan
ekspedisi ketenteraan yang telah selesai menindak Bani al-Mustaliq pada tahun
5-6H. Ketika memberangkatkan kenderaan berkhemah yang dinaiki `Aishah r.`a.,
para petugas menyangka beliau sudah berada di dalamnya. Mereka tidak menyedari
bahawa ketika itu `Aishah r.`a. berada di luar khemahnya kerana mencari
kalungnya yang tercicir. Setelah menjumpainya, didapati rombongan telah
berangkat, lalu `Aishah r.`a. menunggu di tempatnya dengan harapan para petugas
akan menyedari ketiadaannya dan kembali mengambilnya. Malam semakin larut lalu
`Aishah tertidur hinggalah pada pagi keesokan harinya beliau ditemukan oleh
Safwan, orang terakhir pulang yang ditugaskan meninjau lapangan andainya ada
sesuatu yang ketinggalan. Menemukan `Aishah dalam keadaan seperti itu, Safwan
mempersilakan `Aishah r.`a. menaiki haiwan tunggangannya, sementara beliau
sendiri menuntun haiwan kenderaan tersebut dengan berjalan kaki. Peristiwa
itulah yang dilihat oleh Abdullah ibn Ubay sebagai kesempatan untuk
dieksploitasi sedemikian rupa sehingga merebaknya fitnah skandal yang
menggemparkan masyarakat Madinah.
Huraian Maksud Ayat:
Al-Qur'an mendedahkan fakta
bahawa pelaku angkara al-ifk (fitnah
dan pembohongan besar) itu, bukan seorang atau dua orang individu, tetapi
sekumpulan (`usbah) yang berkongsi
matlamat dan cita-cita jahat. Memang yang menjadi ringleadernya adalah ketua
munafiqin, tetapi dari segi hukum ia dianggap warga masyarakat Islam
berdasarkan sikap zahirnya, kerana itu mereka disebut minkum (dari kalangan
kamu). Bilangan mereka sebenarnya tidak ramai, tetapi bahayanya cukup besar. Ia
adalah sebahagian daripada usaha memerangi Islam oleh musuh-musuh yang tidak
mampu berhadapan secara jantan, lalu berkomplot mereka-reka fitnah character assassination, mengaib dan
menyerang peribadi. Fitnah yang direkayasa oleh Abdullah ibn Ubay, pemuka kaum
munafiqin Madinah itu disambut oleh sekumpulan warga masyarakat Islam yang naif
dan lemah, lalu tersebar luas sehingga menggegarkan masyarakat madinah selama
hampir sebulan.
Pada zahirnya memang peristiwa
tersebut begitu mendera dan menyakitkan, terutama bagi keluarga Rasulullah
s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a., juga Safwan ibn al-Mu`attal,
seorang sahabiy muhajir, mujahid yang terkenal dengan kebaikannya. Bagaimana
tidak sakit, mereka adalah orang-orang terhormat, pemimpin yang kekuatannya
terletak pada keluhuran peribadi dan integriti moral. Tetapi al-Qur'an segera
mengingatkan hakikat bahawa di sebalik derita yang menyakitkan itu ada hikmah
kebaikannya (Jangan kalian sangka ia
semata-mata keburukan, sebaliknya ada kebaikannya bagi kalian). Yang
tersirat di balik ayat tersebut adalah jaminan Tuhan, "Kamu mendapat
pahala besar dari kejahatan mereka itu, terserlahnya kasih dan pemeliharaan
Allah terhadap `Aishah r.`a. dengan membersihkannya dari fitnah lewat ayat-ayat
Ilahi yang akan terus-menerus dibaca hingga kiamat, dan ketegasan ancaman Tuhan
terhadap sesiapa yang mencemarkan maruah kamu". Memang fitnah yang
dibongkar dan didedahkan biang keladinya lebih baik daripada fitnah yang
tersebar dalam senyap tanpa diserlahkan hakikatnya. Pendedahan fitnah seperti
yang terungkap dalam ayat-ayar al-Nur ini menyerlahkan kejahatan pelakunya dan
membuktikan kebersihan mangsanya. Yang beruntung dalam isu ini adalah mangsa
yang terbukti bersihnya, dan yang rugi adalah pelaku fitnah yang terbongkar
konspirasinya. Keadaan seperti inilah yang diekspresikan dalam ungkapan Melayu,
"senjata makan tuan!".
Tidak siapa pun akan terlepas
daripada balasan Tuhan. Setiap orang yang bercakap tentang isu ini dan menuduh
Umm al-Mu'minin `Aishah r.`a. melakukan perbuatan scandalous yang mengaibkan, akan ditimpa azab, masing-masing
mengikut kadar keterlibatan mereka dalam isu fitnah tersebut. Azab yang paling
besar akan ditimpakan ke atas ringleader yang mendalangi konspirasi jahat itu.
Dialah (Abdullah ibn Ubay) yang menjadi punca sebahagaian besar bencana fitnah
tersebut. Dalang konspirator itu ditimpa azab berat (`adhabun `azim) duniawi-ukhrawi.
Di dunia terdera dengan pendedahan belang kemunafikannya, di samping
pengusirannya dari masyarakat umat; dan di akhirat terlempar ke gaung neraka
lapisan terbawah.
Bertolak dari premis tersebut
Allah s.w.t. mendidik umat yang sebahagiannya telah terlibat dalam isu fitnah
tersebut lewat sembilan pesan peringatan keras:
1. Ketika mendengar cerita karut
kelompok konspirator fitnah tentang `Aishah r.`a. seharusnya mereka bersangka
baik terhadapnya sebagaimana yang dituntut oleh iman. Justeru, iman selamanya
menuntut sikap bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin sebagaimana yang
diisyaratkan lewat kata al-mu'minun wa
al-mu'minat dalam ayat 12 tersebut. Sebagai kaum beriman seharusnya mereka
spontan menolak fitnah ke atas Sayyidatina `Aishah r.`a. itu dengan berkata,
"Ini dusta nyata!" (hadha ifkun
mubin!), rekaan tukang fitnah tentang peristiwa terbuka yang sebenarnya
tidak diragukan oleh siapa juga yang menyaksikannya. `Aishah r.`a. dibawa
dengan kenderaan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a. di tengah benderang siang,
dilihat oleh seluruh angkatan tentera Islam dan disaksikan sendiri oleh
Rasulullah s.`a.w.. Andainya perbuatan aib telah berlaku, tentunya ia dilakukan
secara sulit dan tersembunyi. Demikianlah cara terbaik menyikapi isu seperti
itu, iaitu dengan merujuk suara hati yang beriman. Jika seorang mukmin awam pun
tidak tergamak melakukan perbuatan sekeji itu, maka lebih tidak masuk akal ia
dilakukan oleh isteri Rasulullah s.`a.w. dan sahabatnya yang terkenal baiknya.
2. Setelah langkah pertama
bertanyakan hati nurani sendiri, barulah masuk ke langkah kedua menuntut bukti
nyata yang kuat. Orang yang membuat tuduhan seberat itu seharusnya mengemukakan
empat orang saksi sebagai pembuktian kebenaran tuduhan mereka. Apabila ternyata
tidak ada saksi, di sisi hukum Allah para pelakunya dianggap pendusta yang
jahat. Sekali Tuhan mengatakannya pendusta (hum
al-kadhibun), ia tidak akan berubah dan tidak akan ditarik balik selamanya.
3. Fitnah sedemikian itu adalah
suatu kejahatan serius yang membawa padah yang fatal andainya tidak kerana kurnia rahmat Allah di dunia dan
akhirat. Kurnia rahmat Allah di dunia berupa kesempatan bertaubat, sementara
kurnia rahmat-Nya di akhirat berupa pengampunan terhadap dosa-dosa manusia.
Kalau tidak kerana kurnia rahmat tersebut, nescaya ditimpakan-Nya azab
serta-merta. Kata lawla dalam ayat tersebut bererti terhindarnya sesuatu (azab)
kerana adanya sesuatu yang lain (kurnia rahmat Allah). Demikianlah umat
generasi tersebut mendapat pengajaran pahit untuk mengerti betapa besarnya
rahmat Tuhan yang meliputi semua, termasuk mereka yang telah telanjur melakukan
kesalahan.
4. Lewat ayat 15 al-Qur'an
memberikan gambaran suatu masyarakat yang sedang ditimpa krisis nilai dan
etika, ketika lidah tidak terkawal dan akal sihat tidak berfungsi. Kalaulah
tidak kerana kurnia rahmat Allah nescaya mereka sudah ditimpa azab pada saat
mereka melafazkan kata-kata fitnah, ketika bertanya tentangnya, ketika
memanjang-manjangkan berita bohong yang mereka tidak mengetahui hakikatnya, dan
ketika menyangka bahawa ia adalah soal kecil dan remeh, walhal di sisi hukum
Allah ia adalah kesalahan serius dan dosa besar kerana telah mencemarkan
kemuliaan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w dengan fitnah skandal yang sedemikian
keji. Ayat 15 tersebut menyenaraikan tiga kesalahan (dosa) yang telah
mewajarkan para pelakunya ditimpakan azab: a. mulut dan lidah yang menyebut
(bertanya dan menyampaikan) fitnah jahat itu kepada orang lain, b. bercakap
tentang sesuatu yang tidak diketahui (tanpa bukti), dan c. menganggap kecil (tahsabunahu hayyinan) suatu yang
hakikatnya besar dan serius di sisi Allah (wa
huwa `inda 'Llahi `azim). Ternyata qadhaf
(menuduh orang melakukan zina) adalah termasuk dosa besar. Hakikat besarnya
dosa perbuatan tersebut tidak berubah (menjadi kecil) semata-mata kerana
kejahilan pelakunya yang menyangka ia soal kecil. Kerana itu setiap yang haram
harus disikapi dengan serius kerana berkemungkinan ia termasuk dosa besar (al-kaba'ir). Dalam peristiwa Hadithat al-Ifk, hukum hudud qadhaf telah dilaksanakan ke atas
pelaku-pelakunya: Hamnah bint Jahsh, Hassan ibn Thabit dan Mastah ibn Athathah.
5. Pendidikan adab dan disiplin
seterusnya (selepas bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin) ialah
bersikap tegas dengan lafaz tasbih (subhanak)ketika
mendengar berita bohong itu, lalu berkata, "Tidak sewajarnya kami
mengucapkan kata-kata kotor yang mencemarkan maruah dan kehormatan Rasulullah
s.`a.w., mustahil isteri Nabi s.`a.w. melakukan perbuatan keji seperti itu, dan
ini jelas suatu pembohongan besar dan suatu kejahatan menyakiti Nabi
s.`a.w.!". Memang hati yang beriman seharusnya spontan melenting dan
memprotes pada saat mendengar fitnah jahat sedemikian, lidah yang beriman tidak
sanggup mengucapkan kata-kata tentang hal seperti itu dan tidak rela menjadikannya
bahan perbincangan. Mukmin tulen akan bergegas menghadap Allah s.w.t.
menyucikan-Nya dari kemungkinan membiarkan Rasul-Nya ditimpa aib sedemikian
rupa. Masyarakat mukmin sejati akan serta-merta melemparkan fitnah jahat itu
jauh-jauh dari kedamaian, kemurnian dan keluhuran iklim iman dan taqwa.
6. Satu lagi peringatan dari
Allah s.w.t., yang disampaikan dalam nada mendidik dan mentarbiyah yang sangat
mengesankan, ya`izukum (menasihati
kamu), jangan sekali-kali mengulangi apa yang terjadi dalam peristiwa hadithat al-ifk sepanjang hayat dan
selama-lamanya, andainya kamu benar-benar manusia mukmin yang beriman kepada
Allah, beriman dengan syari`at-Nya, memuliakan Rasul-Nya s.`a.w., melaksanakan
pertintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sikap mematuhi nasihat Ilahi dalam
ayat ini dikaitkan langsung dengan iman (in
kuntum mu'minin). Justeru, orang beriman tidak akan mengulangi kesalahan
yang telah jelas akibatnya seburuk itu. Lewat ayat-ayat firman-Nya, Allah
s.w.t. telah menjelaskan hukum-hakam syari`at-Nya, adab dan disiplin keagamaan
dan kemasyarakatan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk
hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui segala yang berlaku di kalangan mereka, lalu
membalas setiap orang berdasarkan apa yang telah dilakukannya. Sesungguhnya
Allah Maha Bijaksana dalam menentukan hukum-hakam syari`at-Nya, Maha Bijaksana
dalam mengurus kehidupan makhluk-Nya, dan Maha Bijaksana dalam mewajibkan apa
yang membawa kebahagian mereka di dunia dan akhirat.
7. Disiplin atau adab ketiga yang
dipesankan oleh Allah s.w.t. ketika mendengar cerita fitnah seperti itu agar
jangan menyebarkannya, dan malah jangan menginginkan ia tersebar. Mereka yang
terlibat dalam penyebaran dan penyiaran berita zina di kalangan kaum mukminin
akan menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat (lahum `adhabun alimun fi al-dunya wa al-akhirah). Di dunia mereka
merasakan kepedihan hukuman qadhaf (lapan
puluh kali sebatan), dan di akhirat nanti mereka akan dibakar dalam api neraka.
Manusia jangan berlagak tahu tentang hakikat sesuatu, sumbernya hanyak maklumat
yang serba terbatas, berita yang tidak jelas hujung pangkalnya atau hanya
dakwaan orang-orang yang sakit hati. Malulah kepada Allah yang Maha Tahu tentang
hakikat segala sesuatu (wa 'Llahu ya`lamu
wa antum la ta`lamun). Kalau mahu selamat, kembalikan dan serahkan
segalanya kepada Allah Yang Maha Tahu. Dalam kaitan ini Prof. Dr. Wahbah
al-Zuhayliy mencatatkan ayat 19 surah ini menyebut bahawa adanya keinginan
(sekadar keinginan) tersebarnya berita zina (al-fahishah) sudah cukup untuk mewajarkannya ditimpa azab, apa lagi
jika benar-benar telah bertindak menyebarkannya. Sudah pasti lebih besar
dosanya dan lebih dahsyat hukumannya. Menurut al-Zuhayliy lagi, punca keinginan
keji agar fitnah zina tersebar luas adalah dendam, kebencian dan nafsu meninggi
diri. kedengkianlah yang mendorong pendendam seperti Abdullah ibn Ubay melakukan pencemaran maruah
dan pencabulan kehormatan dengan sangkaan perbuatan itu akan menjadikannya
tampak hebat, mulia dan berwibawa. Ibn Ubay dan mereka yang sejenisnya boleh
bermimpi semahunya, tetapi Allah tetap dengan hukum dan hukuman-Nya: menimpakan
azab duniawi-ukhrawi ke atas para pelaku qadhaf.
8. Allah s.w.t. mengulangi
peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu), nescaya kamu sudah
binasa ditimpa azab-Nya, tetapi Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang terhadap
hamba-hamba-Nya. Tuhan masih bersedia menerima taubat mereka yang ingin kembali
kepada Allah setelah telanjur dalam isu al-ifk
ini. Tuhan masih berkenan menunjukkan jalan pulang dan jalan kebaikan, dengan
memperingatkan bahaya sikap berterusan melakukan perbuatan terkutuk mencemarkan
kehormatan keluarga dan rumah-tangga Nabi s.`a.w.
9. Dengan kurnia rahmat-Nya,
Tuhan menunjukkan jalan selamat bagi kaum mukminin seluruhnya iaitu dengan
menjauhi jalan dan laluan syaitan, juga jangan mendengar bisikan dan saranannya
kerana syaitan hanya membawa satu motif: menyuruh melakukan kekejian dan
kemungkaran. Demikianlah ketika syaitan merangsang mereka mendengar dan
mempercayai fitnah al-ifk dan
seterusnya mendorong mereka menyebarkannya. Sekali lagi pada ayat 21 Tuhan
mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu)
dengan membuka pintu taubat dan pengampunan-Nya, nescaya tidak akan ada orang
yang dapat membersihkan diri daripada dosa, tidak akan ada orang yang dapat
melepaskan diri dari belenggu syirik, budaya keji dan kebejatan moral. Dan
andainya itu terjadi, akibatnya tidak lain adalah kebinasaan ditimpa azab.
Berkat kurnia rahmat-Nya manusia bejat yang bergelumang dosa boleh berubah
menjadi manusia zakiy, manusia yang
mencapai kebaikan yang diredhai Allah. Demikianlah Maha Penyayangnya Tuhan yang
berkenan membersihkan sesiapa yang dikehendakai-Nya kerana sesungguhnya Allah
Maha Mendengar suara hati mereka yang ikhlas ingin bertaubat dari perbuatan
keji yang telah mereka lakukan selama ini.
No comments:
Post a Comment