Showing posts with label fitnah. Show all posts
Showing posts with label fitnah. Show all posts

Friday, April 12, 2013

Teladan Surah An-Nur Berkenaan Tuduhan Zina dan Liwat - Ustaz Hj Muhammad Rivai Batubara


Teladan Surah An-Nur Berkenaan Tuduhan Zina dan Liwat - al marhum Ustaz Hj Muhammad Rivai Batubara

Sekiranya berlaku pertuduhan zina atau liwat yang belum disahkan (sabit) oleh mahkamah Syariah, maka pendukung dakwah perlu mengambil panduan dari beberapa ayat Surah An Nur dalam peristiwa "Hadis al Ifki", atau berita bohong yang direka-reka kaum Munafikin untuk mencemarkan nama baik Ummul Mukminin Saidatuna Aisyah R.A.  Di antara yang penting :


1. Bersangka baik terhadap orang-orang mukmin dan mukminat.

Firman Allah SWT pada ayat 12 :
"Mengapa orang-orang mukmin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, ketika kamu mendengar berita bohong itu dan berkata : " Ini adalah (suatu berita) bohong yang nyata !"

2. Berusaha menghadirkan empat orang saksi.

Firman Allah pada ayat 13 :
"Mengapa mereka ( yang menuduh itu ) tidak datang membawa empat saksi oleh kerana mereka tidak membawa saksi-saksi, maka mereka itu dalam pandangan Allah adalah orang-orang yang berdusta."

3. Jangan dipergunjingkan, disambung dari mulut ke mulut, tanpa ada pengetahuan mengenainya, dengan menganggapnya perkara remeh, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang amat besar.

Firman Allah ayat 15:
"(Ingatlah) ketika kamu menerima ( berita bohong ) itu dari mulut ke mulut dan kamu katakana dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikitpun, dan kamu menganggap remeh, pada hal dalam pandangan Allah itu soal besar."

4. Tidak sepatutnya melibatkan diri untuk membicarakan hal yang seperti ini apatah lagi terhadap orang yang dikenal kebaikan dan kehormatannya.

Firman Allah ayat 16:

"Dan mengapa kamu tidak berkata ketika mendengarnya " Tidak pantas bagi kita membicarakan ini. Maha Suci Engkau, ini adalah kebohongan yang besar."

5. Jangan mengulangi perbuatan itu lagi selama-lamanya.

Firman Allah ayat 17:
"Allah memperingatkan kamu agar ( jangan ) kembali mengulangi seperti itu selama-  lamanya, jika kamu orang beriman."

6. Allah menegaskan bahawa orang-orang yang menyukai perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman akan mendapat 'azab yang pedih di dunia dan akhirat.

Firman Allah ayat 19 :
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu  (berita bohong ) tersiar di kalangan orang-orang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Seperti dimaklumi bahawa penggerak utama berita bohong ini ialah Abdullah bin Ubay, ketua Munafiqin. Di dunia ini dia telah mendapat azab tersingkir dari masyarakat kerana telah mendapat laknat daripada Allah dengan sifat nifaqnya. Manakala di akhirat ditempatkan di lapisan yang paling bawah dari neraka.

Dari kalangan orang-orang Islam ada tiga orang yang terlibat dalam penyebaran berita bohong ini, iaitu Misthah bin Uthathah, Hassan bin Thabit dan Hamnah binti Jahasy. Mereka telah dijatuhi hukuman qazaf. Kemudian Misthah menjadi buta, manakala Hassan buta dan lumpuh kedua tangannya. (lihat Tafsir Al Munir, j.18 mengenai penafsiran Surah An Nuur )

Dengan panduan ini pendukung dakwah diharapkan mempunyai pendirian yang jelas dalam menyingkapi fitnah yang sedang dihadapi dan tidak terpengaruh dengan pelbagai pemikiran yang mengelirukan, kerana panduan ini datang daripada Allah SWT.

Firman Allah :
"Jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, maka barangsiapa mengikuti petunjuk Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit." (Q.S. Thahaa 123–124 )


(al marhum Ustaz Hj Muhammad Rivai Batubara adalah aktivis ABIM Perak Darul Ridzuan serta antara pengasas Ma'ahad Ummah Chemor, Pendakwah Darul Ifta' , pernah dilantik Ketua Biro Dakwah Persekutuan Seruan Islam dan AJK PERKIM Negeri Perak)




Rujukan ihsan:   http://al-iltizam.blogspot.com

Thursday, April 4, 2013

SAHABAT SEJATI




ku sudah merasa
sakit dan kesukarannya
terjatuh kubangkit jua
terus melangkah
ku tidak mengambil endah
walaupun ada yang menghina
keringat kucurah
demi harapan rakyatnya
(Pasti Kau Ingin, EXIST)



Tuduhan oleh seorang tokoh yang mengaku pernah menjadi sahabat Anwar Ibrahim, pada satu forum yang disiarkan akhbar Utusan berlegar tentang salahlaku moral (yang disangkal sebagai Qadhaf – jenayah menuduh tanpa bukti), menganuti pluralisme (tuduhan penyamaan agama berdasarkan satu ucapan) dan menjadi penyokong Yahudi serta mengutamakan agenda Barat. Tuduhan-tuduhan liar yang basi dan lama yang masih diputar terus menerus.

Satu perkara yang mungkin terlepas daripada pandangan ex –sahabat ini adalah dia sendiri yang membuat keputusan memutuskan persahabatan itu. Tidak ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan mengkhianati kawan-kawannya.

Kenapa agaknya media regim dan agen-agennya mereka tergamak dan terdorong berkempen besar-besaran untuk menonjolkan dan menggembar-gemburkan pengakuan bekas sahabat ini meninggalkan Anwar?  Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di serata dunia. Kekuatan karisma inilah yang  ingin dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan  pula karakternya melalui pengakuan sahabatnya sendiri.

Kedua, tuduhan salahlaku moral yang sungguh mengaibkan bagi Anwar Ibrahim yang juga merupakan kekuatannya terkenal kerana Anwar dengan sahsiah unggul, kedudukan pendirian moralnya, kehormatan keluarganya dan pegangan prinsipnya. Ketegasan Al Qur’an dan al Sunnah tentang kewaspadaan menuduh orang baik-baik, kedudukan Shariah menentang fitnah dan kejelasan hukum serta ancaman hadd terhadap jenayah qadhaf juga ingin dicabar atau diketepikan saja melalui acara pendedahan seorang  bekas sahabat.

Ketiga, tuduhan terhadap iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri peribadi Anwar dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam, pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh usaha Islamisasi, pembangunan institusi, membangunkan falsafah pendidikan sepadu. iktikad dan kewibawaannya memimpin umat ingin dipadamkan semata-mata dengan kata-kata nista seorang bekas sahabat.

Keempat, tuduhan terhadap Anwar yang memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Israel bahkan menentang kezaliman mana-mana pihak terhadap rakyat yang ditindas, diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin terdiri daripada semua faction – kumpulan baik Hamas atau Fatah dan komitmen tegar selama ini kepada perjuangan Palestin ingin dipadamkan dengan hanya dengan percakapan seorang bekas sahabat.

Kelima, tuduhan perhubungan sulit dengan Barat, kerana keupayaannya mengadakan perhubungan, talian diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama, sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Padahal kekuatannya adalah keterbukaannya, kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah, kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa. Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ala Taliban dan juga bukan Pak Turut Barat, yang membawa wajah Islam dengan pendekatan yang bermaruah dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive engagement, ingin dilenyapkan oleh tuduhan bekas sahabat.

Semua tuduhan-tuduhan ini dianjurkan semata-mata untuk meragukan dan mengelirukan umat serta rakyat daripada mempercayai tentang keikhlasan, kejujuran dan ketulusan seorang pemimpin masakini yang dikatakan sahabat seperjuangan dan seangkatan selama 30 tahun lamanya. Semuanya menggunakan psikologi songsang - memalingkan kebaikan dengan menyerang ciri-ciri kebaikan itu.

Daripada zaman persekolahannya, di peringkat remaja, diceritakan menaiki skooter ke Sekolah Izuddin Shah mencari dan menemu rakan-rakan demi perjuangan- sebagai contoh - semasa memimpin pelajar, rakan-rakan MC Old Boys, mahasiswa dan Alumni UM, persatuan, belia, gerakan, WAMY, IIFSO, FOSIS, ISNA, sesama tahanan ISA pelbagai bangsa, ulama dan tok-tok guru, seperti Baba Salleh, Sheikh al Zuhaily, al Faruqi, al Attas, menyertai inter faith dialogue, bishop-bishop, pemikir-pemikir luar seperti Esposito, ahli strategi, pelbagai aliran pemikiran, tokoh-tokoh politik, UMNO, PAS, DAP, social democrat, korporat, ada yang berbangsa Yahudi, ahli bisnes, ahli kabinet Indonesia, orang Melayu , Cina, India, Iban, Kadazan - semuanya dijadikannya rakan.

Bayangkan pada awal 80’an Raja Qatar memesan kepada Dr Yusuf Al Qaradawi supaya datang ke sini bagi menemuinya sebagai seorang pemimpin muda gerakan syabab Islam di Malaysia. Persahabatan di antara mereka berdua cukup bermakna dan berkekalan sehingga hari ini dan telah banyak mempengaruhi dan menjayakan gerak kerja kebangkitan umat, mempertautkan ukhuwwah, mengukuhkan pendekatan wasatiy, hubungan Islam peringkat antarabangsa dan usaha islah kontemporari. Inilah contoh persahabatan sejati. Begitulah juga dengan al marhum Ustaz Fadzil Noor yang istiqamah mempertahankan dan membela Anwar sejak tahanan ISA tahun 70’an, kena fitnah dan tahanannya pula di Sg Buloh sehingglah dia pulang ke rahmatullah. Itulah sahabat yang terpuji. Semoga Allah swt sentiasa merahmati.

Memang boleh saja muncul seorang bekas sahabat datang menuduh skandal yang berat tanpa bukti tetapi akan ada lebih banyak lagi sahabat-sahabat  di sisi Anwar Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau Non Muslim yang akan membela dan lebih setia kepada persahabatan dan prinsip.

Ex sahabat itu pada satu ketika pada tahun 1995 pernah berbisik di satu program kem bina negara bahawa dia mengetahui komplot dan konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim yang pada waktu itu sedang menaiki tangga TPM bersama Team Wawasannya. Dia mendedahkan maklumat tentang surat-surat beracun yang sengaja disebarkan bagi menjatuhkan sahabatnya.

Tentu ex-sahabat ini ingat kata-katanya sendiri berupa perumpamaan dan  bidalan seperti “Jangan kencing berdiri atas papan, nanti terpercik” – supaya tidak gopoh gapah dalam politik. Juga, andaiannya bagaimana untuk menakhoda bahtera apabila dialun ombak dan dilanda badai, “Kita berlayar ketepian pantai, kemudian kita undur semula bagi mengelak badai, menelusuri alunan ombak supaya nanti selamat berlabuh.”

Begitulah nasihat dan kata perangsangnya sebelum datangnya ribut sebenar yang melanda. Ujian sebenar yang tiba pula bukan calang manusia mampu menghadapinya dengan penuh keberanian dan kesabaran walaupun setinggi mana keilmuannya.

Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi, Anwar melaungkan kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “ kalau takut risiko, jangan bicara perjuangan”, banyak penyokong-penyokong terkenal seperti Zahid, Ezam, Roslan, Lokman, Ghani dan pemuda-pemuda ketika itu bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat. Ketika itu Anwar mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu benar-benar melangkah mengharungi onar dengan  sepenuh iltizam kerana melangkah itu nyata bukan lagi hanya hasrat di hati sahaja.

Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan di dalam tahanan ISA walaupun selama 10 hari sahaja. Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek yang dihina begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri dan berpaling tadah. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana baru tersedar bahawa itulah jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga yang mahal mencalar maruah, menggangu jiwa serta mencelarukan pemikiran. Pengalaman ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang.

Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Mereka ini semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti persahabatan bersama seorang pejuang.

Bagaimana mungkin ketokohan dan keilmuwan tidak menghalang bekas sahabat ini terjerumus ke lembah kejahilan dan permusuhan tetapi itulah yang berlaku depan mata kita sekarang?

Bekas sahabat ini barangkali boleh berbangga mengisytihar kepada media massa dengan dia meninggalkan dan mencemuh nama baik sahabat lamanya. Tetapi lebih banyak lagi sahabat-sahabat setia dari segenap pelusuk dunia dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan dan label yang digunakan bagi memburukkan watak yang pada mereka lebih mereka kenali.

Kita yakini orang-orang benar bersama kita. Kita yakini Allah swt bersama orang-orang benar.

Sunday, March 31, 2013

DR SIDDIQ FADIL: HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH



TM64 : Kuliah Tafsir Maudu'iy
HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH
(Menghayati Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Nur: 11-21)





11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan Dengan kesalahan Yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar Dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).

12. sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

13. sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang Yang dusta.

14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa Yang besar disebabkan kamu turut campur Dalam berita palsu itu; -

15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak mempunyai pengetahuan Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.

16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

19. Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab Dengan serta-merta).

21. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan Yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui


Latar Penurunan Ayat:

Ayat-ayat tersebut merujuk peristiwa yang menimpa `Aishah r.`a. apabila difitnah oleh kaum munafiqin konon beliau telah melakukan perbuatan keji dengan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a., seorang sahabiy yang menemukannya sendirian kerana ditinggalkan oleh rombongan ekspedisi ketenteraan yang telah selesai menindak Bani al-Mustaliq pada tahun 5-6H. Ketika memberangkatkan kenderaan berkhemah yang dinaiki `Aishah r.`a., para petugas menyangka beliau sudah berada di dalamnya. Mereka tidak menyedari bahawa ketika itu `Aishah r.`a. berada di luar khemahnya kerana mencari kalungnya yang tercicir. Setelah menjumpainya, didapati rombongan telah berangkat, lalu `Aishah r.`a. menunggu di tempatnya dengan harapan para petugas akan menyedari ketiadaannya dan kembali mengambilnya. Malam semakin larut lalu `Aishah tertidur hinggalah pada pagi keesokan harinya beliau ditemukan oleh Safwan, orang terakhir pulang yang ditugaskan meninjau lapangan andainya ada sesuatu yang ketinggalan. Menemukan `Aishah dalam keadaan seperti itu, Safwan mempersilakan `Aishah r.`a. menaiki haiwan tunggangannya, sementara beliau sendiri menuntun haiwan kenderaan tersebut dengan berjalan kaki. Peristiwa itulah yang dilihat oleh Abdullah ibn Ubay sebagai kesempatan untuk dieksploitasi sedemikian rupa sehingga merebaknya fitnah skandal yang menggemparkan masyarakat Madinah.

Huraian Maksud Ayat:

Al-Qur'an mendedahkan fakta bahawa pelaku angkara al-ifk (fitnah dan pembohongan besar) itu, bukan seorang atau dua orang individu, tetapi sekumpulan (`usbah) yang berkongsi matlamat dan cita-cita jahat. Memang yang menjadi ringleadernya adalah ketua munafiqin, tetapi dari segi hukum ia dianggap warga masyarakat Islam berdasarkan sikap zahirnya, kerana itu mereka disebut minkum (dari kalangan kamu). Bilangan mereka sebenarnya tidak ramai, tetapi bahayanya cukup besar. Ia adalah sebahagian daripada usaha memerangi Islam oleh musuh-musuh yang tidak mampu berhadapan secara jantan, lalu berkomplot mereka-reka fitnah character assassination, mengaib dan menyerang peribadi. Fitnah yang direkayasa oleh Abdullah ibn Ubay, pemuka kaum munafiqin Madinah itu disambut oleh sekumpulan warga masyarakat Islam yang naif dan lemah, lalu tersebar luas sehingga menggegarkan masyarakat madinah selama hampir sebulan.

Pada zahirnya memang peristiwa tersebut begitu mendera dan menyakitkan, terutama bagi keluarga Rasulullah s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a., juga Safwan ibn al-Mu`attal, seorang sahabiy muhajir, mujahid yang terkenal dengan kebaikannya. Bagaimana tidak sakit, mereka adalah orang-orang terhormat, pemimpin yang kekuatannya terletak pada keluhuran peribadi dan integriti moral. Tetapi al-Qur'an segera mengingatkan hakikat bahawa di sebalik derita yang menyakitkan itu ada hikmah kebaikannya (Jangan kalian sangka ia semata-mata keburukan, sebaliknya ada kebaikannya bagi kalian). Yang tersirat di balik ayat tersebut adalah jaminan Tuhan, "Kamu mendapat pahala besar dari kejahatan mereka itu, terserlahnya kasih dan pemeliharaan Allah terhadap `Aishah r.`a. dengan membersihkannya dari fitnah lewat ayat-ayat Ilahi yang akan terus-menerus dibaca hingga kiamat, dan ketegasan ancaman Tuhan terhadap sesiapa yang mencemarkan maruah kamu". Memang fitnah yang dibongkar dan didedahkan biang keladinya lebih baik daripada fitnah yang tersebar dalam senyap tanpa diserlahkan hakikatnya. Pendedahan fitnah seperti yang terungkap dalam ayat-ayar al-Nur ini menyerlahkan kejahatan pelakunya dan membuktikan kebersihan mangsanya. Yang beruntung dalam isu ini adalah mangsa yang terbukti bersihnya, dan yang rugi adalah pelaku fitnah yang terbongkar konspirasinya. Keadaan seperti inilah yang diekspresikan dalam ungkapan Melayu, "senjata makan tuan!".

Tidak siapa pun akan terlepas daripada balasan Tuhan. Setiap orang yang bercakap tentang isu ini dan menuduh Umm al-Mu'minin `Aishah r.`a. melakukan perbuatan scandalous yang mengaibkan, akan ditimpa azab, masing-masing mengikut kadar keterlibatan mereka dalam isu fitnah tersebut. Azab yang paling besar akan ditimpakan ke atas ringleader yang mendalangi konspirasi jahat itu. Dialah (Abdullah ibn Ubay) yang menjadi punca sebahagaian besar bencana fitnah tersebut. Dalang konspirator itu ditimpa azab berat (`adhabun `azim) duniawi-ukhrawi. Di dunia terdera dengan pendedahan belang kemunafikannya, di samping pengusirannya dari masyarakat umat; dan di akhirat terlempar ke gaung neraka lapisan terbawah.

Bertolak dari premis tersebut Allah s.w.t. mendidik umat yang sebahagiannya telah terlibat dalam isu fitnah tersebut lewat sembilan pesan peringatan keras:

1. Ketika mendengar cerita karut kelompok konspirator fitnah tentang `Aishah r.`a. seharusnya mereka bersangka baik terhadapnya sebagaimana yang dituntut oleh iman. Justeru, iman selamanya menuntut sikap bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin sebagaimana yang diisyaratkan lewat kata al-mu'minun wa al-mu'minat dalam ayat 12 tersebut. Sebagai kaum beriman seharusnya mereka spontan menolak fitnah ke atas Sayyidatina `Aishah r.`a. itu dengan berkata, "Ini dusta nyata!" (hadha ifkun mubin!), rekaan tukang fitnah tentang peristiwa terbuka yang sebenarnya tidak diragukan oleh siapa juga yang menyaksikannya. `Aishah r.`a. dibawa dengan kenderaan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a. di tengah benderang siang, dilihat oleh seluruh angkatan tentera Islam dan disaksikan sendiri oleh Rasulullah s.`a.w.. Andainya perbuatan aib telah berlaku, tentunya ia dilakukan secara sulit dan tersembunyi. Demikianlah cara terbaik menyikapi isu seperti itu, iaitu dengan merujuk suara hati yang beriman. Jika seorang mukmin awam pun tidak tergamak melakukan perbuatan sekeji itu, maka lebih tidak masuk akal ia dilakukan oleh isteri Rasulullah s.`a.w. dan sahabatnya yang terkenal baiknya.

2. Setelah langkah pertama bertanyakan hati nurani sendiri, barulah masuk ke langkah kedua menuntut bukti nyata yang kuat. Orang yang membuat tuduhan seberat itu seharusnya mengemukakan empat orang saksi sebagai pembuktian kebenaran tuduhan mereka. Apabila ternyata tidak ada saksi, di sisi hukum Allah para pelakunya dianggap pendusta yang jahat. Sekali Tuhan mengatakannya pendusta (hum al-kadhibun), ia tidak akan berubah dan tidak akan ditarik balik selamanya.

3. Fitnah sedemikian itu adalah suatu kejahatan serius yang membawa padah yang fatal andainya tidak kerana kurnia rahmat Allah di dunia dan akhirat. Kurnia rahmat Allah di dunia berupa kesempatan bertaubat, sementara kurnia rahmat-Nya di akhirat berupa pengampunan terhadap dosa-dosa manusia. Kalau tidak kerana kurnia rahmat tersebut, nescaya ditimpakan-Nya azab serta-merta. Kata lawla dalam ayat tersebut bererti terhindarnya sesuatu (azab) kerana adanya sesuatu yang lain (kurnia rahmat Allah). Demikianlah umat generasi tersebut mendapat pengajaran pahit untuk mengerti betapa besarnya rahmat Tuhan yang meliputi semua, termasuk mereka yang telah telanjur melakukan kesalahan.

4. Lewat ayat 15 al-Qur'an memberikan gambaran suatu masyarakat yang sedang ditimpa krisis nilai dan etika, ketika lidah tidak terkawal dan akal sihat tidak berfungsi. Kalaulah tidak kerana kurnia rahmat Allah nescaya mereka sudah ditimpa azab pada saat mereka melafazkan kata-kata fitnah, ketika bertanya tentangnya, ketika memanjang-manjangkan berita bohong yang mereka tidak mengetahui hakikatnya, dan ketika menyangka bahawa ia adalah soal kecil dan remeh, walhal di sisi hukum Allah ia adalah kesalahan serius dan dosa besar kerana telah mencemarkan kemuliaan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w dengan fitnah skandal yang sedemikian keji. Ayat 15 tersebut menyenaraikan tiga kesalahan (dosa) yang telah mewajarkan para pelakunya ditimpakan azab: a. mulut dan lidah yang menyebut (bertanya dan menyampaikan) fitnah jahat itu kepada orang lain, b. bercakap tentang sesuatu yang tidak diketahui (tanpa bukti), dan c. menganggap kecil (tahsabunahu hayyinan) suatu yang hakikatnya besar dan serius di sisi Allah (wa huwa `inda 'Llahi `azim). Ternyata qadhaf (menuduh orang melakukan zina) adalah termasuk dosa besar. Hakikat besarnya dosa perbuatan tersebut tidak berubah (menjadi kecil) semata-mata kerana kejahilan pelakunya yang menyangka ia soal kecil. Kerana itu setiap yang haram harus disikapi dengan serius kerana berkemungkinan ia termasuk dosa besar (al-kaba'ir). Dalam peristiwa Hadithat al-Ifk, hukum hudud qadhaf telah dilaksanakan ke atas pelaku-pelakunya: Hamnah bint Jahsh, Hassan ibn Thabit dan Mastah ibn Athathah.

5. Pendidikan adab dan disiplin seterusnya (selepas bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin) ialah bersikap tegas dengan lafaz tasbih (subhanak)ketika mendengar berita bohong itu, lalu berkata, "Tidak sewajarnya kami mengucapkan kata-kata kotor yang mencemarkan maruah dan kehormatan Rasulullah s.`a.w., mustahil isteri Nabi s.`a.w. melakukan perbuatan keji seperti itu, dan ini jelas suatu pembohongan besar dan suatu kejahatan menyakiti Nabi s.`a.w.!". Memang hati yang beriman seharusnya spontan melenting dan memprotes pada saat mendengar fitnah jahat sedemikian, lidah yang beriman tidak sanggup mengucapkan kata-kata tentang hal seperti itu dan tidak rela menjadikannya bahan perbincangan. Mukmin tulen akan bergegas menghadap Allah s.w.t. menyucikan-Nya dari kemungkinan membiarkan Rasul-Nya ditimpa aib sedemikian rupa. Masyarakat mukmin sejati akan serta-merta melemparkan fitnah jahat itu jauh-jauh dari kedamaian, kemurnian dan keluhuran iklim iman dan taqwa.

6. Satu lagi peringatan dari Allah s.w.t., yang disampaikan dalam nada mendidik dan mentarbiyah yang sangat mengesankan, ya`izukum (menasihati kamu), jangan sekali-kali mengulangi apa yang terjadi dalam peristiwa hadithat al-ifk sepanjang hayat dan selama-lamanya, andainya kamu benar-benar manusia mukmin yang beriman kepada Allah, beriman dengan syari`at-Nya, memuliakan Rasul-Nya s.`a.w., melaksanakan pertintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sikap mematuhi nasihat Ilahi dalam ayat ini dikaitkan langsung dengan iman (in kuntum mu'minin). Justeru, orang beriman tidak akan mengulangi kesalahan yang telah jelas akibatnya seburuk itu. Lewat ayat-ayat firman-Nya, Allah s.w.t. telah menjelaskan hukum-hakam syari`at-Nya, adab dan disiplin keagamaan dan kemasyarakatan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui segala yang berlaku di kalangan mereka, lalu membalas setiap orang berdasarkan apa yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dalam menentukan hukum-hakam syari`at-Nya, Maha Bijaksana dalam mengurus kehidupan makhluk-Nya, dan Maha Bijaksana dalam mewajibkan apa yang membawa kebahagian mereka di dunia dan akhirat.

7. Disiplin atau adab ketiga yang dipesankan oleh Allah s.w.t. ketika mendengar cerita fitnah seperti itu agar jangan menyebarkannya, dan malah jangan menginginkan ia tersebar. Mereka yang terlibat dalam penyebaran dan penyiaran berita zina di kalangan kaum mukminin akan menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat (lahum `adhabun alimun fi al-dunya wa al-akhirah). Di dunia mereka merasakan kepedihan hukuman qadhaf (lapan puluh kali sebatan), dan di akhirat nanti mereka akan dibakar dalam api neraka. Manusia jangan berlagak tahu tentang hakikat sesuatu, sumbernya hanyak maklumat yang serba terbatas, berita yang tidak jelas hujung pangkalnya atau hanya dakwaan orang-orang yang sakit hati. Malulah kepada Allah yang Maha Tahu tentang hakikat segala sesuatu (wa 'Llahu ya`lamu wa antum la ta`lamun). Kalau mahu selamat, kembalikan dan serahkan segalanya kepada Allah Yang Maha Tahu. Dalam kaitan ini Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayliy mencatatkan ayat 19 surah ini menyebut bahawa adanya keinginan (sekadar keinginan) tersebarnya berita zina (al-fahishah) sudah cukup untuk mewajarkannya ditimpa azab, apa lagi jika benar-benar telah bertindak menyebarkannya. Sudah pasti lebih besar dosanya dan lebih dahsyat hukumannya. Menurut al-Zuhayliy lagi, punca keinginan keji agar fitnah zina tersebar luas adalah dendam, kebencian dan nafsu meninggi diri. kedengkianlah yang mendorong pendendam seperti  Abdullah ibn Ubay melakukan pencemaran maruah dan pencabulan kehormatan dengan sangkaan perbuatan itu akan menjadikannya tampak hebat, mulia dan berwibawa. Ibn Ubay dan mereka yang sejenisnya boleh bermimpi semahunya, tetapi Allah tetap dengan hukum dan hukuman-Nya: menimpakan azab duniawi-ukhrawi ke atas para pelaku qadhaf.

8. Allah s.w.t. mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu), nescaya kamu sudah binasa ditimpa azab-Nya, tetapi Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Tuhan masih bersedia menerima taubat mereka yang ingin kembali kepada Allah setelah telanjur dalam isu al-ifk ini. Tuhan masih berkenan menunjukkan jalan pulang dan jalan kebaikan, dengan memperingatkan bahaya sikap berterusan melakukan perbuatan terkutuk mencemarkan kehormatan keluarga dan rumah-tangga Nabi s.`a.w.

9. Dengan kurnia rahmat-Nya, Tuhan menunjukkan jalan selamat bagi kaum mukminin seluruhnya iaitu dengan menjauhi jalan dan laluan syaitan, juga jangan mendengar bisikan dan saranannya kerana syaitan hanya membawa satu motif: menyuruh melakukan kekejian dan kemungkaran. Demikianlah ketika syaitan merangsang mereka mendengar dan mempercayai fitnah al-ifk dan seterusnya mendorong mereka menyebarkannya. Sekali lagi pada ayat 21 Tuhan mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu) dengan membuka pintu taubat dan pengampunan-Nya, nescaya tidak akan ada orang yang dapat membersihkan diri daripada dosa, tidak akan ada orang yang dapat melepaskan diri dari belenggu syirik, budaya keji dan kebejatan moral. Dan andainya itu terjadi, akibatnya tidak lain adalah kebinasaan ditimpa azab. Berkat kurnia rahmat-Nya manusia bejat yang bergelumang dosa boleh berubah menjadi manusia zakiy, manusia yang mencapai kebaikan yang diredhai Allah. Demikianlah Maha Penyayangnya Tuhan yang berkenan membersihkan sesiapa yang dikehendakai-Nya kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar suara hati mereka yang ikhlas ingin bertaubat dari perbuatan keji yang telah mereka lakukan selama ini.



Monday, December 19, 2011

ISU QAZAF DAN FITNAH TERHADAP DS ANWAR IBRAHIM

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)

Kenyataan Media
PENDIRIAN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) 
TERHADAP ISU QAZAF DAN TUDUHAN LIWAT DAN ZINA TERHADAP DS ANWAR IBRAHIM

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengeluarkan Pernyataan Bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengenai isu yang sama dengan tajuk Pernyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qazaf, pada 27 Mac 2011 (sila rujuk Kenyataan Media di www.wadah.org.my/).

Sebagai reaksi kepada beberapa persoalan yang berbangkit serta kekeliruan-kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ekoran kenyataan-kenyataan beberapa orang mantan pimpinan ABIM mengenai isu tuduhan tuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim, maka WADAH ingin menegaskan kembali sikap dan pendirian yang telah diambil dengan merujuk kepada Pernyataan yang telah dibuat 27 Mac tersebut.

Pertama: Sikap dan pendirian mestilah berasaskan syari`at

“Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر).”

Kedua: Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu hal-hal berkaitan dengannya diperincikan oleh syari`at. 

“Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.”

Ketiga: Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama.

“Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. 

Keempat: Menolak gejala fasik dan pertuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim.
“Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.
Kelima: Menegaskan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat berakhlak berdasarkan syari`at.
“Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). 
Keenam: Menasihati mereka yang terlibat dalam membuat jenayah qadhaf supaya kembali menginsafi ketelanjuran mereka dan merujuk kembali kepada amaran Allah.
“Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula) - Al-Nur:11” “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. - Al-Nur:19”.

Sehubungan dengan ini juga, WADAH ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Prof Dato’ Dr Sidek Baba dan Dr Yusri Muhammad, termasuk yang berkaitan dengan isu ini, adalah tidak mewakili pandangan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Prof Dato’ Dr Sidek Baba ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah memegang beberapa jawatan dalam ABIM termasuk sebagai Naib Presiden. Dr Yusri Muhammad pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Beliau baru melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini selaku Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.

Abdul Halim Ismail
Setiausaha Agung WADAH. 

23 Muharram 1433
19 Disember 2011

Wednesday, October 26, 2011

Membahagiakan Sahabat - Amanat al da'wah


Pada waktu muncul video mengaibkan Anwar Ibrahim, telah disampaikan kepada Dr Siddiq Fadil tentang kasihannya sahabat-sahabat melihat keluhan Anwar Ibrahim yang tidak henti difitnah dan dianiayai sejak umur 20'an hingga umurnya 64 sekarang ini. Ustaz Siddiq pun pergi ke rumah Anwar Ibrahim bagi membahagiakan seorang sahabat, Ustaz Siddiq menyampaikan tadhkirah. Tadhkirah bagi peringatan kepada sahabat yang dilihat menderita memanjang. Tadhkirahnya tentang kisah Nabi Yusuf a.s. Kisah di dalam al Qur'an menceritakan ujian berat ke atas Nabi Yusuf dicampakkan ke dalam perigi oleh komplot adik beradiknya, dijual sebagai hamba abdi, difitnah dengan cara yang keji dan merengkok bertahun-tahun lamanya di dalam penjara. Kisah ini diungkapkan dari al Qur'an untuk memperteguhkan kekuatan dan semangat seorang sahabat.

"Demikianlah itu (adalah) di antara berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada di sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya." (Surah Yusuf: 102)

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.  Al Qur'an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." (Surah Yusuf: 111)

Nabi Yusuf a.s. tidak bersalah namun dipenjarakan tanpa bicara. Dipenjara walaupun bukti-bukti menunjukkan sebaliknya. Hukuman ditentukan oleh imra'atul aziz - isteri sang pemerintah. Begitulah tadhkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Siddiq untuk menggembirakan sahabat yang sangat berjasa.

Rupa-rupanya ada kumpulan yang marah kepada Ustaz Siddiq kerana tadhkirah ini. Padahal segolongan mereka tahu dan telah mengaji tentang pengkisahan ini. Kemarahan akibat permusuhan yang amat sangat kepada Anwar Ibrahim. Tadhkirah dikatakan indikator dokongan kita kepada Anwar Ibrahim. Walhal itulah pelaksanaan tanggungjawab da'wah - amanat al  da'wah.

Menurut Ustaz Siddiq, waktu ini fitnah yang paling keji adalah tuduhan liwat dan zina. Oleh itu, gerakan Islam perlu tampil bagi menangani dua isu utama iaitu maruah - satu tujuan maqasid shariah dan isu kefasikan. Maruah dipermain-mainkan dan diinjak-injak semahu-mahunya. Mana mungkin kita tidak terpanggil untuk membela, lagi pula yang dihina dan diaibkan itu sahabat dan pemimpin pengasas ABIM. ABIM tidak mungkin menjadi ABIM tanpa sumbangan Anwar Ibrahim seperti apa yang ada - itu hakikat yang harus diterima. Ustaz Siddiq meminta terutamanya pemuda-pemudi ABIM memahami hakikat ini.

Ustaz Siddiq menceritakan bahawa al marhum Ustaz Ni'mat Yusuf sendiri mengakui bahawa dia berada dan belajar lama di Mesir dan menghirup suasana sungai Nil tetapi masa itu dia tidak sedar tentang harakah Islamiyyah. Pencerahan dan kesedaran tentang harakah Islamiyyah disampaikan oleh Anwar Ibrahim kepadanya.

Tiada seorang Melayu pun dihina begitu dahsyat sekali sejak Hang Jebat. Gerakan Islam yang kita warisi harus berperanan dan kita tidak pernah dapat terima samasekali fitnah dan tohmahan sebegini rupa. Ini kesalahan jenayah Qazaf. Ada elemen-elemen yang tepelanting jauh akibat memusuhi Anwar Ibrahim dan terus menerus membeli dan menjaja apa saja bagi mengaibkannya. Sehingga ada yang hilang kesedaran, hapus kewajaran dan musnah kesarjanaan hanya kerana permusuhan ini. Padahal kita perlu menyelamatkan umat daripada kefasikan.

Apabila al Qur'an menyebut golongan seperti ini sebagai al fasiqun, serta hilang kelayakan kesaksian selama-lamanya (abada) kecuali taubat  , maka mereka sudah hilang kredibiliti, tidak boleh dipercayai lagi, tak layak didengari ceramahnya, pidato atau tulisannya. Sekiranya disambut pula fitnah ini oleh orang lain terus menerus, maka merebaklah kefasikan akibat qazaf dan melebarlah fitnah besar ke dalam tubuh masyarakat kita.

Mereka mengecam dan meremehkan faqih al asr, tokoh fuqaha semasa, Profesor Yusuf al Qaradawi mengatakan Profesor Qaradawi tidak tahu fakta-faktanya. Padahal fiqh Islam itu jelas dan nyata, bahawa selagi tiada empat orang saksi maka ia jenayah Qazaf.

Kita harus bersikap tegas. Kesalahan mereka berat. Ini bukan akibat kelalaian tetapi wilful malice - pemfitnah yang agresif. Penolakan jamaah terhadap elemen pemfitnah ini jelas dan tegas demi amanah al da'wah.

(Oktober 2011)

Sunday, July 10, 2011

Bahagian 1 Ucapan Dasar WADAH Pulau Pinang



Ucapan Dasar Muktamar Wadah Pencerdasan Umat 10 Julai 2011 di Bangunan ABIM Negeri Pulau Pinang, Sg Gelugor oleh Dr Hj Wan Salim Mohd Noor, Pengerusi WADAH Cawangan Pulau Pinang


Apa erti perjuangan - kenapa WADAH perjuangan yang relevan dan mesti dipertahankan

Isu utama - integriti dan keadilan sosial dalam Islam - adalah isu penggerak utama Musim Bunga Arab - the Arab Spring - cita-cita terpedam lama rakyat untuk bebas, menentukan masa depan sendiri, adil dan saksama, tiada lagi dibelenggu penindasan, hipokrasi dan kezaliman pemerintah kuku besi.

Islam, umat Islam dan ulama mesti tampil dan berada di tempatnya - bersama memperjuangkan integriti dan keadilan sosial - being on the right side of history and attaining the moral high ground.

Apabila Mufti Mesir berfatwa khusus di kemuncak kebangkitan rakyat Mesir di Kahirah bahawa solat Jumaat tidak digalakkan pada hari perhimpunan terbesar tersebut atas alasan mudharat dan membahayakan - rakyat tidak mengindahkannya malah mereka menyahut seruan Prof Yusuf al Qaradawi yang berfatwa sebaliknya supaya rakyat membanjiri kota. Akhirnya, Prof al Qaradawi yang diberi penghormatan berkhutbah dan mengimamkan solat Jumaat ribuan jamaah di Medan Tahrir setelah kebangkitan rakyat berjaya dan Mubarak diusir.

Begitulah sepertimana dinukilkan dalam buku seorang aktivis kemanusiaan tentang nasibnya apabila ada Mufti yang mengharuskan penahanan tanpa bicara. Mufti yang sama juga mengharuskan solat Jumaat tidak wajib bagi banduan di Kem Tahanan tersebut.

Tugas kita adalah mencerdaskan umat - menerangkan kebenaran - mencerahkan minda - mengajak umat memilih supaya bersama dengan cita-cita memperjuangkan Islam.

Peranan dan relevannya gerakan kita adalah untuk pembaikan umat, mencelikkan dan mencerdaskan umat, mengislah manusia dengan menyampaikan risalah. Kekuatan kita, rujukan kita, paksi dan sumber sentiasa kembali kepada Allah swt.


Metamyth dan Megadeath

Sekarang masa fitnah dan pembohongan besar-besaran dengan pembunuhan umat secara terang-terangan melalui angkara keganasan dan pencerobohan.

Nampaknya, musuh Islam berjaya melalui propaganda terang-terangan, komplot jahat dan pergerakan halus untuk menyisihkan Islam dan gerakan Islam daripada arus perdana serta supaya kita sentiasa dicurigai - menyamakan sebarang nilai, budaya, usaha, pembaharuan dan perancangan Islam kepada extremisme dan terorisme.


Senario Semasa

Penyelewengan ekonomi, mengaut keuntungan secara rakus, kegiatan ekonomi tidak halal, eksploitasi dan monopoli membelit satu kitaran sistem ekonomi yang tidak adil dan korup. Kekayaan dibolot sendiri, kaum kerabat serta kroni sementara kerugian diagihkan pula kepada rakyat.

Politik jahat diamalkan berleluasa tanpa berperikemanusiaan - rasuah, pembohongan, penipuan, fitnah keji menjadi tabiat dan sebati dengan kepimpinan yang tidak beramanah.

Maklumat dan penerangan yang penuh berisi propaganda durjana - naba fasiq - diluahkan dan disebarkan bertalu-talu melalui media cetak, radio dan TV tanpa segan silu.

Ulama, autoriti dan ilmu nampak seperti ditundukkan dan seolah kehilangan kedudukan moral tingginya - Religion - ulama and knowledge losing the moral high ground. Ada yang mengundurkan diri, ada yang merasakan tidak perlu tahu dan tidak ambil peduli atas alasan penumpuan kepada hal yang lebih besar ummah. Sikap membisu dan kelu berdepan dengan kezaliman dan kemungkaran adalah akibat ilmu ditundukkan oleh kuasa.

Rakan lama dan sahabat handai diracuni fikiran sehingga bertelagah, keliru dan terjerat dengan lilitan fitnah - friends and comrades are at loggerheads, confused and caught up in a web of elaborate deceit, exploitation and misinformation.

Kejahatan yang dibiarkan membuahkan kejahatan yang lebih besar - itulah fitnah. Ramai pula tidak sedar bahawa jika bukan kerana limpah kurnia dan rahmat Allah swt di dunia dan di akhirat, maka semua akan di azab. Kita bersyukur kerana masih ada yang melakukan islah.

Usaha da'wah dan tarbiyyah pula agak kurang menyerlah dan lesu dalam menangani kemelut akhlak dan moral ini - bagi mengembali menegakkan keadilan dan kebenaran. Fitnah, pemalsuan, sumpah palsu, korupsi telah menular dan berlaku secara terang-terangan tanpa penentangan autoritatif.

Soalan yang diajukan kelompok liberal dan aktivis hak asasi adalah betulkan Islam dan ulama Islam memerangi rasuah dan korupsi. Mereka mempersoalkan betulkah Islam dan ulama Islam mendokong sepenuhnya keadilan dan integriti?

WADAH mencadangkan penubuhan nadwah ulama' bagi menangani pendapat-pendapat ulama' agar mengimbangi keadaan supaya lebih autoritatif.


Asas Perjuangan WADAH

Menurut Dr Siddiq Fadil, kita semua bersepakat bertemu atas dasar perkongsian satu keyakinan bukan satu kebetulan. Yang dinamakan perjuangan itu bertolak daripada satu keyakinan. Jika tidak diasaskan kepada satu keyakinan bukanlah perjuangan.

Kita ikut berjuang dalam wadah ABIM kerana ABIM diyakini wasilah cita-cita pendaulatan Islam melalui strategi da’wah dan tarbiyyah. Strategi inilah yang paling efektif untuk membina umat.

(al Fussilat:33) : “ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang salih dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang berserah diri”.”

Pilihan inilah yang tepat – dai’, pejuang da’wah – profesion terbaik dan termulia. "Sekali orang da’wah, selamanya orang da’wah." Mana-mana wadah yang kita sertai pengisiannya – “substance”nya tetap da’a ilallah. Keputusan-keputusan penyertaan politik pun bertujuan untuk membawa mesej yang sama - melakukan tajdid islahi. Itulah pilihan tepat dan tidak berubah.

Pendidikan umat, pencerdasan bangsa, umat terdidik akan melahirkan pimpinan berkualiti. Kerja ini menjemukan, membosankan dan mengambil waktu yang sangat panjang tetapi tidak ada pilihan melainkan bersama umat di akar umbi –“grassroots”. Kerana perubahan harus datang daripada umat. Perubahan tidak semestinya datang daripada atas. Tetapi ia boleh berlaku daripada bawah. Kalau tidak boleh berlaku daripada pihak atasan maka perubahan seharusnya berlaku daripada bawah. Lebih mudah jika datang daripada atas tetapi kita tidak harus menunggu kerana ia boleh berlaku dari arah lain.

Kalau umat itu berkualiti akan muncullah pemimpin berkualiti. Pemimpin yang hampas akan lahir daripada umat yang hampas. Kita tidak boleh jemu-jemu mengakar ke bawah tetapi tetap berpaut ke “atas” iaitu kepada Allah s.w.t. Mengakar dengan tidak putus daripada yang “atas”. “Live with people to know their problems, live with God to solve them.” Kita harus sentiasa kembali kepada Allah s.w.t. Kita harus melakukan taqarrub. Ini sangat penting dan selalu diabaikan. Kita harus meLakukan amal ibadat yang menghampirkan kita kepada Allah s.w.t. Kita perlukan petunjuk ketuhanan. Kita harus kembali apabila berdepan dengan masalah. Apabila bertembung masalah manusia, masa itulah kita kena kembali kepada Allah s.w.t.

“(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan “Innalillahi wa inna ilahi raji’un” (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali.” (al Baqarah: 156)

Kita ingin mengembalikan umat kepada Islam – masyarakat religious dan serious menghayati agama. Apa lagi pada zaman yang semuanya kebendaan dan sekular. Kita ingin melihat agama sebagai kekuatan kemanusiaan – “humanizing force” di tengah-tengah tamaddun kebendaan. Kembali sebagai kekuatan pentamaddunan – “civilizing force”. Kita ingin melihat agama berfungsi sebagaimana sepatutnya – masyarakat beragama dan bertaqwa – “religious and God-conscious”. Masyarakat yang berkesedaran tinggi untuk mencari keredaan Allah s.w.t.

Apa saja tindakan berlaku dalam keadaan dhikrullah. Prihatin – “conscious” terhadap perintah-perintah dan larangan-larangan Allah s.w.t.

Perjuangan ini memerlukan kesabaran – membela umat ini memakan masa yang panjang, ia bermakna membina generasi. Lihat kisah Nabi Musa a.s. membina Bani Israil. Nabi Musa a.s. dengan kecerdasannya telah dibantu oleh saudaranya Nabi Harun a.s. dengan kepetahannya. Tetapi mereka tidak dapat membina umat sepertimana yang diinginkan dan disangkakan. Bani Israil boleh berhijrah secara fisikal tetapi tidak boleh berubah jiwa seperti diinginkan. Kaum ini tidak boleh berubah kerana telah hilang semangat perjuangan – “lost their fighting spirit”. Mereka terima sajalah apa yang adanya. Bangsa yang telah hilang daya juangnya tidak boleh menyahut laungan “Lawan Tetap Lawan!” Kerosakan yang berlaku tidak dapat diperbaiki hatta dibawah pimpinan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. Ia terpaksa mengambil masa yang lama, 40 tahun, satu tempoh bagi membina generasi baru yang terdidik di tengah-tengah padang pasir yang terik – hanya yang mempunyai daya juang sahaja yang “survive”.

Bagaimana pula dengan anak-anak dan adik-adik kita yang dimanja-manjakan? Program sekarang di hotel-hotel berbintang bukan di bangku-bangku sekolah rakyat seperti kita dahulu. Generasi bapa-bapa kita pun lebih kuat daripada kita.

kita harus sedar bahawa yang kita perjuangkan adalah satu yang tidak disukai ramai, tidak popular – idealisme, kejujuran, keikhlasan, ketaqwaan. Berdepan pula dengan generasi baru – Astro, Akademi Fantasia, Raja Lawak, Facebook. Ini bukan generasi kita – mereka mempunyai alam sendiri dan keasyikan sendiri. Beranikah kita tampil dengan seruan yang tidak popular di tengah-tengah masyarakat seperti ini?

Untuk tampil membawa sesuatu yang rasanya tidak popular. Itukah maksudnya hadith ghuraba': “Islam datang sebagai orang dagang dan kembali sebagai orang dagang?” Ada orang berpesan bahawa kalau hendak berjaya dalam perjuangan, jangan ikut semua kehendak orang. “I do not know the way to success but the way to failure is to please everyone.” Ibarat konduktor orkestra – dia fokus kepada orkestranya dengan membelakangkan penonton. Misinya tercapai apabila orkestra bermain lagu dengan tepat.

Satu lagi isu adalah Global Capitalism dengan segala akibatnya politik dan ekonomi. Apa yang disebutkan sebagai “Global capitalism and the death of democracy” - adalah di mana gejala kerakusan menyebabkan berlaku fenomena privatizing profits and socializing losses - lambang korupsi bermaharajalela.

Berhadapan dengan segala cabaran ini menghendaki kesungguhan. Kesungguhan adalah prasyarat perjuangan. Bukan yang mati atau yang setengah hati. “No half heartedness”. Berkesungguhan belum tentu berjaya tetapi yang separuh hati pasti gagal.


Bina keperibadian, keluarga dan rakan taulan

Menurut Dr Siddiq Fadil lagi, di samping ditujukan kepada kawan-kawan yang merasakan dirinya sudah tua, dipesan agar mengingatkan ayat :

(al tawbah: 41):-

“Berangkatlah kamu baik dalam merasa ringan atau merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Berjuang itu rupa-rupanya harus dilaksanakan dalam keadaan mana sekalipun berat ataupun ringan – tidak mengira kesihatan, umur, kewangan, kelapangan seterusnya...

Seorang sahabat telah tidak pernah terlepas untuk bersama berperang mengikut Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan dia ikut berperang sehingga zaman selepasnya. Anak-anaknya merayu kepadanya, “Biarlah kami saja yang turut berperang kerana bapa sudah tua.” Bapa mereka pun membaca ayat ini seraya berkata, “Ayat ini tidak mengecualikan sesiapa saja!”

Tidak ada pengecualian dalam perjuangan samada tua, uzur, darah tinggi, kencing manis dan lain-lain….


(bersambung)

Friday, April 22, 2011

Tribulasi Perjuangan


Pada awal 70'an, dikisahkan bahawa Ustaz Dr. Wan Salim menterjemahkan buku karya al marhum Fathi Yakan, pemimpin gerakan Islam Lebanon, bertajuk Tribulasi Perjuangan: Di antara Mehnah dan Fitnah. Sungguh banyak buku-buku karya tokoh-tokoh Ikhwan al Muslimin and gerakan Islam diterjemahkan oleh ABIM untuk IIFSO dan WAMY. Buku-buku sebegini menjadi bacaan wajib, cukup popular dan inspirasi kepada anak-anak muda waktu itu yang mencari-cari segenap bahan bagi menelaah ilmu agama, memperbaiki diri, melakukan islah dan menjadi pemanis halua bagi yang mengidamkan pedoman da'wah. Era itu memperlihatkan satu kesedaran, satu kebangkitan Islam yang dipelopori pemuda-pemudi dengan idealisme perjuangan yang membara. Maka sebarang rencana, tulisan, syarahan dan bicara tokoh diikuti, dihadam, ditekuni dan diamati.


Setiap eksperimen Islamisasi didampingi dan ditekuni. Matlamatnya bagi mengisi dada dengan pengetahuan dan ketajaman fikiran agar berada di landasan mulia dan menuruti jalan-jalan da'wah. Pembacaan menjadikan pelengkap tarbiyyah, pembinaan watak dan peribadi. Usrah-usrah pula tempat penyemakan, pencernaan dan perbahasan idea-idea dan apa yang terbit daripada pengajarannya. Kefahaman dan dinamika kumpulan usrah menterjemahkan idea di lapangan dan mencetuskan pelbagai projek. Suasana pembelajaran dan pembinaan sungguh segar dan memberikan pencerahan, ketenangan, perasaan kekayaan, rasa penuh dan perasaan cukup yakin dengan hasil kebersamaan perkongsian dengan rakan-rakan sahabat seperjuangan. Keyakinan bahawa masa depan Islam cerah dan kitalah pembawa pengibar panji-panjinya menjanjikan satu sahwah, satu futuhah satu kebangkitan, satu kemenangan. Dengan pantas fenomena dakwah melebar hingga membawa gelombang perubahan terpenting masyarakat Islam abad ke 20.


Melalui tulisan Fathi Yakan, kita merasai dan memahami apa makna kita mengakui diri Muslim, menggabungkan diri kepada gerakan Islam, mempunyai perasaan intim kepada perjuangannya. Kita inginkan menegakkan cita-cita Islamiyyah. Kita diingatkan tentang bahaya sepanjang jalan, bagaimana boleh gugur dan tercicir di perjalanan da'wah ini. Kita tahu bakal adanya mehnah dan fitnah yang melanda sejak zaman perjuangan Ar Rasul s.a.w., para sahabat dan para mujahidin hingga masa kini. Kesan pembacaan, perbincangan dan latihan kita meyakinkan kita tentang cerahnya masa depan Islam, kemenangan yang dijanjikan serta keinginan kita untuk memeratakan Islamisasi, menjadi pembawa obor pembaharuan Islam bagi menyinari seluruh pelusuk dan negeri. Sungguh luas dan betapa mendalam pengisian yang diperolehi. Tetapi kita belum menempuhi medan perjuangan sebenar dan apa yang ada hanya pengetahuan dan garapan pemikiran tanpa pengalaman, belum ada ujian getir atau cubaan yang rumit. Kita belum berhadapan dengan pertarungan hak dan batil, belum berdepan dengan kezaliman, penindasan, kekejaman, penyiksaan dan tipudaya. Kita belum menempuhi tribulasi.


Maka apabila berlalunya pelbagai peristiwa, demonstrasi yang disambut polis rusuhan, rempuhan pasukan simpanan khas, dibalun dengan belantan, disembur bahan pemedih, dikejar hingga berlari-lari bertaburan hingga tiada lagi tempat berlindung. Kita hanya sekadar pemerhati. Kita tidak berada di medan, tiada pula berada di jalan-jalan itu sewaktu loceng amaran kenderaan FRU merah dibunyikan. Kita tidak temasuk mereka yang berlari bertempiaran apabila digempur perisai dan cotar setelah dihujani asap gas yang memedihkan hingga keluar tangisan yang amat pedih dan menyakitkan. Kita tidak pun diberkas, ditangkap atau dipenjarakan. Kita tidak pun digari dan dihimpit ke dalam trak-trak berjaring besi atau Black Maria. Ada pemimpin diheret ke Kamunting dan di ISAkan 3 1/2 tahun lamanya. Itulah baru merupakan permulaan kecil tribulasi perjuangan.


Alkisah pula, maka setelah masa berlalu fitnah dan mehnah muncul semula, pemimpin gerakan Islam dihina, dipukul, sekali lagi disumbatkan bertahun-tahun dalam penjara. Tidak cukup dengan itu, fitnah direkayasa semula dan pemimpin diaib secara luarbiasa di luar batas keperimanusiaan. Fitnah jahat yang belum pernah dialami sekian tokoh Melayu sepanjang zaman. Satu dugaan berat bukan calang-calang manusia boleh dihadapkan.Kezaliman bermaharajalela tanpa batas tanpa had. Fasad bergelora berbentuk konspirasi, komplot jahat dengan umpanan rasuah dan penyelewengan. Fitnah besar melanda sehingga orang yang dulunya sahabat, tokoh dan pujangga rebah menjadi pengkhianat yang hina dan nista.


Anak bertanya, "Ayah ABIMkan, takkan ayah biar saja Anwar dituduh begitu rupa. Ayah kena lawan, kena pergi demo". Maka kita jawab kita hanya bersedia untuk menyampaikan kuliah dan mengadakan kebajikan. Apabila disuruh melangkah ke gelanggang untuk benar-benar merasai mehnah dan fitnah perjuangan, mula datang kegerunan. Rupa-rupanya kita belum layak mengibar panji-panji kebenaran dan keadilan kerana masih belum sanggup mengharungi tribulasi perjuangan.


Tetapi jangan sampai apabila melihat kemungkaran, kita memilih untuk berdiam diri.


Saturday, March 26, 2011

PERNYATAAN SIKAP

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri, pembesar-pembesar dari kelompok para penjahat, supaya mereka melakukan tipudaya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari diri mereka sendiri. (al-‘An’am:123).


PENDEDAHAN DAN PENYIARAN VIDEO LUCAH OLEH KUMPULAN DATUK ‘T’

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sekeras-kerasnya mengecam tindakan kumpulan Datuk T (Tan Sri Abdul Rahim Tamby Cik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuaib Lazim) yang bertindak mendedahkan kepada umum rakaman video yang dikatakan melibatkan perlakuan seks oleh seorang pemimpin utama pembangkang dengan seorang wanita. Tindakan demikian jelas bukan sahaja berlawanan dengan undang-undang tetapi juga melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama dan bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu. Perbuatan mereka, yang mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang adalah perbuatan faahisyah (perbuatan keji) yang amat ditegah oleh Islam.

WADAH berpandangan bahawa tindakan mereka mendedahkan rakaman video tersebut, adalah dibuat dengan niat jahat, bermuslihat politik, bermotif membalas dendam dan bertujuan akhir ‘membunuh’ masa depan seseorang. Dari sudut Islam, jelas sekali tindakan yang diambil oleh kumpulan bertiga ‘Datuk T’ adalah perbuatan qazaf yang dikecam keras oleh Allah s.w.t.; tindakan bersifat tuduhan tanpa bukti syar’iy itu membawa implikasi yang berat kepada status akhlak para penuduh, kesaksian mereka serta hukuman-hukuman yang sepatutnya dikenakan ke atas mereka. Pihak berkuasa diseru supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang telah membelakangi undang-undang semata-mata kerana memenuhi motif dan nafsu jahat yang tersembunyi.

Hanya berasaskan sangkaan dan tanpa sebarang pengesahan pakar, video tersebut telah dipertonton kepada ramai orang, bahkan mereka telah bertindak mengaitkan rakaman perlakuan seks tersebut dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tindakan yang diambil lebih bermaksud untuk memalukan dan meruntuhkan imej beliau serta meletaknya sebagai seorang yang ‘telah dihukum bersalah’ di mata umum - sebelum sebarang proses perundangan dilaksanakan. Kami percaya ini adalah usaha yang dirancang bagi membunuh masa depan dankarier politik beliau.

Tindakan yang diambil oleh kumpulan bertiga ‘Datuk T’ adalah antara ‘serangan’ yang menggugat budaya dan tata susila masyarakat Melayu yang dikenali sebelumnya sebagai masyarakat yang bersopan dan penuh adab, saling menghormati dan memandang tinggi harga diri dan maruah manusia. Sejak tahun 1998, pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam negara, termasuk pemerintah, pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh agama, gagal memainkan peranan mereka secara berkesan bagi membendung gejala buruk dari terus berkembang. Peristiwa terbaharu menggambarkan bahawa budaya ‘faahisyah’ ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat bahkan para pendokong ‘budaya keji” ini mendapat pembelaaan pemimpin-pemimpin politik yang berkepentingan.

WADAH menyeru supaya semua pihak ‘kembali sedar’ dan bangun bersama-sama membenteras budaya busuk lagi keji ini dari terus menerus merosakkan masyarakat. Para pemimpin politik mestilah berpegang teguh kepada prinsip-prinsip demokrasi yang luhur, mengutamakan usaha membina negara dengan masyarakatnya yang berakhlak mulia, meletakkan keutamaan kepada usaha membina keharmonian hidup bersama.

Para pemimpin politik hendaklah mengelak dari perpolitikan melampau yang membenarkan fitnah, pembohongan dan penipuan serta pembunuhan karaktor (character assassination). Pemimpin dan tokoh-tokoh agama dan para cendiakawan Islam pula hendaklah meletakkan kepentingan agama di atas dari kepentingan peribadi, berlaku adil dengan memposisi diri sebagai ‘penunjuk ke jalan yang benar’ (mursyid) berperanan sebagai pusat rujukan sahih untuk masyarakat, berani menyatakan kebenaran sekalipun pahit, sentiasa akur kepada kebenaran al-Quran dan al-Sunnah dan tidak mengizinkan diri menjadi alat pemimpin-pemimpin yang jahil dan buruk akhlak. Umat Islam pula harus tampil dan secara jelas dan tegas menolak budaya buruk berupa fitnah dan pembohongan serta penyebaran riwayat aksi lucah dan cerita porno dari terus-terusan merosakkan kehidupan beradab umat Melayu; kehidupan murni yang diasaskan kepada nilai-nilai luhur berpaksikan agama Islam.

Terhadap mereka yang terlibat dengan perkara-perkara keji berupa tuduhan palsu, fitnah dan pembohongan, kita menyeru agar mereka insaf dan segera kembali ke pangkal jalan, kembali menjadi hamba-hamba Allah yang takut akan Hari Perhitungan dan Pembalasan – kerana kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh mereka akhirnya akan membinasa diri mereka sendiri.

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri, pembesar-pembesar dari kelompok para penjahat, supaya mereka melakukan tipudaya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari diri mereka sendiri. (al-‘An’am:123).

Sekretariat Pusat

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia

26 Mac 2011.