Showing posts with label tafsir maudu'iy. Show all posts
Showing posts with label tafsir maudu'iy. Show all posts

Sunday, March 31, 2013

DR SIDDIQ FADIL: HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH



TM64 : Kuliah Tafsir Maudu'iy
HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH
(Menghayati Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Nur: 11-21)





11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan Dengan kesalahan Yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar Dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).

12. sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

13. sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang Yang dusta.

14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa Yang besar disebabkan kamu turut campur Dalam berita palsu itu; -

15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak mempunyai pengetahuan Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.

16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

19. Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab Dengan serta-merta).

21. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan Yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui


Latar Penurunan Ayat:

Ayat-ayat tersebut merujuk peristiwa yang menimpa `Aishah r.`a. apabila difitnah oleh kaum munafiqin konon beliau telah melakukan perbuatan keji dengan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a., seorang sahabiy yang menemukannya sendirian kerana ditinggalkan oleh rombongan ekspedisi ketenteraan yang telah selesai menindak Bani al-Mustaliq pada tahun 5-6H. Ketika memberangkatkan kenderaan berkhemah yang dinaiki `Aishah r.`a., para petugas menyangka beliau sudah berada di dalamnya. Mereka tidak menyedari bahawa ketika itu `Aishah r.`a. berada di luar khemahnya kerana mencari kalungnya yang tercicir. Setelah menjumpainya, didapati rombongan telah berangkat, lalu `Aishah r.`a. menunggu di tempatnya dengan harapan para petugas akan menyedari ketiadaannya dan kembali mengambilnya. Malam semakin larut lalu `Aishah tertidur hinggalah pada pagi keesokan harinya beliau ditemukan oleh Safwan, orang terakhir pulang yang ditugaskan meninjau lapangan andainya ada sesuatu yang ketinggalan. Menemukan `Aishah dalam keadaan seperti itu, Safwan mempersilakan `Aishah r.`a. menaiki haiwan tunggangannya, sementara beliau sendiri menuntun haiwan kenderaan tersebut dengan berjalan kaki. Peristiwa itulah yang dilihat oleh Abdullah ibn Ubay sebagai kesempatan untuk dieksploitasi sedemikian rupa sehingga merebaknya fitnah skandal yang menggemparkan masyarakat Madinah.

Huraian Maksud Ayat:

Al-Qur'an mendedahkan fakta bahawa pelaku angkara al-ifk (fitnah dan pembohongan besar) itu, bukan seorang atau dua orang individu, tetapi sekumpulan (`usbah) yang berkongsi matlamat dan cita-cita jahat. Memang yang menjadi ringleadernya adalah ketua munafiqin, tetapi dari segi hukum ia dianggap warga masyarakat Islam berdasarkan sikap zahirnya, kerana itu mereka disebut minkum (dari kalangan kamu). Bilangan mereka sebenarnya tidak ramai, tetapi bahayanya cukup besar. Ia adalah sebahagian daripada usaha memerangi Islam oleh musuh-musuh yang tidak mampu berhadapan secara jantan, lalu berkomplot mereka-reka fitnah character assassination, mengaib dan menyerang peribadi. Fitnah yang direkayasa oleh Abdullah ibn Ubay, pemuka kaum munafiqin Madinah itu disambut oleh sekumpulan warga masyarakat Islam yang naif dan lemah, lalu tersebar luas sehingga menggegarkan masyarakat madinah selama hampir sebulan.

Pada zahirnya memang peristiwa tersebut begitu mendera dan menyakitkan, terutama bagi keluarga Rasulullah s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a., juga Safwan ibn al-Mu`attal, seorang sahabiy muhajir, mujahid yang terkenal dengan kebaikannya. Bagaimana tidak sakit, mereka adalah orang-orang terhormat, pemimpin yang kekuatannya terletak pada keluhuran peribadi dan integriti moral. Tetapi al-Qur'an segera mengingatkan hakikat bahawa di sebalik derita yang menyakitkan itu ada hikmah kebaikannya (Jangan kalian sangka ia semata-mata keburukan, sebaliknya ada kebaikannya bagi kalian). Yang tersirat di balik ayat tersebut adalah jaminan Tuhan, "Kamu mendapat pahala besar dari kejahatan mereka itu, terserlahnya kasih dan pemeliharaan Allah terhadap `Aishah r.`a. dengan membersihkannya dari fitnah lewat ayat-ayat Ilahi yang akan terus-menerus dibaca hingga kiamat, dan ketegasan ancaman Tuhan terhadap sesiapa yang mencemarkan maruah kamu". Memang fitnah yang dibongkar dan didedahkan biang keladinya lebih baik daripada fitnah yang tersebar dalam senyap tanpa diserlahkan hakikatnya. Pendedahan fitnah seperti yang terungkap dalam ayat-ayar al-Nur ini menyerlahkan kejahatan pelakunya dan membuktikan kebersihan mangsanya. Yang beruntung dalam isu ini adalah mangsa yang terbukti bersihnya, dan yang rugi adalah pelaku fitnah yang terbongkar konspirasinya. Keadaan seperti inilah yang diekspresikan dalam ungkapan Melayu, "senjata makan tuan!".

Tidak siapa pun akan terlepas daripada balasan Tuhan. Setiap orang yang bercakap tentang isu ini dan menuduh Umm al-Mu'minin `Aishah r.`a. melakukan perbuatan scandalous yang mengaibkan, akan ditimpa azab, masing-masing mengikut kadar keterlibatan mereka dalam isu fitnah tersebut. Azab yang paling besar akan ditimpakan ke atas ringleader yang mendalangi konspirasi jahat itu. Dialah (Abdullah ibn Ubay) yang menjadi punca sebahagaian besar bencana fitnah tersebut. Dalang konspirator itu ditimpa azab berat (`adhabun `azim) duniawi-ukhrawi. Di dunia terdera dengan pendedahan belang kemunafikannya, di samping pengusirannya dari masyarakat umat; dan di akhirat terlempar ke gaung neraka lapisan terbawah.

Bertolak dari premis tersebut Allah s.w.t. mendidik umat yang sebahagiannya telah terlibat dalam isu fitnah tersebut lewat sembilan pesan peringatan keras:

1. Ketika mendengar cerita karut kelompok konspirator fitnah tentang `Aishah r.`a. seharusnya mereka bersangka baik terhadapnya sebagaimana yang dituntut oleh iman. Justeru, iman selamanya menuntut sikap bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin sebagaimana yang diisyaratkan lewat kata al-mu'minun wa al-mu'minat dalam ayat 12 tersebut. Sebagai kaum beriman seharusnya mereka spontan menolak fitnah ke atas Sayyidatina `Aishah r.`a. itu dengan berkata, "Ini dusta nyata!" (hadha ifkun mubin!), rekaan tukang fitnah tentang peristiwa terbuka yang sebenarnya tidak diragukan oleh siapa juga yang menyaksikannya. `Aishah r.`a. dibawa dengan kenderaan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a. di tengah benderang siang, dilihat oleh seluruh angkatan tentera Islam dan disaksikan sendiri oleh Rasulullah s.`a.w.. Andainya perbuatan aib telah berlaku, tentunya ia dilakukan secara sulit dan tersembunyi. Demikianlah cara terbaik menyikapi isu seperti itu, iaitu dengan merujuk suara hati yang beriman. Jika seorang mukmin awam pun tidak tergamak melakukan perbuatan sekeji itu, maka lebih tidak masuk akal ia dilakukan oleh isteri Rasulullah s.`a.w. dan sahabatnya yang terkenal baiknya.

2. Setelah langkah pertama bertanyakan hati nurani sendiri, barulah masuk ke langkah kedua menuntut bukti nyata yang kuat. Orang yang membuat tuduhan seberat itu seharusnya mengemukakan empat orang saksi sebagai pembuktian kebenaran tuduhan mereka. Apabila ternyata tidak ada saksi, di sisi hukum Allah para pelakunya dianggap pendusta yang jahat. Sekali Tuhan mengatakannya pendusta (hum al-kadhibun), ia tidak akan berubah dan tidak akan ditarik balik selamanya.

3. Fitnah sedemikian itu adalah suatu kejahatan serius yang membawa padah yang fatal andainya tidak kerana kurnia rahmat Allah di dunia dan akhirat. Kurnia rahmat Allah di dunia berupa kesempatan bertaubat, sementara kurnia rahmat-Nya di akhirat berupa pengampunan terhadap dosa-dosa manusia. Kalau tidak kerana kurnia rahmat tersebut, nescaya ditimpakan-Nya azab serta-merta. Kata lawla dalam ayat tersebut bererti terhindarnya sesuatu (azab) kerana adanya sesuatu yang lain (kurnia rahmat Allah). Demikianlah umat generasi tersebut mendapat pengajaran pahit untuk mengerti betapa besarnya rahmat Tuhan yang meliputi semua, termasuk mereka yang telah telanjur melakukan kesalahan.

4. Lewat ayat 15 al-Qur'an memberikan gambaran suatu masyarakat yang sedang ditimpa krisis nilai dan etika, ketika lidah tidak terkawal dan akal sihat tidak berfungsi. Kalaulah tidak kerana kurnia rahmat Allah nescaya mereka sudah ditimpa azab pada saat mereka melafazkan kata-kata fitnah, ketika bertanya tentangnya, ketika memanjang-manjangkan berita bohong yang mereka tidak mengetahui hakikatnya, dan ketika menyangka bahawa ia adalah soal kecil dan remeh, walhal di sisi hukum Allah ia adalah kesalahan serius dan dosa besar kerana telah mencemarkan kemuliaan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w dengan fitnah skandal yang sedemikian keji. Ayat 15 tersebut menyenaraikan tiga kesalahan (dosa) yang telah mewajarkan para pelakunya ditimpakan azab: a. mulut dan lidah yang menyebut (bertanya dan menyampaikan) fitnah jahat itu kepada orang lain, b. bercakap tentang sesuatu yang tidak diketahui (tanpa bukti), dan c. menganggap kecil (tahsabunahu hayyinan) suatu yang hakikatnya besar dan serius di sisi Allah (wa huwa `inda 'Llahi `azim). Ternyata qadhaf (menuduh orang melakukan zina) adalah termasuk dosa besar. Hakikat besarnya dosa perbuatan tersebut tidak berubah (menjadi kecil) semata-mata kerana kejahilan pelakunya yang menyangka ia soal kecil. Kerana itu setiap yang haram harus disikapi dengan serius kerana berkemungkinan ia termasuk dosa besar (al-kaba'ir). Dalam peristiwa Hadithat al-Ifk, hukum hudud qadhaf telah dilaksanakan ke atas pelaku-pelakunya: Hamnah bint Jahsh, Hassan ibn Thabit dan Mastah ibn Athathah.

5. Pendidikan adab dan disiplin seterusnya (selepas bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin) ialah bersikap tegas dengan lafaz tasbih (subhanak)ketika mendengar berita bohong itu, lalu berkata, "Tidak sewajarnya kami mengucapkan kata-kata kotor yang mencemarkan maruah dan kehormatan Rasulullah s.`a.w., mustahil isteri Nabi s.`a.w. melakukan perbuatan keji seperti itu, dan ini jelas suatu pembohongan besar dan suatu kejahatan menyakiti Nabi s.`a.w.!". Memang hati yang beriman seharusnya spontan melenting dan memprotes pada saat mendengar fitnah jahat sedemikian, lidah yang beriman tidak sanggup mengucapkan kata-kata tentang hal seperti itu dan tidak rela menjadikannya bahan perbincangan. Mukmin tulen akan bergegas menghadap Allah s.w.t. menyucikan-Nya dari kemungkinan membiarkan Rasul-Nya ditimpa aib sedemikian rupa. Masyarakat mukmin sejati akan serta-merta melemparkan fitnah jahat itu jauh-jauh dari kedamaian, kemurnian dan keluhuran iklim iman dan taqwa.

6. Satu lagi peringatan dari Allah s.w.t., yang disampaikan dalam nada mendidik dan mentarbiyah yang sangat mengesankan, ya`izukum (menasihati kamu), jangan sekali-kali mengulangi apa yang terjadi dalam peristiwa hadithat al-ifk sepanjang hayat dan selama-lamanya, andainya kamu benar-benar manusia mukmin yang beriman kepada Allah, beriman dengan syari`at-Nya, memuliakan Rasul-Nya s.`a.w., melaksanakan pertintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sikap mematuhi nasihat Ilahi dalam ayat ini dikaitkan langsung dengan iman (in kuntum mu'minin). Justeru, orang beriman tidak akan mengulangi kesalahan yang telah jelas akibatnya seburuk itu. Lewat ayat-ayat firman-Nya, Allah s.w.t. telah menjelaskan hukum-hakam syari`at-Nya, adab dan disiplin keagamaan dan kemasyarakatan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui segala yang berlaku di kalangan mereka, lalu membalas setiap orang berdasarkan apa yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dalam menentukan hukum-hakam syari`at-Nya, Maha Bijaksana dalam mengurus kehidupan makhluk-Nya, dan Maha Bijaksana dalam mewajibkan apa yang membawa kebahagian mereka di dunia dan akhirat.

7. Disiplin atau adab ketiga yang dipesankan oleh Allah s.w.t. ketika mendengar cerita fitnah seperti itu agar jangan menyebarkannya, dan malah jangan menginginkan ia tersebar. Mereka yang terlibat dalam penyebaran dan penyiaran berita zina di kalangan kaum mukminin akan menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat (lahum `adhabun alimun fi al-dunya wa al-akhirah). Di dunia mereka merasakan kepedihan hukuman qadhaf (lapan puluh kali sebatan), dan di akhirat nanti mereka akan dibakar dalam api neraka. Manusia jangan berlagak tahu tentang hakikat sesuatu, sumbernya hanyak maklumat yang serba terbatas, berita yang tidak jelas hujung pangkalnya atau hanya dakwaan orang-orang yang sakit hati. Malulah kepada Allah yang Maha Tahu tentang hakikat segala sesuatu (wa 'Llahu ya`lamu wa antum la ta`lamun). Kalau mahu selamat, kembalikan dan serahkan segalanya kepada Allah Yang Maha Tahu. Dalam kaitan ini Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayliy mencatatkan ayat 19 surah ini menyebut bahawa adanya keinginan (sekadar keinginan) tersebarnya berita zina (al-fahishah) sudah cukup untuk mewajarkannya ditimpa azab, apa lagi jika benar-benar telah bertindak menyebarkannya. Sudah pasti lebih besar dosanya dan lebih dahsyat hukumannya. Menurut al-Zuhayliy lagi, punca keinginan keji agar fitnah zina tersebar luas adalah dendam, kebencian dan nafsu meninggi diri. kedengkianlah yang mendorong pendendam seperti  Abdullah ibn Ubay melakukan pencemaran maruah dan pencabulan kehormatan dengan sangkaan perbuatan itu akan menjadikannya tampak hebat, mulia dan berwibawa. Ibn Ubay dan mereka yang sejenisnya boleh bermimpi semahunya, tetapi Allah tetap dengan hukum dan hukuman-Nya: menimpakan azab duniawi-ukhrawi ke atas para pelaku qadhaf.

8. Allah s.w.t. mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu), nescaya kamu sudah binasa ditimpa azab-Nya, tetapi Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Tuhan masih bersedia menerima taubat mereka yang ingin kembali kepada Allah setelah telanjur dalam isu al-ifk ini. Tuhan masih berkenan menunjukkan jalan pulang dan jalan kebaikan, dengan memperingatkan bahaya sikap berterusan melakukan perbuatan terkutuk mencemarkan kehormatan keluarga dan rumah-tangga Nabi s.`a.w.

9. Dengan kurnia rahmat-Nya, Tuhan menunjukkan jalan selamat bagi kaum mukminin seluruhnya iaitu dengan menjauhi jalan dan laluan syaitan, juga jangan mendengar bisikan dan saranannya kerana syaitan hanya membawa satu motif: menyuruh melakukan kekejian dan kemungkaran. Demikianlah ketika syaitan merangsang mereka mendengar dan mempercayai fitnah al-ifk dan seterusnya mendorong mereka menyebarkannya. Sekali lagi pada ayat 21 Tuhan mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu) dengan membuka pintu taubat dan pengampunan-Nya, nescaya tidak akan ada orang yang dapat membersihkan diri daripada dosa, tidak akan ada orang yang dapat melepaskan diri dari belenggu syirik, budaya keji dan kebejatan moral. Dan andainya itu terjadi, akibatnya tidak lain adalah kebinasaan ditimpa azab. Berkat kurnia rahmat-Nya manusia bejat yang bergelumang dosa boleh berubah menjadi manusia zakiy, manusia yang mencapai kebaikan yang diredhai Allah. Demikianlah Maha Penyayangnya Tuhan yang berkenan membersihkan sesiapa yang dikehendakai-Nya kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar suara hati mereka yang ikhlas ingin bertaubat dari perbuatan keji yang telah mereka lakukan selama ini.



Sunday, May 13, 2012

Dr Siddiq Fadzil: Menyeru Kebaikan & Mencegah Kemungkaran adalah Jati Diri Muslim


Nota Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri Ke-62:                    AL-AMR BI 'L-MA`RUF WA 'N-NAHY `ANI 'L-MUNKAR:          WATAK DAN JATI DIRI MUSLIM

يــــــــــبنيّ أقم الصلاة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على مآأصابك،

إنّ ذلك من عزم الأمور.

Hai anakku,  dirikanlah  solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik  dan  cegahlah   (mereka)  dari  perbuatan yang  mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.  Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).


Ayat 17 surah Luqman di atas  adalah antara pesan kependidikan Luqman al-Hakim  yang mengaspirasikan generasi  berkualiti pengabdi Ilahi  dan sekaligus memiliki kepedulian sosial yang tinggi.  Generasi  yang setia melaksanakan solat dan komited terhadap terhadap misi amar  makruf-nahi munkar adalah generasi anak salih, agen  pembinaan  al-mujtama` al-salih,    masyarakat bersih dalam pengertian  masyarakat yang dibangun di atas nilai-nilai  murni kemakrufan dan terhindar dari segala gejala  kemungkaran. Luqman adalah penerima kurnia  hikmah ketuhanan yang ditampilkan untuk mengungkapkan prinsip-prinsip pendidikan rabbani.    Apabila beliau menempatkan amar makruf nahi munkar selepas perintah (pendidikan) solat,  yang terkesan adalah peri pentingnya  amar makruf nahi munkar sebagai salah satu prinsip asasi  pendidikan.   Demikianlah,  di mata seorang al-hakim (pemilik wisdom ketuhanan)  generasi  ideal yang harus dibina dalam sistem pendidikan rabbani ialah generasi  God conscious  yang disimbolkan dengan kata solat,  generasi pejuang idealisme: menegakkan kemakrufan dan melawan kemungkaran, juga generasi yang kuat dan berdaya tahan (sabar).
Berasaskan konteks ayat yang menyebut  amar makruf nahi munkar dalam bentuk pesan kependidikan seorang ayah (Luqman) kepada anaknya,  bererti  bahawa  ia harus disebatikan  dalam diri sejak  kanak-kanak. Semangat menyintai kemakrufan dan membenci kemungkaran  harus dipupuk  serentak dengan pendidikan solat.   Dengan demikian amar makruf nahi munkar tidak  hanya berupa suatu tindakan,  tetapi lebih daripada itu ia adalah watak dan jati diri.  Dengan demikian  akan lahirlah generasi yang menepati kata al-amiruna bi 'l-ma`ruf wa 'n-nahuna `ani 'l-munkar. (surah  al-Tawbah: 112),  iaitu mereka yang berwatak  pejuang kemakrufan dan penentang kemungkaran. Demikian pentingnya amar makruf nahi munkar sehingga dijadikan komponen utama pendidikan kerana ia adalah ciri asasi dan dan jati diri umat Islam:

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أوليآء بعض، يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر
ويقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسوله،    اولــــئك  سيرحمهم الله،
إنّ الله عزيز حكيم.

Dan orang-orang  yang beriman,   lelaki  dan  perempuan,   sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.  Mereka menyuruh  (mengerjakan)  yang ma`ruf,  mencegah  dari yang mungkar, mendirikan  sembahyang,  menunaikan zakat,  dan  mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.      Mereka  itu  akan   diberi  rahmat oleh Allah;   Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Al-Tawbah:71

Lebih daripada itu amar makruf nahi munkar adalah syarat khayriyyatu 'l-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat 110 surah Ali `Imran:

كنتم خيرأمّة أخرجت للنّاس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله،
ولوءا من أهل الكتاب لكان خيرا لهم، منهم المؤمنون وأكثرهم الفاسقون.

Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,  menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman  kepada Allah.   Sekiranya Ahli Kitab beriman,  tentulah itu  lebih baik
bagi mereka;   di antara mereka  ada yang beriman, dan  kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Ayat tersebut membawa implikasi bahawa menghilangnya amar makruf nahi munkar dari kehidupan umat, berakhirlah khayriyyah (keunggulan) mereka.  Seterusnya kegagalan  memenuhi komitmen amar makruf nahi munkar bererti  mengundang kutukan Tuhan sebagaimana nasib yang menimpa Bani Israil:

لعن الّذين كفروا من بنى إسرآئــل على لسان داود وعيسى ابن مريم، ذلك بما عصوا
وكانوا يعتدون.   كانوا لايتناهون عن منكر فعلوه، لبئس ما كانوا يفعلون.                

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani  Israil  dengan lisan  Daud dan `Isa  putera  Maryam.  Yang demikian  itu,  disebabkan mereka  durhaka dan selalu melampaui batas.

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka  perbuat. Sesungguhnya   amat  buruklah  apa   yang selalu mereka perbuat itu. Al-Ma'idah:78-79

Amar makruf nahi munkar adalah penyuaraan  kebenaran yang dijamin sebagai hak kebebasan bersuara.  Dalam konteks masa kini ia dapat dilaksanakan dengan belbagai cara sebagaimana yang disebut oleh  Wahbah  al-Zuhayliy:  menerusi  ucapan lisan dan tulisan,  lukisan dan rakaman, persuratkhabaran dan demonstrasi (al-tazahur).   Dalam kaitan ini mengkritik adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar,  termasuk mengkritik pemerintah.  Malah membangkang juga adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar jika dilakukan atas dasar  melawan kemungkaran.   Kerana itu Islam menjamin  haqq al-mu`aradah  atau hak bangkang dalam pengertian  menolak kesalahan,  melawan kebatilan, menegakkan kebenaran dan merealisasikan  maslahah ummah  dalam batasan-batasan syara`.
Dalam tradisi politik Islam bangkangan dalam pengertian tersebut bukan hanya tidak dihalang, malah diminta oleh para penguasa, khususnya al-Khulafa' al-Rashidun seperti Abu Bakr dan Umar r.`a. yang meminta umat membetulkan mereka apabila mereka melakukan kesalahan.   Dalam kes `Umar ibn al-Khattab  r.`a. permintaannya disambut oleh seseorang dengan berkata beliau akan membetulkannya dengan pedang.   Kata-kata seperti itu mungkin terasa terlalu keras,  tetapi ternyata `Umar ibn al-Khattab tidak marah,  malah beliau bertahmid,  menyatakan kesyukuran kepada Allah  kerana masih ada rakyat yang punya keberanian mengoreksi pemimpin/penguasa dengan pedang.  Justeru,  para khalifah al-Rashidun tersebut bukan jenis penguasa  yang obsesif  dengan kekuasaan.   Dalam tradisi kepimpinan Islam yang penting bukan kuasa memegang tampuk pemerintahan,  tetapi  yang penting adalah terlaksananya  al-khayr wa 'l-ma`ruf (kebajikan dan kemakrufan).    Kerana itu mereka merasa dibantu  dan ditolong oleh pembangkang yang  ingin mengembalikan mereka ke jalan kebaikan dan kemakrufan.
Melakukan perubahan  sehingga terhapusnya  segala rupa halangan ke arah  kebajikan dan kemakrufan adalah suatu kewajipan keagamaan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 104 surah  Ali `Imran:

ولتكن منكم أمّة يدعون إلى الخير ويأمرون با لمعروف وينهون عن المنكر،
وأولــئـك هم المفلحون.
Dan hendaklah  ada di antara kamu segolongan umat yang  menyeru kepada kebajikan,  menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar;  merekalah orang-orang yang beruntung.

Peranan korektif ini dapat dimainkan oleh  umat secara kolektif,  termasuk pembangkang.  Kata ummah dalam ayat tersebut merujuk makna  kumpulan, jamaah, organisasi atau bentuk-bentuk tindakan kolektif lainnya.   Komitmen melakukan perubahan
korektif itulah juga yang tersirat dalam hadith Rasulullah s.`a.w.,

من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع
فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان.
Hadith tersebut menghendaki  setiap warga umat Islam bertindak sebagai agen perubahan apabila wujud gejala kemungkaran atau sebarang  keadaan yang menggugat  maslahah umat.   Untuk itu mereka harus berbuat sejauh yang termampu dengan menggunakan segala kemampuan yang dimilikinya --kuasa, suara atau sekurang-kurangnya bersikap tidak rela dengan kemungkaran.
Islam memberikan ruang yang cukup luas untuk umat memilih cara yang berkesan.    Taghyir al-munkar (merubah kemungkaran)  boleh dilakukan secara individual,  dan boleh pula dilakukan secara kolektif  dalam rupa gerakan kerakyatan.    Dalam kaitan inilah timbulnya persoalan  tentang al-muzaharat (demonstrasi)  sebagai  wasilah,   taktik dan strategi amar makruf nahi mungkar.   Sebagaimana yang disebut oleh al-Shaykh  `Abd al-Hafiz al-Sawiy,      al-muzaharat naw`un min inkar al-munkar  (demonstrasi adalah sejenis  tindakan mengingkari  kemungkaran).    Ia adalah pendapat umat yang disuarakan secara kolektif  (ta`bir jama`iy).      Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa menyatakan pendapat menurut al-Qaradawiy adalah hak kemanusiaan (al-ta`biru haqqun insaniy).

Mengenai demonstrasi pula al-Qaradawiy menyatakan,  "Seperti orang lain, kaum Muslimin juga berhak mengadakan perarakan dan demonstrasi  untuk menyuarakan tuntutan-tuntutan mereka yang sah, dan untuk menyampaikan permintaan-permintaan mereka kepada pihak berkuasa dan para pembuat dasar,    dengan suara yang dapat didengar dan harus didengar dan tidak boleh diabaikan.  Suara individu mungkin tidak didengar,  tetapi suara ramai  terlalu nyaring untuk diabaikan.    Semakin ramai yang berdemonstrasi,  apa lagi jika disertai oleh  peribadi-peribadi yang berbobot,  suara mereka akan lebih didengar dan lebih berkesan,  kerana kehendak ramai lebih kuat daripada kehendak perseorangan.   Manusia memang lemah ketika bersendirian,  tetapi menjadi kuat apabila bergabung dalam kumpulan.  Kerana itu Tuhan berfirman,  "Dan bertolong-tolonganlah kamu  dalam kebajikan dan ketaqwaan "  --  al-Ma`idah:2."

Demonstrasi bukan ibadat yang dasarnya adalah ittiba`  (mengikut nass sepenuhnya),  ia adalah sebahagian daripada umur al-dunya (urusan kehidupan duniawi) yang dasarnya adalah ibtida`  (mencipta).    Dari segi hukum ia termasuk di bawah kaedah al-asl fi al-ashya' al-ibahah (hukum asal segala sesuatu adalah harus).   Dengan demikian tidak ada sesuatu yang haram kecuali  jika ada nass  (yang sahih al-thubut wa sarih al-dilalah) yang mengharamkannya.  Kerana itu tidak perlu  dicari nass yang mengharuskan demonstrasi.  Justeru,  memang tidak ada nass yang mengharamkannya.

Demonstrasi pada hakikatnya hanyalah  wasilah,  jalan dan cara  mencapai tujuan-tujuan tertentu (maqasid).   Menurut kaedahnya,  hukum wasilah  didasarkan pada maqasidnya.  Jika maqasidnya harus maka demikian pulalah wasilahnya,  dan begitulah seterusnya.  Kerana  itu wasilah (termasuk demonstrasi) itu sendiri  tidak  haram (lam takun muharramatan fi dhatiha).     Halal dan haramnya tergantung maksud dan objektif yang hendak dicapai.

Fatwa adalah ilmu dan amanah.  Kerana itu ia harus diputuskan dengan teliti, berhati-hati dan penuh rasa tanggungjawab,  jangan sampai mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.

(TM 62 di Kolej Dar Al Hikmah)

Sunday, March 25, 2012

Tafsir Maudhu'iy ke 61 - Dr Siddiq Fadil


MENCARI KURNIA  DALAM IMAN DAN KOMITMEN
MENGIKUTI JEJAK PERJUANGAN AL-RASUL S.`A.W.
(Surah al-A`raf: 156 -  158)


156. "Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan Dalam dunia ini dan juga di akhirat, Sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa Yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang Yang bertaqwa, dan Yang memberi zakat, serta orang-orang Yang beriman kepada ayat-ayat kami.

157. "Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara Yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu Yang ada pada pada mereka. maka orang-orang yang beriman kepadaNya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut Nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.

158. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".




Ayat-ayat   (al-A`raf:156-158)  yang diangkat menjadi tema perbincangan ini dilatari do`a Nabi Musa `a.s.  yang memohon pengampunan dan rahmat Tuhan setelah tujuh puluh orang pilihannya binasa dalam petaka gempa bumi.   Mereka dipilih untuk menyatakan taubat kepada Allah,   tetapi ketika menghadap-Nya mereka meminta yang bukan-bukan:  meminta melihat Allah,  meminta kurnia istimewa yang tidak pernah diberikan kepada umat sebelum mereka dan tidak akan diberikan kepada umat selepas mereka, dan pelbagai permintaan lainnya lagi.  Mereka yang terpilih itu adalah yang dianggap  terbaik untuk mewakili seluruh kaumnya (Bani Isra'il).   Ternyata yang "terbaik" pun bermentaliti dan berwatak haprak dan bebal.  Do`a mendapatkan pengampunan dan rahmat (oleh Musa `a.s.)  itu disahut oleh Allah s.w.t. dengan menyebut syarat dan sifat mereka yang layak diberikan kurnia rahmah, falah dan hidayah dari  Allah,  Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Pengurnia.   Musa `a.s. mengiringi do`anya dengan pernyataan kembali kepada Allah, menyerah diri untuk berlindung  di  bawah naungan-Nya yang teduh.    

Musa `a.s. memohon ketetapan Ilahi untuk mengurniakan kebajikan yang lestari  duniawi-ukhrawi.   Hasanah duniawi adalah kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang meliputi  kesejahteraan (jasmani-rohani),  kebijaksanaan berfikir dan bertindak, kecukupan sara hidup dan kebebasan dari segala belenggu.    Hasanah ukhrawi adalah berupa kurnia keridhaan Ilahi dan nikmat kehidupan syurgawi yang hakiki dan abadi.  Musa `a.s. mengiringi do`anya dengan pernyataan kembali kepada Allah (inna hudna ilayka),   merendah dan menyerah diri untuk berlindung di bawah naungan-Nya yang teduh.  Demikianlah adab berdo`a yang sebaiknya,  tidak hanya meminta dan meminta, tanpa pernyataan kelemahan dan kerendahan diri di hadapan Tuhan yang Maha Kaya, Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.   

Sahutan Allah terhadap do`a tersebut diawali  pernyataan tentang kemutlakan kehendak-Nya:  memaaf atau mengazab, mengurniakan rahmat atau menimpakan laknat.   Dengan kehendak-Nya jua Dia meratakan rahmat-Nya hingga meliputi segala makhluk dan seluruh alam.  Kurnia rahmat dalam segala bentuknya adalah atas kehendak-Nya,  keadilan-Nya dan hikmah kebilaksanaan-Nya yang Maha Mutlak.  Demikianlah rahmat-Nya yang  umum, rahmat  yang terdapat pada setiap ciptaan-Nya,  rahmat yang sentiasa beredar dan berkisar di kalangan makhluk apabila mereka saling manfat-memanfaatkan.

Di samping rahmat-Nya yang umum,  Allah s.w.t. mengurniakan rahmat-Nya yang khusus kepada umat Muhammad s.`a.w. yang memiliki tiga sifat utama:

·         Orang-orang yang bertaqwa (takut melakukan syirik dan dosa-dosa
lainnya.

·         Mereka yang menunaikan zakat (zakat fitrah dan zakat harta).  Zakat
disebut  secara khusus untuk menekankan keperluan mengikis sifat
bakhil dan materialistik di kalangan manusia.  Dengan kata lain, nikmat
khusus ini dikurniakan kepada orang yang telah membebaskan diri dari
belenggu kebendaan.
    
·         Mereka yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan,  ayat-ayat yang
membuktikan keesaan-Nya,  kesempurnaan dan keunggulan syari`at-   
Nya sebagai cara hidup terbaik untuk diamal dan dilaksanakan
sepanjang  zaman di semua tempat.


Demikianlah tiga kriteria utama bagi umat yang dijanjikan rahmat oleh Allah s.w.t.  dengan ungkapan yang tegas dan pasti, fasaaktubuha (Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku …).   Mereka adalah umat pengikut Rasul  yang dicirikan  dengan tujuh sifat utama:

·         Rasul-Nabi yang ummiy (tidak membaca dan tidak menulis).  Sifat
ummiynya itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kenabiannya.
Al-Qur'an yang penuh mukjizat itu diturunkan kepadanya,  dan dalam
keadaan ummiynya itu ia memperlihatkan penguasaan paling sempurna
tentang  pelbagai bidang ilmu:  `aqidah,  `ibadah, akhlak, politik,
ekonomi dan  lain-lain lagi.

·         Rasul yang nama dan sifat-sifatnya disebut dengan jelas dalam Kitab-
Kitab Taurat dan Injil,  yang memang diketahui oleh para pendeta
agama-agama Yahudi dan Nasrani,   tetapi mereka menyembunyikan
ayat-ayat mengenainya:   sifat-sifatnya dan  pemberitahuan tentang
pengutusannya.  Mereka lakukan perbuatan khianat itu semata-mata kerana kedengkian racist yang tidak terkendali.
  
·         Rasul yang menyuruh berbuat yang makruf:   hal-hal yang memang diketahui kebaikannya oleh akal fitrah yang sihat.   Apa sahaja yang disuruh oleh Rasul adalah kebaikan.  Kemakrufan paling besar yang diperintahkan adalah menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

·         Rasul yang mencegah dari yang mungkar:   segala yang memang ditolak oleh akal sihat dan jiwa yang murni.  Apa sahaja yang dicegah oleh Rasul adalah keburukan.  Kemungkaran paling besar yang dicegah adalah menyengutukan Allah (syirik).

·         Rasul yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka,  termasuk segala yang telah mereka sendiri haramkan untuk diri mereka.  Al-Tayyibat adalah   segala yang memang diterima dan diinginkan oleh manusia yang waras dan sihat.  Segala yang dihalalkannya adalah baik dan bermanfaat bagi manusia.

·         Rasul yang mengharamkan segala yang buruk bagi mereka, iaitu sesuatu yang memang  tidak diterima oleh akal sihat dan jiwa murni manusia seperti daging babi, arak, judi, riba dan lain-lainnya.  Segala yang diharamkannya adalah buruk dan mudarat bagi manusia.

·         Rasul yang membebaskan mereka dari beban dan belenggu yang menimpa dan mengekang mereka.   Ajaran agamanya akan memudahkan,  meringankan  dan melepaskan mereka dari hukum-hakam yang memberatkan.  Justeru,   agama yang dibawa oleh Rasul ini adalah agama tengah (din al-wasat) yang bersemangat  membebaskan, memudahkan  dan meringankan  (al-taysir).   


Mengikuti Rasul (ittiba` al-rasul)  yang menjadi faktor pengurniaan rahmat Ilahi bererti komitmen menghayati dan memperjuangkan misi kerasulan yang tersirat di balik sifat-sifat yang tersenarai di atas.    Hakikat inilah yang dipertegas dalam ungkapan berikutnya  tentang mereka yang tergolong dalam kelompok al-muflihun (orang-orang yang berjaya dan beruntung) iaitu yang beriman kepadanya, yang memuliakannya, yang menolongnya, dan yang mengikuti cahaya (al-Qur'an) yang diturunkan bersamanya.

Ayat 157 tersebut  menyerapkan semangat  menjadi pejuang yang komited terhadap perjuangan melaksanakan misi profetik   al-risalah al-Muhammadiyyah,   mendaulatkan nilai-nilai kemakrufan, melawan gejala kemungkaran,  dan membebaskan umat dari segala bentuk beban dan belenggu.  Justeru,  Islam seperti yang disebut oleh A.Yusuf Ali dalam ulasannya tentang kalimat aghlal (belenggu-belenggu)  tersebut sebagai  "…a religion of freedom, in the faith of God, of universality in the variety of races, languages, manners and customs." 

Di samping menjadi mukmin yang menyanjung  Nabi s.`a.w. ,  mempertahankannya dan mendukung misi   perjuangannya, ciri lain golongan al-muflihun ialah mengikuti petunjuk cahaya (al-Qur'an) yang diturunkan besamanya (unzila ma`ahu).   Mereka harus menjadi golongan yang enlightened, dengan  pencerahan Qur'ani.  Tentu ada mesej tertentu mengapa ayat tersebut tidak menyebut cahaya yang diturunkan "kepadanya",  tetapi diturunkan "bersamanya".  Selain bererti bahawa nubuwwah (kenabian) Junjungan s.`a.w.  disertai dengan penurunan al-Qur'an, ia juga membawa erti seperti yang disebut oleh A.Yusuf Ali, "Light which is sent down with him: the words are "with him", not "to him", emphasizing the fact that the light which he brought illumines every one who has the privilege of joining his great and universal Fellowship."

Ayat 158 mengandungi deklarasi kerasulan Muhammad s.`a.w. yang bersifat universal,   meliputi manusia segala warna, seluruh benua, sepanjang usia dunia.  Selepas ini tidak ada lagi rasul untuk kaum tertentu atau generasi tertentu.  Ia adalah risalah agama fitrah yang mempertemukan seluruh manusia.  Agama fitrah ini dibawa oleh Nabi yang ummiy,  yang tampil dalam kemurnian fitri dalam erti tidak dicemari oleh sebarang pemikiran manusia  atau  pengaruh dunia.  Yang mengisi akal dan jiwanya hanya ajaran Ilahi.   Demikianlah hikmah perencanaan Ilahi:  Nabi yang fitri  membawa agama fitrah kepada fitrah manusia.    Risalah al-Rasul s.`a.w. adalah risalah `alamiyyah-khalidah,  misi sejagat dan abdi  yang merentasi  persempadanan bangsa dan masa.  Perjuangannya bukan perjuangan perkauman dan kebangsaan,  tetapi perjuangan kemanusiaan sejagat.  Yang diperjuangkan oleh Islam bukan Bani Isra'il,  bukan bangsa Arab, dan bukan orang Melayu semata-mata,  tetapi nasib manusia segala bangsa dan kaum. 

Muhammad s.`a.w. adalah Rasul utusan.  Meskipun utusan, tetapi bukan sebarang utusan.  Junjungan s.`a.w adalah utusan Allah,  satu-satunya Tuhan Yang Memiliki kerajaan langit dan bumi,  Tuhan Yang Berkuasa Mutlak  menghidupkan dan mematikan.   Kerana itu kedua-duanya (Allah dan dan Rasulnya) harus diimani dalam erti yang setulen dan semurninya.



Sebagai utusan Tuhan,  Junjungan s`a.w. tidak sekadar menyampaikan apa yang diperintahkan Allah,  tetapi lebih daripada itu  Junjungan s.`a.w. sendiri lebih dahulu beriman dengan Allah dan Kalimat-Kalimat-Nya (Kitab-Nya).  Hakikat inilah yang harus diteladani oleh para da`i  pelanjut perjuangan nabawi.   Mereka harus yakin dengan risalah, fikrah dan idealisme  yang diperjuangkan.

Demikianlah hakikat Islam yang mempakejkan iman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan komitmen ittaba` al-rasul, mengikuti al-Rasul s.`a.w. dalam erti menghayati ajarannya, meneladani keperibadiannya dan mengikuti jejak perjuangannya.   Kerana itu ayat 158 memerintahkan  fa 't-tabi`uhu (ikutilah dia) selepas memerintahkan fa  aminu bi 'Llahi wa rasulihi (maka berimanlah kamu dengan Allah dan Rasul-Nya).  Ternyata Islam bukan sekadar  kepercayaan dan amal ritual,  tetapi al-ittiba` al-kamil li rasuli 'Llah (mengikuti al-Rasul secara utuh).

  
TM 61
Dr Siddiq Fadil di Kolej Darul HIkmah
KDH24032012.

Tuesday, May 24, 2011

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: Dr Siddiq Fadil bahagian akhir

Tafsir Maudhu'iy 59

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: MENANGKAP SEMANGAT

SURAH AL-TAWBAH:38-42

42. kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Ayat seterusnya mendedahkan sifat opportunist dan materialistiknya kaum munafiqin yang datang dengan seribu dalih untuk tidak menyertai angkatan mujahidin yang berangkat ke medan perang. Segala keuzuran mereka adalah pembohongan belaka. Pura-pura sakit, walhal sebenarnya mereka segar bugar; pura-pura tidak memiliki biaya, walhal sebenarnya mereka kaya raya. Sebab sebenar ketidaksediaan mereka ikut serta adalah kerana jauhnya perjalanan dan teriknya bahang musim panas ketika itu. Hakikat kemunafikan inilah yang didedahkan oleh al-Qur'an: andainya mereka diajak mengaut keuntungan kebendaan yang mewah dan mudah, jaraknya dekat dan waktunya singkat, pasti mereka akan bergegas meluru dan menyerbunya. Dasar munafik opportunist!

Sekembalinya Rasulullah s.`a.w. dari medan perang Tabuk, mereka mendatangi Junjungan s.`a.w. dengan berpura-pura kesal dan sedih tidak dapat ikut berjuang kerana keuzuran. Untuk menjadikan lakonan mereka lebih mengesankan mereka bersumpah dengan Nama Allah, "Kalaulah tidak kerana berhalangan, pasti kami telah ikut menyertai kalian ke medan perang!". Demikianlah selamanya, bersumpah adalah akal munafik menutupi kebohongan. Mereka sendiri tahu pembohongan itu tidak dapat dipercaya, dan kerana itu mereka bersumpah dengan harapan akan dipercaya. Ayat al-Tawbah ini dengan jelas dan tegas menyebut bahawa sumpah bohong akan membawa padah kehancuran. Ia adalah suatu ketololan yang merosak diri. Sumpah bohong hanya akan lebih memperparah kebejatan moral-spiritual mereka. Andainya sumpah bohong itu berjaya menipu orang, tetapi pada hakikatnya yang paling tertipu adalah diri sendiri. Allah yang Nama-Nya dipakai untuk bersumpah bohong itu tahu bahawa mereka adalah pembohong. Tuhan yang mengetahui kebohongan mereka itu sendiri yang berkata, "yuhlikuna anfusahum…(mereka membinasakan diri sendiri)", lalu mahu lari ke mana?

Masyarakat berbudaya sumpah adalah masyarakat yang ditimpa krisis kepercayaan. Apabila berbohong sudah dianggap hal yang biasa sehingga menjadi budaya, maka terwujudlah sikap saling tidak percaya. Tidak siapa pun yang percaya kepada siapa-siapa. Dalam keadaan seperti itulah terbentuknya masyarakat hallaf, iaitu masyarakat yang berbudaya sumpah. Tetapi apabila terlalu banyak bersumpah, sudahnya sumpah pun tidak lagi dipercaya. Masyarakat mukmin adalah masyarakat yang mengamalkan budaya berkata benar, masyarakat amanah, berintegriti dan berwibawa. Kerana itu wujud sikap saling percaya di kalangan warganya.

Masyarakat mukmin juga adalah masyarakat idealis, masyarakat pejuang dan masyarakat yang berani menghadapi risiko. Ia bukan masyarakat penakut, short termist, opportunist, materialist. Seluruh warga umat, terutama generasi mudanya harus diorientasikan dengan semangat dan komitmen perjuangan. Untuk itu harus ada kesediaan untuk melawan gejala pembunuhan idealisme (penegakan nilai-nilai murni kebenaran, keadilan, hak asasi, demokrasi dll.), melawan politik pembohongan dan pembodohan, melawan usaha jahat melumpuhkan semangat dan daya juang umat. Amalan politik menabur gula-gula, mempedaya rakyat dengan umpan-umpan kebendaan, dan melemaskan generasi muda dalam arus budaya hiburan gila-gila adalah bahaya besar yang akan berhujung pada tragedi the death of idealism atau kematian idealisme. Demikian juga dengan kehidupan yang dikuasai budaya takut (culture of fear) yang akan menciptakan umat pengecut, dan generasi bermentaliti kalah. Apabila keadaan itu terjadi, berakhirlah riwayat satu umat, dan bersiaplah untuk menerima ketentuan sunnatu 'Llah: petaka kehancuran dan penampilan umat pengganti, "generasi anak jantan yang berani mati digelanggang"


IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: Bahagian 2, Dr Siddiq Fadil

Tafsir Maudhu'iy 59

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: MENANGKAP SEMANGAT

SURAH AL-TAWBAH:38-42 Bhg 2

Siddiq Fadzil

Perang Tabuk yang melatari penurunan ayat-ayat al-Tawbah itu adalah ujian keutuhan dan ketulenan iman dalam pengertian tersebut. Komitmen perjuangan diuji dengan perintah tampil di medan perang melawan kuasa besar dunia (Rom), di lokasi yang jauh di luar kota, pada musim panas terik; dan ketika itu pulalah buah-buahan di Madinah sedang masak ranum, musim memetik telah tiba. Suasana sedemikian itulah yang menyebabkan sebahagian warga Madinah berasa berat untuk berangkat. Mereka menjadi malas, dan sebahagiannya mencari-cari helah untuk melepaskan diri dari kewajipan berperang. Padanlah sikap kebendaan, lemah dan pengecut seperti itu mendapat reaksi dari langit dengan pertanyaan kesal, "Apa sudah jadi kepada kalian…?". Orang mukmin tidak sewajarnya bersikap, membuat keputusan atau pilihan yang merugikan diri sendiri. Iman apa dan mukmin apa yang memilih mata`u 'd-dunya yang rendah dan murah, dengan mengenepikan kurnia ukhrawi yang lebih tinggi, lebih hakiki, lebih bererti dan lebih abadi?.

Mereka seterusnya diperingatkan tentang bahaya berlakunya sunnatu 'Llah ke atas umat yang kematian daya juang, yang tidak mahu dan tidak mampu melaksanakan amanah perjuangan mendaulatkan kalimat Allah. Mereka akan ditimpa bencana besar yang menamatkan riwayat mereka sebagai umat; dan Tuhan akan tampilkan umat lain atau generasi lain yang komited dan layak mengambil alih tanggungjawab perjuangan menegakkan agama Allah. Amaran keras ini bukan lagi sekadar suatu kemungkinan, tetapi suatu kepastian kerana sunnatu 'Llah tidak pernah dan tidak akan pernah berubah. Begitulah cara Tuhan bertindak ke atas umat yang lari dari tanggungjawab. Yang rugi adalah mereka sendiri, bukan Tuhan, dan bukan juga Rasul-Nya. Tuhan Maha Berkuasa mengunggulkan agama-Nya dan memenangkan Rasul-Nya dengan cara-cara yang dikehendaki-Nya.

Ternyata bagi kaum mukminin, menjadi orang perjuangan bukan suatu pilihan, tetapi suatu syarat survival. Terserah, mahu menyahut panggilan perjuangan atau tidak. Agenda Tuhan tetap berjalan, dan Rasul-Nya akan dimenangkan dengan atau tanpa penyertaan mereka. Dahulu, ketika orang-orang kafir Makkah memburunya dalam peristiwa Hijrah, Rasulullah s.`a.w. bersembunyi di gua Thawr dengan hanya ditemani oleh seorang sahabat kepercayaannya, Abu Bakr al-Siddiq r.`a. yang dalam ayat ini disebut thaniya 'thnayn. Siapa yang menolongnya, siapa yang memberikannya kedamaian dan perlindungan hingga tiba di destinasi al-Madinat al-Munawwarah dengan selamat? Tuhan sendirilah yang mendampingi mereka. Setiap gerak dan setiap detik mereka berada dalam ma`iyyatu `Llah, kebersamaan dengan Allah. Memang Allah selamanya Maha Berkuasa menolong dan memenangkan Rasul-Nya kerana Ia memiliki bala tentera perkasa yang tidak kelihatan. Segalanya itu telah terbukti nyata di depan mata: faham dan nilai-nilai tradisi kafir jahili jatuh merudum, sedang agama Allah terjulang gemilang. Demikianlah jelmaan keperkasaan dan kebijaksanaan Tuhan yang Maha `Aziz, mampu melakukan apa sahaja; dan Maha Hakim, benar dan tepat segala kata dan perbuatan-Nya.

Ayat 41 dengan tegas memerintahkan mereka semuanya tampil ke medan tempur, tanpa kecuali, berat atau ringan, tua atau muda. Itulah ketikanya Allah tidak mahu melayani sebarang alasan menguzurkan diri. Dengan kata khifafan wa thiqalan (ringan atau berat) tertutuplah segala ruang pengecualian. Dalam masyarakat kaum mukminin setiap orang adalah pejuang yang sentiasa siap menyerahkan harta-benda dan jiwa-raganya demi menegakkan kebenaran dan keadilan agama Allah. Mereka cukup menyedari bahawa perjuangan di jalan Allah sama sekali bukan penderaan dan bukan beban yang menyusahkan, tetapi suatu tawaran peluang istimewa meraih keuntungan yang tidak ternilai. Tidak ada istilah rugi dalam kamus perjuangan mendaulatkan agama Allah. Seorang perwira di medan jihad hanya berhadapan dengan salah satu dari dua keuntungan: meraih shahadah (gugur syahid) yang membawanya ke syurga, atau pulang dengan pahala dan ghanimah. Memang tidak semua orang tahu tentang hakikat betapa beruntungnya menjadi pejuang. Yang tahu hanya mereka yang beriman dengan kehidupan ukhrawi, mereka yang meyakini nikmat syurgawi.